Jumaat, 25 Januari 2013

Nikmat Bersyukur…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

Bersyukur, atau mengucapkan terima kasih kepada ALLAH, adalah perkara yang sangat penting dalam membangunkan diri kita.  Dengan adanya rasa bersyukur, kita akan merasa lebih dekat dengan nikmat yang diterima daripadaNya.

Hari ini, KM nak menceritakan sedikit kisah tentang bersyukur.  Cerita ini KM pernah baca di sebuah penulisan blog (maaf, KM tak ingat di mana) dan merasakan ianya sangat sesuai untuk dikongsikan bersama.

Kisah berlaku di sebuah negara yang diperintah oleh seorang sultan.  Sultan ini mempunyai seorang bendahara yang sangat rapat dengannya dan sentiasa bersama walau ke mana baginda berada.  Sultan ini, mempunyai minat memasak, dan baginda memang selalu mencuba pelbagai jenis masakan.

Suatu hari, semasa baginda memasak, jarinya terluka terkena pisau.  Bendahara yang sentiasa bersama dengannya mengucapkan syukur kepada ALLAH.  Keadaan ini membuatkan Sultan ini murka dan mengarahkan bendahara tadi dipenjara.  Memang baginda sangat murka kerana jarinya terluka namun orang kanannya sendiri mengucapkan syukur seolah-olah mempersendakannya.

Beberapa hari kemudian, baginda dan pasukan pemburunya keluar ke hutan untuk berburu.  Semasa mengejar seekor pelanduk, baginda telah terpisah daripada pasukan pemburunya.  Hal ini menyebabkan baginda tersesat di dalam hutan.

Sultan ini akhirnya ditangkap oleh sekumpulan orang asli di hutan itu.  Kebetulan masyarakat orang asli itu sedang membuat persiapan untuk mengadakan persembahan mengikut kepercayaan mereka.  Kononnya, sultan inilah yang akan dijadikan korban untuk dipersembahkan kepada tuhan.

Sebelum menyembelih sultan yang sudah tidak berdaya ini, ketua puak orang asli itu dipanggil untuk membuat penilaian terakhir sama ada korban ini sesuai atau tidak.  Ketua orang asli itu mula memeriksa seluruh tubuh sultan malang itu.  Akhirnya dia terjumpa dengan paruh luka di jari sultan, dan mengarahkan sultan itu dilepaskan kerana kononnya, mengikut syarat persembahan sang korban perlu bersih dari parut dan luka.

Maka Sultan ini dilepaskan dan berjalan mencari jalan keluar.  Akhirnya, dengan kebesaran ALLAH, baginda berjaya sampai semula ke istananya.  Sultan ini mengarahkan bendahara dibebaskan dari penjara.  Bendahara dipanggil mengadap.

Sultan menceritakan kisah baginda ditangkap dan memohon maaf kepada Bendahara kerana baginda mula sedar bahawa kerana lukanya itulah, baginda terselamat daripada menjadi korban persembahan.

Bendahara sekali lagi mengucapkan syukur kepada ALLAH.  Bendahara itu berkata dia bersyukur kerana dipenjarakan oleh sultan atas ‘kesalahannya’ mengucapkan syukur semasa jari sultan terluka.

Bertanyalah sultan kenapa pula dia mengucapkan syukur akibat dipenjara?

Jawab bendahara, memang patut dia merasa bersyukur, kerana akibat dipenjara itulah menyebabkan dia tidak bersama-sama dengan sultan tersebut semasa berburu.  Andai dia bersama-sama dengan sultan pada ketika itu, pasti dialah yang akan menjadi korban kerana dia tidak ada sebarang luka dan parut di tubuhnya.

Para pembaca, bolehkah agaknya kita merasa bersyukur seperti bendahara tersebut?  Yang faham erti bersyukur sebenarnya.  Yang sentiasa bersyukur walau apapun keadaan yang berlaku kepadanya.

Sama-sama kita fikirkan….

Khamis, 24 Januari 2013

Visualisasi ~ Emosi

Salam kasih sayang daripada KM…

Apabila kita melakukan visualisasi, cuba bayangkan visual kita itu seperti gambaran video, bukan seperti gambar pegun.  Maksudnya, kita harus ciptakan visual seperti kita ‘masuk’ ke alam impian kita itu. 

