Selasa, 6 Julai 2010

Affirmasi

Affirmasi atau pernyataan diri adalah salah satu teknik dan kaedah untuk kita mengaktifkan kuasa minda. Hampir setiap hari dan setiap masa kita akan berkomunikasi dengan orang lain. Dalam pada itu, kita juga sentiasa berkomunikasi dengan diri kita sendiri. Kaedah berkomunikasi dengan diri sendiri ini adalah dinamakan pernyataan diri atau affirmasi. Namun harus diketahui bahawa, pernyataan diri yang positif adalah merupakan affirmasi untuk meningkatkan keupayaan mental kita dan begitu jugalah sebaliknya.
Setiap hari dalam berkomunikasi, kebanyakan pernyataan yang masuk ke benak kita adalah berkenaan perkara-perkara yang negatif. Keadaan ini sebenarnya sedikit sebanyak telah menenggelamkan potensi sedia ada diri kita. Rakan taulan malah sanak saudara di sekeliling kita mungkin boleh menghasilkan komunikasi negatif dengan kita. Perkataan seperti cemuhan, kritikan, pandangan serong, dan sebagainya adalah perkara berkaitan komunikasi negatif yang berlaku dalam kehidupan kita. Malah bukan orang luar sahaja yang sering berkomunikasi dengan jiwa negatif, diri kita juga kadang kala menghasilkan komunikasi negatif kepada diri kita sendiri...
'Aku ni tak pandai le macam dia...'
'Susah betul le subjek ni...'
'Alahai gaji lambat lagi, duit dah nak kering ni....'
Inilah sebahagian ungkapan-ungkapan komunikasi negatif yang terpancar dalam diri kita sendiri yang menghalang keberkesanan kuasa minda milik kita.
Pernah dulu dinyatakan; apa yang kita fikirkan, itulah yang akan berlaku kepada kita.
Kenyataan ini ada benarnya kerana ia adalah affirmasi kepada diri kita sendiri tentang apa yang kita inginkan. Keadaan yang selalu cenderung kepada perkara negatif telah membentuk satu getaran negatif juga kepada gelombang minda kita yang akhirnya akan menarik gelombang-gelombang negatif mendekati kita. Sebab itulah, apa yang kita fikirkan dan sebutkan akhirnya akan menjadi kenyataan secara tidak langsung kepada diri kita.
Cuba tukarkan kepada pemikiran dan pernyataan positif. Affirmasi dan ungkapan yang kita sebutkan akan menghasilkan satu bentuk gelombang dan semangat untuk terus mengejar sesuatu kejayaan, dan akhirnya ia pasti akan berhasil nanti. Jika kita menghadapi apa-apa cabaran, janganlah mengeluh... Sebaliknya tukarkan rasa keluhan itu dengan kata-kata semangat yang kita mampu untuk menghadapinya. Catatan berikutnya akan menyatakan tentang kaedah affirmasi dengan lebih mendalam lagi...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan