Selasa, 28 September 2010

Menuju Kejayaan...~Bicara 3

Bicara 3 berkenaan menuju kejayaan adalah;
RASAI KEJAYAAN TERSEBUT

Apa yang ingin dinyatakan di sini adalah, setelah kita mempunyai impian dan matlamat, dan setelah kita merangka dan melaksanakan tindakan untuk mencapai matlamat tersebut, kita perlu ada 'rasa' yang kita memang dan pasti berjaya.

Hal inilah yang sering kita tinggalkan dalam mencipta sesebuah kejayaan.
Kita sering lupa, atau memang tidak mengetahuinya bahawa setiap perasaan dan lintasan kata-kata hati kita akan memberi kesan kepada kejayaan atau kegagalan dalam hidup kita.

Memang kita mahukan kejayaan, namun kadang kala kita sentiasa terfikir; 'boleh ke ni..?'
Lintasan hati dan kata-kata negatif seperti inilah yang sebenarnya membantutkan kuasa minda manusia dalam melaksanakan operasinya dengan jaya.

Apa yang perlu kita lakukan adalah merasai, dan menjiwai kejayaan tersebut.
Jika kita impikan kejayaan dalam perniagaan dengan memiliki sebuah bangunan besar, kita perlu rasai yang perkara itu memang sudah benar-benar berlaku. Rasai seyakinnya bahawa ia memang akan berlaku. Jika boleh, lalu depan kedai tersebut setiap hari, bayangkan yang kita memang hendak ke sana untuk meneruskan perniagaan hari ini. (Tapi janganlah masuk terus dan buat seperti harta sendiri, sehingga benar-benar berlaku...nanti ada pula yang masuk ke balai).

Apa yang dinyatakan di sini adalah, pengaruh emosi, dan keyakinan diri, memainkan peranan yang sama penting dalam mencipta kejayaan. Jika kita mampu mengawal emosi dan keyakinan untuk mencapai kejayaan tersebut, maka ia pasti akan berlaku...

ps ~~ catatan berikutnya akan menyentuh tentang langkah2 ini dari perspektif Islam pula....

Isnin, 27 September 2010

Menuju Kejayaan... ~Bicara 2

Setelah kita menetapkan apa yang kita mahukan,
Langkah seterusnya adalah melaksanakan tindakan..!

Jika kita hanya ada keinginan untuk mendapatkan sesuatu, namun tidak berusaha untuk mendapatkannya, maka ia hanya sekadar berangan-angan. Beza antara angan-angan dengan impian adalah pada langkah kedua ini iaitu tindakan.

Sebagai seorang yang hendak berjaya, tindakan yang diambil haruslah bijak.
Mungkin kita akan gagal pada tindakan yang diambil untuk mendapatkan apa yang kita ingini.
Ini bukanlah bermakna kita tidak layak untuk mendapat kejayaan itu.
Ia hanya sekadar satu situasi dan keadaan yang akan terus mematang dan menambahkan lagi kemanisan pada kejayaan yang bakal kita perolehi.

Langkah kedua ini adalah perkara yang agak penting dalam menuju kejayaan.
Tindakan yang betul atau salah, akan mempengaruhi kejayaan yang akan diperolehi.

Ahad, 26 September 2010

Menuju Kejayaan... ~ Bicara 1

Kita semua mahukan kejayaan.
Namun, adakah usaha dan tindakan kita selama ini menjurus kepada mencapai kejayaan tersebut?

Langkah pertama untuk mencapai kejayaan ialah menetapkan matlamat.
Matlamat yang ditetapkan haruslah jelas dan terperinci.
Matlamat itu juga haruslah sesuai dengan kehendak dan keinginan sebenar kita.
Ia bukan main-main, ini serius...!

Letakkan dan tetapkan matlamat dengan jelas.
Jika anda mahukan sebuah rumah, maka jelaskan dengan sejelasnya tentang rumah itu; lokasinya, harganya, bentuknya, warnanya.... Biarkan minda benar-benar terangsang dengan matlamat yang anda tetapkan itu.

Bersambung....

Sabtu, 25 September 2010

Takutnye...!

Percayakah anda jika kukatakan bahawa, rasa takut adalah salah satu perkara yang negatif..?

Memang pun...
Memang, rasa takut adalah salah satu perkara negatif.
Takut lawannya berani.
Takut adalah negatif, dan berani adalah positif.

Semakin kerap kita merasa takut kepada sesuatu, semakin hampir kita kepadanya.
Ini adalah salah satu hukum alam yang akan terjadi kepada kita.

