Isnin, 31 Disember 2012

Azam Tahun Baru dan Angan Mat Jenin…

Salam kedamaian daripada KM buat semua….

Bila muncul sahaja tahun baru, ramai yang mula memasang azam.  Ada azam baru, ada azam lama, ada azam lama yang diberi pembaharuan, dan ada azam lama yang entah sampai bila akan terlaksana.

Itulah hakikat kebanyakan daripada manusia.  Kerana, kita dimomokkan untuk berazam setiap munculnya tahun baru.  Hal ini memang elok dari satu segi, kerana ia membina satu bentuk semangat dalam diri untuk melakukan perubahan yang baik dalam kehidupan.  Namun, berapa ramai yang azamnya berjaya dilaksanakan.  Andai ada yang berjaya melaksanakan azam ke tahap 50%, itu sudah cukup untuk dikatakan berjaya.

Mat Jenin; seorang watak dalam cerita penglipur lara masyarakat Melayu.  Mungkin anak-anak zaman sekarang sudah tidak kenal dengan Mat Jenin dengan angan-angan dan azamnya itu.  Seorang rakan KM berkata, watak Mat Jenin digambarkan kepada orang Melayu yang hanya pandai berazam dan berangan-angan, namun tiada hasil yang berjaya diperolehi.  Bagi KM pula, watak Mat Jenin ini bagus, kerana ia memberi pengajaran kepada kita.

Memang penceritaan masyarakat Melayu dahulu penuh dengan pendidikan, pengajaran, kritikan sosial, dan sindiran.  Andai kita mengambil pengertian negatif sahaja, maka Mat Jenin hanya sekadar watak kosong dungu yang menggambarkan orang Melayu.  Tetapi jika kita mengambil watak Mat Jenin sebagai positif, pasti kita akan nampak pengajaran di sebaliknya yang akan memberi manafaat kepada kita.

Berangan-angan, dan berazam seperti yang digambarkan dalam cerita Mat Jenin itu tidak salah sebenarnya.  Ia sama seperti yang dilakukan oleh orang kita untuk melakukan azam tahun baru.  Namun, kesalahan yang dilakukan oleh Mat Jenin adalah, angan-angan dan azamnya itu terlebih daripada lingkaran realiti kehidupannya.  Sewajarnya dia lebih menfokuskan kepada satu bentuk angan-angan dan azam dahulu, laksanakan hingga berjaya dan terusnya membina angan-angan dan azam yang lebih mencabar.

Hanya itulah kesalahan Mat Jenin.  Andai kata Mat Jenin melaksanakan terlebih dahulu angan-angannya untuk memetik kelapa dan menjual.  Hasilannya akan dibeli dua ekor ayam dan mula membiaknya, cukup sampai disitu(!), pasti akhirnya dia akan berjaya juga memeluk si puteri raja.

Lantaran itu, pernah dahulu KM katakan bahawa, azam bukan sekadar di tahun baru.  Ia boleh dilakukan bila-bila masa sepanjang tahun.  Cuba letakkan azam yang realitistik terlebih dahulu pada awal tahun (andai anda masih mahu melakukan azam tahun baru) dan kemudian mula membina fokus untuk mencapainya.  Kemudian, apabila sudah berjaya, teruskan untuk berazam dan berangan untuk mencapai sesuatu yang lain pula, rentetan kepada azam yang pertama tadi.

Jangan terus-terusan berazam dan berangan untuk mencapai sesuatu yang terlalu jauh untuk digapai.  Bila sesuatu yang boleh direalisasikan terlebih dahulu.  Kemudian kembangkan ia hingga menjadi sesuatu yang sangat gah dalam kehidupan kita.  Jangan jadi seperti Mat Jenin si penglipurlara yang hanya pandai berazam, jadilah Mat Jenin Moden yang pandai merancang, memfokus, dan melaksanakan azam tersebut.

Lebah dan lalat…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

Mari kita fikirkan tentang dua makhluk ciptaan ALLAH.  Pertama, lebah.  Serangga yang bernama lebah ini adalah ciptaanNya yang menghisap madu.  Lebah hanya mendapatkan madu daripada bunga yang terbaik sahaja.  Ya benar, bunga yang terbaik sahaja.  Bunga yang tidak baik, tidak akan dihampiri oleh lebah.  Justeru, akhirnya kumpulan lebah ini akan mengumpul dan menghasilkan madu yang terbaik juga.  Kebaikan dan keunggulan madu yang terbaik inilah yang akan memberi manafaat kepada manusia.

Serangga yang kedua pula adalah lalat.  Lalat akan ‘menghisap’ benda-benda kotor seperti makanan busuk, tahi, sampah, bangkai, dan sebagainya.  Oleh kerana dia mendapatkan hasilan daripada bahan yang kotor, maka hasilnya juga akan kotor.  Tahi lalat yang ada pada makanan contohnya akan menyebabkan makanan itu sudah tidak bernilai dan akan dibuang begitu sahaja.

Perumpamaan ini boleh dimasukkan ke dalam kehidupan kita seharian.  Adakah kita lebah atau lalat?  Andai kita ini lebah, maka beruntunglah organisasi kita kerana kita dan pasukan akan menghasilkan kerja yang terbaik.  Namun jika kita ini ‘lalat’ yang asyik menghurung perkara-perkara tidak berfaedah, maka hancurlah organisasi kita.

Jumaat, 28 Disember 2012

Minda Bersyukur

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

‘Semakin kita bersyukur, semakin banyak nikmat yang akan ALLAH tambahkan kepada kita’.  Hal ini pernah KM bicarakan suatu masa dahulu.  Kali ini sebagai bahan tambahan sahaja….

KM berbicara semula tentang bersyukur kepada tertarik dengan satu slot dalam 30 minit Ustaz Don.  Dalam kuliahnya itu membincangkan tentang solat.  Apa yang KM tertarik dalam penyampaian beliau adalah, selepas solat kita bersyukur.

Memang benar, setiap sesuatu yang kita lakukan adalah dengan kehendak dan keizinanNya jua.  Andai DIA tidak mengizinkan, maka pasti kita tidak dapat melakukannya.  Justeru, memang wajar untuk kita bersyukur selepas melakukan solat.

Pernah dahulu, KM bincangkan bahawa rezeki bukan hanya sekadar wang ringgit.  Rezeki ALLAH ini luas, sehinggakan untuk mendapatkan parking juga adalah satu rezeki.  Dan semua itu wajar untuk kita bersyukur.

Maka selepas mendengar kuliah daripada Ustaz Don, bertambahlah satu lagi bentuk rezeki dan kesyukuran dalam fahaman KM.

Kenapa kita perlu sangat bersyukur, apa kaitannya dengan minda?

Apa yang anda rasa bila anda bersyukur?  Rasa seronok, bukan?  Rasa seronok, puas, bahagia, damai, dan sebagainya itu sebenarnya datang daripada nikmat yang kita hajati.  Namun, apabila kita bersyukur sejurus kita mendapat nikmat itu, perasaan itu menjadi bertambah ‘berbunga-bunga’ dalam dada.

Apa kesannya?  Kesan kita jiwa kita akan menjadi semakin hebat.  Keyakinan akan menjadi semakin tinggi.  Dan penghargaan kepadaNya akan menjadi sangat agung. Semua ini akan mempengaruhi minda kita.

Oleh itu, sentiasalah bersyukur dalam apa juga hal kerana dengan bersyukur, kita akan menjadi lebih teruja untuk menjadi yang lebih baik dari sekarang.  Minda akan merangsang kita atas ‘kejayaan’ rezeki yang kita perolehi itu untuk kita terus melakukan sesuatu.

Sabtu, 22 Disember 2012

Baik vs Jahat

Salam kasih sayang daripada KM buat semua...

Hari ni nak bincang sesuatu yang agak berat sikit.  Tentang baik dan buruk dalam diri kita.  Kalau ada yang bertanya; mana yang kita mahu, baik atau buruk?  KM sangat yakin, pasti spontan saja kita akan jawab yang kita nak baik! Betulkan?!

Kenapa?  Kerana memang dalam naluri manusia, kita mahukan yang baik, cantik, nyaman, sedap....

Kerana naluri itu jugalah, maka kita akan selalu bertentangan dalam diri sendiri bila ada perbezaan pendapat.  Begini.... bila kita melakukan kesalahan, atau baru sahaja hendak melakukan kesalahan, pasti ada 'suara' dalam diri kita yang tidak bersetuju dengan kesalahan yang dilakukan itu.

Kenapa ada suara 'baik' itu timbul apabila kita melakukan kesalahan?  Ini adalah kerana naluri manusia memang mahukan kebaikan dalam hidup.  Bohonglah kalau kita katakan tidak rasa apa-apa bila melakukan kesalahan.  KM sangat yakin, penjenayah terjahat sekalipun pasti ada rasa kekesalahan setelah melakukan jenayahnya itu, cuma dia tidak mahu mengaku sahaja (hilang macho kalau mengaku beb!)

Persoalannya sekarang, apabila kita hendak melakukan kesalahan, dan ada suara baik dalam diri menegah, adakah kita berjaya mengawal diri kita?  Adakah kita akan mendengar suara baik itu, atau suara kejahatan itu?

Tidak ramai yang berjaya mengawal diri?  Kenapa?  Bukankah tadi kita telah bersetuju bahawa manusia sukakan yang baik?  Tetapi kenapa yang jahat juga akan menang?  Jawapannya ada dalam diri kita sendiri.  Kita yang membiarkan kejahatan itu bersarang dan menguasai diri kita hingga kita pinggirkan rasa baik.


Jumaat, 21 Disember 2012

Penghargaan kepada diri...

Salam kedamaian daripada KM buat semua.

Pernahkah kita menghargai diri kita?  Ada yang dengan yakin mengakui bahawa sangat menghargai diri, namun ada juga yang masih keliru dengan penghargaan kepada diri...

Kita ambil contoh begini, seorang pekerja yang bekerja dengan gigih dan bersungguh-sungguh, dan di akhir bulan dia menerima gajinya.  Apa yang dilakukan dengan gajinya itu? Tentu sekali dia akan membayar segala bil dan hutang yang perlu dilangsaikan.  Pernah tak kita fikir bahawa kita tidak pernah 'membayar' untuk diri kita sendiri.  Kita sibuk membuat pembayaran kepada syarikat air, telekomunikasi, TNB, bayaran rumah dan kereta kepada pihak bank, namun mana bayaran untuk diri kita?

Ada teman KM menjawab, aku makan besar setiap hujung bulan, jadi itulah bayaran untuk diriku...

Mungkin pandangannya itu benar, namun adakah nilai kita itu hanya makan malam istimewa pada setiap hujung bulan sahaja?  Pada pandangan KM, itu hanya sekadar makan-makan sahaja, belum cukup untuk menggambarkan bayaran penghargaan kepada diri kita.

Lantas, apakah nilai bayaran kepada diri dalam pandangan KM?

Kita sewajarnya mendapat bayaran atas usaha dan tenaga yang kita gunakan sepanjang bulan.  Bagi  KM sendiri, bayaran sebanyak RM500 diperuntukkan setiap bulan (mengikut kemampuan masing-masing).  Dengan bayaran itu, KM akan simpan dan  belikan emas sebagai satu bentuk pelaburan.   Makanya, KM rasa diri lebih dihargai kerana kesibukan dan keletihan sepanjang bulan berbaloi kerana ada sesuatu yang berharga ada dalam kehidupan ini dan masa depan.

Ini adalah sekadar pandangan.  Namun, 'membayar untuk diri' memang perlu ada dalam keinginan kita.  Kita akan menghantar mesej kepada diri bahawa diri dihargai, lantaran itulah 'dibayar' sama seperti kita membayar kepada syarikat dan agensi terbabit.

Apa yang minda kita akan terima setelah mesej penghargaan itu dihantar?  Minda akan faham bahawa dengan kesungguhan kita selama ini, kita akan dibayar dan mendapat apa yang kita impikan.  Oleh itu, kita akan lebih yakin dan bersemangat.


Sabtu, 1 Disember 2012

Wahai masalah...

Salam kedamaian daripada KM...

Hidup kita ini memang tak lepas dari menghadapi masalah (namun, KM lebih suka gunakan perkataan cabaran utk menggambarkan masalah)

Apabila kita berhadapan dengam masalah@cabaran, sering kali kita katakan;
"Wahai Tuhanku, aku ada masalah besar...."

Bagaimana kalau lepas ni kita tukar;
"Wahai masalah, aku ada Tuhan yang Maha Besar..."

Nampak tak apa perbezaan rasa yang dapat kita rasainya?

Jumaat, 30 November 2012

Apa mimpimu semalam?

Ada 3 orang pengembara yang tersesat di padang pasir.  Sudah beberapa lama mereka hilang arah, dan bekalan mereka juga sudah semakin sedikit.  Hanya tinggal sebuku roti yang kecil sahaja yang masih berbaki.

Mereka saling bertelagah untuk mendapatkan roti tersebut, namun tiada keputusan tentang siapakah yang layak untuk memakannya.  Akhirnya, seorang daripada mereka mencadangkan agar mereka tidur sahaja pada malam itu.  Sesiapa di antara mereka yang mendapat mimpi@alamat yang baik, akan dapat makan roti yang sedikit itu.

Keesokan paginya, pengembara pertama mula bercerita;

‘Aku bermimpi yang aku sudah tua, terlalu tua.  Dalam mimpi itu, aku tidak langsung dapat melihat kamu berdua.  Di sekeliling aku hanyalah penduduk kampung yang tunduk dan patuh kepadaku.

Rupanya aku ini akan menjadi seorang ketua di kemudian hari dan hidupku panjang.  Jadi, ini menandakan aku wajar mendapat roti itu untuk meneruskan kehidupan ini dan dapat mencari jalan selamat keluar dari kesesatan ini’

Pengembara kedua pula bercerita;

‘Aku bermimpi didatangi seorang tua yang warak.  Beliau berkata yang aku ini akan menjadi seorang pemerintah yang hebat, bukan setakat di kampung malah memerintah sebuah negara yang besar dan mewah.

Ini menunjukkan yang akulah layak untuk memakan roti itu untuk meneruskan kehidupan ini dan dapat mencari jalan selamat keluar dari kesesatan ini’

Pengembara ketiga hanya diam membisu.  Dia tertunduk dan membatu.

‘Ceritakanlah apa mimpimu semalam kepada kami.  Agar dapat kita membuat keputusan mimpi siapa yang paling hebat, dan dapat menentukan siapa yang layak untuk roti ini’, ujar pengembara pertama dan kedua kepada pengembara ketiga yang masih diam.

‘Aku tidak bermimpi apa-apa!’  kata pengembara ketiga.

Pengembara pertama dan kedua tersenyum senang kerana sekarang hanya tinggal mereka berdua sahaja untuk menentukan siapa yang patut mendapat roti itu.

‘Tetapi…’ pengembara ketiga bersuara…

‘Izinkanlah aku menceritakan sesuatu…  Semalam, aku langsung tak dapat tidur.  Bukan sekadar untuk bermimpi yang hebat-hebat seperti kamu berdua, malah untuk tidur seketika pun aku tidak mampu.

Ini adalah kerana aku memang jarang bermimpi semasa tidur, apatah lagi perutku yang terlalu lapar.

Oleh kerana aku tidak lagi dapat menahan kelaparanku, maka aku telah makan roti itu semasa kamu berdua sedang nyenyak tidur.

Begitulah ceritaku….’ kata pengembara ketiga.

Pengembara pertama dan kedua : ?????!!!!!!

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Cerita ini KM baca dalam sebuah buku motivasi yang dikarang oleh seorang ilmuan hebat Indonesia.  Sengaja KM hendak kongsikan dalam catatan ini kerana ada beberapa perkara yang dapat dibincangkan.

Pertama; dalam kehidupan kita ini, kita tidak terlepas daripada menghadapi masalah.  Namun, dalam usaha untuk menyelesaikan masalah itu, kita mungkin terpaksa meninggal dan menindas rakan kita sendiri yang telah sekian lama bersama dengan kita.  Itu adalah salah satu kekurangan yang tidak sepatutnya kita lakukan.

Kedua; kita sibuk membangga diri (seperti pengembara pertama dan kedua) untuk menunjukkan kitalah yang paling hebat.  Namun kehebatan itu belum tentu akan berlaku, ia mungkin hanya khayalan sahaja.

Ketiga; hanya orang yang bertindak sahaja yang akan berjaya.  Pengembara ketiga terus bertindak.  Dia tidak sekadar mengharapkan mimpi, sebaliknya bertindak untuk makan roti tersebut.  Memang kelihatan pengembara ketiga mengkhianati rakannya, namun itulah keadaan yang berlaku.  Andai mimpinya juga sama hebat, namun keputusan pasti belum memihak kepadanya untuk mendapatkan roti tersebut.

Sama-sama kita fikirkan….

Rabu, 28 November 2012

Rumah baru...

Salam kedamaian buat semua.

Banyak perkara berlaku dalam kehidupan kita, andai kita tidak bersedia untuk menghadapinya, pasti kita akan gagal...

Sejak beberapa ketika ini, sesudah KM balik dari kursus kayak, banyak betul tugasan diri yang perlu KM laksanakan. Pun begitu, KM rasa sangat teruja dan bahagia bila kebanyakan  yang KM inginkan, sudah mula menampakkan hasil.

Buat masa sekarang, KM sedang menumpukan perhatian pada pembinaan rumah. Alhamdulillah, rumah yang KM idamkan selama ini sudah berjaya disiapkan.  Buat masa ni, KM sedang penuhkan masa dengan usaha penyambungan rumah ni.  Semoga segala usaha yang sedang KM laksanakan ini akan mendapat keberkatanNya jua...

Jumaat, 9 November 2012

Semangat Menguasai Keupayaan…

Salam kedamaian daripada KM buat semua….

KM menulis catatan ini selepas balik dari Kursus Kemahiran Kayar Star 1 & 2 yang diadakan di Pengkalan Gawi Tasik Kenyir.  Selama beberapa hari kursus dan pengujian yang diadakan di sana, KM dapat melihat beberapa nilai semangat dan keyakinan diri yang sangat mengujakan hingga boleh dikatakan mengatasi kemampuan diri sendiri.

Dalam ujian ini, kami semua telah melalui beberapa cabaran yang wajib dilaksanakan untuk meluluskan lesen dan sijil yang dikeluarkan oleh Malaysian Canoe Association (MASCA).  Antara ujian yang paling getir adalah membalikkan; telangkup kayak, kemudian keluar dari kayak dalam air, dan masuk semula ke dalam kayak.

Cabaran ini sangat jelas agak sukar kepada beberapa orang peserta kerana tidak dapat masuk semula ke dalam kayak akibat banyak air yang sudah masuk semasa kayak telangkup.

Setelah beberapa kali dilakukan dan masih gagal, ada peserta yang sudah mula panik dan kelihatan kecewa.  Pada ketika inilah, KM dapat melihat para jurulatih mendekati peserta; berbincang, memujuk, dan memberi semangat untuk mereka terus berusaha bagi memastikan mereka berjaya melepasi cabaran ini.

Ada yang sudah mula bersemangat semula apabila diberikan dorongan oleh jurulatih dan rakan-rakan yang ada.  Mereka terus mencuba dan mencuba hingga akhirnya semua berjaya melepasi cabaran yang diberikan.

KM rasa sangat gembira dan teruja apabila melihat seorang demi seorang yang pada mulanya sudah berputus ada kerana memang tidak dapat melakukannya, akhirnya dapat melakukan, malah perlakuan mereka untuk masuk semula ke dalam kayak kelihatan seperti orang yang sudah profesional dalam berkayak.

Inilah yang KM maksudkan bagaimana semangat akhirnya dapat menguasai keupayaan mereka.  Pada mulanya, mereka tidak berupaya untuk melakukan, namun dengan semangat baru yang diberikan, akhirnya semua telah berjaya.

Tahniah kepada semua rakan-rakan yang bersama-sama dengan KM semasa di kursus ini, semoga selepas ini kita akan berjaya lagi dalam mengendalikan aktiviti atau semasa melaksanakan ujian lanjutan. 

Khamis, 4 Oktober 2012

Anak Anugerah ALLAH…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

Catatan ni KM lakukan setelah selesai melaksanakan tugas di Kursus Asas Kepegawaian di sebuah kolej latihan.

Semasa dalam program tersebut, KM bertemu dengan seorang rakan yang sudah lama tak bertugas bersama.  Banyak yang kami bualkan.  Timbul semula cerita dan kenangan lama semasa bersama dulu.

KM bertanya kepada rakan tersebut, ‘dah ada ke (anak)?’  Sebab KM memang tau bahawa dia belum ada anak sebelum ni walaupun dah hampir 5 tahun (akhir bertemu dulu) berkahwin.

Ketika itulah dia mula bercerita tentang kisah keindahan anugerah ALLAH ini….

Ceritanya, setelah lama menunggu untuk mendapatkan cahaya mata, dan berusaha dengan pelbagai kaedah, akhirnya mereka berdua berhasrat untuk mendapatkan anak angkat.  Anak yang mereka hendak dapatkan itu diuruskan oleh seorang kenalan di sempadan Siam-Kelantan.  Katanya, keluarga yang hendak menyerahkan anak itu berasal dari Thailand namun telah mendapat warga penduduk tetap di Kelantan.  Kerana kesempitan hidup, dan anak yang ramai, maka keluarga tersebut berhasrat untuk menyerahkan kepada sesiapa yang hendak memelihara anak mereka itu.

Memang rakan KM dan isterinya bersedia untuk menerima anak itu dengan hati yang sangat lapang.  Kerana mereka memang hendakkan seorang anak, walaupun anak angkat.

Setelah mereka memelihara bayi lelaki itu hampir 6 bulan, anugerah ALLAH terlimpah kepada mereka.  Isterinya disahkan mengandung….  

Alangkah indahnya rasa mereka kerana akhirnya mereka akan dapat memiliki anak kandung sendiri. 

Masa terus berlalu dan akhirnya mereka dikurniakan seorang anak perempuan.  Bertambahlah gembiranya mereka kerana sekarang mereka sudah punya sepasang anak.

Hidup mereka semakin bahagia dan ceria apatah lagi dengan kehadiran kedua-dua anak itu yang mencuit hati.  Hari berlalu, anak angkat yang mereka pelihara semakin besar dan banyak ragam.  Biasalah, budak-budak baru membesar, memang banyak yang hendak dicubanya.  Tetapi, bagi kenalan KM ni, ragam anak itu keterlaluan.

Kenalan KM terus bercerita yang dia dan isteri mula hilang sabar dengan anak itu.  Bermula dengan mencubit, dan semakin lama, semakin teruk hukuman diberikan jika anak itu melakukan kesalahan.  Hingga satu masa, kenalan KM mula memukul dengan menggunakan rotan dan sebagainya.  Kasih mereka ternyata sudah berbelah bagi.  Kasih mereka suami isteri lebih banyak tertumpah kepada anak kandung, dan anak angkat mula dipinggirkan.

‘Nak dijadikan cerita, suatu hari kawannya yang menguruskan untuk mendapatkan anak angkat itu datang berziarah.  Terkejut dia apabila melihat anak yang diserahkan itu lebam dan berbirat akibat dirotan.

Bertanyalah kawannya itu tentang keadaan anak itu.  Kenalan KM menceritakan bagaimana tidak tertanggungnya dia melayan kerenah anak angkatnya itu hingga hilang sabar dan mula memukul si kecil itu.

Kawannya itu mula merasa tidak senang hati.  Dia meminta agar kenalan KM itu ubah cara mendidik anak agar lebih berhemah, dan tidak lagi memukul anak itu hingga ke tahap mendera.  Kenalan KM yang merasa tidak berpuas hati mencabar kawannya agar mengambil sahaja anak angkatnya itu dan berikan sahaja kepada orang lain.  Lantaran kerana terlalu tidak berpuas hati, kawannya itu membawa si kecil itu bersama-sama dengannya.

Kini mereka merasa lebih ‘bahagia’ kerana mereka hanya tiga beranak sahaja.  Kehidupan diteruskan dan masa terus berlalu.  Beberapa bulan selepas anak angkat itu dibawa pergi, musibah mula menimpa.   Anak kenalan KM itu diserang demam kuat hingga ke tahap sawan.  Pada ketika itu, kenalan KM berada dalam tugasan luar.  Isterinya tidak dapat menghubunginya untuk memaklumkan keadaan itu dan memintanya pulang segera.

Anak yang diserang sawan itu dibawa ke klinik.  Pihak klinik menyarankan untuk dibawa ke hospital.  Ini adalah kerana anak itu sudah terlalu parah, dengan suhu badan yang tinggi, saluran kerongkong yang tersumbat dengan air muntah dan darah beku.  Setibanya di hospital, anak itu sudah begitu lemah dan tidak bermaya.

Kenalan KM menceritakan, setelah dua hari ditahan di wad, anaknya menghembuskan nafas yang terakhir…

Pada ketika itu, mereka berdua mula merasa insaf dan bersalah.  Pada mereka, ALLAH mengambil semula anugerahNya itu kerana mereka mensia-siakan anak angkat yang juga anugerah ALLAH kepada mereka.  Keinsafan yang menjalar dalam sanubari mereka itu membuatkan mereka bertekad untuk mencari semula rakan yang menguruskan anak angkat itu dulu.  Tujuan mereka hanya satu; mengambil semula anak angkat yang dibawa pergi.

Namun sayang sekali, anak itu sudah diserahkan kembali kepada ibu bapanya yang berada di Kelantan, dan kemudiannya telah dibawa ke Thailand oleh saudara mereka di sana.

Kesesalan mereka ternyata tidak tertanggung lagi hingga isterinya jatuh sakit berbulan-bulan lamanya kerana terlalu rindukan anaknya yang meninggal, dan anak angkatnya yang sudah pasti tidak dapat dikembalikan kepada mereka.

Cerita rakan KM itu terlalu menginsafkan KM.  Jelas, anak-anak adalah anugerah ALLAH.  Ia adalah amanah ALLAH kepada kita untuk kita jaga dan laksanakan tanggungjawab mendidik kepada mereka.  Kepada yang memiliki anak, sayangilah dan lindungilah mereka sebaiknya.  Andai kita mensiakan anugerah ini, pasti kita akan menyesal di kemudian hari.

Ahad, 23 September 2012

Minda seperti akar…

Salam kedamaian buat semua…

pokok rambut

Cuba lihat pohon di sekeliling kita.  Ada yang besar, ada yang kecil, berbunga, dan berbuah.  Semuanya berbeza berdasarkan jenisnya.  Namun ada yang sama antara semuanya iaitu memiliki akar.

Cuba perhatikan kepada pohon yang berbuah.  Ada buahnya yang elok, besar, mekar, dan cantik isinya.  Ada pula yang pohonnya nampak sihat dan elok, tetapi jarang berbuah.  Dan ada juga yang berbuah lebat, namun buahnya tidak sesedap mana….

Sama juga gambarannya kepada manusia.  Ada yang berjaya, dan ada yang gagal, atau kurang berjaya.  Yang berjaya pula, kekadang nampak sahaja berjaya dari segi kerjaya atau pendapatannya, namun kurang kebahagiaan dalam rumah tangganya.

Tahukah anda bahawa, akal dan minda kita adalah seperti akar pohon.  Jika baik akarnya, maka pasti pohon itu akan besar dan sihat, dan mengeluarkan hasil yang sangat lumayan dan penuh kenikmatan.  Namun, jika akarnya kurang sihat, pasti pohon itu akan kurang sihatnya, apatah lagi untuk mengeluarkan hasil yang sangat menarik hati.

Sama juga dengan akal dan minda kita.  Jika kita memiliki minda yang sihat, pasti kehidupan kita akan menjadi sangat hebat dan berjaya…

Sama-samalah kita fikirkan….

Sabtu, 15 September 2012

Permudahkanlah sikap dengan orang lain…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.

Dalam kehidupan kita ini, yang biasa berurusan dengan pelbagai orang, tentu kita akan berjumpa dengan bermacam-macam jenis ragam manusia.  Ada yang mudah bersosial, ada yang tidak.  Ada juga yang moody, dan ada yang steady.  Hari ini KM nak berbicara tentang sikap manusia dan kesannya kepada kuasa minda yang kita tarik kepada diri kita sendiri…

Dalam banyak ragam manusia ini, mungkin kita biasa bersua atau terpaksa bersua dengan manusia yang hanya pentingkan diri sahaja.  Sikap pentingkan diri ini boleh dari segi pemikiran, mahupun tindakan.  Dalam kata lain, hanya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah.  Keadaan ini pasti lebih membebankan jika orang itu adalah seorang ketua atau pemimpin.  Hal ini menyebabkan semua pandangan dan pendapat orang lain (walaupun bernas) namun akan ditolak mentah-mentah dan menerimapakai pendapat ‘dia’ walaupun ada pendapat dan tindakan itu memang tidak masuk akal.

Apa yang KM hendak utarakan adalah sikap ini seolah-olah menyusahkan dan membebankan orang lain.  Harus diingat bahawa, apabila kita memiliki sikap membebankan orang lain, pasti kita akan menarik sesuatu yang membebankan juga kepada diri kita.  KM maksudkan begini; apabila kita menyusahkan hidup orang lain, pasti hidup kita juga akan menjadi susah dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang datang tanpa diduga.  Ini adalah kerana orang yang kita bebankan itu pasti tidak suka kepada kita dan (andai lebih buruk lagi) akan menyumpah seranah di belakang kita.  Keadaan inilah yang akan memancarkan rasa tidak senang dan negatif kepada diri kita.

Pandangan KM; jika kita memudahkan urusan dengan orang lain, pasti orang itu akan merasa sangat gembira dan bersyukur.  Perasaan ini akan memancarkan rasa seronok, damai, dan ketenangan kepada orang.  Apa yang lebih jelas adalah apabila orang yang kita permudahkan itu akan mendoakan kesejahteraan kita semua.   Bukankah ini akan menjadikan hidup kita lebih damai dan menyenangkan?

Fikir-fikirkanlah….

Selasa, 11 September 2012

Tenang, dan damaikan hati…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.

Hari ini, hinggalah ke hari Khamis, peperiksaan UPSR untuk murid-murid tahun 6 sekolah rendah akan dilangsungkan.  Memang, bagi mereka yang sedang menghadapi peperiksaan seperti ini akan merasa sedikit gementar dan cuak.  Apatah lagi jika pengharapan terlalu tinggi diberikan oleh ibu bapa dan guru-guru.

Apapun, daripada KM, cubalah bertenang.  Bertenang dan damaikan hati anda, kerana ia akan menjadikan anda lebih yakin untuk menghadapi peperiksaan, atau apa sahaja cabaran dalam kehidupan ini.   Apabila kita berada dalam keadaan tenang, maka kita akan dapat berfikir dengan lebih rasional.  Keadaan ini akan membuatkan kita dapat menjawab soalan peperiksaan dengan lebih baik dan meyakinkan.

Satu cadangan untuk menenangkan hati adalah dengan bacaan ayat suci al-Quran.  Tuan guru KM suatu masa dahulu pernah menyarankan KM untuk mengamalkan bacaan surah al-Insyirah untuk menghadapi saat kesukaran seperti semasa peperiksaan.

Isnin, 10 September 2012

Seronok ke Tempat Kerja…

Salam kasih sayang daripada KM kepada semua.

Apa khabar hari ni?  Ada rasa seronok dan gembira dalam hati?  Jika ada, maka anda akan tergolong dalam golongan yang sudah berjaya membentuk diri menjadi lebih baik dari kelmarin.

Berbicara tentang rasa seronok, pernahkah anda rasa sangat seronok dan teruja untuk ke tempat kerja.  Mungkin sebahagian daripada kita akan dapat membentuk rasa keseronokan itu; atas beberapa faktor. 

Ada yang memang seronok nak melaksanakan tugasan, ada yang seronok ke tempat kerja kerana ada perjanjian kontrak yang bakal diterima hari ini, ada yang seronok kerana hari ni ada jemputan makan percuma di pejabat, atau mungkin ada yang seronok kerana ada buah hati sedang menunggu (atau mungkin kekasih gelahp…hahaha…)

Namun, ada juga yang merasa kurang selesa dan rimas untuk ke tempat kerja.  Rasa tertekan dan runsing kerana banyak kerja yang hendak dan perlu dilaksanakan, ada yang kurang senang kerana kesesakan jalan, ada yang sudah bosan dengan rutin kerja yang sama, dan sebagainya.

Apakah implikasi kepada perasaan yang sedang terpancar itu?

Cuba kita buat ujikaji ini pada diri sendiri.  Apabila bangun dari tidur, cuba paksa diri untuk bersemangat.  Bersiap awal untuk ke tempat kerja.  Sentiasa senyum dan cipta rasa seronok untuk ke tempat kerja.  Rasa senyuman itu biarlah dengan penuh keikhlasan. 

Walaupun, pada mulanya kita seolah-olah ‘buat-buat’ seronok untuk ke tempat kerja, namun percayalah, banyak perkara baik akan kita ‘tarik’ sepanjang hari itu, kesan daripada rasa seronok untuk ke tempat kerja yang hanya di’buat-buat’ itu tadi.

Kalau tak percaya, cubalah…!

Selasa, 28 Ogos 2012

Mata Hati…

Salam kedamaian daripada KM buat semua…

Berbicara tentang mata hati, apakah pengertiannya kepada kita?

Kita punya mata tetapi belum tentu dapat ‘melihat’.

Kita punya hati tetapi belum tentu dapat ‘merasa’.

Andai kita tergolong dalam kedua-dua golongan di atas, malah andai salah satu daripadanya pun, sudah pasti kita tidak akan punya mata hati.

Kata orang, buta mata; tak nampak jalan di dunia.  Namun jika buta hati; tak nampak jalan ke syurga.

Mata hati dikaitkan dengan keindahan diri yang dapat melalui kehidupan ini dengan penuh keimanan.  Mata mungkin tiada tetapi masih dapat melihat, apabila adanya anugerah keimanan ini dalam diri.

Ahad, 26 Ogos 2012

Pengalaman Lalu Membentuk Personaliti…

Salam kedamaian daripada KM buat semua, semoga rahmatNya bersama kita…

Apa yang dimaksudkan dengan personaliti?  Dalam bahasa yang mudah dan paling ringkas adalah; gaya penampilan dan kehidupan kita.  Kenapa pula pengalaman lalu membentuk personaliti?  Kerana pengalaman lalu yang terakam dalam minda akan menjadikan ia suatu ‘hukum’ yang dipatuhi oleh minda dan melaksanakan tugas minda dalam kehidupan kita masa kini.

Mungkin masih sukar untuk difahami.  Biar KM jelaskan dengan lebih mudah.

Semasa kecil dahulu, pernahkah kita secara tidak sengaja terjatuhkan pinggan di rumah?  Habis pecah pinggan mahal yang menjadi kesayangan ibu.

Atau, terpecahkan pasu bunga yang baru sahaja ibu beli, dan ‘peliharakan’ pokok bunga yang mekar dan menjadi penyeri halaman rumah?

Atau, secara tidak sengaja terhilang dan tercicirkan wang belanja yang ayah berikan?

Apakah agaknya tindakan ibu dan bapa kita atas kesalahan yang tidak sengaja kita lakukan itu?

Kebiasaannya, pasti sahaja kita akan dimarahi dan dihadiahkan leteran panjang secara percuma oleh ibu, atau pandangan tajam ayah yang menusuk ke jantung! heheheh…

Keadaan inilah yang akhirnya akan membentuk personaliti kita.  Apa agaknya yang akan kita lakukan apabila secara tidak mengaja melakukan kesalahan yang sama sekali lagi?  Pada ketika itu, kita pasti sahaja akan berusaha untuk menyembunyikan kesalahan itu dengan merahsiakannya daripada pengetahuan ibu bapa.  Apa yang lebih parah lagi adalah kita akan mula belajar berbohong untuk mengelak daripada ‘disabitkan’ kesalahan oleh ibu bapa.  Berbohong dengan mengatakan yang kita tidak tahu, atau tidak terlibat dalam kesalahan itu.

Sebenarnya, apabila ibu dan bapa memarahi anak-anak kerana kesalahan yang tidak disengajakan, membentuk personaliti anak bahawa mereka tidak seharusnya kantoi dengan ibu bapa jika kesalahan tidak sengaja itu diketahui.  Ini membentuk personaliti berahsia di dalam minda kanak-kanak tersebut.  Lantaran itulah, apabila semakin meningkat remaja, mereka akan lebih banyak meluahkan perasaan dan masalah dengan kawan-kawan berbanding dengan ibu bapa.  Andai masalah itu dapat diharungi bersama rakannya, mungkin tiada masalah.  Bagaimana andai masalah itu menjadi lebih besar kerana rakannya itu menjerumuskan anak kita ke dalam masalah sosial yang lain?

Jika situasi ini berlaku kepada kita, apa yang kita akan lakukan?

Seharusnya kita perlu menasihati mereka (yang tidak sengaja terjatuhkan pinggan mahal itu) agar lebih berhati-hati.  Terangkan betapa berharganya pinggan itu dalam diri kita, mungkin kenangan hadiah hari perkahwinan dulu, dan sebagainya.  Keadaan ini akan menjadikan anak-anak itu lebih ‘terharu’ dengan kesalahan itu dan menyesal kerana kecuaian mereka.  Ini akhirnya akan menjadikan mereka lebih berhati-hati untuk mengelakkan daripada melakukan kesalahan yang sama.

Bukan maksud KM ibu bapa tidak boleh marah kepada anak-anak, tetapi cara kita memarahi anak-anak itu harus berpadanan dengan kesalahan mereka.  Kerana setiap tindakan kita itu akan mereka terima bulat-bulat dan simpan dalam memori minda mereka.

Sabtu, 25 Ogos 2012

Pencuri oh Pencuri…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.

Catatan ini bukanlah untuk menarik perhatian dan pemikiran kita kepada pencuri, hanya sekadar ingatan dan panduan agar kita lebih bersedia.

Beberapa ketika lalu, rumah KM dimasuki pencuri.  Bukan sekali, tetapi 3 kali.  Ya, 3 kali dalam jangka masa sebulan.  Pada ketika kejadian, KM memang sedang sibuk sangat dengan aktiviti luar.  Lantaran itu, rumah KM memang sentiasa kosong tiada berpenghuni.

Kejadian pertama berlaku semasa KM tiada di rumah kerana melaksanakan tugasan di Pulau Redang.  Aktiviti jabatan biasanya dilaksanakan selama 3 hari 2 malam.  Selepas habis tugasan di Pulau Redang, KM balik ke rumah dan alangkah terkejutnya KM apabila melihat keadaan rumah yang tunggang langgang dikerjakan pencuri bajingan!  KM cuba kenal pasti apakah barangan KM yang diambil.  Ternyata hanya tabung berisi syiling yang hampir penuh sahaja yang sudah hilang.

Bukan kehilangan itu yang menjadi kesukaran kepada KM, tetapi KM mati akal memikirkan cara pencuri itu masuk.  Tiada langsung kesan pecah rumah, yang ada hanya kesan laluan keluar.  KM sangat yakin kerana hanya pintu belakang yang terbuka untuk pencuri itu meloloskan diri.  Amat mustahil pencuri itu dapat membuka pintu belakang itu kecuali dibuka dari dalam.

Seperti yang KM nyatakan tadi, ketika itu KM sangat sibuk dengan aktiviti Pendidikan Luar.  Kerana panggilan tugas, KM terlibat dengan satu lagi aktiviti beberapa hari kemudian.  Apabila balik, keadaan yang sama berlaku.

Begitulah juga dengan kejadian yang ketiga.  KM memang sangat pasti, tiada apa barangan berharga yang hilang.  Ini adalah kerana di rumah KM itu memang tiada apa pun barangan berharga.  Tiada simpanan wang bawah tilam, tiada laptop yang ditinggalkan, apatah lagi barangan kemas.  Yang pasti, selepas kejadian pertama, pencuri itu masih cuba masuk dan menggeledah kerana mungkin mereka menyangkakan dapat sesuatu yang berharga dijumpai.  Kalaupun ada, bukan kehilangan itu yang menyesakkan KM, tetapi keadaan rumah yang haru biru yang perlu dikemaskan menjadikan KM rasa sangat marah.

KM memang jarang bercerita tentang hal-hal seperti ini.  Namun, kejadian sebanyak 3 kali ini dengan tanda tanya bagaimana ‘mereka’ masuk menyebabkan KM berbicara dengan beberapa ‘orang tua’ di kampung ini semasa bersantai di surau.

Seorang pak cik akhirnya memberikan bacaan ayat untuk diamalkan.

doa elak pencuri

Cara mengamalkan ayat ini adalah dengan membacanya pada setiap kali selepas solat 5 waktu.  Dan, semasa kita hendak meninggalkan rumah.

