Isnin, 29 Ogos 2011

Rahmat daripada Tetamu ~ 2

Salam kasih sayang daripada KM…

Suatu masa dahulu, di kala KM masih muda remaja aka budak kecil, hari raya adalah hari yang paling penting dan sangat ditunggu-tunggu.  Sama seperti bebudak zaman sekarang, kepentingannya adalah kemeriahan berhari raya.  Acara yang paling ditunggu-tunggu adalah pergi beraya di rumah orang (jalan satu kampung).  Zaman tu, setiap rumah akan beri 10 sen sebagai duit raya.  10 sen kalau dikumpulkan satu kampung, mau hampir seratus ringgit.

Zaman sekarang, bila KM pula yang memberi, bagi duit raya RM1 pun, masih ada budak yang komen.  ‘Eleh, singgit je…!’ kata bebudak yang mulut tak ada insurans tu.  Nasib baik hari raya, kalau tak siap le bebudak tu.

Bila ingatkan keadaan ini, KM akan teringat suatu masa dahulu, mak KM akan selalu ingatkan kepada kami semua yang hendak pergi berhari raya…  Yang pertama, jaga adab sopan kat rumah orang.  Bila masuk beri salam, cium tangan dan cakap selamat hari raya, dan minta maaf…  Bila makan, elok-elok, jangan sampai bersepah-sepah.  Paling penting, kena ucapkan terima kasih bila orang beri duit raya….

KM ingat semua tu sepanjang karier KM menjadi budak yang pergi berhari raya di rumah orang.

Tapi, KM sedih….  Bebudak zaman sekarang macam tak de adab, macam tak de roh berhari raya.  Mereka datang ke rumah-rumah, beri salam terpekik-pekik.  Bila ada orang datang ajak masuk, mereka kata tak nak masuk, cuma nak duit raya.  Itulah yang KM paling tak puas hati.  Kalau dulu, walaupun tak nak makan apa-apa, tetap masuk dulu dan duduk sekejap di rumah orang yang di’ziarahi’.  Walaupun pada ketika itu, niatnya sama sahaja iaitu nak kutip duit raya, namun tetap utuh dengan adab dan tatasusila.  Tapi sekarang, nak masuk pun tak nak.  Mereka datang bukan untuk membawa ‘rahmat’, hanya sekadar hendak mengutip keuntungan di hari raya…

KM selalu cakap kepada budak-budak yang datang, kalau nak datang beraya, kena masuk dulu…  Ada yang masuk dan duduk, kemudian makan sedikit kuih raya, dan ada yang tidak mahu masuk lalu berlalu pergi.  Kepada yang sudi masuk, dapat le KM bertanya anak siapa, cucu siapa….sekurang-kurangnya KM tau si polan dah ada anak, si polan dah ada cucu…. Almaklumlah KM ni kan hidup di perantauan, jadi dah kurang kenal dengan anak kawan-kawan yang lama ditinggalkan.

Semoga di hari raya ni, makin ramai yang datang ke rumah KM untuk membawa keberkatan dan rahmat ALLAH Taala…

Selamat Hari Raya Aidul Fitri.  Mohon ampun dan maaf andai ada kesalahan dalam berbicara yang tidak menyenangkan semua….

Ahad, 28 Ogos 2011

Rahmat daripada Tetamu…

Salam penuh kedamaian…

Bercakap pasal rahmat, tentu semua orang mahukannya.  Rahmat ni ibarat satu hadiah daripada ALLAH kepada kita.  Apabila kita lakukan sesuatu dan mendapat rahmat, perkara itu tentu menjadi sesuatu yang hebat dan bernilai.

Bagaimana cara hendak mendapatkan rahmat?

Caranya, mestilah perkara yang dilakukan itu adalah perkara yang baik.  Sebelum melaksanakan perkara itu, hendaklah dimulakan dengan memuji kebesaran ALLAH, sekurang-kurangnya dengan bacaan bismillah…  Kemudian, terus-terusan berharap agar ia menjadi sesuatu yang diterima di sisi ALLAH.  Apabila selesai pula, diakhiri dengan ucapan memuji kebesaran ALLAH sekali lagi dengan bersyukur.  InsyaALLAH, pasti ia mendapat rahmat daripadaNya.

Rahmat, kadang kala datang kepada kita tanpa kita melakukan sesuatu.  Contohnya rahmat daripada tetamu.  Kebetulan dah dekat dengan Aidil Fitri ni, pasti ramai yang akan datang bertandang ke rumah kita nanti.  Jadi apa kata kalau kita berbicara sedikit tentang rahmat daripada tetamu ni….

Setiap tetamu yang datang ke rumah kita akan membawa rahmat ALLAH.  Lantaran itu, kita sewajarnya memulia dan melayan tetamu yang hadir dengan layanan yang baik.  Seorang rakanku yang belajar di Timur Tengah bercerita, orang di sana sangat memuliakan tetamu.  Apabila tetamu datang, mereka akan menyediakan makanan yang sedap-sedap untuk dihidangkan.  Ada yang sampai sembelih kambing, semata-mata untuk dihidangkan kepada tetamu.  Mungkin ia sudah menjadi adat dan etika melayan tetamu di sana, namun sebenarnya itu adalah cara mereka untuk memuliakan kehadiran rahmat yang dibawa oleh tetamu kepada kita.

Kita di sini, punya cara untuk melayan tetamu cara kita.  Tetamu boleh dilayan dengan baik dengan bercakap yang baik-baik, wajah yang manis dan sopan, dan hidangan makanan yang sesuai.  Keadaan ini akan membuatkan tetamu yang hadir merasa dihargai dan menjadikan hubungan semakin akrab.  Rasa seronok dan puas daripada tetamu kerana kebaikan layanan kita itulah yang akan menghadirkan rahmat kepada kita.

Cuba lihat suatu masa dahulu, apabila ada sahaja tetamu (contohnya saudara yang jauh datang bertandang), pasti keluarga kita akan merasa sangat teruja dengan kehadiran itu dan diberikan layanan yang istimewa.  Mereka dijemput untuk makan bersama, dan ada yang dijemput untuk bermalam.  Ini adalah gambaran bagaimana rahmt itu pinta berada bersama dengan kita dengna lebih lama.

Tetapi, zaman sekarang, sukar sekali kita hendak menerima tetamu (melainkan jika ada situasi tertentu seperti Hari Raya).  Keadaan ini mungkin disebabkan corak hidup kita yang sudah semakin berubah.  Pagi hingga ke malam sibuk dengan urusan kerja.  Cuti hujung minggu pula dipenuhkan dengan keperluan hidup seperti berehat dan berbelanja.  Jadi sudah kurang masa untuk kita bertandang ke rumah saudara, atau menerima kunjungan orang lain.

Hanya, di waktu musim perayaan ini sahaja, kita mampu untuk meluangkan masa dan bersedia untuk menerima kunjungan tetamu.  Oleh itu, sediakanlah hidangan yang sedap dan hebat, serta layanan yang mesra kepada semua tetamu yang hadir pada Aidil Fitri nanti…moga kita semua mendapat rahmat daripadaNya…

Jumaat, 26 Ogos 2011

Perjalanan Pulang…

Salam kasih sayang daripada KM…

Hari ini, KM sudah mula bercuti, 9 hari…  Sukanya hati, sebab dah lama rasanya tak bercuti.  Setiap masa, ada sahaja tugasan dan aktiviti yang perlu dilunaskan dengan segera, hinggakan cuti hujung minggu pun kekadang terikat dengan tugasan kerja.

Kesempatan bercuti ni, pasti sahaja KM akan balik ke kampung.  Last sekali balik ke kampung bulan 6 yang lalu.  Itu pun sekejap je.  Kali ni mungkin balik lama sikit rasanya.  Tambahan pula nak beraya ni.  Pasti rasa seronok dan puas dapat balik dan makan masakan ibu tercinta.

Diharap, perjalanan hari ini dilindungiNya dan mendapat rahmat dan keberkatan…

Khamis, 25 Ogos 2011

Kaya vs Kayap…

Salam kedamaian daripada KM…

Bulan Ramadhan ni, ramai orang sudah bertukar menjadi golongan kaya.  Apa tidaknya, kebanyakan daripada peniaga gerai di pasar Ramadhan pasti tersenyum puas menerima kekayaan mereka setelah berjual hampir sebulan ini.  Pasti banyak keuntungan yang telah mereka perolehi.  Sesungguhnya mereka sudah menjadi kaya pada ketika ini kerana mampu mengumpulkan pendapatan harian secara berlipat ganda, berbanding jualan pada bulan lain.

Jika dahulu, penjual makanan mungkin akan berniaga di pasar-pasar malam sahaja.  Mungkin dalam seminggu mereka dapat berjual di 5 tempat pasar malam.  Mungkin juga dapat berjual penuh 7 hari seminggu di pasar-pasar malam yang berlainan.  Namun, suasananya pasti berbeza dengan berjual hanya di satu tempat sahaja secara penuh 7 hari dalam seminggu.

Andai, ada yang pandai menarik perhatian pelanggan dari segi layanan, mahupun dari segi kesedapan makanan yang dijual, pasti mereka akan mempunyai pelanggan tetap setiap hari.  Inilah yang menambahkan lagi kekayaan mereka sepanjang berjual di bulan mulia ini.

Kekayaan itu datang daripada ALLAH.  Hanya DIA yang Maha Kaya.  Kekayaan ALLAH lebih daripada segalanya.  DIA jugalah yang menentukan siapa antara kita yang akan dianugerahkan dengan kekayaan.  Kekayaan itu tetap milikNya walaupun diberikan kepada kita.

Itu, adalah keadaan kaya kepada golongan yang berniaga.  Bagaimana pula dengan golongan yang tidak berniaga?  Adakah kita tidak mampu menjadi kaya?

Seperti yang dinyatakan tadi, kaya bukan milik kita.  Kaya adalah milik ALLAH Taala.  Sesungguhnya kaya bukan hanya sekadar perlu dilihat dari segi kewangan dan kemewahan.  Kaya harus dilihat lebih luas dari itu.

Orang yang punyai anak yang ramai juga dianggap kaya.  Sekurang-kurangnya orang itu kaya dengan kasih sayang anak-anak, terutama jika si anak berjaya dididik dan menjadi insan berguna suatu hari nanti.  Apa yang paling penting, doa si anak yang akan menjadikan orang itu kaya semasa ‘di sana’ nanti…

Orang-orang yang beribadat dengan penuh khusyuk sepanjang Ramadhan ini juga akan menjadi ‘kaya’ dengan anugerah daripadaNya.  Kekayaan ini pasti sahaja tidak dapat dilihat namun ia dapat dirasai.  Hargailah sisa-sisa Ramadhan yang kian sampai ke penghujung ini untuk menambahkan kekayaan kita dari segi amalan dan kebaikan.  Semoga kita akan terus mendapat kekayaan itu berterusan dalam penjalanan menuju ke alam yang kekal…

Selasa, 23 Ogos 2011

Murah Rezeki…

Salam kasih sayang daripada Kuasai Minda…

Ramadhan sudah kian hampir ke penghujung.  Tidak lama lagi kita akan meninggalkannya, dan diharapkan amalan dan kebaikan yang kita lakukan di bulan mulia ini tidak kita tinggalkan sama seperti hilangnya bulan ini…

Semalam, ada sedikit tazkirah semasa sesi solat terawih.  Aku terpanggil untuk menitipkan isi penting dan kesimpulannya di sini.

Kata ustaz yang bertugas semalam, untuk mendapat kemurahan rezeki (sama ada di bulan Ramadhan atau tidak) tidak perlu kepada ‘ibu duit’, tidak perlu kepada amalan zikir yang panjang-panjang (kalau mampu silakan saja), apatah lagi jika kita mengharapkan kemurahan rezeki itu dengan cara yang salah seperti saham berantai, tikam nombor, dan sebagainya.

Apa yang kita perlukan hanyalah mendoakan kesejahteraan ayah dan ibu.

Ya, hanya itu yang perlu dilakukan setiap hari, sekerap yang mampu.  Apabila teringat sahaja, terus doakan kesejahteraan ayah dan ibu.  Doa tidak semestinya setelah kita selesai bersolat.  Sambil melakukan aktiviti harian pun kita boleh doakan kesejahteraan mereka.  Doa tidak semestinya yang panjang-panjang, atau dibaca dalam bahasa Arab…Doa boleh dilakukan cukup dengan apa yang kita fahami dan itulah yang lebih baik.

InsyaALLAH, rezeki kita akan dimurahkan ALLAH kerana amalan tersebut.

Ahad, 21 Ogos 2011

Memberi dan Menerima… (kisah benar suatu hari di bulan Ramadhan)

Salam kedamaian…

kerabu kerang Gambar daripada internet

Semakin banyak kita memberi, semakin banyak kita akan menerimanya…

Ini adalah salah satu konsep dalam ilmu minda manusia.  Dalam konsep ini, jika kita memberikan sesuatu dengan kebaikan, maka kita akan mendapat kebaikan juga sebagai balasannya.  Namun, jika kita memberi sesuatu berbentuk negatif, maka perkara negatif juga akan pulang kepada kita sebagai balasan.

Dalam Islam sendiri, konsep memberi dan menerima ini ada dinyatakan dengan jelas.  Contohnya, memberi derma dan sumbangan secara ikhlas.  Balasannya, kebaikan yang tersembunyi yang akan dipulangkan kepada kita.  Sekurang-kurangnya, balasan pahala yang menjadi saham kepada kita di sana nanti.

Ingin kupersembahkan satu situasi yang berlaku di hadapan mataku.  Kisah benar di bulan Ramadhan beberapa hari yang lalu….

Almaklum, pada ketika ini, peniaga makanan di pasar Ramadhan tumbuh seperti cendawan.  Peniaga-peniaga ini wujud hanya pada bulan mulia ini sahaja.  Mereka akan menjual juadah berbuka puasa yang pastinya mendapat sambutan daripada pembeli.  Dari makanan berbentuk kuih, hinggalah kepada lauk-pauk, malah peniaga mercun dan bunga api turut mengambil peluang untuk mengaut keuntungan.

Di sebuah gerai suatu hari lalu, aku membeli sedikit lauk untukku berbuka dan bersahur.  Alhamdulillah, aku ini jenis tak cerewet bab makanan.  Apa sahaja yang ada, aku mampu makan dan bersyukur.  Hatta aku berbuka dengan telur goreng sekalipun, sudah cukup bagiku.  Jadi aku hanya membeli sejenis lauk berkuah sahaja untuk menambah rasa pada makananku. 

Pada masa yang sama, ada seorang perempuan tua yang ingin sama membeli sejenis masakan (kerabu kerang).  Perempuan yang kulihat agak daif itu meminta kepada peniaga untuk membeli RM2 sahaja.  Namun permintaan perempuan itu disambut dengan kata-kata marah dan sedikit penghinaan daripada peniaga tersebut.  Kata peniaga itu lagi, dia hanya menjual minimun RM3.  Sambil mengomel dia lantas tidak menghiraukan perempuan itu, dan perempuan tua itu berlalu pergi.  Aku akhirnya membeli lauk yang ingin kubeli dan aku tambah dengan masakan kerabu kerang sebanyak RM3. 

Cepat-cepat aku bayar dan bergegas mencari perempuan tua itu.  Niatku adalah untuk memberi kerabu itu agar dia tidak terlalu kecewa.  Malangnya aku kehilangan perempuan tua itu sekelip mata dalam lautan manusia yang sibuk dengan urusan berjual beli.  Aku terus berlegar-legar mencari perempuan itu dan alhamdulillah aku bertemu dengannya di suatu sudut.  Akhirnya aku berjaya memberi hidangan itu kepadanya.

Perempuan tua itu tersenyum dan seolah-olah mengerti bahawa aku membeli kerabu itu untuk di’hadiah’kan kepadanya.  Sambil dia menerima dan mengucap terima kasih, dia merungut-rungut tentang sikap peniaga yang tidak beradab itu, yang sanggup memarahinya di hadapan khalayak ramai.  Banyak yang dirungutkannya dan aku hanya mampu untuk meminta perempuan itu bersabar…

Kisah di atas, menunjukkan kepada kita bagaimana memberi dan menerima akan berlaku dalam situasi yang sama.  Apabila meniaga itu memberi kemarahan kepada perempuan itu, maka kemarahan juga akan pulang kepadanya (walaupun perempuan itu tidak mampu untuk memarahi peniaga itu secara berdepan).  Bagaimana agaknya jika peniaga itu menunaikan permintaan perempuan itu dengan menjual kerabu itu dengan harga RM2?  Peniaga itu mampu untuk melakukannya, cuma kurangkan kuantiti kerabu itu daripada dua senduk kepada satu senduk dan jualkan sahaja dengan harga RM2, pasti kemarahan tidak akan berlaku dalam situasi ini.

Cuba kita fikirkan keadaan ini sejenak.  Memang semua orang sudah maklum, harga barangan sekarang memang sangat tinggi.  Keadaan ini membuatkan jualan RM2 untuk satu hidangan sudah tidak releven.  Namun perbuatan peniaga itu memarahi dan menghina perempuan itu sudah cukup keterlaluan.  Apa yang dapat aku simpulkan adalah, kemarahan yang diberikan telah mengundang kemarahan yang lain datang kepadanya.  Pertama, kemarahan daripada perempuan itu, dan kemarahan serta rasa tidak senang daripada pelanggan lain yang ada di situ pada ketika kejadian.  Bagi aku sendiri, rasa cukup marah dan tidak senang dengan peniaga yang biadab itu.  Lantaran itu, pasti terdetik dalam hatiku untuk memboikot gerai itu selepas ini.  Jika ada 10 orang yang ada di kawasan itu dan menyaksikan keadaan ini, dan 5 daripada mereka (pastinya termasuk aku) memboikot, pasti gerai itu sudah kehilangan 5 orang yang akan datang membeli di gerainya pada hari yang mendatang.

Itulah keadaannya, apa yang kita beri, kita akan menerimanya kembali….

Rabu, 17 Ogos 2011

Sifat Bersyukur Dapat Dilahirkan Dengan Berpuasa…

Salam kedamaian…

Bagaimana dengan ibadat puasa kita?  Berpuas hati..?  Jika ya, alhamdulillah, kerana kita telah berjaya membentuk diri menjadi hambaNya yang semakin dekat dan bertakwa.

Sedar atauu tidak, kita memang sukar sekali untuk menghadirkan rasa kesyukuran dalam diri kita.  Memang ada kadang kala kita merasa bersyukur dan mengucapkannya dengan kalimah pujian kepadaNya, namun yang banyak daripada itu kita terlupa untuk bersyukur.

Kata datukku (Aki) suatu masa dahulu….

“Bila kita berpuasa, kita akan mendidik diri kita untuk menjadi orang yang bersyukur…”

Apabila kita berpuasa, kita akan menjadi ‘sama taraf’nya dengan orang miskin yang tidak dapat makan dan minum.  Itulah konsep asas (paling asas) untuk memberi penerangan kepada keadaan ini.  Namun, apabila berbuka, kita dapat menikmati apa yang sebelumnya tidak dapat kita nikmati.  Maka pada ketika ini, seharusnya terbit rasa kesyukuran dalam diri.  Bersyukur kerana akhirnya kita dapat makan dan minum seperti biasa.

Dalam masa sebulan, kita mempraktikkan situasi ini.  Maka ia akan menjadi satu bentuk tabiat dalam diri; bersyukur.  Maka, jika kita berjaya meneruskan tabiat untuk sentiasa bersyukur ini, pasti kita akan berjaya mencari banyak lagi perkara nikmat yang sebelum ini kita tidak sedari, dan kita akan mensyukurinya…..

Isnin, 8 Ogos 2011

Minda Manusia dan Puasa

Salam penuh kasih sayang.  Semoga kita semua dilimpahkan dengan keberkatanNya…

ponteng puasa

Apabila berpuasa, kita akan terus ‘menahan’ diri.  Bukan sekadar menahan diri daripada makan atau minum di siang hari, malah kita akan menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan ibadat berpuasa itu.

Sungguh hebat ciptaan ALLAH terhadap minda manusia.  Kehebatan minda akan memberikan arahan dan perintah kepada tubuh badan untuk dilaksanakan.  Dari segi fitrahnya, manusia akan lapar dan dahaga.  Fitrah ini memerlukan manusia untuk makan dan minum.  Namun, melalui ibadat berpuasa ini, minda dapat memberi arahan kepada tubuh untuk bertahan daripada makan dan minum walaupun berada dalam fitrahnya iaitu lapar dan dahaga.  Begitu juga dengan keadaan lain yang mungkin boleh membatalkan puasa itu.