Cuba bayangkan,
Apabila kita merasa takut kepada hantu, maka semakin kerap kita merasa hantu itu ada dan wujud untuk menakutkan kita. Hinggakan, apabila berada di tempat gelap pun kita akan terus terbayangkan yang hantu akan muncul tiba-tiba dan mengganggu kita.
Semakin kita bayangkan rasa takut kepada hantu itu, hinggakan nampak bayang-bayang sendiri pun kita terus menjerit ketakutan kerana menyangkakan hantu datang.

Cuba ubah rasa takut itu kepada berani.
Bagaimana nak ubah rasa takut kepada berani jika kita memang takutkannya?
Caranya ialah kita mesti menghadapi rasa takut itu.

Jika takutkan tempat gelap, maka terus melatih diri berada di tempat gelap. Bermula dengan berada di dalam rumah sendiri. Latih sedikit demi sedikit hingga kita yakin berada di mana saja tempat gelap yang ada.

Jika takutkan tempat tinggi, latih diri berada di tempat tinggi. Mulakan dengan ketinggian yang sederhana dahulu. Semakin lama, keyakinan untuk berada di tempat tinggi semakin kuat menguasai kita dan akhirnya rasa takut itu akan hilang.

Masa kecil dulu, aku 'takut' nak lihat darah.
Kalau nampak darah, mulalah kalut semacam, dan berpinar-pinar mata, hampir pitam.
Aku terus menghadapinya. Sedikit demi sedikit, rasa takut itu mulai hilang sehingga akhirnya sekarang, aku mampu untuk memberi bantuan kecemasan jika berlaku kemalangan.

Itulah caranya untuk mengelakkan rasa takut.
Hadapi rasa takut itu...
Yakinkan diri yang kita berani menghadapinya...
Semakin kuat kita menyakini bahawa kita mampu menjadi berani menghadapi rasa takut itu, semakin cepat rasa takut itu hilang dari diri kita...

Isnin, 20 September 2010

Kita Semua adalah Jutawan...

Ada cerita yang pernah aku baca.
Tapi tak ingat baca di mana.
Apa yang pasti, ia mempunyai maksud yang sangat mendalam...

Ada seorang lelaki separuh umur yang hidup miskin dan melarat. Kehidupannya kais pagi makan pagi. Tiada berumah tempat berteduh dan tiada bersaudara tempat mengadu. Kehidupannya sangat miskin dan menyedihkan.

Setiap hari, merataplah si pengemis ini tentang untung nasibnya yang sentiasa dirundung malang. Dia sentiasa mempertikaikan, kenapa dia tidak terpilih untuk menjadi salah seorang daripada orang yang kaya? Kenapa dia mesti menjadi seorang pengemis? Kenapa dia, kenapa tidak orang lain?

Hampir setiap masa, pengemis itu merintih dan mempertikaikan keadaan nasib hidupnya itu.
Sehinggalah suatu hari, lalu seorang lelaki tua di kawasan pengemis itu melarat dan mendengar kata-kata rintihan pengemis itu. Lelaki tua itu berhenti dan mendengar dengan penuh minat beberapa ketika...

"Mahukah kamu jika aku berikan kekayaan kepadamu?" tanya lelaki tua itu.
Pengemis itu memandang lelaki tua itu dengan penuh harapan. Matanya bersinar terang dan meyakinkan. Dia tersenyum sambil mengangguk-angguk.

"Tapi, kamu kena tukarkan kekayaan itu dengan barangan yang ada padamu..." kata lelaki tua itu lagi.
Pengemis itu bersetuju kerana apalah sangat barangan yang dia ada melainkan sepasang baju buruk yang lusuh dan hapak, sebelah tempurung yang sudah sopek menjadi bekas tadahannya, sebarang tongkat dari kayu yang ditemui di parit besar, dan sekeping kertas tebal buat pengalas tidurnya. Jika semua barangan itu hendak ditukarkan dengan kekayaan, maka dia sanggup memberinya.

"Berikan kepadaku tangan kananmu dan aku bayar RM5000", kata lelaki tua itu.

Pengemis tergamam dan terkedu. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak mahu.

"Baiklah, berikan kaki kirimu dan aku bayar RM30 000!" kata lelaki tua itu.
"Tidak!" kata pengemis sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Kalau begitu, berikan aku kedua-dua matamu dan aku bayar dengan harga RM1 juta..!"
"TIDAAAAKKKKKK!" jerit pengemis itu.

"Kamu lelaki gila!" jerit pengemis kepada lelaki tua itu.


"Aku tidak gila," balas lelaki tua.
"Aku tidak gila, sebaliknya kamulah yang gila. Kamu gila kerana kamu sentiasa merintih dan mempersoalkan tentang nikmat yang ALLAH berikan. Kamu nampak keindahan lain namun kamu tidak pernah nampak dan bersyukur dengan apa yang kamu ada. Dengan apa yang kamu ada, kamu sudah cukup kaya..! Malahan dengan kekayaan itu kamu akan dapat mencari lebih banyak kekayaan-kekayaan lain yang menyenangkan hidup kamu. Sebaliknya kamu tidak pernah mahu memikir dan menggunakannya. Kerana kamu GILA!" kata lelaki tua itu sambil berlalu.

Pengemis itu terkedu dan mula memikirkan apa yang dikata. Dia menangis teresak-esak. Orang ramai yang melalui jalan itu semakin ramai dan berpusu-pusu ke tempat tujuan masing-masing, dan tiada seorang pun yang memperdulikan seorang pengemis yang sedang menangis di situ....

Sabtu, 18 September 2010

Mencari Kegembiraan dan Kebahagiaan

Apakah erti kegembiraan dan kebahagiaan dalam hidup anda?
Bilakah agaknya anda merasa sangat gembiran dan bahagia?
Kegembiraan dan kebahagiaan adalah antara perkara yang perlu ada dalam kehidupan manusia.
Semua manusia mahukan kegembiraan dan kebahagiaan.
Malah, dalam Islam juga menetapkan setiap perkara baik itu akan dibalas dengan kebaikan (yang menunjukkan unsur kegembiraan dan kebahagiaan di sana nanti)
Apabila kita merasa gembira dan bahagia, getaran mental akan bergetar pada tahap alpha. Hal ini akan memancarkan getaran positif daripada diri kita. Getaran positif yang sama akan tertarik pada pancaran yang kita keluarkan menyebabkan lebih banyak getaran positif lain menghampiri kita.
Lihat dalam kehidupan kita seharian;
Semakin banyak kebaikan kita lakukan kepada orang lain, semakin ramai orang akan menghampiri dan mendampingi kita. (Begitulah jika sebaliknya...)
Semakin kerap kita berbuat baik dan memberi kegembiraan kepada kita, semakin ramai orang akan memberi senyuman, sokongan, dan bantuan kepada kita.
Hal ini adalah salah satu daripada hukum alam yang telah DIA tetapkan.
Cari kegembiraan dalam kehidupan kita.
Bina kegembiraan itu...
Tunjukkan kepada semua orang dan kongsikan kegembiraan itu.
Diri kita akan bertambah positif dan berkembang menjadi insan yang berguna kepada semua apabila kegembiraan itu menguasai diri kita.

Jawab soalan dengan pelbagai soalan

Pernah aku bertanya kepada seseorang, apakah impian dalam kehidupan?
Dia menjawab; nak jadi orang yang kaya...
Aku tanya lagi; kenapa nak jadi orang kaya?
Dia menjawab; errr..... aaa....
Lepas tu senyap...!
Anda pula bagaimana?
Apakah impian anda?
Mungkin anda perlu memikirkan kembali tentang impian jangka pendek dan matlamat jangka panjang anda untuk menjadikan perjalanan kehidupan kita lebih bererti.
Cuba bina soalan demi soalan hingga anda benar-benar yakin dan pasti tentang apa yang ingin anda capai dalam kehidupan.
Katakanlah, ada diberikan masa 1 tahun untuk mencapai impian anda...
Dalam masa satu tahun, anda ada masa lapang tanpa apa-apa kerja yang perlu anda lakukan, tanpa ada apa-apa dateline yang perlu anda risaukan, tanpa paksaan dan tekanan oleh sesiapa, dan anda hanya perlu mencapai matlamat anda yang anda sendiri tetapkan dalam masa setahun.
Maka, apakah yang akan anda tetapkan untuk dicapai?
Bagaimana kita hendak tahu tentang impian yang betul untuk dicapai pada jangka masa yang diberi?
Caranya ialah menjawab soalan dengan pelbagai soalan.
Dalam membuat dan mencapai impian jangka masa setahun ini, cuba bina dan jawab soalan dalam diri anda sendiri....
Apa yang benar-benar aku mahukan dalam kehidupan?
Kenapa aku benar-benar mahukannya?
Apa kebaikan yang akan aku perolehi jika aku mencapai kejayaan tersebut?
Bagaimana untuk aku mencapai kejayaan tersebut?
Siapa yang dapat membantu aku untuk mencapai kejayaan tersebut?
Berapakah masa yang perlu aku peruntukkan untuk mencapai kejayaan tersebut?
Apakah tindakan lain yang akan membantu aku mencapai kejayaan tersebut?
Nah, lihatlah betapa banyaknya soalan yang boleh dicungkil untuk merangsang pemikiran kita dalam mencipta kejayaan.
Bersambung...

Khamis, 16 September 2010

Membina Tabiat Baru...

Dua catatan yang lalu telah kubicarakan tentang tabiat.
Sudahkah anda perhati dan nilaikan apakah tabiat anda selama ini?
Adakah tabiat itu tabiat baik, atau buruk?
Jika tabiat yang dilakukan itu baik, maka teruskanlah. Namun jika sebaliknya, maka berusahalah untuk menghilangkannya daripada diri kita.
Bagaimana jika ada yang menyatakan dia tidak mempunyai tabiat tertentu?
Oh, itu adalah mustahil! Ini adalah kerana kita sebagai manusia, adalah makhluk yang memang sentiasa melakukan sesuatu secara berterusan.
Cuba perhatikan,
Jika kita terus melakukan sesuatu perkara dalam kehidupan ini, pasti ia akan menjadi tabiat.
Lakukan sesuatu selama 30 hari dalam kehidupan kita, tanpa meninggalkannya walau seharipun, maka pasti ia akan terus kekal menjadi tabiat dan kebiasaan dalam kehidupan kita.
Keadaan ini mengingatkan aku dengan jemaah tabligh yang 'keluar' berdakwah selama 40 hari.
Dalam aktiviti berdakwah mereka ini, mereka akan memastikan mereka sentiasa bersolat secara berjemaah di awal waktu. Mereka akan memastikan mereka melaksanakan solat pada 'takiratul ula' selama 40 hari. Ini akan menyebabkan mereka sentiasa merasa dekat dan tenang untuk terus berjemaah dalam kehidupan mereka selamanya. Hal ini sendiri ada dalam salah satu hadis Nabi S. A. W. (Sila rujuk ustaz an tuan guru berdekatan anda).
Apa yang pasti, perlakuan jemaah tabligh ini sebenarnya telah membentuk satu tabiat dalam kehidupan mereka iaitu sentiasa berjemaah di awal waktu. Ini memang sangat dituntut dan menjadi keindahan kepada sesiapa yang telah merasainya. Apabila kita telah menjadikan ia satu tabiat dalam kehidupan kita, pasti perlakuan ibadat ini akan terus kekal dalam kehidupan kita. Malah, jika kita meninggalkannya dalam sehari, maka pasti kita akan merasa resah dan gelisah dalam diri yang tidak mampu dinyatakan dengan kata-kata...

Rabu, 15 September 2010

Kekuasaan Tabiat


Tabiat ada kuasa?

Macam pelik je bunyi nye...!


Seperti yang dalam catatan yang lalu, tabiat ini boleh dikategorikan sebagai tabiat baik dan tabiat buruk. Jika tabiat baik yang kita lakukan maka kebaikanlah jua yang akan terjadi kepada kita, begitu juga sebaliknya....


Bagaimana tabiat boleh menguasai diri kita?

Cuba bayangkan, jika anda mempunyai keinginan untuk mengurangkan berat badan anda dan seterusnya mempunyai bentuk badan yang menarik, namun, anda mempunyai tabiat makan secara berlebihan..!


Adakah anda rasa bahawa keinginan anda akan tercapai jika anda masih mengekalkan tabiat cara makan yang sebegitu? Rasanya, jawapan yang diterima pasti sama iaitu TIDAK...


Tabiat makan anda perlu diubah terlebih dahulu sesuai dengan keinginan anda itu.

Setelah anda mempunyai target tertentu untuk mengurangkan berat badan, lakukan juga perubahan kepada tabiat dalam kehidupan anda. Pasti ia dapat membantu dalam mencapai impian yang anda tetapkan itu.

Isnin, 13 September 2010

Membentuk Tabiat


Tabiat atau disebut sebagai habit atau kebiasaan dalam diri adalah suatu perkara yang dilakukan secara berterusan dalam kehidupan.




Pernah dengar tentang frasa 'sudah menjadi tabiat'?


Menjadi tabiat bermaksud sesuatu perkara itu sudah menjadi kebiasaan yang dilakukan setiap hari atau masa. Jika tidak melakukannya, mungkin seseorang itu dianggap tidak sempurna, berada dalam situasi meresahkan atau dianggap 'buang tabiat'.




Apabila bercakap tentang tabiat, ada antara kita yang menganggap ia adalah suatu perkara negatif. Sebenarnya, tabiat bukanlah hanya melakukan perkara negatif sahaja. Perkara-perkara positif juga boleh menjadi tabiat seseorang.




Tabiat negatif;


Menggigit kuku, berangan, merokok, melepak, bergosip.




Tabiat positif;


Membaca Al-Quran atau buku, bangun di awal pagi untuk bersolat, tersenyum, dan sebagainya.




Apabila sesuatu perbuatan itu dididik dan dilakukan secara berterusan, maka ia menjadi tabiat kepada kita. Lakukanlah perkara-perkara baik dan positif untuk menjadi tabiat kepada diri kita. Maka kebaikan itu akan terus terjelma dalam kehidupan kita.




Mungkin pada awalnya ia adalah sesuatu yang agak sukar untuk dilakukan. Tetapi apabila dipraktikkan secara berterusan, maka perkara itu menjadi sesuatu yang mudah untuk kita laksanakan. Malah, jika tidak dilakukan, kita akan merasa resah dan gelisah sehinggalah kita dapat melaksanakannya.




Contohnya, pada bulan Ramadhan yang lalu, kita telah mendidik diri untuk membaca Al-Quran setiap hari. Ada antara kita yang berjaya membaca satu juzuk setiap hari sehingga khatam Al-Quran dalam bulan puasa. Pada seminggu yang pertama, mungkin kita merasa sukar untuk melakukannya, namun jika dilakukan secara berterusan, maka perkara itu menjadi suatu yang mudah. Hal ini adalah kerana kita telah menjadikannya suatu tabiat. Oleh itu, teruskanlah membaca Al-Quran selanjutnya pada masa kini dan seterusnya. Biarpun selepas Ramadhan kita tidak mampu untuk membaca satu juzuk setiap hari (kerana kesibukan atau buat-buat sibuk), teruskan membaca satu muka surat untuk menjadikannya sebagai tabiat dalam kehidupan kita...
Apa pula tabiat kita selama ni ye..?

Cerita Pasal Raya...


Salam semua...

Suasana hari raya masih bersama dengan diri setiap daripada kita. Walaupun Aidil Fitri hanya dirayakan sehari sahaja (berbanding Aidil Adha yang dirayakan 4 hari), namun rasanya kita sudah terbiasa dengan ungkapan 'raya kan sebulan..' (Aku sendiri tak pasti siapa yang ungkapkannya...)


Apapun, selagi sambutan itu tidak menyalahi hukum, rasanya bolehlah dilakukan.


Bercerita pasal raya,

kita akan menggunakan suasana ini untuk menziarahi sanak-saudara dan sahabat handai.

Hal inilah yang sebenarnya sangat penting dalam sambutan perayaan ini. Bukan hanya sekadar dapat mengunjungi rumah kenalan, makan, bercerita (bergosip..?), malah sebenarnya ada yang lebih utama; mengeratkan silaturrahim.


Aku ingin mengungkapkan suasana dan situasi ini dengan perjalanan minda kita.

Sepanjang kita mengunjungi kenalan dan sanak saudara, pasti kita berada dalam emosi dan perasaan yang sangat menggembirakan. Baik bagi orang yang mengunjungi, mahupun orang yang dikunjung, akan merasa sangat gembira. Apa lagi jika sudah lama tidak bertemu. Tentu perasaan itu akan hadir.


Pada ketika ini, sebenarnya kita telah mengaktifkan getaran minda yang sangat positif. Perasaan gembira akan menghantar isyarat kasih sayang dan teruja ke alam semesta dan menarik lebih banyak kegembiraan, kasih sayang, dan kedamaian datang menghampiri kita. Apa lagi jika kita mengambil peluang hari raya ini untuk bermaaf-maafan. Apabila kita menghulurkan salam dan memohon maaf, pasti ia datang dari dalam diri kita yang suci. Sukar rasanya nak menggambarkan tentang perasaan meminta maaf dan memberikan kemaafan itu. Apa yang pasti, ia adalah sangat baik dan hebat untuk kita praktikkan.


Getaran minda yang positif akan menarik lebih banyak keadaan-keadaan yang positif mendekati kita. Itulah sebenarnya yang kita impikan. Kebaikan dan kedamaian yang mendatangi kita adalah bermula daripada diri kita sendiri. Jika kita mengharapkan kebaikan itu, maka kebaikanlah yang akan kita terima.

Ahad, 5 September 2010

Selamat Bercuti...


Selamat bercuti kepada semua rakan-rakanku.

Aku jua sudah mula masuk ke fasa bercuti.

Aku akan pulang ke kampung hari ini. Ini bermakna, blog ini juga akan bercuti selama seminggu. InsyaALLAH, jika ada kesempatan dan luang masa yang diizinkan, aku akan kembali untuk menulis di sini.


Dikesempatan ini aku ingin memohon ampun dan maaf kepada semua jika ada melakukan kesalahan dan kesilapan dalam perkataan (penulisan) dan perbuatanku. Semoga kita semua mendapat berkat yang berterusan di akhir Ramadhan ini dan berjaya merasai kegemilangan di Syawal yang bakal menjelang.


SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

MAAF ZAHIR BATIN

Sabtu, 4 September 2010

Minda Menarik Apa Sahaja Yang Difikirkan


Salam buat semua.
Ini mungkin catatan terakhirku sebelum aku bercuti raya; setelah ramai yang menutup blog masing-masing untuk bercuti... InsyaALLAH, jika tiada halangan, aku akan menulis kembali pada 5 Syawal nanti.

