Sabtu, 24 Julai 2010

Kereta Sport Baruku...

Ada seorang jutawan yang baru sahaja membelikan sebuah kereta sport mewah jenis BMW kepada anaknya. Kereta sport merah itu sangat cantik, hebat, bergaya, laju, mengagumkan, dan segala perkara hebat yang mampu diucapkan, ada pada kereta tersebut.

Sebagai anak seorang jutawan, pastilah dia merasa gembira dan bangga kerana berjaya mendapat kereta yang diidamkan. Maka bergaya sakanlah dia dengan membawa kereta mewah itu ke sana dan ke mari. Dia terus ke rumah rakan baiknya dan ke rumah awek-aweknya untuk diajak keluar bersama. Bergembiralah mereka sekalian dengan pacuan baru yang sangat mengujakan itu. Entah ke mana kereta dipandu mereka tidak peduli. Apa yang pasti adalah mereka sangat gembira dapat berkereta baru ke sana ke mari.

Sampai di suatu kawasan, tiba-tiba anak jutawan tersebut tersedar bahawa kereta barunya itu perlukan bahan bakar (petrol) kerana hampir habis. Maka segeralah dia membelokkan keretanya itu ke stesen petrol yang berhampiran.

Kad kredit dikeluarkan dari dompet dan dimasukkan ke mesin pam. Nilai ditambah, urusniaga berlaku, dan anak muda itu terus mencapai pam gas dan memenuhkan gas ke dalam tangki keretanya. Sehingga penuh dan tiada ruang lagi untuk diisi, barulah pam gas diletakkan semula di tempatnya. Terkedu seketika anak jutawan tersebut apabila melihat, pam gas yang baru diletakkan adalah gas diesel dan bukannya petroleum..!

Anak muda itu mula panik, peluh berderau di dahi.
Kawan-kawannya yang sedang asyik di dalam kereta dipanggil keluar, berbincang dan memberi pendapat. Akhirnya keputusan dibuat, mereka akan segera ke bengkel yang berdekatan untuk meminta pandangan daripada mekanik.

Enjin kereta mewah itu dihidupkan. Mengaum bunyinya dengan kuat, tidak seperti tadi. Asap hitam berkepulan keluar dari ekzos. Kereta bergerak tersengguk-sengguk, menuju ke bengkel yang berdekatan. Pergerakannya tidak selancar sebelumnya. Bunyinya tidak 'sesedap' bunyi pagi tadi. Apa yang pasti selepas 100 meter bergerak, kereta itu sudah tersadai di tepi jalan. Enjin masih hidup tetapi tidak mampu lagi bergerak.

Anak jutawan terus menghubungi kereta tunda. Kereta sport baru yang baru sahaja digunakan pagi tadi, sudah terpaksa ditunda ke bengkel yang berdekatan. Alangkah malunya..!

Sesampai di bengkel, kereta itu terpaksa diselenggara semula. Kereta itu perlu ditinggalkan di bengkel beberapa hari kerana mekanik terpaksa mengeluarkan semula diesel yang ada dalam tangki, mencuciselia semula enjin, membaiki yang itu dan menukar yang ini, dan sebagainya. Maka berlalulah anak jutawan tersebut dengan hati yang hampa.

"Oh, kereta sport baruku..."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan