Isnin, 28 Februari 2011

Kemarahan…Di mana nilai kewarasan?

Salam penuh keceriaan…(jangan marah-marah hari ini)

marah Gambar daripada internet

Anda pernah marah?  Saya mengaku setulusnya yang saya pernah marah.  Sebagai manusia biasa yang punya keinginan tersendiri, pasti wujud rasa marah apabila keinginan itu diganggu.  Namun, sebagai manusia, kita juga dilengkapkan dengan akal dan fikiran.  Pada akal dan fikiran inilah terletaknya kewarasan untuk membuat penilaian kembali tentang kemarahan itu.

Apa yang kuceritakan ini bukan untuk memburukkan sesiapa kerana tiada nama orang dan tempat sebenar digunakan.  Apa yang kuceritakan ini juga semata-mata untuk menjadi bahan agar kita dapat memikirkan situasi ini pada diri kita….

Kita mungkin biasa melihat orang marah.  Kita mungkin biasa melihat orang bergaduh.  Kita mungkin biasa melihat ORANG LELAKI bertumbuk.  Namun, kejadian baru-baru ini adalah kejadian ORANG PEREMPUAN ‘bertumbuk’ yang berlaku di hadapan mataku.  Bukan seksis kepada jender (lelaki bertumbuk takpe, kalau perempuan je mula rasa pelik), BUKAN!  Namun cuba selami dahulu situasi yang ingin aku ceritakan ini.

Apa yang aku lihat ketika itu bermula dengan serang mulut daripada Kiah (bukan nama sebenar) kepada Mah (juga bukan nama sebenar).  Serangan mulut itu dijawab dengan lembut dan selamba oleh Mah.  Hal ini telah meningkatkan lagi api kemarahan di dada Kiah.  Kiah mula menjerit-jerit menyatakan kebenciannya kepada Mah.  Pada ketika ini aku sudah menjangkakan bahawa Kiah sudah ‘kurang waras’nya kerana kemarahan yang menyelubunginya.  Dan hilangnya kewarasan itu membuatkan Kiah menerkam Mah dan mencekiknya.  Mah terlentang ke belakang dan Kiah terus menerkam dan mencekik mangsanya lagi sambil menggoncang-goncangkan tubuh lawannya.  Mulutnya tidak berhenti bertempik tentang kebenciannya.

Pada ketika ini beberapa orang yang lebih hampir dengan kedua-dua yang sedang bergelut itu cuba meleraikan pergaduhan.  Namun ternyata kekuatan Kiah tidak mudah dileraikan.  Beberapa orang yang lain terus memberi bantuan dan tiba-tiba Kiah pengsan.  Semua yang berada di situ dan yang lalu lalang di kawasan itu terus merapat untuk melihat kejadian sebenar.  Mah telah dibawa pergi oleh seseorang, mungkin untuk menyembunyikannya daripada Kiah, atau mungkin dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan.  Kiah pula terus pengsan sambil beberapa orang mula memberi bantuan untuk memulihkannya.

Beberpa ketika kemudian, Kiah mula sedar.  Perkara pertama yang ditanya ialah ‘Mana Mah?!’  Jelas sekali api kemarahannya masih belum padam.

Kiah telah ditanya oleh seorang lelaki yang dihormati di kawasan itu tentang punca masalah, mungkin untuk diselesaikan.  Namun Kiah menceritakan tentang Mah yang bertindak mencekiknya.  Ketika bercerita, pandangan Kiah kosong, hanya terus memandang ke hadapan.  Pandangan yang tiada makna.  Dia seperti ‘hilang ingatan’, namun kadang kala sedar kembali.  Kiah akhirnya dibawa ke hospital.  Apa yang berlaku kepada mereka berdua, tidak aku ketahui selepas kejadian itu.

Kenapa aku menceritakan semua ini?  Ingin aku tegaskan lagi bahawa aku tidak bersikap seksis dalam situasi ini.  Namun apa yang berlaku sangat memalukan.  Pertama, ia berlaku di kawasan terbuka yang boleh dilihat oleh sesiapa.  Kedua, aku tahu mereka berdua orang yang bukan sebarangan kerana pakaian mereka sedikit mewah berbanding orang biasa.  Ketiga, ketika mereka ‘bergelut’ tersingkap pakaian mereka di sana sini, hingga tidak sanggup aku nyatakan di sini.  Segalanya menunjukkan kemarahan yang amat sangat sehingga mereka tidak memperdulikan situasi sekeliling mereka.

Lihatlah, bagaimana kemarahan boleh menghancurkan kewarasan.  Jadi, di mana otak dan fikiran kita yang boleh menilai sama ada perkara itu baik atau buruk, sama ada perkara itu boleh atau tidak kita lakukan, sama ada perkara itu wajar atau tidak?  Segalanya sudah hilang kerana kemarahan menyebabkan fungsi otak tersekat.  Segalanya berlaku kerana kemarahan itu dibiarkan merebak dan memuncak.

