Rabu, 21 Julai 2010

Pengajaran dan Pengalaman Hidup

Sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas dari memiliki pelbagai perasaan. Perasaan manusia yang pelbagai ini memang sangat unik kerana memiliki rasa suka, duka, kecewa, bimbang, dan sebagainya. Namun, perasaan-perasaan ini mampu untuk menarik hukum alam mendekati kita. Jadi berhati-hatilah pada keadaan ini...

Cuba bayangkan, ada orang yang telah mencuri kereta yang baru kita beli beberapa hari yang lalu...

Bagaimana perasaan kita?

Tentu sekali kita marah, pasti sekali kita bersedih, mesti kita akan menangis, dan yang paling penting kita akan memarahi pencuri kereta tersebut. Betul tak?

Situasi ini memang lumrah yang akan berlaku apabila sesuatu kejadian kecurian berlaku. Itu adalah sangat pasti. Namun, tahukah kita kesannya kepada perjalanan kehidupan kita seterusnya?

Ada dua perkara yang boleh dibincangkan di sini.

Perkara pertama adalah; sikap kita yang selalu menyalahkan orang lain. Dalam keadaan berduka itu pasti kita akan terus menyalahkan pencuri itu kerana mencuri kereta kita. Namun pernahkan kita memikirkan kemungkinan kita juga bersalah hingga menyebabkan kereta kita dicuri. Mungkin kita yang tidak mengunci kereta dengan kemas, atau tidak membuat kunci tambahan kepada kereta tersebut, atau mungkin kita meletakkan kereta itu di kawasan yang terlalu jauh dari pandangan orang ramai hingga mudah dicuri, dan pelbagai kesalahan lain lagi yang mungkin kita sendiri lakukan.

Berduka dan menyalahkan orang lain memang akan kita lakukan.

Namun setelah itu, cuba fikirkan kembali apa pula kesalahan yang kita lakukan yang menyebabkan keadaan ini terjadi. Jika ada, maka kita seharusnya membetulkan kesalahan itu dan tidak lagi mengulanginya pada masa akan datang. Hal inilah yang dinamakan pengalaman dan pengajaran kepada kita.

Perkara kedua yang boleh dibincangkan di sini adalah berkenaan hukum tarikan.

Jika kita sentiasa dan terus memarahi orang lain yang menyebabkan berlakunya musibah atas diri kita, pada ketika itu kita telah memancarkan perasaan marah, dendam, kebencian, dan sebagainya berkenaan perkara-perkara negatif ke alam semesta. Gelombang negatif itu pasti sahaja akan menarik lebih banyak gelombang negatif yang sama untuk mendekati kita menjadikan kita akan terus ditimpa pelbagai masalah. Keadaan inilah yang agaknya berlaku di kalangan masyarakat Melayu sehinggakan timbulnya peribahasa 'sudah jatuh ditimpa tangga'. Ini mungkin disebabkan kita yang menarik gelombang kesusahan dan kesukaran yang menyebabkan ia datang mendekati kita.

Seharusnya, setelah melepaskan sedikit rasa kesedihan atas apa yang berlaku, kita perlu cepat-cepat membetulkan kembali pemikiran kita. Kembali kepada berfikiran positif dan rasional. Banyakkan bertenang dan bersabar, dan ini semua (masalah yang berlaku) akan menjadi pengalaman dan pengajaran yang berguna kepada kita. Itupun jika kita memikirkannya....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan