Selasa, 20 Julai 2010

Impian Seperti Rama-rama

Ketika kecil dahulu, aku sering menangkap belalang di padang berhampiran rumahku. Kadang kala rama-rama yang terbang di sekitarku juga akan menjadi mangsa tangkapanku. Bukanlah apa sangat yang aku lakukan apabila menangkap serangga-serangga itu, hanya membuat pemerhatian terhadap serangga-serangga ciptaan ALLAH itu sahaja. Aku sering perhatikan keadaan kakinya, kepak dan sayapnya, bentuk mukanya, dan sebagainya yang bagi aku sangat menarik untuk aku perhatikan dan 'kaji' tentang ciptaan itu...

Pernahku terbaca dalam sebuah blog berkaitan kuasa minda (blog dalam Bahasa Inggeris) yang memetaforakan perihal rama-rama tersebut, dan inginku kongsikan bersama di sini dalam bentuk penerangan dan huraiku yang tersendiri.


Rama-rama adalah seperti impian. Ia sangat cantik, dan pelbagai bentuk, rupa, dan warna. Digambarkan cantik, bentuk yang pelbagai, dan warna yang indah itu adalah seperti impian manusia. Memang setiap daripada kita mempunyai impian yang pelbagai. Bukan sahaja jika dibandingkan antara setiap manusia, malah dalam diri seorang individu sahaja sudah ada pelbagai jenis 'rama-rama'. Itulah sikap manusia yang memang terlalu banyak benda dan perkara yang menjadi impiannya.


Cuba anda bayangkan jika anda ingin menangkap rama-rama di padang bersebelahan rumah anda. Bolehlah anda menangkapnya dengan mudah sahaja dengan hanya menggunakan tangan kosong? Jika boleh, tahniah! Anda memang hebat! Namun sebanyak mana rama-rama yang mampu anda tangkap dengan tangan kosong tersebut? Dua? Tiga? Sepuluh?


Jika anda mampu menangkap hingga 10 ekor sekali pun, rasanya rama-rama itu sudah tentu tidak lagi sempurna kecantikannya kerana anda terpaksa memegang rama-rama tersebut dengan kuat di sebelah tangan anda sementara tangan yang satu lagi digunakan untuk menangkap rama-rama seterusnya. Lantaran itu, sebenarnya kita memerlukan alat untuk menangkap. Alatan yang diperlukan sudah pastilah jaring dan bekas untuk mengisi rama-rama tersebut.


Gambaran ini menunjukkan setiap impian yang kita mahukan (rama-rama yang banyak di padang) boleh kita miliki dengan syarat kita perlu ada alatan untuk mendapatkannya. Apakah alatan yang diperlukan untuk mendapatkan setiap impian kita itu. Alatan yang diperlukan adalah ilmu, pengetahuan, dan pengalaman. Adanya perkara-perkara ini maka mudahlah kita mencapai impian yang didambakan.


Namun, cuba fikirkan pula; rama-rama yang banyak di padang itu boleh terbang untuk melarikan diri jika ada manusia yang mendekatinya. Malah keadaan padang yang terbuka luas itu membolehkan rama-rama tersebut boleh pergi ke arah mana sahaja yang diinginkan. Jadi, bagaimana cara untuk kita mendapatkannya dengan mudah? Caranya ialah, cuba kita banyakkan kawasan padang itu dengan tanaman pokok-pokok bunga yang segar, cantik, dan mewangi. Keadaan ini akan menarik perhatian rama-rama untuk datang hampir ke kawasan padang tersebut. Maka mudahlah untuk kita menangkapnya kerana banyak rama-rama yang bertebaran di situ.


Gambaran ini menunjukkan bahawa setiap usaha yang dilakukan untuk mencapai impian itu, selain menggunakan alatan yang ada (ilmu, pengetahuan, dan pengalaman) kita juga perlu menggunakan hukum tarikan. Hukum tarikan dalam metafora ini adalah bunga yang digambarkan sangat cantik untuk menarik perhatian rama-rama yang mendatang. Jika kita mampu untuk menarik kejayaan itu dekat dengan diri kita, maka lebih mudahlah impian dan kejayaan itu kita kecapi.


Sama-samalah kita fikirkan tentang situasi ini...

Kuasai minda anda, pasti anda akan berjaya menguasai kehendak dan kejayaan anda.

Tanamlah 'bunga' bermula dari sekarang...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan