Selasa, 14 Jun 2011

Elemen 3 ~ Kesedaran

Salam bahagia…

Jika elemen 1; minda, dan elemen 2; hati, yang ada pada manusia melibatkan jenis organ dalam badan manusia secara tersendiri, namun elemen kesedaran tidak ada organ yang berfungsi secara langsung kepadanya.  Maksudnya, minda dikaitkan dengan akal fikiran, dan hati dikaitkan dengan organ hati, namun kesedaran tiada organ tertentu yang dapat dirujuk untuk menunjukkan kesedaran.

Kesedaran dalam diri manusia lebih kepada nilai.  Organ otak dan hati memainkan peranan bersama untuk menunjukkan kesedaran kepada manusia.

Kesedaran adalah apa yang merujuk tentang kefahaman, keimanan, keyakinan, dan keunggulan diri kepada manusia tersebut.  Orang yang mempunyai kesedaran dapat menjadi manusia yang hebat dan terbilang.

Contoh, pada bulan puasa, ketika manusia (muslim) sedang melakukan puasa di siang hari, kemungkinan ada peluang untuk dia makan secara diam-diam tanpa diketahui oleh orang lain.  Perasaannya mungkin mengajak dia makan atau minum, namun akalnya berkata, jangan…ia adalah salah kerana ALLAH tetap dapat melihat perbuatan itu.  Maka di sini kita dapat melihat bahawa manusia itu ada kesedaran dan nilai yang baik dalam kehidupannya.

Begitu juga jika dia bertemu dengan sekarung guni yang penuh berisi wang RM100.  Hatinya mungkin berkata, ambillah..!  Namun mindanya berkata, ini bukan hak aku dan aku perlu menyerahkannya kepada pihak terbabit.  Di sini jelas menunjukkan yang dia telah mempunyai kesedaran yang tinggi.

Apa yang hendak dinyatakan dalam elemen ketiga ini adalah ‘suara hati’ yang ada dalam diri setiap manusia.  Ada suara yang mengajak kita melakukan perkara negatif namun dalam masa yang sama ada suara yang menegahnya.  Keunggulan diri manusia hebat akan terpancar apabila dia berjaya mengawal dirinya sesuai dengan keadaan yang sepatutnya berlaku.  Hal ini akan menjadikan seseorang itu manusia yang hebat dan berjaya.

Sejauh mana kita dapat meningkatkan kesedaran kita?

Kesedaran akan dapat dipertingkatkan apabila kita sering memikir, dan memperkatakan perkara yang baik-baik.  Dengan ini, ‘suara hati’ akan lebih menjuruskan diri kita kepada perkara yang baik.  Kesedaran tentang nilai ini akan lebih meninggi dan berkembang dalam diri dan membentuk diri kita menjadi manusia yang lebih baik.

Isnin, 13 Jun 2011

Elemen 2 ~ Hati

Salam kedamaian…

hati Gambar daripada internet

“Dalam diri manusia terdapat seketul daging.  Jika baik daging itu maka baiklah dirinya, jika buruk daging itu maka buruklah dirinya.  Daging itu adalah hati”.

Ungkapan di atas adalah sabda Rasulullah.  Ia adalah berkenaan dengan hati.  Hati manusia terletak dalam diri manusia.  Ia mengawal metabolisma badan.  Kawalannya berkaitan dengan pembersihan darah dan unsur yang terdapat dalam darah.  Hati juga dikaitkan dengan perasaan, perangai, tingkah laku dan tindakan manusia.  Jika difikirkan tentang fungsi dan peranan hati, kedua-dua fungsinya ada peranan yang berkaitan. 

Hati banyak mengawal tindakan dan keyakinan.  Istilah ‘dari dalam hati’, ‘setulus hati’ dan sebagainya menggambarkan bahawa peranan hati berkaitan dengan tindakan seseorang dan keinginannya.  Hati juga dikaitkan dengan perasaan.  Rasa sayang, kasih, cinta, marah, dendam, seronok, dan sebagainya dikaitkan dengan hati.  Sebenarnya perasaan itu ada kaitannya dengan peranan hati yang pertama iaitu membersihkan darah.  Apabila seseorang itu sedang marah, maka kuantiti gula dalam darahnya jadi menurun dan ia akan dikawal oleh hati.  Jadi, jika hati dapat mengawal kuantiti gula yang separas dengan yang diperlukan, mungkin kemarahan itu akan mereda dengan lebih cepat.

Cuba kita bandingkan hal ini dengan sabda Rasulullah.

Lebih 1400 tahun yang lalu hal ini sudah dinyatakan,  hati berperanan untuk mengawal perlakuan dan perwatakan seseorang itu.  Walaupun pada ketika itu tidak digambarkan dengan kelengkapan xray dan sebagainya untuk menentukan kedudukan hati dalam diri manusia, dan ilmu saintifik lain yang menjurus kepada peranan hati, namun Rasulullah telah menyatakannya berdasarkan ilmu yang dikurniakan oleh ALLAH.

Kini, dengan kelengkapan sains moden yang membuat banyak kajian dan penyelidikan telah mengakui kebenaran sabda Rasulullah ini.  Terbukti, jika hati manusia itu baik, maka manusia itu akan menjadi insan yang baik juga.  Insan yang baik inilah yang digambarkan sebagai manusia terhebat.  Elemen kedua ini akan mengawal manusia menjadi sama ada hebat atau tidak.  Jika kita berjaya menjaga hati dengan baik, maka kita akan berjaya membentuk diri menjadi manusia hebat.  Kehebatan itu dapat dipamerkan melalui perlakukan, perkataan, tindakan, perasaan, dan sebagainya yang dikawal oleh hati.

Jika hati dikawal dan dibentangkan kajiannya dengan lebih mendalam, kita akan dapati bahawa ia ada kaitan pula dengan kejiwaan.  Jiwa bermaksud sesuatu yang berkaitan dengan unsur dalaman manusia.  Ia ada kaitan dengan keimanan dan keyakinan.  Hati yang baik akan menjadikan seseorang itu sangat yakin dan beriman kepada ALLAH.  Hati yang rosak menunjukkan kejiwaan yang bercelaru dan pasti sahaja keimanan kepadaNya tidak akan berlaku dengan mudah.  Oleh itu, kita perlu sentiasa menjaga hati.  Hati yang sentiasa dijaga akan menjadikan jiwa kita lebih tenang.

Berkaitan dengan menjaga hati, terdapat dua musuh yang paling utama.  Kita perlu sentiasa membentengkan diri daripada kedua-duanya.  Ini untuk memastikan hati tidak ‘rosak’ dan menjadi tidak tenang.  Musuh yang dimaksudkan adalah syaitan, dan nafsu.  Jika kita berjaya mengawal dan membentengkan diri daripada kedua-dua musuh ini, maka hati kita akan terus terpelihara.  Ini akan memastikan jiwa kita sentiasa tenang dan keimanan akan berterusan.

Jumaat, 10 Jun 2011

Elemen 1 ~ Minda

Salam penuh kebahagiaan…

Minda adalah merupakan elemen kehebatan manusia yang utama.  Minda, akal, dan fikiran, merujuk kepada suatu perkara yang hampir sama namun tetap ada perbezaannya.  Apapun, ia melambangkan kehebatan dan kebijaksanaan seseorang dalam melakukan sesuatu keputusan, tindakan, dan perancangan.  Andai kita tiada minda, pasti kita dapat menggambarkan bagaimana kita hendak menobatkan diri sebagai makhluk terhebat…?!

Namun sayang sekali, walaupun manusia dikurniakan dengan minda yang hebat, tetapi masih ada yang tidak menggunakannya dengan sebaik yang mungkin.  Hal inilah yang menunjukkan manusia boleh menjadi hebat dan mendapat doa daripada malaikat, atau mungkin menjadi sangat tidak hebat sehingga setaraf dengan haiwan.  Apabila kita dapat menggunakan minda dengan baik, maka kita akan dapat menentukan keputusan yang memberi kepuasan kepada semua.  Tindakan yang diambil mungkin akan mengira semua aspek dan kepentingan.  Apa yang paling utama adalah minda akan memandu kita untuk menjadi seorang manusia yang sangat hebat dalam tindakan dan perancangan kita.

Minda manusia terdiri daripada dua jenis; minda sedar dan minda separa sedar.

Minda sedar adalah minda yang aktif apabila manusia sedar atau terjaga.  Ia akan melakukan keputusan tertentu dalam tindakan semasa manusia sedang sedar.  Namun, apabila manusia tidur, maka minda sedar juga akan turut tidur.  Biasanya minda sedar ini digunakan dalam membina pemikiran, membuat keputusan nyata, mengingat, dan sebagainya.  Ia berlaku lebih kepada apabila manusia sedang sedar dan hendak menggunakan akal. 

Minda separa sedar pula adalah minda di luar kawalan manusia secara langsung namun kita masih dapat mengawalnya secara tidak langsung.  Minda ini akan aktif dan bekerja tidak kira sama ada manusia sedang sedar (berjaga) atau sedang tidur.  Hakikatnya, minda ini akan terus bekerja dan melaksanakan tugasnya walaupun tanpa pengawasan kita.  Sebagai contoh, kawalan tindakan refleks kepada pernafasan.  Kita tidak pernah belajar untuk bernafas, malah kita tidak langsung merasa untuk mengawal pernafasan kita, sama ada semasa sedar atau semasa tidur.  Ia (bernafas) berlaku secara semula jadi.  Kawalannya berlaku pada minda separa sedar.

Dalam kehidupan ini, hanya 10% hingga 28% sahaja manusia yang sedar dan tahu, serta menggunakan kehebatan minda separa sedar.  Selebihnya, mereka tidak tahu tentang minda separa sedar dan tidak menggunakan kehebatannya.  Golongan yang tidak mengetahui ini hanya menyangkakan bahawa manusia hebat kerana hanya menggunakan akal dan fikiran.  Ya, memang benar, kehebatan manusia kerana adanya akal yang boleh berfikir secara rasional, namun sebenarnya bukan terhenti kepada berfikir sahaja.  Kehebatan minda manusia lebih besar daripada itu.  Hanya golongan yang mengetahuinya sahaja dan berjaya menggunakannya dengan baik dan optimum akan dapat berjaya menguasai minda separa sedar.

Bagaimana untuk menguatkan minda sedar dan minda separa sedar?

Jika minda sedar, kita boleh menguat dan mengaktifkannya dengan cara banyak membaca, berfikir, berdiskusi, dan melakukan sesuatu yang inovasi.  Pada ketika itu, minda akan menjadi aktif.  Keaktifan ini akan menyebabkan lebih banyak neuron dalam otak akan berkembang dan berhubung antara satu sama lain.  Hal ini akan menjadikan minda sedar itu berfungsi dengan lebih baik dan berkesan.

Minda separa sedar juga boleh diaktif dan diperkasakan.  Beberapa aktiviti seperti melakukan visualisasi, dan membuat pernyataan diri (affirmasi) boleh dilakukan untuk menguat dan mengaktfikan minda separa sedar.  Jika kita melakukan aktiviti yang dinyatakan tadi, kita tidak membina lebih banyak neuron dalam otak.  Tetapi untuk aktiviti ini kita akan menghasilkan lebih banyak getaran dalam frekuansi alam.  Getaran ini akan menerawang dan berlegar untuk menarik perkara yang sama untuk bersama dengan kita.  Itulah perbezaan antara minda sedar dengan minda separa sedar.

