Rabu, 16 Oktober 2013

Berkorbanlah….

Salam kedamaian daripada KM buat semua…

Dikesempatan ini KM hendak ucapkan selamat menyambut Aidil Adha kepada semua muslimin muslimat, dan sama-samalah kita berdoa agar ‘tetamu-tetamu’ ALLAH di tanah suci berada dalam keadaan sihat dan dipermudahkan semua urusan mereka di sana.

KM rasa, tentu kita masih berada dalam suasana hari raya korban.  Almaklum, kita masih boleh membuat sembelihan korban hingga hari keempat raya korban.  Jadi kepada sesiapa yang masih belum melaksanakannya, kita masih sempat untuk berniat dan terus melaksanakan korban.

KM tidak mahu bercerita tentang syarat atau kepentingan berkorban, KM cuma mahu mencuit rasa diri sendiri dan sesiapa yang ada untuk memikirkan perkara ini…

Seorang lelaki; sihat dan kacak, punya pekerjaan tetap yang terjamin, sentiasa bersemangat dan perokok (fakta diri yang terakhir tu agak kurang menarik….)

KM :  Korban ke tahun ni?

Lelaki kacak :  Tahun ni tak buat le sebab banyak duit nak guna.

KM :  Oh, mungkin tahun lepas dah buat agaknya.

Lelaki kacak : Tahun lepas pun tak buat sebab tak sempat.

KM :  Oh, mungkin tahun depan boleh buat….

Lelaki kacak : ……..

Perbualan ringkas KM dengan lelaki kacak yang ada duit dan perokok itu membuatkan KM terfikir tentang rasa orang berkenaan korban.  Ada orang beranggap korban itu hanya perlu dilakukan oleh keluarga yang kaya-kaya sahaja, bagi orang biasa dan pertengahan tak payah buat.  Itu adalah suatu fahaman yang sangat salah.

KM andaikan begini, gaji KM dalam anggaran RM39000 setahun, dan KM rasa malu kalau tak mampu sumbangkan RM400 untuk melaksanakan korban pada setiap tahun.  Fikir-fikirlah kepada sesiapa yang bekerja, apatah lagi golongan yang merokok.  Pasti anda mampu untuk melaksanakan ibadah korban ini dengan wang anda.

Ibadah korban ini sama juga dengan ibadah puasa dan haji, iaitu ibadah yang bermusim.  Habis masanya, tak ada lagi ibadah ini dikerjakan, dan kita hanya perlu menunggu setahun lagi untuk melaksanakannya.  Jadi masa yang ada inilah kita gunakan untuk melaksanakan ibadah korban ini…

Jika kita sudah biasa dan kekalkan untuk melaksanakan korban pada setiap tahun, pasti kita akan rasa keindahan dan nikmatnya, percayalah.….. 

Isnin, 14 Oktober 2013

Kawal apa yang kita rasa….

Salam kedamaian buat semua…

Rasa dalam hati, kekadang buat kita tenang kekadang buat kita bengang, namun semua itu akan selesai dengan baik jika kita pandai mengawalnya.

Berkaitan tulisan KM yang lalu iaitu Tarikan Tidak Sengaja… ada seorang rakan KM yang mempersoalkan; ‘dah tu takkan le kita ni tak boleh marah langsung?’  Pada mulanya KM hanya tersenyum sahaja, dan lepas dia selesai membebel dan melepaskan isi hatinya, barulah KM jelaskan…

Kita ini manusia…

Manusia dijadikan sebaik-baik makhluk kerana dijadikan sempurna, lengkap dengan akal fikiran, dan nafsu amarah.  Hanya kita yang menentukan mana arah tuju yang kita kehendaki.

Bila ditanya, adakah kita tidak boleh marah langsung?  Manusia memang ada kehendak untuk marah kerana adanya nafsu, namun jangan dibiarkan akal itu duduk diam-diam sahaja semasa kita marah itu, sebaliknya cepat-cepat kawal rasa marah itu dan biarkan akal kembali merajai diri kita.

Itulah kelebihan dan kehebatan minda kita.  Jika kita marah dan terus marah hingga akal entah ke mana, pasti banyak lagi keburukan dan kerosakan akan kita undang dalam kehidupan kita.

Isnin, 7 Oktober 2013

Merendah diri…

Salam kedamaian daripada KM buat semua.  KM doakan pembaca tulisan ini dilimpahi ALLAH dengan sepenuh kebaikan dan kebahagiaan.

Hari ini KM hendak berbicara berkenaan dengan merendah diri.  Merendah diri itu bagus, kerana ia berlawanan dengan sikap angkuh dan bongkak.  Pun begitu, kita jangan terlalu merendah diri, hingga kita MERENDAHKAN DIRI kita sendiri.