Sejak hari itu, KM mula mengamalkan bacaan ayat ini, dan alhamdulillah, tiada lagi kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pun begitu, haruslah kita ingat bahawa, yang tetap menjadi penjaga kepada keselamatan diri dan rumah kita tetaplah ALLAH Yang Maha Kuasa.  Selepas sahaja membaca ayat ini sebagai amalan, kita haruslah berdoa kepadaNya agar diberikan perlindungan yang berkekalan.

Semoga catatan ini dapat memberi kebaikan kepada semua.

Jumaat, 24 Ogos 2012

Kembali…

Salam penuh kedamaian.

Alhamdulillah sebab KM masih diberikan kesempatan dan ruang olehNya untuk menjengah dan kembali menulis di sini.  Setelah beberapa bulan KM ‘koma’ dan berada di wad ICU, maka kini KM dapat kembali berdiri.  Apa yang berlaku?  Biarlah KM dan DIA sahaja yang mengetahuinya.

Apa yang penting adalah keyakinan diri, dan ketabahan.  Yakin dan tabah ini apabila disatukan untuk menyatakan bahawa diri kita ini mampu, maka pasti sahaja kita mampu untuk bangun semula walaupun sudah jatuh berkali-kali.

Dan sesungguhnya, semasa dalam koma ini, banyak yang KM belajar tentang keyakinan dan ketabahan.  Semoga semua pelajaran itu akan lebih mematangkan KM dalam perjalanan kehidupan ini.

Ahad, 20 Mei 2012

Rezeki Itu Pelbagai…

Salam kasih sayang daripada KM…

Dulu (masa muda-muda aka kanak-kanak), bila sebut pasal rezeki, KM hanya bayangkang duit atau makanan sahaja.  Bagi KM, dua perkara itu adalah rezeki.  Namun kini, KM dapat memahami bahawa rezeki itu pelbagai dan luas pengertiannya.

Andai kita berada dalam situasi mencari tempat parking di sebuah lokasi yang padat, tiba-tiba ada kereta yang mengundur untuk keluar, betul-betul berhampiran lokasi kita berada; maka itu juga adalah rezeki.

Dan ingatlah, rezeki itu harus disyukuri.

Begitu juga bila kita sedang memandu dan berhajat untuk tiba dengan cepat ke tempat tujuan kita kerana ada urusan penting.  Apabila sampai saja di persimpangan lampu isyarat, kebetulan pula terus hijau; maka itu juga adalah rezeki.

Dan ingatlah, rezeki itu harus disyukuri.

Nampak tak bagaimana rezeki itu pelbagai dan luas pengertiannya.  Sekarang, KM nampak pelbagai perkara sebagai rezeki.  Hatta ketika memakai sehelai pakaian pun KM rasakan ia adalah rezeki daripada ALLAH Taala.  Kerana, tanpa kehendakNya, kita mungkin tidak mampu untuk memiliki pakaian tersebut.

Khamis, 17 Mei 2012

Pengalaman Hidup…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

Hari ini, KM ingin menyampaikan sebuah pantun yang KM baca daripada sebuah blog…

Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga…

Kalau kecil kurang berbekal, jangan disebut hendak berjaya…

Rangkap di atas menunjukkan bahawa hidup ini perlukan pengalaman.  Pengalaman akan membentuk ilmu secara semulajadi kepada diri kita.  Apabila ilmu sudah terbentuk, maka bolehlah kita menjadi semakin yakin untuk berjaya dalam kehidupan ini.

Apabila KM berbicara tentang pengalaman, maka KM cuba untuk mengimbau apakah pengalaman KM tentang kehidupan ini yang akan menjadi panduan kepada kehidupan masa akan datang.  Apa yang KM pernah lalui adalah sebuah jangka masa kehidupan di kotaraya besar Kuala Lumpur suatu ketika dulu semasa bekerja di sebuah syarikat pembinaan.  Kemudian, setelah menjadi guru, KM pernah juga bertugas di kawasan pedalaman di Pahang.

Sekarang, KM dapat merasakan kedua-dua pengalaman kehidupan di dua dunia berbeza ini menjadikan KM lebih terbuka.  Keterbukaan ini hasil daripada pengalaman memerhatikan bagaimana manusia hidup di bandar dan di desa.

Jiwa KM terasa tersentuh sesekali apabila melihat kehidupan masyarakat yang hidup melarat di kampung, dan rasa bersemangat melihatkan kegigihan masyarakat yang hidup di bandar besar.

Apa yang penting, sama ada kita hidup di bandar atau desa, kehidupan ini perlu ada ilmu dan pengalaman.  Ilmu akan memberi panduan tentang betul atau salah, pengalaman pula akan memandu kita untuk melaksanakan tindakan yang perlu.

Rabu, 16 Mei 2012

Selamat Hari Guru….

Salam kasih sayang buat semua guruku….

Jika kalian tidak bersusah payah mendidik aku sejak dari kecil dulu, pasti aku tidak akan berjaya seperti ini sekarang…

Jika kalian tidak bersabar dengan kerenah-kerenah nakalku dulu, pasti aku tidak akan menjadi hebat seperti ini sekarang…

Jika kalian tidak memberi kasih sayang dan belaian didikan dulu, pasti aku tidak akan menjadi setinggi ini sekarang….

Terima kasih cikgu-cikguku, KM doakan semuanya akan mendapat rahmat ALLAH yang berpanjangan.

SELAMAT HARI GURU…

Sabtu, 3 Mac 2012

Cara Tingkatkan Kesyukuran…

Salam kedamaian daripada KM buat semua.  KM doakan kita semua sentiasa berada dalam keadaan yang setiasa dimurahkan rezeki dan menjadi orang yang sentiasa bersyukur dengan rezeki tersebut.

Pada catatan yang lalu, (sudah seminggu yang lalu KM terbitkan) ada KM catatkan tentang kesyukuran.  Memang kita perlu sentiasa bersyukur, dan insyaALLAH akan ada sesuatu yang menjadi kebaikan dengan kesyukuran itu akan menjadikan nikmat kita semakin bertambah dan berganda.

Namun, ada seorang kenalan KM yang bertanya; bagaimana hendak melazimkan diri untuk bersyukur?

Caranya mudah sahaja…  Kita perlu buat bandingan dengan orang lain, dan rasai kenikmatan yang ada, kemudian pasti kita akan merasa sangat bersyukur.

Apabila membuat bandingan, jangan dibandingkan dengan orang yang ‘lebih’ daripada kita, sebaliknya bandingkan dengan orang yang kurang daripada kita.  Contohnya jika kita punya sebuah kereta Kancil; kecil, comel, cute, biasa-biasa aja…cuba ketika itu kita bandingkan dengan orang yang hanya punya motosikal.  Ketika itu pasti kita akan merasai nikmat punya kereta, walaupun hanya kereta Kancil.  Kerana, walaupun hanya berkereta yang ‘biasa-biasa aja’, namun kita masih terlindung semasa hujan berbanding orang yang hanya bermotosikal.  Kita terlindung daripada panas dan kesukaran pemanduan, berbanding orang yang bermotosikal yang sangat terdedah dengan bahaya.

Kenikmatan itu, akan menjadikan kita lebih bersyukur walaupun hanya memiliki sebuah kereta comel seperti Kancil.

Inilah yang KM katakan, bandingkan dengan orang lain, rasai kenikmatannya, dan selepas itu pasti kita akan menjadi lebih bersyukur.

Ahad, 26 Februari 2012

Bersyukur Walau Apa Keadaan…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.  Bersua juga KM dengan blog ni, walaupun dari hari ke hari kerja KM makin bertambah dan membeban di bahu.

Hari KM berpeluang untuk menulis sedikit di sini.

KM nak berbicara tentang bersyukur.  Memang kita tahu tentang bersyukur.  Namun adakah sifat kesyukuran itu sentiasa hadir dalam diri kita?  Atau, adakah kita hanya bersyukur ketika kita senang sahaja?  Atau hanya ketika kita teringat untuk bersyukur, baru kita bersyukur?

Rasa syukur itu harus sentiasa ada.  Bukan hanya ketika senang atau ketika mendapat sesuatu kenikmatan sahaja, baru kita hendak bersyukur.  Dalam apa keadaan sekali pun, kita seharusnya bersyukur.

Ada pandangan mengatakan, semakin banyak kita bersyukur, semakin banyak kenikmatan itu akan hadir dalam diri kita.  KM sangat bersetuju.  Rasanya, hal ini pun ada dalam firman ALLAH Taala dalam Al-Quran.

