Selasa, 19 April 2011

Doa Kepada Orang Lain; Murninya Hati Mereka….

Matahari sudah mula meninggi.  Panas!

Perjalanan Faizal dan Mansor ke Kuantan masih berbaki kira-kira 2 jam.  Mereka tidak terburu-buru, kerana urusan mereka di Kuantan bermula pada sebelah malam.  Sengaja mereka ke sana lebih awal kerana ingin menjengah kenalan lama mereka yang baru pulang dari luar negara.

Faizal terus memandu dengan tenang, Mansor asyik melayan perasaannya…

Mansor : Isy….kasihan!
Faizal : Apa yang kasihan?
Mansor : Tu…

Mansor memuncungkan mulutnya menunjuk ke arah hadapan.  Pada ketika itu mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat.  Kelihatan beberapa buat motosikal menyelit-nyelit untuk ke hadapan.  Tidak jauh di hadapan mereka kelihatan sebuah motosikal yang dipandu seorang lelaki muda, bersama isterinya dan terselit di antara mereka, seorang bayi berusia lebih kurang 5 bulan.  Dalam keadaan yang panas ini, tentu sahaja membuatkan si anak kecil itu tidak selesa, apa lagi terhidu asap kenderaan lain, dan terdedah kepada bahaya di jalan raya…

Mansor : Alhamdulillah atas nikmatmu kurniakan kereta kepada kami.
Kasihan kepada mereka yang menunggang motosikal, berpanas berhujan…
Ya ALLAH…engkau rahmatilah keluarga itu, Engkau lindungilah mereka sepanjang perjalanan mereka dan Engkau sejahterakanlah anak itu…
Faizal : Kenapa pula kena berdoa untuk keluarga itu?  Kita langsung tidak kenal mereka…
Mansor : Berdoalah untuk kebaikan kepada orang lain, nescaya ia akan menjadi lebih baik untuk mereka dan untuk diri kita…

Faizal hanya terdiam memikirkan kata-kata rakannya itu.  Sesungguhnya dia masih belum mengerti.  Tatkala lampu isyarat bertukar warna hijau, keretanya terus dipandu ke hadapan melintasi motosikal pasangan bersama bayi tadi.  Kelihatan si ibu melindungi anaknya daripada panas dengan menutup sebahagian muka anaknya dengan tudung yang dipakainya.

Faizal benar-benar tidak mengerti…

Isnin, 18 April 2011

Fokus; Memberi Tenaga Kepada Apa yang Difikirkan….

Salam penuh keharmonian…

Fokuskan apa yang kita impikan.  Melalui fokus yang dilakukan itu, kita pasti akan dapat merasakan bahawa kita menjadi lebih bersemangat.  Rasa bersemangat ini datangnya daripada tenaga yang kita alirkan dari dalam diri kita.

Mungkin anda pernah menghadiri seminar atau kursus motivasi dan pembangunan diri.  Melalui kursus seperti ini, anda didedahkan tentang matlamat dan kaedah mencapai kejayaan dalam kehidupan.  Sedar atau tidak, semasa kursus itu berlangsung maka kita merasa sangat bersemangat untuk mencapai apa sahaja matlamat yang telah ditetapkan.  Perasaan kita berkobar-kobar, semangat kita memuncak, jiwa kita melonjak-lonjak, seboleh mungkin pada waktu itu kita hendak terus melakukan apa yang ditetapkan.

Namun apa yang berlaku setelah kita pulang daripada kursus?  Apa yang berlaku selepas 24 jam kursus itu berakhir?  Apa yang terjadi selepas seminggu kita meninggalkan dewan seminar tersebut?  Adakah semangat kita masih membara?

Ya, sebahagian daripada kita pasti akan terus bersemangat dan berjaya mencapai kejayaan yang diimpikan.  Namun sebahagian lagi terus ‘terlena’ dalam diri sendiri…

Kenapa hal ini berlaku?  Kerana kita telah mengurangkan fokus kejayaan tersebut setelah pulang daripada kursus.

Andainya, anda menghadiri kursus pembangunan diri.  Dalam kursus itu anda menetapkan matlamat bahawa anda hendak menjadi seorang pekerja yang cemerlang dengan datang awal ke tempat kerja, melaksanakan semua tugasan mengikut masa yang ditetapkan, mengeratkan hubungan dengan semua rakan sejawat, dan berusaha menambah pengetahuan dalam bidang kerjaya anda.  Semua matlamat ini akan memberi kesan kepada kejayaan dalam kecemerlangan kerjaya anda.  Lantaran itu, anda perlu sentiasa fokus kepada matlamat itu.  Fokus yang anda berikan kepada semua matlamat itu akan memberikan anda ‘tenaga’ untuk terus gigih melakukan apa yang anda fikirkan.

Jika matlamat itu anda lupakan setelah pulang daripada kursus yang anda sertai, maka tenaga atau semangat yang anda dapat semasa menghadiri kursus tersebut akan hilang sedikit demi sedikit.  Hal inilah yang menyebabkan ada antara kita yang masih berada di tekuk lama dan tidak berjaya berubah walaupun telah menghadiri kursus tertentu.

Jumaat, 15 April 2011

Fokus; Tindakan Terarah Minda Manusia

Salam penuh kedamaian….

duit5Gambar daripada internet 

Apabila saya katakan IKAN, apakah yang tergambar dalam kotak pemikiran anda?

Adakah anda terbayangkan sotong, ketam, kerang, kuda laut, atau rumpair?

Pasti sahaja tidak, bukan?

Apabila saya katakan IKAN, pasti dalam pemikiran anda akan terbentuk sesuatu yang menjurus kepada bentuk ikan, pergerakan, sifat, dan jenis ikan.  Ini berlaku dengan pantas dan tidak dipaksa-paksa.  Hal ini menunjukkan minda akan melakukan fokus kepada apa yang diperkatakan.  Seperti mana contoh yang diberikan, apabila disebut perkataan ikan, pasti minda akan memikirkan tentang ikan dan tidak kepada hidupan air yang lain.

Fokus adalah tindak balas minda terhadap sesuatu.  Semakin kuat fokus diaktifkan, semakin jelas apa yang dibayangkan tersebut.  Malah, fokus boleh dilatih hingga mencapai kepada sesuatu tahap tertentu.  Keadaan ini dinamakan tindakan terarah minda terhadap sesuatu.

Suatu masa dahulu aku pernah dilatih untuk melakukan (mengeksperimenkan) fokus yang mampu dicapai oleh mindaku.  Dalam latihan atau ujian tersebut, aku diminta memejamkan mata, mengawal pernafasanku agar berada dalam keadaan stabil dan teratur, menenangkan regangan badan; duduk bersandar dengan tenang, dan mengosongkan minda; tidak memikirkan apa-apa.  Semua ini adalah latihan untuk melakukan fokus.  Setelah aku berjaya menguasai kaedah ini, aku mula diminta untuk membayangkan tentang wang RM50 yang banyak dan berada dalam tanganku.

Percaya atau tidak, dalam sesi ujian itu aku mampu membayangkan banyaknya wang RM50 berada dalam tanganku, bukan itu sahaja, aku dapat membayangkan hingga menjelma warna wang itu walaupun mataku terpejam.  Apa yang lebih mengujakan diriku adalah, dalam sesi itu aku dapat menghidu bau wang RM50 ( wang bernilai RM50 ada bau yang tersendiri, cuba le kalau tidak percaya.  Errr….pastikan cuba dengan menggunakan wang baru, bukan wang yang diterima daripada tauke ikan kerana baunya sudah pasti bertukar )

Bayangan, warna, dan bau wang itu berlaku dalam mindaku kerana aku telah berjaya memfokuskan pemikiranku terhadap wang kertas RM50.

Anda mahu mencuba tahap fokus anda?  Cubalah dengan menggunakan kaedah di atas….

Khamis, 14 April 2011

Pengulangan Kata-kata Hebat untuk Minda ~ 2

Salam penuh kebahagiaan…

bin2Gambar daripada internet 

Anda ada anak kecil (lingkungan usia di bawah 6 tahun)?

Atau anda pernah lihat anak kecil?

Apa yang dapat anda perhatikan daripada wajah mereka?  Jika saya menjawab soalan ini maka saya akan nyatakan bahawa wajah anak-anak kecil itu sangat bahagia, sangat tenang, damai dan menyenangkan, wajah mereka bahagia, wajah mereka ‘sejuk’ dan menyeronokkan.

Kenapa hal ini berlaku?

Ini adalah kerana tahap minda mereka berada dalam kuasa minda yang sangat tinggi.  Ya, sangat tinggi!  Mereka belum terdedah dengan pemikiran negatif seperti masalah kehidupan, peperangan, kesengsaraan, dan sebagainya.  Lantaran itu, wajah mereka kelihatan ceria dan sentiasa bahagia.

Apa pula kata-kata dan ucapan ibu bapa kepada anak-anak kecil ini?

Biasanya kita akan mengucap atau mendengar ibu bapa kepada anak kecil itu mengucapkan perkataan dan kata-kata yang baik.  Ungkapan seperti; pandai, sayang, hebat, cantik, dan sebagainya sering kedengaran diucapkan kepada anak-anak kecil ini.  Seperti mana penerangan dalam catatan yang lalu, kata-kata seperti ini sebenarnya apabila diulang-ulang maka akan membentuk satu penerimaan dalam minda.  Keadaan inilah yang menjadikan minda anak-anak kecil ini menjadi sangat hebat.

Namun, sayang sekali….apabila anak-anak kecil ini semakin meningkat usia mereka, pelbagai situasi dan perkataan dapat mereka dengar dan terima dalam kehidupan mereka.  Perkataan seperti; nakal, degil, tidak faham bahasa, dan sebagainya (lebih teruk lagi jika dicaci-maki) akan membuatkan mereka membentuk satu penerimaan baharu dalam minda mereka bahawa mereka memang teruk dan jahat.  Apabila perkataan seperti ini terus diulang, maka mereka akan membentuk satu sikap dan tanggapan baharu bahawa mereka adalah jahat dan mereka layak untuk menjadi jahat.

Semuanya berpunca daripada perkataan yang diulang-ulang dalam kehidupan kita dan akhirnya pengulangan perkataan itu membentuk satu hukum dalam minda bahawa itulah diri kita.  Jika pengulangan perkataan adalah perkataan yang baik-baik, maka pasti minda akan membentuk diri dan jiwa yang baik.  Namun jika sebaliknya, maka itulah perkara malang yang terpaksa anak-anak ini tempuhi.

Ingat, jagalah kata-kata yang kita ucapkan kepada anak-anak (dan kepada sesiapa sahaja),

Pengulangan Kata-kata Hebat untuk Minda…

Salam hormat…

Jika dahulu, pernah kubicarakan tentang kuasa perkataan yang boleh mempengaruhi pemikiran, perasaan, dan getaran minda kita.  Ya, itu memang benar-benar berlaku dan kita harus berhati-hati dengan kuasa perkataan yang kita ucapkan.

Jika perkataan yang diucapkan itu memberi kebaikan maka pasti ia memberi semangat dan kekuatan yang lebih tinggi kepada diri kita. 

Hari ini, aku ingin menghuraikan sedikit lagi tentang perkataan; bagaimana kesannya jika diulang-ulang…

Tahukah anda, kita sebenarnya boleh mempengaruhi minda dengan melakukan pengulangan perkataan.  Contohnya dengan berkata-kata kepada diri kita bahawa ‘aku adalah jutawan’ berkali-kali, maka akhirnya minda akan menerima kata-kata tersebut dan mempercayainya.  Kesannya, minda akan bertugas untuk melaksanakan tanggungjawab dan mencipta usaha tertentu agar pencapaian pendapatan kita bertambah hingga mencecah kepada jutawan. 

Perkataan yang diucapkan berterusan itu haruslah dengan menggunakan perkataan yang sama, atau hampir sama agar ia dapat memberi kesan dan mempengaruhi minda dengan lebih berkesan.  Selain itu, tidaklah perlu kita mengucapkannya seperti berzikir, cukuplah jika kita mengucapkannya dengan lafaz secara berkala seperti mengucapkannya sebanyak 5 kali setiap jam.

Mungkin anda kurang merasa yakin bagaimana pengulangan kata-kata ini akhirnya akan mempengaruhi minda anda dan ‘menukarkan’nya.  Cuba lihat bagaimana perang saraf yang dilakukan di televisyen dan radio untuk  mempengaruhi minda rakyat sesebuah negara oleh pemimpin negara tersebut.  Mungkin pada mulanya rakyat merasa tidak percaya, namun setelah sumber itu mengulang perkara yang sama, maka akhirnya ia mempengaruhi pemikiran dan penerimaan rakyat terhadap isu yang diutarakan tersebut.  Perang saraf pemikiran ini sering berlaku di negara komunis satu masa dahulu jika sekiranya kerajaan nampak seperti ada gelombang kebangkitan rakyat berlaku untuk menentang pengaruh kerajaan.  Pengulangan tentang kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan akhirnya telah menurunkan kadar semangat penentangan rakyat dan akhirnya rakyat akan akur semula kepada kerajaan.

Sentiasalah mengucapkan kata-kata yang baik kepada diri.  Sebaiknya, ucapkan perkataan yang menggambarkan apa yang kita impikan seperti berjaya, hebat, kekayaan, kebahagiaan, dan sebagainya.  Setiap pengucapan itu haruslah diulang-ulang hingga membentuk satu kepercayaan baru kepada diri…

Isnin, 11 April 2011

Mencipta Alasan; Si Pintar yang Sentiasa Rugi….

Salam kasih mesra…

Bagi kita, setiap kesalahan yang berlaku, pasti perkara itu bukan kesalahan kita.  Pasti kesalahan itu adalah kesalahan orang lain.  Pasti kesalahan itu tiada kena mengena dengan diri kita.  Ya, itulah sifat diri kita.  Sifat ini adalah lumrah, kerana manusia tidak suka dipersalahkan.  Namun, kadang kala kita perlu fikirkan semula sama ada perkara itu perlu diakui sebagai kesalahan kita atau tidak.  Jika ia memang merujuk kepada kita, maka mengaku sahaja, pintalah maaf, dan berubah…  Tindakan ini akan menunjukkan kita seorang yang sangat matang dan berhemah tinggi.

Bagi orang yang tidak mahu langsung mengaku kesalahan mereka walaupun memang jelas kesalahan itu mereka lakukan, mereka akan mencipta pelbagai alasan untuk menutup kesalahan mereka itu.  Mereka (orang yang melakukan kesalahan) akan sentiasa berusaha mencipta alasan untuk memesongkan pandangan orang lain agar kesalahan itu tidak kelihatan.  Lebih malang lagi, kesalahan itu akhirnya berjaya alihkan kepada orang lain untuk menanggungnya.  Dalam ilmu psikologi manusia, hal ini dinamakan helah bela diri…

Helah bela diri (HBD) adalah merupakan satu cara manusia mencipta alasan untuk membela dirinya agar kelihatan tidak bersalah.  Tahu atau tidak, orang yang selalu melakukan HBD ini adalah orang yang sangat hebat dan pintar.  Kehebatan dan kepintaran mereka ini dapat kita perhatikan melalui keyakinan dan cara mereka mencipta alasan untuk membela diri mereka itu.  Namun sayang sekali, kepintaran dan kehebatan itu akhirnya akan terus merugikan mereka.  Ini adalah kerana mereka akan terus terusan mencari alasan dan HBD, dan tidak akan langsung dapat melihat kelemahan diri mereka yang perlu mereka perbaiki.

Melakukan HBD tidak salah, namun kita perlu sentiasa berfikir sama ada kesalahan itu memang kesalahan kita yang perlu kita akui atau tidak.  Jika ia adalah kesalaha kita, maka mengakulah dan ubahlah untuk meningkatkan ketinggian hebah dalam diri.  Namun, jika kesalahan itu bukan kesalahan kita, maka berikan ulasan dan penerangan agar orang lain tidak terus memandang serong kepada diri kita….

Sabtu, 9 April 2011

Minda Separa Sedar dan Imej Visual ~ 3

Salam bahagia…

Apabila Minda Separa Sedar kita berfungsi untuk melakukan penciptaan imej dalam minda, maka kita seharusnya merasa yakin terhadap imej tersebut.

Contoh :

Seorang pelajar tingkatan 5 mencipta imej berkenaan kejayaannya dalam peperiksaan SPM.  Dia berjaya membayangkan dengan jelas bagaimana suasana kemeriahan semasa menerima keputusan kejayaannya itu.  Dia seolah-olah telah benar-benar berada pada hari keputusan diumumkan.  Tergambar jelas di fikirannya bagaimana ramainya rakan-rakan datang kepadanya dan mengucapkan tahniah atas kejayaan cemerlangnya. 

Apa yang perlu ada dan apa yang perlu dielakkan ketika imej visual ini dicipta?

Perkara yang perlu ada adalah dua perkara iaitu; keyakinan dan emosi yang sesuai.

Keyakinan perlu wujud bahawa dia mampu untuk melakukan kejayaan tersebut.  Dalam fikirannya harus ada keyakinan bahawa dia memang layak untuk menerima kejayaan itu.  Lantaran keyakinan yang terhasil itu, maka Minda Separa Sedar akan ‘bangun’ dan melaksanakan tugasnya.  Pada ketika itu, suatu bentuk kekuatan akan wujud dalam diri untuk melakukan usaha tertentu sesuai dengan kejayaan yang akan diterima.  Jika dulu, pelajar ini kurang memberi tumpuan, namun kerana Minda Separa Sedar telah menguasai dirinya, maka pelajar itu dapat memberi tumpuan dengan lebih baik.  Begitu juga dengan tindakan lain seperti sikapnya menjadi lebih rajin dan bersemangat, penerimaan yang lebih baik dalam pelajaran, meningkatkan tahap pemahaman dan memori, dan sebagainya.

Semua ini berlaku kerana Minda Separa Sedar telah diberikan kod dan maklumat bahawa ia perlu dilaksanakan untuk mencipta kejayaan tersebut.

Perkara kedua yang perlu ada adalah emosi.  Semasa imej visual tentang kejayaan tersebut dihasilkan, maka emosi pelajar tersebut harus selari dengan imej yang dihasilkan.  Jika imej itu menggambarkan kejayaan dalam keputusan SPM, maka emosi kegembiraan, terharu, kesyukuran, keriangan dan sebagainya, harus dihasilkan.  Rasakan bagaimana dada ‘menggembang’ penuh kerana gembiranya perasaan kita menerima kejayaan itu (dalam imej visual).  Mana mungkin ketika kita membayangkan kejayaan, tiba-tiba kita salurkan rasa sedih, duka, dan kecewa?!