Mungkin sukar untuk difahami…

OK beginilah, ada kala kita perlu merendah diri supaya kita terhalang dan terhindar daripada sifat bongkak dan sombong.  Namun pernahkah kita sedar bahawa kekadang perbuatan merendah diri kita itu sebenarnya telah merendahkan diri kita sendiri.

Ada orang berkata kepada kita; baguslah awak ni…

Dan selalunya kita akan jawab; eh, tak adalah, saya biasa je.

Perbuatan inilah yang dimaksudkan dengan merendahkan diri sendiri.  Secara sedar atau tidak, kita telah menghantar mesej kepada minda kita bahawa kita ini orang yang biasa-biasa sahaja.  Semakin lama dan semakin banyak kita memasukkan mesej itu, maka minda dan tubuh kita akan mula bertindak bahawa kita ini memang orang yang biasa-biasa sahaja.

Sedarkah bahawa bila orang memuji kita, sebenarnya minda kita telah menangkap maklumat bahawa diri kita hebat, diri kita bernilai, diri kita unggul, dan pelbagai maklumat positif.  Namun kerana sikap merendahkan diri kita telah memasukkan bahawa maklumat itu salah dan kita sendiri memasukkan maklumat baru bahawa kita ini biasa-biasa sahaja.

Alangkah ruginya jika minda mula menerima hakikat bahawa kita ini orang biasa sedangkan kita ini hebat.

Jadi, apa yang perlu dilakukan?

Jika ada orang yang memuji, balas semula pujian itu dengan ucapan Alhamdulillah kerana setiap pujian itu harus diutamakan kepadaNya jua.  Kemudian balas pujian yang sama tentang kehebatan orang itu tadi.  Katakan kepadanya bahawa apa yang kita lakukan (hingga dia puji kita hebat dan bagus) itu adalah untuk kepuasan diri kita.  Jadi, rangsang minda rakan kita yang memuji itu dan dalam masa yang sama kita turut merangsang minda kita.

Jika kita dapat lakukannya, minda kita bukan sahaja menerima mesej yang baik daripada rakan malah kita juga mengirimkan mesej yang sama tentang kehebatan diri kita ke dalam minda kita sendiri.

Merendah diri ok, tapi jangan merendahkan diri.

Ops, KM memang rendah, tapi KM berjiwa tinggi.

Winking smile

Sabtu, 5 Oktober 2013

Bertindak lebih bagus

Salam kedamaian daripada KM buat semua, semoga kita semua sentiasa sihat dan bersedia untuk bertindak.

Kata seorang sifu;

Seorang yang bertindak lebih baik daripada 100 orang yang tidak bertindak.

Seorang yang bertindak 100 kali walaupun gagal lebih baik daripada 100 orang yang tidak bertindak walaupun sekali.

KM teringat ungkapan sifu ini kerana suatu situasi yang berlaku semasa KM menguruskan aktiviti pendidikan luar beberapa ketika dahulu.

Pada ketika itu, ada ekspedisi berakit.  Kebiasaannya, jika aktiviti di air ini, pengawasan dan standard prosedurnya sangat ketat dan diambil berat.  Itu adalah salah satu etika yang KM dan pasukan KM pegang dengan jelas apabila melaksanakan aktiviti pendidikan luar.

Kami berakit selama 3 hari.  Bermula eskpedisi selepas sarapan pagi, kami akan berhenti untuk makan tengah hari di lokasi yang ditetapkan dan selepas Zohor akan diteruskan perjalanan.  Hingga sampai pula ke lokasi seterusnya.  Biasanya, kami sebagai jurulatih pendidikan luar telah pun kenal pasti lokasi untuk berhenti kerana kami akan lakukan tinjauan awal sebelum program berlangsung.

Semasa tiba di lokasi kedua untuk penempatan sementara, kelihatan ramai peserta sudah mula letih.  Maklum saja, sudah hampir seharian kami berada dalam air, berhadapan dengan beberapa lokasi lubuk dan kawasan air berpusar.  Jadi apabila sampai di lokasi untuk penempatan sementara, peserta mula mendirikan khemah untuk berehat, ada yang memasak untuk makan malam, dan ada juga yang duduk saja. (Letih sangat le agaknya tu)

KM ajak seorang rakan untuk buat tandas sementara.  Biasanya tandas sementara ini bukanlah keperluan utama, tetapi mengenangkan kami ada peserta perempuan yang mungkin tidak selesa, jadi KM cadangkan untuk membina sebuah tandas sementara itu.

Kami mula mencari lokasi yang sesuai.  Apabila bertemu dengan lokasi yang sesuai, kami mula menggali.  Malang sekali, kawasan itu penuh dengan batu kelikir bercampur pasir sungai.  Ini menyebabkan usaha untuk menggali agak sukar.  Apabila lubang mula sedalam sekaki setengah, KM mengambil keputusan untuk menghentikan penggalian.  Ini kerana air mula keluar dari lubang yang KM gali.  Ini menunjukkan kawasan itu ada resapan dari air sungai.  Ternyata kawasan itu tidak sesuai untuk dijadikan tandas.

Kami beralih ke tempat lain pula.  Beberapa lokasi yang kami gali terjadi perkara yang sama.  Kami sudah semakin letih dan hampir untuk membatalkan untuk mengadakan tandas sementara ini.  Namun KM pujuk rakan KM itu, untuk lakukan sekali sahaja lagi pada lokasi terakhir.  Dan lokasi terakhir ini rupanya memang sesuai.  Tiada lagi air resapan keluar hingga memenuhi lubang yang digali.  Setelah siap lubang sedalam 5 kaki, kami mula memasang dinding tandas dengan menggunakan kanvas yang sedia ada.

Apabila balik ke kem, kami ditanya oleh ketua kami berkenaan ketiadaan kami.  KM menyatakan apa yang telah KM lakukan.  Pada ketika itu terdengar sindiran dan usikan daripada beberapa orang rakan yang lain tentang usaha kami itu.  Kata mereka, tak perlu bina tandas, kita hanya bermalam semalaman sahaja.  Tapi bagi KM usaha itu wajar dilakukan kerana peserta perempuan yang ada akan lebih selesa untuk membuang air.

Malam itu, secara tidak disangka, salah seorang pegawai dari jabatan hadir ke lokasi untuk memantau.  Beliau dan beberapa orang pembantunya sampai ke lokasi melalui jalan darat.  Ketika inilah semuanya bermula…  Pegawai itu memaklumkan perlu untuk membuang air kerana sakit perut.  Dia bertanya, adakah ‘buang’ di sungai sahaja?  Nampak dia agak kurang selesa.  Ketua ekspedisi memaklumkan yang ada tandas sementara disediakan.  Dan jelaslah bahawa pegawai itu rasa sangat bersyukur.

Walaupun tandas sementara itu tidak seselesa tandas lain yang ada di luar, namun tandas itu ternyata sangat berguna di saat pegawai itu tiba.  Ternyata, tindakan KM dan rakan KM itu tepat dan tidak sia-sia kami berusaha untuk menyiapkannya walaupun berhadapan dengan beberapa masalah pada awalnya.

Inilah yang menyebabkan KM teringat kembali ungkapan sifu KM itu tadi; seorang yang bertindak lebih baik dari 100 orang yang tidak bertindak, dan seorang yang bertindak 100 kali walaupun gagal lebih baik dari 100 orang yang tidak bertindak walaupun sekali.

Khamis, 3 Oktober 2013

Tarikan tidak sengaja…

Salam kemakmuran daripada KM buat semua.

Kita telah maklum bahawa dengan getaran dan frekuansi yang sama, kita akan menarik perkara yang sama mendekati kita.  Jika kita pancarkan getaran positif, maka perkara positiflah yang akan hampir dan bersatu dengan diri kita.

Dalam kehidupan ini, apabila ditanya; apakah yang kita mahukan?  Positif atau negatif?  100% pasti kita akan jawab kita mahukan perkara positif.  Namun, percaya atau tidak ianya sangat sukar untuk kita lakukan kecuali kepada orang yang telah benar-benar bersedia.  Ia tidak susah namun perlu latihan dan terus dengan latihan untuk kekal positif dan menjauhkan negatif.

Kenapa dalam usaha mahukan perkara positif sentiasa ada dengan kita, namun masih ada perasaan negatif?  Ini adalah kerana kita sentiasa berada dalam lingkungan dua getaran ini.  Hanya kita yang patut berusaha untuk menguatkan lingkaran positif untuk terus kekal bersama dengan kita.

Tarikan tidak sengaja bermaksud, kita secara tidak sengaja menarik perkara yang kita tidak mahukan dalam diri.  Ini jelas menunjukkan walaupun kita sentiasa berusaha untuk positif, namun secara tidak sengaja kita akan tetap berhadapan dengan perkara negatif.

KM berika suatu contoh yang mungkin biasa kita alami…

Semasa sedang memandu, tiba-tiba ada sebuah kereta memotong kita dengan lagak yang berbahaya.  Apa perasaan kita pada ketika itu?  Pasti sahaja kita akan merasa marah.  Nah, pada ketika ini, jika kita tidak mengawalnya pasti lingkaran negatif ini akan menjadi lebih besar, dan padahnya akan membawa kepada perkara negatif yang lebih banyak.

Andai jika semasa kita marah akibat sikap pemandu tadi, kita pun akan menekan minyak dengan lebih kuat untuk mengejar kereta tersebut (satu bentuk perkara negatif telah terjadi).  Kita bukanlah berniat untuk mengejar kereta itu, namun itu adalah tindakan refleks seperti cuba memprotes kepada pemandu tadi.

Sedang kita memecut tiba-tiba kita ditahan oleh seorang polis trafik dengan motosikal perondanya (sudah dua perkara negatif hadir dalam diri kita).

Kita mungkin bertindak mempersoalkan penahanan tersebut.  Kita mempertikaikan kenapa tidak ditahan sahaja kereta yang berada di hadapan kita sedangkan kereta itu yang memandu dengan berbahaya tadi.  Mungkin terjadi pertelingkahan kecil dengan polis itu tadi kerana polis itu menyatakan yang dia tidak nampak kesalahan kereta tadi sebaliknya yang dia nampak adalah tindakan kita memecut (Nah, sudah tidak perkara negatif berlaku kerana bertengkar)

Akhirnya kita disaman kerana memandu dengan laju (Sudah empat perkara negatif terjadi kepada kita)

Bermula dengan tidak sengaja kita menarik perkara negatif kesan pemanduan orang lain, akhirnya kita yang menerima empat perkara negatif lain berlaku dalam diri kita.

Memang hal ini sekadar contoh, namun ia benar-benar berlaku jika kita tidak mengawal cara pemikiran dan perasaan kita  tadi.

Selasa, 1 Oktober 2013

Perkataan….

Salam kedamaian daripada KM buat semua.

Perkataan oh perkataan….

Dalam kehidupan kita, sentiasa kita bercakap, berbual, dan menulis.  Hukum komunikasi, apabila bercakap dan sebagainya yang di atas, pasti kita akan menggunakan perkataan.  Jadi perkataan memainkan perkara penting dalam komunikasi.

Perkataan yang diungkap bermula daripada pemikiran.  Kita yang memikirkannya dan mengungkapkan sama ada dalam bentuk verbal atau tulisan.  Jadi, setiap ungkapan itu bermula daripada pemikiran.

Jika pemikiran kita positif, maka pasti ungkapan perkataan yang digunakan juga adalah positif.  Jika sebaliknya maka pasti perkataan yang kurang enak akan sentiasa diungkapkan.

‘Aduh malangnya aku hari ini….!’

‘Hari ini hari malang aku….semua perkara serba tidak kena!’

Tentu kita pernah berhadapan dengan orang yang menyatakan perkara seperti di atas.  Lihatlah bagaimana daripada pemikiran mereka, mengungkapkan perkataan yang sangat negatif (malang).  Percayalah bahawa apabila mereka menyatakan perkataan malang itu, menyebabkan getaran perasaan dan emosi mereka pasti berada seiring dengan getaran negatif.

Apa yang akan berlaku?  Pasti sahaja mereka akan menarik lebih banyak perkara negatif dan ‘malang’ mendekati mereka.  Kalau tak percaya cuba le ungkapkan….pasti di akhir hari ini kita akan merasa sangat kesal kerana merungut tentang malang yang pertama di awal pagi tadi.

Jika kita berhadapan dengan situasi ini, contohnya mendapat suatu bentuk cubaan di awal pagi, katakanlah kita terbangun lewat.  Jangan terus kesal dan mengungkapkan perkataan negatif seperti di atas.  Cuba kekal bertenang dan lakukan apa yang perlu.  Jika terbangun lewat, segera uruskan diri.  Jika perlu maklumkan ke pejabat atau sesiapa yang berkenaan, maka maklumkan tentang kelewatan kita, dan seterusnya terus bergegas ke tempat kerja atau apa yang perlu dilakukan pada ketika itu.  Jangan terus keluarkan perkataan kekesalan kerana kelewatan itu.

Pemikiran kita akan jadi lebih tenang dan bersedia menghadapi keadaan di hadapan kita untuk memperbetulkan kesalahan kerana kelewatan kita tadi.  Pemikiran yang tenang ini pasti akan menarik perkara yang lebih positif berbanding pemikiran negatif yang menyebabkan banyak lagi perkara buruk akan berlaku.

Jika di awal pagi itu kita lewat dan terus keluarkan perkataan negatif, maka tidak hairan jika kita akan terus ‘ditimpa’ banyak kesusahan lagi.  Sudahlah lewat bangun, motosikal pula rosak di tengah jalan.  Apabila sampai di pejabat, kena marah pula dengan boss.  Klien yang menunggu sejak tadi juga hilang entah ke mana.  Nampak tak bagaimana keadaan perkataan negatif yang dikeluarkan atas kelewatan bangun tadi menyebabkan lebih banyak perkara negatif akan berlaku.

Jika inilah yang berlaku maka kita akan sesal kerana mengeluarkan kata malang tadi, kerana kita memang memanggil malang itu untuk datang bertimpa-timpa kepada diri kita.