Contohnya apabila kita ingin memvisualkan sebuah kereta idaman.  Jangan hanya gambarkan kereta itu sahaja.  Cuba masuk ke alam visualisasi kita itu dengan paparan video seolah-olah kita berada di show room kereta, menerima kunci daripada penjual, masuk ke dalam kereta, mula menghidupkan enjin, masukkan gear, pegang stering dengan tenang dan meluncur bersama kereta kita.

Itulah sebenarnya yang perlu dilakukan semasa bervisualisasi.

Apa yang penting apabila berada di tahap ini adalah, emosi.  Kita harus samakan emosi kita dengan apa yang berlaku di dalam visualisasi kita itu.  Andai kita berada di dunia sebenar, apa emosi yang akan terbit ketika itu?  Yang pasti tentulah emosi yang sangat gembira, seronok, damai, dan teruja.

Buangkan rasa ragu-ragu sama ada mampu atau tidak untuk kita memiliki kereta tersebut.  Rasa ragu-ragu inilah yang mengganggu frekuansi yang sedang kita pancarkan.  Ini seolah-olah menghalang minda memancarkan apa yang kita mahukan (mahu kereta itu atau rasa tidak mampu).

Emosi memang sangat penting untuk memastikan visualisasi kita itu berjaya dipancarkan atau tidak.

Rabu, 23 Januari 2013

Visualisasi ~ Membayangkan…

Salam kasih sayang daripada KM….

Sambungan kepada perbicaraan KM berkenaan visualisasi.  Seperti yang kita faham, visualisasi adalah gambaran.  Jadi, dalam teknik ini, kita perlu menggambarkan apakah impian kita itu dengan sejelasnya.

Memang, secara jelasnya, apabila diminta kita bervisualisasi, kita secara automatik akan memejamkan mata.  Semasa memejamkan mata itu, cuba bangkitkan rasa keinginan terhadap impian kita dengan membayangkannya.  Malah, jika kita telah benar-benar bersedia kita akan dapatkan membayangkan apa yang kita impikan itu dengan jelas dari segi bentuk, rasa, malah warna, walaupun dalam keadaan mata terpejam!  Itulah kehebatan minda.

Sebelum membayangkan impian kita, cuba bertenang, damaikan diri, tetapkan pernafasan yang seimbang dan tenang, dan mulalah bervisualisasi.

Andai impian kita berkenaan dengan rumah, maka visualkan dalam minda kita tentang bentuknya, kedudukannya, warnanya.  Bayangkan kita masuk melalui pagar rumah itu, menghampiri pintu dan membukanya dengan gembira.  Visualkan apa yang dapat kita perhatikan apabila membuka pintu rumah tersebut, keadaan rekaletak perabotnya, keluasannya, dan kekemasannya.  Bayangkan bagaimana keadaan apabila kita masuk dan menuju ke setiap bilik di dalam rumah tersebut.  Bayangkanlah, sejelas-jelasnya.

Masih ingat dengan matlamat yang realistik?  Pastikan bayangan visual yang kita lakukan itu juga harus realistik.  Jangan berlebih-lebihan.  Contohnya, rumah semi D yang memiliki 3 atau 4 bilik, jangan bervisual di dalam ‘rumah kita’ itu adalah 10 bilik!  Ini menyebabkan minda akan menyekat keyakinan dan visual yang cuba dicipta itu.  Ingat, harus realistik!

Cuba duduk bertenang dan bervisual selama 5 minit atau lebih.  Ini adalah masa yang sesuai untuk kita kekal berada dalam keadaan tenang dan damai semasa ‘mengembara’ ke alam visualisasi kita itu.

Selasa, 22 Januari 2013

Visualisasi ~ menetapkan matlamat…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua….

Catatan ini adalah berkaitan catatan yang lalu.  Sebelum melakukan visualisasi, kita harus ada matlamat yang jelas.  Apa yang dimaksudkan dengan matlamat yang jelas?  Maksudnya matlamat itu haruslah realistik dari segi masa, keadaan, dan emosi.

Maksudnya, apa sahaja matlamat impian yang hendak kita capai haruslah sesuai untuk memastikan kita berjaya.  Andai anda hendak menjadi seorang kaya, pastikan impian itu realistik.  Jika seorang pengemis (yang benar-benar pengemis, bukan ‘pengemis’ yang menyamar menjadi pengemis) berimpikan untuk menjadi kaya, adakah ia realistik?  Namun, jika seorang peniaga berimpikan untuk menjadi kaya, pasti ia boleh dicapai.  Seorang pengemis (bukan untuk menghina) pasti tidak realistik untuk menjadi kaya kerana dalam kehidupannya hanya meminta-minta untuk mendapatkan sesuap makanan untuk diri dan anaknya.  Mungkin, dengan kehendak ALLAH ia tetap akan jadi kaya andai ada ‘rezeki dari langit’ contohnya terjumpa dengan barang berharga dan sebagainya.  Namun, kita bukan berbicara tentang andaian, kita perlu berbicara tentang realistik.

Matlamat yang realistik adalah matlamat yang sesuai dengan kehidupan, kemampuan, dan usaha.  Seorang pekerja biasa tidak perlu untuk meletakkan matlamat mengambil alih syarikat tempat dia bekerja, andai secara realitinya dia sendiri seorang yang pemalas, tidak berdisiplin, tidak produktif, dan pelbagai kerenah negatif lain.  Pasti sahaja impiannya untuk memiliki syarikat itu tidak realistik kerana dalam mindanya sendiri penuh dengan kegagalan, mana mungkin dia menetapkan impian yang sebegitu besar.

Contoh :

Seorang pelajar berimpian berjaya cemerlang dalam peperiksaan SPM dengan mendapat 10 A.  Impian itu ditetapkan sejak dia berada di tingkatan 4 lagi.  Dia yakin impian itu realistik kerana masa yang panjang untuk berusaha dan belajar dengan tekun, keadaan yang sesuai untuk mencapai kejayaan itu kerana rajin berusaha dan berbincang dengan gurunya, dan emosinya sangat ‘seronok’ untuk mendapatkan kejayaan itu.

Tetapi, jika seorang pelajar yang sangat malas, menetapkan matlamat untuk mendapatkan 10 A, dan masa yang dia ada hanya tinggal seminggu sebelum SPM bermula, anda rasa adakah visualisasi akan berjaya? 

Hal inilah yang KM nyatakan bahawa matlamat harus realistik!

Isnin, 21 Januari 2013

Visualisasi untuk Kejayaan…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

Dalam catatan yang lalu, KM pernah menulis berkenaan visualisasi.  Hari ini, KM hendak menulis kembali teknik visualisasi ini sebagai peringatan kepada diri sendiri.

Visualisasi adalah satu teknik untuk meningkatkan kuasa minda kita.  Visualisasi merupakan cara kita menggambarkan impian dan cita-cita kita; seolah-olah kita telah berjaya mencapai apa yang dihajatkan.  Dengan teknik ini, maka kuasa minda kita akan menjadi terangsang dan menarik frekuansi kejayaan mencapai impian tersebut dengan LEBIH MUDAH.

KM bukan kata kita hanya bervisualisasi sahaja dan terus berjaya, kita masih tetap perlu melakukan usaha untuk mencapai impian kita, tetapi melalui visualisasi kita akan mencapai kejayaan impian itu dengan lebih mudah kerana kita seolah-olah ‘diberikan jalan’ dan panduan untuk mendapatkannya dengan lebih mudah.

Langkah visualisasi :

  1. Pilih dan tetapkan impian.
  2. Dapatkan seberapa banyak maklumat tentang impian tersebut.
  3. Mula bervisualisasi dengan yakin.
  4. Pastikan tetap dengan satu visualisasi sahaja.
  5. Bervisualisasi seperti tayangan video.
  6. Emosi yang membahagiakan.

Ikuti penerangan selanjutnya…

Khamis, 17 Januari 2013

Hukum Tarikan; suatu penjelasan ~3

Salam kedamaian daripada KM buat semua….

KM sengaja mencatatkan kembali penerangan berkenaan Hukum Tarikan (LOA) dan dinamakan suatu penjelasan ini kerana, ada seorang kawan yang menganggap hukum ini adalah palsu.  Malah, kawan ini mengatakan yang KM terikut-ikut dengan ilmuan barat yang cuba memesongkan akidah.

Pertamanya, KM memohon maaf andai apa yang KM tulis dalam blog ini dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kuasa minda tidak disenangi.  Bukan KM katakan yang kita ini akan dapat apa sahaja melalui minda kita, tetapi itulah sebenarnya yang berlaku.

KM nak imbau kembali tentang persamaan hukum graviti dan hukum tarikan.  Graviti adalah hukum yang ALLAH tetapkan berlaku di bumi ini.  Ia akan menarik apa sahaja mendekatinya.  Lantaran itu, kita tidak akan terapung-apung di awangan.  Graviti akan menarik apa sahaja, tidak kita baik atau buruk.  Andai ada meteor (batuan besar di angkasa) yang menghampiri bumi, ia tetap akan ditarik.  Dan jika batuan itu sampai ke bumi sebelum sempat terbakar di atmosfera, maka pasti bencana besar akan berlaku di bumi.  Pun begitu, ALLAH masih maha kuasa lebih daripada kuasa graviti itu.  Jika ALLAH katakan tidak kepada tarikan graviti, maka pasti batuan besar itu terus terapung dan menjauh daripada memasuki bumi.

Sama juga dengan hukum tarikan.  Hukum ini juga ciptaan ALLAH, bukan ciptaan ahli sains Barat.  Dalam hukum ini, manusia akan menarik apa sahaja yang difikirkan untuk mendekatinya.  Tidak kita perkara itu baik atau buruk, maka pasti ia akan menghampiri kita kerana kita yang menariknya melalui hukum tarikan.  Namun, jika ALLAH katakan tidak kepada apa yang difikirkan, maka pasti ia tidak akan berlaku jua kerana ALLAH lebih berkuasa daripada hukum tarikan.

Penjelasan KM kepada kawan KM yang tidak berpuas hati itu, hukum ini adalah hukum ALLAH.  DIA menciptakannya kepada manusia, dan hanya manusia yang tahu sahaja akan berjaya menggunakan hukum tarikan ini.  Beruntunglah kepada mereka yang telah menguasainya.  Malangnya, rugilah orang yang mempersendakannya kerana sentimen Islam vs Barat.  Bagi KM, kita wajar untuk terus mengkajinya dan mencari jawapan tentang hukum ini, bukan meminggirkannya hanya semata-mata ia telahpun terlebih dahulu dikaji oleh ilmuan dari Barat.

Selasa, 15 Januari 2013

Hukum Tarikan, suatu penjelasan ~ 2

Salam keceriaan daripada KM buat semua…

Menyambut catatan KM yang lalu berkaitan hukum tarikan…

Manusia mengeluarkan gelombang melalui otak.  Gelombang itu hanya dapat dikesan dan ditunjukkan melalui alat EEG, sejenis alat yang dapat memaparkan aktiviti gelombang dalam alam semesta.

Semasa manusia memikirkan perkara positif, maka gelombang positif sahaja yang akan dikeluarkan.  Begitu juga jika manusia memikirkan perkara negatif, maka gelombang negatif sahaja yang akan dikeluarkan.  Ini menjelaskan bahawa, dalam satu-satu masa, hanya satu gelombang sahaja yang akan aktif melalui pemikiran manusia dipancarkan ke alam semesta.

Teori gelombang menjelaskan bahawa akan menarik gelombang yang mempunyai frekuansi yang sama menghampiri pemancarnya.  Gambarkan manusia sebagai pemancar, dan mengeluarkan gelombang positif, maka perkara baik yang positif akan tertarik kepada manusia (pemancar).

Inilah yang dinamakan hukum tarikan.  Penjelasannya, apabila manusia memikirkan perkara baik, maka kita MENARIK perkara yang baik itu menghampiri kita. 

Ahad, 13 Januari 2013

Hukum Tarikan; suatu penjelasan

Salam kedamaian daripada KM buat semua…

Sebelum ini pun, KM sudah pernah menulis tentang hukum tarikan (Law of Attraction – LOA), namun kali ini KM mahu menulis lagi tentang hukum ini.

LOA sama sahaja seperti hukum-hukum alam yang lain.  Contohnya hukum graviti.  Tiada siapa pun yang menafikan bahawa graviti akan menarik apa sahaja mendekatinya.  Walaupun kita tidak nampak, dan tidak dapat menunjukkan graviti secara nyata, namun ia tetap ada dan hukum graviti tetap melakukan tugasnya seperti yang diperintahkan ALLAH.

Begitu juga dengan hukum tarikan aka LOA.  Ia juga adalah hukum alam yang wujud dan tidak dapat kita tunjukkan dengan jelas.  Apa yang pasti, ia ada dan tetap melakukan tugasnya seperti yang diperintahkan ALLAH.

Apakah hukum tarikan?  Hukum tarikan sebenarnya adalah apa sahaja yang ‘ditarik’ kepada kita sesuai dengan apa yang kita fikirkan.  Diri kita ini adalah seperti magnet besar yang menarik sesuatu kepada kita.  Andai kita memikirkan tentang keseronokan, maka keseronokan akan datang kepada kita.  Andai kita memikirkan kesusahan, maka kesusahan akan datang kepada kita.  Andai kita memikirkan kekayaan, maka kekayaan akan datang kepada kita.  Andai kita memikirkan tentang kesempitan hidup, maka kesempitan hidup akan datang kepada kita.

Dalam bahasa yang mudah, apa sahaja yang kita fikirkan maka kita akan menarik perkara itu kepada kita.  Tidak kiralah sama ada perkara itu baik atau buruk, maka kita akan tetap menariknya mendekati diri kita.

Jadi, jaga cara pemikiran kita.  Fikirkan yang baik-baik, maka yang baik-baik itu akan menjadi milik kita.

Jumaat, 11 Januari 2013

BMW

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

Untuk SRJ hari ini, KM utarakan kata-kata seorang ilmuan agama; dalam hidup ini bukan sekadar kita inginkan kereta BMW, malah haruslah bersifat dengan BMW itu

B – Bersyukur.  Ini adalah perkara penting dalam hidup.  Andai dalam hidup, kita tidak pernah merasa bersyukur dengan segala nikmat yang ada, maka kita sebenarnya angkuh kepadaNya.  Ini adalah kerana, setiap sesuatu yang kita miliki, tetap datangnya daripada ALLAH Yang Maha Kuasa.

M – Memaafkan.  Sifat memaafkan orang lain adalah sifat terpuji.  Dengan memaafkan kesalahan orang kepada kita, maka kita telah menunjukkan bahawa kita berhati mulia, malah jauh daripada dendam dan kesumat di dalam hati. 

W – Wawasan.  Tetapkan matlamat, cita-cita, impian, angan-angan tentang sesuatu yang baik.  Pasti kita akan berjaya memilikinya dengan usaha dan keyakinan bahawa wawasan itu memberi kebaikan kepada kita dan orang lain.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Seorang pekerja yang bekerja dengan tekun dan berhemah, namun sering kali dipandang rendah oleh majikannya.  Entah kenapa, si majikan seakan-akan hanya memandang kerja yang dilakukan oleh ‘anak buah’nya sahaja yang hebat dan memberi kejayaan kepada syarikat.  Padahal, ‘anak buah’ boss hanya banyak mengular, dan pandai berpura-pura di hadapan si majikan.

Si pekerja yang hebat ini cuba aplikasikan BMW dalam dirinya.  Dia bersyukur kerana walaupun usahanya tidak dihargai, namun dia tetap ada pekerjaan yang tetap, punya imbuhan gaji yang padan dengan usahanya.

Si pekerja ini juga sering memaafkan majikannya yang memang jelas bersikap berat sebelah.  Bagi pekerja ini, ‘kesalahan’ majikannya yang tidak menilai kerjanya dengan adil pasti akan dibalas oleh Maha Majikan (ALLAH Taala).

Si pekerja terus tekun melaksanakan tugasannya sesuai dengan matlamat dan wawasan untuk meningkatkan kejayaan syarikat.  Walaupun hatinya kekadang sakit kerana tidak diendahkan oleh majikan, namun tidak sedikit pun melunturkan semangatnya untuk bekerja.

Situasi di atas memang berlaku.  Namun, apakah yang akan dirasai oleh pekerja tersebut jika dia terus tekun dengan BMWnya itu?  KM tiada jawapan yang pasti, namun pasti sahaja pekerja itu akan terus cemerlang dalam usahanya.  Apa yang pasti, pekerja itu akan menjadi pekerja yang terus bersemangat untuk melaksanakan tugasannya kerana syukur, sifat pemaaf, dan berwawasan yang ada dalam dirinya.