Lantaran itulah kita dianjurkan untuk mengawal kemarahan itu daripada merebak.  Jika kita marah dan ketika itu kita sedang berdiri, maka duduklah.  Jika sedang duduk, maka berdiri.  Jika tidak berjaya, segeralah mengambil wuduk, beristighfar dan bersolat.  Pasti kemarahan akan berjaya dikawal. 

Akal dan minda kita adalah yang paling hebat, namun ia mampu ditewaskan oleh NAFSU…

Selasa, 22 Februari 2011

Kuasa Pemikiran dan Perkataan

Sepasang suami isteri yang bekerja sebagai pemungut buah kelapa sawit, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka setelah seharian bekerja di ladang.  Dengan menaiki motosikal Honda C70 yang sudah agak uzur, mereka meninggalkan ladang dengan perasaan yang sangat riang kerana baru sahaja menerima upah kerja selama seminggu.

Suami Nanti bila ada duit lebih, abang akan belikan kereta untuk kita
   
Isteri Alah, tak payah lah kita nak berangan, bang…
   

Perbualan mereka bermula apabila ada sebuah kereta Honda cantik kepunyaan tuan ladang kelihatan diparking di bahu jalan.  Mungkin tuan ladang bersama dengan mandur sedang meronda di dalam sana…

Suami Alah…bukan nak beli kereta yang besar.  Kereta lama yang masih boleh jalan pun dah ok le tu…
   
Isteri Alah bang oi…kita ni dah ada motor buruk ni pun dah patut bersyukur dah ni…
   

Motosikal uzur bersama dengan sepasang suami isteri yang keletihan itu terus berlalu membelah samar-samar senja menuju ke rumah mereka…

Situasi di atas adalah salah satu bentuk perbualan yang sering kita / aku sendiri, mendengarnya.  Di manakah agaknya kuasa perkataan, kuasa pemikiran, kuasa emosi yang wujud dalam perbualan itu?  Dan apakah agaknya kesan yang akan berlaku kerana pemikiran, perkataan, dan emosi yang hadir semasa situasi ini berlaku?  Sama-sama kita fikirkan.

Isnin, 21 Februari 2011

Antara Doa dengan Kuasa Minda

Salam penuh kemakmuran kepada semua…

Sekitar dua minggu yang lalu, aku telah berjaya melalui satu bentuk cabaran yang tidak kurang hebatnya.  Melalui pengalaman cabaran itu telah membuatkan semakin bersemangat dan berkeyakinan bahawa ALLAH itu ada dan terus menguasai kepada setiap sesuatu.  Pengalaman yang dilalui juga telah menguatkan lagi keyakinan dan kepercayaanku terhadap kuasa minda anugerah ALLAH kepada setiap manusia.  Namun begitu, biarkan sahaja ia menjadi kenanganku.  Kerana aku takut jika aku terus mengingatinya, ia akan terus ‘memburu’ku…

Namun apa yang menjadi keyakinan aku bertambah adalah berkenaan Hukum Tarikan.  Dalam hukum tarikan, semakin kuat kita menginginkan sesuatu itu maka semakin kerap atau semakin hampir ia dengan diri kita.  Namun, jika kita tidak memikirkannya, maka semakin jauh dan semakin hilang ia daripada kehidupan kita.

Namun begitu, doa adalah sesuatu yang sangat penting.  Ini adalah kerana, hukum yang ada tetap kepunyaanNya jua.  Jika DIA tidak mengizinkan hukum alam ini terlaksana maka pasti ia tidak akan terlaksana.  Maka doa dan permintaan terus kepadaNya adalah sesuatu tindakan yang akan terus menguatkan kuasa minda dalam diri manusia.

Doa boleh dilakukan setiap masa, 24 jam sehari, 7 hari seminggu, tanpa ada masa ‘henti’ atau cuti.  Namun, doa yang dipinta haruslah selari dengan apa yang kita inginkan dan apa yang kita rasakan.  Contohnya jika kita berada dalam keadaan sakit, kita berdoa minta disembuhkan.  Namun dalam masa yang sama kita sentiasa memikirkan yang penyakit kita itu pasti tidak dapat disembuhkan lagi.  Maka apakah agaknya nilai doa kita tadi?

Bernilai atau tidak doa itu tidak dapat aku pastikan.  Namun yang pasti adalah dalam diri kita sendiri akan merasa ‘jatuh’ dan tidak bersemangat jika dalam berdoa kita meminta agar disembuhkan, namun dari dalam fikiran kita menidakkannya.  Maka pasti diri kita sendiri akan menolak apa sahaja yang mungkin akan berlaku.

Ingatlah bahawa kuasa ALLAH adalah kuasa yang mutlak.  Namun, ALLAH telah menjanjikan bahawa kita; manusia, dijadikan sebagai sebaik-baik makhluk.  Ketinggian darjat kita berbanding semua makhluk yang lain adalah daripada kurniaan terhadap akal dan fikiran.  Akal dan fikiran inilah yang melaksanakan hukum alam yang terlibat dengan kuasa minda manusia.  Maka sama-samalah kita mencari jawapannya dan menjadi orang yang hebat minda untuk menjadi manusia yang hebat untuk melaksanakan semua tugas kita di sini dan di sana nanti… 

Ahad, 20 Februari 2011

Alhamdulillah…

Salam bahagia buat semua…

Hari ini, aku berasa sangat gembira dan bersyukur dengan rasa yang sangat teruja kerana dapat menulis semula di sini.

