Jumaat, 31 Disember 2010

Sentiasa Memuji…

Salam keriangan daripadaku…  Catatan ini adalah sambungan kepada perkara kedua dalam catatan Perbaiki Diri

“Anda nampak hebat hari ini…”

Apakah yang kita rasai apabila ada orang yang memuji kita begitu di awal pagi?  Tentu rasa lebih bersemangat, bukan?

Minda adalah pusat penghasilan tenaga.  Jika minda kita sentiasa lemah dan tidak bermaya, maka pasti prestasi kita juga akan sedemikian.  Lihat sahaja kepada setiap aktiviti kita seharian.  Jika kita merasa ragu-ragu dan tidak yakin terhadap apa yang kita lakukan, maka pasti hasilnya tidak seberapa.  Tetapi jika kita berjaya mendidik minda kita menjadi hebat, maka pasti hasilannya juga akan menjadi hebat.

Apabila ada pujian diberikan kepada kita, maka minda telah menghasilkan banyak tenaga.  Keadaan ini merangsang dan memberi semangat kepada kita untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik dan berjaya.

Bagaimana jika tiada pujian langsung diberikan kepada kita oleh orang di sekeliling?  Adakah kita akan terus menjadi lemah?

Jika tiada langsung orang yang memberikan pujian kepada kita, maka pujilah diri sendiri…!

Puji diri sendiri bukanlah seperti ‘angkat bakul sendiri’ dengan cara riak dan takabbur.  Puji diri sendiri boleh dilakukan dengan cara berkata-kata dengan diri sendiri.  Tiada siapa perlu mendengar pujian diri kita untuk diri kita itu.  Pujian untuk diri kita sendiri adalah hak kita sendiri.  Dengan memuji diri sendiri, maka kita akan mendapat hasil yang sama seperti orang lain memuji kita.  Apa yang berlaku adalah kita telah berjaya membina tenaga minda dengan lebih baik kerana telah mendapat satu pujian, walaupun daripada diri kita sendiri.

Berikanlah puji-pujian yang ikhlas kepada setiap orang yang bersama dengan kita.  Pujian yang diberi tidak akan merugikan apapun yang ada pada diri kita, malah ia akan meningkatkan lagi keikhlasan dan keseronokan orang lain di sekeliling kita.

Apa yang paling utama, pujian yang tertinggi dan terhebat hanyalah untukNya dan rasulNya….

Teruslah memuji kepada ALLAH dan RasulNya…

Teruslah memuji setiap orang di sekeliling kita dengan ikhlas…

Teruslah memuji diri kita sendiri…

Kuasa minda kita akan bergetar dengan lebih hebat dan diri akan menjadi lebih cemerlang…

Rabu, 29 Disember 2010

Bersyukur

Salam penuh kesyukuran dan kebahagiaan….

Pertama sekali, tarik nafas dalam-dalam dengan tenang, pejamkan mata dengan damai, senyum semanis gula, dan lepaskan nafas perlahan-lahan.  Ucapkanlah kesyukuran kerana kita masih lagi diberi peluang untuk menikmati kehidupan yang serba indah ini.

Bersyukur adalah salah satu perkara yang perlu dilakukan untuk memperbaiki diri.  Bersyukur dikaitkan dengan rasa kenikmatan, keseronokan, kebahagiaan, dan segala perkara baik yang berlaku dalam kehidupan.

Setiap perkara perlu kita syukuri.  Dan aku ada satu cerita tentang seseorang yang sangat ‘kuat’ dan faham tentang erti syukur.

Abang Din (aku tak ingat nama sebenarnya) merupakan salah seorang kenalanku suatu masa dahulu.  Dia adalah seorang pakar orientering dalam aktiviti pendidikan luar.  Aku kenalinya semasa sama-sama bertugas di utara semenanjung dulu.  Abang Din selalu mengucapkan kata-kata alhamdulillah, tanda syukur kepada ALLAH.  Bukan hanya sekadar selepas makan kita akan mendengar ungkapan itu daripada mulutnya, malah setiap perkara diakhiri dengan alhamdulillah.

Pernah sekali aku naik kereta bersamanya untuk ke destinasi aktiviti.  Selepas menghidupkan enjin kereta dia mengucapkan alhamdulillah.  Gear dimasukkan dan kereta mula bergerak, alhamdulillah keluar lagi dari bibirnya.  Sesampai ke destinasi, alhamdulillah.  Bertemu dan bersua dengan rakan-rakannya yang menunggu di tempat itu, alhamdulillah.  (Pada ketika itu aku sudah mula tertarik kepadanya…)

Selepas suai kenal dilakukan, diberi taklimat tentang aktiviti yang akan dijalankan, maka bermulalah aktiviti orientering (kalau tak silap tempat itu dikenali sebagai Hutan Lipur Mata Air).  Sesampai di suatu halangan sungai, Abang Din bertindak sebagai pembuka jalan.  Dia mengarahkan semua peserta tunggu di tebing sementara dia menyeberang sungai berbatu itu terlebih dahulu.  Tujuannya untuk mengetahui kawasan laluan dan merentangkan tali sebagai alat bantuan semasa peserta menyeberang.  Ada satu ketika dia tergelincir sedikit…Seperti tidak percaya, dia mengucapkan alhamdulillah setelah berjaya bangun.  Alhamdulillah, aktiviti sepanjang hari itu berakhir dengan jayanya dan semua peserta dapat sampai semula ke destinasi permulaan / penamat.

Malam itu, kami makan-makan di sebuah warung di Beseri bersama-sama dengan semua jurulatih aktiviti.  Aku masih ingat, malam itu aku minum teh tongkat, sejenis minuman yang agak popular di situ.  Ramuannya teh, susu, dan akar-akar kayu yang dikisar halus…memang betul-betul mengembalikan tenaga.

Ketika itulah aku mula mencungkil rahsia daripada Abang Din.  Aku tanya, kenapa dia ucapkan alhamdulillah setelah bangun dari tergelincir pagi tadi?  Katanya, jika bukan dia yang menjadi pembuka jalan, maka pasti orang lain yang jatuh!  Dan jika dia tidak berjaya bangun, pasti menunjukkan yang dia tercedera dan aktiviti perjalanan seterusnya akan menjadi lebih rumit.

Kutanya lagi, kenapa bila hidupkan enjin dan kereta mula bergerak pun dia ucapkan alhamdulillah?  Katanya, jika tak berjaya hidupkan kereta tuanya itu dan kereta itu tidak bergerak, tentu kami tak dapat sampai ke destinasi pada masa yang dikehendaki.

