Jumaat, 25 Jun 2010

Bukti Hukum Tarikan

Hukum Tarikan @ Law of Attraction (LOA) yang telah dinyatakan sebelum ini memang terbukti memberikan kesan.

Pada hari ini inginku nyatakan betapa ia telah memberikan bukti yang sangat jelas kepada pemahaman dan kepercayaanku terhadap hukum alam ciptaan ALLAH ini.

Sejak seminggu yang lalu, aku telah mengaktifkan salah satu impianku dengan menggunakan teknik affirmasi, dan visualisasi. Teknik ini aku aktifkan untuk mencapai impian kereta baru yang aku ingin milikinya iaitu Naza CITRA. Setiap hari aku membayangkan kereta jenis ini akan menjadi milikku suatu hari nanti ( teknik visualisasi ), dan aku sering nyatakan kepada diriku bahawa aku pasti akan memilikinya ( teknik affirmasi ).

Pada ketika aku mengaktifkan kedua-dua teknik ini, mindaku telah mengeluarkan isyarat getarannya kepada alam semesta tentang apa yang aku inginkan. Mengikut hukum alam ciptaan ALLAH ini; hukum tarikan, maka apa yang aku lepaskan akan kembali kepadaku dengan nyata dan jelas. Maka buktinya, hampir setiap ketika, ada sahaja kereta jenis ini yang lalu di depan mataku. Kadang kala Naza CITRA akan melintasi keretaku, atau sering sekali aku mendapat parking dengan mudah di sebelah kereta jenis ini.

Apa yang ingin aku nyatakan adalah hukum tarikan telah menarik kereta impianku itu berada dekat dengan diriku. Walaupu aku belum lagi membelinya, namun ada sahaja 'kelibat' kereta ini akan muncul kepadaku.

Itulah keistimewaan hukum ALLAH ini.

Ini menunjukkan bahawa apa sahaja yang kita fikirkan akan tertarik semula kepada kita.
Jika kita memikirkan tentang kejayaan, pasti ada sahaja kejayaan yang akan menjelma dalam kehidupan kita. Begitu juga jika kita memikirkan sebaliknya...

Jadi sama-samalah kita mengaplikasikan hukum ini dengan sebaiknya.
Ada satu lagi bukti yang akan aku persembahkan di sini sedikit masa lagi.
Dan yang pasti, Naza CITRA pasti akan aku miliki suatu masa nanti....

Sabtu, 19 Jun 2010

Hukum Tarikan

Hukum Tarikan (Law of Attraction) adalah salah satu hukum alam yang tidak akan dapat disangkalkan lagi oleh sesiapa. Cuma sebilangan daripada kita sahaja yang masih belum mengetahui dan memahami hukum ini. Beruntunglah kepada sesiapa yang mengetahui dan memahaminya dan sebaliknya akan berlaku kepada yang mengabaikannya.
Sama seperti hukum-hukum alam yang lain, hukum ini adalah tetap kerana ia memang telah ditentukan oleh ALLAH atas kewujudan alam ini. Sebagai contoh, hukum graviti; apa sahaja objek yang mempunyai jisim akan tertarik ke bumi atas sebab hukum tarikan. Andai anda melepaskan segelas air dari genggaman tangan anda, pasti ia akan jatuh ke bumi tidak kira sama ada anda mahukan ia jatuh atau pun tidak. Samalah juga dengan hukum tarikan, ia akan berlaku tidak kira sama ada anda mahukan ia berlaku atau tidak.
Segala hukum tarikan ini ada pada pemikiran dan kehendak kita. Jika kita mahukan kejayaan dalam hidup, maka hukum tarikan akan berlaku dengan sendiri. Ia akan menjadi lebih berkesan dan efektif apabila disusuli dengan usaha dan kesungguhan anda 'menarik' keinginan itu menjadi milik anda.
Namun, siapakah antara kita yang mahu gagal dalam hidup?
Jawapannya; ADA..!
Ada antara kita yang memang mahu gagal dalam hidup. Dari segi asasnya, manusia inginkan kejayaan. Dalam pemikiran dan kehendak diri kita memang mahukan kejayaan dalam hidup. Ada yang mahu berjaya ke IPTA, ada yang mahu berkerjaya megah dan hebat, ada yang mahu rumah tersergam indah, dan segala macam perkara yang diandaikan sebagai suatu kejayaan. Namun terdetik sedikit di dalam hati, 'boleh ke aku berjaya?' Keadaan inilah yang memusnahkan impian kejayaan tersebut. Hal inilah sebenarnya yang dinamakan inginkan kegagalan dalam kehidupan.
Pada awalnya, hukum tarikan telah terjadi untuk mencipta kejayaan dalam kehendak yang dinyatakan tadi, namun apabila ada unsur negatif dalam pemikiran kita, maka kita telah menarik hukum tarikan terhadap kegagalan. Keadaan ini menyebabkan tarikan terhadap kejayaan berubah menjadi tarikan terhadap kegagalan. Inilah yang menunjukkan kita mahukan kegagalan dalam kehidupan.
Apa yang perlu dilakukan untuk memastikan kejayaan dalam hukum tarikan terhadap kejayaan?
Perkara yang paling utama ialah cara bagaimana kita berfikir.
Kita perlu sentiasa memikirkan tentang kejayaan. Jangan langsung memikirkan tentang kesukaran dan kegagalan dalam usaha itu. Hukum tarikan akan terus bekerja untuk menarik kejayaan tersebut dengan mudah jika kita terus memastikan cara pemikiran kita tetap dengan kejayaan yang ingin dicapai.
Selain daripada itu, terdapat beberapa perkara lagi yang perlu dilakukan untuk menarik kejayaan dalam hukum tarikan ini. Perkar-perkara seperti visualisasi, vision board, affirmasi, dan sebagainya perlu dilaksanakan seiring dengan cara pemikiran kita. Perkara-perkara ini akan dihuraikan dengan lebih mendalam nanti.

Khamis, 10 Jun 2010

Visualisasi Kejayaan Anda

Memahami bagaimana kuasa visualisasi dalam kekuatan minda anda adalah satu kemahiran yang perlu ada untuk menjayakannya. Langkah-langkah melaksanakan visualisasi dengan betul akan membolehkan kuasa minda anda bekerja dengan lebih hebat lagi untuk merealisasikan impian yang digambarkan itu.
Langkah 1
Tulis impian anda
Langkah pertama ini ialah cara bagaimana anda memulakan visualisasi. Memang sebagai seorang manusia, kita memiliki banyak impian. Ada yang inginkan rumah besar, kereta mewah, wang berjuta, dan kehidupan yang pasti menyenangkan. Namun, langkah ini memerlukan anda untuk menulis dengan sejelas-jelasnya tentang impian itu. Jika inginkan sebuah rumah, tulis dengan jelas rumah yang bagaimana, di mana lokasinya, warnanya, keluasannya, malah apa sahaja yang berkaitan dengan rumah itu, tuliskanlah dengan sejelasnya.
Langah 2
Tempat yang sesuai dan tenang
Langkah ini memerlukan anda pergi ke tempat yang sesuai untuk melakukan visualisasi. Tempat ini haruslah boleh menenangkan jiwa dan pemikiran anda. Keadaan ini akan membolehkan anda melakukan visualisasi dengan lebih berkesan. Tidak semestinya anda pergi ke tempat yang terletak jauh dari anda, cukuplah ke suatu tempat yang tiada sesiapa akan dapat mengganggu anda sepanjang visualisasi itu dilakukan. Bagi saya sendiri, tempat yang paling sesuai untuk saya melaksanakan visualisasi adalah di atas sejadah tempat solat saya di dalam bilik rumah saya; itulah tempat yang paling tenang buat diri saya.
Semasa berada di lokasi, cubalah tenangkan jiwa dan minda anda. Lapangkan fikiran dan kosongkan segala masalah. Cuba bernafas dengan tenang dan damai kerana keadaan ini akan membolehkan anda mengawal minda anda ke gelombang yang paling damai. Bertafakur seketika semasa menenangkan minda dan jiwa tersebut. Jika anda ada mengamalkan meditasi, maka bermeditasilah seketika dalam 5 minit. Keadaan ini akan membolehkan anda berada dalam keadaan yang sangat tenang dan mudah melakukan visualisasi.
Langkah 3
Bayangkan dengan mendalam
Bayangkan impian anda itu dengan jelas dan nyata. Jika anda ingin bervisualisasi tentang rumah baru anda, maka bayangkan bentuknya, warnanya, keadaannya, emosi anda semasa berada pertama kali di dalam rumah itu, bayangkan segalanya tentang rumah itu.
Pada ketika ini anda sudah berada di tahap bervisualisasi dengan mendalam. Anda dan minda anda telah bersatu untuk melaksanakan impian memiliki rumah tersebut. Pada ketika ini maka anda telah menghantar gelombang tarikan ke universel untuk 'menarik' rumah tersebut menghampiri anda. Semakin kuat, jelas, dan nyata gambaran anda, maka semakin cepatlah hasil yang anda impikan itu tercapai.
Harus diingat, visualisasi yang dilakukan itu harus sama dan sepadan pada setiap masa. Jika rumah yang anda idamkan adalah rumah banglo, maka teruskan bervisualisasi dengan rumah yang sama tanpa menukarkannya dengan gambaran rumah yang lain. Hal ini akan menyebabkan hasilan visualisasi akan terganggu dan usaha untuk mendapatkan rumah tersebut terhenti di tengah jalan.
Langkah 4
Emosi
Gambaran memiliki apa yang anda hajati perlulah seiring dengan emosi. Rasakan bagaimana emosi anda terbina apabila menggambarkan kejayaan anda memiliki rumah itu. Emosi keseronokan dan kebahagiaan anda sewaktu berjaya memiliki rumah itu akan kuat menolak perasaan dan tanggapan negatif tentang; boleh ke aku memiliki rumah semewah ini?
Tanggapan negatif ini sebenarnya akan memusnahkan kuasa minda yang anda telah lancarkan kerana kuasa minda itu akan mula keliru. Memang inilah yang kebanyakan daripada kita melakukan visualisasi dan hukum tarikan, namun hasilnya gagal! Ini adalah kerana kita tidak berjaya memunculkan emosi itu sebenar-benarnya sama seperti sewaktu kejayaan kita mencapai apa yang dihajati.
Emosi yang kuat pada ketika ini akan menambahkan keyakinan dan perjalanan pelaksanaan kuasa minda itu untuk bekerja. Kuasai emosi bermakna anda telah menguasai tarikan terhadap perkara yang anda visualisasikan itu.
Langkah 5
Tindakan positif
Jika kita hanya bervisualisasi tanpa berusaha, memang akan berjaya, namun masanya pasti amat panjang untuk menjayakannya. Oleh itu, pelaksanaan fizikal juga harus dilakukan. Usaha perlu dilakukan untuk mendapatkan rumah itu dari segi kewangan dan prosedur mendapatkan rumah. Jika hanya berharapkan dengan bervisualisasi, ditakuti ia hanya menjadi angan-angan kosong.

