Sabtu, 31 Disember 2011

Matlamat Kehidupan…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.  KM mendoakan kita semua sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat daripadaNya.

Beberapa ketika sejak kebelakangan ini, KM jarang berada di sini, di dunia penulisan blog…  Ini adalah kerana KM telah pergi ke suatu tempat untuk menenangkan jiwa dan ‘bertapa’ buat beberapa ketika.  Banyak kenangan dan pengalaman baru yang KM dapat.  Semuanya kerana KM telah memperuntukkan masa untuk berfikir dan berfikir, tentang kehidupan ini.

Setiap daripada kita mahukan kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan.  Semua ini KM rangkumkan dan namakan ia sebagai matlamat hidup.  Tambahan, esok adalah hari pertama bagi tahun 2012.  Biasanya apabila menjelang tahun baru, kita disogokkan dengan pertanyaan tentang azam tahun baru.  Azam adalah salah satu bentuk matlamat kehidupan.  Tetapi, adakah azam yang sentiasa bermain di bibir kita setiap awal tahun itu memberi kesan dalam kehidupan kita?

Pada pandangan KM, azam atau matlamat kehidupan bukanlah terletak pada tahun baru sahaja.  Ia harus sentiasa ada dalam diri.  Barulah hidup kita sentiasa ada matlamat dan bukan hanya sekadar di tahun baru.  Matlamat yang perlu ada dalam diri adalah untuk menambahbaikkan kehidupan ini.  Jika matlamat atau azam itu sama saja seperti tahun-tahun yang lalu, itu menunjukkan kita tidak berubah, atau masih berada di takuk lama.  Sewajarnya matlamat kehidupan yang dibentuk harus menjurus kepada perubahan yang baik dan lebih baik dari sebelumnya.

Untuk menunjukkan adanya matlamat kehidupan, kita perlu banyak berfikir.  Berfikirlah apa sahaja, sama ada tentang usaha untuk berubah, atau fikirkan tentang nikmat-nikmat yang kita perolehi selama ini.  Alangkah banyaknya perkara yang dapat kita jadikan untuk berfikir.  Apabila kita berfikir, maka kita telah secara tidak langsungnya meningkatkan keupayaan minda.  Itulah perkara yang menjadi senjata utama untuk memastikan matlamat dalam kehidupan kita dapat dijana dengan lebih baik dan berkesan.

Hari ini, cuba kita fikirkan, apakah matlamat dalam kehidupan kita.  Fikirkan tentang apa yang kita akan jadi 5 tahun atau 10 tahun dari sekarang.  Fikirkan apakah perubahan diri yang boleh kita laksanakan untuk diri kita jadi lebih baik dari sekarang.  Ini bukan azam, ini adalah cara untuk kita menilai diri dulu sebelum kita menetapkan matlamat dalam kehidupan ini….

Selasa, 20 Disember 2011

Berjayakah Aku…?

Salam kasih sayang daripada KM kepada semua…

Tak lama lagi, keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan diumumkan.  Ramai antara pelajar-pelajar dan kenalan semasa KM melaksanakan aktiviti luar mula memberi komen tentang perasaan masing-masing.  Memang KM akui, semua berada dalam keadaan berdebar-debar dan takut, kerana memikirkan apakahh keputusan peperiksaan yang akan diterima.

Rasa takut dan berdebar-debar ini adalah perkara biasa.  Jika kita tidak merasa takut dan berdebar-debar, maka itu tandanya kita ada masalah dalam jiwa kita dan kita ada masalah dengan pelajaran kita.  Tapi, jika kita ada rasa takut untuk menanti dan menerima keputusan peperiksaan, itu adalah perkara biasa.  Semua orang merasa takut kerana tidak pasti sama ada kita berjaya mencapai apa yang kita target atau sebaliknya.  Namun, perasaan takut itu jangan sampai memberi kesan kepada jiwa dan emosi.  Hal ini akan menjadikan situasi lebih sukar jika jiwa dan emosi tidak dapat kita tenangkan.

Cadangan KM kepada semua pelajar dan kenalan, teruskan bertenang.  Apabila kita berada dalam keadaan tenang, pemikiran kita akan tenang dan menghantar gelombang otak yang damai ke alam semesta.  Ini akan menarik lebih banyak getaran ketenangan dan menguasai diri kita.

Perkara yang kedua; fikirkanlah yang baik-baik.  Gambarkan perkara yang baik akan berlaku semasa keputusan peperiksaan itu.  Gambarkan kejayaan dan perasaan yang sangat gembira menyelubungi diri anda.  Pasti ini akan menjadikan anda lebih tenang dan bersedia menerima keputusan tersebut.

Perkara ketiga; terima keputusan dengan hati yang terbuka.  Jika kejayaan cemerlang yang menjadi milik kita, maka penuhkan rasa kesyukuran dalam diri.  Limpah dan keluarkan semua perasaan gembira itu bersama keluarga dan rakan-rakan.  Perasaan gembira dalam kejayaan ini akan menjadikan anda lebih bersedia dan berani untuk menghadapi peperiksaan yang akan datang.  Namun jika anda kurang berjaya mencapai target anda, jangan terlalu bersedih.  Anda telah pun berusaha sedaya mungkin, namun jika tidak berjaya ini menunjukkan anda perlu tambahkan lagi usaha itu pada masa akan datang.  Tidak berjaya bukanlah gagal.  Orang yang menjadi kaya-raya pada masa sekarang ni bukanlah orang yang sentiasa berjaya sejak kecil.  Ada antara mereka yang pernah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkali-kali sebelum berjaya menjejakkan kaki ke universiti.  Jadi, jika kita kurang berjaya dalam PMR, bukan bermakna kita gagal dalam hidup ini.  Teruskan usaha dan kekalkan impian itu, kerana kejayaan itu pasti milik anda….

Jumaat, 16 Disember 2011

Puas Dalam Melaksanakan Tugasan…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

Pagi tadi, KM ada mengikuti program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di TV1.  Sebenarnya KM jarang tonton SPM.  Televisyen di rumah KM pun kekadang tu macam perhiasan je, tak sempat pun nak mengadap tv sepanjang masa.  Kebetulan semasa menonton SPM tu, ada seorang tetamu yang KM kenali; ustaz Mohd Fazli Abdul Manaf.  Sahabat KM ni sama-sama belajar semasa di maktab di Sungai Petani dulu.  Memang ketokohannya sangat terserlah.  Tak sangka pula dia sekarang ni dah jadi salah seorang motivator jemputan di SPM.

KM tertarik dengan perbincangan dalam segmen tu, iaitu Asal Ada Cukuplah…

Memang sudah menjadi tabiat kita, mudah sangat berpuas hati dengan apa yang ada.  Atau berpuas hati dengan pencapaian yang sekadarnya sahaja.  Memang kita tidak boleh tamak, memang kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.  Namun, sebenarnya kita mampu untuk mendapat lebih daripada itu.  Kenapa mesti kita merasa hanya cukup-cukup sahaja?  Bukankah lebih elok jika sesuatu kejayaan itu kita perolehi dengan kadar yang maksimum?

KM suka dengan perbincangan bersama dengan ustaz Fazli tu.  Katanya, kita perlu ada rasa kepuasan dalam setiap apa yang kita lakukan.  Jika kita buat sesuatu itu dengan harapan cukup-cukup saja, adakah kita merasa puas?  Jika kita tidak berpuas hati, adakah orang lain juga puas hati dengan apa yang kita lakukan?

Ambil contoh seorang pekerja yang bekerja di sebuah kilang membuat roti.  Tugasnya adalah mengadun adunan roti tersebut.  Jika dia melakukan sekadar biasa-biasa sahaja, kerana beranggapan jika dia melakukan dengan bersungguh-sungguh sekalipun, gajinya tetap sama…  Adakah ada rasa kepuasan dalam dirinya semasa melaksanakan kerjanya itu?  Adakah majikannya juga akan merasa berpuas hati dengan hasilan adunan yang dibuat biasa-biasa sahaja itu?  Rasanya tentu sahaja dia dan majikannya itu tidak berpuas hati.

Kepuasan diri akan menyebabkan kita merasa sangat seronok semasa melakukan sesuatu.  Walaupun tahap ganjaran yang kita terima sama saja, jika kita melakukan sesuatu itu secara bersungguh-sungguh atau tidak, namun kepuasan itulah sebenarnya ganjaran untuk diri kita.  Melalui kepuasan itu akan lahir apa yang dinamakan pengalaman hidup.  Pengalaman ini akan menjadikan diri kita lebih berharga dan akan berjaya dengan lebih cemerlang pada masa akan datang.

KM selalu melaksanakan tugas di luar.  Sebagai jurulatih aktiviti pendidikan luar, memang KM merasa sangat letih dan penat.  Kekadang, KM sendiri mengalami kemalangan kecil semasa aktiviti tersebut, atau badan terasa sakit-sakit bila pulang dari tugasan.  Namun, semua itu rasa sangat seronok bagi KM kerana KM puas dengan apa yang KM lakukan.  Minat dan semangat yang tinggi menyebabkan KM tidak langsung merasa bosan jika diarahkan untuk melaksanakan tugasan di luar.

Khamis, 15 Disember 2011

Mental Block; Perlukah Ada Dalam Diri…?

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.

padel

Gambar daripada internet

Berbicara tentang mental block pada catatan yang lalu, KM ingin menerangkan serba sedikit tentangnya dengan lebih lanjut lagi.

Apa yang dimaksudkan dengan mental block?  Apakah puncanya?  Adakah cara untuk mengatasinya?

Mental block adalah sekatan dalam minda manusia.  Apa yang kita mahukan, disekat dalam minda menyebabkan apa yang pada asalnya kita mahukan dalam kehidupan itu diubah menjadi tidak mahukannya lagi.  Contohnya jika kita inginkan sebuah kereta jenis Honda, tapi dalam masa yang sama ada rasa ragu-ragu; sama ada kita mampu untuk memilikinya atau tidak, sama ada kereta itu sesuai atau tidak dengan kita.  Perasaan ragu-ragu inilah yang akhirnya menyebabkan adanya sekatan (block) dalam minda kita untuk kita memiliki kereta tersebut.  Keadaan inilah yang dinamakan mental block.

Sekatan minda ini adalah berpunca daripada perasaan dan emosi yang tidak selari dengan apa yang kita inginkan.  Perasaan dan emosi ini menjadi pengganggu dan akhirnya menyekat keinginan untuk terus melakukan dan mendapatkan sesuatu itu.  Dalam hal ini jelas kepada kita bahawa apa yang kita mahukan harus selari dengan emosi, dan apa yang emosi mahukan harus selari dengan apa yang diinginkan.

Pernahkan anda merasa hendak pergi melancong, tetapi dalam masa yang sama merasa sedih?  Biasanya, emosi kita akan merasa gembira kerana akan melancong ke sesebuah destinasi.  Namun, jika ada yang tidak selari dengan emosi, itu menunjukkan minda kita sarat dengan sekatan.  Ibarat; kita membawa sebuah kereta dan ingin melajukan kenderaan itu, pasti sahaja kita akan menekan padel minyak bagi menambahkan kelajuan, tetapi dalam masa yang sama kita menekan brek dengan kuat.  Adakah kenderaan itu akan bergerak makin laju ke hadapan?  Pasti sahaja tidak, bukan..?!  Malah, bukan sahaja kenderaan tidak dapat digerakkan dengan baik, malah akan menambahkan bunyi bingit bising kenderaan.  Lebih parah lagi jika menyebabkan kenderaan itu rosak.

Samalah juga keadaannya dengan mental block.  Jika kita inginkan sesuatu, maka lakukan sesuatu untuk mendapatkannya, bukan dengan menyekat minda dan diri kita untuk merealisasikan apa yang kita mahukan itu.

Sama-sama kita fikirkan…

Rabu, 14 Disember 2011

Impian dan Lampu Ajaib…

Salam hormat daripada KM.

lampu ajaib

Gambar daripada internet

Jika KM tanya, apa yang anda mahukan dalam hidup?  Adakah anda dapat menyatakan setiap impian itu dengan jawapan yang sangat jelas dan tepat?  Ada antara kita yang kadang kala tidak pasti apa sebenarnya yang kita mahukan dalam kehidupan ini.  Hal ini terjadi kerana kita membataskan kemampuan itu kerana beberapa sebab.

Andai kata KM berikan (kononnya) sebuah lampu ajaib seperti dalam cerita Aladdin dengan Lampu Ajaib, dan anda diberikan tiga pilihan untuk merealisasikannya, pasti kita akan menyenaraikan setiap impian itu dengan jelas dan nyata.  Kerana pada ketika itu, kita akan merasakan impian itu pasti akan berjaya (seperti dalam cerita itu kononnya).  Ini adalah kerana kita sangat menyakini seolah-olah lampu ajaib itu benar-benar akan menghasilkan apa yang kita mahukan.  Mungkin pada ketika itu kita akan meminta emas permata sebanyak 1 gudang, sebuah mahligai indah di pinggir bukit dengan pemandangan yang cantik, dan sebuah kereta moden paling canggih…  Semua itu mungkin hadir dalam permintaan kita kerana kita sangat yakin dengan keajaiban lampu ajaib itu.

Setiap daripada kita sentiasa mengimpikan sesuatu.  Sejak kecil, kita sering memasang angan-angan untuk memiliki itu dan ini dalam kehidupan ini.  Namun, apabila besar dan dewasa, adakah semua impian itu tertunai?  Rasanya mungkin hanya 10% sahaja yang tertunai.  Kenapa hal ini terjadi?  Kerana dalam minda kita sentiasa membataskan hal itu daripada tertunai.  Setiap kali akan muncul dalam pemikiran kita; ‘boleh ke?’  ‘mana mungkin…’ atau ‘alah, tak payah berangan le…’  Pemikiran seperti inilah yang akhirnya membantutkan apa sahaja impian itu yang pada dasarnya boleh dan mampu untuk kita capai.

Hal ini dinamakan mental block atau sekatan minda.  Dalam diri kita sendiri telah ada satu bentuk pemusnahan minda terhadap apa yang kita mahukan.  Keadaan ini akan menyebabkan minda kita berhenti untuk memilikinya dan berhenti untuk berusaha memilikinya.  Jika kita terus memikirkan perkara tersebut, dan berusaha untuk mencapainya (kerana yakin boleh memilikinya) maka tidak mustahil apa sahaja yang kita impikan itu akan berhasil.

Isnin, 5 Disember 2011

Takut Kepada Diri Sendiri…

Salam kedamaian buat semua…

Anda penakut?  Atau pernah rasa takut kepada sesuatu?

Perasaan takut adalah salah satu perasaan yang wujud dalam diri manusia.  Perasaan ini adalah normal dan tidak salah.  Malah, kita perlu ada rasa takut dalam diri kita.  Andai kita tidak punyai rasa takut, pasti banyak perkara bahaya dan akan menyusahkan diri, akan kita lakukan tanpa rasa takut.  Contohnya, berlari-lari di tengah jalan raya yang sibuk dengan kenderaan yang bergerak pantas.  Oleh kerana adanya rasa takut, maka kita tidak akan melakukan perkara seperti itu.

Pun begitu, perasaan takut jangan dibiarkan sentiasa menguasai diri.  Ini akan menyebabkan rasa takut itu berkembang dan menjadi ‘raja’ dalam perasaan diri kita.  Keadaan ini akan menimbulkan suatu situasi lain iaitu diri kita akan berubah menjadi seorang yang penakut.  Penakut bererti kita terlalu takut kepada sesuatu yang tidak sepatutnya kita takut. 

Bagaimana kita boleh mengubah rasa takut?  Caranya adalah dengan menghadapi dan melalui perasaan takut itu sendiri.  Jika kita takutkan kegelapan, maka kita perlu paksa diri untuk berada dalam kegelapan dengan tenang buat beberapa ketika.  Semasa berada dalam kegelapan itu, cuba bertenang dan pastikan diri tidak terlalu takut dan cemas.  Apabila hal ini berjaya dikawal oleh diri, maka ini bermakna kita telah berjaya mula mengawal rasa takut itu.  Sedikit demi sedikit, rasa takut itu akan mula hilang.

Kenapa, dan bagaimana hal ini terjadi (berubah dari rasa takut kepada berani)?  Hal ini berlaku kerana minda mula diprogramkan semula.  Andai dahulunya kita takutkan kegelapan dengan pelbagai andaian seperti hantu, momok, dan sebagainya, sekarang apabila kita berjaya duduk dalam kegelapan dengan SELAMAT, maka ada satu rasa tenteram dalam diri.  Ini akan memprogramkan semula minda kita bahawa gelap tidak bahaya, tiada hantu, dan tiada momok yang dapat memberi mudarat kepada kita.  Keadaan ini menyebabkan rasa takut itu semakin hilang dan jika tambah berjaya apabila takut mula ditukar kepada berani.

Ahad, 4 Disember 2011

Persahabatan…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua….

Baru-baru ni, KM melaksanakan tugas di Taman Negara Bewah, Tasik Kenyir.  Banyak kenangan manis di sana…

Satu perkara yang menjadi ingatan KM adalah tentang persahabatan.  Semasa melaksanakan tugas di sana, KM dapat lihat bagaimana bentuk persahabatan terbina di kalangan pelajar-pelajar yang menyertai program tersebut.  Pada mulanya, peserta yang dikumpulkan daripada sekolah-sekolah di seluruh Terengganu, nampaknya agak janggal dan malu-malu.  Namun, apabila mula melaksanakan aktiviti, mereka semakin rapat dan akrab.  Malah persahabatan yang terbina menjadi makin kukuh apabila mereka mula dicabarkan dengan aktiviti lasak seperti aktiviti merentasi tasik, meneroka ke Gua Taat, dan kembara hutan.

Hingga ke hari terakhir, mereka masih menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi.  Dan KM dapat melihat dengan jelas bagaimana persahabatan itu dikukuhkan hingga makanan yang terbatas sanggup dikongsikan sama-sama sedikit antara mereka.

Bagaimana persahabatan terbina?  Persahabatan mula terbina apabila hati kita mahukan jalinan rasa antara satu sama lain.  Jika kita tidak merasakan saling memerlukan antara satu sama lain, maka persahabatan tidak akan terjalin dan tidak akan menjadi kukuh.  Melalui rasa saling memerlukan ini, kita akan sanggup untuk melakukan setiap sesuatu secara bersama-sama.  Pendek kata, yang susah sama-sama susah, dan senang sama-sama senang.

Hati akan merasakan jalinan itu apabila kita mula menunjukkan rasa jalinan.  Jika kita memencilkan diri, dan merasakan kita mampu untuk hidup sendiri, maka mana  mungkin perasaan saling memerlukan itu akan wujud.

Ahad, 27 November 2011

Kata Pepatah…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua….

Semasa bertugas di Jambori ASEAN baru-baru ni, KM berkesempatan untuk merayap ke beberapa khemah kontinjen luar negara.  Ada yang menarik perhatian KM semasa meninjau ke kawasan perkhemahan itu.  Ada kata-kata pepatah yang menarik perhatian KM semasa berada di kawasan perkhemahan dari Indonesia.

“Lambat dihambat, malas ditindas, berhenti….MATI!”

Kata-kata pepatah seperti ini bila dibaca begitu sahaja memang tidak menjadi apa-apa makna.  Ia hanya sekadar menjadi halwa telinga penyedap pendengaran sahaja.  Namun, jika difikirkan secara mendalam, ia akan memberi kesan yang sangat bermakna.  Pertama, ia memberi satu semangat buat orang yang melihatnya.  Kedua, ia melambangkan apa yang difikirkan dalam sesuatu bangsa atau masyarakat.

Kata-kata pepatah seperti ini memang memberi kesan yang sangat mendalam dalam diri KM.  Apabila KM fikir-fikirkan kembali, ia memberi rangsangan untuk KM terus bergerak.  KM tak mahu menjadi orang yang lambat hingga terpaksa dihambat atau diarahkan untuk melakukan apa yang perlu dan sepatutnya KM lakukan…  KM tak mahu menjadi malas hingga akhirnya KM akan ditindas oleh orang yang lebih rajin dan berjaya.  KM juga tidak mahu berhenti untuk berusaha dan melakukan sesuatu yang baik kerana ia melambangkan MATInya usaha KM.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Baru sahaja menerima satu lagi surat arahan untuk bertugas, bermula eaok.  Kali ini KM akan berada selama 5 hari di Tasik Kenyir, melaksanakan program pendidikan luar yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran… Nampaknya KM memang terpaksa menyimpan dahulu semua catatan KM yang dah bertimbun untuk diterbitkan di sini….

Jumaat, 25 November 2011

Iman dan Amalan…

Salam kemakmuran daripada KM

Bertemu kita dalam SRJ…

Iman adalah nilai dalam diri kita iaitu tentang kepercayaan dan keyakinan kepada Pencipta kita.  Hanya DIA yang layak disembah dan dipatuhi segala arahan dan dijauhi segala laranganNya.

Bagaimana untuk menentukan keimanan kita semakin bertambah atau berkurang?  Caranya mudah…  Melalui penilaian terhadap setiap amalan kita, di situlah terpancar nilai dan tahap keimanan kita kepadaNya.  Maksudnya, jika kita semakin kuat beramal dengan amalan yang baik seperti solat, puasa, berzikir, bersedekah, dan sebagainya, maka menunjukkan keimanan kita semakin meningkat.  Andai amalan itu hanya dilakukan biasa-biasa sahaja, dan hanya sekadar melakukan kerana ia perlu dilakukan, maka keimanan kita hanya berada di tahap biasa-biasa juga.  Apatah lagi jika amalan wajib tidak dilakukan, pasti menggambarkan kerosakan dalam iman kita.

Sama-sama kita renungkan di hari yang mulia ini….

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Catatan ini KM lakukan sejurus KM balik dari bertugas di Jambori Pengakap ASEAN

Selasa, 15 November 2011

Mampu Kawal Perasaan..?

Salam kedamaian…

Apa yang anda faham berkenaan perasaan?  Perasaan adalah unsur dalaman yang ada pada setiap manusia normal.  Perasaan ini ada kaitan dengan hati, cara pemikiran, dan emosi.  Jika kita ada hati yang damai, cara berfikir yang rasional, dan emosi yang stabil, maka kita akan mempunyai perasaan yang baik tentang sesuatu perkara.

Kawan KM kata, perasaan ini hanya berkaitan dengan cinta.  KM pula kata, perasaan lebih dari cinta.  Cinta itu hanya sekadar sebahagian daripada perasaan-perasaan yang ada dalam diri manusia.  Contohnya, jika kita merasa kasihan kepada seorang lelaki buta yang hendak melintas jalan, maka itu tandanya kita mempunyai perasaan yang baik.  Bukankah ini menunjukkan kita ada hati yang baik, emosi yang sesuai dengan keadaan yang memerhatikan lelaki buta itu yang dalam kesusahan, dan pemikiran yang rasional; dapat memahami kesusahan lelaki buta itu.  Keadaan ini menunjukkan yang kita ada perasaan yang baik.  Maka yang lebih baik adalah, ketika itu kita menghulurkan bantuan kepada lelaki buta itu dengan membantunya memimpin untuk ke seberang jalan.

Tidak dinafikan, ada masanya perasaan kita akan terganggu dengan masalah dan cabaran yang kita hadapi.  Perasaan pada ketika itu pasti sahaja tidak tenang dan bercelaru.  Persoalannya, mampukah kita mengawal perasaan itu agar tidak terbawa-bawa dan memberi masalah yang lebih besar kepada diri?

Jawapan yang pasti adalah, kita semua mampu untuk mengawal perasaan itu.  Syaratnya adalah, kita harus menguatkan semangat untuk mengawal perasaan itu.

Perasaan negatif seperti sedih kerana putus cinta (contoh) merupakan keadaan yang sangat perit untuk kita hadapi.  Namun, kita perlu untuk mengawalnya agar masalah percintaan itu tidak menimbulkan masalah lain yang lebih besar.

Cara yang paling mudah untuk mengawal perasaan negatif seperti ini adalah dengan mengubah cara pemikiran kita.  Jika kita memikirkan tentang si dia yang meninggalkan kita dan masalah percintaan yang memeritkan itu, memanglah perasaan kita akan berada dalam zon negatif.  Cuba ubah pemikiran kita.  Jangan fikirkan si dia dan percintaan itu.  Cuba fikirkan perkara lain yang lebih menyenangkan.  Contohnya fikirkan tentang kejayaan yang pernah dan bakal kita tempuhi.  Pada ketika inilah perlunya kita menyimpan apa sahaja perkara atau barangan yang ada kaitan dengan percintaan kita itu.  Ketika ini juga kita keluarkan barangan lain yang tidak ada kaitan dengan si dia.  Contohnya pada ketika ini keluarkan gambar kenangan semasa konvokesyen, atau apa sahaja kenangan indah.  Perhatikan dan rasai keindahan suasana pada ketika gambar itu diambil.  Cuba penuhkan rasa keseronokan dalam hati sebanyak yang mungkin.  Hal ini akan menyebabkan kita mula keluar daripada zon perasaan negatif tadi.

Apabila kita telah berjaya keluar dari zon negatif tadi, maka sedikit demi sedikit kita akan mula merasa tenang.  Ketenangan ini penting untuk membolehkan kita kembali berfikiran secara rasional.

Sabtu, 12 November 2011

Semangat Keris

Salam kedamaian…

keris

Sudah beberapa kali Kampung Kecubung Atas diserang gerombolan lanun dari Selat Selatan.  Penduduk kampung sentiasa berada dalam kegelisahan dan keresahan.  Manakan tidak, harta benda mereka sentiasa dirampas dan paling menyedihkan anak-anak gadis dilarikan dan hilang tanpa khabar berita.  Kegetiran ini membuatkan ketua Kampung Kecubung Atas mula membuat persiapan seadanya untuk mempertahankan keselamatan dan maruah mereka.  Anak-anak muda dikerah untuk belajar dan berlatih seni mempertahankan diri; silat.  Guru utama yang dahulunya dipinggirkan, kita menjadi orang paling disanjung dan dihormati.

Setiap malam Jumaat, mereka akan memperasap dan menjampi keris masing-masing secara beramai-ramai.  Semangat keris terus dipuja dan disebatikan dalam diri.  Jiwa mereka seolah-olah bersatu dan bangun bersama keris.  Bagi mereka, keris inilah yang menjadi pembakar semangat dan kekuatan untuk menentang apa sahaja kekuatan yang datang mencabar mereka.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Petikan di atas adalah gambaran bagaimana masyarakat Melayu dahulu sentiasa menjadikan keris sebagai barangan peribadi yang penting.  Ia menjadi sebahagian daripada diri dalam kehidupan.  Biasanya mereka yang sudah meningkat dewasa akan mula mempelajari seni mempertahankan diri dan mula menjadikan keris sebagai teman.  Pada ketika itu, yang kuat itu raja dan yang lemah itu hamba.  Oleh itu, silat dan keris memainkan peranan untuk menjadi pertahanan kepada diri mereka.

Bagaimana sebenarnya keris boleh menjadi pembakar semangat?  Adakah kerana sifat keris itu sendiri yang boleh menjadi senjata, atau ada unsur mistik lain yang dipuja kepada keris tersebut?

Suatu masa dahulu, ketika KM masih kecil, segar diingatan ini bagaimana melihat keris dimandi, diperasap, dan dipuja.  Amalan orang dulu-dulu yang penuh dengan unsur mistik dan mencampurkan amalan yang tidak pasti itu membuatkan KM sentiasa berfikir, apa yang sebenarnya berada dalam semangat keris tersebut?

Memang KM akui, ada unsur lain yang berada dalam keris yang dipuja.  Namun, pada hakikatnya, tidak semua keris yang dikatakan bersemangat itu ada unsur mistik itu.  Ada keris yang hanya sekadar keris, namun masih mampu untuk menjadi semangat kepada si pemakai. 

Andainya kita berada dalam situasi cerita di atas, dan kita dibekalkan dengan keris oleh tuan guru silat yang disanjung tinggi di kampung itu, apakah yang kita rasa?  Pasti ada satu perasaan bersemangat yang mengalir keluar dari dalam diri.  Ini adalah kerana kita merasa yakin bahawa keris itu mampu untuk meningkatkan semangat kita dan keadaan ini menyebabkan kita menjadi semakin berani.  Sebenarnya, semangat itu timbul dari dalam diri kita sendiri.  Apabila kita memegang keris yang dihadiahkan, diri kita sendiri membina satu semangat yang kononnya datang daripada keris tersebut.  Semangat inilah sebenarnya yang timbul dan menjadikan kita lebih hebat dan berani.  Apa lagi jika pada ketika saat-saat yang genting untuk mempertahankan diri, keluarga, dan maruah.

Sebenarnya, semangat datang daripada dalam diri kita sendiri.  Kita mampu untuk mencipta dan mengeluarkan semangat tersebut, jika kita mahu….

Jumaat, 11 November 2011

Balik Bertugas….

Salam kedamaian….

DSC_0437Gambar diambil semasa melakukan tinjauan awal sebelum acara Menawan Puncak dilaksanakan kepada peserta kem 

Catatan ini KM lakukan setelah pulang dari bertugas di Kem Latihan Cheneh Cemerlang.  Aktiviti latihan pendidikan luar kali ini memang agak memenatkan kerana kami kekurangan tenaga jurulatih.  Jadi jurulatih yang ada terpaksa melaksanakan beberapa tugasan dalam masa yang padat.  Lebih memenatkan kerana aktiviti lasak memenuhi hampir semua slot yang ada.  Kumpulan sasaran dalam latihan ini adalah pelajar lepasan PMR daerah Kemaman yang dikumpulkan daripada semua sekolah.  Dengan bilangan peserta yang ramai dan jurulatih yang kurang, menyebabkan barisan jurulatih terpaksa memerah sepenuh tenaga untuk memastikan keselamatan dan perjalanan aktiviti berjalan lancar.  Syukur alhamdulillah, semuanya selamat dan berjaya melaksanakan aktiviti.

Cuma ada satu kejadian yang mungkin akan menjadi pengajaran kepada KM selepas ini…Pada ketika itu, KM menjadi ketua projek untuk aktiviti larian lasak berhalangan.  Ada satu kawasan halangan yang dinamakan swinging over dich, iaitu peserta perlu berayun dengan tali melepasi halangan berair.  Kalau nak gambarkan, macam tarzan bergayut antara pokok tu, tapi hanya untuk melepasi kawasan berair.

Memang sebagai jurulatih, kami diajar dan dilatih untuk memastikan keselamatan adalah yang paling utama.  Tetapi kerana kelekaan yang sedikit sahaja, KM telah terlepas pandang pada satu keadaan.  Ada seorang peserta perempuan yang melakukan halangan ini telah terjatuh kembali ke dalam air dan menyebabkan kecederaan.  Pada asalnya dia telah pun berjaya mencecahkan kaki ke tebing.  Oleh kerana KM tidak mengarahkan pembantu jurulatih yang ada untuk menyambutnya semasa dia sampai ke tebing sebelah sana, dan mungkin kerana peserta itu juga panik, menyebabkan dia jatuh semula ke dalam air.  Ada le sedikit kecederaan berlaku kepadanya akibat kejadian itu.  Namun, nampaknya hingga ke hari terakhir latihan, dia sudah semakin pulih dan berjaya menamatkan latihan.

Satu lagi kejadian yang mungkin agak melucukan, tali di halangan yang sama putus dan menyebabkan peserta terjatuh di tengah-tengan kolam berair itu.  Keadaan tidaklah bahaya kerana kawasan berair itu tidak dalam, cuma terfikir bagaimana tali yang besar itu boleh putus sedangkan setiap prosedur keselamatan telah dilakukan dan peserta itu pun bukanlah bersaiz besar dan berat.

Badan terasa sangat letih, namun kerana kepuasan dapat melaksanakan semua tugas dengan jaya, KM rasa sangat gembira.  Sekarang, KM sedang bersiap sedia pula untuk melaksankan satu lagi latihan luar yang agak besar, Jambori Pengakap ASEAN yang akan dilaksanakan di Kem Telaga Batin minggu depan.  Harap, semua baju sempat kering sebelum dipanggil bertugas di sana…

Ahad, 30 Oktober 2011

Memberi Alasan Akan Melemahkan Minda…

Salam kasih sayang daripada KM…

Jika sentiasa berada dalam cabaran hidup ini.  Sama ada mahu atau tidak, sama ada bersedia atau tidak, setiap cabaran itu pasti akan datang kepada kita dan perlu kita tempuhi.  Dengan berbekalkan minda dan semangat, setiap cabaran itu pasti kita selesaikan dengan cara yang terbaik.  Jika kita berjaya menghadapi cabaran itu dengan jayanya, maka kita telah menjadi semakin cemerlang.  Namun jika kita gagal, usahlah berdukacita kerana kita masih berjaya untuk mengumpul satu lagi pengalaman kehidupan yang sangat penting untuk masa akan datang.

Itulah keadaan yang perlu kita hadapi, berjaya atau tidak, janganlah dijadikan ukuran.  Apa yang penting adalah semangat semakin meningkat dan minda menjadi semakin hebat.

Bagaimana dengan orang yang tidak bersedia menghadapi cabaran?  Golongan ini sebenarnya hanya akan mencipta dan memberikan alasan.  Harapan mereka, dengan alasan yang diberikan, mereka akan terlepas daripada tanggungan kegagalan dalam menempuh cabaran tersebut.    Sebenarnya, alasan yang diberikan adalah helah bela diri untuk menutup kegagalan tersebut.  Harapan mereka, tiada yang akan mencemuh.  Lantaran itu alasan dicipta dan diberikan.

Jika kita gagal dalam perniagaan pertama (contohnya), kita mula mencipta alasan kononnya terlalu banyak saingan, keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan, hasat dengki daripada pesaing, dan pelbagai alasan lagi.  Semua ini untuk menutup kegagalan kita.  Inilah yang dinamakan alasan.  Seharusnya kita memikirkan kembali apakah tindakan yang perlu dilakukan untuk mengelak daripada perkara di atas berlaku…  Jika terlalu banyak saingan, maka kita perlu memikirkan apakah cara untuk membezakan kita dengan saingan kita.  Strategi yang berkesan dan baik perlu dilakukan untuk membolehkan kita berbeza sama sekali dengan pesaing kita.

Jika kita hanya sekadar memberi alasan, maka kita meletakkan kegagalan itu di tempat orang lain.  Seolah-olah orang lainlah yang menyebabkan kegagalan kita.  Namun, dengan memikirkan kembali keadaan dan tindakan yang boleh dilakukan, maka kita tidak sekadar menyedari kesalahan diri makan akan berusaha untuk memperbaikinya.

Alasan yang diberikan hanya akan melemahkan minda kita.  Minda kita akan meletakkan kegagalan itu sebagai kesalahan orang lain dan bukan kekurangan persediaan daripada diri kita.  Jika kita tidak memberi alasan, sebaliknya mencari punca dan menyelesaikan punca masalah itu, maka minda kita akan menjadi lebih hebat daripada hanya sekadar mencari dan memberikan alasan.

Sabtu, 29 Oktober 2011

Akan vs Pasti…

Salam hormat daripada KM buat semua…

cinta

Baru-baru ini, KM bertemu dengan seorang rakan.  Dalam perbualan dengan rakan tersebut, KM dapat perhatikan yang dia lebih ceria dan nampak ghairah daripada kebiasaannya.  KM mula mencungkil rahsia…  Rupanya dia telah bertemu semula dengan kekasih hatinya yang telah terpisah lama.  Mereka yang dahulunya menjalinkan rasa kasih sayang dan cinta, terputus akibat orang ketiga.  Dan kini mereka bertemu semula secara tidak sengaja dan kasih itu bertaut kembali.

KM dapat perhatikan, daripada kata-kata rakan itu, yang dia PASTI akan memiliki cintanya kembali.  Pada ketika itu, KM teringat yang suatu masa dahulu dia hanya mengungkapkan kata-kata AKAN memiliki cinta itu.  Inilah gambaran perkataan yang hampir sama maksudnya namun ada perbezaan daripada maksud yang mendalam.

Jika kita katakan kita ‘akan memiliki’ ia melambangkan jangka masa hadapan.  ‘Akan’ menunjukkan masa akan datang yang belum pasti.  Apa yang lebih memberi kesan kepada perkataan ini adalah mungkin berlaku dan mungkin tidak berlaku.  Itulah mesej yang disampaikan kepada minda.

Berbeza dengan ‘pasti memiliki’ yang membawa maksud kita sangat yakin dan percaya bahawa kita mampu untuk memilikinya.  Penggunaan perkataan ‘pasti’ membawa mesej bahawa kita sudah bersedia untuk menerimanya dan sangat yakin untuk mencapai apa yang kita impikan.

Kedua-dua perkataan ini membawa mesej yang berbeza kepada minda.  Dengan ungkapan pasti, minda akan menjadi lebih terangsang dan akan melaksanakan apa sahaja untuk memastikan hajat itu tercapai.  Penggunaan akan pula menunjukkan ketidakpastian kita sama ada ia boleh terjadi atau mungkin tidak.  Rangsangan yang diterima oleh minda akan memberi isyarat lanjut kepada setiap tindakan tubuh dan perilaku kita.

KM tidaklah bermaksud dengan menggunakan ungkapan ‘PASTI’ maka mereka akan dijodohkan.  KM percaya bahawa ajal maut dan jodoh pertemuan itu tetap milik dan ketentuan ALLAH.  Namun yang KM maksudkan di sini adalah tindakan minda terhadap diri kita.  Dengan keyakinan yang ada, kita pasti akan lebih berusaha untuk memastikan apa yang kita mahukan itu tercapai.

Cuba perhatikan ungkapan yang sering diucapkan oleh pelajar; ‘Saya AKAN menjadi pelajar cemerlang’ berbanding ‘Saya PASTI menjadi pelajar cemerlang’, bukankah kedua-duanya nampak perbezaan daripada mesej yang disampaikan kepada minda.  Bukan bermaksud apabila sebut sahaja terus kita berjaya menjadi pelajar cemerlang, bukan!  Namun percayalah bahawa maksud itu memberi mesej yang sangat mendalam kepada minda untuk bertindak dan beraksi dengan lebih cemerlang.

Kepada rakan KM itu, semoga cintanya itu cinta yang suci dan berjaya mencapai kepastian cintanya untuk hidup bersama dengan si dia yang dikasihi…. 

Jumaat, 28 Oktober 2011

Memohon Ampun…

Salam kasih sayang daripada KM.  Pada pagi Jumaat ini, KM hendak lengkapkan tulisan pada ruangan SRJ, moga-moga adalah kebaikannya untuk kita semua.

Jika sebelum ini KM pernah nyatakan amalan-amalan yang baik untuk dilaksanakan sepanjang hari Jumaat, jadi untuk kali ini ada sedikit tambahan sahaja.  Amalan yang KM hendak sampaikan ini sangatlah mudah dan simple untuk diamalkan.

“Sesiapa yang membaca sebanyak 3 kali pada pagi Jumaat sebelum solat subuh;

istighfar

Nescaya ALLAH akan ampunkan dosa-dosanya walau sebanyak buih di laut….”

Cuba kita amalkan mulai hari ini.  Bukan susah sangat, bukan panjang sangat ayat istighfar di atas.  Hanya dibaca tiga kali sahaja sebelum melaksanakan solat Subuh.  Moga-moga amalan ini membawa keberkatan kepada kita.

Selasa, 25 Oktober 2011

Jangan Takut Untuk Berubah…

Salam kedamaian buat kalian…

Apabila sebut tentang berubah, maka ia melibatkan perkara yang biasa kepada yang luar biasa.  Perubahan itu haruslah berlandaskan perkara yang positif.  Perubahan yang positif akan mencerminkan kejayaan kita membaiki diri menjadi lebih baik daripada keadaan sekarang.  Andai ada perubahan kepada perkara negatif, ia menunjukkan kemunduran yang berlaku dalam diri.

Manusia mungkin sudah berada dalam zon selesa.  Zon selesa adalah keadaan di mana kita berada dalam situasi yang biasa kita lalui.  Contohnya bangun pagi, pergi kerja….balik petang dan berehat.  Keadaan itu berlanjutan hinggalah sampai hujung bulan dan menerima gaji hasil daripada rutin kehidupan kerja itu sendiri.  Mungkin kita sudah selesa dengan keadaan itu, cukup dengan apa yang ada dan sedia meneruskan kehidupan itu.  Namun, mungkin ada yang cuba melakukan lebih daripada itu.  Contohnya melakukan kerja-kerja sampingan seperti penjualan produk secara online pada sebelah malam.  Hal ini menunjukkan perubahan dalam kehidupannya yang mana melakukan kerja lain selain dari rutin kerja yang asal.

Di sini, dapat kita lihat ada perubahan dalam kehidupan telah berlaku.  Pertama, masa rehat sebelah petang dan malam terpaksa dikorbankan sedikit.  Kedua, perubahan daripada sumber pendapatan juga akan berubah (bertambah).

Namun, berapa ramai yang sanggup melakukan perubahan ini dengan keluar dari zon selesa (masa rehat yang panjang) itu.

Berubah akan memerlukan pengorbanan.  Keadaan ini dapat dilihat dari segi korban masa dan tenaga untuk mengubah rutin kehidupan yang asal.  Perubahan ini pasti akan berhadapan dengan cabaran dan rintangan pada awalnya.  Ini perkara biasa….Melalui cabaran dan rintangan itu akan menjadikan kita lebih cekal dan tabah menghadapi apa sahaja yang berlaku.  Namun, jika kita tidak bersedia menghadapi cabaran dan rintangan itu, maka ia menunjukkan yang kita takut untuk berubah.

Apabila hendak melakukan perubahan, perkara pertama adalah membetulkan semula minda (mind setting).  Jika dulu minda kita mahukan lebih masa rehat dan santai, namun apabila hendak melakukan perubahan itu, maka minda perlu diubah dahulu.  Katakan kepada minda bahawa kita mampu dan layak untuk mengubah rutin hidup ini.  Jika minda tidak diubah dahulu sebelum perubahan itu berlaku, maka inilah yang akan menyebabkan kita mudah menyerah kalah apabila ada apa-apa masalah di hadapan kita nanti.

Kata-kata semangat seperti affirmasi (kata-kata yang diulang-ulang) adalah perkara yang boleh dilakukan untuk membentuk semula minda.  Contohnya dengan mengulang-ulang kata-kata seperti ‘aku mampu menjual 2 set penapis air dalam seminggu’ akan membolehkan minda diaktifkan dengan hebat untuk melakukan sesuatu bagi mencapai apa yang ditargetkan itu.

Perubahan yang berlaku setelah minda dibentuk semula akan kekal dalam beberapa ketika.  Dengan pengulangan perubahan itu, minda akan mendapat satu set arahan yang baru dan perubahan itu akan menjadi kekal dalam rutin kehidupan yang baru.

Cuba kita fikirkan, apakah perubahan positif yang mampu kita lakukan untuk menjadikan diri kita lebih baik dari sekarang.  Contohnya berubah untuk bangun awal setiap pagi berbanding sekarang yang agak ‘liat’ bangun pagi.  Perubahan-perubahan kecil ini apabila berjaya akan menjadikan diri kita lebih sedia untuk melakukan perubahan yang lebih besar dan dinamik.

Isnin, 24 Oktober 2011

Tiga Kata…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

Balik dari Besut, ingatkan dah boleh rehatkan badan, tapi rupanya kena pula ke Kemaman selama dua hari kerana KM ditugaskan untuk mengendalikan satu kursus untuk guru pemimpin KRS yang baru.  Hari ini, selesai sudah tugasan itu.  Esok KM akan ke sekolah semula.  Dah lama benar KM tak melapor diri ke sekolah KM.  Dalam kesibukan tugasan luar, KM hanya mendengar perjalanan aktiviti daripada rakan-rakan setugas sahaja tentang keadaan sekolah…

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Hari ini KM nak bicarakan tentang tiga kata.  Bunyinya macam lagu KRU je….tapi bukan tiga kata tu yang KM maksudkan.  Tiga kata yang KM maksudkan adalah tiga jenis ungkapan yang jarang kita sebut, namun apabila digunakan ia amat bermakna dalam kehidupan kita.

Apakah tiga kata itu?

Maaf….

Terima kasih….

dan Tolong….

Inilah tiga kata yang jarang kita sebut, atau mungkin sukar untuk kita jadikan amalan dalam perhubungan kita.  Ungkapan ‘maaf’ mungkin hanya mampu diucapkan oleh orang yang bersikap rendah diri.  Hanya orang yang mampu mengakui kesalahannya dan bersedia untuk meminta maaf akan menggunakan ungkapan ini.  Sangat jarang kita dapat temui orang yang bersedia dengan rela hati untuk meminta maaf secara terang-terang, kalau adapun, mungkin setelah beberapa ketika barulah dia mengaku kesalahan dan meminta maaf.

Kata-kata ‘terima kasih’ juga jarang disebut.  Terima kasih adalah ucapan perasaan.  Bagaimana seseorang mengucapkan terima kasih, begitulah sebenarnya perasaan ikhlas dalam dirinya kepada kita.  Apabila menerima sesuatu kebaikan atau pemberian, dan kita mengucapkan terima kasih, maka ia melambangkan rasa penghargaan yang amat dalam dari dalam diri kita kepada orang lain.

Ungkapan ‘tolong’ pula adalah rasa luhur kita untuk meminta seseorang melakukan sesuatu.  Ucapan ini akan menjadikan permintaan itu lebih lembut, berhemah, dan bertatasusila.  Cuba bayangkan, seorang pegawai atasan kita meminta kita melakukan sesuatu dengan ungkapan ‘tolong’, pasti kita rasa lebih dihargai dalam permintaan melakukan tugasan itu.  Ia seperti melambangkan pegawai atasan itu memerlukan kita sepenuhnya untuk melaksanakan tugas itu, andai kita tidak melaksanakannya mungkin akan memberi masalah kepadanya.

Jadi, bagaimana dengan kehidupan kita?  Adakah kita sering menggunakan TIGA KATA ini dalam kehidupan kita?  Jika kita mampu menggunakannya, maka ia akan menjadi hubungan yang lebih bermakna kepada semua….

Khamis, 20 Oktober 2011

Tugas yang Panjang…

Rasanya hampir dua minggu KM tak menulis di sini….Rindu sangat semangat menulis yang mekar seperti dulu.

Bukan KM tidak lagi mahu menulis di sini, tetapi kesibukan dan kesempitan masa akibat komitmen yang lain menyebabkan KM tidak berkesempatan ke blog ini.  Apa tidaknya, dua minggu ni KM hanya menjalankan tugasan di luar.  Bermula dengan minggu lalu, KM ke Besut untuk membuat pembinaan modul latihan tahunan KRS selama dua hari, kemudian keesokannya terus ke Morib bermesyuarat pembinaan format baru pertandingan kawad kaki kebangsaan.  Balik dari Morib terus melapor diri ke Kem Sri Keluang di Besut untuk pelaksanaan perkhemahan KRS untuk pelajar-pelajar lepasan PMR hinggalah berakhirnya hari ini.

Sewaktu KM menulis ini, KM baru sahaja sampai di rumah.  Rumah KM pun dah tak macam rumah berpenghuni; berhabuk di sana sini.  InsyaALLAH dengan keizinan dan kekuatan yang diberikanNya, KM akan menulis kembali selepas ini.

Jumaat, 7 Oktober 2011

Sedekah…

Salam kasih sayang daripada KM.  Hari ini, bertemu lagi kita dengan penghulu segala hari, semoga segala kebaikan yang ada dapat kita nikmati bersama.

sedekah masjid

Gambar hiasan daripada internet

Dalam ruangan SRJ, KM nak mengajak rakan-rakan merenung seketika tentang sedekah.  Pada hari Jumaat, seperti biasa selepas solat Jumaat, akan ada tabung masjid yang ‘bergerak’ menghampiri kita, memohon sedikit sedekah dan sumbangan kita…  Berapakah nilai yang biasanya kita berikan setiap minggu?  RM1?  RM5?  RM10 atau lebih? Atau LIMA PULUH SEN?

Pertama sekali, apa perlunya tabung itu digerakkan setiap minggu?

Tabung ini aktif pada hari Jumaat kerana pada hari ini ganjaran setiap kebaikan akan dilipatkaligandakan!  Bukan tak ada yang menderma dan bersedekah kepada tabung masjid pada hari lain, tapi pada hari Jumaat, aktiviti sedekah menjadi lebih aktif.  Keaktifan ini menjadi lebih tinggi kerana tabung itu bergerak dari seorang jemaah ke jemaah bersebelahannya.  Andai ada 30 orang dalam satu saf dan setengah daripadanya menyumbangkan derma dan sedekah, bayangkan jika ada 20 saf….Maka pasti tabung masjid akan aktif dan lebih bererti pada hari ini.

Suatu masa dahulu, (ketika KM masih muda…) masjid kampung KM telah menganjurkan ‘satu jemaah RM1’ (PERHATIAN; tiada kaitan dengan 1Malaysia!).  Masjid kampung KM itu mencadangkan setiap jemaah memberi RM1 sebagai sumbangan dan sedekah tabung masjid pada setiap minggu.  Pada ketika itu, nilai RM1 tidaklah terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah.  Pendek kata, mampu diberikan oleh sesiapa sahaja.

KM masih ingat, pengumuman memberikan minimum RM1 sebagai sedekah masjid dilakukan oleh khatib semasa sedang berkhutbah pada minggu itu.  Kemudian hasilnya dapat dilihat pada minggu seterusnya hinggalah sekarang.  Jika sebelum ini, ada jemaah yang memberikan RM0.20 atau RM0.50 ke dalam tabung, tetapi selepas itu tiada lagi, semuanya memberikan sedekah masjid bermula dengan RM1.  KM masih ingat hal ini kerana ketika itu KM sentiasa ditugaskan untuk mengumpulkan semua tabung masjid dan diletakkan di tengah-tengah masjid untuk dikira jumlahnya bersama-sama.  Memang pada minggu itu (minggu selepas anjuran) tiada lagi wang syiling dalam tabung…

Implikasi?  Cuba bayangkan; seorang RM1.  Jika ada 50 orang yang hadir (pasti lebih sebenarnya, nilai ini hanya lambang), maka masjid kampung kita akan mendapat RM50 pada minggu itu.  Kemudian didarabkan dengan 4 minggu menjadikan nilai tabungan RM200.  Dengan nilai RM200 ini tiada lagi masalah untuk masjid membayar bil api dan air setiap bulan.  Inilah sebenarnya konsep yang dianjurkan oleh jawatankuasa masjid di kampung KM suatu masa dahulu.  Alhamdulillah, ia berjaya hingga hari ini.

Bagaimana pula keadaannya sekarang?  Masih releven nilai RM1?  Bagi KM, berapa pun nilai sumbangan dan sedekah kita untuk masjid, ia adalah nilai yang sangat bermakna.  Namun, marilah kita renung sejenak, berapa sumbangan kita untuk masjid sepanjang kita hidup di muka bumi ini?  RM1 x 4 minggu = RM4 sebulan.  RM4 sahajakah yang mampu kita berikan?  Kepada yang merokok, nilai RM4 sudah tidak bernilai kerana tiada lagi Dulhill 20 dengan harga RM3.60 seperti suatu masa dahulu.

Mari kita sama-sama didik diri kita untuk memberi sedekah kepada tabung masjid.  Andai ada yang mampu berikan RM1 sahaja, maka teruslah memberi.  Namun jika mampu lebih, maka mulakan dari hari ini.  Andai, RM10 kita berikan dalam seminggu, jumlahnya cuma RM40 untuk sebulan.  Hanya RM40 sebulan untuk kita sumbangkan kepada tabung masjid.  Jika ada 10 orang yang istiqamah dengan nilai itu, maka masjid kampung kita sudah ada nilai RM400 (memang cukup untuk bayaran utili).  Bayangkan pula jika ada 100 orang, maka nilainya pasti lebih lagi…

Selasa, 4 Oktober 2011

Perkara Yang Paling Dibenci; Menipu dan Tertipu…

Salam kasih sayang….

Pernah tertipu?  Atau pernah menipu?  Apapun keadaan sama ada anda menipu atau tertipu, kena pastikan bahawa ia adalah perkara yang paling dibenci dalam diri.  Jika anda suka menipu, berhentilah daripada tabiat itu.  Ini kerana, ia akan merosakkan segalanya daripada kepercayaan, perhubungan, ataupun persahabatan.  Bagaimana pula jika kita tertipu?  Ini juga harus menjadi pengajaran agar kita menjadi lebih berhati-hati di kemudian hari dan berwaspada kepada si penipu tersebut…

harimau

Gambar daripada internet 

KM terbaca sebuah cerita menarik berkenaan tertipu ini.  Ceritanya berkenaan seekor harimau yang gagah dan angkuh yang menjadi raja di sebuah rimba.  Semua haiwan takut dan gentar akan kegagahan harimau itu.  Suatu hari, sang harimau memanggil sang kancil (haiwan yang digambarkan sangat cerdik).  Bertanya sang harimau, apakah yang paling hebat ada padanya untuk menggagahkan lagi dirinya.  Maka sang kancil berkata, bulu yang cantik, misai yang melentik, dan ekor yang menarik.  Sang harimau berfikir tentang hal yang dinyatakan oleh sang kancil itu.  Memang benar, bulunya yang menyerlah itu adalah perkara yang sangat digentar oleh haiwan lain.  Andai ada sahaja terpandang kelibatnya, pasti sudah bertebaran melarikan diri.  Misai yang panjang juga penting untuk menunjukkan kegagahannya.  Ekor yang meliuk lentok juga penting untuk mengawal pergerakannya semasa berburu.

Kemudian sang harimau bertanya pula, apakah yang menunjukkan kelemahannya?  Jawab sang kancil, taring yang kuning, dan kuku yang lusuh.  Sang harimau berfikir pula tentang hal itu.  Kemudian dia mengangguk-angguk tanda bersetuju…Memang, taringnya yang kuning akan menunjukkan seolah-olah dia tidak berupaya, tidak cantik, dan kurang menyerlah.  Kuku yang lusuh pula seharusnya diganti dengan kuku yang lain, yang lebih baru dan baik.

Lalu sang harimau melepaskan sang kancil dan mula berhias diri.  Harimau itu mengurut-urut misainya, membelai bulunya, dan melentik-lentikkan ekornya.  Memang nampak harimau itu sangat cantik dan menarik.  Kemudian dia mula membuang taringnya yang kuning dan berkarat itu dan kukunya yang lusuh.  Nah, sekarang aku akan menjadi haiwan yang lebih dihormati dan digeruni!

Sang harimau keluar berburu.  Namun setiap buruannya berjaya melepaskan diri.  Ini adalah kerana, setiap kali dia berjaya menangkap haiwan yang hendak diburu, dia tidak berjaya mencengkam dan merobek haiwan tersebut kerana sudah tidak bertaring dan berkuku lagi.  Barulah sang harimau sedar bahawa dia sudah tertipu oleh sang kancil.

Cerita ini adalah cerita genre kanak-kanak.  Cerita yang menggunakan unsur haiwan namun diasimilasikan kepada kehidupan manusia.  Namun, banyak perkara yang dapat kita pelajari daripada cerita-cerita seperti ini.  Andainya kita ini seperti harimau (ketua) yang dihormati, namun tertipu oleh kancil (orang berjawatan kecil)…tentu malu jadinya.  Lantaran itu, kita harus sentiasa mengkaji sama ada sesuatu cadangan itu memberi kebaikan atau keburukan yang nyata, bukan hanya sekadar menerima cadangan itu kerana kita sentiasa dibodek dan dikipas…

Jumaat, 30 September 2011

Khutbah Jumaat

Salam kasih sayang…

Seperti biasa, topik catatan pada hari ini adalah berkaitan SRJ…

Pada hari ini KM minta kita semua memusatkan kepada salah satu perkara penting dalam solat Jumaat iaitu khutbah.  Kenapa agaknya khutbah Jumaat penting dan menjadi salah satu perkara wajib dalam solat Jumaat?  Jika mahukan jawapan daripada KM, mudah sahaja….  Solat Jumaat adalah sejenis solat yang sangat istimewa.  Ia adalah solat mingguan yang wajib dikerjakan secara berjemaah.  Andai ada yang melakukan solat Jumaat secara berseorangan di rumah, pasti sahaja tidak sah dan tidak sempurna solatnya.

Solat Jumaat adalah solat yang memberi rasa perpaduan dan kekuatan, dan memberi ilmu kepada kita semua.  Hanya sehari dalam seminggu, kita semua akan duduk bersama untuk mendengar khutbah, dan kemudiannya mendirikan solat bersama-sama.  Jadi, dalam hal ini terdapat dua perkara iaitu mendirikan solat secara berjemaah dan dapat membentuk perpaduan di kalangan kita, dan mendengar khutbah untuk mendapat sedikit nasihat dan ilmu.

Khutbah Jumaat bukan hanya sekadar memberi ingatan agama.  Apa sahaja cabang ilmu dapat disampaikan melalui khutbah Jumaat.  Andai berada di dalam peperangan sekalipun dan khatib berkhutbah tentang semangat perjuangan membela agama, maka tetap ia dikira sebagai sebuah khutbah yang baik.  Khutbah yang baik adalah membicarakan tentang hal ehwal semasa dan kaitannya dengan diri kita sebagai seorang muslim.  Ini akan menjadi nasihat dan panduan kepada semua ummat Islam yang sedang mendengar khutbah tersebut.

Pada KM, lebih suka dan berminat mendengar khutbah yang disampaikan secara spontan.  Khutbah spontan ini bukanlah bermakna spontan seluruhnya.  Khatib masih membuat catatan ringkas berkenaan isi khutbah yang hendak disampaikan, dan kemudiannya menyampaikan khutbah dengan ulasannya yang tersendiri.  Keadaan ini menjadikan khutbah khatib itu menjadi lebih natural dan menarik perhatian, berbanding dengan hanya membaca teks secara meleret-leret.

Rabu, 28 September 2011

Kamu Tidak Akan Gagal…

Salam kedamaian buat semua…

SELAGI KAMU TIDAK BERPUTUS ASA, KAMU TIDAK AKAN GAGAL!

ombak besar Gambar daripada internet

Dalam kehidupan kita ini, tidak terlepas daripada menghadapi cabaran.  Cabaran hidup adalah satu bentuk masalah.  Namun, jangan fikirkan ia sebagai satu MASALAH.  Semakin kuat kita memikirkan ia sebagai masalah, maka semakin banyaklah masalah yang akan hadir dalam hidup kita.  Sebaliknya, fikirkan ia adalah CABARAN.  Sesuatu cabaran itu adalah lebih positif kepada pemikiran manusia.  Cabaran berbeza dengan masalah.  Cabaaran adalah sesuatu yang datang memberikan rintangan kepada kita dan ia akan mendewasakan diri dan pemikiran kita.

Jika kita menghadapi cabaran, janganlah mudah untuk berputus asa.  Teruskan mencari jalan penyelesaian kepada cabaran itu dan jadikan ia sebagai sesuatu yang memberi kekuatan dan semangat kepada kita.  Selagi kita tidak berputus asa, maka kita tidak akan gagal.  Mungkin dalam sesuatu keadaan kita akan menghadapi cabaran yang sangat hebat dan sukar untuk kita lalui.  Namun, cuba teruskan dengan beberapa cara penyelesaian.  Jika kita menyerah kalah, maka cabaran itu telah mengagalkan kita.  Namun, jika kita meneruskan usaha untuk mengadapinya, pasti kejayaan akan bersama kita.

Dalam kuasa pemikiran dan minda manusia pula, apabila kita meneruskan usaha untuk berjaya, maka kita telah membina kekuatan yang sangat hebat dalam minda.  Kekuatan inilah yang akan memberikan ‘ilham’ kepada kita untuk merancang dan merencana tindakan-tindakan yang perlu kita laksanakan untuk menghadapi masalah tersebut.  Semakin kuat kuasa minda kita, semakin banyak ‘ilham’ yang akan datang untuk menunjukkan jalan.

Dan ingatlah bahawa; ilham itu sebenarnya datang daripada ALLAH Taala untuk menjadi panduan kepada kita….

Ahad, 25 September 2011

Arah Pusingan Tawaf…

Salam kasih sayang daripada KM.

Beberapa hari lalu, KM telah ‘bercuti’ setelah sekian lama melaksanakan tugasan tanpa mengambil apa-apa cuti rehat.  Dalam kembara KM di sebuah lokasi perkhemahan, KM bertemu dengan sejenis pokok melilit.  KM tidak ingat apa nama pokok yang dinyatakan oleh rakan KM yang bertindak sebagai penunjuk jalan itu.  Namun, ada sesuatu yang menarik berkenaan pokok ini yang membuatkan KM terfikirkan sesuatu.

Apa yang menarik perhatian KM adalah bentuk lilitan pohon itu dan susur pautnya berlingkar dalam bentuk arah lawan jam, dalam erti kata yang lain adalah dalam bentuk pusingan tawaf.  KM cuba kenal pasti beberapa pohon melilit yang ada di sekitar kawasan itu.  Memang benar, semuanya dalam keadaan pusingan tawaf.

Adakah semua pokok melilit akan berkeadaan seperti itu?  KM tidak pasti…  Tetapi KM merasakan sangat indah keadaan lilitan itu dan ingin menyelidiki keadaan ini dengan lebih lanjut.  Maksudnya, KM ingin berusaha untuk melakukan pemerhatian kepada mana-mana pokok yang melilit, sama ada semuanya berkeadaan pusingan tawaf atau hanya sebahagian daripadanya sahaja.

Rabu, 21 September 2011

Rehatkan diri…

Salam kasih sayang buat semua…

Esok KM bercuti.  Saja memohon cuti rehat khas.  Bermula dari awal tahun hingga ke hari ini, baru sehari (esok) KM akan bercuti dalam erti kata cuti dalam masa orang lain meneruskan kerja.  KM akan bertolak ke lokasi perkhemahan hari ini untuk merehatkan minda dan diri.  InsyaALLAH, balik nanti KM akan meneruskan catatan di sini.

Ahad, 18 September 2011

Pandangan Mata…

Salam ceria daripada KM buat semua…

Kata orang; ‘dari mata turun ke hati….’

Kata KM; ‘dari mata turun ke hati, naik semula ke minda’…

Kenapa KM tambahkah ayat di atas?  Kerana, ungkapan biasa; dari mata turun ke hati, ada kaitannya dengan perasaan.  Kononnya, apabila mata sudah bertentangan mata, maka hati mula bergelora.  Awas, jangan mudah terperangkap dengan cinta pandang pertama..!  Kerana minda perlu diutamakan lebih dari segalanya.  Bukan mata atau hati yang perlu membuat keputusan, sebaliknya mindalah yang perlu diutamakan.  Tanya semula dalam diri kita, buat keputusan yang terbaik, bukan hanya berserah kepada gelora jiwa yang mudah terpedaya…

muka 1

Gambar ni KM lukis menggunakan paint…KM memang tak pandai melukis, tapi rasanya memang jadi dah muka orang, ye tak?

Apa yang KM nak nyatakan di sini adalah cara atau kaedah terbaik untuk kita memerhati muka seseorang semasa berkomunikasi.  Semasa berkomunikasi, memang kita digalakkan untuk bersemuka.  Ini adalah untuk memastikan komunikasi itu berlangsung secara berkesan dan memberi impak yang diharapkan.  Namun begitu, komunikasi antara lelaki dengan perempuan haruslah ada landasannya yang wajar, jangan hingga menimbulkan fitnah di kemudian hari.

Bagaimana cara terbaik untuk kita menatap wajah seseorang semasa berkomunikasi?  Ada beberapa keadaan yang harus diberi perhatian.  Antaranya adalah sejauh mana kita mengenali seseorang itu, dan apakah topik komunikasi yang dibicarakan.  Untuk catatan kali ini, KM akan nyatakan keadaan jika seseorang itu baru kita kenali.  Mungkin di lain masa, KM akan jelaskan pula apabila seseorang itu sudah kenal lama dan sebagainya.

Bagi seseorang yang baru kita kenali, kita haruslah cuba bersemuka dengannya.  Kenali namanya dan perhatikan apakah keistimewaan yang ada di waahnya.  Contohnya jika seseorang itu ada tahi lalat di pipi, atau rambutnya yang bercacak-cacak, atau dagunya berlekuk, dan sebagainya.  Cuba sebut nama orang itu semasa berkomunikasi contohnya ‘Rahman berasal dari mana?’  Penggunaan awak, mungkin boleh digunakan di lain masa.  Ini adalah kerana, dengan memerhatikan keunikan wajah seseorang, dan menyebut namanya semasa komunikasi berlangsung, akan membolehkan kita mengingati individu itu dengan lebih baik.  Hal ini sangat berguna kepada seseorang yang sering berurusan dengan ramai orang dan memerlukan komunikasi selanjutnya pada masa akan datang.

muka 2

Rajah 1

Semasa berkomunikasi dengan seseorang yang baru kita kenali, cuba perhatikan kedua-dua matanya.  Gerakkan pandangan mata kita dari mata kanan ke mata kiri individu itu secara perlahan dan perhatikan matanya satu persatu.  Selang selikan pandangan matanya dalam beberapa kali dan kemudian berhenti di tengah-tengah antara anak panah itu lebih kurang di atas batang hidungnya.  Setelah beberapa ketika pandangan mata dihentikan di tengah-tengah garisan anak panah itu, lakukan kembali gerakan mata kita ke matanya secara berselang seli seperti tadi.  Lakukan beberapa ketika lagi dan berhenti semula di tengah-tengah seperti tadi.

Perlakuan ini haruslah dilakukan serentak semasa komunikasi berlangsung.  Ia mungkin agak sukar dilakukan pada permulaan kerana kita asyik memikirkan untuk menggerakkan pandangan dan dalam masa yang sama melaksanakan komunikasi.  Namun setelah beberapa ketika kita melaksanakannya, kita akan mula merasa selesa.

Apakah kebaikan pandangan mata ini dilakukan seperti yang disaran?  Kelebihannya adalah orang yang lawan komunikasi dengan kita itu akan menumpukan lebih perhatian semasa kita sedang berbicara.  Kita seolah-olah telah ‘memukau’nya untuk berkomunikasi dengan kita, malah mungkin apa sahaja saranan kita akan diturutinya.  Biasanya kaedah ini sangat digunapakai oleh orang yang ingin menjual sesuatu barangan kepada kita.  Jika kita berjaya menyesuaikan diri dengan cara pandangan ini, kita akan berjaya melakukan komunikasi dengan lebih berkesan dengan seseorang walaupun baru sahaja kita kenali.

Pada catatan yang lain, KM akan nyatakan pula teknik pandangan jika individu itu sudah rapat dan biasa dengan kita….

Sabtu, 17 September 2011

Sakit jiwa…

Salam kedamaian buat semua…

Hari ini, KM berkelapangan untuk ke pasar.  Setelah sekian lama tidak ke pasar (kecuali ke pasar malam) maka hari ini KM ke pasar Dungun.  Hasrat di hati nak cari bahan mentah untuk memasak Nasi Daging.  Baru-baru ni, sewaktu pulang ke kampung (akhir Ramadhan), KM tak berkesempatan untuk menikmati nasi ini, mungkin kerana bulan puasa hingga menyebabkan ramai pengusaha yang tidak menyediakannya kerana lebih tertumpu kepada masakan lauk-pauk atau kuih-muih.

Semasa di pasar Dungun tadi, KM terdengar suasana sedikit kecoh.  Datangnya kekecohan ini daripada seorang yang kurang siuman @ gila.  Kasihan pun ada, marah pun ada.  Apa tidaknya, dia bertindak mengganggu orang ramai yang berada di situ.  Bermula dengan menegur semua orang yang lalu lalang, dan apabila tiada respon dia mula ‘naik angin’.  Kata-kata kesat dan kotor mula dihemburkannya kepada orang ramai yang ada di situ.  Mujurlah lelaki kurang siuman itu hanya bising-bising sahaja tanpa menggunakan gangguan berbentuk fizikal.  Jika tidak, pasti lebih kecoh lagi.

KM hanya memerhatikan lelaki itu dari jauh.  Penampilannya biasa sahaja, lengkap berpakaian.  Namun kerana tindakannya yang meracau dan bertempik, menyebabkan semua orang senang untuk mengenalpasti bahawa dia adalah orang kurang siuman.  Satu yang menarik perhatian KM adalah dia merepek dengan tema Hari Malaysia…!  Dia berbicara seorang diri tentang kemerdekaan negara.  Menyanyi-nyanyi lagi patriotik ‘Inilah Barisan Kita’ dan ‘Saya Anak Malaysia’, diselang seli dengan lagu-lagu jiwang era 80-an.  Suaranya sedap dan ada gaya, tapi sayang….

KM terfikir, apakah agaknya yang dia rasa sekarang?  Apa sebenarnya yang bermain di mindanya?  Kasihan….memang kasihan.

Minda dikurniakan ALLAH kepada kita semua.  Namun, bagi orang seperti lelaki itu, minda sudah tidak dapat berfungsi sepenuhnya.  Ini adalah akibat gangguan saraf atau kerosakan yang berpunca daripada masalah luaran atau dalaman.  Mungkin jika diubati, lelaki itu atau siapa sahaja yang menderita sakit jiwa masih boleh dibantu.  Namun tidaklah keseluruhannya.  Minda yang rosak perlu diperbaiki orang diri kita sendiri.

Suatu masa dahulu, semasa KM pernah bertugas di Kuala Lipis, ada seorang perempuan yang kurang siuman.  Dia berkeliaran di bandar Lipis, terutama di kawasan stesen bas dan stesen kereta api.  Perempuan itu yang dikenali dengan panggilan Ana Lipis (dengar kata sudah meninggal beberapa tahun lalu) mempunyai sejarah silam penderitaan jiwa yang sangat teruk.  Kerana terlalu memikirkan masalahnya dan akibat tekanan yang sangat hebat menyebabkan dia menjadi gila.

Suatu ketika, KM pernah terserempak dengan Ana Lipis di stesen kereta api (pengangkutan ke tempat bertugas menggunakan kereta api), dan KM dapati dia sedang minum sebungkus air teh yang dijumpainya di tong sampah.  KM sangat sedar bahawa teh itu memang sudah basi melalui warnanya yang sudah berubah dan sifat plastik yang agak kotor.  Namun dengan selamba Ana meminumnya dengan tenang sambil bernyanyi riang.  Jika kita (manusia biasa) meminumnya, tentu akan disusuli dengan muntah atau sakit perut beberapa ketika setelah meminum air itu, namun tidak seperti orang-orang yang kurang siuman.  Memang ada yang cuba menegah Ana untuk minum air itu dan menawarkan memberi air yang lebih baik, namun dia menolaknya.  Dia (golongan kurang siuman) berada dalam dunianya sendiri, yang tidak dapat difahami oleh orang lain.

Jaga diri, jaga minda, dan jagalah jiwa kita.  Jika kita berada dalam kesedihan, kesepian, kemurungan, atau apa sahaja masalah; luahkanlah kepada seseorang.  Jangan biarkan tekanan itu membarah dalam diri hingga kita hilang arah……

Apa yang KM tahu, orang yang sakit jiwa ini berpunca daripada masalah kerosakan saraf luaran iaitu akibat mengambilan alkohol, dadah, atau kecederaan kemalangan.  Faktor luaran ini mampu kita elak jika kita mengamalkan gaya hidup yang betul.  Kerosakan minda juga boleh berpunca daripada dalaman iaitu jiwa yang sentiasa tidak tenang.  Keadaan jiwa yang tidak tenang ini yang bersarang sekian lama dalam diri seseorang akan menyebabkan fungsi otaknya terganggu.  Lantaran itulah, KM selalu berusaha untuk menenangkan minda.  Minda yang tenang akan mengaktifkan kerasionalan diri.  Minda yang sering terganggu akan menyebabkan kesedihan melampau, kemurungan, dan akhirnya mungkin akan menyebabkan kerosakan saraf dalam otak.  Inilah yang berlaku sakit jiwa @ kurang siuman @ gila yang berpunca dari dalam diri manusia itu sendiri.

Jumaat, 16 September 2011

Tanaman Herba

Salam kedamaian buat semua….

herbaGambar daripada internet 

Hari ini adalah hari beristirehat buat KM.  Setelah hampir 8 bulan bertungkus lumus bersama dengan anak-anak di sekolah yang hendak menduduki peperiksaan UPSR (baru sahaja berakhir kelmarin), maka hari ini berpeluanglah KM untuk berdamaian di internet.

Seharian KM menelusuri laman-laman web dan blog berkenaan tanaman herba.  Memang banyak ciptaan ALLAH dari segi tumbuhan yang menjadi kebaikan kepada kita semua.  Semasa melakukan bacaan berkenaan tanaman herba ni, ada yang biasa KM temui pokoknya dan menikmati khasiatnya, dan ada tumbuhan dan tanaman herba yang tidak pernah KM temui.

Apa yang penting di sini adalah, kesedaran kita berkenaan tanaman dan tumbuhan ini.  ALLAH jadikan setiap sesuatu itu dengan kebaikannya tersendiri, dan tidak sia-sia.  Hanya kita yang mahu atau tidak mahu untuk memerhati, mengkaji, dan menerima kebaikan itu sebaik mungkin.

Bercakap berkenaan dengan herba, fikiran KM tertumpu kepada sebuah syarikat bumiputera Islam iaitu HPA.  Mungkin anda semua juga pernah mendengarnya.  KM memang sudah beberapa tahun bersama dengan syarikat ini.  HPA (Herba Penawar Alwahida) menumpukan ubatan herba pada permulaan penubuhannya.  Kemudian, terus berkembang kepada keperluan harian yang lain seperti keperluan peribadi, makanan, produk kecantikan dan sebagainya.  Apa yang penting adalah semua bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk adalah daripada bahan yang halal terutama berkaitan herba yang biasa terdapat di negara kita.

Sehingga ke saat ini, KM telah menggunakan produk HPA untuk hampir keseluruhan keperluan harian, bermula dengan jagaan diri hinggalah ke sabun pencuci.  Ini adalah kerana KM sangat yakin dengan bahan yang digunakan dalam penghasilan produk.  KM doakan agar HPA akan terus berkembang dan dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Daripada pengamatan KM, pasaran di Pantai Timur masih belum meluas.  Ini mungkin kerana permintaan yang tinggi tetapi penawaran barangan yang terhad.  Berbeza jika KM balik ke Penang, yang barangan sentiasa cukup di sana (mungkin kerana lebih dekat dengan Perlis dan Kedah yang menjadi negeri pengilang produk HPA).  Sebab tu, bila KM balik ke kampung pada kelapangan cuti, KM akan beli barangan HPA untuk keperluan di sini.  Mungkin HPA perlu membina lebih banyak kilang di sebelah Pantai Timur untuk memenuhi keperluan permintaan di sebelah sini pula.

Apa yang pasti, produk herba memang mendapat sambutan yang tinggi.  Ini berpunca daripada kefahaman dan kesedaran pengguna tentang kesan sampingan yang akan berlaku jika menggunakan ubatan kimia secara berterusan.  Herba adalah ciptaan ALLAH Taala.  Terdapat banyak kebaikan yang ada padanya yang masih belum kita temui sepenuhnya. 

Mandi Di Awal Pagi…

Salam kedamaian daripada KM.

Siri Renungan Jumaat pada kali ini KM nak utarakan berkenaan amalan di pagi Jumaat.  Pada pagi Jumaat, kita dianjurkan untuk mandi dan membersihkan diri.  Kemudian dianjurkan untuk berpakaian yang bersih dan cantik.  Ada yang mengatakan pakailah pakaian berwarna putih kerana warna ini lebih disukaiNya.  Tidak dilupakan pakailah wangi-wangian.  Pada pagi Jumaat juga kita diminta untuk memotong kuku dan bercukur.

Berkenaan mandi di pagi Jumaat ini, kita diminta untuk mandi sebelum masuknya Subuh.  Bermakna, kita diminta untuk bangun lebih awal dan mandi sebelum azan dilaungkan.  Terdapat banyak kebaikan jika kita berjaya mengamalkan mandi sebelum Subuh ini (tidak semestinya hanya pada hari Jumaat sahaja).  Antara kebaikannya adalah :

  1. Tidak terkena penyakit asma (lelah)
  2. Terhindar daripada angkara jahat seperti sihir.
  3. Tubuh badan menjadi sihat.
  4. Wajah bercahaya.
  5. Doa mudah dimakbulkan.
  6. Wajah menjadi awet muda.

Kepada yang tidak sempat mandi di awal pagi tadi, khususnya terjaga selepas waktu Subuh, bolehlah memulakan amalan ini selepas daripada ini.

Khamis, 15 September 2011

Emosi Mempengaruhi Pemikiran, Atau Sebaliknya..?

Salam kasih sayang daripada KM.

Persoalan; emosi yang tidak stabil (berada dalam keadaan cemas, susah hati, sedih) akan mempengaruhi tindakan kita.  Adakah emosi akan mempengaruhi pemikiran kita?  Atau pemikiran yang seharusnya mempengaruhi emosi?

Jika persoalan ini diajukan kepada KM, maka KM akan katakan, seharusnya pemikiranlah yang berkuasa untuk mempengaruhi emosi dan perasaan kita. 

Memang KM akui, apabila kita berada dalam keadaan yang tertekan, maka emosi yang tidak stabil ini akan mempengaruhi pemikiran kita.  Inilah yang akan berlaku dan menyebabkan kita bertindak di luar jangkaan.  Ada yang hanya menangis sepanjang hari (teringat cerita Ibu Mertuaku), ada yang bertindak melulu seperti marah kepada semua orang yang ada di sekeliling, malah yang lebih tragis, ada yang bertindak untuk membunuh diri.  Adakah dengan melakukan semua tindakan ini akan menstabilkan semula emosi itu?  Jawapannya tentu sekali tidak.  Kita bukan menstabilkan emosi itu, sebaliknya memburukkan lagi keadaan dengan tindakan-tindakan itu.

Seharusnya, kita berusaha untuk bertenang.  Apabila bertenang, pemikiran akan berada di atas daripada emosi.  Apabila pemikiran sudah rasional, emosi dapat didamaikan seketika.

Seperti biasa, KM akan mencadangkan agar kita tidak fokus kepada masalah yang dihadapi hingga menyebabkan emosi kita terganggu.  Sebaliknya, cuba fikirkan jalan penyelesaian.  Dengan memikirkan kepada jalan penyelesaian, kita akan fokus kepada tindakan yang hendak dilakukan untuk menyelesaikan masalah.  Ini akan membuatkan pemikiran kita bekerja untuk menyelesaikan masalah, bukannya untuk mencipta lebih banyak masalah.

Dalam Islam sendiri menganjurkan untuk kita beristighfar.  Istighfar bukan hanya apabila mengenangkan kesalahan yang dilakukan.  Istighfar boleh dilakukan apabila kita ditimpa masalah.  Cuba beristighfar dan ia akan menenangkan perasaan kita.  Apabila perasaan dan emosi sudah bertenang, barulah minda dapat bekerja dengan lebih rasional.

Hari Terakhir…

Hari ini adalah hari terakhir peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah.

Selepas daripada hari ini, mungkin KM ada sedikit ruang dan peluang untuk menulis dengan lebih kerap di sini.  Mungkin..!

KeMUNGKINan ini adalah berpunca daripada perancangan aktiviti selepas peperiksaan yang telah pun siap disusunatur.  Memang banyak aktiviti yang akan dilaksanakan selepas daripada peperiksaan penting ini.  Jika dahulu, murid-murid ini diperah dan dikerah untuk menumpukan perhatian kepada akademik, selepas daripada ini adalah masa untuk meneruskan pembelajaran dalam aktiviti pendidikan luar pula.

Apapun, diharap segalanya berjalan dengan lancar dan memberi kebaikan kepada semua…

Selasa, 13 September 2011

Selamat Berjuang….

Salam kemakmuran buat semua…

Bermula pada hari ini hingga ke hari Khamis, peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan berlangsung.  Ujian ini adalah peperiksaan awam yang pertama dalam siri-siri peperiksaan di Malaysia.

Didoakan semoga semua calon UPSR di seluruh Malaysia dapat menjawab dengan tenang dan penuh keyakinan.  Semoga kejayaan milik anda semua…

Ahad, 11 September 2011

Perjalanan Menjadi Bintang ~ 2

Salam kejayaan buat semua.

Sambungan kepada catatan yang lalu, KM ingin cadangkan 5 langkah untuk mencipta kejayaan menjadi ‘bintang’ (super hebat).

1.  Jika kita inginkan kejayaan, binalah impian yang besar.

Impian yang besar akan menjadikan kita lebih bersemangat.  Impian yang besar akan menjadikan kita lebih fokus untuk mencipta sesuatu kejayaan itu.  Suatu masa dahulu, Tuan Guru KM pernah berkata, jadilah seperti tupai yang melompat dari dahan ke dahan.  Apabila ia (tupai) melompat, ia tidak akan melompat ke dahan yang rendah.  Sebaliknya ia akan berusaha untuk melompat ke dahan yang tinggi.  Ini adalah fitrah tupai.  Andai kata tupai itu tersilap langkah dan tidak berjaya mendarat ke dahan yang tinggi itu, sekurang-kurangnya ia tidak terus jatuh kerana di bawah daripada dahan tinggi itu masih ada dahan rendah yang dapat dituju.

Daripada perumpaan gambaran ini KM dapat simpulkan bahawa apabila kita mengimpikan sesuatu, cuba impikan kejayaan yang besar.  Andai kita tidak mampu mencapainya, sekurang-kurangnya kita masih berjaya mencapai kejayaan yang lebih kurang daripada impian itu.  Namun, jika kita terus berjaya mencapai kejayaan besar itu, maka ia adalah satu keuntungan kepada kita.

2.  Tuliskan impian itu.

Menulis impian adalah sesuatu yang berkait rapat dengan minda.  Apabila kita menulis, kita terus memberi isyarat kepada minda terhadap apa yang kita mahukan.  Ini akan memberi gambaran jelas kepada minda dan minda akan bersedia untuk melaksanakan tugasnya mencapai kejayaan tersebut.

3.  Tetapkan tempoh masa.

Dengan menetapkan tempoh masa, kita sekali lagi memberi isyarat kepada minda terhadap apa yang kita impikan.  Menetapkan tempoh masa haruslah realistik dan bersesuaian dengan impian itu untuk dicapai.  Andai kata kita menetapkan masa itu tidak sesuai, maka pasti kita tidak berjaya untuk mencapainya.  Begitu juga jika tempoh masa terlalu panjang, maka kita akan lebih leka dan lalai untuk melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan.

4.  Buat perancangan.

Perancangan harus dilakukan.  Walau apapun projek atau kerja yang hendak dilakukan, ia harus ada perancangan.  Dengan adanya perancangan, maka minda akan lebih fokus.  Cuba lihat kepada aktiviti kita seharian.  Jika ada perancangan, maka perjalanan aktiviti menjadi lebih teratur dan bersistematik.  Ini akan menyebabkan tindakan kita berfokus kepada apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak perlu dilakukan dalam kehidupan.

5.  Hadapi halangan.

Seperti mana yang KM sebelum ini, setiap kejayaan pasti ada halangan.  Namun, jangan difokuskan kepada halangan itu.  Sebaliknya fokus kepada tindakan untuk menghadapi halangan itu.  Dengan mencari jalan penyelesaian, maka kita akan dapat menghadapi halangan itu.  Cuba gunakan teknik pemikiran yang kritis dan kreatif untuk mengenalpasti halangan dan jalan penyelesaiannya.

Sabtu, 10 September 2011

Perjalanan Menjadi Bintang

Salam kemakmuran buat semua.

Setiap daripada kita pasti mahukan kejayaan.  Kejayaan adalah perkara subjektif.  Ia meliputi pelbagai perkara yang melibatkan keunggulan dan kemenangan terhadap sesuatu.  Jika kita seorang peniaga, kejayaan yang kita impikan tentu sahaja keuntungan hasil daripada perniagaan tersebut.  Ditambah dengan keupayaan untuk mengembangkan perniagaan itu menjadi industri yang lebih besar.  Mungkin itulah kejayaan yang diidamkan bagi seorang peniaga.  Andai kita seorang pelajar, kejayaan mungkin berkaitan dengan kecemerlangan dalam pelajaran dan peperiksaan.

Sukarkah untuk mencipta kejayaan?

Kejayaan akan menjadi sukar jika kita memikirkannya sebagai suatu yang sukar.  Namun, kejayaan akan menjadi mudah jika kita memudahkannya dalam pemikiran kita.  Memang diakui, untuk menjadi bintang dan mengecap kejayaan itu pasti ada halangan.  Namun jangan jadikan halangan itu sebagai pemusnah kepada kejayaan.  Seharusnya, halangan itu menjadi cabaran agar kita menjadi lebih matang dan bersedia untuk menghadapi kejayaan itu.

Jika kita sentiasa memikirkan kesukaran, maka minda hanya memfokuskan kepada kesukaran dan halangan itu.  Ini akan menyebabkan minda disumbat dengan pelbagai kesusahan, kemustahilan, kemunduran dan sebagainya.  Hal ini akan menyebabkan minda membeku dan sukar untuk mencari jalan penyelesaian kepada kesukaran itu. 

Cuba kita fikirkan kejayaan itu sebagai suatu yang menyeronokkan.  Ini akan menjadikan minda lebih hebat dan bersedia.  Keseronokan untuk berjaya akan membuatkan minda berkembang.  Walau apapun halangan dan cabaran yang mendapat, kita pasti akan berusaha untuk menyelesaikannya kerana fokus kita kepada kejayaan, bukan kepada masalah.

Jumaat, 9 September 2011

Renungan Jumaat…

Salam kedamaian buat semua…

Hari ini, KM akan memulakan satu siri catatan berkenaan hari Jumaat.  InsyaALLAH jika diberikan kekuatan daripadaNya, akan KM catatkan perkara dan amalan yang baik pada setiap hari Jumaat untuk tatapan dan amalan kita semua.

Siri Renungan Jumaat kali ini KM mulakan dengan amalan berselawat.  Selawat adalah satu bentuk doa dan puji-pujian kepada Baginda Rasulullah s.a.w.  Melalui berselawat, kita mengucapkan pujian dan berdoa selamat untuk Baginda.  Amalan ini mungkin tidak asing bagi kita.  Ini adalah kerana kita memang akan sentiasa berselawat kepada Baginda, sekurang-kurangnya semasa bersolat.  Pun begitu, amalan berselawat ini memang sangat tinggi hikmahnya.

Jadikan amalan berselawat ini sepanjang masa.  Melalui berselawat, kita akan sentiasa ingat dan kasih kepada Baginda.  Telah ALLAH janjikan, kepada orang yang sentiasa berselawat (maksudnya sentiasa ingat kepada Rasulullah) akan diberikan bantuan dan syafaat semasa berada di alam kubur dan semasa hari pembalasan.

Ironinya seperti ini, apabila kita sentiasa ingat dan puji kepada seseorang, maka kita akan disayangi oleh orang itu.  Tiada kira sama ada orang itu rakan, apatah lagi jika orang itu majikan kita.  Ini akan mengukuhkan hubungan dua hala antara kita dengan orang yang selalu kita puja itu.

Andainya orang itu orang biasa, sudah memberi kebaikan kepada kita dengan adanya hubungan itu, apatah lagi jika orang yang sering kita ingat dan puji itu adalah Junjungan Besar Rasulullah.  Pasti kita akan mendapat kebaikan yang berlipat kali ganda daripada pujian kepada orang biasa.

Berselawat bukan sekadar menyebut di mulut.  Ia harus hadir terus menusuk ke dalam sanubari.  Ini akan memberikan kenikmatan yang tidak mungkin dapat dihuraikan dengan kata-kata.

Banyakkan berselawat (bermula dari Asar pada hari Khamis) hinggalah ke waktu Asar hari ini.  Pasti hadir rasa kelembutan dalam jiwa kita jika dapat mengamalkannya…