Hanya dua soalan itu sahaja aku tanyakan kerana aku melihat Abang Din memberikan senyumannya yang paling sukar untuk aku tafsirkan.  Dan sebenarnya pada masa itu aku sudah memahami amalan yang Abang Dia lakukan.  Ternyata, Abang Din memang sudah terlalu tinggi keyakinan dan rasa kesyukurannya kepada ALLAH, kerana setiap yang berlaku diyakini bahawa atas kehendakNya jua.  Dan dia akan terus bersyukur kerana itulah yang telah ditetapkan olehNya atas setiap sesuatu yang berlaku.

Kenangan bersama dengan Abang Din memang tidak pernah aku lupakan.  Memang banyak lagi perkara menarik bersama dengan Abang Din, tetapi amalan mengucapkan syukur setiap masa daripadanya memang sangat berkesan di hatiku…

Sebelum aku bertukar ke Pantai Timur, Abang Din pernah berpesan kepadaku….Setiap malam, ambil masa untuk mengimbas kembali apa yang berlaku dalam kehidupan kita.  Bermula dari bangun tidur, hinggalah ke saat kita merebahkan diri untuk tidur semula pada malamnya.  Fikirkan apakah kenikmatan yang kita lalui sepanjang hari dan rasailah kesyukuran terhadap semuanya…  Aku melaksanakan pesanan itu hampir dua minggu.  Dan aku dapat rasakan betapa banyaknya perkara yang perlu aku syukuri sepanjang kehidupan ini…

Isnin, 27 Disember 2010

Perbaiki Diri….

Salam kasih sayang….

Tidak lama lagi, kita akan meninggalkan tahun 2010.  Tahun 2011 pula akan menjelang.  Biasanya pada saat itu sibuk orang bertanya atau saling menyatakan azam.  Namun bagiku, azam bukan hanya sekadar dibuat pada awal tahun.  Seharusnya azam untuk berjaya perlu sentiasa dilakukan setiap masa apabila difikirkan perlu.  Dan semestinyalah azam itu menjurus kepada untuk memperbaiki diri ke arah kehidupan yang lebih baik.

Berikut, disenaraikan 5 perkara yang perlu sentiasa dilakukan untuk memperbaiki diri.  Moga kita dapat hayatinya bersama….

  1. Bersyukur
  2. Sentiasa memuji
  3. Fokus
  4. Berserah
  5. Doa dan Meditasi

Nantikan siri penerangannya….

Ahad, 26 Disember 2010

Otak dan Minda

Otak dan minda…  Apakah perbezaan antara keduanya?  Atau, adakah kedua-duanya perkara yang sama tetapi berbeza?

Otak adalah organ yang terdapat dalam tubuh badan manusia, dan beberapa jenis hidupan yang lain.  Organ otak terletak di kawasan yang paling tinggi dalam tubuh manusia, iaitu di kepala.  Untuk menunjukkan kehebatan dan kepentingannya, organ otak dilindungi pula dengan tengkorak yang keras dan bersifat melindung.

Fungsi otak ada dua.  Pertama, berfungsi secara fizikal untuk melaksanakan fungsi-fungsi lain pada tubuh.  Contohnya, apabila berlaku kerosakan pada organ otak akibat kemalangan atau terhantuk, maka fungsi otak untuk melaksanakan fungsi tubuh terganggu.  Sering kali kita dapat lihat apabila seseorang terlibat dalam kemalangan yang teruk, akibatnya mereka lumpuh, atau lebih teruk mereka akan koma.  Ini adalah kerana fungsi otak telah terganggu dan menghalang untuk melaksanakan fungsi tubuh yang lain.

Fungsi otak yang kedua adalah menjana minda.  Menjana minda berlaku apabila kita memikirkan sesuatu secara kritis, atau kreatif.  Fungsi ini menunjukkan keadaan otak yang memberi sesuatu daya untuk manusia menilai, dan mencipta sesuatu.  Hal inilah yang dinamakan minda.  Minda tidak terlihat secara objek.  Namun ia ada kerana kehadiran otak yang berfungsi untuk menjananya.

Jika otak mampu melaksanakan aktiviti fizikal dengan tugasnya seperti mengarahkan tangan untuk mengangkat sesuatu barang, ia juga berdaya untuk menggerakkan sesuatu dengan hanya menggunakan fungsi yang satu lagi iaitu dengan kekuatan minda.  Hal ini bukanlah sesuatu magik atau misteri.  Ia memang boleh berlaku jika kita telah berjaya menguasai minda sepenuhnya.  Ilmu menggerakkan sesuatu tanpa menyentuh ini dinamakan telekinetis. 

Sabtu, 25 Disember 2010

Kuasa Perkataan

Salam kasih sayang….

Tanpa kita sedari, perkataan yang kita gunakan seharian telah banyak membentuk diri kita dan diri orang di sekeliling kita.  Inilah yang dinamakan kuasa perkataan.

Perkataan seperti maaf, tolong, dan ucapan terima kasih adalah perkataan yang menggetarkan rasa ketulusan.  Jika kita sering amalkannya, pasti orang di sekeliling kita akan merasa sangat hormat dan menyanjung kita.  Cuba perhatikan contoh ayat di bawah…

Ayat Biasa Ayat Luar Biasa
Boleh tak tunjukkan alamat ni… Maafkan saya, boleh tak tunjukkan alamat ni
   
   

Cuba letakkan diri anda sebagai orang yang mendengar permintaan di atas.  Sebenarnya tiada apa-apa kesalahan pun dalam ayat biasa, namun dengan menggunakan perkataan ‘maaf’ sebagai permulaan untuk meminta tolong, maka ia telah mengubah perasaan orang yang mendengar.  Inilah yang dikatakan kuasa perkataan.  Dengan hanya menambahkan suatu perkataan sahaja di hadapan ayat yang sama, ia telah menukarkan perasaan dan AURA dalam ayat tersebut.

Cuba gunakan pula perkataan tolong dalam setiap arahan kita.  Pasti orang bawahan akan merasa sangat dihargai.

Gunakan juga perkataan terima kasih dengan tulus dan ikhlas setiap kali menerima daripada orang lain.  Pasti rasa kesyukuran dan keikhlasan itu terpancar dan menjalinkan rasa yang sukar untuk diperkatakan.

Kuasa daripada minda kita yang sering bergetar; kita tidak nampak ia….

Namun, kuasa minda yang kita alunkan dengan perkataan dan percakapan; kesannya akan kelihatan dengan jelas dan terus di depan mata.  Oleh itu, guna dan hargailah ia, kerana ia akan menunjukkan penampilan dan penerimaan orang lain terhadap diri kita.  Malah, dengan menggunakan kuasa perkataan ini, kita akan membentuk orang di sekeliling kita untuk menjadi lebih berhemah.

Jumaat, 24 Disember 2010

Membina Minda Remaja

Salam penuh kekuatan minda daripadaku…

Khutbah Jumaat hari ini membincangkan tentang membina generasi muda aka remaja.  Dalam khutbah ini, khatib mengeluh tentang peritnya melihat kebejatan sosial yang kian meruncing kini.  Segalanya berlaku di kalangan remaja yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.  Jika keadaan ini terus berlanjutan dan semakin merebak, maka suramlah sudah kepimpinan Melayu masa akan datang.

Aku ingin mengupasnya pula dari segi pembinaan minda remaja.  Bagiku, minda adalah alat dan perkara utama yang harus kita kuasai untuk terus berkuasa atas setiap sesuatu.  Jika dari kecil, kita menetapkan dalam minda bahawa solat itu adalah ibadat utama yang perlu dilaksanakan, maka pasti sampai ke usia berapa sekalipun, kita akan terus berpegang kepadanya.  Ini adalah kerana, minda memainkan peranan untuk menggerakkan hati dan anggota tubuh badan.

Sama juga dengan keadaan yang lain…  Jika kita mampu menguasai dan mendidik minda remaja untuk menjadi generasi yang cemerlang, pasti mereka akan terus berkembang menjadi individu yang berjaya suatu hari nanti.

Namun, bagaimanakah caranya untuk menguasai dan membina minda mereka sejajar dengan kehendak kita?

Kajian telah membuktikan bahawa 60% minda kanak-kanak, remaja, dan kita sendiri, telah disogokkan dengan perkara dan perkataan negatif.  Sejak dari kecil, hingga usia kita kini, perkara negatif itu terus bersarang dalam minda dan pemikiran kita.  Lantaran itu, bagaimana untuk membina minda yang hebat.

Perkara negatif terdiri daripada perkataan, perbuatan, dan simbol yang memberi erti tertentu.  Dari segi perkataan, kita sering disogokkan dengan perkataan negatif seperti tidak, jangan, usah, dan pelbagai jenis larangan lagi.  Kelihatannya seperti ingin mendidik untuk ke arah kebaikan.  Namun pada hakikatnya perkataan-perkataan inilah yang akan memberi kesan negatif kepada perkembangan minda.

Jangan panjat pokok tu, nanti jatuh!’

Jangan bising, orang nak solat!’

Tak boleh berada di sini, nanti mengganggu orang lain!’

Ayat-ayat di atas sebenarnya bertujuan untuk memberi didikan, atau menyatakan sesuatu perkara untuk membentuk diri kanak-kanak.  Namun, dengan perkataan jangan dan tidak, pasti ia mencerminkan keadaan yang negatif. 

Aku teringat dengan kata-kata tuan guruku suatu masa dahulu, cuba tukarkan semua perkara negatif kepada positif untuk menjadikan sesuatu nasihat itu lebih dekat di hati.

Kuasa perkataan amat membantu dalam membina minda.  Akan kuhuraikan pada catatan seterusnya….

AURA ~ 5

Salam penuh AURA kasih daripadaku….

Kenapa kita perlu ada AURA yang baik?  AURA datang daripada getaran daripada dalam tubuh kita.  Jika kita seorang yang tulus, maka kita akan memancarkan warna AURA yang terbaik di sekeliling kita.  Warna AURA itu jika dapat dilihat, seperti sebutir telur yang mengelilingi tubuh kita, dari kaki hingga ke atas kepala.  Warna yang dipancarkan ini akan mengelilingi tubuh dalam bentuk putaran arah lawan jam.  Jika kita berjaya memancarkannya dengan kuat, maka ia akan menjadi semakin besar dan meluas di sekeliling kita.

Pancaran yang luas daripada AURA tubuh akan membentuk jaringan yang kuat dengan orang yang berada di sekeliling kita.  Keadaan ini akan menyebabkan orang yang berada di sekeliling kita akan merasa sangat senang, tenang, damai, dan tertarik kepada kita.  Hal inilah yang akhirnya timbul ungkapan seperti ‘dia ada AURA…’  Ungkapan ini sebenarnya menunjukkan yang orang lain merasa seronok apabila bersama dengan kita.  Malah, apabila melihat wajah, atau mendengar suara kita, akan membuatkan seseorang itu ‘tertawan’.

Namun, bagaimana cara untuk memancarkan AURA yang terbaik, dan sekaligus menarik perhatian orang lain?  Seperti yang telah dimaklumkan, AURA datang daripada dalam diri.  Jika kita baik, berhati mulia, tenang, dan sentiasa berfikiran positif, maka pasti kita memancarkan AURA yang terbaik untuk menarik perhatian orang lain.  Malah, daya tarikan itu akan kekal terasa selagi mana kita berjaya mengekalkannya.

Cara terbaik untuk mengekalkan pancaran AURA adalah dengan melakukan solat dan bermeditasi (zikir, tahajjut, suluh).  Ketika melakukan aktiviti seperti ini, diri akan menjadi sangat tenang.  Ketenangan inilah yang akan memancarkan AURA yang terbaik daripada dalam diri.  Perhatikan tuan-tuan guru, ulama’, ustaz….golongan ini biasanya sentiasa berada dalam keadaan yang tenang kerana melakukan aktiviti seperti di atas.  Ketenangan inilah yang terpancar dan menjadi AURA.

AURA seperti sebutir telur itu mungkin sekali akan bocor!  Kebocoran ini akan menyebabkan warna AURA yang terpancar daripada dalam diri tidak akan berada dalam lingkungan kita.  Hal ini akan menyebabkan kita tidak berjaya menarik perhatian orang lain.  Malah, orang lain akan merasa gelisah, rimas, dan tidak sehaluan.  Kebocoran ini berlaku apabila kita tidak lagi mengekalkan ketenangan itu.  Ini amatlah merugikan diri kita…

Rabu, 22 Disember 2010

AURA ~ 4

Salam penuh kasih sayang daripadaku….

Pertama sekali ingin aku memaklumkan tentang pergerakanku beberapa hari yang lalu.  Seusai peperiksaan OUM untuk kertas terakhir bagi semester ini, aku telah bergegas ke utara semenanjung kerana membantu rakanku yang menganjurkan sebuah kursus ikhtiar hidup.  Jadi sepanjang aku berada di sana, aku telah kehilangan arah untuk meneruskan catatanku di sini.  Alhamdulillah, setelah kembalinya aku ke sini, maka dapatlah aku menulis kembali.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

AURA juga terdapat di alam semesta ciptaan ALLAH ini.  Ini memang berlaku jika kita dapat perhatikan tentang perubahan warna alam di sekeliling kita.  Namun, bukan semua warna alam itu terpancar jelas di pandangan mata.  Berikut adalah beberapa warna alam yang dapat kita hayati bersama berdasarkan perubahan masa….

Waktu Subuh ~ Alam berwarna biru muda.  Pada waktu ini, AURA alam akan mempengaruhi metabolisma badan.  Oleh itu, ia dikaitkan dengan penawar, dan sumber rezeki.  Ini bersesuaian dengan perintah ALLAH untuk kita menunaikan solat Subuh di awal waktu, dan anjuran untuk tidak lagi tidur selepas solat Subuh.  Ini adalah kerana pada waktu ini, AURA alam akan mempengaruhi keadaan badan kita.  Orang yang selalu meninggalkan solat Subuh, atau melewat-lewatkannya akan beransur-ansur menjadi semakin lemah dan mudah dijangkiti penyakit.  Mereka juga berpotensi untuk menghadapi masalah dalam komunikasi dan sumber rezeki.

Waktu Zohor ~ Alam berwarna hijau pada awalnya dan beransur-ansur menjadi warna kuning.  Warna kuning ada kaitan dengan sistem pencernaan dan keceriaan.  Ini sesuai kerana pada waktu ini, lumrahnya manusia akan makan dan berehat seketika.  Jadi, unsur warna alam ini membantu pencernaan dan penghadaman kepada sistem tubuh manusia.

Waktu Asar ~ Warna alam bertukar kepada spektrum oren.  Pada ketika ini, ia mempengaruhi kepada sistem reproduksi (pembiakan) dan kreativiti.  Orang yang sering tertinggal solat pada spektrum warna ini biasanya akan mempengaruhi sistem peranakannya dan daya pemikiran mereka.  Aku masih ingat sewaktu kecil dahulu sering diingatkan agar tidak tidur pada waktu ini kerana jika diamalkan akan menjadi gila.  Sekarang baru terbukti kerana pada waktu ini warna AURA alam sedang mempengaruhi daya kreativiti manusia.

Waktu Maghrib ~ Alam berubah menjadi warna merah.  Perhatikan betul-betul warna di dada langit pada waktu ini, warna merah akan tampak jelas dari kejauhan.  Warna merah ini juga ada kaitan dengan spektrum warna jin dan iblis.  Lantaran itu kita disuruh berada di dalam rumah, surau, untuk mengelak daripada warna alam ini.  Ilmu mistik juga mengakui bahawa suasana pada ketika ini memudahkan seseorang yang lemah semangat akan mudah dikuasai oleh jin.  Rahsia AURA pada waktu ini adalah berkaitan dengan keyakinan.  Jika seseorang itu berada dalam khusyuk semasa solat pada AURA alam ini, akan memudahkan dia mendalamkan lagi keyakinannya kepada ALLAH.

Waktu Isyak ~ Warna AURA alam bertukar menjadi warna indigo.  Pada ketika ini warna mempengaruhi ketenteraman dan kedamaian.  Sesuai dengan kehidupan manusia, pada ketika inilah masa untuk mereka berehat yang sebenarnya.

Waktu tengah malam ~ Warna alam berubah-ubah menjadi warna putih, merah jambu, dan ungu.  Warna ini sesuai untuk fungsi otak dan ketahanan tubuh.  Orang yang berada dalam keadaan rehat pada ketika ini akan menyerap AURA warna ini.  Ini sesuai kerana pada ketika ini manusia sedang tidur dan berehat untuk membetulkan semula fungsi tubuh.  Namun, bagi yang bangun untuk menunaikan solat (qiamullail) akan mendapat lebih banyak manafaat.  Ini berdasarkan fakta tubuh sedang menyerap lebih banyak AURA alam ketika berada dalam keadaan aktif, namun tenang.  Malah, udara pada waktu ini adalah udara yang sangat segar dan diserap terus oleh badan manusia.

Kenapa semua fakta AURA alam ini aku kaitkan dengan waktu solat?  Ini adalah sebagai bukti bahawa setiap waktu yang telah ditetapkan oleh ALLAH untuk menemuinya adalah suatu masa yang sangat indah dan berharga.  Ia akan memberi kebaikan kepada manusia secara langsung.  Ini adalah kerana, semasa solat, kita akan berada dalam keadaan yang sangat tenang seperti bermeditasi.  Oleh itu, tubuh akan menyerap AURA alam dengan lebih baik dan menyeluruh.  

Khamis, 16 Disember 2010

AURA ~ 3

Salam penuh AURA keceriaan daripadaku….

Apakah warna AURA yang akan terpancar daripada dalam diri kita?  Dan, apakah pengertian setiap daripadanya?

  1. Merah ~ Warna emosi yang terbit daripada dalam diri manusia.  Orang yang terlalu beremosi akan memancarkan warna ini di sekelilingnya.  Emosi dan perasaan ketika marah, dapat terpancar jelas pada wajah manusia.  Namun, di sekelilingnya juga terpancar AURA ini yang akan memberi kesan kepada pertimbangannnya.  Begitu juga emosi dalam kasih sayang.  Adakah ini warna ‘LOVE’?
  2. Oren ~ Warna yang menunjukkan semangat, sifat kreatif, dan emosi.  Warna ini baik dan memberi kesan positif kepada diri.  Jika kita memancarkan warna ini, semangat kita akan membara, emosi akan stabil dan cemerlang, dan daya kreativiti akan bertambah.
  3. Kuning ~ Warna ini akan dipancarkan oleh orang yang pintar, cerdik, bersifat intelek.  Semakin kuat warna ini terhasil, semakin kritis pemikiran seseorang itu.
  4. Hijau ~ Warna yang melambangkan sifat sensitif, dan cita-cita terhadap sesuatu yang sangat tinggi.  Orang yang memancarkan warna ini adalah orang yang berdikari, boleh dipercayai, pandai bersahabat, dan bersifat terbuka.  Namun, jika warna ini terlalu gelap, ia melambangkan orang itu terlalu gopoh, dan sangat kuat cemburunya.
  5. Biru ~ Warna yang melambangkan kepercayaan dan keyakinan.  Orang yang memancarkan warna ini adalah orang yang memiliki keunggulan dalam mentadbir.
  6. Indigo ~ Warna yang dipancarkan oleh orang yang bersifat penyayang, dan suci.  Warna ini paling sukar dilihat kerana lapisan warnanya sangat kecil dan sedikit.
  7. Ungu ~ Warna ini sangat hangat.  Ia akan mempengaruhi hati dan minda, iaitu gabungan fizikal dan rohani.  Orang yang baik hatinya, dan suka melakukan kerja kebaikan akan memancarkan warna ini dengan jelas.

Semua maksud warna ini adalah hasil daripada kajian yang dilakukan dengan menggunakan kamera fotografi Kirlian.  Untuk mendapatkan khidmat mengambil dan menganalisa sifat AURA kita, perlu dilakukan oleh golongan profesional yang ada kamera jenis ini sahaja.  Dan pastinya ia melibatkan sedikit kos.

Maksud yang tersirat daripada analisa fotografi ini bukanlah seperti meramal dan menujum seseorang.  Pancaran cahaya yang berlaku adalah daripada diri kita sendiri.  Kita tidak akan mampu untuk menipu diri kita atau menipu teknologi fotografi itu.  Ia berlaku secara semulajadi berdasarkan sifat diri kita sendiri.  Jika kita mampu untuk mendapatkah khidmat fotografi ini, tujuannya hanya satu; iaitu untuk menilai kembali diri kita berdasarkan sifat peribadi kita daripada dalam.

Catatan seterusnya akan membincangkan tentang warna AURA alam...

Rabu, 15 Disember 2010

AURA ~ 2

Salam penuh AURA kepada semua…

Apa itu AURA?

Setiap benda terdiri daripada partikel kecil yang dinamakan atom (mengikut hukum fizik).  Atom itu sendiri terdiri daripada elektrok negatif dan proton positif.  Kedua-duanya saling bergerak mengelilingi.  Keadaan ini menghasilkan tenaga kerana adanya medan tenaga.  Medan tenaga ini akan memancarkan cahaya.  Dan cahaya itulah yang dinamakan AURA.

Tak faham?

Lihat sahaja gambar ini…

aura2

Gambar ini diambil dengan kamera ‘fotografi Kirlian’.  Melalui kamera ini, warna AURA yang tidak tertangkap dengan pandangan mata kasar akan kelihatan.  Biasanya terdapat 7 jenis cahaya yang akan kelihatan meliputi pusaran di badan kita.  Namun kedudukan, ketinggian, keluasan, dan kecerahan warnanya bergantung kepada setiap orang.

aura3

Pada kebiasaannya kita akan memancarkan 7 jenis warna (sama seperti warna pelangi).  Namun ada yang mampu untuk memancarkan pelbagai lagi warna hingga mencecah 12 jenis warna.  Pasti sahaja bilangan warna dan jenis yang dipancarkan sebenarnya memberi simbol dan erti tersendiri tentang siapa kita.  Ini adalah kerana, warna yang dipancarkan ini datang daripada dalam diri kita sendiri.

Catatan seterusnya akan menjelaskan tentang maksud di sebalik warna AURA yang dipancarkan.

Sabtu, 11 Disember 2010

AURA ~ 1

Salam penuh kasih sayang kepada semua…

Sudah lama aku tidak ke sini.  Ini adalah disebabkan masaku banyak ditumpukan kepada membuat ulang kaji.  Ya, ulang kaji!  Kerana musim peperiksaan OUM sudah kembali….

Untuk catatan hari ini dan seterusnya, aku akan membicarakan tentang AURA.  Aku akan menjelaskan secara sepintas lalu apa yang dimaksudkan dengan aura, keadaannya sesuai dengan kuasa minda kita, dan pandangan Islam berkenaan dengannya.

Anda tahu apa itu aura?

mawi

Bila sebut pasal aura, ada yang teringatkan MAWI.  Maaf, aku bukanlah peminat Mawi, atau mana-mana artis, namun aku terpaksa menggunakan subjek Mawi sebagai gambaran.  Suatu masa dahulu, heboh diperkatakan, ‘Mawi ada AURA tersendiri…’  Jadi, apa sebenarnya AURA?

Adakah AURA hanya ada pada seorang yang bergelar artis sahaja?

Bagaimana pula dengan individu ini?

tok guru

Dan ini?

 mahathir

Adakah mereka juga mempunyai AURA tersendiri?  Sebenarnya, AURA ada pada setiap manusia.  Kuulangi, setiap manusia ada AURA, termasuk diriku dan diri kalian.  AURA adalah liputan molekul cahaya yang dikeluarkan daripada minda kita, meliputi seluruh badan kita.  Ia akan melingkari badan kita keseluruhannya berbentuk seperi ‘telur ayam’.  Lingkarannya akan berpurat mengikut arah lawan jam. 

Bagaimana ia terbentuk?

Apa kebaikan dan keburukannya kepada kita?

Nanti jawapannya, nak sambung study sikit lagi…. :)

Khamis, 9 Disember 2010

Gelombang Otak ~ 3

Salam penuh keceriaan buat semua…

Mampukah untuk kita mengawal gelombang otak kita?  Kerana, ada yang berkata; gelombang otak jika berada dalam keadaan yang terlalu tinggi sama bahayanya dengan tsunami…

Betul tu, aku sendiri setuju.  Justeru, telah tersurat bahawa setiap sesuatu itu memang ada kebaikannya.  Namun jika sangat berlebih-lebihan, pasti ia membawa mudarat.  Sama juga dengan gelombang otak kita.  Jika ia berlebih-lebihan dan naik terlalu tinggi, maka pasti ia membawa keburukan.  Oleh itu kita perlu untuk sentiasa mengawal keadaan getarannya.  Jangan terlalu tinggi (beta) dan jangan terlalu rendah (delta).

Sains dan teknologi telah membuktikan bahawa muzik atau gelombang bunyi dapat mengawal gelombang otak.  Oleh itu, terciptanya brainwave entertainment.  Setakat ini terdapat dua jenis ‘rawatan’ gelombang muzik yang dapat mengawal gelombang otak; menggunakan rentak binaural, dan tona isokronik.  Biasanya, kita akan menggunakan headphone untuk mendengar gelombang dan bunyi muzik itu dengan lebih baik.

Penggunaan gelombang ini dikatakan dapat menstabilkan gelombang otak kerana otak yang terbahagi kepada dua bahagian akan saling bergantungan antara satu sama lain.  Konsepnya, dengan menggunakan headphone yang agak baik, akan menghasilkan bunyi tona yang tidak sekata.  Telinga kiri diperdengarkan dengan muzik berfrekuansi 30Hz, manakala telinga kanan diperdengarkan dengan gelombang 20Hz.  Otak akan mentafsirkan kekuatan gelombang yang berbeza ini menyebabkan gelombang otak menurun ke 10Hz.  Ini menunjukkan bahawa otak telah berjaya menurun ke tahap alpha (tenang dan damai).

Namun begitu, ada satu lagi kaedah yang sangat unik dan mudah untuk mengawal gelombang otak.  Aktiviti menyatakan sesuatu secara berulang-ulang juga dapat mengawal dan menurunkan gelombang otak.  Zikir, adalah perkara yang dimaksudkan.  Ini memang telah terbukti, apabila otak mentafsirkan pengucapan yang diulang-ulang (beta), semakin lama ia menurun ke tahap alpha apabila sampai ke suatu jangka masa yang tertentu.  Ini akan terjadi dengan lebih baik jika suasana berzikir itu dilakukan semasa hari dan keadaan yang tenang, contohnya di tengah malam, atau subuh.

Lihat situasi ini;  semasa berada dalam keadaan marah contohnya dalam kesesakan jalan raya (gelombang otak beta), kita tersedar akan kemarahan itu tidak baik dan mula berzikir, dan beristighfar.  Apa yang akan berlaku?  Pasti sahaja kita akan merasa tenang dan tidak marah lagi.  Ini adalah kerana kita telah berjaya mengawal gelombang otak dari beta menurun ke alpha dengan menggunakan kaedah berzikir.

Pernah dengar tentang hipnosis?  Ini juga satu bentuk menurunkan gelombang otak dengan pengucapan berulang…  Aku pernah mengkaji bidang ini suatu masa dahulu, namun kerana sesuatu keadaan yang tidak mengizinkan, aku terpaksa menghentikannya.  Mungkin, jika ada peluang yang lain, kajian itu akan kusambung nanti.

Rabu, 8 Disember 2010

Gelombang Otak ~ 2

tonton tv

Setelah memahami tentang empat jenis gelombang otak yang kita ada, hari ini aku akan menjelaskan pula kesannya kepada diri kita.  Gelombang otak kita memang sentiasa berubah-ubah.  Apabila berada dalam keadaan yang mencabar, gelombang otak kita berada di tahap beta.  Pada ketika ini, memang sukar untuk kita menerima apa sahaja pandangan dan saranan daripada orang lain.

Contohnya, semasa kita berada dalam keadaan marah, atau bergaduh, gelombang otak akan memancar dengan kuat (ada yang mencapai 50 Hz).  Pada ketika ini, apa sahaja pandangan orang yang tidak sependapat dengan kita, pasti kita akan menolaknya mentah-mentah.  Sebab itu, apabila seseorang berada dalam keadaan marah dan tertekan, cara untuk meredakan keadaan adalah menyuruhnya bertenang dahulu.  Minta dia duduk, tarik nafas panjang-panjang secara perlahan-lahan, atau mungkin boleh meneguk sedikit air.  Keadaan ini akan menyebabkan gelombang otaknya kembali menurun.  Kemudian barulah boleh dibawa berbincang.

Semasa menonton filem, atau cereka tertentu, atau semasa membaca sebuah novel menarik, gelombang otak kita mudah berada pada tahap alpha.  Ini menunjukkkan kita sudah berada dalam keadaan hampir masuk ke alam khayalan.  Contohnya bagi perempuan (sorry, hanya sekadar contoh yang biasa dilihat) yang suka melihat filem Hindi.  Filem Hindi memang terkenal dengan gaya menceritaan dan lagu yang mengasyikkan.  Pada ketika menonton tersebut, penonton terutama perempuan (sorry sekali lagi) mudah dibawa ke alam khayalan.  Ini adalah kerana pada ketika menonton tersebut, gelombang otak kita berada dalam keadaan yang sangat tenang dan santai.  Oleh itu keasyikan cerita dapat diterima terus oleh penonton.  Malah ada yang terbawa-bawa hingga mampu mengalirkan air mata apabila sampai ke plot cerita yang sedih.  Ini menunjukkan yang gelombang otak tadi telah benar-benar berada dalam tahap alpha hingga mampu menerima saranan daripada cerita tersebut.

Bukan itu sahaja, seketika kemudian, dipaparkan pula dengan iklan tertentu.  Oleh kerana semasa menonton tadi kita telah berada di tahap alpha (yang mudah menerima apa sahaja saranan luar) maka kita mungkin akan terpengaruh untuk membeli barangan yang diiklankan semasa sedang asyik menonton tadi.  Ini akan lebih jelas berlaku jika kita memang hendak memiliki sesuatu yang ditunjukkan dalam iklan tersebut.  Jadi berhati-hati, kerana inilah peranan iklan di televisyen.  Sedang asyik dengan plot cerita yang menarik, kita disogokkan dengan iklan.  Kenapa?  Tidak bolehlah iklan disiarkan semasa plot cerita masih mendatar?  Ini adalah kerana pada masa inilah penonton sangat mudah dipengaruhi.

Selasa, 7 Disember 2010

Gelombang Otak

minda

Gelombang adalah getaran yang dilepaskan oleh sesebuah tenaga.  Gelombang akan berada dalam alam semesta dan menarik hubungan yang sama dengannya untuk saling bersama. 

Contoh gelombang yang paling jelas pada pemikiran kita adalah gelombang radio.  Ia tidak nampak, tapi kita tahu ia ada.  Gelombang radio itu akan berada di alam semesta dan terus bergetar.  Apabila kita menggunakan frekuansi yang sama dengannya, maka ia tertarik dan saling menarik antara satu sama lain (antara radio yang berfrekuansi yang sama, dengan gelombang yang berada di alam semesta).  Akhirnya keadaan saling menarik itu menyebabkan kita dapat mendengar gelombang radio itu tadi.  Ini adalah kerana kita menarik perkara yang sama bentuk dan getarannya; frekuansi.

Terdapat 4 jenis / keadaan gelombang otak.

1.  Beta – Gelombang ini dihasilkan oleh otak dalam keadaan kita sedar dan berada dalam keadaan yang sangat aktif.  Frekuansi gelombang ini berukuran 13 – 30 Hz.  Keadaan minda kita pada ketika itu adalah minda sedar.  Ini adalah kerana minda berada dalam getaran yang sangat aktif.  Pada ketika itu, tiada apa-apa saranan yang mampu kita terima kerana getaran yang terlalu kuat.  Contoh, semasa berdebat.

2.  Alpha – Gelombang ini terhasil semasa kita berada dalam keadaan rehat atau santai.  Gelombang yang dihasilkan berukuran 8 – 12 Hz.  Orang yang berkhayal akan mengalami gelombang ini pada awal khayalannya.  Keadaan ini dipanggil mengelamun.  Dia masih boleh mendengar suara-suara orang lain, namun dia tidak mendengarnya dengan aktif kerana sedang mengelamun.  Gelombang Alpha adalah gelombang otak separa sedar.  Pada ketika itu, pemikiran logik mula semakin lemah, dan sangat mudah untuk menerima saranan sesuatu.

3.  Theta -  Gelombang ini berfrekuansi 4 – 7 Hz.  Minda kita pada ketika ini berada dalam keadaan yang sangat rehat.  Orang yang sedang benar-benar berkhayal akan berada dalam gelombang ini.  Tahap logik akal sudah hampir tidak ada langsung pada ketika ini dan apa sahaja saranan daripada luar akan diterima dengan mudah.  Contoh, orang yang sedang melakukan meditasi.

