Khamis, 11 April 2013

Oh gajiku…

Salam kasih sayang buat semua…

duit le

Gambar daripada internet

Ada seorang kenalan KM mengeluh dan merungut tentang gajinya.  Katanya, aku seorang pekerja yang kuat bekerja.  Sampai awal ke tempat kerja, tidak melengahkan kerja, sentiasa menyiapkan kerja sebelum dateline, tidak mengular apatah lagi menggunakan masa bekerja dengan melayari FB dan sebagainya.  Tapi gajiku hanya RM1200.  Pada pandanganku, gaji ku tidak setimpal dengan usaha dan pengorbanan serta komitmen aku dalam bekerja.  Aku sewajarnya memiliki gaji RM3000 dengan usaha aku ini….

Begitulah rungutannya kepada KM.  Tersenyum KM mendengar kata-katanya….

KM memang bersetuju.  Ada kalanya kita merasa seperti ditidakkan dengan beberapa keadaan.  Maksudnya, orang yang bekerja kuat, dan kerja berat, gajinya sedikit sahaja berbanding dengan orang yang pandai membodek dan mengipas.  Tapi percayalah, orang seperti kenalan KM itu sememangnya mendapat gaji RM3000, dan bukannya RM1200.

Memang, dia hanya menerima gaji berbentuk wang RM 1200 sahaja, namun gajinya berjumlah RM 1800 lagi itu ALLAH telah tukarkan kepada perkara-perkara lain.  Antaranya, anak-anaknya semuanya berjaya dalam pelajaran.  Kenalan KM itu juga sentiasa sihat, jarang sangat KM lihat dia sakit dan MC.  Rumah kecil tempat dia dan keluarganya tinggal juga sentiasa damai dan sentosa.

Berbanding dengan seorang lagi kenalan KM yang gajinya mencecah RM3500, namun KM lihat dia selalu bermasalah.  Anak-anaknya kurang menghormati orang tua, dan lebih tepat lagi biadab!  Kereta mewahnya sudah dua kali berlanggar.  Walaupun kerosakkannya kecil sahaja, namun tetap perlukan wang untuk membaikinya.  Malah, rumahnya sudah beberapa kali dimasuki pencuri.

Apa maknanya ini?  Ini menunjukkan, gajinya yang tinggi itu bukan miliknya.  Dan sesungguhnya ALLAH telah menariknya semula dalam bentuk yang lain.

Tidak salah kita memiliki kekayaan.  Kekayaan adalah milik ALLAH dan DIA menjanjikan kekayaan itu kepada sesiapa yang berusaha, dan kepada sesiapa yang dikehendakinya.  Namun, biarlah kekayaan itu datang dengan penuh kerahmatan.  Pasti kekayaan itu akan kekal, malah melimpah ruah lagi. 

Dan, tidak hina sebenarnya orang yang memiliki kemiskinan.  Kemiskinan bukan hukuman ALLAH kepada kita.  Mungkin kita belum cukup berusaha, atau masanya belum tiba untuk kita keluar dari kemiskinan itu.  Pun begitu, jika kita tetap yakin dan bersangka baik, pasti kemiskinan itu bukan kesusahan bagi kita.

Lihat sahaja orang dulu, yang kerjanya hanya membanting tulang mengerjakan sawah sekangkang kera, namun masih mampu untuk memberi pendidikan kepada anak-anak hingga ke universiti.  Bukankah itu suatu yang mustahil jika kita fikirkannya?  Namun, ia tetap berusaha dan berjaya melaluinya.  Nah, sekarang dia sudah selesa duduk bermain dengan cucu-cucunya, tenang dan damai sahaja…..

Selasa, 9 April 2013

Tenaga Pemikiran

Salam kedamaian buat semua….

planet-bumi-copy

Setiap sesuatu yang kita lihat di muka bumi ini, semuanya memiliki tenaga.  Hatta, sebuah kerusi atau sofa, juga mempunyai tenaga sendiri.  Ini adalah kerana, jika ‘diurai’ kerusi atau sofa itu, ia terdiri daripada atom dan subatom yang bergabung menjadi suatu barang pejal.  Oleh kerana ia terdiri daripada atom, maka ia juga memiliki tenaga.

