Isnin, 22 November 2010

Tulisan dan Minda

Salam penuh keceriaan buat semua…

Catatan yang lalu membicarakan tentang tulisan dan kaitannya dengan minda.

Kali ini, aku ingin menyambung sedikit lagi bagaimana melalui tulisan itu minda kita akan menjadi lebih aktif dan menarik apa yang kita tuliskan.

1.  Tuliskan apa yang kita mahu.  Pada ketika ini isyarat sudahpun dihantarkan ke minda tentang apa yang kita impikan.  Kuasa minda akan mula bekerja untuk menarik semula getaran yang dilepaskan sebaik minda menerima arahan daripada ‘tulisan hati’ kita itu.

2.  Baca dan ulang-ulangkan membaca tulisan itu.  Sekali lagi minda akan menerima dan terus menerima isyarat tentang apa yang kita impikan.  Getaran terhadap perkara itu terus dilepaskan ke alam semesta.  Getaran yang sama akan ditarik semula kepada kita untuk menjadikan apa yang ditulis dan difikirkan menjadi kenyataan.

3.  Fokuskan kepada tindakan.  Setiap tindakan yang kita lakukan pasti tidak sama lagi dengan tindakan yang lalu sebelum ops menulis dan membaca berulang kali dilakukan.  Ini adalah kerana kuasa minda telah terarah kepada apa yang ditulis dan tindakan yang dilakukan akan menjadi lebih nyata.  Apabila kita memfokuskan kepada tindakan untuk mendapatkan hasil kepada impian itu, maka kita telah dibantu pula oleh kuasa minda kita yang kita sendiri tidak dapat melihat dan menyatakannya secara realiti.

4.  Kekalkan keyakinan.  Tindakan ini juga penting.  Kita perlu kekalkan keyakinan bahawa apa yang kita impikan itu pasti akan berjaya.  Ini akan menguatkan lagi daya tarikan kejayaan itu mendekati kita.

Teknik di atas sama seperti teknik-teknik pembelajaran yang disarankan oleh pakar-pakar motivasi.  Mungkin kita masih ingat bagaimana kaunselor atau pakar motivasi mencadangkan agar kita menulis dan melukis poster kecil untuk menyatakan kejayaan.  Contohnya menulis ‘10 A dalam genggamanku’….  Sebenarnya apa yang dicadangkan oleh pakar motivasi tersebut adalah berkaitan dengan sains kuasa minda yang telah mula difahami sekarang oleh kebanyakan daripada kita.  Konsep menulis inilah yang telah mendorong dan menjadi penguat kepada kejayaan yang kita impikan tersebut.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Catatan ini adalah catatan terakhirku buat bulan ini.  Aku perlu membekukan seketika aktiviti menulisku kerana tugasan luar telah tiba.  Sebermula pagi esok, aku akan membawa sekumpulan remaja untuk sebuah ekspedisi anjuran sebuah NGO.  Sekembali aku daripada melaksanakan tugas jurulatih aktiviti pendidikan luar, insyaALLAH, aku akan menulis kembali.

Lakukan apa yang ditulis

Salam bahagia buat semua….

Satu ungkapan yang sangat berkesan di hatiku :

TULIS APA YANG HENDAK DILAKUKAN,

DAN LAKUKAN APA YANG TELAH DITULIS…

Dalam ungkapan ini menyatakan kita disarankan untuk menulis apa yang hendak kita lakukan.  Kemudian, kita disarankan pula untuk melakukan apa yang telah kita tuliskan.

Semasa kita menulis, kita telah mengaktifkan getaran di minda.  Minda kita mengolah maklumat daripada apa yang kita mahukan dan kemudian dilakarkan dalam bentuk tulisan.  Ini telah menunjukkan bahawa minda telah bekerja untuk mengaktifkan sesuatu yang kita kehendaki.  Jika kita mengimpikan kejayaan dalam peperiksaan, maka tulislah apa yang kita mahukan itu.  Pada ketika ini kita telah menghantar mesej kepada minda tentang kejayaan dalam peperiksaan tersebut.  Maka kuasa minda yang berada dalam diri akan teraktif dengan sendiri.

Apakah hanya dengan menulis ia akan terlaksana?  Jawapannya, YA!  Namun mungkin masa terlaksana itu akan mengambil jangka masa yang panjang.  Oleh itu, untuk mempercepatkan terlaksana apa yang kita impikan, maka kita perlu lakukan apa yang telah kita tulis.  Jika kita menulis tentang kejayaan dalam peperiksaan, maka sebenarnya kuasa minda telah terangsang.  Oleh itu, tambahkan dengan usaha seperti membaca, membuat ulangkaji, latihan, dan perbincangan dengan rakan sebaya.  Keadaan ini menambahkan lagi kehebatan dalam terlaksananya apa yang kita impikan.

Sabtu, 20 November 2010

Meditasi…

Apabila bercakap pasal meditasi, ramai antara kita membayangkan amalan tertentu.  Sebenarnya tidak!  Meditasi adalah duduk diam seketika, berada dalam keadaan tenang dan damai, memusatkan pemikiran dan minda kepada sesuatu dengan sebaik mungkin.  Itulah meditasi….

Dalam Islam sendiri ada meditasi.  Sejak dahulu lagi kita telah diajar untuk bermeditasi.  Meditasi dalam Islam yang dimaksudkan adalah solat.  Pun begitu, jangan samakan solat dengan meditasi lain.  Ia adalah sama hanya dari segi konsepnya sahaja, namun tidak menyamai dengan mana-mana agama selain Islam.

