Khamis, 27 Mei 2010

Apa yang anda mahukan...?

Apa yang sebenarnya anda mahukan dalam impian anda?
Adakah ia benar-benar satu impian, atau khayalan semata-mata, atau hanya mengikut dan meniru kehendak seperti orang-orang yang berada di sekeliling anda?
Kita boleh mengetahui sama ada kehendak kita itu benar-benar satu impian yang kita ingin realisasikan, atau hanya mainan perasaan dengan cara menjawab tiga kali pertanyaan berkenaan keadaan yang diimpikan itu.
Contoh :-
Apa yang anda impikan?
Saya ingin menjadi seorang yang kaya.
Kenapa anda ingin menjadi seorang yang kaya?
Kerana saya ingin memiliki banyak wang dalam kehidupan ini.
Kenapa anda ingin memiliki banyak wang?
Kerana saya ingin membantu sanak-saudara saya yang susah, dan orang-orang lain di sekeliling saya.
Kenapa anda ingin membantu sanak-saudara yang lain?
Kerana tidak mahu anak-anak mereka terganggu dalam pelajaran mereka untuk mencari kejayaan dalam kehidupan masa akan datang.
Melalui soalan-soalan di atas, anda akan dapat melihat bagaimana kita berjaya menjawab soalan itu dengan penuh yakin. Jika kita berjaya menjawabnya dengan yakin, maka pasti kita dapat menghantar isyarat yang jelas ke minda kita bahawa itulah yang sebenarnya kita mahukan. Keadaan ini akan mengaktifkan minda berkenaan dengan kehendak dan impian itu. Minda akan terus bekerja untuk merealisasikannya.
Inilah cara bagaimana minda orang-orang yang telah berjaya bekerja. Minda mereka benar-benar tahu apa yang tuannya mahukan. Ini akan memudahkan minda melakukan fokus terhadap perkara tersebut dan menggerakkan anggota-anggota tubuh yang lain untuk bekerja bersama-sama untuk mencapai impian tersebut.
Bagaimana jika kita tidak berjaya menjawab soalan secara bertiga itu?
Ini menunjukkan apa yang kita mahukan itu bukan sebenarnya yang kita impikan. Mungkin itu hanya ikut-ikutan daripada orang lain. Orang lain nak kaya, kita pun nak kaya, orang lain pakai kereta Honda, kita pun nak pakai, tetapi apa yang kita impikan itu sebenarnya bukan kehendak yang memang kita mahukan. Ini akan menjejaskan kejayaan kuasa minda, kerana minda berjaya mengesan bahawa hal itu bukan satu yang kita mahukan.
Hati-hati dengan cara kita berfikir.
Hati-hati dengan impian.
Teruskan menyoal diri dan berfikir....

Isnin, 24 Mei 2010

Visualisasi (3)

Tips 3
Bina Vision Board

Jika kita berasa agak sukar untuk melakukan visualisasi secara terus, maka kita boleh membina vision board untuk menarik perhatian minda kita kepada perkara-perkara yang ingin divisualisasikan. Kaedah ini sangat berkesan kerana lama kelamaan, minda akan terarah kepada perkara yang selalu 'disuapkan' kepadanya dan menjadi satu perkara yang kukuh baginya.

Vision board ialah papan visi yang memaparkan apakah kehendak dan keingainan kita. Pada kebiasaannya, vision board ini dilakukan pada sekeping poster yang sederhana besarnya dan diletakkan pada tempat yang paling mudah untuk kita lihat. Namun, ada juga yang melakukan vision boardnya pada background komputer peribadinya. Terpulang kepada kita tentang bagaimana dan di mana vision board ini ingin diletakkan. Apa yang pasti ia akan mampu untuk mendidik kita melakukan visualisasi dengan lebih baik.

Caranya, ambil sekeping poster yang sederhana besar. Lekatkan poster itu dengan gambar-gambar menarik yang kita impikan seperti rumah banglo, kereta Honda terbaru, wang berjuta, itu...ini...
Pastikan gambar yang diletakkan itu adalah benar-benar yang kita impikan. Pastikan juga gambar yang dilekat itu mampu memberi rangsangan yang menarik kepada kita. Contohnya gambar kereta yang dilekatkan itu haruslah gambar kereta yang cantik, menarik, masih baru, bukannya gambar kereta yang sudah buruk, kusam warna gambarnya...

Apabila sudah siap vision board itu haruslah dilekatkan di suatu sudut yang selalu dapat kita perhatikannya. Contohnya di depan cermin muka di rumah kita. Hari-hari kita akan mengadap cermin muka itu, bukan? Maka setiap hari jugalah kita akan dapat menatap vision board kita itu. Keadaan ini akan merangsang minda kita berkenaan gambar-gambar yang dilihat. Rangsangan itu akan memberi isyarat kepada minda bahawa perkara-perkara itulah yang kita impikan. Maka, minda akan melaksanakan tugasnya untuk menuju ke arah tercapainya setiap perkara itu. Semakin kerap kita menatap vision board kita, semakin kuatlah semangat dan kuasa minda bekerja. Oleh itu sentiasalah menatapnya, impikannya, dan rasai emosinya apabila setiap kali kita menatap vision board tersebut...

Sabtu, 22 Mei 2010

Visualisasi (2)

Tips 2
Bervisualisasi ketika berada dalam keadaan tenang

Bervisualisasi adalah cara untuk anda berkomunikasi dengan minda anda. Oleh itu, untuk berkomunakasi dengan baik dan berjaya, anda dan minda anda perlu berada dalam keadaan yang sangat tenang. Pada kebiasaannya, anda disarankan untuk melakukan sedikit ritual meditasi untuk meringankan gelombang minda anda (agar lebih tenang) Anda juga boleh mendapatkan ketenangan itu dengan mendengar alunan muzik klasik, atau muzik meditasi yang boleh didapati di pasaran. Pada ketika ini juga, rentak pernafasan juga harus teratur, tidak terlalu pantas dan tidak terlalu perlahan, untuk memastikan badan dan minda benar-benar berada dalam keadaan tenang.

Cara yang biasanya saya lakukan adalah dengan melakukan zikir. Berzikir adalah salah satu cara untuk menenangkan badan dan minda, serta merendahkan gelombang getaran minda. Melalui berzikir, kita akan melakukan sebutan yang berulang-ulang. Ini merupakan salah satu kaedah untuk merendahkan gelombang getaran minda. Selain itu, alunan zikir yang didengar dalam diri kita sendiri itu boleh menjadi 'muzik' yang dapat menenangkan minda. Zikir juga dapat mengatur alunan nafas yang teratur, jika dilakukan secara berkala dan telah dibiasakan. Namun, pastikan berzikir secara perlahan, dan mengamalkan alunan zikir yang tenang dan mudah disebut. Ini untuk memastikan kita dapat lebih fokus kepada penyebutan dan alunannya.

Kenapa kita perlu berada dalam keadaan tenang sebelum bervisualisasi?
Ini adalah kerana, gelombang getaran minda yang tenang akan dapat mengalirkan gelombang keinginan kita itu ke alam semesta dengan lebih berkesan. Pada kebiasaannya, tahap alpha dan theta adalah tahap getaran gelombang yang terbaik dan berkesan untuk melaksanakan tugasnya itu

Jumaat, 21 Mei 2010

Kuasa Visualisasi

Setelah memahami tentang hukum tarikan atau Law of Attraction (LOA), kita akan dapat mengetahui bahawa setiap yang difikirkan, dikatakan, dan digambarkan dalam minda adalah isyarat jelas ke alam semesta. Isyarat ini adalah seperti gelombang radio yang terpancar tanpa dapat kita lihat dengan gambaran mata kasar. Isyarat ini, sama seperti gelombang yang lain yang akan menarik gelombang yang sama untuk mendekati gelombang yang dipancarkan tadi. Itulah hukum alam...

Visualisasi adalah kehebatan yang dimiliki oleh setiap manusia. Setiap daripada kita mampu untuk bervisualisasi. Dalam erti kata yang lain, kita mampu membayangkan sesuatu dalam fikiran kita. Keadaan ini samalah seperti angan-angan. Seperti cerita Mat Jenin dengan angan-angannya yang pernah diutarakan sebelum ini. Memang perkara ini; membina imaginasi dan gambaran mental, adalah keupayaan setiap manusia. Kadang kala kita membayangkan kesenangan seperti kejayaan memiliki sesuatu, dan kadang kala kita membayangkan kesusahan seperti kemalangan yang mungkin menimpa, dan sebagainya. Kenapa kita membayangkan keadaan-keadaan itu adalah berpunca daripada sebab-sebab yang kita sendiri tentukan.