Emosi sebenarnya penting untuk menguatkan penerimaan Minda Separa Sedar.  Emosi yang sesuai dengan keinginan kita akan memberi keyakinan kepada minda bahawa itulah perkara yang memang benar-benar kita impikan.  Apa yang lebih penting adalah emosi itu membentuk satu lagi kod dan kekuatan dalam diri bahawa perkara itu adalah benar dan ia mampu direalisasikan.

Bagaimana pula dengan perkara yang perlu dielakkan?

Perkara yang perlu dielakkan semasa imej visual ini dihasilkan adalah Keyakinan Yang Membantutkan (KYM).

KYM adalah perasaan tidak percaya, kurang yakin, dan ragu-ragu yang memang ada dalam diri.  Contohnya semasa imej kejayaan itu terhasil, tiba-tiba ada rasa tidak percaya seperti diri pelajar itu memang tidak berapa pandai kerana berada dalam kelas kedua atau ketiga.  Mana mungkin dia akan berjaya dengan cemerlang dalam SPM.  KYM ini akan hadir dengan tiba-tiba dan mengganggu keyakinan dan emosi yang terhasil.  Jika KYM ini menjadi lebih kuat, maka imej visual itu tidak akan berlaku kerana Minda Separa Sedar diarahkan kepada kegagalan, bukan kepada kejayaan.

Untuk menggambarkan KYM, mungkin boleh dijelaskan begini…  Semasa kita hendak melakukan sesuatu kebaikan contohnya hendak menunaikan solat di awal waktu (gambaran menunjukkan diri kita yang yakin), tiba-tiba terlintas satu perasaan / suara negatif untuk menyekat perlakukan itu dengan kata-kata seperti ‘tak pe, waktu solat Asar panjang lagi, kejap lagi pun boleh solat’.  Perasaan seperti itulah yang boleh disamakan dengan KYM.

Jika diberikan kekuatan, aku akan mencatatkan perkara yang berkaitan dengan KYM pada masa akan datang.

Teruskan usaha, kekalkan keyakinan, tambahkan emosi yang sesuai, dan laksanakan apa yang perlu kita laksanakan untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam diri…

Rabu, 6 April 2011

Minda Separa Sedar dan Imej Visual ~ 2

Salam penuh kebahagiaan…

Seperti yang telah diterangkan dalam catatan yang lalu, minda manusia mampu untuk mewujudkan imel visual.  Ini adalah salah satu daripada pelbagai jenis kehebatan dalam diri dan minda kita.  Imej yang dipaparkan dalam minda adalah gambaran imej visual yang sebenar, cumanya ia kekadang agak kabur dan pastinya tidak berwarna-warni.  Namun, kita masih dapat memahami gambaran imej yang dipaparkan tersebut.

Apakah kepentingan dan keistimewaan paparan imej visual dalam minda manusia?

Cuba perhatikan kemajuan dan kehebatan teknologi pada masa sekarang.  Pasti anda tidak akan menolak lagi pandangan bahawa kemajuan sekarang adalah berpunca daripada penciptaan terdahulu yang telah diubah suai dan ditambahbaikkan.  Contohnya adalah kemajuan dalam dunia telefon.  Ia bermula dengan seorang pereka yang sudah dianggap hampir gila kerana ‘ingin memasukkan suara ke dalam wayar’.  Namun, kegilaan itu tidak dihiraukan.  Malah segala cacian diteruskan dengan penuh semangat.  Lihatlah, jika kegilaan itu tidak diteruskan, mana mungkin pada masa sekarang penggunaan telefon sudah menjadi perkara biasa kepada kita semua.  Malah, kemajuannya semakin ‘menggila’ bermula daripada penghasilan telefon berwayar, kepada tidak berwayar, hingga sekarang hanya perlu diselitkan di telinga sahaja untuk meneruskan komunikasi.

