Selasa, 31 Ogos 2010

Gagal Merancang, Maka Kita Merancang untuk Gagal

Ungkapan ini adalah suatu ungkapan yang sudah acap kali kita mendengarnya. Perkara ini biasa kita dengar terutama apabila kita biasa menghadiri kursus pembangunan diri dan motivasi. Ungkapan ini sebenarnya memang ada kebenarannya. Minda kita yang akan menentukan pelaksanaan dan hasilan yang bakal diterima (daripada ALLAH) adalah perkara yang pasti tidak akan dapat kita elakkan.

Perancangan adalah suatu perkara yang perlu untuk berjaya. Jika kita tidak merancang, adalah kejayaan itu akan terjadi dengan sendiri. Jika terjadi, pasti ada sesuatu perkara yang hebat telah berlaku antara kita dengan kejayaan tersebut. Namun dari segi fitrah kehidupannya, tanpa perancangan dan pelaksanaan, maka kejayaan itu akan menjauh.

Mungkin kita biasa dengan permainan catur. Dalam permainan ini kita memerlukan perancangan untuk menggerakkan buah-buah catur sesuai dengan cara pergerakannya. Pada ketika ini, pemain sudah mula berkira-kira untuk melakukan perancangan gerakannya untuk memusnahkan benteng lawan dan seterusnya menawannya. Namun adalah perancangan awal itu akan terus-terusan berjaya? Rasanya pasti tidak, kerana pihak lawan juga akan melakukan perancangannya untuk mengelak serangan kita dan seterusnya merancang untuk menawan kita sama seperti perancangan kita. Oleh itu, perancangan yang dilakukan oleh seorang pemain catur akan terus dan sentiasa berubah dari satu situasi dengan situasi lain yang berbeza.

Begitu juga dengan kehidupan kita.
Perancangan amat penting. Dengan adanya perancangan, pelaksanaan untuk berjaya dilakukan. Namun, adakah setiap pelaksanaan itu terus membuahkan hasil? Ia akan berhasil dan ia mungkin akan tidak berhasil, sesuai dengan keadaan dan situasi. Oleh itu kita perlu terus merancang, dan mengubah perancangan itu mengikut kesesuaian situasi. Apa yang penting adalah matlamat yang diimpikan akan berjaya, kerana perancangan dalam kehidupan ini terus bertumpu kepada suatu perkara iaitu KEJAYAAN. Bagaimana jika kehidupan ini tiada perancangan? Jika kita tiada perancangan, maka sebenarnya kita telah 'merancang' untuk gagal dalam kehidupan...

Isnin, 30 Ogos 2010

Gelombang Otak Manusia ~ Bahagian 3


Bagaimana cara untuk mencapai gelombang tahap alpha?
Terdapat tiga keadaan yang menunjukkan situasi gelombang otak kita berada di tahap alpha.




Bermeditasi
Meditasi adalah suatu keadaan bagaimana manusia berusaha untuk mencapai tahap tenang yang optimum. Biasanya kita mendengar meditasi dilakukan sebagai salah satu ritual golongan tertentu. Jangan salah faham, meditasi bukan tertakluk kepada konsep keagamaan, ia adalah bidang ilmu yang membawa manusia berada di dalam suasana hening dan damai. Oleh kerana ia dipraktikkan oleh sekelompok bangsa tertentu, maka pandangan kita, ia adalah ritual agama. Sebenarnya tidak...

Dalam Islam juga terdapat unsur meditasi. Aktiviti khalwat, iaitu beribadat secara bersendirian yang dilakukan oleh para anbia' atau golongan sufi adalah suatu bentuk meditasi. Aktiviti berzikir dan berwirid di malam yang hening merupakan satu bentuk meditasi. Keadaan ini menunjukkan manusia meninggalkan pemikiran berkenaan perkara kehidupan dan melakukan suatu amalan yang menenangkan jiwanya.

Ketahuilah, pada ketika ini, tahap gelombang otak manusia berada di tahap alpha. Pada ketika ini, setiap saranan akan diterima dengan mudah. Contohnya pada ketika ini terilham dalam diri untuk menjadi seorang manusia yang zuhud dan menyerah diri kepada ALLAH, maka dengan mudahnya perkara itu diterima oleh manusia tersebut.

Berkhayal
Situasi di mana manusia berkhayal juga menunjukkan kita sedang berada di tahap alpha. Mungkin kita pernah mengalaminya sendiri apabila kita mendengar sebuah ceramah, atau ucapan sesuatu, atau seseorang sedang berbual dengan kita, namun dalam masa yang sama pemikiran kita menerawang ke perkara lain, atau perkara yang sedang diperkatakan itu. Keadaan ini berlanjutan sehingga kita di'kejut'kan dan tersedar dari khayalan.

Semasa berkhayal itulah, gelombang pemikiran kita berada di tahap alpha. Pada ketika ini, apa sahaja saranan dan gagasan yang diperkatakan akan kita terima dengan mudah. Hal inilah yang digunakan dalam iklan-iklan di televisyen bagaimana iklan tersebut 'mempengaruhi' kita untuk mendapatkan barangan yang diiklankan dengan mudah. Atau saranan yang diberikan semasa mendengar ceramah agama, atau ceramah politik, disampaikan hingga kita 'terkhayal' seketika dan mencapai tahap alpha. Lantaran keadaan ini, mudahlah untuk saranan diberikan dan menjadi ikutan kita kerana gelombang otak yang berada dalam keadaan yang sangat tenang pada ketika itu.

Oleh itu, berhati-hatilah.... :)

Visualisasi
Aktiviti visualisasi adalah perkara yang kita bayangkan untuk mendapatkan sesuatu. Contohnya kita inginkan sebuah rumah banglo mewah di tepi pantai yang damai. Apabila kita berjaya memvisualkan setiap perincian gambaran banglo tersebut; warnanya, keindahannya, bunyi ombak yang damai, suasana ketenangan di dalam banglo tersebut, maka pada ketika ini kita telah berada di tahap alpha, sehinggalah kita tersedar semula dan berada di bumi yang nyata.

Biasanya aktiviti visualisasi ini memang sangat mujarab untuk melaksanakan saranan dan menggambarkan impian kita. Bagi diriku sendiri, setiap kali aku bervisualisasi tentang impianku, memang apa yang aku gambarkannya akhirnya akan menjadi kenyataan. Cuma masa dan ketikanya sahaja yang tidak menentu. Segalanya adalah berdasarkan sejauh mana kemampuan kita untuk memvisualkan sesuatu itu dengan betul dan berjaya menghayatinya.

Ahad, 29 Ogos 2010

Gelombang Otak Manusia ~ Bahagian 2


Gelombang otak tahap alpha akan membuatkan manusia berada dalam keadaan yang sangat sesuai untuk di'program'kan.
Mungkin kita pernah menonton filem yang berkaitan hipnosis, iaitu salah satu kaedah pukauan untuk mengembalikan diri ke sesuatu tempat atau peristiwa yang berlaku sebelumnya. Tahap gelombang otak semasa hipnosis atau terpukau itu adalah pada tahap gelombang alpha. Pada ketika ini, apa sahaja yang disarankan akan dilakukan kita. (Inilah yang berlaku kepada mangsa pukau)

Cuba lihat pula kepada keadaan kita semasa solat.
Kajian turut membuktikan bahawa semasa bersolat, seseorang itu juga berada di tahap alpha, iaitu gelombang otaknya bergetar dengan sangat tenang dan damai.

Hasil perbincangan aku juga dengan salah seorang pensyarahku menemui bahawa perbuatann atau ungkapan yang dilakukan secara berulang juga mempengaruhi pergerakan gelombang otak ke tahap alpha. Keadaan ini digambarkan semasa seseorang itu sedang berzikir, atau melakukan ritual tertentu seperti bertapa.

Bagaimana pula kita nak pastikan keadaan ini menjadi kebaikan kepada kita.
Kebaikannya akan berlaku jika sekiranya kita menyakini dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Perhatikan situasi ini...:

Jam 0415, dalam kedinginan hari yang mencengkam,
bungkam seorang lelaki dari pembaringannya dan menuju ke bilik air, bersuci dan berwuduk. Kemudian dia mendekati sejadah dan menunaikan solat tahhajud, taubat, dan solat hajat. Setelah itu dia berwirid, dan berzikir. Kemudian di susuli dengan menadah tangan dan mula berdoa dengan hati yang tenang. Suaranya antara kedengaran dengan tidak, namun ternyata doanya adalah untuk sesuatu yang menuju ke arah kebaikan...

Situasi di atas menunjukkan bahawa aktiviti solat malam (quamullail) adalah salah satu perkara yang sebenarnya menjurus kepada pembentukan gelombang otak tahap alpha. Pada ketika itu, suasana sangat sunyi dan hening, tiada gangguan, tiada ancaman. Yang ada hanya kita dengan Pencipta kita, berkomunikasi dalam solat dan doa. Pada ketika ini, gelombang otak akan berada di tahap alpha yang akan memprogramkan apa sahaja kehendak yang kita impikan. Jika dalam solat hajat itu kita berkehendakkan kejayaan dalam pelajaran, atau kejayaan dalam kerjaya, atau apa sahaja, maka ketika itu gelombang otak akan memancarkan frekuansinya ke alam.

Sesuai dengan hukum yang ALLAH telah tetapkan, frekuansi itu akan menarik hajat dan kehendak yang sama mendekati kita. Jika kejayaan yang kita impikan/harapkan, maka kejayaanlah yang ditarik. Hal ini akan berlaku dengan mudah kerana pada ketika itu otak kita berada dalam gelombang yang sangat tenang dan sesuai untuk melakukan penarikan frekuansi daripada alam.

Sabtu, 28 Ogos 2010

Gelombang Otak Manusia ~ Bahagian 1


Kehebatan dan kemuliaan manusia adalah pada otak @ akal fikiran @ minda...
Itu adalah perkara yang sudah pasti.
Lantaran itulah, maka ALLAH telah jadikan kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

Otak manusia akan mengeluarkan gelombang dan getaran yang tertentu.
Gelombang ini berlaku secara sendiri dan berterusan. Tiada rehat bagi bidang tugas otak manusia. Ia terus bekerja dan bekerja untuk tubuh kita 24 jam sehari selama 7 hari seminggu dalam 365/366 hari. Itulah kurniaan ALLAH yang paling bernilai kepada diri kita. Oleh itu, bersyukurlah kerana kita dilahirkan sempurna dengan otak @ akal fikiran @ minda yang hebat ini.

Gelombang yang dikeluarkan oleh otak manusia ini bergetar dalam bidangnya tersendiri. Kajian telah menunjukkan getaran gelombang ini berlangsung dalam 4 keadaan iaitu tahap betha, alpha, delta, dan theta. Namun yang aku hendak jelaskan di sini hanyalah gelombang tahap alpha. Kenapa gelombang tahap alpha? Kerana gelombang tahap inilah yang menjadikan manusia makhluk yang sangat hebat semasa melaksanakan tugasannya.

Pada gelombang otak tahap alpha ini, getaran yang berlaku adalah 7-14 Hz. Ini bermakna gelombang yang bergetar adalah pada tahap 'rilex' namun masih aktif. Hal ini akan berlaku ketika manusia sedang berkhayal, bermimpi, mengingatkan sesuatu, membayangkan sesuatu, atau yang paling penting manusia itu berada dalam keadaan yang sangat tenang. Pada ketika inilah, gelombang otak manusia akan memancarkan frekuansi yang sangat sesuai, berpadanan, dan seimbang dengan gelombang frekuansi yang ada di alam semesta. Gelombang yang sama ini akan memudahkan manusia menarik apa jua frekuansi yang sama untuk mendekatinya. Pada ketika ini kita akan menjadi seperti magnet, yang mampu untuk menarik sifat yang sama dengan hukum penarikan magnet tersebut dan melekat kepada kita.

Untuk itulah, kita perlu memahami sebenarnya bagaimana untuk mengawal gelombang minda kita. Ini untuk memastikan gelombang otak dan minda kita ini berada di tahap alpha, supaya kita dapat menarik kejayaan atau apa sahaja yang kita impikan dalam kehidupan ini...

Rabu, 25 Ogos 2010

Bulan Ramadhan Bulan Rahmat

Belum terlambat untuk aku membicarakan tentang Ramadhan.
Lagi pun, aku bukan nak menghuraikan tentang kelebihan Ramadhan, bagi aku, huraian tentang kelebihan dan keberkatan Ramadhan ini sudah ramai yang mengulas dan membacanya. Apa yang aku nak ungkaikan di sini adalah kuasa minda manusia-manusia yang berada di bulan Ramadhan.

Sedar atau tidak, Ramadhan dan puasa yang diwajibkan ke atas kita telah berjaya mendidik kita menjadi insan yang lebih baik. Jika dulu, kita makan secara berlebihan maka di bulan ini kita menjaga dan mencatu pemakanan kita. Jika di bulan lalu kita sibuk bercerita tentang si polan dan si polan, maka di bulan ini kita lebih banyak mendiamkan diri untuk menjaga pahala puasa.
Maka secara sedar atau tidak, puasa telah berjaya mendidik kita.

Malah ALLAH telah berjanji bahawa dengan berpuasa maka akan bertambah takwa di dada.
Sekali lagi menunjukkan kita akan menjadi lebih baik kerana tarbiyah di bulan mulia ini.

Bagaimana dengan cara pemikiran kita?
Aku sangat yakin dan percaya bahawa kita akan menjadi lebih berhemah dalam memikirkan sesuatu. Tiada lagi bayangan-bayangan 'mengghairahkan' hingga mengganggu emosi semasa di bulan ini. Tiada lagi pemikiran untuk bergaduh dengan orang itu atau orang ini. Tiada lagi pemikiran untuk bermaksiat di sana dan di sinun.
Maka apa yang sebenarnya berlaku pada minda manusia ketika ini?

Minda manusia akan menjadi lebih hebat kerana sentiasa mengeluarkan getaran positif di bulan Ramadhan. Pada bulan ini minda manusia lebih bertenaga kerana banyak berfikir tentang kebaikan dan menginsafi kejahatan lalu. Pada ketika ini terlalu banyak getaran positif dilepaskan. Secara sedar atau tidak, semua ini menambahkan lagi keberkatan dan rahmat Ramadhan.
Keberkatan dan rahmat yang asalnya daripada ALLAH Taala, menjadi bertambah lagi kerana hukum alam yang ALLAH tetapkan berkaitan getaran positif ini. Maka berbahagialah kita yang mampu untuk memahaminya dan melaksanakan kebaikan ke atasnya...

Dan, alangkah baiknya jika kita terus mengekalkan cara pemikiran kita ini pada bulan-bulan yang akan datang, moga kita dapat terus menghasilkan pemikiran positif dalam kehidupan, dan membekalkan getaran positif itu terus-terusan ke alam semesta.
Alangkah baiknya...

Larikan diri dari getaran negatif


Seperti mana yang aku nyatakan kelmarin,
seluruh alam semesta ini mengandungi getaran positif dan negatif.
Dan apakah yang akan berlaku kepada kita yang hanya mengeluarkan satu getaran positif, yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai getaran negatif daripada orang lain di sekeliling kita?
Apakah kita akan terus kecundang?

Dalam sebuah blog pembangunan diri yang aku pernah baca, gambaran keadaan ini diberikan kepada dua jenis kenderaan. Getaran positif (yang hanya keluar daripada diri kita seorang sahaja) digambarkan sebagai sebuah basikal yang bergerak ke timur. Getaran negatif; banyak dan hebat ( yang dikeluarkan oleh ramai orang di sekeliling kita ) digambarkan seperti sebuah lori besar yang bergerak ke barat.
Apa yang akan berlaku jika kedua-dua kenderaan ini bertembung?
Tiada ragu lagi, pasti sahaja kita menjawab, basikal (getaran positif yang kecil) itu akan hancur, remuk, patah riuk, dan 'terkulai layu' apabila berlanggar dengan lori besar itu.
Memang itulah gambaran kejadian yang akan berlaku dalam kehidupan kita ini.
Jika kita sudah menetapkan keyakinan untuk berjaya, dan mengeluarkan getaran-getaran positif, dan dalam masa yang sama, orang lain yang berada di sekeliling kita pula sibuk mengkomen, mengkritik, memperlekeh, dan segalanya atas usaha kita (getaran negatif) maka pasti akan berlaku pertembungan yang maha hebat. Oleh kerana kita seorang sahaja yang berfikiran positif (basikal), maka janganlah kita terus-terusan berhadapan dengan getaran negatif (lori besar) itu. Apa yang perlu kita lakukan adalah;
LARI DARI GETARAN NEGATIF itu...

Dalam erti kata yang lain, jika kita berhadapan dengan situasi ini, maka cepat-cepatlah kita jauhkan diri daripada orang yang sentiasa memperlekehkan usaha kita. Tetapkan usaha, cekalkan semangat, tingkatkan keyakinan, dan lari jauh-jauh daripada kata-kata negatif orang-orang itu. Pasti, sedikit demi sedikit, getaran negatif itu akan menjauh, dan berkurang, dan akhir sekali akan hilang lenyap terutama sekali jika kita sudah berjaya menampakkan sedikit hasil daripada usaha-usaha kejayaan kita itu.

ps: jika anda berbasikal, janganlah langgar je lori besar itu. Elaklah ke tepi jalan dulu. Bila lori tu dah berlalu, maka teruskanlah perjalanan kita dengan yakin dan selamat...

Selasa, 24 Ogos 2010

Kuasa Positif dan Negatif

Dalam kehidupan manusia ini, kita akan sentiasa menghasil dan membebaskan getaran.
Getaran yang manusia bebaskan ini adalah berpunca daripada getaran pemikirannya.
Jika cara pemikiran kita adalah pemikiran positif, maka getaran yang dilepaskan adalah getaran positif jua. Getaran positif akan menarik getaran positif juga yang ada di alam semesta dan mendekati kita, seterusnya memberi kebaikan kepada kita berdasarkan getaran yang diterima.
Namun jika getaran negatif yang dilepaskan, maka getaran negatiflah juga yang akan tertarik kepada kita, menyebabkan banyak masalah dan kesukaran hidup akan melanda diri kita.

Getaran positif dan negatif ini sentiasa ada dan akan terus berada di alam semesta.
Semakin kuat kita mengeluarkan getaran positif, semakin banyaklah getaran positif itu berada di alam semesta. Lantaran itu, kita digalakkan agar sentiasa berfikiran positif untuk memastikan perjalanan kehidupan kita akan sentiasa tenang dan berada dalam landasan kejayaan yang kita impikan.

Namun, jika kita mengeluarkan getaran positif (berfikiran positif) namun orang lain yang berada di sekeliling kita pula mengeluarkan getaran negatif (berfikiran negatif) maka dikhuatiri kita akan terpengaruh dengan keadaan negatif itu. Ini adalah kerana kita tidak akan mampu untuk menghalang getaran negatif mendekati kita jika banyak tarikan yang datang.

Contohnya, kita sentiasa berfikiran positif untuk menjadi pelajar cemerlang. Ini bermakna kita telah mengeluarkan getaran positif ke alam semesta, dan mengikut hukumnya kita akan menarik getaran yang sama (positif) untuk mendekati kita dan akhirnya kejayaanlah yang seharusnya kita perolehi. Namun, dalam masa yang sama, ibu, bapa, abang dan kakak, kawan-kawan, malah mungkin guru kita sendiri mengeluarkan pemikiran negatif terhadap kita seperti 'orang macam awak ni payah le sikit nak berjaya....' Maka pada ketika ini terlalu banyak getaran negatif yang mengelilingi kita berbanding hanya satu getaran positif sahaja (diri kita sendiri).

Apakah yang akan berlaku?
Adakah kita akan gagal kerana keadaan ini?
Penjelasannya, esok....tunggu...!

Isnin, 23 Ogos 2010

Tukar Strategi dan Tindakan

Catatan yang sebelum ini telah kuhuraikan berkenaan cara-cara dan langkah-langah untuk merealisasikan impian kita.

Langkah Pertama : Tetapkan Apa yang Anda Mahukan
Langkah Kedua : Hilangkan Tembok Pemisah Keyakinan

Langkah Ketiga dalam siri tindakan untuk mencapai kejayaan ini adalah;
TUKAR STRATEGI DAN TINDAKAN

Pada catatan-catatan yang lalu, akku pernah menyatakan tentang matlamat dan tindakan. Apabila seseorang itu sudah ada matlamat, maka untuk mencapai matlamat tersebut perlulah ada tindakan. Jika tiada tindakan dilakukan, maka matlamat itu hanya tinggal suatu angan-angan indah sahaja.

Bagi individu yang memang impikan kejayaan, pasti akan terus berusaha untuk mencapainya. Usaha yang dilakukan itu adalah tindakan yang dilakukan untuk mencapai sesuatu. Namun begitu, ada kalanya kita akan berhadapan dengan cabaran, rintangan, dan kegagalan. Perkara ini semua adalah untuk mematang dan menjadikan kejayaan yang kita akan kecapi itu menjadi lebih 'manis' dan bermakna buat kita.

Di sinilah letakkan langkah ketiga untuk mencapai kejayaan tersebut.
Jika kita mengalami kesulitan, atau kegagalan, maka janganlah kita mudah berputus asa. Sebaliknya, apa yang perlu kita lakukan adalah menilai semula tindakan yang kita lakukan selama ini. Mungkin apa yang kita lakukan itu tidak sesuai dengan proses mencapai kejayaan tersebut, maka kita perlu mengkaji semula tindakan itu.

Apa yang dimaksudkan di sini adalah, bukan menukar apa yang diimpikan, sebaliknya tukarkan strategi, kaedah, dan tindakan untuk mencapai impian tersebut. Dengan menukar strategi dan tindakan, maka kita akan melalui satu proses baru untuk mencapai kejayaan tersebut. Jika jalan yang lalu kita akan menemui kegagalan, mungkin jalan yang baru kita akan menemui kejayaan.

Ahad, 22 Ogos 2010

Menghilangkan tembok pemisah keyakinan


Masihkah anda ingat tentang tulisanku berkenaan kejayaan, pada 11 Ogos yang lalu? Tulisan itu adalah salah satu langkah untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan ini. Jika anda masih belum membacanya, anda boleh ke :
Langkah 1 : Tetapkan Apa yang Anda Mahukan.

Pada hari ini saya akan meneruskan dengan langkah yang kedua.
Setelah kita mempunyai matlamat yang jelas tentang apa yang kita impikan dalam kehidupan ini, maka kita perlu ada keyakinan untuk mencapainya.

Keyakinan adalah perkara yang penting dalam merealisasikan kejayaan.
Jika kita tidak percaya yang kita boleh berjaya, maka diri kita sendiri yang telah memusnahkan kejayaan itu.

Sebagai contoh; kita menginginkan kehidupan yang senang, "Aku mahu jadi orang kaya!" Namun dalam masa yang sama, kita terfikir pula, 'boleh ke aku jadi orang kaya?' Fikiran-fikiran negatif inilah yang memisahkan keinginan itu dengan keyakinan untuk mendapatkan keinginan itu. Ianya seperti ada tembok pemisah antara berjaya, dengan keraguan untuk berjaya.

Seharusnya kita perlu menghilangkan dahulu tembok pemisah keyakinan itu.
Hilangkan tembok yang menghalang kita untuk yakin bahawa kita mampu untuk mencapai kejayaan yang kita impikan. Jika kita masih ada keraguan untuk mencapai sesuatu kejayaan itu, maka kita sebenarnya masih belum memisahkan tembok tersebut. Bawalah bertenang dan cuba cari jalan untuk mencipta keyakinan dalam diri tentang kejayaan yang akan kita kecapi. Jangan mudah berputus ada, teruskan keyakinan kerana keyakinan akan berjaya itulah yang akan membawa kita kepada kejayaan tersebut.

Aku dan Masa


Sudah lebih seminggu aku tidak mengemaskinikan blog aku ini. Bukan kerana aku sudah bosan untuk menulis, bukan kerana aku tiada lagi idea untuk berceloteh (idea membuak-buak gile ni...), atau bukan kerana aku terlalu dan terlalu sangat tawadduk di bulan Ramadhan ni, tetapi semuanya hanyalah kerana masa....