Selasa, 8 Jun 2010

Visualisasi

Ada yang bertanya kepadaku;
"Perlukah kita melaksanakan visualisasi?"
Jawapanku;
"PERLU!"
Visualisasi bukan hanya sekadar angan-angan kosong. Visualisasi adalah satu gambaran mental yang kita laksanakan untuk menunjukkan apa yang sebenarnya kita mahukan. Dengan melaksanakan visualisasi secara betul, apa yang kita impikan, dan usahakan untuk mendapatkannya akan tercapai dengan lebih mudah.
Contohnya, jika kita mengidamkan sebuah kereta Honda, kita mungkin akan melaksanakan apa sahaja usaha untuk mendapatkannya. Bermula dengan mengumpulkan wang pendahuluan untuk mengeluarkan kenderaan tersebut, sehinggalah membayarnya setiap bulan. Memang itu benar akan berlaku walaupun tanpa visualisasi. Namun, jika setiap tindakan itu disertai dengan visualisasi, maka pasti kereta Honda yang kita impikan itu akan menjadi kenyataan dengan lebih cepat dan mudah.
Namun, cara untuk 'menarik' kereta Honda itu untuk menjadi milik kita haruslah betul.
Lakukan visualisasi 2 kali sehari, sekurang-kurangnya 5 minit setiap sesi.
Gambarkan dengan tepat dan jelas kereta idaman kita itu, dari segi warna, bentuk, suasana di dalam kereta apabila kita menaikinya, malah cuba membina imaginasi seolah-olah kita mampu untuk menghidu bau 'kereta baru' kita itu. Itulah gambaran mental yang terhebat jika kita dapat melaksanakannya. Jangan ditukar-tukar gambaran itu; sekejap kereta Honda, sekejap kereta BMW, JANGAN! Kerana menukar-nukarkan visualisasi itu akan menyebabkan minda kita menjadi keliru tentang apa sebenarnya yang kita impikan.
Bayangkan dengan jelas kita mampu untuk memandu kereta itu ke sana ke mari. Rasakan kehebatan kereta tersebut dari segi pergerakannya, sistem audionya, malah kesejukan aircondnya. Bayangkanlah....bayangkanlah sejelas-jelasnya.
Visualisasi ini bukan hanya sekadar mengangankannya, malah sebenarnya ia menarik apa sahaja kehendak kita untuk menjadi kenyataan, lebih cepat daripada masa yang sepatutnya. Itulah kuasa minda yang ALLAH kurniakan kepada semua manusia, namun hanya sebahagian sahaja yang mampu memahami dan dapat melakukannya.

Sabtu, 5 Jun 2010

Kuasai Seni Visualisasi

Berapa kali harus kita laksanakan visualisasi?
Berapa jangka masa kekerapannya?
Berapa lama sesebuah visualisasi?
Semua jawapan itu ada pada diri kita sendiri...
Untuk menguatkan keutuhan dan keyakinan terhadap hasilan yang akan diterima, maka kita seharusnya terus melakukannya tanpa mengira rasa jemu.
Pada kebiasaannya, kita perlu melakukan visualisasi ini sekurang-kurangnya dua kali sehari. Masa yang dicadangkan adalah waktu pagi iaitu sesudah bangun dari tidur, dan waktu malam iaitu sebelum tidur. Ini adalah kerana pada ketika itu gelombang getaran minda kita berada dalam keadaan yang sangat ringan getarannya. Oleh itu ia boleh mengawal dan membawa kita 'mengembara' ke alam visualisasi yang kita ciptakan itu dengan lebih mendalam.
Jangka masa sesebuah visualisasi adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Masa lima minit mungkin masa yang sesuai bagi seseorang, namun mungkin menjadi terlalu panjang kepada seseorang yang lain. Apa yang penting, kita perlu menghayati 'seni' visualisasi itu...kita perlu laksanakan visualisasi itu seiring dengan kehendak diri kita sendiri. Apa yang benar-benar kita mahukan, itulah yang perlu kita bayangkan.