Sehari dua lagi, kita akan mula masuk ke fasa 'balik kampung'. Bagi diriku sendiri, insyaALLAH akan memulakan kembara perjalananku pada esok hari. Suasana dan situasi balik kampung ini memang sinonim dengan kehidupan rakyat Malaysia. Kita akan mengambil peluang sambutan perayaan dan cuti umum untuk balik ke kampung masing-masing untuk bersama-sama dengan keluarga. Itulah yang sangat aku kagumi dengan corak kehidupan kita, walau di mana kita berada, kita akan tetap berusaha untuk pulang menyambut perayaan bersama dengan keluarga.

Namun, pada musim perayaan inilah angka kemalangan dan kematian akibat kemalangan akan bertambah. Lumrah memang begitu, apabila banyak kenderaan di jalan raya, maka bertambah banyaklah kemalangan. Itu tidak dapat dinafikan. Namun, ada perkara yang lebih penting dari itu, kekadang kita sendiri yang menyebabkan berlakunya kemalangan itu.

Situasinya begini;
Minda manusia adalah anugerah ALLAH yang sangat hebat. Ia bergetar dan berfrekuansi. Getaran itu akan terpancar ke alam semesta dan menarik frekuansi yang sama untuk mendekati kita sebagai pemancar. Kuasa Minda manusia tidak tahu apa yang baik dan buruk. Yang pasti, apa sahaja yang difikirkan akan terpancar dan menarik pancaran yang sama untuk berlaku.
JADI...
Semasa musim perayaan ini, semakin banyak kita memikirkan tentang kemalangan, semakin banyak kita memaparkan kemalangan, semakin banyak kita melihat papan-papan tanda jalan raya yang berkaitan kemalangan...akan menyebabkan kita memikirkan tentang kemalangan jalan raya yang akan berlaku.

Apa yang akan berlaku jika kita memikirkan tentang kemalangan jalan raya?
Jawapannya, pasti kita akan menarik kemalangan jalan raya itu mendekati kita dan mungkin akan menyebabkan kita terlibat...
(Aku tidak suka menulisnya tetapi terpaksa untuk memberi penerangan)

Apa yang boleh untuk kita mengelakkannya?
1. Berdoa agar kita selamat dalam perjalanan.
Doa adalah permintaan kepada ALLAH. Memang hanya kepadaNya kita meminta pertolongan, dan hanya DIA yang menentukan setiap sesuatu. Oleh itu berdoalah agar perjalanan kita selamat sampai dan kembali.
Namun, cuba lihat doa ini...
'Ya ALLAH, selamatkanlah perjalanan kami, jauhkanlah kami dari kecelakaan...'
Cuba kita didik diri kita untuk berdoa perkara yang baik-baik sahaja. Berdoalah sentiasa untuk selamat dalam perjalanan, jangan sekali-kali ungkapkan tentang kecelakaan dan kemalangan itu kerana dikhuatiri kita akan tetap memikirkan tentang kemalangan yang akan berlaku.

2. Bertenang dan bayangkan kegembiraan.
Sepanjang perjalanan, cubalah sentiasa bertenang. Bayangkan yang kita telah selamat sampai ke destinasi, bayangkan rasa keseronokan dan kesyukuran kerana kita selamat sampai, bayangkan wajah-wajah orang yang tersayang di sana yang menyambut kita di muka pintu.
Perkara ini akan menarik rasa gembira dan keseronokan. Frekuansi getaran minda akan menggambarkan tentang keseronokan dan keseronokanlah yang akan kita perolehi sepanjang perjalanan itu.

3. Tukarkan kenyataan pada papan tanda
Perkara ini sukar sedikit untuk kita lakukan (hanya kerajaan dan golongan yang terbabit sahaja dapat melakukannya)
Apabila kita sering disogokkan dengan "AWAS, KAWASAN KEMALANGAN", "SELEKOH MAUT", "KAWASAN BERBAHAYA", maka pada ketika itu minda kita menerima catatan-catatan itu sebagai suatu perkara yang sangat pasti. Pada ketika itu kita menanam dalam minda kita bahawa kawasan itu adalah kawasan yang akan menyebabkan kemalangan jalan raya. Keadaan ini akan menyebabkan kita menarik kemalangan itu terus berlaku di kawasan itu.
Seharusnya papan-papan tanda itu ditukar dengan kata-kata yang lebih baik/positif seperti "TINGKATKAN PEMERHATIAN ANDA DI SINI", "BERIKAN TUMPUAN", "SELEKOH BERWASPADA". Bukankah kata-kata ini akan memberi lebih kebaikan kepada kita? Ia akan menyebabkan minda kita berfungsi dengan lebih baik untuk lebih berhati-hati di kawasan tersebut.

