Sabtu, 31 Julai 2010

Keyakinan Berterusan

Yakin adalah perkara penting dalam menarik hukum alam.
Kita perlu merasa yakin seyakinnya untuk mampu mencapai apa yang kita hajatkan. Dengan keyakinan ini, maka kita telah benar-benar menyatakan kepada alam bahawa apa yang kita nyatakan itu adalah sebenarnya apa yang kita kehendaki.

Kita tidak boleh sama sekali menyatakan yang kita hendakkan kejayaan dalam pelajaran atau pekerjaan, namun kemudiannya merasa ragu-ragu pula dengan apa yang kita sendiri nyatakan itu. Jika ini berlaku, maka kita belum benar-benar yakin tentang keinginan dan kesungguhan kita dalam mencapai impian tersebut.

Cuba yakinkan diri bahawa kita mampu untuk mencapai apa yang kita impikan. Lakukan pernyataan diri@affirmasi setiap hari, laksanakan visualisasi setiap hari, katakan kepada diri tentang impian kita setiap hari; maka kita akan menetapkan keyakinan itu dalam diri dengan lebih mendalam.

Jangan diubah-ubah keyakinan itu, atau mengubah impian kita setiap masa, kerana getaran gelombang yang tercipta akan musnah dan berganti dengan gelombang yang baru. Sebagai contoh, seorang pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR, menyatakan tentang keyakinan impiannya untuk mendapat keputusan cemerlang 8A. Pada masa itu, beliau telah mengaktifkan gelombang kejayaan. Namun, apabila dia tidak berjaya atau masih belum berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam siri-siri ujian sebelum peperiksaan sebenar berlaku, maka dia menukarkan kepada kesukaran dan ketidakpastian kejayaan itu. Maka pada ketika itu, dia telah menukarkan gelombang kejayaan itu kepada gelombang kegagalan. Hal ini akan menyebabkan getaran gelombang kejayaan yang pada awalnya sudah berada di alam semesta termusnah dan berganti dengan gelombang kegagalan.

Cuba yakin dan tetapkan impian itu.
Cuba tetapkan apa yang anda mahukan dalam 3 hari. Jika dalam masa 3 hari, anda masih yakin dengan impian itu, maka tahniah, anda telah mula membentuk keyakinan kepada apa yang anda mahukan.

Setelah 3 hari, cuba perhatikan, apakah impian itu masih tetap dengan apa yang anda tetapkan dalam masa 3 bulan. Jika masih tetap sama, sekali lagi tahniah, kerana anda memang mahukannya sebenar-benarnya.

Teruskan melihat impian yang sama dalam masa 3 tahun (untuk impian jangka masa panjang). Jika anda masih mempunyai keyakinan yang sama, tahniah, anda memang dan pasti akan mencapai impian tersebut!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan