Selasa, 27 Julai 2010

Nota Kejayaan Hari Ini...Bhg 2

Nota ini aku terbitkan pada pagi tadi.
Setelah hampir seharian berlalu, aku kembali untuk memberi ulasan terhadap apa yang berlaku kepadaku. Penjelasan ini aku lakukan bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk tentang kehebatan diri, sebaliknya untuk mempamerkan maksud di sebalik nota kejayaan yang aku lakukan.

Pertama sekali, kita perlu faham bahawa apabila kita mengeluarkan kata-kata seperti yang aku catatkan dalam 'Nota Kejayaan Hari Ini', kita sebenarnya telah mengeluar dan memancarkan gelombang positif ke alam semesta. Siapa antara kita yang tidak merasa seronok dan teruja apabila mengeluarkan kata-kata semangat seperti dalam nota ini? Aku sangat pasti, sebagai manusia yang normal, kita akan merasa seronok dan teruja. Tambah lagi apabila kata-kata dalam nota itu diungkapkan dengan penuh semangat dan keyakinan. Hal ini akan memancarkan gelombang kemenangan ke alam semesta dan menarik lebih banyak gelombang yang sama untuk mendekati diri kita.

Kejayaan yang kita akan kecapi hari ini bukanlah terus nyata seperti yang kita ungkapkan dalam nota itu seperti wang yang banyak, rumah sewa, dan melancong, sebaliknya apa sahaja yang bercorak menggembirakan kita pasti akan tertarik kepada kita.

Sepanjang hari ini aku ada urusan di sebuah bandar. Urusan di bandar adalah urusan penting bagi aku. Jadi aku sentiasa mengejar masa dan keselesaan. Apa yang berlaku pada aku hari ini sangat meyakinkan aku bahawa aku telah menarik hukum alam terhadap kejayaan atas apa yang aku pancarkan pagi tadi. Lokasi pertama yang aku tuju adalah di sebuah pejabat kerajaan yang sangat sukar untuk aku dapatkan parking. Sesampai sahaja di depan pejabat tersebut, aku sudah terpandang papan tanda 'parking penuh'. Namun beberapa ela sahaja dari pintu hadapan pejabat itu terus aku dapat tempat parking yang selesa. Walaupun aku tidak dapat parking betul-betul di dalam kawasan pejabat tersebut, namun aku 'dikurniakan' parking yang berdekatan, alhamdulillah...

Setelah berurusan di pejabat tersebut, aku ke bank untuk urusan membayar pinjaman kereta. Sekali lagi apabila sampai di hadapan bank, kawasan parking penuh sesak (memang kawasan itu akan sesak kerana terdapat beberapa bank dan pejabat yang sentiasa penuh dengan urusan orang awam). Namun aku terus terpandang sebuah parking yang terletak tak sampai 50 meter dari bank tersebut. Tempat itulah satu-satunya ruangan parking yang kosong, seolah-olah ia memang dikosongkan untuk aku, alhamdulillah...

Apabila aku masuk ke dalam bank tersebut, ramainya orang....
Aku terus menekan nombor giliran untuk perkhidmatan. Belum sempat aku duduk, terus nomborku dipanggil. Hairan pun ada, orang ramai yang ada dalam bank tu berurusan untuk apa? Sedangkan ramai yang masih menunggu, tup-tup nombor aku yang naik. Sekali lagi dan lagi, alhamdulillah...

Setelah berurusan di bank yang pertama, aku ke bank yang kedua pula untuk urusan lain. Situasi yang sama tetap berlaku seperti di bank yang pertama, cuma kali ini memang tiada orang di bank tersebut. Namun, kebiasaannya orang memang ramai berurusan di situ. Aku seolah-olah merasa, hari itu digerakkan hati orang-orang lain untuk tidak ke bank yang kedua itu. Seolah-olah, bank itu hanya ditujukan kepadaku sahaja.

Situasi-situasi yang aku ceritakan ini adalah satu bentuk pembuktian bahawa apabila kita menyatakan keinginan untuk kesenangan, maka kesenangan akan muncul dalam diri kita dalam pelbagai bentuk. Inilah sebenarnya kehebatan kuasa minda yang ALLAH kurniakan kepada kita semua.

Laksanakanlah peningkatan kuasa minda kita semua, kerana hukum alam ini memang ditujukan kepada kita kerana kitalah makhluk yang terbaik yang ALLAH berikan akal dan fikiran untuk mengeluarkan kuasa minda ini. Hanya orang-orang yang mengetahui dan meyakininya sahaja yang akan tahu tentang nikmat ini dan berupaya untuk menikmati nikmat ini, alhamdulillah....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan