Jumaat, 29 Mac 2013

Bercakap dengan Alam…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.  KM doakan, kita semua mendapat kebahagiaan yang hakiki daripadaNya…

Semasa KM muda aka budak sekolah rendah dulu, ada sebuah buku yang sangat KM minati dan baca berulang kali; Bercakap dengan Jin karangan Tamar Jalis.  Ada sesuatu aura menarik dalam penceritaan itu sehingga KM jadi terpukau untuk terus mengulang dan ulang bacaan ceritanya.

Namun, hari ini KM bukan hendak berbicara berkenaan bercakap dengan jin, tetapi Bercakap dengan Alam.  Nampak sama tapi bukan dia… Winking smile

Di sekeliling kita, pasti ada ramai rakan dan kenalan.  Dalam ramai itu, pasti ada yang dapat menjadi sahabat sejati untuk kita tumpang meluahkan perasaan dan masalah.  Namun, manusia ada pelbagai perasaan dan cara pemikiran yang terselindung, yang kita tidak dapat pastikan dengan jelas dan nyata tentang keikhlasannya, dan kejernihan hatinya.

Alam, iaitu pokok dan tumbuhan, dan haiwan pula adalah juga makhluk ALLAH yang tercipta di alam ini.  Alam, merupakan makhluk ALLAH yang patuh tanpa ada sedikit pun rasa sangsi tentang kewujudan dan kebesaran ALLAH.  Ini terbukti kerana ‘mereka’ sentiasa bertasbih dan berzikir memuji ALLAH.  Pokok-pokok, ikan di laut, semut yang melata, angin, awan, hujan, sungai yang mengalir, dan semuanya yang bernama alam, akan sentiasa patuh dengan arahanNya.  Justeru, ‘mereka’ sentiasa berada dalam gelombang yang rendah iaitu berada dalam tahap yang mendamaikan.

Jika kita ada masalah, dan berbicara dengan sahabat kita, pasti ia dapat meringankan sedikit rasa masalah itu.  Begitu juga jika kita meluahkan rasa bebanan itu kepada alam dengan bercakap dengan alam.

Kita mungkin pernah lihat ada manusia yang bercakap dengan kucing peliharaannya.  Kita dapat lihat, dia bercakap dengan bersungguh-sungguh seolah-olah kucing itu faham dan dapat memahaminya.

Kita juga mungkin pernah lihat ada manusia yang bercakap dengan pokok bunga.  Kita lihat dia bercakap tentang harapannya agar pokok bunga itu sentiasa segar dan berbunga dengan penuh keindahan.

Semua ini adalah contoh bercakap dengan alam.  Kerana manusia faham dan percaya bahawa, alam juga mampu untuk mendengar, mampu untuk memahami, dan mampu untuk meringankan perasaan manusia. 

Keindahannya, ada masalah yang seperti hadir jalan penyelesaiaannya selepas berbicara dengan kucing sendiri.  Masalah itu memang tidak akan selesai, atau kucing itu menyelesaikan masalah kita, namun selepas berbicara dengan kucing itu, jalan penyelesaian seperti hadir di hadapan kita.  Hanya kitalah yang perlu merebut peluang dan melaksanakan penyelesaian kepada masalah tersebut.

Keindahannya, bila berbicara dengan pokok, selepas itu nampak perubahan kepada pokok itu.  Ia seolah-olah faham dan hidup dengan lebih bersemangat.  Ia membesar dengan sihat, berbunga dengan indah, dan berbuah dengan rasa kenikmatan yang sebenar.

Semua ini adalah keindahan bercakap dengan alam.  Hanya orang yang memahami, merasai, dan melakukannya sahaja dapat faham erti sebenar bercakap dengan alam….

Khamis, 28 Mac 2013

Tidurlah sayang…

Salam kedamaian daripada KM buat semua.

Catatan KM hari ini adalah perkara yang mudah sahaja; TIDUR.

Kata orang, kuat tidur tandanya malas.  Mungkin benar kata-kata ini, dan mungkin ada perkara yang menidakkan kebenarannya.  Orang yang sering tidur tanpa melakukan apa-apa, memang boleh kita anggap sebagai pemalas.  Namun, jika dengan tidurnya itu dapat ‘memberi sumbangan’, pasti dia bukan orang yang malas.  Benarkah tidur juga memberi sumbangan?

Semasa kita tidur, kita sebenarnya merendahkan gelombang otak kita ke tahap yang paling rendah iaitu gelombang delta.  Keadaan ini menyebabkan minda, dan jiwa kita berada dalam keadaan yang sangat tenang dan damai.  Kedamaian ini akan mengaktifkan minda untuk menjana idea yang sangat hebat dan tinggi nilainya.

Lihat sahaja kepada kanak-kanak kecil/bayi yang sering tidur dengan penuh kedamaian.  Bukankah mereka ini lebih kreatif dan sering kali mahu mencuba sesuatu yang tidak terfikir oleh kita?  Ini adalah kerana, tidur mereka membawa kepada tahap delta yang menyebabkan minda mereka menjadi sangat aktif dan mahu melakukan cubaan-cubaan baru dalam kehidupan.  Pun begitu, sebagai ibu bapa dan penjaga, kita harus pastikan agar kreativiti mereka tidak terlalu melampaui batasan dan norma kehidupan.

Dahulu, semasa KM masih dibangku sekolah menengah, tuan guru KM pernah memberi tips pembelajaran yang sangat asing dan lain dari yang lain.  Kata beliau, fokus kepada suatu tajuk yang hendak ditelaah.  Baca maklumat yang hendak dikuasai itu dalam masa 10-20 minit.  Kemudian, rehat selama 5 minit.  Setelah itu, baca sekali lagi petikan atau maklumat itu bersama dengan tandaan atau garisan (sekarang ni dengan menggunakan pen highlighter) kepada maklumat penting daripada petikan tersebut.  Setelah itu, rehat pula selama 5 minit.  Kemudian, cuba tulis kembali maklumat yang telah dikenalpasti ke dalam buku catatan.  Baca sekali lagi maklumat yang telah dicatat dalam buku catatan tersebut.  Selepas itu, tidur!

Wah, hebat sekali langkah terakhir itu iaitu tidur!

Tetapi, itu bukanlah langkah terakhir, langkah terakhir ialah, apabila bangun kembali dari tidur tadi, cuba ingat dan sebut kembali maklumat yang sudah kita kenalpasti sebelum kita TIDUR tadi.

Ajaibnya, apabila KM laksanakan cadangan tuan guru KM ini, bukan sahaja KM dapat ingat maklumat itu selepas dari bangun tidur tersebut, malah maklumat itu dapat KM sebut kembali sampai ke saat ini…!

Kenapa hal ini berlaku?  Kerana, semasa kita tidur, kita kembali menenangkan minda kita dan jiwa kita.  Ini akan menyebabkan maklumat baru diproses untuk diletakkan di bahagian hadapan kotak memori dan maklumat yang tidak penting akan dibawa ke bahagian belakang.  Maklumat yang tidak penting ini bukanlah hilang begitu sahaja, ingatlah bahawa setiap memori yang tersimpan dalam kotak memori manusia tidak akan terpadam selamanya.  Mungkin ia berada terlalu jauh ke belakang hingga sukar untuk kita ingat kembali.  Jika ‘dipaksa’ dan diminta untuk kembali, maka ingatan itu akan datang semula.

Tidur bukan suatu yang sia-sia.  Tidur yang berkualiti akan memberi kekuatan baru kepada diri dan kepada minda.  Orang yang dapat tidur dengan berkualiti akan memiliki minda yang lebih hebat dan mampu menguasai dunia….

Jumaat, 22 Mac 2013

Pinjamkan sedikit….

Salam kedamaian daripada KM buat semua…

Sebut pasal pinjam meminjam ni, kadang kala ada yang tidak suka.  Rasa tidak suka ini hadir kerana ada yang memberi pinjam tetapi tidak pernah dapat semula apa yang diberi pinjam.  Kalau sedikit tak apalah, tapi kalau yang diberi pinjam itu barang berharga, tentu rasa sayang dan rugi sebab lesap begitu saja.

Tapi, ‘pinjam’ yang KM nak kongsikan dalam catatan hari ini bukan pinjam barang, tetapi sebaliknya pinjam SEMANGAT.  Ya, pinjam semangat daripada orang lain.

Mungkin kita semua pernah dengar perkataan ‘memberi semangat’.  Kata-kata ini sebenarnya meminjamkan semangat daripada seseorang kepada seseorang lain yang rasa kehilangan.  Inilah yang KM maksudkan dengan pinjam semangat.  Tetapi, biasanya ‘memberi semangat’ hanya diberikan oleh orang lain kepada kita (apabila diperlukan).  Tetapi hari ini, cuba jangan tunggu orang ‘memberi semangat’ itu, sebaliknya kita terus pinta dan pinjam semangat itu daripadanya.

Aku rasa sedih, boleh pinjamkan semangat kau?

Aku rasa marah, boleh pinjamkan kesabaran kau?

Aku rasa kecewa, boleh pinjamkan kedamaian kau?

Aku rasa sunyi, boleh pinjamkan keriangan kau?

Pernah tak anda lakukan ini?  Mungkin ada yang pernah dan ada yang akan rasa sinis dengan apa yang KM utarakan ini.  Tetapi sebenarnya, ia boleh berlaku dan dapat memberi semangat baru kepada kita.

Sepasang suami isteri harus saling berkongsi semangat.  Andai si suami berada dalam keadaan tegang, si isteri boleh memberikan semangatnya kepada suami, dan keadaan pasti akan menjadi tenang semula. 

Begitu juga jika dalam persahabatan.  Sahabat yang baik adalah pemberi pinjaman semangat yang baik kepada sahabatnya. 

Cubalah fikirkan….

Rabu, 13 Mac 2013

Kita Mahukannya….

Salam kedamaian buat semua.

Ketika KM menulis ni, KM baru sahaja balik dari dua program besar yang dianjurkan oleh jabatan.  Program pertama melibatkan murid-murid di Terengganu, dan program kedua melibatkan pegawai-pegawai atasan di pejabat pelajaran daerah.

Kesibukan dan kekangan masa menyebabkan KM tidak sempat langsung untuk menulis di sini.

Hari ini KM hendak berbicara tentang kemahuan.  Sebut tentang mahu, kita pasti rasa teruja.  Terutama apabila apa yang kita mahu itu memberi ‘nikmat’ tersendiri kepada diri kita.  Namun, sejauh mana kita ‘mahu’kannya, hanya kita sahaja yang tahu (ALLAH jua).

Katakanlah kita menyatakan kita mahukan kejayaan, sejauh mana kita mahukannya?  Andai kita mahukan kejayaan itu dengan sesungguh hati, maka pasti kita akan melakukan apa yang akan menyebabkan kejayaan itu tercipta dengan bersungguh-sungguh.  Tidak ada orang yang mahu berjaya namun hanya menggoyangkan kaki sahaja sepanjang hari.  Itu bukan apa yang kita mahu, itu adalah apa yang kita angankan.

Nampak tak beza antara apa yang kita mahu dengan apa yang kita angankan?

Semasa terlibat dengan program baru-baru ni, KM nampak situasi itu berlaku.  Program yang KM terlibat itu adalah program untuk pemilihan pasukan / kontinjen Terengganu ke peringkat kebangsaan.  Apabila ditanya kepada peserta, siapa yang mahu mewakili negeri ke peringkat kebangsaan?  Ramai yang menyatakan kemahuan mereka.  Namun, apabila diuji, digasak, dan di’paksa’ mereka melakukan penilaian yang diberi, ada yang menyerah kalah dengan mudah.

Dari situ kita boleh lihat, sama ada mereka benar-benar mahu atau tidak untuk menempatkan nama mereka dalam 18 terbaik dalam negeri Terengganu, untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

Sabtu, 9 Mac 2013

Arahan yang betul…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua….

Minda separa sedar perlukan arahan untuk bertindak.  Maka kita perlu memberikan arahan kepadanya, untuk minda melakukan tugasannya.  Tetapi harus diingat, arahan yang betul akan menghasilkan kesan yang baik dan positif, dan begitu juga sebaliknya.

Arahan itu datangnya daripada apa yang kita fikirkan.  Jika kita berfikiran baik, positif, matang, dan menuju ke arah perkara yang mulia, maka sebenarnya kita telah memberi arahan kepada minda.  Minda separa sedar akan menerima arahan tersebut dan melaksanakan tugasannya selaras dengan apa yang kita fikirkan.

Contoh kepada pelajar, jika kita fikirkan kesulitan, kesusahan, kebosanan, dan sebagainya dalam sesuatu mata pelajaran; maka adakah anda rasa yang anda akan berjaya cemerlang dalam mata pelajaran tersebut?  Pasti sahaja jawapannya tidak.  Kerana, anda telah mengarahkan kepada minda bahawa mata pelajaran itu sukar untuk dikuasai.  Maka, minda akan menerimanya sebagai suatu yang susah untuk dicapai.  Minda akan bertindak balas untuk menutup semua laluan maklumat untuk dikuasai dalam mata pelajaran tersebut, hasilnya kita akan gagal.

Contoh yang berlaku kepada diri KM sendiri, baru-baru ini ada sambutan besar yang KM perlu selaraskannya.  Ramai yang membangkang untuk melaksanakan sambutan itu kerana kerja-kerja yang perlu dilakukan nampak sukar dan membazir sahaja (pada pandangan mereka).  Namun, KM cuba pujuk dan minta mereka fokuskan kepada bidang tugasan masing-masing untuk melakukan sambutan ini.

KM cuba bawa rakan-rakan KM untuk mengarahkan minda mereka masing-masing menyatakan bahawa kita mampu untuk melakukannya.  Dan alhamdulillah, segala kesulitan seperti dipermudahkan.  Program dapat dilaksanakan dengan jaya dan cemerlang.

Berbicara tentang kesulitan, memang ia ada di mana-mana.  Namun, bagaimana cara untuk kita menghadapinya adalah berbeza.  Ada yang menyerah kalah begitu sahaja.  Jika ini berlaku, sebenarnya kita hanya mengarahkan minda untuk berhenti berfikir.  Sebaliknya, jika kita katakan kesulitan itu adalah perkara yang hadir untuk menguatkan kita, maka pasti ada jalan penyelesaian yang hadir secara ‘tidak sengaja’ untuk menyelesaikannya.

Kenapa kelihatan ia hadir secara tidak sengaja?  Kerana minda separa sedar menerima arahan daripada cara kita berfikir.  Berfikiran positif dan kuat untuk menjayakan sesuatu itu akan mengarahkan minda separa sedar untuk menyelesaikan masalah yang ada.

Awasi cara pemikiran kita.

Sentiasalah tenang dan berfikiran terbuka, pasti kita akan berjaya mengarahkan minda separa sedar kita melakukan tugasnya dengan lebih baik