Cuba bayangkan, semasa bersolat, kita dianjurkan untuk berada dalam keadaan yang sangat tenang.  Tanpa memikirkan hal-hal lain, melainkan hanya kepadaNya.  Pada ketika itu, kita harus menumpukan pusat pemikiran kita kepada rukun solat, dan bacaan dalam solat.  Hanya orang yang sudah benar-benar mengerti pengertian solat sahaja dapat bermeditasi dalam solat.

Semasa solat, jiwa dan raga kita akan berada dalam keadaan yang sangat tenang dan damai.  Pada ketika inilah, kuasa minda kita akan terpancar dengan sangat hebat.  Getarannya bergetar dengan getaran alam yang sangat mendamaikan.  Justeru, kita sering dianjurkan untuk bersolat jika berada dalam kesusahan apa lagi bila berada dalam keadaan senang.

Malah, jika sedang marah, kita disuruh bersolat.  Solat akan mendamaikan, sama konsepnya dengan bermeditasi.

Semasa dirundung masalah, kita disuruh bersolat.  Solat akan memberikan ilham (daripada ALLAH) untuk keluar dari masalah tersebut, sama konsepnya dengan meditasi.

Semasa senang, kita disuruh bersolat, tanda bersyukur yang amat sangat.

Solat adalah satu bentuk meditasi kepada orang Islam.  Hanya orang-orang yang tahu rahsianya akan mengerti bagaimana kuasa minda menjadi sangat hebat dengan bersolat…

Emosi dan Kejayaan

Kuasa minda, adalah hukum alam yang berkaitan dengan pancaran getaran minda ke alam semesta.  Semakin hebat kita pancarkannya, semakin kuat tarikannya akan datang kepada kita.  Namun, kita harus sedar bahawa kuasa minda yang kita lepaskan itu ada kaitannya dengan emosi kita.  Jika emosi yang kita rasa, berlainan dengan getaran yang dilepaskan, maka kita tidak akan mendapat apa-apa kesan, kerana kuasa minda tidak dapat memahami apa yang kita mahukan.

Penjelasan :

Emosi memainkan peranan penting dalam mempengaruhi getaran pemikiran kita.  Jika emosi kita stabil dan tenang, maka kita akan dapat melepaskan getaran pemikiran kita dengan lebih baik dan berada pada ruangan yang betul.  Contohnya, jika kita mengimpikan sebuah kejayaan dalam peperiksaan, emosi seharusnya memaparkan rasa kegembiraan dan keseronokan untuk meraikan kejayaan tersebut.  Sebaliknya, ada antara kita yang cuba sedaya upaya untuk memaparkan emosi kejayaan tersebut, namun jauh di sudut hatinya masih berdetik tentang keraguan sama ada dia akan berjaya atau tidak.  Detikan rasa keraguan inilah yang menunjukkan emosi yang tidak seiring dengan kehendak kejayaan yang dilepaskan ke alam semesta.  Ini menyebabkan tarikan kejayaan yang dilakukan tidak berjaya.

Belajar untuk mengawal emosi adalah perkara penting bagi kita.  Bagi ummat Islam, seharusnya kita telah siap sedia dengan kemahiran mengawal emosi.  Ini adalah kerana aktiviti solat merupakan satu bentuk ‘meditasi’ yang terbaik untuk mengawal emosi.  Sebab itulah, kita akan dapat lihat orang yang selalu melaksanakan solat, terutama solat sunat di malam hari, akan kelihatan sangat tenang dan sabar.  Ini adalah kerana mereka telah berjaya mendidik emosi mereka. 

Belajar mengawal emosi, belajar mendidik diri untuk solat dengan khusyuk, pasti kita akan berjaya mengawal emosi sesuai dengan kehendak dalam impian kita….

Jumaat, 19 November 2010

Orang Kaya….Hebatkah mereka..?

Hari ini, hari ketiga Aidil Adha.  Perayaan dan sambutan korban masih kelihatan meriah di sana sini.

Ketika aku bergerak pulang ke Kemaman (dari Kelantan), masih ada beberapa kawasan yang kulalui, kelihatan aktiviti menyembelih korban dan kenduri meriah berlangsung.  Malah, ketika aku singgah bersolat Jumaat di sebuah kawasan di Terengganu, ada diisytiharkan tentang majlis kenduri daging korban yang akan diadakan malam ini selepas Maghrib.  Apa yang menarik perhatianku adalah, korban yang dilakukan di masjid itu adalah korban 2 ekor unta yang disumbangkan oleh seorang jutawan (kata salah seorang jemaah yang berbual denganku…)

Menarik juga ni, sebab selama ini jarang aku berjumpa dengan korban unta.  Maklumlah, unta bukanlah binatang ternakan di negara kita.  Jadi aku mengambil kesempatan meninjau seketika di ruangan memasak di masjid tersebut.  Memang meriah, ramai yang sibuk lakukan itu dan ini untuk memastikan masakan siap sebelum menjelang Asar.

Ketika itu, aku berfikir kembali tentang ibadah korban ini.  Memang besar rahmatnya kepada kita semua.  Yang kaya (dan pastinya beriman), akan berkongsi kekayaan yang ada dengan mengadakan korban dan kenduri untuk dinikmati semua.  Pasti banyak ganjaran dan rahmat ALLAH kepada kita.  Alangkah baiknya jika ibadat ini diteruskan di masa yang lain.  Bukan hanya sekadar tunggu waktu Aidil Adha sahaja untuk menyembelih dan melakukan kenduri untuk semua jemaah di kawasan kita, seharusnya dapat dilakukan juga di lain masa jika ada kemampuan dan kelapangan.

Jadi orang kaya, memang hebat (?)  Dengan kekayaan itu, dapat membantu kepada golongan yang tidak berkemampuan.  Namun, masih ada antara kita yang mencemuh kepada orang yang kaya.  Bila ada saja di kalangan kita yang kaya, pasti ada ada suara-suara sumbang yang berkata yang bukan-bukan.  Sebenarnya, menjadi kaya tidak salah.  Malah, kita sendiri dituntut untuk mencari kekayaan dunia selagi kita mampu.  Dalam masa yang sama, kekayaan akhirat jangan ditinggalkan.  Jika, kita menjadi kaya di kalangan masyarakat kita, pasti banyak perkara dapat kita bangunkan. 

Rasanya, semua antara kita mengimpikan hidup senang dan menjadi orang kaya. (ada ke yang tak mahu menjadi kaya?)  Namun, usaha dan keyakinan kitalah yang memastikan kita mampu untuk memikul kekayaan itu atau pun tidak.  Jika usaha kita ‘ciput’, maka ciput jugalah hasil kita, jadi janganlah kita menyalahkan sesiapa jika kita dapat lihat orang itu kaya, dan orang ini kekal miskin.  Memang tiada siapa nak hidup susah, namun setiap yang berlaku pasti ada sebabnya (dan sesungguhnya hanya DIA yang mengetahui).

Selasa, 16 November 2010

Aidil Adha datang lagi…

Salam hormat buat semua….

Aidil Adha datang lagi mengunjungi kita (InsyaALLAH akan tiba esok hari).  Biasanya, Aidil Adha ni dikaitkan dengan ibadat haji di Baitullah dan ibadat korban.  Alhamdulillah kepada semua tetamu ALLAH pada kali ini yang dapat menjejakkan kaki ke Mekkah dan Madinah untuk melaksanakan ibadat di sana.  Ibadat inilah yang merupakan pengorbanan tertinggi kita dalam melaksanakan perintah ALLAH.

Bagi yang belum dipilih untuk ke sana, maka kita dianjurkan berkorban sebagai sedekah dan perkongsian kita dengan golongan yang tidak berkemampuan.  Ibadat korban ini juga menjadi salah satu daripada tuntutan ketika Aidil Adha.  Bagi yang berkemampuan, ibadat korban ini dapat merapatkan hubungan kita dengan  masyarakat di sekeliling kita.  Semoga daging korban yang dimasak dan disedekahkan akan dapat menjadi sebahagian daripada usaha kita mendekatkan diri kepadaNya…

Daripada penulis Kuasai Minda, mengucapkan selamat menyambut Aidil Adha, selamat berkorban, dan selamat bersedekah.  Semoga setiap amalan kita diberkatiNya…

Oh hati…!

Salam penuh keceriaan kepada semua…

Terlebih dahulu, aku bukanlah orang yang terlalu pandai dalam membicarakan persoalan agama.  Memang aku tidak layak untuk itu…  Kerana aku sedar bahawa aku belum cukup sempurna untuk menulis perkara-perkara berkaitan agama.  Namun, apa yang hendak aku tulis ini, adalah perkara asas yang kita semua sering lalui.  Semoga kita semua dapat memikirkannya.

Hati adalah satu organ yang memainkan peranan dalam diri.  Ia merembeskan hormon penting ke dalam darah.  Darah pula akan mengalir ke semua saluran perjalanannya ke dalam tubuh.  Jantunglah yang berperanan untuk mengepam masuk dan menolaknya kembali keluar untuk memastikan perjalanan darah terus berlaku.  Perjalanan darah yang sempurna akan memenuhkan darah ke seluruh badan, termasuklah ke otak, dan mengaitkannya kepada minda manusia.

Hati ada kaitannya dengan jantung, hati ada kaitannya dengan darah, hati ada kaitannya dengan pemikiran manusia.  Malah ada sabda Rasulullah yang menyatakan terdapat seketul daging dalam tubuh manusia yang jika baik daging itu maka baiklah manusia, begitu juga sebaliknya.  Daging yang Baginda maksudkan adalah hati.  Maka, jika kita tidak menjaga hati, pasti ‘perjalanan’ kita tidak sempurna.

Aku selalu terfikir (kerana selalu menghadapi masalah ini), kekadang sukar benar untuk aku mendidik hatiku ini.  Jika melakukan perkara yang baik, pasti hatiku kekadang melayang entah ke mana, namun tidak pula berlaku jika aku melakukan perkara yang melalaikan.

Mari kita fikirkan bersama….

Ketika solat, kekadang fikiran kita aku sering menerawang kepada perkara-perkara lain.  Ketika itulah diri memikirkan tentang kerja, teringatkan seseorang, memikirkan tentang masalah itu dan problem ini.  Semuanya terjadi ketika bersolat.  Badan melakukan solat, mulut mengungkapkan bacaan solat, namun hati dan fikiran entah ke mana….

Namun, pernahkah berlaku kepada kita aku keadaan yang sama semasa kita aku melihat konsert, atau cerita-cerita hiburan?  Pernahkah semasa melihat persembahan akhir AF, mata menonton, jejari lancar menghantarkan mesej AFUNDI, tetapi hati dan fikiran entah ke mana….Pernah kah?

Itulah kelemahan dan kesilapan kita aku…  Sering kali lalai dan tidak dapat mendidik hati dengan baik…

Isnin, 15 November 2010

Mencipta Kejayaan Melalui Visualisasi

Telah dijelaskan sebelum ini, visualisasi adalah salah satu aktiviti yang boleh digunakan untuk mendapatkan sesuatu.  Ia adalah salah satu hukum dalam sains kuasa minda, salah satu hukum alam yang hanya 10% sahaja manusia tahu dan berjaya menggunakannya dalam kehidupan mereka.

Visualisasi bukanlah seperti angan-angan kosong Mat Jenin.

Sebaliknya, visualisasi mengaktifkan kuasa minda manusia dan memancarkan apa yang diperlukan untuk menariknya kembali kepada kita.  Konsepnya sama seperti berangan, namun aktiviti yang dilakukan bukan hanya sekadar berangan-angan.  Ia memerlukan satu perlakuan sistematik dan berterusan untuk memastikan getaran yang dilepaskan akan dapat menarik kembali kepada kita.

Untuk melaksanakan visualisasi yang betul, beberapa langkah penting harus dilakukan.

Langkah 1 – Tulis apa yang anda impikan. 

Menulis apa yang kita impikan mestilah jelas dan terperinci.  Jika kita mengimpikan jawatan Ketua Pegawai Pengurusan Jualan, maka kita perlu menulisnya dengan sejelas mungkin.  Nyatakan jawatan, jangka masa yang kita tetapkan, tempat, dan sebagainya.  Tulisan haruslah spesifik dan menjurus kepada suatu perkara sahaja.

Aku ialah Ketua Pengurusan Jualan di Syarikat Sama Jaya Sdn. Bhd. pada awal Januari 2013

Langkah 2 – Cari tempat yang sesuai dan masa yang sesuai untuk anda berada dalam keadaan yang tenang, dan dapat menggambarkan apa yang kita impikan.  Masa dan tempat terpulang kepada kita, namun haruslah kita benar-benar tenang tanpa gangguan daripada sebarang keadaan.  Biasanya, aku sendiri akan memilih waktu sebelum tidur, dan semasa selepas bangun dari tidur untuk melakukan visualisasi.  Ini adalah kerana pada ketika itu diri berada dalam situasi yang sangat tenang.  Waktu sedang tidur adalah masa yang sangat sesuai bagiku.  Ketika badan berada dalam keadaan yang sangat tenang, fikiran yang kosong, dan mata (serta otak) yang hampir berkhayal.

Langkah 3 – Bayangkan apa yang kita impikan itu benar-benar berlaku.  Situasi ini adalah peringkat yang sangat penting.  Pada ketika inilah kita sedang bervisualisasi.  Pada peringkat ini, kemahiran berangan-angan perlu digunakan dengan sebaik mungkin.  Bayangkan situasi kita benar-benar telah menjadi Ketua Pegawai Pengurusan Jualan, bayangkan pejabat kita, kita duduk di meja Ketua Pengurusan, dengan nama kita tertera di meja dan di depan pintu pejabat.  Bayangkan wajah-wajah orang bawahan kita yang berurusan dengan kita.  Bayangkan kita benar-benar berada di sana.  Semakin kuat dan semakin jelas kita dapat menggambarkannya dalam minda, semakin kuatlah pancaran getaran itu dapat dilepaskan.

Langkah 4 – Sertakan dengan emosi yang sesuai.  Semasa menggambar dan memvisualkan keadaan itu, kita perlu juga mengalirkan emosi yang sesuai dengan kejayaan itu.  Rasakan sebenar-benarnya tentang perasaan kita apabila berada di sana.  Rasa keseronokan, rasa kesyukuran, rasa tanggungjawab untuk melaksanakan tugas….  Emosi yang berjaya dilahirkan akan membuatkan kita menjadi lebih yakin dengan visualisasi yang dilakukan.

Langkah 5 – Tindakan proaktif dalam diri.  Bukan dengan hanya bervisual itu kita akan mendapat apa yang kita impikan semudah mengetik dua jari.  Tindakan proaktif seperti berusaha bersungguh-sungguh, menonjolkan diri sebagai pekerja yang hebat, rajin dan bersemangat dalam melaksanakan tugas, dan sebagainya yang perlu dilakukan oleh seorang pekerja.  Langkah inilah sebenarnya yang membezakan visualisasi kita  dengan visualisasi Mat Jenin.

Dengan melakukan visualisasi secara berterusan, ditambah dengan langkah 5 yang dilaku secara bersungguh-sungguh, pasti ada mata yang memandang dan menilai kita.  Hukum alam dan hukum sains kuasa minda akan menarik perhatian pihak atasan yang sedang tercari-cari orang yang sesuai untuk ditempatkan di jawatan itu terarah kepada kita.  Kita seperti ‘memukau’ mereka yang pada awalnya tidak dapat melihat kita, namun akhirnya nampak kehadiran kita dalam syarikat.  Pada ketika ini, apa yang berlaku adalah kuasa minda kita sedang menarik kembali getaran impian tadi datang mendekati kita semula.  Dengan langkah yang betul dan usaha yang bersungguh-sungguh, apa sahaja yang kita impikan pasti akan tercapai.

Sabtu, 13 November 2010

Perkataan dan Emosi

Salam hormat dan penuh kebahagiaan kepada semua.

Perkataan dan ungkapan, sama ada yang kita sebut, atau yang tidak tulis, mungkin akan memberi kesan kepada menerimaan orang lain.  Perkataan yang baik, serta disusuli dengan emosi yang sesuai, akan menyebabkan penerima memahami dan menerima kita dengan lebih mudah.

Ibu bapa, dan guru-guru perlu memahami hal ini dengan sebaiknya.

Penggunaan perkataan yang betul dengan emosi yang betul akan merangsang penerimaan anak-anak.  Rangsangan yang diterima akan menyebabkan anak-anak itu lebih rapat dan lebih akur dengan perintah kita.

Cuba lihat contoh ini;

“Mak rasa seronok sangat tengok kamu selalu solat di awal waktu.  Lagi seronok dan bahagia sangat kalau kamu dapat berjemaah di surau…”

“Wah, awak ni nampak makin hebat le sekarang.  Nampak sangat awak dah makin matang”

Dua contoh yang kuberikan di atas adalah perbuatan antara emak dengan anak, dan sesama rakan sebaya.

Mak melahirkan emosinya semasa berkata-kata dengan anak.  Emosi berkenaan rasa seronok dan bahagianya melihatkan keadaan anaknya yang sentiasa melaksanakan suruhan ALLAH Taala.  Perkataan yang diberikan ada seronok, dan bahagia yang melambangkan emosi seorang ibu.  Apakah agaknya penerimaan si anak?  Tentu sekali dia merasa bangga dan senorok kerana telah berjaya membuat ibunya seronok dan bahagia.  Oleh itu, dia akan terus melaksanakan perlakuannya itu untuk membahagiakan ibunya.  Inilah contoh penggunaan perkataan dengan emosi.  Rangsangan yang diberi akan membuatkan si anak kekal melakukan apa yang dipinta oleh si ibu.

Perbualan antara rakan sebaya itu juga menunjukkan penggunaan perkataan yang mengandungi emosi.  Perkataan hebat, menggambarkan betapa bangganya rakan melihat rakannya yang semakin bagus dalam melaksanakan sesuatu.  Hebat menggambarkan emosi teruja, bangga, dan sangat tertarik atau sesuatu.  Bagi rakannya itu yang menerima perkataan hebat, akan beremosi dengan perkataan yang diberikan.  Ini akan membuatkan dia lebih yakin dan dapat meneruskan kehebatannya itu.  Bukan sekadar itu, emosinya juga akan terangsang untuk meneruskan persahabatan dengan rakannya dengan lebih rapat kerana menerima perkataan berbentuk pujian seperti itu.

Perkataan dan gambaran emosi, akan menambahkan lagi kekuatan dalam komunikasi.  Penggunaan perkataan yang betul pasti akan dapat merapatkan hubungan dan mengukuhkan keinginan untuk meneruskan perhubungan tersebut.

Khamis, 11 November 2010

Mengekalkan perubahan

Apabila kita melakukan perubahan dalam diri, adakah perubahan itu akan berkekalan?

Ia akan berkekalan apabila ia telah sebati dengan diri kita.  Untuk menjadikan suatu perbuatan dan perlakuan itu sebati dengan diri kita, maka kita perlu melalui beberapa jangka masa yang ditetapkan dalam diri masing-masing.  Mungkin kita biasa melihat kepada perubahan yang dilakukan oleh seseorang dalam kehidupannya, namun beberapa hari kemudian, dia kembali dengan perlakuan negatif yang cuba diubahnya.

Contoh yang paling jelas adalah merokok.  Memang ramai perokok yang berazam untuk berhenti.  Pelbagai cara dilakukan untuk berhenti menagih rokok.  Namun, beberapa hari kemudian dia kembali merokok.  Malah mungkin lebih banyak lagi!

rokokIni menunjukkan bahawa, perubahan yang dilakukan masih belum menjadi kebiasaan dalam dirinya (tabiat).  Ini menyebabkan dia kembali kepada perlakuan asalnya…

Apa yang boleh kita lakukan untuk cuba mengekalkan perubahan yang telah dibuat, sekurang-kurangnya hingga menjadi tabiat dalam diri.

Pertama sekali kita perlu mengaitkan emosi kita terhadap perubahan yang dilakukan.  Emosi adalah perasaan dalaman diri setiap kita.  Setiap manusia sukakan emosi yang stabil dan menyenangkan.  Oleh itu, sentiasa ciptakan emosi kegembiraan dan keseronokan kerana telah berjaya berhenti melakukan perkara negatif yang lalu (contoh merokok).  Ciptakan emosi betapa seronoknya kita bebas dari menagih.  Sentiasa rasa riang kerana dapat meninggalkannya.  Apabila emosi itu telah tercipta, maka kita akan tetap merasa seronok kerana tidak lagi merokok.

Perkara kedua yang perlu dilakukan ialah mengganggu tabiat yang lalu.  Maksudnya, jika sebelum ini kita akan terus mencapai rokok dan menghisapnya seusai kita makan sesuatu, maka sekarang cuba ganggu tabiat itu dengan melakukan perbuatan lain.  Contohnya, apabila selesai makan, terus capai sebiji epal dan makan.  Perlakuan ini telah menyebabkan kita mengganggu tabiat lama dan menukarkannya dengan tabiat yang baru.  Ini akan menyebabkan perubahan yang berlaku dapat dikekalkan hingga ia menjadi tabiat yang baru.

Berubah…~ Akhir

Sudah berjaya melaksanakan langkah yang diberi?

Langkah 1 –>  Kenal pasti kelemahan

Langkah 2 –>  Tuliskan kelemahan tersebut pada sekeping kertas yang dilipat.

Langkah 3 –>  Tukarkan kelemahan dan masalah diri kepada perkara yang bertentangan.

Merujuk kepada penerangan yang kuberikan sebelum ini, kuasa minda manusia akan mula bekerja untuk memberikan rangsangan kepada tubuh, bagi melakukan perubahan.  Ini adalah hakikatnya.

Namun harus diingat, kuasa minda adalah anugerah ALLAH yang tidak mengenal erti baik atau buruk, positif atau negatif, atau ungkapan mahu ataupun tidak.  Kuasa minda manusia hanya menerima apa sahaja saranan daripada diri kita dan terus melaksanakannya. (Oh, tentu sahaja dengan kehendak dan keizinan daripadaNya, kena yakin tu….)  Lantaran itu, kuasa minda tidak akan mengerti sama ada apa yang kita ungkapkan itu kita mahukannya atau pun tidak.  Yang pasti apa sahaja yang diungkapkan, itu akan diterima oleh kuasa minda dan melaksanakannya.

Contoh :

Aku malas bangun pagi –>  Aku tidak malas lagi bangun pagi.