Apapun, yang penting sekarang, bersyukurlah kita kerana dikurniakan dengan ‘minda’.  Menggunakan minda dengna baik akan menyebabkan kita akan memperkasakan lagi kehebatan diri kita sebagai makhluk terhebat.  Minda yang baik akan mempengaruhi kehidupan yang baik….

Rabu, 8 Jun 2011

Kehebatan Manusia

Salam kedamaian buat semua…

bayi Gambar daripada internet

Manusia adalah makhluk terhebat ciptaanNya.  Ini dijelaskan dengan anugerah dan amanah yang ALLAH kurniakan kepada manusia untuk bertugas sebagai khalifah di bumi.  Anugerah dan amanah ini langsung tidak terpikul oleh makhluk-makhluk ALLAH yang lain.  Kehebatan manusia juga terlihat pada perintah ALLAH kepada semua malaikat untuk tunduk hormat kepada manusia pertama; Nabi Adam a.s.

Hebatkah kita?  Penilaian ini perlu kita lakukan secara kendiri tentang kehebatan kita.  Adakah kita telah berusaha dan berjaya melaksanakan tugas kita di bumi?  Atau, adakah kita hanya mensia-siakan kehebatan yang ALLAH pinjamkan kepada kita? 

Sebagai manusia, kita mampu menjadi makhluk yang terhebat sehingga semua malaikat di langit mendoakan kita.  Dan tidak mungkin terkecuali jika kita memilik untuk menjadi tidak hebat dengan melakukan perkara yang ditegah, hingga kita diiktiraf setaraf dengan binatang!  Hanya kita yang mampu membuat penilaian dan penilaian itu menentukan pilihan kita yang sebenarnya.

Dalam sebuah rangkaian televisyen, aku pernah melihat bagaimana manusia sanggup menyelamatkan seekor anak kuda yang terjatuh ke dalam lopak air dan tersangkut.  Hebat manusia, binatang pun sanggup diselamatkan nyawanya.  Dalam rangkaian yang sama, aku dipaparkan dengan kebejatan jiwa manusia yang sanggup membuang anaknya sendiri seperti sampah.  Hebatkah manusia?

Melalui pembacaan, penilaian, dan kajian yang dilakukan, terdapat beberapa elemen yang menunjukkan seseorang manusia itu hebat.  Elemen-elemen yang dimaksudkan adalah :

  1. Minda
  2. Hati
  3. Kesedaran
  4. Emosi
  5. Nafsu

Sama-sama kita kaji adakah elemen-elemen ini benar-benar wujud dalam diri kita untuk menjadi manusia hebat…

Ahad, 5 Jun 2011

Melihat dan Percaya…~2

Salam kasih sayang daripadaku…

Pernah ke pasar malam?  Pernah melihat kehebatan dan kepetahan orang menjual ‘ubat kuat’?  Atau orang bermain dengan ular yang begitu dan begini?  Jika pernah, apakah reaksi anda dan orang-orang lain di sekeliling yang turut sama mengerumuni si petah berkata-kata itu?

Aku pernah berada di kawasan dan lokasi orang yang menjual ubat kuat ini hampir setengah jam.  Bukan kerana aku berminat untuk membeli ubat kuat tersebut, tetapi sebaliknya memerhatikan si penjual ubat dan gelagat orang yang datang mendengar hebahannya tentang sesuatu.  Memang, jangka masa setengah jam itu tidak cukup lama, berbanding dengan si penjual ubat yang mampu  berpidato hampir 3 atau 4 jam tanpa henti untuk mempromosikan ubatnya.  Namun, seperti yang aku katakan tadi, aku di situ bukan untuk membeli ubat sebaliknya hanya untuk memerhati.

Perhatikan, jika si penjual ubat ada di kawasan anda, pasti dia berjanji untuk menunjukkan sesuatu.  ‘Sesuatu’ itu sangat istimewa, dan dia mendapatkannya juga dengan cara yang sangat istimewa, dan dia hanya akan menunjukkan ‘sesuatu’ itu setelah dia menjelaskan tentang kehebatan ubat yang dibawanya pada malam itu.  Maka si penjual ubat pun mulalah bercerita tentang keunikan dan kehebatan ubatnya.  Namun apabila dia menyedari orang mula meninggalkan lokasinya, dia akan membuka semula cerita tentang ‘sesuatu’ tadi.  Dia mula membuka sedikit rahsia ‘sesuatu’ itu seperti jelmaan daripada roh terdahulu.  Cuba perhatikan, orang ramai tidak jadi pula meninggalkan kawasan itu kerana berhasrat menunggu lagi, dengan harapan mungkin ‘sesuatu’ itu sudah hampir dipamerkan.  Maka berterusanlah menunggu di situ.  Hal ini kekadang berlaku beberapa kali.  Malah ada yang bertekad meninggalkan kawasan itu dan kemudian datang kembali untuk melihat sama ada ‘sesuatu’ itu sudah dipaparkan atau belum.

Perhatikan situasi ini…

Apa yang menarik perhatian orang ramai bukan sekadar kepada ubat yang dijaja oleh si penjual ubat.  Sebaliknya apa yang sangat rahsia yang ingin ditunjukkan oleh si penjual ubat.  Rahsia itu ada kaitannya dengan penghasilan ubat yang dikatakan sangat mujarab itu.  Rahsia itulah yang sangat menarik perhatian orang ramai.

Di sinilah letaknya melihat dan percaya.  Apabila mereka berada di situ, mereka masih belum percaya tentang keunggulan ubat tersebut.  Namun mereka dijanjikan untuk diperlihatkan tentang sesuatu yang unik yang ada kaitan dengan ubat tersebut.  Andai dipaparkan dengan sebiji batu yang mengeluarkan cahaya berkilau-kilau, dan batu itu pula sangat unit dengan mengeluarkan bunyi dengungan apabila didengar dengan penuh perhatian.  Apa yang akan berlaku?  Pasti sahaja ubat jualan itu akan laris seperti pisang goreng panas.  Laris bukan kerana ubat, tetapi kerana si penjual ubat memperlihatkan sesuatu yang berjaya meningkatkan kepercayaan orang ramai kepada ubat tersebut…

Dalam hal ini, apabila kita melihat sesuatu yang sangat mengagumkan, maka kita akan membentuk satu kepercayaan dalam diri tentang orang yang memilikinya atau sesuatu yang ada kaitan dengannya.  Jika ada mudah dipengaruhi dengan kaedah ini maka anda perlu lebih berhati-hati…

Satu contoh mudah sebagai penutup.

Andaikan anda (perempuan) meminati Lisa Surihani.  Minat anda kepadanya kerana kecantikannya, keayuannya, cara percakapannya, dan sebagainya.  Maka berminatlah anda kepada si Lisa yang cantik rupawan itu dengan penuh perasaan.  Tiba-tiba anda terlihat satu iklan baru di televisyen, produk kecantikan…!  Dan yang lebih mengujakan adalah Lisa Surihani ialah model yang dikatakan telah menggunakan produk tersebut dan terbukti berkesan, dalam hanya 2 minggu je….

Pada ketika ini, melihat dan percaya berlaku dalam minda.  Melihat dengan mata menunjukkan betapa cantiknya Lisa dalam iklan itu.  Lisa tu memang dah cantik, tapi dalam iklan tu semakin cantik.  Dan anda mula membentuk kepercayaan dalam minda bahawa produk itu mampu untuk menjadikan anda secantik Lisa….

Fikir-fikirkan…

Jumaat, 3 Jun 2011

Melihat dan Percaya…

Salam penuh keindahan daripada aku buat kalian….

Untuk meningkatkan kepercayaan terhadap sesuatu, kita perlu diperlihatkan dengan bukti; kalau ada bukti, baru le percaya!  Apabila kita melihat sesuatu yang ada kaitan dengan hal yang ingin dipercayai maka meningkatlah tahap kepercayaan tersebut.  Sebagai contoh, apabila ada orang menyatakan bahawa ubat ini baik untuk penyakit itu dan ubat itu baik untuk penyakit ini.  Melalui pendengaran, kita mungkin hanya sekadar mendengar, atau jika lebih dari itu kita hanya teruja dengan apa yang diperkatakan.  Namun, jika diperlihatkan dengan bukti yang boleh dilihat, maka kita membentuk satu kepercayaan yang lebih jelas.  Lantaran itu, sekarang ini banyak syarikat yang menjual ubat cukup hanya menunjukkan gambar kejayaan produk tersebut dengan memaparkan ‘gambar sebelum’ dan ‘gambar selepas’.  Kenapa?  Kerana melalui penglihatan, kita mampu untuk membentuk satu kepercayaan.

Minda manusia menghasilkan imej.  Walaupun sesuatu maklumat itu ditulis dengan perkataan, namun imejlah yang akan terbentuk dalam minda manusia.  Sebagai contoh, apabila kita membaca perkataan epal, apa yang terhasil di minda kita bukanlah [e-p-a-l] itu tetapi sebaliknya imej sebiji epal.  Begitu juga jika perkataan yang dibaca adalah perkara yang berkaitan dengan hal abstrak contohnya ‘bahagia’ maka minda akan tetap cuba mentafsirkannya dalam bentuk imej seperti menggambarkan keseronokan sebuah keluarga atau sepasang kekasih, demi menggambarkan imej kepada bahagia tersebut.

Ini menjelaskan bahawa minda adalah sangat rapat dengan imej.  Minda akan menjelaskan sesuatu dengan memaparkan imej dan kita akan menjadi lebih faham dan jelas.  Bagaimana perkaitannya dengan kepercayaan?  Apabila minda telah memaparkan sesuatu dengan jelas (dalam bentuk imej atau gambaran) maka kita akan dapat menerima sesuatu dengan lebih mudah.

Catatan berikutnya akan menjelaskan sesuatu berkaitan hal ini…

Khamis, 2 Jun 2011

Siapakah Aku Sebenarnya..?

Salam penuh kebahagiaan…

cermin diriGambar daripada internet 

Jika aku pertanya kepada anda; Siapakah anda?  Adakah anda dapat menerangkan kepadaku dengan sejelasnya tentang sifat dan perilaku anda sepenuhnya tanda ada suatu perkara pun yang tertinggal?  Semuanya; luar dan dalam!

Kenapa isu ini yang kubangkitkan pada penulisan kali ini?

Aku mengutarakan penulisan berkaitan dengan diri adalah untuk membincangkan tentang siapa diri kita sebenarnya.  Diri kita bukanlah hanya sekadar apa yang dapat dilihat secara fizikal sahaja.  Jika itu sahaja yang menerangkan tentang diri kita, pasti mudah untuk menerangkan tentang diri.  Hanya berdiri di hadapan cermin dan membicara tentang gambaran imej yang terpapar…Namun, pada hakikatnya bukan itu sahaja diri kita.

Kita pasti sahaja terdiri daripada dua atau lebih sifat.  Sifat yang pertama adalah dari segi fizikal seperti yang dapat diperhatikan dengan jelas.  Sifat yang kedua adalah metafizik dalaman seperti perasaan dan emosi.  Sifat yang ketiga adalah sesuatu yang lebih tinggi iaitu keyakinan, kepercayaan, dan keimanan.

Pernahkah kita mengenal diri kita melebihi sifat yang pertama sahaja?  Pernahkah anda berfikir dan menilai siapa anda melangkaui sifat yang kedua dan ketiga?  Jika anda tidak pernah menilai siapa anda, bermulalah daripada sekarang.  Nilai diri anda sekarang untuk memastikan anda berjaya membina kejayaan yang lebih cemerlang dan berharga 5 atau 10 tahun dari sekarang.