Ahad, 31 Julai 2011

Semangat yang Membara…

Salam penuh kedamaian…

Aku kembali menulis di sini setelah seminggu tidak dapat ber’internet’.  Kisah dan perjalanan kehidupanku seminggu yang lalu memang sangat menguja dan memberi perangsang dalam kehidupan aku ini.  Manakan tidaknya, aku telah berada dalam dunia yang sangat aku minati iaitu aktiviti pendidikan luar.  Walaupun latihan dan aktiviti yang dijalankan sangat mencabar, namun cabaran itulah yang menjadi pendorong kepada kami semua untuk meneruskan kejayaan dalam kehidupan ini.

Ada yang berkata, cabaran atau masalah yang berlaku adalah perkara perit yang mungkin akan membuatkan kita gagal dalam kehidupan.  Pada pandanganku, pendapat itu adalah pendapat orang yang lemah daya saing dan daya juangnya.  Seharusnya, semakin hebat dan kuat cabaran yang berlaku kepada kita, maka kita akan dan harus menjadi orang yang lebih hebat.  Cabaran atau masalah berlaku bukan untuk memusnahkan kita, sebaliknya ia berlaku adalah untuk memberi kekuatan dan semangat kepada kita agar kita menjadi orang yang lebih hebat dan cekal.

Jika hidup tanpa cabaran, seolah-olah kita sentiasa berada dalam keadaan senang dan damai…  Ini menjadikan kita lebih leka dan tidak bersemangat kerana kita berada di ‘zon selesa’.  Namun, dengan adanya cabaran dan rintangan akan membuatkan kita akan terus melangkah dan berusaha mencari jalan mengelakkan cabaran dan rintangan itu.

Teruskan bersemangat dalam kehidupan ini…

Sebut berkenaan cabaran, bermula esok kita semua akan memulakan semula cabaran dalam kehidupan kita setahun yang lalu.  Cabaran ini memang memberi kesan yang hebat kepada diri kita sendiri.  Cabaran yang aku maksudkan adalah berpuasa di bulan Ramadhan.  Memang kita sudah terlalu biasa dengan amalan dan ibadat puasa ini, namun aku tetap katakan ia adalah cabaran kerana berpuasa bukan hanya sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga sahaja, malah kita harus menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang mungkin boleh mengurangkan pahala puasa.  Hal inilah sebenarnya cabaran yang paling hebat dalam berpuasa.

Selamat berpuasa, semoga puasa kali ini dapat membentuk keperibadian diri kita yang lebih unggul berbanding tahun-tahun yang lalu….

Ahad, 24 Julai 2011

Semangat Jangan Dibiarkan Jatuh…

Salam penuh kebahagiaan…

Semalam Julai 23, selesailah sudah tugas aku sebagai salah seorang hakim kawad kaki negeri.  Banyak kenangan manis yang mungkin dapat aku kongsikan di sini.  Tapi untuk catatan kali ini, aku ingin berbicara tentang semangat.

Apabila melihat semua pasukan yang terpilih dari daerah masing-masing dan berkumpul di sini untuk pertandingan, aku menjadi sangat teruja.  Keterujaan aku itu kerana aku sangat memahami bahawa semua pasukan pastilah pasukan yang terbaik di daerah dan berkumpul untuk mencari yang paling terbaik di kalangan semua pasukan.  Pastinya mereka sudah gigih dan giat berlatih paling kurang sebulan untuk bertanding dalam jangka masa hanya 15 minit pertandingan.  Apa yang paling penting, semua pasukan pasti sahaja mahu menunjukkan persembahan kawad yang paling menarik, terutama kepada para hakim.

Namun ada satu situasi yang dapat aku perhatikan dengan jelas.  Ada antara mereka masih belum cukup ‘kuat semangat’.  Dalam bidang sukan sekalipun, faktor permainan psikologi memang memberi kesan kepada pesaing yang lain.  Contohnya dalam perlawanan bola sepak, jika pasukan lawan bersaiz besar, mempunyai nama, dan berpakaian yang hebat, pasti sedikit sebanyak akan mempengaruhi semangat pemain.  Begitu juga dengan apa yang dapat aku saksikan di kalangan pasukan yang bertanding tadi.

Situasi 1; pasukan tidak dapat melakukan persembahan dengan baik, ada sahaja kesalahan yang dilakukan.  Ini berpunca daripada sorakan gangguan daripada pasukan lain yang menonton persembahan mereka.  Bagi aku, ini adalah perkara biasa.  Biasa apabila sekumpulan remaja lelaki menjerit dan mengusik sekumpulan gadis manis, itu adalah biasa (selagi tiada gangguan kata kesat atau sentuhan fizikal).  Aku katakan biasa kerana mereka semua remaja yang memang suka mengusik gadis manis.  Masalahnya sekarang, pasukan perempuan kelihatan sedikit terganggu dengan sorakan, hingga menyebabkan persembahan mereka agak gugup.

Situasi 2; hujan mengganggu persembahan.  Ini berlaku kepada kedua-dua gender.  Pada awal pagi pertandingan, cuaca sangat baik.  Namun berbeza di sebelah petang.  Hujan mula turun renyai-renyai.  Tetapi pertandingan tetap diteruskan.  Ada satu pasukan perempuan yang memulakan persembahan kawad semasa hujan renyai dan menjadi semakin lebat semasa pertengahan kawad mereka.  Pada mulanya, semuanya berjalan lancar, namun apabila hujan makin lebat, persembahan mereka juga terganggu.  Aku sangat bersimpati.

Situasi 3; kesalahan kecil menyebabkan kesalahan yang lebih besar.  Perkara ini berlaku pada satu pasukan lelaki.  Pada mulanya, aku menjangkakan merekalah yang akan menjadi juara.  Ini berdasarkan susuk tubuh mereka yang sama paras, tidak seperti pasukan lain yang mempunyai campuran pelbagai saiz dalam satu pasukan.  Persembahan pasukan ini juga lancar dan tepat.  Namun ada satu situasi, kerana kesalahan arahan daripada ketua platun menyebabkan pasukan ini terkeluar sedikit dari gelanggang (markah dipotong jika hal ini berlaku).  Pasukan aku lihat sudah mula goyah.  Semuanya serba tidak menjadi selepas itu.  Keadaan jadi kacau…

Semua situasi ini menunjukkan mereka mudah goyah.  Semangat mereka jatuh apabila ada ganngguan atau terganggu dengan situasi tertentu.  Mungkin faktor usia remaja mereka menyebabkan semangat mereka masih belum kental.  Justeru, untuk menjadi pasukan yang lebih berjaya, kita bukan hanya sekadar menyiapkan kehebatan daripada fizikal sahaja, malah turut menjadi keutamaan adalah dari segi mental.

Apabila sebut berkenaan mental, semuanya ada pada minda manusia.  Minda manusia yang hebat ini boleh dilatih dan diperkukuhkan sama seperti melatih fizikal manusia.  Malah, dengan adanya minda yang hebat, kita pasti berjaya mengawal situasi cabaran yang ada.  Semangat menjadi lebih hebat dan kukuh.  Setiap pekerjaan akan menjadi lebih produktif dan bermakna.  Kuasai minda, pasti kita akan dapat menguasai keadaan….

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pagi ini aku akan melapor diri di PUSAKO untuk aktiviti kejurulatihan pendidikan luar.  Seminggu aku berada di sana.  Moga aku berjaya pulang dengan kejayaan dan dapat menulis semula nanti…

Sabtu, 23 Julai 2011

Sibuk Tak Apa, Janji….

Salam bahagia semua.

Jika minggu lalu, aku ‘bertugas’ 7 hari seminggu, maka minggu ini dan minggu depan juga begitu.

Dari Ahad hingga Khamis, aku bertugas di sekolah sebagai guru yang mengajar, hari ini aku melapor diri untuk bertugas sebagai hakim kawad kaki peringkat negeri pula.  Hari ini, ada mesyuarat penyelarasan di PPD dan majlis akan berlangsung esok.  Jika mengikut makluman yang diberikan tadi, pertandingan akan berlangsung dari jam 8:00 pagi dan majlis penutup dijangka sekitar jam 6:30 petang.  Ini bermakna seharian pegawai yang bertugas akan melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Pada hari Ahad nanti (Julai, 24) aku akan melapor diri pula ke PUSAKO untuk kursus lanjutan jurulatih pendidikan luar.  Kursus dijangka akan berlangsung sepanjang minggu.  Bermakna, seminggulah aku akan berkampung di sana.  Apa yang paling aku tunggukan adalah aktiviti fizikal dan mental dalam ujian itu nanti.

Ada yang bertanya kepadaku; tidak penatkah? Tak sibukkah melaksanakan semua urusan ini?

Jawapannya pastilah penat dan sibuk.  Namun, semua itu tidak memberi kesan kepadaku.

Kenapa?  Kerana mindaku berkata bahawa semua ini adalah minatku.  Minat dalam bidang pasukan badan beruniform dan minat dalam aktiviti pendidikan luar.

Apabila minda kita berkata ia adalah sesuatu yang menyeronokkan kita, maka ia akan memberi suatu ‘kuasa’ kepada diri untuk melakukannya.  Begitu jugalah sebaliknya. 

Sama keadaannya dengan minat terhadap sesuatu.  Contohnya minat kepada permainan bola sepak.  Jika seseorang itu minat dengan bola sepak, maka minda akan mengisyaratkan kepada tubuh badan untuk bersiap sedia menunggu siaran bola sepak walaupun pertandingan disiarkan jam 2 pagi (masa paling nyenyak untuk manusia tidur).

Bagaimana andainya jika kita berjaya salurkan keadaan ini kepada situasi pekerjaan atau pembelajaran kita seharian.  Maka pasti kita akan berjaya menjadi pekerja dan pelajar yang sangat hebat, kerana apa sahaja cabaran dan rintangan yang ada akan kita hadapi dengan tenang.  Ini adalah kerana minda telah memberikan perintah kepada badan untuk melaksanakannya.

Segalanya ada di minda kita…  Syukur kepada ALLAH yang telah memberikan minda yang hebat ini kepada makhluk yang bernama MANUSIA… 

Selasa, 19 Julai 2011

Harapan Ibu Bapa…

Salam kedamaian buat semua…

Jika dalam catatan yang lalu aku berbicara tentang tekanan yang dirasakan oleh murid atau pelajar sekolah yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi, maka pada catatan kali ini aku hendak bicarakan tentang harapan pula. 

Apakah harapan?  Harapan adalah keinginan, kehendak, permintaan dalam diri, dan sesuatu yang dihajatkan untuk benar-benar berlaku.  Jika kita selidiki apakah itu harapan maka kita akan memahami bahawa ia sangat penting dan mendalam, yang diimpikan oleh seseorang.

Kebetulan pada malam tadi ada sedikit majlis solat hajat dan bacaan yasiin di sekolahku.  Kehadiran ibu bapa bersama dengan anak-anak mereka memang sangat menggalakkan.  Selepas sesi bacaan yasiin, ada sedikit ruangan tazkirah yang membicarakan tentang harapan ini.  Aku sangat tertarik dengan apa yang disampaikan itu dan merasakan kita semua harus mempraktikkannya.

Kata motivator yang menyampaikan tazkirah itu;

Kita semua mahukan kejayaan anak-anak kita, namun pernahkah kita menyatakannya…?  Ada sesetengah ibu bapa yang menghantar anak setiap hari, namun hanya sekadar menghantar dan mengambilnya pulang.  Tetapi kita tidak pernah menaruh apa-apa impian dan harapan tentang masa depan anak itu.”

Kita seharusnya menyatakan apa yang kita mahukan.  Contoh, anakku Azhar, besar nanti ayah nak kamu jadi doktor…  Ini adalah harapan ibu bapa yang disampaikan dan diberitahu kepada anak semasa menghantarnya ke sekolah.  Harapan ini nanti akan memberi satu kesan yang sangat mendalam ke dalam diri….”

Ulasan;

Apabila ibu bapa, atau seseorang yang rapat dengan kita menyatakan impiannya, dan dinyatakan berulang kali, (bukan hanya sekali atau dua kali tetapi berulang kali tanpa jemu), maka sedikit demi sedikit ia mula membentuk jaringan dalam minda, antara orang yang menyatakan impian itu dengan orang yang menerima pernyataan itu.

Bayangkan, seorang anak yang agak malas belajar, jika datang ke sekolah sekalipun hanya untuk bermain dan bertemu dengan rakan sebaya….Andainya si bapa yang menghantarnya ke sekolah setiap hari mengungkapkan harapannya itu setiap hari kepada si anak (semasa bersalaman atau semasa menghulurkan duit belanja), maka lama kelamaan ia akan membentuk jaringan minda antara anak dengan bapa tersebut.  InsyaALLAH, ada ketikanya, akan ada kesedaran yang diberi dan dikurniakan kepada anak itu dan dia akan berubah menjadi murid yang lebih baik untuk mengejar cita-citanya dan menjayakan impian bapanya.

Minda manusia bersifat frekuansi.  Oleh itu, ibu dan bapa harus mencari frekuansi yang sama dengan frekuansi anak untuk mendapatkan ‘siaran’ yang sama.  Apabila siaran itu sama, barulah kita dapat mendengar lagu yang sama.  Bagaimana hendak mendapatkan frekuansi yang sama itu?  Caranya haruslah berterusan mencari, bukan hanya sekadar membuka radio dan terus berharap mendapat siaran…  Teruskan mencari frekuansi yang sama, pasti kita akan berjaya mendapat siaran itu dengan lebih jelas dan sedap didengar…

Isnin, 18 Julai 2011

Tertekan…?

Salam kasih sayang buat semua…

Kepada pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah, yang bakal menghadapi peperiksaan percubaan tidak lama lagi; semoga berjaya dengan cemerlang, dan JANGAN TERTEKAN…!

tertekan

Kenapa aku membangkitkan tentang tertekan?

Semalam, seperti biasa aku mengadakan kelas tambahan.  Almaklum, anak-anak FELDA di tempat ini memang memerlukan kelas tertentu.  Bukan bermaksud kelas di sekolah tidak mencukupi hingga perlu di tambah pembelajaran mereka ke kelas malam, bukan begitu.  Tetapi situasi di kelas tambahan berbeza.  Jika dalam kelas mereka ada 35 orang murid yang perlukan perhatian seorang guru, namun dalam kelas tambahan mereka hanya 15 orang bersama dengan seorang guru.  Lantaran itu kelas tambahan menjadi ruang untuk menambahkan maklumat dengan lebih berkesan.

Semasa kelas tersebut, aku dapat mengesan perubahan seorang daripada muridku.  Dia mendiamkan diri, termenung, dan tidak ceria.  Aku menegur perubahan sikapnya itu dan bertanya apa yang sudah berlaku?  Biasanya jika keadaan seperti ini berlaku bermaksud remaja itu ada masalah.

Murid itu menyatakan yang dirinya tertekan kerana peperiksaan semakin hampir.  Lantas aku bertanya lagi; apa yang menyebabkan dia merasa tertekan kerana peperiksaan tersebut?  Murid itu menjawab; takut untuk menghadapi peperiksaan kerana bimbang tidak dapat menjawab dengan baik, sekaligus tidak berjaya mencapai kejayaan dalam peperiksaan tersebut.