Aktiviti menulis kelemahan diri dan menukarkannya kepada perkara yang lebih positif atau perkara yang kita ingin ubahkannya memang berlaku di atas.  Ini adalah kerana apabila manusia menggunakan perkataan TIDAK, maka kita telah menukarkan kenyataan yang sebelumnya.  Namun, kuasa minda manusia tidak dapat menerimanya. (Ini adalah hukum kuasa minda).  Hal ini terjadi kerana dalam kedua-dua kenyataan itu, masih terdapat perkataan malas bangun pagi.

Jadi, apakah perkara yang perlu dilakukan?

Kita seharusnya menukarkan terus kenyataan kedua dengan perkara yang benar-benar positif.

Contoh :

Aku malas bangun pagi –>  Aku sentiasa bangun di awal pagi.

Cuba perhatikan contoh pertama dengan contoh yang kedua.  Contoh pertama menunjukkan kuasa minda manusia tidak dapat menerima apa sebenarnya yang kita mahukan.  Namun, dalam contoh yang kedua, minda manusia akan terus dapat menangkap apa yang kita mahukan iaitu, bukan bangun lambat, tetapi bangun awal.

Inilah sebenarnya perkara yang menyebabkan kekadang kita tidak berjaya menarik apa yang sebenarnya kita mahukan dalam impian.  Ini adalah kerana kita menggunakan ungkapan yang salah, hingga menyebabkan apa yang dipancarkan melalui getaran minda manusia ke alam semesta tidak berjaya.  Oleh itu, pastikan penggunaan perkataan yang betul dalam membuat ungkapan yang kita mahukan.  Setiap perkataan yang diungkap akan mengalir terus ke minda manusia.  Minda terus merakam ungkapan tersebut dan menerimanya.  Setelah diterima, minda terus melaksanakan tugasnya untuk melakukan perubahan.

Salam hormat untuk semua…

Selamat berubah kepada kebaikan…

Rabu, 10 November 2010

Berubah... ~ 2

Mahu berubah...?

Mahu berubah untuk menjadi lebih baik...?

Apa pula kaitannya dengan kuasa minda manusia dengan perubahan yang ingin dilakukan?



Langkah dan tindakan untuk berubah yang paling utama adalah menyenaraikan apakah kelemahan diri kita. Ambil sekeping kertas bersaiz A4. Lipatkan kertas tersebut kepada dua bahagian. Apabila dibuka semula lipatan tersebut, maka kita akan mendapati seolah-olah kertas itu telah dibahagikan kepada dua.



Ambil pen / pensil, dan mula menulis tentang kelemahan dan kekuatan diri pada bahagian kiri kertas tersebut. Tulis hanya pada bahagian kiri kertas sahaja. Bahagian lipatan sebelah kanan jangan diusik. Jika masih ada yang hendak ditulis (banyaknya kelemahan dan keburukan diri...!), maka tinggalkan dahulu. Biarlah kita lakukan berubahan diri ini secara berperingkat...



Apa yang perlu dilakukan seterusnya adalah senaraikan pula perlakuan yang bertentangan dengan kelemahan diri yang kita senaraikan tadi...

Contoh;

Suka menipu rakan --> Bersikap jujur dengan rakan.



Dengan menulis kelemahan dan menukarkannya kepada perkara yang bertentangan dengan kelemahan itu menyebabkan kita telah menghantar isyarat dan rangsangan kepada minda untuk berubah.



Bahagian berikutnya adalah sambungan kepada tindakan yang perlu dilakukan...

:)

Berubah...

Salam hormat kepada semua...
Manusia perlu berubah.
Berubah dari manusia yang tidak baik kepada manusia yang baik.
Atau berubah dari manusia yang baik kepada lebih baik.
Jika hari ini kita sama seperti semalam, kita adalah orang yang tidak berbuat apa-apa untuk berubah.
Jika hari ini kita lebih teruk dari semalam, kita adalah orang yang sangat bodoh kerana menjadi lebih teruk.
Jika hari ini kita lebih baik dari semalam, maka menunjukkan yang kita telah berjaya...
Untuk berubah, kita perlu memikirkan tentang siapa diri kita terlebih dahulu. Kita perlu menilai diri sendiri dari segi kekuatan dan kelemahan kita, dari segi kebaikan dan keburukan kita... Dari situ baru timbul perkara yang boleh dilakukan untuk berubah.
Namun, kadang kala kita tidak dapat memberi dan menyenaraikan apakah kelemahan dan keburukan diri kita sendiri. Ini mungkin berlaku kerana manusia dikurniakan dengan ego dan perasaan memegahkan diri sendiri. Lantaran itu, kita memerlukan orang lain untuk menyatakan tentang kelemahan dan keburukan diri kita. Orang yang bergelar sahabat adalah orang yang sangat layak memberi komen dan kritikan. Sahabat adalah seperti cermin kepada diri kita. Mereka akan menunjukkan siapa diri kita. Jika baik, maka baiklah yang ditunjuk, dan begitu juga sebaliknya.
Berubah, memerlukan masa dan tindakan yang sistematik.
Berubah tidak akan berlaku sepantas dan semudah ABC. Ia memerlukan tindakan yang terancang dan berterusan.
Catatan berikutnya akan membicarakan tentang tindakan dalam perubahan diri melalui konteks kuasa minda manusia....

Selasa, 9 November 2010

Timbangan Tenaga

Tenaga, sama juga seperti benda yang lain, mempunyai berat. Walaupun kita tidak dapat melihatnya, ia tetap mempunyai berat. Aku sendiri kurang pasti bagaimana nilai berat diukur, namun ia mempunyai nilainya yang tersendiri iaitu Newton. Hal ini menunjukkan ia tetap mempunyai berat.

Memang benar, ada yang berkata berat tenaga positif dan negatif itu berlaku pada nilai diri dan motivasi seseorang. Jika seseorang itu sentiasa berfikiran positif, maka nilai berat tenaga positifnya pasti lebih berat, dan begitu juga sebaliknya.
Lantaran itu, kita dianjurkan sentiasa berfikiran positif. Namun, harus diingat, tenaga positif yang ada pada diri kita bukan hanya sekadar berfikiran positif sahaja.... Ada banyak lagi cara untuk meningkatkan tenaga positif. Aktiviti seperti solat, zikir, mandi di air terjun, berehat, tidur, dan perkara-perkara yang menenangkan, akan dapat meningkatkan getaran tenaga positif dalam diri.

Namun.......
Pada hakikatnya, tenaga negatif adalah lebih berat daripada tenaga positif...!
Itulah hakikatnya....

Jika kita telah berjaya mengumpulkan 10 tenaga positif dalam sehari, tiba-tiba ada satu sahaja tenaga negatif hadir dalam diri kita, maka ia lebih berat daripada tenaga positif yang ada.

Cuba bayangkan;
Sepanjang sehari perjalanan kehidupan kita, apa yang kita lakukan?
1. Mungkin hari ini kita akan ke tempat kerja
2. Sampai tempat kerja, boss ajak pergi minum, dia nak belanja...(mesti ada apa-apa ni...)
3. Tengah buat kerja ada telefon menyatakan permohonan kereta dah lulus....best!
4. Makan tengah hari, berselisih dengan kawan lama dekat pintu restoran, terus dia ajak makan sekali... (makan free pula..!)
5. Masuk kerja semula, tercari-cari pendrive sebab nak printkan maklumat penting untuk boss, pagi esok dia nak pergi mesyuarat. Mana pula le aku letak pendrive ni...?

Gambaran di atas menunjukkan contoh perjalanan yang kita lalui ada mengandungi tenaga dan emosi positif ( 1 - 4 ) Tetapi perkara yang kelima itu telah menyebabkan kita mencipta emosi dan tenaga negatif. Cuba bayangkan, apa yang kita rasa ketika itu. Tiada lagi keseronokan, tiada lagi rasa bahagia kerana makan free dua kali dalam sehari. Tiada lagi rasa seronok kerana dapat bertemu semula dengan rakan lama....
Tiada lagi....
Kerana, pada ketika itu, tenaga negatif yang hanya ada satu sahaja itu telah mengganggu dan menolak keluar semua tenaga positif yang ada dalam diri. Diri kita akan mencipta lebih banyak dan lebih banyak lagi tenaga negatif selagi kita tidak menjumpai pendrive penting itu. Mungkin kita akan merungut dan menuduh seseorang mengambilnya, atau mengutuk-ngutuk diri sendiri kerana telah cuai dan menghilangkannya, rasa resah dan gelisah dalam diri, tidak tenang, semuanya serba salah..... Semua ini menggambarkan betapa tenaga negatif itu menjadi lebih besar dan lebih besar dan lebih besar....menyebabkan kita tidak lagi mampu untuk menahannya.

Apakah cara penyelesaiannya jika kita berada dalam situasi ini....?
TUNGGU....

Isnin, 8 November 2010

Timbangan mana lebih berat?

Masa kecil dulu, ada satu teka teki diberikan kepadaku;
Antara sekilo besi dengan sekilo kapas, mana lebih berat?

Masa tu, otak belum dapat memikirkan yang abstrak lagi, yang boleh fikir hanya yang konkrik saja, jadi pasti jawapannya besi lebih berat.
Tetapi sebenarnya, kedua-dua besi dan kapas sama berat kerana mempunyai nilai timbangan yang sama.

Hari ini aku nak tanya pula?
Antara tenaga positif dan tenaga negatif yang ada dalam diri manusia, mana yang lebih berat?

Hmmm........
aku nak kena buka buku dulu kejap...

Ahad, 7 November 2010

Ujian Pandu Arah

Pandu arah @ Orientering adalah salah satu aktiviti pendidikan luar yang biasanya dilaksanakan dalam sesuatu program. Pada kebiasaannya, peserta akan diajar dan ditunjukkan tentang cara penggunaan kompas, mengorientasikan peta, dan sedikit latihan simulasi. Semua ini memberi pengalaman kepada mereka jika berlaku situasi sesak di hutan dan apa tindakan yang perlu dilakukan.

Aku ingin selitkan aktiviti ini dengan kehidupan kita sendiri.
Dalam kehidupan kita ini, kita adalah pengembara. Kita sedang menuju ke suatu tempat yang kita tahu, tetapi kita seolah-olah tersesat seketika. Maka proses mengorientasikan keadaan bermula. Kompas dan peta digunakan. Semangat membara menuju terus ke hadapan. Tiba-tiba, ada halangan di tengah jalan, ada gaung dalam dan curam di hadapan.

Apa yang perlu kita lakukan?
Adakah kita perlu turun sahaja ke dalam gaung itu, dan bersedia menghadapi segala risiko yang mungkin berlaku? Atau kita perlu mengalih arah perjalanan melalui kawasan yang lebih selamat, dan kemudian berpatah balik ke koordinat sebenar untuk menemui tempat yang kita cari?
Pilihan berada di tangan kita. Kita yang tentukan kerana kita adalah pemandu arah dalam perjalanan kehidupan ini. Jika memilih cadangan yang pertama, mungkin kita berjaya sampai setelah berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran. Atau mungkin juga tidak sampai kerana terhalang dengan risiko yang lain.
Jika memilih cadangan yang kedua, mungkin kita akan sampai, tetapi perjalanan yang dialih tentu membuatkan masa bertambah. Namun tidak mengapalah, kerana kita akhirnya sampai sambil melalui laluan lain yang tentu memberi pengalaman baru kepada kita.