Kita sering mendengar rungutan tentang 'tiada masa', 'tak cukup masa', tak sempat, dan sebagainya. Aku sudah mendidik dan berjaya mendidik diriku agar tidak mengungkapkan kata-kata itu dalam kehidupan aku ini. Kerana aku sangat sedar bahawa setiap yang kita kata, ungkap, fikir, dan rasa, akan membawa perkara itu kepada kita. Jika kita mengatakan kita tiada masa, maka memang itulah yang akan berlaku kerana berlaku pelbagai peristiwa di hadapan kita hingga menyebabkan kita benar-benar tiada masa untuk melakukan sesuatu.

Aku dan masa...
Aku bukan tak cukup masa untuk mengetuk papan kekunci untuk menulis di sini, cuma masa yang aku ada aku terpaksa tumpukan kepada 3 perkara penting, seminggu yang pertama di bulan mulia ni.

Perkara pertama, tentu sahaja beribadat. Rugi kalau aku dan kalian tidak beribadat bersunggug-sungguh di bulan ini. Kata-kataku ini janganlah disalahtafsirkan pula... Bukan maksudku untuk menyatakan bahawa beribadat hanya di bulan Ramadhan, bukan..! Beribadat adalah amalan yang dilaksanakan sepanjang masa. Cuma, di bulan ini kita perlu dan wajar menambahkannya. Sudah lebih seminggu masa berlalu di bulan Ramadhan. Dan seminggu jugalah aku melakukan eksperimen masa tentang amalan di bulan Ramadhan. Aku akan kongsikannya nanti apabila Syawal menjelma, kerana aku ingin meneruskan kajian masa di bulan Ramadhan ini sehingga genap tempoh masa yang ALLAH berikan.

Perkara kedua, aku sedang menduduki ujian semester OUM.
Alhamdulillah, kelmarin adalah kertas terakhir yang aku lalui untuk semester ini. Memang tuntutan belajar sangat memerlukan aku menumpukan lebih masa sehingga terpaksa melupakan seketika blog ini. Nah, sekarang exam dah habis, maka aku boleh menulis semula di sini...!

Perkara ketiga, anak-anak didikku sekarang sedang 'kencang berlari' dalam persediaan menduduki peperiksaan UPSR mereka. Jangka masa yang ada hanya lebih kurang 30 hari sahaja lagi. Maka masa yang bersisa ini memang aku dan mereka terus berkejaran menghambat waktu melakukan persediaan dan membetulkan mana-mana yang masih belum sempurna.

Masa sentiasa ada.
Cuma, kita yang perlu menguruskannya dengan sempurna.
Salam Ramadhan penuh ceria buat semua...

Rabu, 11 Ogos 2010

Tetapkan Apa yang Anda Mahukan

Untuk mencapai sesebuah kejayaan dalam kehidupan, kita perlu terlebih dahulu memiliki maklumat berkenaan apa yang kita mahukan. Kejayaan bagi setiap orang adalah berbeza dan tidak sama antara satu sama lain. Oleh itu, kita sendiri perlu terlebih dahulu mengetahui dan meletakkan apakah target kejayaan yang kita impikan.

Cuba ambil sekeping kertas.
Tuliskan apakah yang sebenarnya anda impikan dalam kehidupan anda.
Tuliskan ia dengan jelas dan terang dari setiap sudut. Tulis dengan nyata dan bermakna. Apabila diminta berbuat demikian, ada antara kita yang akan menulis bahawa dia ingin menjadi seorang yang kaya. Wow, memang menarik! Namun, adakah matlamat itu sudah jelas? Tentu sekali jawapannya tidak.

Apa yang anda perlu tuliskan dengan jelas, terang, dan nyata seperti yang dimaklumkan adalah, tuliskan dengan terperinci tentang impian anda. Jika anda mahu menjadi seorang yang kaya, tuliskan berapa banyak kewangan dan aset milik anda, apakah kemampuan anda untuk mencapainya, apa usaha anda ke arah kejayaan kewangan itu, dan sebagainya. Hal-hal seperti inilah yang dikatakan sebagai menulis matlamat anda itu dengan sejelasnya.

Tetapkan apa yang anda mahukan.
Tetapkan apa yang anda benar-benar mahukan, bukan apa yang anda harap akan berlaku kepada anda. Jika anda hanya berharap, maka hal itu hanya tinggal harapan sahaja kerana ia bukanlah datang daripada kehendak dan keinginan sebenar dalam diri anda.

Selasa, 10 Ogos 2010

Keberkatan Ramadhan

Esok, bermulalah 1 Ramadhan.
Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia bagi orang Islam. Di dalamnya telah terjanji segala kebaikan dan keberkatan yang tidak ternilai harganya dalam kehidupan kita.