Nah, di sinilah masalahnya!

Kita sering takut dan terganggu kerana sesuatu perkara yang kita sendiri tidak pasti.  Sebagai contoh, dalam situasi di atas, adakah kita memang pasti soalan yang bakal kita hadapi nanti memang tidak dapat kita jawab?  Mana mungkin kita sangat pasti bahawa tidak dapat menjawab soalan itu sedangkan kita sendiri tidak tahu apakah soalan yang akan diterima?

Lantaran kerana memikirkan sesuatu yang tidak pasti, dan fikiran yang digunakan adalah melalui medium negatif, maka ia akan membuatkan pemikiran kita menjadi terganggu.  Hal inilah yang dikatakan ‘tertekan’ di kalangan murid dan pelajar yang akan menghadapi peperiksaan.

Jauhkan rasa tertekan itu.  Kita perlu menyelesaikan situasi tegang ini dengan lebih berhemah.  Perkara pertama, jangan fikirkan negatif seperti tidak dapat menjawab soalan.  Seharusnya kita mencari jalan untuk dapat menjawab soalan itu dan bukannya berfikir tentang tidak dapat menjawabnya.

Perkara kedua, sentiasa bertenang.  Keadaan tenang dalam diri akan menyebabkan jumlah oksigen yang disedut mencukupi dengan keperluan.  Ini membantu degupan jantung yang tenang jua, aliran darah dapat bergerak dengan tenang jua, dan minda akan dapat berfikir dengan sangat tenang.  Oleh itu, cuba bertenang.

Perkara ketiga, jangan fikirkan masalah, sebaliknya fikirkan jalan penyelesaian.  Dalam hal ini, jika anda merasa takut tidak dapat menjawab soalan, jadi bersiap sedialah untuk memantapkan minda anda dengan kaedah menjawab yang betul.  Apabila anda merasa sangat bersedia, maka tiada lagi rasa takut, gusar, dan rasa tertekan untuk menghadapi peperiksaan kerana anda merasa sudah bersedia.

Jumaat, 15 Julai 2011

Lamanye….

Salam buat semua…

Sudah terlalu lama aku tidak dapat menjengok ke sini.

Sudah terlalu lama aku tidak dapat pertandang ke blog kalian.

Sudah terlalu lama….

Aku terperangkap dengan pelbagai aktiviti yang memerlukan komitmen aku di tahap paling tinggi.  Ini menyebabkan aku tidak berpeluang untuk menulis di sini.  Hari ini dan esok juga, aku terlibat dengan satu program kejurulatihan.  Walaupun biasanya hari ini dan esok tidak bekerja, namun kerana arahan jabatan, maka aku meneruskannya…

Minggu depan juga jadualku penuh dengan aktiviti.  Pertandingan kawad kaki peringkat negeri dan satu kursus kejurulatihan pada keesokannya.  Badan memang penat.  Namun jiwa terus bersemangat.  Lantaran kesibukan pada minggu depan, aku cuba juga menulis di sini pada hari ini.  Sekurang-kurangnya untuk menenangkan jiwaku dalam berbloging.  Dengan menulis sedikit catatan hari ini, lepaslah sudah rinduku untuk menulis.

P1010747

Gambar ini adalah semasa pertandingan kawad kaki peringkat daerah yang lalu.  Aku bersama dengan pasukan sekolahku…  Namun kami hanya berjaya di tempat kedua.  Memang frust dan kecewa, terutama sekali bagi pasukanku yang memang menjangkakan akan menang mutlak.  Namun keputusan hakim adalah muktamat.  Tambahan pula semua hakim yang mengadili pertandingan itu adalah yang berkelayakan kelas A.  InsyaALLAH usaha akan diteruskan pada tahun hadapan.  Moga pasukan ini berjaya membuktikannya nanti….