Walau apapun, kudoakan kepada semua agar dapat terus berhati-hati sepanjang perjalanan pulang ke kampung. Pastikan anda berada dalam situasi yang sangat tenang semasa memandu. Semoga selamat sampai ke destinasi dan selamat kembali.
Selamat juga menyambut Aidil Fitri yang mulia.
Mohon ampun dan maaf jika sepanjang penulisanku ada yang tidak bisa diterima kerana buruknya bahasa dan bercangkah pendapat. Semoga sama-sama kita mendapat rahmatNya kerana saling bertukar pandangan.

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN....

Jumaat, 3 September 2010

Minda dan Matlamat ~ Bahagian 2

Apakah matlamat kita dalam tempoh 10 tahun dari sekarang?
Jika kita tidak pernah memikirkan tentang matlamat jangka panjang (contoh 10 tahun) maka kita masih merugikan diri kita sendiri.

Kajian telah menunjukkan, jika seseorang itu ada atau pernah memikirkan matlamat jangka panjangnya, maka sebenarnya ia telah mengaktifkan kuasa mindanya untuk mencapai matlamat tersebut. Itulah kurniaan ALLAH yang sangat hebat kepada manusia; MINDA. Lantaran itu, janganlah kita mensia-siakannya.

Cuba duduk dan bertenang.
Tarik nafas dan damaikan jiwa.
Kemudian fikirkanlah matlamat jangka panjang anda dengan rasional.
Bukan berangan kosong, bukan berkhayal cuma.
Sebaliknya fikirkan matlamat anda dengan sempurna.

Apa yang membezakan memikir matlamat dengan berangan-angan?
Bezanya adalah pada rasional dan kemampuan untuk kita memperolehinya.
Jika kita meletakkan impian untuk mendapat RM1 juta dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, adakah ia suatu matlamat atau angan-angan? Jawapannya; ia suatu matlamat. Ini adalah kerana tidak mustahil perkara itu dapat dilakukan dengan melakukan usaha-usaha tertentu untuk mendapat dan mengumpulkan wang menjadi RM1 juta. Ia bukan angan-angan kerana telah terbukti ada orang yang mampu untuk mendapatkan RM1 juta (malah ada yang lebih dari itu).

Apabila kita meletakkan suatu matlamat, pastikan matlamat itu adalah apa yang kita benar-benar mahukan, bukan apa yang kita lihat orang lain ada dan kita mengikut dengan hati yang alpa. Tentukan apa yang benar-benar kita mahu dan perlukan dalam kehidupan. Jelaskan matlamat itu dengan tindakan untuk mendapatkannya. Dalam pada itu, kuasa minda yang ada pada kita akan turut bekerja dan melaksanakan tugasnya menarik dan mendapatkan apa yang kita impikan.

Pastikan juga matlamat itu adalah matlamat yang baik dan memberi kebaikan kepada semua. Kuasa minda yang ALLAH berikan kepada kita tidak mengenal sama ada perkara itu baik atau buruk. Ia hanya terus bekerja dan melaksanakan tugasnya dengan sempurna. Akibatnya, jika kita sentiasa memikirkan perkara yang tidak baik/negatif, maka perkara tidak baik/negatif itulah yang akan tertarik kepada kita.

* Suatu masa dahulu aku pernah memikirkan untuk menjadi seorang guru ~ kini aku benar-benar seorang guru.

** Suatu masa dahulu aku pernah mengidamkan sebuah kereta ~ kini aku benar-benar menggunakan kereta dan jenis yang aku idamkan (rugi tak idamkan kereta yang lebih best, hehehe)

*** Suatu masa dahulu aku pernah mendambakan kasih seorang gadis ~ kini dia benar-benar menjadi isteriku (alhamdulillah dah ada dua anak dah pun)

SEKARANG...?
Aku meneruskan matlamat jangka panjangku dengan memikirkannya dan melaksanakan tindakan untuk mendapatkannya. Semoga setiap usaha dan tindakan akan mendapat keberkatanNya jua.

Apa pula matlamat jangka panjang anda?

Khamis, 2 September 2010

Minda dan Matlamat
















Dalam kehidupan ini, setiap daripada kita pasti ada matlamat.
Matlamat ni macam impian, harapan, apa yang kita mahukan dalam kehidupan.
Jika kita tidak ada matlamat, maka rasanya pasti kita tergolong dalam golongan orang yang hanya berserah dan mengikut sahaja apa yang orang lain buat. Matlamat adalah hak kita. Kita yang tentukan apa yang kita mahukan dalam kehidupan ini. Ia tidak sama dengan matlamat orang lain, kerana kita sahaja yang tahu apa yang kita mahukan. Sebagai orang yang beriman, pastikan matlamat itu ada hubung kaitnya dengan 'kehidupan' kita nanti di sana...

Matlamat akan tercipta apabila kita mahukan sesuatu.
Di awal Ramadhan lalu, pasti terlintas di fikiran kita tentang apa yang kita mahukan sepanjang bulan mulia ini. Lantaran itu minda akan berfungsi sesuai dengan matlamat itu dan mengarahkan kita untuk melaksanakannya.

Jika anda seorang peniaga pasar Ramadhan, pasti matlamat anda adalah untuk mengaut seberapa banyak keuntungan penjualan sepanjang bulan ini. Itu adalah lumrah kepada 'peniaga bermusim' setiap tahun. Maka pada ketika itu matlamat akan menjana idea-idea di minda untuk mencari keuntungan. Bermula dengan merancang apa yang hendak dijual, di mana, dan bagaimana hendak beroperasi, hinggalah lebih jauh lagi ada yang sudah bermatlamat tentang apa yang hendak dilakukan dengan keuntungan yang bakal diterima.

Maha Suci ALLAH yang telah mengurniakan manusia dengan akal, setelah terlintas semua itu maka minda peniaga akan terus melaksanakan tugasnya dengan menentukan cara bagaimana matlamat itu dapat dilaksanakan. Hebat, bukan?

Pun begitu, kadang-kala kita perlu membuat penilaian semula. Sebagai peniaga, terutama peniaga makanan, janganlah terlalu mementingkan sangat tentang keuntungan. Apa yang perlu sama-sama difikirkan adalah kualiti makanan yang dijual. Jika peniaga makanan di pasar Ramadhan memikirkan tentang hal ini, pasti mereka akan dapat melaksanakan perniagaan dengan lebih sempurna. Pertama, mereka akan mendapat keuntungan hasil jualan, kedua mereka dapat memberikan keuntungan kepada pembeli dengan hidangan yang menyelerakan. Itulah sebenar-benar keuntungan yang harus ada pada matlamat setiap peniaga bermusim ini.

Pada akhir setiap matlamat itu pula, seharusnya kita perlu membuat penilaian semula tentang apa yang telah dilaksanakan. Kaji dan fikirkan tentang perjalanan untuk mendapatkan matlamat itu, jika ada yang compang-camping di sana sini, maka tamponglah ia agar matlamat itu menjadi lebih bererti untuk menjadi kejayaan yang kekal abadi...

Rabu, 1 September 2010

Bersyukur Menarik Lebih Banyak Nikmat


Pada bulan Ramadhan yang semakin berakhir ini, terlalu banyak tarbiyah dan tauladan yang dapat kita perolehi. Hanya sedar dengan tidak sahaja, dan kita terus melaluinya. Tarbiyah dan pendidikan yang paling ketara adalah tentang mensyukuri nikmat yang ALLAH berikan.

Sedar atau tidak, berpuasa; dalam erti kata kita menahan lapar dan dahaga sebenarnya mendidik dan memberi pengajaran kepada kita tentang suasana dan situasi golongan yang tidak berkemampuan untuk menjamah makanan yang enak dan banyak. Maksudnya, kita diarahkan seketika untuk merasai bagaimana perasaan, dan 'penderitaan' golongan miskin yang hidup kais pagi makan pagi....

Lantaran telah berlaparan seharian, kemudian kita dibenarkan berbuka. Pada ketika itu kita dapat menikmati apa sahaja juadah yang terhidang. Dan pada ketika itulah kita seharusnya merasa sangat bersyukur kerana akhirnya dapat makan dan minum. Samalah situasinya dengan golongan miskin yang lapar dan dahaga, kemudian diberikan makanan percuma kepada mereka, apa yang mereka rasa ketika itu? Perasaan bersyukur yang tidak terhingga akan lahir dengan sendirinya dalam kehidupan mereka. Namun bagi kita yang telah diberi peluang untuk merasai penderitaan mereka semasa berpuasa, adakah perasaan itu turut hadir? Jika ada, maka salah satu didikan dan tarbiyah puasa telah berjaya kita lalui. Jika tidak, maka itulah yang dinamakan berpuasa namun hanya dapat lapar dan dahaga.

Apakah kelebihan bersyukur?
Kelebihan bersyukur adalah merasai dengan sepenuh hati tentang penghargaan, keagungan, dan kemuliaan sesuatu nikmat. Jika kita bersyukur, maka sebenarnya kita telah benar-benar menghargai dan menikmati apakah pemberianNya kepada kita.

Dengan bersyukur, kita telah mengaktifkan salah satu gelombang positif dalam minda. Bukankah gelombang positif yang tercipta dan terpancar ke alam semesta akan menarik lebih banyak gelombang positif untuk mendekati kita?
Ya, itulah kebenarannya.
Berbahagialah orang-orang yang pandai bersyukur dan menikmati nikmat ALLAH dengan cara yang betul kerana mereka akan mendapat lebih banyak kebaikan dan nikmat yang lain daripada ALLAH.