Jika difikirkan, terbukti sudah bahawa kita mampu untuk melakukan apa sahaja dengan arahan minda (dan tentunya daripada keizinan ALLAH).  Jika minda kata bertahan, maka bertahanlah diri kita daripada makan dan minum.  Hal ini juga dikaitkan dengan taat kepada ALLAH atau dalam bahasa lainnya takwa.  Apabila kita patuh dan taat kepada ALLAH, pasti kita akan terus berpuasa kerana kita tahu bahawa ibadat ini adalah perintah daripadaNya yang harus kita laksanakan.

Cuba kita bayangkan, bagaimana jika kehebatan minda dalam memberi arahan untuk berpuasa ini dapat kita laksanakan untuk ibadat dan aktiviti yang lain.  Pasti kita akan menjadi seorang insan yang sangat hebat dan berjaya.

Contohnya dalam ibadat solat.  Jika minda kita mampu untuk mengarahkan tubuh untuk berpuasa, pasti minda kita juga mampu untuk mengarahkan tubuh untuk khusyuk semasa melaksanakan solat.

Mari sama-sama kita fikirkan….

Isnin, 1 Ogos 2011

Ibarat Padi Masak…

Salam kasih sayang buat semua…

Kata pepatah; Jadilah seperti padi, kian berisi kian menunduk, jangan seperti lalang, kian panjang kian menegak.

Pepatah ini menggambarkan keadaan padi dan lalang, dan perlambangannya kepada kedudukan manusia dalam kehidupan ini.  Padi adalah sesuatu yang memberi kegunaan makanan kepada manusia, manakala lalang pula hanya menyemakkan mata (pun begitu, lalang tetap ada gunanya….)

Digambarkan lagi, dengan sifat yang memberi kebaikan kepada manusia, namun padi tetap menunduk.  Tidak seperti lalang yang kian lama kian panjang dan menyusahkan orang untuk lalu lalang di kawasan itu, tambahan pula lalang mencemarkan pemandangan.

Pepatah ini sangat sesuai untuk kugambarkan kepada seorang lelaki berhemah yang aku kenali, Tn Hj Ahmad Tarmidi.  Beliau merupakan seorang pegawai berpangkat tinggi di jabatanku.  Kisah berlaku di depan mataku betapa hebatnya keperibadian lelaki ini yang sangat ‘menunduk’ walaupun punyai ketinggian jawatan.

Dua minggu yang lalu, sewaktu aku bertugas di padang C Pertandingan Kawad Kaki Negeri, Tn Hj Ahmad Tarmidi telah datang sebagai pemerhati.  Beliau hanya berpakaian biasa dan berlagak seperti penonton biasa.  Kepada yang mengenalinya, beliau menegur dan melemparkan senyuman.  Ada yang mengambil peluang bersalaman dengannya. 

Pada ketika itu, keadaan padang kawad masih belum sedia sepenuhnya.  Keadaan ini adalah kerana terdapat beberapa lopak air bertakung di kawasan dataran kawad itu akibat hujan lebat pada malamnya.  Beberapa orang petugas (pelajar sekolah) dibantu oleh guru yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan persiapan tempat sedang menolak air agar dapat diratakan, supaya mudah kering dek terik mentari.  Pada ketika itulah, dengan selambanya, Tn Hj Ahmad Tarmidi turut merapati pasukan pelajar tersebut dan sama-sama membantu menolak lopak-lopak air tersebut.

Apabila terpandang sahaja keadaan itu, maka berpusu-pusulah orang bawahannya datang mendekat dan sama-sama menolak air.  Mungkin kerana malu atau tak sangka bahawa seorang lelaki yang berjawatan Ketua Unit di jabatan sanggup untuk memegang penyapu dan sama-sama melakukan kerja tersebut…

Aku yang pada ketika itu duduk di meja urusetia, sedang menguruskan pendaftaran pasukan yang baru hadir melapor diri.  Aku sendiri merasa terkesima dengan keadaan itu.  Dalam hatiku terdetik bahawa inilah lelaki yang sangat tinggi hemah dirinya, yang sanggup meletakkan jawatan tingginya di tepi dan sama-sama berada di bawah untuk membantu apa yang termampu.

Ibarat padi masak….mampukah kita menjadi sepertinya..?