Isnin, 24 Jun 2013

Batu dari tingkat 10…

Salam kedamaian daripada KM buat semua.

Hari ini KM hendak menulis tentang cerita, yang mungkin kita semua pernah mendengarnya sebelum ini.  Cerita berkenaan dan berkaitan dengan kehidupan kita…

Di sebuah tapak pembinaan bangunan 10 tingkat, seorang pekerja yang sedang membancuh simen sibuk dengan pekerjaannya.  Sesekali dia merehat sementara menunggu arahan untuk menaikkan simen ke tingkat atas dengan menggunakan tali bertakal.  Kerjanya, bancuh simen ke dalam mesin penggaul, dan kemudian memasukkan simen tersebut dalam bekas yang disediakan dan menarik tali yang akan membawa bekas tersebut ke atas.  Bila sampai ke atas, simen tersebut akan diambil oleh pekerja yang berada di tingkat atas dan kemudian menurunkan semula bekas itu ke bawah.

Kerana keletihan, dia duduk dulu sebentar menghilangkan penat.  Sambil itu dia mengelamun dan berkhayal tentang kesusahan hidupnya selama ini.

Tiba-tiba, sekeping wang syiling jatuh di hadapannya.  Pekerja tersebut mengambil syiling tersebut dan memasukkan ke dalam poket bajunya.  Dia terus mengelamun…..

Beberapa ketika kemudian, sekeping lagi wang syiling jatuh.  Dia tersenyum dan mengambil lagi.  Hatinya riang kerana mendapat wang syiling ‘dari langit’.  Mengelamun lagi….

Tiba-tiba, seketul batu sebesar penumbuk jatuh di hadapannya.  Dia terperanjat besar.  Segera dia bangun dan memandang ke atas.

Rakan sekerjanya di atas berada di pinggir bangunan dan memberi isyarat untuk menaikkan simen, nampaknya agak marah kerana menunggu lama….

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Lihatlah, dalam cerita ini menunjukkan bagaimana kenikmatan yang kita terima, sangat menyenangkan.  Kita sentiasa bersahaja dan lalai dengan kenikmatan itu.  Namun, apabila kesukaran yang kita terima, terus bingkas kita mendongak ke atas.

Gambarannya, bila kita senang, jarang kita melihat ke atas (bersyukur kepadaNya), tetapi bila kita berada dalam kesusahan, dengan pantas kita terus mendongak (memohon pertolongan daripadaNya).

Ingatlah, kehidupan ini indah.  Jangan biarkan keindahan itu melalaikan kita… 

Sabtu, 22 Jun 2013

65 tahun…

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya DIA yang Maha Kaya dan memberi kekayaan.  Dengan kelembutan kasih sayangNya, aku izinkan semua kekayaan itu mengalir dalam kehidupanku.

Dengan izin ALLAH, aku suka berada dalam rumahku yang cantik ini bersama-sama isteriku tercinta, anak-anak yang sudah berjaya dalam kehidupan, dan cucu-cucuku yang comel dan beradab.

Aku merasa sangat bersyukur dengan dalam usia ini, aku masih sihat dan cergas, dapat pergi dan balik ke surau yang aku asaskan dan melaksanakan pengimarahan pengajian agama bersama dengan jiran-jiranku yang mesra dan serasi.

Wang sentiasa ada dan melimpah ruah dalam kehidupanku, semua keperluan dan keinginanku dapat dipenuhi dengan kelebihan ini.  Malah, aku sentiasa dapat menyumbangkan wang dan pendapatanku ke sekolah Ma'had Tahfiz yang berdekatan dengan rumahku ini.  Sering juga aku dapat menghadiah dan menaja rakan-rakan dan saudaraku untuk menunaikan haji di Mekkah.

Setiap tahun, aku dan keluarga dapat menunaikan umrah dan setiap 5 tahun kami semua akan menunaikan haji, berkali-kali kerana kenikmatan yang penuh dan melimpah ruah ini.

Dalam usia sebegini, aku masih dapat menikmati kehidupanku dengan penuh keceriaan dan kedamaian.  Masaku sentiasa cukup untuk bersama-sama dengan keluarga melancong dan berkunjung ke tempat-tempat menarik, menghayati keindahan alam ciptaan ALLAH ini.

Usiaku yang sebegini, aku bersyukur kepadaNya kerana masih dipinjamkan segala pancainderaku dengan penuh kesempurnaan.  Aku masih dapat membaca al-Quran setiap hari dengan lancar dan penuh kenikmatan.

Rumah-rumah sewaku yang aku beli pada tahun-tahun yang lalu sangat memberi erti kepadaku.  Wang pendapatan daripada sewa itu sentiasa melimpah ruah dalam kehidupanku ini.  Malah, semua penyewaku ini sangat rapat dan mesra denganku hingga aku menganggap mereka seperti sebahagian daripada kehidupanku.

Buku-buku tulisanku juga sangat laris dan mendapat sambutan yang menggalakkan.  Aku merasa sangat puas dan senang dapat berkongsi pandangan dan pendapat dalam buku-bukuku itu.  Hasil royalti buku tersebut dapatlah aku tambah untuk membeli dan melabur dalam harta berbentuk emas.  Hasilnya, simpanan emasku semakin bertambah dan sentiasa selamat dalam simpanan kami sekeluarga.

Ya ALLAH, aku bersyukur atas kenikmatanMu ini, aku bersyukur atas ketenangan ini, aku bersyukur atas kejayaan dan keharmonian ini.….

Rabu, 19 Jun 2013

Tulislah nikmatNya…

Salam penuh kemakmuran daripada KM buat semua.

“Sekiranya kamu bersyukur, pasti KAMI menambah nikmat kepadamu….” –Surah Ibrahim ayat 7.

Bersyukur merupakan salah satu elemen dalam mengaktifkan kuasa minda manusia.  Semakin banyak kita bersyukur, sebenarnya kita mengaktifkan minda yang positif dan sentiasa ‘menang’ dalam setiap sesuatu. 

tulis

Gambar daripada internet

Hari ini, KM hendak mengajak diri KM dan pembaca sekalian untuk ambil sekeping kertas dan pen/pensel, kemudian tulis apakah nikmat atau perkara yang sangat menarik dalam diri kita hingga kita merasa sangat bersyukur kepadaNya.  KM sangat pasti, sekeping kertas itu tidak akan cukup.  Tak apa, hanya tuliskan apa sahaja nikmat itu dalam sekeping kertas, cukup.  Perkara yang tidak dapat ditulis itu (kerana terlalu banyak) kita simpan dahulu.

Mari kita tulis nikmat dalam kehidupan ini setiap hari selama seminggu.  Jangan tinggal walau sehari pun.  Ambil masa yang sesuai, ruang yang selesa, dan jangan ada apa-apa gangguan.  Tulislah nikmat-nikmat yang kita terima sepanjang hari, tulislah selama seminggu.

Selepas seminggu, tentu kita merasa kelainan dalam diri kita.  Kita akan menjadi lebih bersemangat, berkeyakinan, dan sentiasa berada dalam pemikiran yang ‘menang’ dalam setiap hal.

Lakukanlah, kerana KM sudah melakukannya dan merasa ‘kepuasan’ yang tidak dapat KM ceritakan.  Dan KM akan terus menulis nikmat yang KM terima daripadaNya, kerana melalui aktiviti ini, KM menjadi sangat tenang dan sentiasa mencapai apa sahaja yang KM lakukan.

Isnin, 17 Jun 2013

Tariklah, tak perlu kejar…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.

Setiap manusia mahukan kebahagiaan, kejayaan, kemenangan, kekayaan, dan pelbagai lagi perkara yang berkaitan dengan kemakmuran dalam hidup.  Namun, sedarkah kita bahawa untuk mencapai semua ini, ada yang MENGEJAR dan ada yang MENARIK.

Kata sahabat KM, aku tidak mahu mengejar cinta, sebaliknya aku mahu menarik cinta.

magnet-cinta

Gambar daripada internet

Aduh, hebat sekali bunyinya!  Namun ada kebenaran….

Bila kita mengejar cinta, kekadang kita terlupa tentang cinta yang ada di sekeliling kita.  Kita sibuk mengejar cinta seseorang sehingga tidak nampak cinta yang berada di hadapan mata yang sudah siap sedia menerima dan menyerahkan cinta kepada kita.  Akibat mengejar cinta yang belum pasti, kita kekadang kecewa.  Inilah yang dinamakan ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

Hakikatnya, kita perlu menarik cinta datang kepada kita.  Jadilah orang yang sentiasa disenangi oleh orang lain, sentiasa jujur dan ikhlas, sentiasa menerima kehadiran sesiapa sahaja untuk hadir dalam kehidupan kita dan memberi peluang.  Dengan menarik cinta, kita dapat berada dalam keadaan yang tenang dan tidak terburu-buru.  Setiap sesuatu yang menjadi kebaikan dan keburukan dalam perjalanan mencari cinta sejati ini pasti dapat kita lihat dengan penuh rasional.