Lihat sahaja kepada cahaya matahari.  Ia mungkin kita lihat hanya sekadar sebuah cahaya sahaja yang terpancar dan menerangi alam ini.  Namun, disebaliknya tersimpan sejenis tenaga.  Andai tenaga ini diaktifkan, ia mampu membakar.

Pemikiran manusia juga adalah sejenis tenaga.  Ia bukan sekadar pemikiran, khayalan, atau ilusi yang bermain di kepala.  Sebaliknya ia juga mempunyai tenaga.  Hukum sains telah membuktikan bahawa, pemikiran yang diaktifkan (tenaga) akan memancarkan tenaganya keluar dari kepala.  Ia seperti pemancar radio yang menerawang ke alam semesta.  Hukum pemancar, akan menarik perkara yang sama dengan frekuansi yang dipancarkan.  Hal inilah yang menyebabkan minda manusia memiliki atau kuasa atau tenaga yang dikenali kuasa minda.

Tidak kita sama ada perkara yang kita aktifkan dalam pemikiran kita itu baik atau buruk, ia akan bertindak untuk dipancarkan.  Dan perkara baik yang dipancarkan akan menarik perkara baik, begitu jugalah sebaliknya.

Lantaran itu, kita sering diingatkan untuk sentiasa berfikiran baik dan positif.  Jika kita memikirkan perkara yang tidak baik, dikhuatiri keburukan itu akan hadir kepada kita.

Pemikiran kita adalah tenaga, diri kita adalah tenaga.  Maka aktifkan dan gunakanlah tenaga yang ada dalam diri kita untuk menarik tenaga yang sama menghampiri kita.

Jumaat, 5 April 2013

Fokus…

Salam kedamaian buat semua….

Berbicara tentang fokus, pasti kita akan faham bahawa fokus memerlukan penumpuan dan perhatian yang kuat.  Andai kita leka dan fikian menerawang, pasti kita bukanlah orang yang fokus.

Fokus tentu sahaja melibatkan perkara yang penting.  Sama ada belajar, bekerja, melakukan sesuatu yang rumit, malah memandu sekalipun, pasti kita perlu faham dan perlu untuk melakukan apa yang dikatakan fokus.

Namun, sejauh mana kita mampu untuk melatih diri untuk fokus?  Bagaimana pula caranya untuk kita fokus kepada sesuatu?

Ada satu teknik latihan fokus iaitu teknik titik hitam.  Teknik latihan ini KM dapat daripada salah seorang kenalan KM yang belajar berkenaan sains minda manusia suatu masa dahulu.  KM pernah cuba teknik ini, memang agak sukar pada mulanya, namun apabila sudah berjaya, kita akan dapat lihat kesannya dengan jelas kepada tahap fokus kita.

titik

Caranya…

Ambil sekeping kertas, gunakan marker pen untuk buat satu ‘titik’ pada kertas tersebut.  Kemudian, lekatkan kertas tersebut pada dinding. 

Langkah seterusnya adalah perkara yang akan mencabar fokus kita.  Duduk lebih kurang 2 meter daripada dinding yang terdapat titik hitam tadi.  Keadaan duduk terpulang, namun harus santai.  KM memilih untuk duduk secara bersila.  Tenangkan pemikiran kita dan cuba bernafas dengan teratur dan tenang.

Perhatikan kepada titik hitam tersebut.  Jangan fikirkan apa-apa, hanya pada titik hitan itu sahaja.  Fokus betul-betul kepada titik hitam itu sahaja, dan pemikiran kita juga harus ‘nampak’ hanya titik hitam itu sahaja.  Jangan lihat terlalu lama, cukup dalam tempoh masa 5 minit untuk satu sesi.  Andai kita terfikirkan perkara lain selain titik hitam itu, maka berhentilah.  Kerana kita tidak berjaya.  Cuba ulang semula dengan jangka masa yang baru.

Nampak seperti mudah, bukan?  Namun, percayalah bahawa bukan titik hitam itu yang menjadi apa yang perlu difokuskan.  Sebaliknya adalah bagaimana cara kita hilangkan semua pemikiran kita terhadap perkara lain, selain hanya titik hitam itu sahaja.

Kaedah ini bukan semata-mata untuk meminta kita melihat kepada titik hitam itu.  Apa yang penting adalah kita mengawal minda kita untuk fokus kepada satu perkara sahaja.

KM lakukan latihan ini sebanyak 3 kali seminggu sahaja.  Dan dalam masa dua bulan, barulah KM benar-benar berjaya fokus kepada titik hitam itu tanpa memikirkan perkara lain selama 5 minit.  Benar, 5 minit tidak menerawang kepada perkara lain, hanya fikirkan tentang fokus titik hitam sahaja.

Andai anda dapat melakukan teknik ini, pasti anda akan dapat lihat sesuatu yang ‘istimewa’ pada titik hitam itu bila anda benar-benar berjaya melakukannya.  Apakah keistimewaannya?  KM tidak mahu nyatakan di sini kerana anda harus mencubanya sendiri.

Selepas anda benar-benar berjaya melakukan teknik ini, pasti anda akan lebih berjaya untuk fokus kepada perkara-perkara lain yang anda lakukan.  Perkara yang paling hebat KM rasakan setelah berjaya fokus adalah ketika melakukan solat.  Memang terasa kelainannya….

Khamis, 4 April 2013

Bercakap dengan Alam ~ 2

Salam kedamaian daripada KM buat semua…

air

Sudahkah anda berbicara dan bercakap dengan alam?  Kalau belum, cubalah…Manalah tau apa yang kita cakapkan itu akan memberi kesan, bukan kepada alam sahaja, malah kepada diri kita jua.

KM hendak kongsikan bagaimana cara KM pula bercakap dengan alam.  Sebenarnya, KM memang suka bercakap seorang diri, lebih jelas bermonolog.  Namun, kekadang KM juga suka bercakap dengan alam.  Antara yang KM paling suka adalah bercakap dengan air.

Mungkin pelik bagi sesetengah orang bila KM katakan yang KM suka bercakap dengan air, tapi itulah hakikatnya.

Nak tau macam mana KM bercakap dengan air?  Biasanya air yang paling KM suka bercakap dengannya adalah air untuk KM mandi, dan air kosong untuk diminum.

Inilah contoh perbicaraan KM dengan air….

Walau air, kau ni juga adalah ciptaan ALLAH.  Siramilah diriku ini dengan izinNya dan segarkanlah tubuhku dengan kehadiranmu.  Bersihkanlah diriku untuk aku jadi lebih suci untuk menghadapNya.

Walau air, kau ni juga adalah ciptaan ALLAH.  Aku merasa nikmat dengan meminummu.  Hilangkanlah hausku dengan keizinanNya…

Inilah dua contoh bagaimana KM bercakap dengan alam; air.

Sedar atau tidak, dengan bercakap dengannya, KM akan rasa sangat puas, sama ada mandi apatah lagi meminum air kosong.  Rasa kehadiran air itu menjadi sangat nikmat kepada diri KM.  Perasaan bersyukur pasti hadir selepas itu kerana dengan kehendakNya, air tercipta dan dapat kita nikmatinya.

Dari segi tubuh badan pula, KM rasa sangat segar dan bertenaga selepas mandi.  Memang rasa lain bila kita ucapkannya dan mandi dengan menggunakan air itu.  Rasa air itu lebih dekat dengan kita.  Andai kita bercakap dengannya dan minta dia memberi kesegaran kepada kita, pasti selepas itu kita akan berasa segar yang luar biasa.