4.  Delta – Gelombang ini paling perlahan, berukuran 0.2 – 3.5 Hz.  Contoh orang yang sedang pengsan, atau tidur yang terlalu nyenyak tanpa mengalami mimpi.

Isnin, 6 Disember 2010

Berhijrah untuk lebih berjaya…

Salam penuh kedamaian buat semua…

Berahkhir sudah tahun 1431 Hijrah, menjelang pula tahun baru 1432.  Tahun baru bagi ummat Islam, disambut dengan bacaan doa dan ayat-ayat suci Al-Quran (itulah yang membezakan dengan sambutan yang lain) memberi penuh makna kepada kita semua.  Beruntung dan berbahagialah kepada yang berjaya mengakhirkan tahun dengan bacaan doa, dan memulakan tahun juga dengan berdoa kepadaNya.

Apabila menyebut tentang tahun baru / Awal Muharam, maka kita tidak terlepas daripada mengingati tentang peristiwa hijrah yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah; berhijrah dari Mekah ke Madinah.  Ungkapan ‘tiada lagi hijrah selepas hijrah Rasulullah’ bermaksud tiada lagi peristiwa seperti itu akan berlaku.  Ini adalah kerana, bukan hijrah iaitu meninggalkan sesuatu tempat untuk menuju ke tempat yang lain.  Hanya peristiwa hijrah itu sahajalah kejadian hijrah yang akan kekal dalam lipatan sejarah kita.

Namun, pengertian hijrah untuk kita semua, jangan hanya memandang kepada perpindahan ke tempat baru.  Sebaliknya hijrah iaitu meninggalkan keadaan diri kita yang lama, kepada menuju diri kita yang baru.  Jika dulu, kita sering melambat-lambatkan solat, maka sekarang kita ‘berhijrah’ untuk mengekalkan solat di awal waktu.  Itu juga dianggap satu bentuk penghijrahan untuk diri kita masa kini.  Ini membawa erti bahawa kita ingin berubah, dan ingin meninggalkan corak kehidupan kita yang lalu menjadi corak kehidupan yang lebih baik di sisiNya.

Hijrah diri menjadi lebih baik…

Hijrah diri menjadi lebih kuat beribadat…

Hijrah diri menjadi seorang yang hebat minda…

Masa 3 : Tidur

Salam penuh kebahagiaan…

tidurGambar daripada internet 

Selain solat (kerohanian), dan makan (jasmani/tubuh badan), maka perkara yang perlu diberi perhatian adalah tidur.  Tidur adalah waktu untuk memberi ketenangan dan kerehatan kepada badan.  Biasanya kita akan tidur pada waktu malam.  Ini adalah fitrah; kerana pada siang hari kita bekerja dan kemudian malamnya kita berehat.  Namun ada juga orang yang akan tidur pada siang hari terutama waktu tengah hari.  Ini tidak salah, namun jangan terlalu dilebihkan tidur pada siang hari itu.

Masa tidur (malam) adalah masa yang paling sesuai untuk berehat.  Semasa tidur, bukan hanya sekadar kita merehatkan badan sahaja, malah yang paling utama pada ketika inilah kita dapat merehatkan minda kita.  Jika anda seorang pelajar, masa tidur yang sesuai cukup diperlukan.  Ini adalah kerana, semasa tidur itulah, minda anda akan menyusun kembali maklumat dan fakta yang diterima untuk menentukan tahap kepentingannya.  Dengan kata lain, setelah menerima sesuatu maklumat, minda akan menyusun kembali fakta itu berdasarkan keutamaan untuk dimasukkan ke dalam memori jangka panjang atau memori jangka pendek.  Semuanya dilakukan semasa tidur.

Tidur yang cukup akan mempengaruhi prestasi kita.  Dengan tidur yang cukup bermakna badan kita akan kekal cergas setelah bangun dari tidur nanti.  Oleh itu kita akan dapat melaksanakan tugasan kita dengan lebih baik dan cekap.  Oleh itu, tidur yang cukup amat diperlukan. 

Ahad, 5 Disember 2010

Masa 2 : Makan

PB280158

Salam penuh kedamaian…

Masih lagi berbicara berkenaan pesanan daripada Hj Daud Mansor.  Kelmarin telah kuulaskan berkenaan Masa 1, dan kini adalah sambungannya.

Makan adalah fitrah kepada semua manusia.  Tidak kira kecil besar, tua muda, kaya miskin, malah orang kurang siuman juga memerlukan makanan.  Namun sedarkah kita bahawa makanan yang kita makan itu adalah punca kepada masalah kesihatan kita…

Tidak kira sesedap mana makanan tersebut, kita seharusnya makan dengan kadar yang sederhana sahaja.  Malah Rasulullah sendiri menganjurkan untuk makan selepas lapar dan berhenti makan sebelum kenyang.  Ini bermaksud, jangan makan terlalu banyak hingga penuh kantung dalam perut, yang akan membuatkan kita menjadi malas seperti ular kekenyangan.

Cuba lihat pula dari segi masa kita makan.  Sekarang, restoran dibuka 24 jam dalam sehari.  Ini menunjukkan ada yang masih berminat untuk makan dan minum-minum di gerai pada lewat malam.  Hal ini terpulang kepada diri masing-masing….mungkin yang makan di dinihari tersebut baru habis kerja, atau baru tersedar yang diri tak makan lagi kerana kesibukan, dan sebagainya.

Menurut Hj Daud, cubalah luangkan masa makan untuk makan bersama keluarga.  Itulah masa makan yang paling utama dalam petua amalannya.

Pada masa kini, urusan keluarga (bekerja dan belajar) sudah tidak menentu.  Jadi, masa makan malam adalah masa terbaik untuk berkumpul seisi keluarga.  Cubalah sedaya mungkin untuk duduk semeja dan makan bersama-sama dengan keluarga.  Makan adalah aktiviti yang menenangkan.  Jadi, pada masa inilah, hubungan yang jauh dapat dirapatkan.  Pada masa makan bersama ini, kita boleh berbual-bual ringan dan akan dapat merapatkan lagi rasa kasih sayang tersebut…

Sabtu, 4 Disember 2010

Masa 1 : Solat

Salam bahagia kepada semua…

Masa solat, adalah masa untuk kita ‘melapor diri’ kepadaNya.  Semasa pertama kali solat difardukan, kita telah seharusnya memahami dan menghayatinya sebagai satu bentuk tanggungjawab kita sebagai hamba untuk mengadap kepadaNya walau apa keadaan sekalipun.  Itulah sebenarnya kewajipan yang harus kita laksanakan kerana sifat hamba haruslah patuh kepada arahan ‘tuannya’.

Apa yang menarik tentang solat adalah masanya.  Ada lima waktu sehari semalam.  Subuh adalah solat di awal pagi.  Bangun sahaja dari tidur yang menyenangkan, kita mengadap kepada ALLAH.  Dari solat Subuh sebenarnya telah menunjukkan kita sebagai manusia yang bangun untuk memulakan hari baru, mengadap kepadaNya terlebih dahulu, bersyukur kerana masih dihidupkan, dan memohon untuk dipermudahkan segala urusan pada hari tersebut.

Setelah kerja dilaksanakan, kita berehat untuk makan tengah hari.  Sekali lagi waktu bersolat tiba.  Bersyukur kerana sebahagian kerja telah terlaksana, ada sebahagian lagi yang perlukan ‘bantuan’ daripadaNya cuma.  Pada ketika ini juga badan menuntut untuk berehat sebentar.  Maka solatlah sebahagian daripada rehat dari bekerja berat yang dilakukan oleh badan sepanjang pagi membawa ke tengah hari.

Petang, setelah selesai segala kerja, kita bersolat lagi.  Asar mendidik kita untuk mengakhirkan segala kerja dengan menemuinya lagi.  Alangkah beruntungnya kita kerana dapat melakukannya.

Maghrib adalah masa solat yang mengajar kita erti kepentingan masa.  Masanya singkat sahaja.  Malah pada ketika inilah saat yang sangat menguji manusia dengan pelbagai kerenah kehidupan yang masih bersisa.

Solat terakhir dalam sehari adalah Isya’.  Ini adalah gambaran penutupnya kehidupan kita.  Sebelum kita tidur kembali, berehat setelah seharian melaksanakan tugas dan tanggungjawab, maka kita menemuiNya sekali lagi.  Memohon ampun dan maaf andai ada kesalahan yang dilakukan sepanjang hari, dan mengenang kembali segala nikmat rezeki yang diberikanNya kepada kita pada hari tersebut.

Minda manusia sebenarnya adalah satu bentuk rekod masa.  Jika kita seorang pekerja, atau seorang pelajar, yang melaksanakan tugas kita masing-masing, pasti akan memerlukan rehat seketika.  Justeru, memang sudah cukup indah ciptaan ALLAH terhadap arahan solat kepadaNya sepanjang hari tersebut.  Pada ketika ini, minda sebenarnya direhatkan seketika untuk melaksanakan tugasannya.  Pada ketika ini (semasa bersolat), minda kita akan berada dalam keadaan yang sangat tenang.  Setelah  ditenang dan didamaikan minda tersebut, baru le kita lebih bersemangat untuk melaksanakan tugasan seterusnya.  Itulah sebenarnya keindahan solat kepada manusia yang mengerti.

Apa yang dimaksudkan dengan rekod masa?  Sebenarnya minda lebih terarah untuk menjadi sangat aktif apabila kita menepati apa yang dilakukan sepanjang hari dalam beberapa jangka masa.  Contoh, jika kita minat menonton sesebuah siri cerita di televisyen, yang hanya akan berlangsung sekali dalam seminggu, pada ketika itu minda telah merekodkan masa untuk kita ‘menikmatinya’.  Jika kita tidak  menontonnya setelah beberapa jangka masa kita mendidik diri untuk menonton siri tersebut, maka diri akan menjadi gelisah.  Seperti ada yang tidak kena, hinggalah kita teringat kembali untuk menonton siri kesukaan kita itu.

Maka maksudnya sama seperti bersolat, malah lebih lagi…  Diri manusia, dan minda, adalah ciptaan ALLAH.  Kita memang telah terdidik sejak dulu untuk menemuiNya semasa  bersolat.  Jika kita telah berjaya mendidik diri untuk melaksanakan solat (terutama di awal waktu), tetapi apabila kita tidak melakukannya kerana sesuatu halangan seperti dalam perjalanan, atau menghadiri seminar, pasti pada ketika itu diri menjadi sangat gelisah.  Maka beruntunglah kita jika kita dapat merasai kegelisahan itu hingga ditenangkan dengan melaksanakan solat.

Jagalah masa solat.  Itu yang paling utama kepada kita sebagai hubungan menjadi hambaNya.  Jika kita berjaya menjaga masa solat, tidak meninggalkannya, tidak melengahkannya, malah tidak mengabaikannya, maka pasti kehidupan kita akan menjadi sangat cemerlang….

 

* entry seterusnya berkenaan masa makan pula….

Menjaga 3 Masa

Aku menulis kembali, setelah balik dari ‘ops luar’…

Aku menulis, berkenaan pengalaman, penghayatan, dan apa sahaja pemerhatian yang dapat aku kutip sepanjang ‘ops luar’ yang baru sahaja aku selesaikan.  Semasa melaksanakan tugasan luar baru-baru ini, aku bersama-sama dengan salah seorang jurulatih aktiviti pendidikan luar dari Negeri Sembilan. 

Hj Daud Mansor namanya…  Umurnya hampir 50 tahun, namun beliau masih aktif mengendalikan aktiviti luar untuk remaja, dan institusi pendidikan.  Sepanjang 5 hari aku bersama dengannya, banyak juga rahsianya yang dapat aku ‘korek’ (walaupun sebenarnya dia yang memberi).  Antaranya adalah tentang ‘kesihatan’ fizikalnya, walaupun sudah hampir 50 tahun, namun beliau masih lagi boleh berlari, mendaki, malah melaksanakan aktiviti air dengan sangat baik (aktiviti air adalah aktiviti pendidikan luar yang paling memenatkan).

Hj Daud memecahkan rahsianya….

“Jagalah 3 masa daripada setiap masa kamu….”

Masa 1 : Masa Solat

Hal ini sangat penting.  Solat adalah masa untuk kita mengadap kepadaNya.  Baik atau buruk situasi hidup kita, senang atau susah perjalanan kehidupan kita, pasti kita perlu bersemuka denganNya 5 kali sehari semalam.  Keadaan ini sebenarnya menggambarkan tentang tuntutan kita sebagai hamba yang perlu ‘melapor diri’ kepada tuan kita apabila telah tiba masanya.

Masa 2 : Masa Makan

Makan adalah keperluan untuk badan.  Makan akan membekalkan tenaga dan membina tubuh.  Dengan pemakanan yang betul, kita akan sentiasa dapat melaksanakan aktiviti dengan sihat dan teratur.

Masa 3 : Masa Tidur

Tidur pula adalah untuk memastikan badan berada dalam rehat yang tenang dan damai.  Dengan tidur, kita akan merehatkan tubuh dan minda setelah seharian melaksanakan aktiviti. 

Tiga masa yang dijaga dengan baik, akan membolehkan kita melaksanakan semua tugas kita dengan baik dan lebih teratur.