Begitu juga dengan kekayaan.  Jangan mengejar kekayaan itu, kelak bila kekayaan itu tiada, kita akan menjadi sangat kecewa.  Sebaliknya, tariklah kekayaan itu datang kepada kita.  Kekayaan ALLAH di muka bumi ini sangat luas dan banyak, dan setiap daripada kita pasti akan mendapat kekayaan itu jika kita berada dalam landasan yang betul…

Sabtu, 15 Jun 2013

Cita-cita dan Angan-angan

Salam kedamaian daripada KM buat semua.

angan

Gambar daripada internet

Dulu, KM pernah berbicara tentang angan-angan Mat Jenin.  Angan-angan sebenarnya bukanlah perkara yang negatif, namun jangan terlalu tinggi angan-angan itu dipasang, hingga lupa untuk kita bertindak.

Apakah bezanya antara cita-cita dengan angan-angan?  Nampakkah kita perbezaan antara kedua-duanya?  Ada yang kata kepada KM, cita-cita ini lebih kepada impian sebenar, manakala angan-angan lebih kepada khayalan.  Benarkah pandangan ini?  Pada KM, jawapan ini masih belum kukuh.  Cita-cita mungkin boleh menjadi sekadar angan-angan sahaja dan angan-angan mungkin akan menjadi cita-cita.

Mari kita betulkan konsep antara kedua-duanya ini.  Biar kita jelas bahawa kedua-duanya tetap ada perbezaan, agar kita punya cita-cita yang jelas dan bukan sekadar angan-angan.

Cita-cita ada sesuatu ‘impian’ yang kita TULIS, dan kita kuatkan semangat dan tindakan kita untuk melaksanakan usaha bagi mencapainya.

Angan-angan pula adalah suatu ‘impian’ yang kita biarkan ia berlegar-legar dalam minda untuk mencari sesuatu yang jelas sebelum ianya kita tukarkan menjadi cita-cita.

KM juga sentiasa berangan-angan, namun KM tidak biarkan angan-angan itu terbang tinggi sampai ke langit.  Bila mendapat angan-angan yang best, terus KM tukarkan ia menjadi cita-cita.  KM akan tulis apakah angan-angan itu, dan senaraikan apakah tindakan yang perlu untuk KM lakukan bagi mencapai impian tersebut.

Ini menunjukkan bahawa, daripada angan-angan kita tukarkan ia menjadi cita-cita dan bertindak untuk merealisasikannya.

Apa angan-angan anda hari ini?  Apakah angan-angan itu hanya sekadar angan-angan sahaja, atau dapat kita tukarkan ia menjadi cita-cita untuk kita capai?

Jumaat, 14 Jun 2013

Surah Alfatihah

Salam kedamaian daripada KM buat semua.

alfatihah

Sudah lama KM tidak ‘mengetuk’ di sini.  Tuntutan tugas dan kekurangan peluang untuk berada di sini membuatkan KM terpaksa mendahulukan perkara yang lebih utama, walaupun menulis merupakan pembangkit semangat buat KM.  KM mulakan kembali semangat menulis KM dengan mencoret sesuatu di ruangan SRJ ini…

Dalam sebuah buku yang KM baca, ada penerangan berkenaan surah AlFatihah.  Surah yang dibaca sekurang-kurangnya 17 kali sehari ini, merupakan surah yang sangat dekat dengan kita.  Namun, pernahkah kita mengkaji dan menghayati sepenuhnya pengertian yang terdapat dalam surah ini?

Surah ini, dimulakan dengan puji-pujian kepada ALLAH.  Kemudian disusuli dengan akujanji daripada kita dan disudahi dengan permohonan yang ikhlas terhadap dua perkara.

Jika ada kelapangan, capailah segera tafsir Al-Quran dan bacalah makna yang terkandung dalam surah ini.  Hayati ia dengan sebenarnya bahawa apa yang ada dalam surah ini sebenarnya ada kaitannya dengan perjalanan kita sepanjang hari.

Sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya sentiasa memerlukan DIA dalam setiap perkara dalam kehidupan.  Lantaran itulah, kita sentiasa membaca surah ini setiap rakaat dalam solat, memohon dan terus memohon kepadaNya untuk sentiasa ‘ditunjukkan’ jalan yang betul dalam setiap perbuatan dan pekerjaan kita.