Khamis, 10 Januari 2013

Tarik rezeki di awal pagi…

Salam kedamaian kepada semua…

  1. Bangun awal.
  2. Mandi awal, sebelum azan subuh.
  3. Solat subuh dengan khusyuk.  Sebaiknya dapat solat secara berjemaah, kerana banyak rahsianya.  (Andai tidak mampu berjemaah di surau atau masjid kerana tuntutan tugasan lain, cubalah lakukan pada ketika cuti)
  4. Yakinkan diri bahawa rezeki ALLAH sangat luas untuk dikecapi oleh semua.
  5. Doa dengan penuh kerendahan diri memohon untuk mendapatkan kemewahan rezeki daripadaNya.
  6. Ketika membuka pintu rumah kali pertama untuk keluar, tarik nafas dengan penuh kelegaan, dan rasakan seolah-olah kita sedang membuka ‘pintu rezeki’.  Semasa keluar dari rumah untuk kali pertama di awal pagi itu, rasakan seolah-olah kita sedang masuk ke dalam ‘kamar rezeki’ yang sangat luas.

Perkara-perkara di atas, jika kita amalkan, ia seolah-olah satu bentuk meditasi dalam diri tentang rezeki yang kita akan terima pada hari itu.  Lakukan berterusan dengan penuh keyakinan dan kesungguhan.  Anda pasti dapat merasai tentang kemewahan rezeki yang anda terima seolah-olah ditarik-tarik kepada diri anda.

Selasa, 8 Januari 2013

Penapis RAS ~ 3

Salam kedamaian daripada KM buat semua…

KM hendak membeli sebuah kereta.  Maka KM menetapkan apakah jenis kereta yang hendak dibeli.  Niat KM, dengan adanya kereta itu, dapatlah KM gunakan dengan lebih selesa berbanding dengan kereta yang ada sekarang kerana sudah terlalu uzur.  KM percaya dan sangat yakin bahawa kereta yang KM idamkan itu sangat istimewa dan baik untuk kegunaan KM.  Ini adalah berdasarkan saranan kawan-kawan yang sudah pernah menggunakan jenis kereta yang sama.  KM selalu memikirkan tentang kereta itu dan yakin KM mampu untuk memilikinya.  Tahu apa yang KM rasa setiap kali ‘terserempak’ dengan jenis kereta yang sama di jalan?  Pastilah rasa berbunga-bunga di dalam hati.  Seronok sangat, seolah-olah kereta itu memang sudah menjadi milik KM.

Inilah gambaran yang KM lakukan pada tahun lepas.  Alhamdulillah, semakin KM fikir-fikirkan tentang kereta itu, dan menetapkan hati untuk memilikinya, semakin kerap KM ‘terserempak’ dengannya di jalan ( hukum LOA ).  Tidak sampai 4 bulan KM ‘bermain-main’ dengan RAS dalam minda, syukur alhamdulillah kereta itu sudah menjadi milik KM.

Semasa KM ‘bermain-main’ itu, sebenarnya RAS sudah berfungsi.  Kereta lain (yang mungkin lebih hebat) tidak langsung terlintas di hati KM.  Inilah yang dilakukan oleh RAS, menapis keinginan terhadap kereta jenis lain.  Pandangan sebahagian rakan-rakan yang cuba membunuh hasrat KM untuk memiliki kereta itu juga tidak berjaya, mereka menyatakan kereta itu mahal, sukar dijaga, dan sebagainya.  Semua pandangan itu tidak berjaya masuk ke dalam minda KM kerana RAS menapis hasutan itu dengan jayanya.  Alhamdulillah, setelah memakai kereta ini, ternyata semua yang rakan-rakan katakan itu tidak benar belaka.

KM sentiasa berfikiran positif dari segi kemampuan dan keupayaan kewangan untuk memiliki kereta ini.  Alhamdulillah, kewangan KM lebih dari cukup untuk membayar kereta ini.  Sekali lagi RAS berfungsi untuk menolak semua rasa kesukaran dari segi pembayaran.

Emosi KM jadi makin hebat dan berbunga-bunga setiap kali dapat memandu kereta ini.  Alhamdulillah, rakan-rakan yang dahulunya memberikan ‘hasutan’ akhirnya turut merasa sangat selesa dan rasa lain apabila naik kereta yang KM miliki ini.

Inilah yang benar-benar berlaku.  Alhamdulillah, KM rasa sangat bersyukur dan gembira kerana apa yang KM idamkan telah menjadi kenyataan dan menambahkan lagi keyakinan KM.

Sabtu, 5 Januari 2013

Penapis RAS ~ 2

Salam penuh kasih sayang daripada KM buat semua…

Meneruskan penerangan berkenaan Reticular Activating System (RAS) yang KM nyatakan dalam catatan yang lalu. 

Jika kita amati, penapis ini (RAS) sangat rapat dengan kita.  Ini adalah kerana, ia berfungsi dan bertindak dalam sistem saraf tunjang dalam otak.  Ini membuatkan, setiap apa sahaja yang kita fikirkan (sama ada baik atau buruk) maka ia akan bertindak balas untuk menapis perkara yang tidak dikehendaki dalam diri kita.  Oleh itu, berhati-hatilah dengan apa yang kita sarankan kepada diri.

RAS akan berfungsi dengan 5 keadaan yang sangat sinonim dengan diri.  5 perkara itu adalah; matlamat, niat, kepercayaan, cara berfikir, dan emosi.  Kelima-lima perkara ini akan berkaitan antara satu sama lain dan menentukan apa yang akan ditapis oleh RAS, dan membiarkan perkara yang disarankan masuk ke dalam minda.

Matlamat; hala tuju dan kehendak.

Niat; keyakinan yang mendalam bahawa perkara itu dilakukan adalah kerana sesuatu.

Kepercayaan; keyakinan diri bahawa sesuatu itu pasti akan berlaku.

Cara berfikir; bagaimana olahan minda kita, sama ada positif atau negatif.

Emosi; elemen penting dalam diri untuk meningkatkan keyakinan bahawa sesuatu itu memang sesuai dengan kehendak diri.

Jumaat, 4 Januari 2013

RAS

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.  Semoga kita semua menerima rahmatNya dengan penuh kenikmatan.

Hari ini, KM nak berbicara tentang Reticular Activating System atau RAS.  Hal ini memang ada kaitannya dengan Hukum Tarikan yang pernah KM bincangkan dalam beberapa catatan yang lalu.  RAS adalah sejenis ‘penapis’ yang ada dalam sistem saraf otak manusia.  Penapis ini akan membuat tapisan kepada perkara-perkara yang TIDAK dikehendaki oleh manusia, dan membenarkan perkara-perkara yang dikehendaki sahaja untuk masuk ke dalam minda.

reticular activating system

Menurut kajian saintifik, pada tunjang otak terdapat penapis RAS ini.  Aktiviti akan berlaku di bahagian ini untuk menapis perkara-perkara yang tidak dihendaki oleh manusia daripada masuk ke dalam minda.

Contoh :  Andai kita memikirkan kejayaan, maka perkara-perkara yang berkaitan dengan kegagalan akan DITAPIS daripada masuk ke dalam minda.  Hanya perkara yang berkaitan dengan kejayaan sahaja yang akan diterima dan dibenarkan masuk.

Namun, kebanyakan daripada kita hanya berkata (hanya di mulut sahaja) untuk berjaya, namun dalam masa yang sama tetap memikirkan kesukaran dan kesusahan untuk mencapai kejayaan itu.  Pada masa itu, apa yang akan berlaku?  Minda akan terbuka dengan pelbagai kehendak iaitu, kejayaan dan kegagalan.  Kita sendiri yang membuka ‘penapis’ itu untuk menerima kedua-dua perkara itu untuk masuk.  Hal ini menyebabkan kita berada antara kejayaan dan kegagalan.  Maka pada ketika itu, mana-mana yang lebih kuat (sama ada kejayaan atau kegagalan) akan menang dan memberikan hasil kepada kita.

Sebab itu, ada antara kita yang berkata, aku selalu inginkan kejayaan, aku selalu fikirkan kejayaan, namun kenapa masih gagal?  Kerana dalam masa yang sama, kita membiarkan penapis ini tidak berfungsi seperti mana penapis RAS yang sepatutnya.

Ikuti catatan seterusnya daripada KM nanti…