Bercakap berkenaan Ramadhan, kita tidak akan tertinggal berkenaan keberkatan yang ada dalam bulan ini. Keberkatan adalah kurniaan ALLAH Taala kepada setiap manusia dan hidupan di dunia ini. Berkat berkaitan dengan kemuliaan, dan ketinggian yang diberikan kepada kita. Jika kita melakukan apa sahaja kebaikan di bulan ini, maka semuanya diberikan keberkatan. Nilai yang dikurniakan adalah sangat tinggi dan lebih mulia dibandingkan dengan kebaikan-kebaikan yang dikurniakan pada bulan yang lain. Maka rugilah kepada sesiapa yang tidak mahu melaksanakan kebaikan di bulan ini.

Ahad, 8 Ogos 2010

Menyelesaikan Masalah dari Dalam

Kadang kala, apabila kita ditimpa masalah, kita sering menyalahkan orang lain kerana menyebabkan masalah tersebut. Kita sering menuding jari kepada orang lain yang menyebabkan perkara tersebut berlaku. Kita sering menyatakan bahawa orang itu dan orang ini yang bersalah.... Itulah yang sering berlaku.

Namun, pernahkah kita memikirkan bahawa kita perlu menilai semula setiap perkara yang berlaku itu, ada kalanya adalah berpunca daripada diri kita sendiri. Jadi, orang-orang yang berada di luar sana tidaklah bersalah seperti yang kita sering katakan, sebaliknya kitalah sendiri yang bersalah dalam banyak hal.

Sewajarnya kita sering menilai sesuatu dari dalam diri kita sendiri, sebelum menilainya kepada orang lain. Itu adalah perkara yang sangat wajar dan perlu kita laksanakan jika kita mahu menjadi insan yang terus cemerlang dan berjaya dalam kehidupan.

Sebagai contoh, jika kita tidak berjaya dalam pelajaran, janganlah kita menyalahkan guru-guru kerana tidak pandai mengajar, janganlah menyalahkan ibu bapa kerana tidak membeli buku rujukan itu dan ini, janganlah menyalahkan rakan taulan kerana sering mengajak kita berpeleseran, janganlah menyalahkan sekolah kerana tidak menyediakan ruangan belajar di situ dan di sini, janganlah menyalahkan sesiapa....sebaliknya cuba kita fikirkan, apakah kesalahan yang mungkin kita lakukan hingga menyebabkan perkara ini berlaku. Jika kita berjaya menemui jawapannya, maka pasti kita akan dapat membetulkan masalah tersebut dengan baik dan teratur.

Kita ambil sebatang pokok rambutan sebagai gambaran.
Jika pokok itu mengeluarkan daun yang banyak, dan buah yang merimbun; merah dan manis, maka kita sebenarnya dapat merasakan bahawa pokok itu sebenarnya mempunyai akar yang baik. Namun, jika pokok itu tidak berbuah lebat, daunnya layu dan kusam, batangnya berlumut dan merekah, maka janganlah menyelesaikan masalah dengan meneliti kepada batang, daun, dan buahnya sahaja. Apa yang perlu adalah menyelesaikan masalah tersebut dari dalam, iaitu dari akarnya. Apabila akar pohon tersebut sudah tidak berjaya, mana mungkin bahagian yang lain hendak berjaya juga. Selesaikan masalah akar tersebut dengan menggembur dan membaja yang sesuai, pasti masalah lain akan turut berjaya diselesaikan.

Inilah yang dinamakan menyelesaikan masalah dari dalam.
Akar pokok adalah ibarat diri kita. Jika kita menyelesaikan semua masalah kita, pasti masalah lain tidak akan berlaku.

Jika aku berjaya, pasti orang di sekelilingku juga akan berjaya...
Jika aku berjaya, pasti orang di sekelilingku juga akan bahagia...
Diriku adalah kejayaan...
Diriku adalah kebahagiaan...
Terus berjaya, cemerlang, dan bahagia...

Jumaat, 6 Ogos 2010

Berfikir untuk Menang..!

Berulang kali dinyata dan diingatkan bahawa, kita perlu memastikan dengan sempurna cara kita berfikir dan beremosi. Tersalah fikir, tersalah kata, tersalah perasaan terhadap sesuatu, maka itulah yang kita tarik untuk menjadi milik kita. Jika kita fikirkan kejayaan, maka kejayaanlah yang akan menjadi milik kita. Namun jika sebaliknya...?!

Sebagai seorang peniaga, apa yang sering difikirkan adalah tentang keuntungan perniagaannya. Namun jika peniaga tersebut sering memfokuskan kepada kemungkinan kerugian yang akan ditanggung, maka sebenarnya dia sedang menarik kemungkinan kerugian itu menjadi kenyataan dalam dunia perniagaannya.

Memang tidak dinafikan, adat berniaga, pasti ada untung dan rugi. Namun, apa yang perlu adalah cara pemikiran yang sentiasa terarah kepada kejayaan dan keuntungan adalah lebih baik jika dibandingkan dengan memikirkan kepada kerugian. Semakin kuat kita memikirkan kerugian, ditambah dengan getaran rasa takut dan berdebar-debar kerana takut rugi, maka pasti kerugian itu akan menjelma dalam diri kita.