Andai kita berada dalam situasi masalah sekalipun, cuba kita hadirkan rasa syukur itu, pasti ada suatu ‘keajaiban’ berlaku dalam hati kita.

Sebagai contoh, andai kita berada dalam masalah kewangan, cuba kita buat senarai tentang kenikmatan yang kita perolehi masa kini.

Contoh :

  1. Masih punya wang untuk membeli makanan.
  2. Masih punya keluarga yang membantu, mendorong, dan memberi semangat untuk meneruskan hidup.
  3. Masih punya peluang untuk mencari sumber rezeki lain untuk menyelesaikan masalah kewangan tersebut.

Ini hanya sekadar contoh.  Apabila kita berjaya menyenaraikan semua kenikmatan yang kita ada pada masa kini, pasti kita akan merasa lebih tenang.  Ketenangan dan kedamaian dalam hati inilah yang akhirnya dapat menghapuskan kegundahan akibat masalah yang kita hadapi tersebut.

Apa yang lebih menarik, semakin banyak kita bersyukur, semakin banyak kenikmatan yang akan kita terima, pasti akan berlaku.  Dengan bersyukur atas semua nikmat ini, ‘keajaiban’ yang KM maksudkan tadi pasti akan berlaku.  Mungkin dengan bersyukur itu tadi, ALLAH akan kurniakan nikmat jalan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah kewangan yang kita hadapi itu.

Semuanya berlaku atas kehendakNya jua.  DIAlah yang sebenarnya memberi cubaan kepada kita dan DIAlah yang akan mendorong kita kepada jalan penyelesaiannya.

Percayalah, dengan bersyukur, kita akan mendapat lebih banyak kenikmatan dalam diri kita ini…

Khamis, 9 Februari 2012

Mengurangkan stress…

Salam keceriaan daripada KM buat semua…

Stress atau dikenali juga dengan nama tekanan adalah salah satu keadaan yang kerap berlaku kepada semua golongan masyarakat pada masa kini.  Tekanan ini mungkin berlaku di kalangan kanak-kanak atau golongan remaja yang ada kaitan dengan pencapaian dalam pelajaran, mungkin berlaku kepada golongan dewasa atau pekerja dalam menentukan kejayaan dalam kerjaya, dan mungkin juga berlaku di kalangan golongan warga emas yang kurang diberikan perhatian.  Oleh itu, stress atau tekanan ini pasti saja boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Lantaran kehidupan yang semakin terhimpit ini, gejala stress pasti makin meningkat kepada sesiapa sahaja yang berhadapan dengan masalah tekanan ini.  Andai tidak diberikan perhatian untuk mengurangkan stress, dikhuatiri ada masalah lain yang lebih berat berlaku, andai stress itu semakin menebal dan memuncak.

Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan stress.  Marilah sama-sama kita fikirkan, mungkin ia dapat membantu diri kita…

1.  Mengambil minuman teh.

Kajian mendapati, teh adalah sejenis herba yang boleh merangsang otak untuk bertenang.  Ia berbeza sama sekali dengan minuman berbentuk kefien yang merangsang otak untuk terus cergas.  Teh bertindak lebih kepada penenang.  Aroma yang ada dalam teh akan menyebabkan  otak berada dalam keadaan tenang dan damai.  Keadaan ini akan menyebabkan kita menyusun logik dengan lebih teratur dan munasabah. 

2.  Menyedut udara segar.

Sesekali, apabila berada dalam tekanan kerja atau belajar, berhenti seketika dan keluar dari rumah atau pejabat untuk menghirup udara segar.  Kesegaran ini bukan hanya kepada badan yang dapat direhatkan malah otak akan menerima lebih banyak oksigen dan udara bersih.  Hal ini akan membantu otak berada dalam getaran yang lebih sesuai untuk melakukan sebarang keputusan.

Keadaan ini memang sesuai dengan pandangan beberapa tokoh akademik yang mencadangkan agar kita bercuti setelah melaksanakan sesuatu tugasan penting.  Bercuti, biasanya akan dilaksanakan di kawasan yang damai dan menyegarkan.  Apabila kita berada di kawasan rekreasi seperti pantai atau sungai untuk bercuti, maka kesegaran itu akan dapat mengurangkan stress yang ada dalam diri kita.

3.  Membaca bacaan ringan.

Bacaan ringan juga dapat mengurangkan stress.  Andai anda minat membaca novel, maka ketika stress adalah masa untuk melaksanakan hobi itu dengan sangat optimum.  Kedamaian membaca novel atau cerita itu akan dapat membawa anda masuk ke alam penceritaan itu dan menjadikan anda lebih tenang.

Bacaan berbentuk motivasi juga sesuai untuk mengurangkan stress.  Bacaan seperti ini akan menjadikan anda lebih bersemangat dan yakin kepada diri.  Stress dan tekanan akan berkurang dan menjadikan anda lebih positif dalam melaksanakan kehidupan ini.

Ada pandangan yang mengatakan bacaan motivasi lebih baik dilakukan pada awal pagi, berbanding dengan membaca akhbar.  Ini adalah kerana, pada ketika ini diri masih ‘bersih’ kerana baru memulakan hari dan lebih mudah untuk dinaikan motivasi.  Kenapa bacaan akhbar pula tidak digalakkan pada awal pagi?  Kerana dikhuatiri berita negatif yang kerap dipaparkan di dada akhbar akan menyebabkan diri kita menjadi semakin kurang bersemangat di awal pagi dan membawa ke petang.

4.  Ketawa.

Semua daripada kita memang faham bahawa orang yang ketawa adalah orang yang lebih riang daripada orang yang stress.  Keriangan ini akan menjadikan kita kurang tertekan. 

Ketawa jangan berlebihan kerana ia mungkin akan mendatangkan masalah lain pula.  Ketawa biar berpada.

Sebut hal ketawa, KM selalu perhatikan, orang yang selalu ketawa, atau sekurang-kurangnya sering tersenyum, akan nampak lebih muda berbanding usianya.  Mungkin ini disebabkan keriangan yang ada dalam dirinya menyebabkan hormon penuaan tidak bertindak aktif ke atas dirinya.

Cuba luangkan masa menonton siri jenaka, atau filem komedi untuk mendapatkan ketawa yang berkualiti.  Bacaan berbentuk humor juga sesuai untuk membuatkan seseorang itu ketawa atau tersenyum sendiri.  Lebih mudah lagi, jika di kalangan kita ada orang yang suka bergurau atau buat lawak.  Maka jadikan dia rakan untuk bergurau supaya kita boleh sesekali ketawa dengan gelagatnya itu.

5.  Berbual-bual dengan orang yang boleh memahami.

Semasa KM belajar berkaitan psikologi manusia dahulu, berbual dengan orang yang diyakini dan boleh memahami kita adalah salah satu bentuk aktiviti yang paling sesuai untuk meluahkan perasaan.  Sebab itu ada jawatan seperti kaunselor yang tugasnya adalah untuk berbual, berbincang, dan memberi pandangan tentang masalah seseorang.

Semasa kita berbual atau meluahkan perasaan kepada seseorang itu, kita sebenarnya telah ‘melepaskan’ beban yang bersarang dalam otak kita.  Percaya atau tidak, kita akan menjadi lebih lega setelah masalah itu kita luahkan.  Sama ada orang yang mendengar dapat menyelesaikan masalah atau tidak, itu tidak penting.  Apa yang penting adalah kita dapat mengurangkan beban yang bersarang dalam diri.

Isnin, 30 Januari 2012

Alah bisa…

Salam kasih sayang daripada KM…

Berkaitan dengan set pemikiran dalam catatan yang lalu, KM nak ceritakan sedikit tentang situasi yang berlaku kepada diri KM sendiri.  Ini juga adalah salah satu contoh bahawa minda boleh diprogramkan, dan tubuh akan menerima arahan untuk melaksanakan tugas.

Seperti yang KM ceritakan dahulu, KM kini telah bertukar tempat bertugas di sebuah sekolah lain.  Untuk ke sekolah itu, KM perlu membetulkan semula jadual tubuh KM.  Seawal selepas Subuh KM sudah perlu bersiap sedia untuk keluar ke sekolah.  Memang pada minggu pertama dan kedua, KM rasa sangat ‘terseksa’ kerana terpaksa membentuk jadual perjalanan yang baru dalam hidup.  Namun kini setelah masuk minggu yang ketiga, KM sudah menjadi biasa dengan rutin itu dan menjadi sangat seronok dan bersemangat.

Jika dahulu, untuk sampai ke sekolah KM perlu mengambil masa 45 minit.  Ini adalah kerana perjalanan ke sekolah terpaksa melalui kawasan ladang kelapa sawit yang berliku-liku, ‘melintasi’ beberapa gerombolan lembu yang tidur di tengah jalan, ‘memalit’kan najis lembu secara sengaja atau tidak sengaja, dan sebagainya.  Namun sekarang, KM sudah boleh sampai ke sekolah dalam jangka masa 30 minit sahaja.

Kenapa hal ini terjadi?  Hal ini terjadi kerana dulu KM masih baru dengan jalan dan situasi di jalanan tersebut.  Keadaan ini menyebabkan KM perlu lebih berhati-hati (kerana tidak biasa).  Namun sekarang, KM sudah boleh mula ‘memecut’ sedikit di kawasan ladang ini kerana sudah tahu dan kenal pasti kawasan yang perlu diperlahankan untuk mengelak lubang dan lembu.  Hal ini yang menjadi kebiasaan setiap hari telah membentuk satu set dalam diri bahawa kawasan ini boleh laju sikit, kawasan ini ada lubang, kawasan ini berliku, dan sebagainya.

Set pemikiran ini berlaku kerana kita melakukannya setiap hari secara berulang-ulang.  Keadaan ini menjadikan minda menerima satu bentuk perlakuan yang berterusan dan tubuh menerima sebagai satu tugas dalam diri.  Kebiasaan ini akan menjadikan kita lebih bersedia, yakin, dan tahu apa yang perlu dilakukan secara reflek dan pantas.

Benarlah kata pepatah; alah bisa tegal biasa….

Selasa, 24 Januari 2012

Jiwa yang Tenang…

Salam kasih sayang daripada KM.

Sudah terlalu lama KM tak berkesempatan ke sini.  Macam-macam yang berlaku di awal tahun 2012 ni sampaikan KM terpaksa letak ke tepi dahulu log kesayangan KM ni.  Inilah yang dinamakan meletakkan keutamaan kepada yang lebih utama.

Sebenarnya, KM telah ditukarkan bertugas di tempat lain.  Keadaan inilah yang menyebabkan KM terpaksa menguruskan semula perjalanan masa kehidupan KM.  Jika dulu KM mula keluar untuk bertugas jam 7:00 pg, balik berehat sekejap jam 2:00 petang dan sambung semula pada jam 3:30 hingga jam 6:00 petang, andai ada kelas tambahan maka tugas KM bersambung lagi lepas Maghrib hingga jam 10:00 malam.  Itu rutin perjalanan kehidupan KM dulu…

Di tempat baru ni, KM perlu keluar dari rumah untuk bertugas seawal jam 6:20 pg, andai tidak maka merahlah punchcard KM.  KM berehat di sekolah saja dan sambung tugas hingga jam 6 petang.  Andai ada kelas malam, maka KM akan terus berehat di sekolah dan lepas kelas baru boleh balik ke rumah.  Hal ini kerana KM sekarang ditempatkan pula di sebuah sekolah yang agak jauh dari rumah KM.  Sekolah ini pula adalah sebuah sekolah yang hebat yang memerlukan komitment dan tindakan yang serba pantas. 

Letih memang meletihkan.  Namun kerana akur dengan arahan dan tugasan yang diberikan maka KM meneruskan juga amanah yang diberikan itu.

Perjalanan kehidupan yang baru ini pada mulanya memang memberi sedikit tekanan kepada KM.  Apa tidaknya, jika dulu KM ada ruang masa bersama keluarga, namun sekarang ruang itu menjadi semakin sedikit.  Jika dulu KM ada ruang masa untuk lakukan apa yang KM suka, namun sekarang ruang itu diambil alih oleh masa perjalanan ke tempat kerja dan masa untuk merehatkan badan.  Itulah perjalanan sepanjang awal tahun ini.

Alhamdulillah, sekarang KM sudah semakin membiasakan diri dengan keadaan masa baru ini.  Mungkin sedikit masa lagi, kebiasaan dan keselesaan masa baru ini akan membolehkan KM meneruskan usaha untuk menulis dan melakarkan maklumat berkaitan dengan minda di sini…

Rabu, 4 Januari 2012

Matlamat Kehidupan ~ 3…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

Telah bertanya sahabat KM, apa perlunya target andai kita sudah ada matlamat?  Bukankah matlamat dan target itu sama saja?

Jawab KM, ya memang matlamat dan target itu sama, namun tidak serupa.

Sama kerana, kedua-duanya menjurus kepada perkara yang sama iaitu untuk mencapai apa yang diinginkan.  Tidak sama kerana matlamat adalah satu bentuk impian yang penuh dan lengkap, manakala target pula adalah pecahan-pecahan kecil matlamat dan penumpuan lebih khusus untuk mencapai matlamat tersebut.

KM beri contoh yang mudah begini, seorang pelajar yang hendak menduduki peperiksaan SPM tahun ini, menetapkan matlamatnya untuk mendapat 10A.  Kejayaan 10 A itu adalah matlamatnya.  Namun dalam masa yang sama, dia mendapati pencapaiannya dalam Matematik Tambahan masih lemah.  Jadi dia mula menetapkan target untuk menguasai semua kemahiran asas dan kemahiran menjawab soalan bagi mata pelajaran Matematik Tambahan itu untuk dikuasai selewat-lewatnya pada bulan Ogos tahun ini.  Jadi, di sini ditunjukkan bahawa matlamatnya jelas dan target dibuat untuk menjayakan matlamat tersebut.

Target mungkin banyak dan pelbagai.  Namun harus diingat bahawa target jangan terlalu banyak dibuat dan dijana dalam satu masa.  Bagi manusia normal, kita perlu menghadkan kehendak kita dalam melakukan sesuatu.  Jika kita melakukan beberapa perkara besar dalam satu masa, dikhuatiri kesempurnaan perkara besar itu akan terjejas.  Oleh itu, target yang terlalu banyak dalam satu masa akan mengurangkan keberkesanan atas impian kita.

Pada catatan akan datang KM akan menjelaskan serba sedikit tentang apa perlunya target dalam matlamat kehidupan kita ini….

Ahad, 1 Januari 2012

Matlamat Kehidupan ~ 2

Salam kedamaian buat semua…

Menyambung perbicaraan sebelum ini, apakah kita telah berjaya menetapkan matlamat dalam kehidupan kita?  Jika sudah, tahniah.  Kita memang akan berjaya jika kita memiliki matlamat kehidupan yang jelas.

Apa pula tindakan selanjutnya setelah matlamat kehidupan ditetapkan?

Setelah kita menetapkan matlamat, kita perlu memiliki target.  Target atau tetapan terhadap sesuatu adalah keadaan yang mana kita menetapkan pula sasaran kita.  Ia mungkin berkaitan dengan masa dan berkaitan juga dengan pencapaian terhadap sesuatu.

Pada kebiasaannya, target ini haruslah realistik.  Maksudnya, biarlah berpadanan dengan kemampuan dan usaha yang mampu untuk kita lakukan untuk mencapai impian tersebut.  Contohnya, jika kita hendak memiliki simpanan sebanyak RM1 juta dalam masa setahun, adakah ia target yang realistik atau hanya fantasi…terpulang kepada kemampuan kita.  Mungkin ada antara kita mampu menjadikannya sebagai target dan mungkin hanya sebagai satu bentuk impian kosong.  Jadi, apa yang penting adalah biarlah target itu realistik atau sesuatu yang mampu dicapai dek akal.

Kenapa pentingnya target dalam usaha mencapai matlamat kehidupan ini?  Target penting kerana ia menjadi kayu pengukur kepada setiap usaha kita.  Ia perlu supaya kita tidak leka dan menyeleweng daripada usaha untuk mencapai matlamat kehidupan ini.  Ada yang mungkin berjaya mencapai kejayaan tertentu, namun kejayaan itu terlalu lambat untuk dicapai kerana kita terlalu leka dan tidak bersungguh-sungguh.  Jadi, dengan adanya target masa dan pencapaian, kita akan lebih fokus untuk mencapai sesuatu impian itu.