Semuanya ini bermula dengan khayalan, dan khayalan itu adalah imej visual yang dilakukan oleh minda manusia.  Jika penciptanya tidak berkhayal dengan melakukan ciptaan imej visual berkenaan ‘memasukkan suara ke dalam wayar’, pasti dia tidak langsung berhasrat, dan tidak langsung berusaha untuk melakukan ciptaan demi ciptaan untuk menghasilkan sebuah alat yang boleh menghubungkan suaranya ke tempat lain.

Imej visual adalah gambaran yang terbentuk dan memberi suatu bentuk isyarat kepada kita.  Ia juga boleh dianggap sebagai ilham (dalam keadaan tertentu) dan ia boleh dianggap sebagai khayalan.  Catatan berikutnya akan membicarakan tentang bagaimana imej visual itu dapat direalitikan dalam kehidupan manusia.

Isnin, 4 April 2011

Minda Separa Sedar dan Imej Visual

Salam hormat buat semua.

Kebetulan beberapa hari yang lalu, aku berada di Kuantan untuk melaksanakan satu latihan dan kajian berkenaan dengan psikologi manusia dan imej yang dihasilkan oleh minda.  Ada seorang rakanku telah berbincang panjang berkenaan dengan imej visual yang mampu dilakukan oleh minda manusia.  Memang menarik perbincangan dan ‘perdebatan’ itu kerana ia telah membuka satu bentuk pemahaman baru tentang kebolehan dan kekuatan minda manusia yang masih ramai tidak mengetahuinya.

Minda separa sedar manusia adalah berkaitan dengan imej visual.  Setiap sesuatu yang diucapkan, atau didengar, akan ditukar menjadi imej dalam minda manusia sebelum ia difahami.  Contohnya apabila seseorang itu berkata; ‘aku seorang yang sangat berjaya’…maka terus terpancar gambaran kejayaan itu mengikut persepsinya tersendiri.  Mungkin kejayaan yang dimaksudkan adalah kejayaan dalam melakukan jualan langsung, atau kejayaan dalam perniagaan, atau kejayaan dalam peperiksaan.  Apa yang penting, semasa pengucapan berkenaan dengan kejayaan itu berlaku, maka minda terus melaksanakan tugasnya iaitu menghasilkan imej visual berkenaan dengan perkara yang diucapkan itu.

Suatu masa dahulu, sekitar akhir tahun 70-an, aku sering mendengar radio.  Setiap hari aku mendengar radio, kerana pada ketika itu di rumahku masih belum ada televisyen.  Hanya beberapa buah rumah di kampung itu yang memiliki televisyen.  Apa yang menarik tentang siaran radio itu adalah siri drama yang keudara setiap hari.  Aku memang sentiasa berusaha agar tidak ketinggalan untuk mendengar siaran drama tersebut.  Siarannya tidak lama, hanya lebih kurang 15 minit sahaja, namun kekadang ia memberi kesan kepada pendengar.  Drama itu berkisarkan kehidupan sebuah keluarga yang ada dua orang anak lelaki.  Terdapat beberapa situasi kehidupan yang dipaparkan.

Cuba anda perhatikan, bagaimana minda manusia berjaya menghayati cerita yang hanya didengar dan ia menjadi sesuatu yang sangat menarik hingga ditunggu-tunggu.  Walaupun kita tidak dapat melihat situasi dan suasana dalam cerita tersebut (hanya mendengar sahaja), namun kita masih memahami cerita tersebut dan ia sangat menarik.  Bagaimana ia berlaku?

Baru sekarang aku dapat memahaminya, bagaimana minda menukarkan apa yang didengar melalui drama radio itu kepada imej visual.  Inilah yang berlaku kepada kita jika kita mendengar sesuatu (radio, atau berita yang disampaikan kepada kita) maka dalam masa yang sama kita membentuk visual bagaimana keadaan itu berlaku sama seperti apa yang didengar.  Oleh itu, minda telah memberikan kesan yang lebih hebat kepada kita untuk memahami dan menghayati apa yang kita dengar itu.

Sebelum aku mengakhiri catatan hari ini, ingin kubertanya satu soalan.

Pernahkah anda bercinta?  Atau sedang bercinta?

Perhatikan keadaan dan situasi anda semasa sedang hangat bercinta itu.  Hidup anda kekadang menjadi tidak keruan.  Anda akan sering bermimpi dan teringat-ingatkan ‘si dia’ yang tersayang.  Kekadang, (lebih parah lagi) sampai tersilap orang…rasanya macam awek sendiri, bila ditegur rupanya orang lain (kes naya ni!)

Apa yang sedang berlaku sebenarnya adalah minda separa sedar telah membina imej visual yang sangat kuat berkenaan dengan ‘si dia’.  Keadaan inilah yang menyebabkan anda mampu untuk mengelamun panjang, bermimpi yang indah-indah bersama si dia, dan kekadang tersilap orang.  Ini kerana minda anda telah dipenuhkan dengan visual si dia yang tersayang itu…

Jumaat, 1 April 2011

Memuji Pada Masa yang Tepat

Salam penuh kasih sayang…

Situasi : Anak baru selesai solat.

 

Ibu : Dah solat?
Anak : Dah ibu.
Ibu : Alhamdulillah.
Macam ni le yang ibu suka.  Sejuk hati ibu lihat anak ibu solat cukup lima waktu sehari semalam.
Bila Along solat, pasti Along akan jadi anak yang lebih baik, dengar cakap ibu, dan lebih rajin dalam pelajaran.
Anak : (Senyum dengan bangga)

Pujian atas setiap kebaikan harus dilakukan terus sejurus selepas kebaikan itu dilakukan.  Ini akan membentuk minda kepada orang yang dipuji bahawa perkara itu memang sewajarnya mereka lakukan, dan mereka layak untuk diberikan pujian.

Pada ketika itu, minda mereka akan terangsang dan membentuk hukum yang sepatutnya.  Inilah sebenarnya situasi untuk memberi nasihat yang akan diterima oleh minda secara langsung.  Contohnya, sebelum ini si anak agak sukar untuk melakukan solat.  Ada ibu bapa yang beranggapan apabila berleter dan memarahi anak yang tidak bersolat dikatakan telah memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada anak.  Sebenarnya tidak.  Pada ketika anak melakukan kesalahan, dan ibu bapa berleter, maka ketika itu apa sahaja nasihat dan teguran yang diberikan tidak akan diterima oleh anak.  Ini adalah kerana mereka membentuk halangan minda ketika itu.  Getaran negatif berlegar kuat dalam minda anak-anak, kerana melakukan kesalahan dan ditambah dengan leteran ibu bapa.

Seharusnya, ibu bapa patut memberi nasihat bersama-sama dengan pujian yang diberikan.  Nasihat selepas pujian diberikan akan diterima oleh anak dengan lebih mudah kerana pada ketika itu emosi mereka sangat mekar dan minda mereka terbuka untuk menerima apa sahaja saranan.

Lihat sahaja pada contoh dialog di atas.  Setelah anak melakukan kebaikan (solat), ibu terus memberikan pujian atas kebaikan itu.  Dalam masa yang sama si ibu mengambil peluang untuk memberi sedikit nasihat supaya si anak menjadi anak yang lebih baik dan rajin belajar.  Emosi anak yang sangat mekar (kembang) setelah menerima pujian akan membuatkan mindanya lebih terbuka untuk menerima saranan lain seperti menjadi anak yang dengar kata, rajin, dan bersungguh-sungguh.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Situasi  :  Anak membantu ibu di dapur.

Ibu : Ni apahal plak rajin sangat hari ni?
Ni mesti ada apa-apa ni!
Bagus le kalau macam ni.  Kalau le dari dulu macam ni, mesti ibu lebih sayang pada Along.
Anak : ….

Agaknya, apakah perasaan anak apabila dikatakan seperti dialog di atas?