Kelmarin, aku sempat berbual dengan seorang rakanku tentang dunia perniagaan.
Dia telah bertanya kepadaku tentang jenis perniagaan yang akan aku lakukan apabila sudah tamat kerja nanti. Hal ini diajukan kepada aku kerana dia sendiri tidak tahu apakah jenis perniagaan yang sesuai untuk dia laksanakan.

Aku menyatakan tentang perancangan perniagaanku kepadanya dengan jelas dan terperinci. Nampak seperti tidak terlaksana kerana aku masih bekerja dengan kerajaan, namun semua itu dapat dilaksanakan kerana aku sudah membuat sedikit penelitian dan perancangan tentang perkara ini.

Reaksi pertama yang diberikan oleh rakanku itu adalah tentang kerugian yang bakal aku tanggung jika melaksanakannya. Reaksi seterusnya adalah tentang cabaran yang ada dalam perniagaan, dan reaksi-reaksi negatif yang lain. Aku hanya mendengar dan tersenyum. Setelah puas dia berhujah, maka aku katakan kepadanya, adakah tiada seorang pun dalam dunia ini yang telah berjaya dengan perniagaan yang aku maksudkan itu? Dia hanya terdiam. Aku jelaskan lagi bahawa, jika ada, walaupun seorang ahli perniagaan yang berjaya melaksanakannya, maka ia adalah perniagaan yang berpotensi untuk berjaya. Kegagalan adalah kerana kita memikirkannya. Kerugian adalah kerana kita menariknya menjadi sebahagian daripada apa yang kita mahukan.

Untuk berjaya, sebenarnya tidaklah sesukar mana. Impian, tindakan, dan cara pemikiran kita adalah perkara penting yang perlu kita sepadukan dengan baik untuk mencapai kejayaan. Jika kita berfikir untuk menang, maka kemenangan adalah milik kita...

Isnin, 2 Ogos 2010

Tingkatkan Kemahiran Visualisasi Anda

Visualisasi atau gambaran mental dalam pemikiran anda adalah hak anda. Ia diberikan kepada anda secara percuma oleh PENCIPTA anda. Kemahiran yang ada pada diri setiap manusia adalah anugerah ALLAH yang tidak ternilai. Kemahiran visualisasi ini adalah gabungan daripada perkara-perkara yang perlu anda lakukan untuk menarik hukum kejayaan kepada diri anda.

Untuk mencapai kejayaan, anda disarankan, bukan sekadar mempunyai impian terhadap kejayaan tersebut, malah anda diminta untuk memvisualkannya agar ia memberi isyarat kepada alam semesta tentang apa yang anda perlukan. Visual yang anda cipta akan terpancar ke alam semesta dan menarik perkara yang sama untuk hadir kepada anda, sesuai dengan getaran gelombang yang dipancarkan itu.

Katakan anda mahukan sebuah kereta baru, jenis NAZA Citra (impian).
Cuba anda gambarkan secara terperinci tentang kereta tersebut.
Gambarkan dengan jelas tentang bentuknya, warnanya, kemasan dalamannya, kelajuannya, bunyi audio di dalamnya, dan sebagainya. Gambarkan dan rasakan keseronokannya. Anda disarankan menggabungkan semua pancaindera anda untuk menggambarkan kereta tersebut, dari segi sentuhan anda, keselesaan tempat duduknya, bunyinya, malah bau yang ada di dalamnya.
Gambarkan dengan jelas tentang semua yang ada pada kereta idaman anda itu.
Apa yang paling penting dalam visual anda berkenaan kereta tersebut adalah perasaan seronok dan rasa bersyukur anda apabila mendapat kereta tersebut. Bukan sekadar menggambarkan tentang keunikan kereta tersebut, malah anda perlu gambarkan bahawa anda memang sudah memandu kereta tersebut ke mana lokasi pertama anda akan pandunya.

Rasakan kesemuanya berkenaan kereta tersebut. Perasaan itu akan membantu anda untuk memancarkan gelombang keinginan untuk mendapatkan kereta tersebut ke alam semesta. Kesannya, ia akan 'menjelma' dalam diri anda dengan lebih mudah dan kadang kala tanpa anda sangkakan.

Visualisasi adalah hak anda. Anda berhak untuk mencipta imej kejayaan atau apa sahaja yang anda idamkan dalam minda anda. Semakin kuat imej yang berjaya anda ciptakan, semakin mudahlah untuk anda memilikinya. Lakukan visualisasi anda setiap hari, jangan ada sehari pun yang anda tertinggal untuk melakukannya atas apa sahaja alasan. Ciptaan visualisasi anda juga tidak boleh diubah-ubah. Lakukan setiap hari tentang perihal dan gambaran yang sama. Keadaan ini akan membolehkan anda meningkatkan kemahiran visualisasi anda dan mencapai kejayaan dan perkara yang anda impikan....