Telah lama benar aku tidak dapat mencatatkan tulisanku di sini sejak aku ditimpa musibah baru-baru ini.  Alhamdulillah, segalanya sudah berakhir dan insyaALLAH aku akan dapat menulis kembali.

Sabtu, 5 Februari 2011

Hipnosis

Salam penuh kecemerlangan buat semua…

hipnosis Gambar daripada internet

Bagi diriku sendiri, ilmu hipnosis ini adalah suatu ilmu yang baru.  Ilmu ini asing bagiku.  Namun, ia ada kaitannya dengan minda manusia.  Pada pandangan sesetengah orang, ilmu hipnosis dikaitkan dengan pukau.  Mungkin benar, dan mungkin tidak.  Ini adalah kerana, perjalanan dan cara pelaksanaan hipnosis kelihatan seperti memukau seseorang, namun sebenarnya ia tidak bersifat pukauan.

Hipnosis berlaku dalam keadaan diri kita berada dalam keadaan yang tenang.  Berada antara jaga dan tidur.  Tidak dan bukan tidur sepenuhnya seperti terkena pukauan.  Lantaran itu, hipnosis tidak boleh dianggap seperti ilmu pukau.

Semasa hipnosis dilakukan, diri kita akan kelihatan seperti ‘tidur’, tetapi kita masih mampu untuk mendengar dan berinteraksi.  Dari segi sains kuasa minda, hipnosis adalah cara untuk memasuki ke alam minda separa sedar seseorang dengan cara menghipnosis individu tersebut.  Pada ketika itu, kita boleh mem’program’ seseorang itu mengikut apa yang dikehendakinya.

Satu contoh program yang dapat dilakukan melalui hipnosis adalah menghilangkan ketagihan merokok.  Umum telah tahu bahawa seorang perokok amat sukar untuk menghentikannya.  Ini adalah kerana, tubuh badannya telah memprogramkan bahawa dia perlu mengambil rokok pada ketika dan masa tertentu.  Jika tidak mengambil rokok maka ketagihan akan berlaku, kedudukan dirinya menjadi tidak senang dan tenteram selagi tidak menyedut asap rokok.  Ini menunjukkan bahawa badannya telah diarah oleh minda untuk menerima rokok pada ketika itu.  Melalui hipnosis, diri perokok boleh diprogramkan semula untuk menghentikan tabiat itu.  Keadaan ini berlaku apabila minda separa sedar perokok tersebut diaktifkan dan diberikan saranan untuk meninggalkan tabiatnya itu.

Hipnosis adalah satu situasi dan fenomena semula jadi dan natural.  Hal ini akan kujelaskan dalam catatan seterusnya….

Jumaat, 4 Februari 2011

Minda Separa Sedar ~ 4

Salam penuh kecemerlangan buat kita semua….

Kaedah dan cara ketiga untuk meningkatkan Minda Separa Sedar kita adalah dengan cara melakukan hipnosis.

InsyaALLAH, aku akan menerangkan secara lebih lengkap berkenaan hipnosis pada catatan akan datang.  Namun, secara ringkasnya, hipnosis adalah salah satu cara untuk memprogram semula pemikiran manusia.

Apabila diri telah dihipnosis, maka setiap saranan yang diberikan kepada diri akan lebih diterima.  Ini adalah kerana, semasa hipnosis berlaku kepada diri kita, Minda Separa Sedar telah dirangsang.  Minda Separa Sedar yang mengawal perlakuan dan tindak tanduk kita secara tidak kita sedari telah menerima suatu bentuk arahan baru untuk dilaksanakan dan diri kita akan berubah mengikut apa yang diarahkan semasa terhipnosis.

Catatan berikut akan membincangkan tentang hipnosis.

Semoga sama-sama kita dapat membincangkan  tentang ilmu ini….

Khamis, 3 Februari 2011

Minda Separa Sedar ~ 3

Salam penuh kebahagiaan buat semua…

Cara kedua untuk meningkatkan keupayaan dan merangsang Minda Separa Sedar adalah dengan melakukan pernafasan terarah.  Pada hakikatnya, apabila kita melakukan pernafasan yang betul dengan penumpuan yang betul, maka kita telah ‘menenang’kan diri kita.  Ketenangan adalah salah satu perkara penting dalam meningkatkan keupayaan kuasa minda.

Apabila kita berjaya melakukan pernafasan terarah, maka diri kita akan dapat memancarkan getaran yang sesuai dengan apa yang hendak kita lakukankan dalam kehidupan.  Pancaran getaran rasa yang kuat akan menarik apa yang kita impikan itu dengan lebih kuat.  Di sinilah apa yang dinamakan Kuasa Minda Separa Sedar akan dapat dilihat dengan lebih berkesan.