Pilihlah mana-mana usaha yang mungkin kita mampu lakukan, kerana kita mesti terus bergerak dan mesti sampai ke destinasi kita. Mahu atau tidak mahu, kita perlu berusaha untuk sampai ke sana. Inilah ujian pandu arah sebenar dalam kehidupan kita....

Sabtu, 6 November 2010

Bisa Ular vs Ubat Herba

Beberapa minggu ini, perjalanan kehidupanku penuh dengan aktiviti kembara.
Peruntukan yang 'melimpah ruah' daripada jabatan minta dihabiskan sebelum penghujung tahun menyebabkan banyak aktiviti luar dilaksanakan. Menjadi tugasku sebagai salah seorang jurulatih aktiviti pendidikan luar menyebabkan aku 'laku' seketika saat ini. Banyak sekolah dan jabatan memerlukan jurulatih untuk mengiringi dan mengendalikan aktiviti yang dirancang.


Hari ini aku pulang semula ke rumah setelah beberapa lama berada di luar. Hanya seminggu aku akan berada di sini kerana bermula akhir minggu ini aku akan kembali melaksanakan aktiviti luar kerana ada satu slot aktiviti lagi yang perlu diselesaikan. Itupun kerana aku telah menolak dua lagi tawaran aktiviti kerana melibatkan tarikh yang sama atau hampir bertindan antara satu sama lain.


Hari ini aku ingin menceritakan salah satu pengalamanku semasa membawa sekumpulan remaja ke sebuah kawasan rimba di sekitar Besut (Orang Besut tentu tahu tempat yang aku maksudkan).


Dalam perjalanan ke puncak, salah seorang peserta perempuan telah jatuh terjelepok. Katanya dipatuk ular. Aku dan rakan-rakan jurulatih telah mengambil tindakan awal mengikut prosedur yang ditetapkan. Memeriksa kawasan patukan dan menangkap ular yang mematuk adalah tindakan utama yang perlu dilakukan segera. Semasa aku memeriksa, aku dapati tiada kesan patukan yang ada di kaki peserta itu. Namun, simptom awal patukan ular memang ada pada peserta itu; kakinya menjadi sejuk, suhu badan menurun, menyebabkan kebiruan di bibir, muka menjadi pucat namun berpeluh-peluh. Ular yang dimaksudkan hilang entah ke mana. Namun pada firasatku berdasarkan pengalaman, aku yakin bahawa peserta itu bukanlah dipatuk ular.


Tindakanku seterusnya adalah mendapatkan beberapa pokok herba hutan yang kebetulan ada di kawasan itu dan membuat sedikit ubat herba. Ubat itu kulumurkan ke kawasan yang didakwa dipatuk ular. Beberapa minit kemudian, remaja perempuan itu terus kebah dan dapat berjalan semula.

Alhamdulillah....


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Keterangan :

Perkara pertama,

Aku sangat pasti remaja itu tidak dipatuk ular. Ini adalah kerana tiada langsung kesan patukan pada kakinya. Aku sangat pasti dia terlalu keletihan menyebabkan mindanya terganggu dan merakamkan kejadian itu seperti benar-benar berlaku. Apabila mindanya menyatakan sedemikian, menyebabkan simptom patukan ular berlaku pada dirinya.


Perkara kedua,

Ubatan herba yang aku lakukan itu juga palsu. Daun pokok yang aku gunakan bukanlah untuk menyembuhkan bisa ular. Daun itu adalah sejenis daun yang digunakan untuk mengubat sakit perut ringan. Namun, kenapa ia berhasil? Kerana remaja perempuan itu benar-benar menyakini bahawa dia telah diberikan penawar.


Kedua-dua keadaan ini menunjukkan bahawa minda kita sangat hebat dan berkuasa untuk membentuk perjalanan diri kita. Jika kita menyakini sesuatu itu berlaku, pasti ia berlaku. Sama juga macam kita makan ubat apabila sakit seperti demam, batuk, dan sebagainya. Kita menyakini bahawa kita akan baik dan sembuh apabila makan ubat itu mengikut saranan doktor. Keyakinan minda kita akan membina kekuatan dalaman pada diri kita menyebabkan kesembuhan itu berlaku. Namun, harus diingat dan terus-terusan diyakini bahawa, kesembuhan itu berlaku atas kehendakNya semata-mata. Ubat, ramuan, jampi, atau apa sahaja kaedah yang digunakan, hanya akan berhasil jika ALLAH menghendakinya berlaku. Minda manusia kurniaan ALLAH, akan bekerja kepada tubuh kita berdasarkan apa yang difahami dan diyakini, dan dapat mengawal tubuh untuk sama-sama menjadi kuat bagi melawan penyakit yang dihadapi.


Setelah selamat kembali dari ekspedisi, baru aku menceritakan kepadanya kisah sebenarnya tentang ramuan herba yang aku buat, dan penerangan tentang minda manusia. Remaja perempuan itu tersenyum mendengar ceritaku dan dia mengakui bahawa dia sendiri tidak pasti apa yang berlaku. Apa yang dia tahu adalah merasakan seperti ada yang mematuk kakinya dan membuatkan dirinya hampir pengsan.


Apa sebenarnya yang 'mematuk' kakinya?

Jawapanku, mungkin kakinya itu tersangkut dengan akar-akar kecil yang menjalar hingga menyebabkan dia merasa seperti dipatuk. Ditambah dengan tubuh yang lemah, dan semangat yang juga lemah, menyebabkan dia memikirkan tentang terkena patukan ular...