Apa yang penting adalah, keyakinan kita bahawa gambaran mental atau visualisasi ini pasti akan berlaku kerana hukum tarikan akan berlaku kesan daripada gelombang visualisasi yang kita pancarkan. Oleh itu, sentiasalah berwaspada dengan visualisasi yang kita lakukan. Pastikan kita sentiasa membayangkan gambaran yang memberi kesenangan kepada kita dan bukannya gambaran kesusahan, kerana ia benar-benar akan berlaku.


Tip 1

Visualisasikan apa yang anda impikan dua kali sehari.

Sebelum tidur, dan selepas bangun dari tidur, adalah masa yang sangat sesuai untuk anda melakukan visualisasi. Sebenarnya tiada had masa yang terbaik yang perlu anda ikuti untuk melakukan visualisasi. Namun, keadaan sebelum tidur, dan selepas bangun dari tidur adalah masa yang menunjukkan anda berada dalam keadaan yang sangat tenang. Ketenangan dan kedamaian fikiran pada ketika ini adalah situasi yang sangat ampuh untuk anda memancarkan gelombang keinginan anda.


Berapa panjang dan lama masa anda bervisualisasi juga bukan menjadi faktor kejayaan keinginan anda berlaku. Sebaliknya, kualiti visualisasi anda itulah yang menjadi penyebab untuk sesuatu impian itu terhasil. Dalam erti kata yang lain, jika anda bervisualisasi tentang kejayaan diri selama 5 minit sebelum dan sesudah bangun dari tidur, dilakukan pada setiap hari, adalah lebih baik dan sempurna jika dibandingkan anda melakukan visualisasi selama 30 minit tetapi hanya dilakukan sebulan sekali.


Apa yang lebih penting adalah, visualisasi yang dilakukan itu haruslah sama dan sepadan pada setiap hari. Jika anda membayangkan akan memiliki sebuah kereta Honda keluaran terkini di pasaran pada hari pertama, maka teruskanlah memvisualkannya pada setiap hari dan tidak mengubahnya kepada jenis-jenis kereta yang lain. Jika anda menukar-nukarkan gambaran mental anda, maka memang sukar untuk kuasa minda separa sedar anda mengetahui perkara yang manakah yang sebenarnya anda impikan. Keadaan kekeliruan ini akan menyebabkan keinginan ini tidak kesampaian, malah hukum LOA juga tidak dapat bekerja dengan jayanya.

Khamis, 20 Mei 2010

Gambaran mental untuk lebih baik

Telah dinyatakan dahulu bahawa hukum tarikan (LOA) akan sentiasa datang kepada kita kerana apa yang kita fikirkan, dan katakan, telah menarik getaran yang sama untuk mendekati diri kita. Justeru, sering diingat agar kita sentiasa menjaga kata-kata dan cara bagaimana kita berfikir, untuk memastikan kita sentiasa mengaktifkan LOA ke arah sesuatu yang baik dan memberi keuntungan kepada kita.

Sering kali kita mendengar ungkapan; 'susah le nak buat...!'
Ungkapan ini dan ungkapan-ungkapan lain yang senada dengannya adalah suatu kata-kata dan getaran rasa yang menarik LOA. Jika susah yang kita fikir dan katakan, maka pasti sesuatu itu benar-benar menjadi susah kepada kita, malah ada pelbagai kesusahan dan kesukaran lain lagi yang akan menghampiri kita akibat LOA tadi.

Jadi, sentiasalah bertenang dan fikirkan yang terbaik untuk kita.
Minda separa sedar peka kepada visual atau gambaran mental. Ia akan merakam apa sahaja yang anda lihat atau gambarkan dalam fikiran. Oleh itu, sentiasalah berfikiran dan menggambarkan kejayaan dan kemenangan, kerana gambaran mental ini akan membantu mengaktifkan LOA dengan lebih berkesan.

Jika anda seorang penuntut di universiti, cuba sentiasa gambarkan suasana kemeriahan semasa menerima ijarah di atas pentas dewan yang gah. Gambarkan dengan jelas betapa ramainya hadirin membanjiri dewan tersebut, dengan bunyi-bunyian gamelan sebagai pembuka majlis, tepukan penonton dan sanak saudara yang hadir, jelas kedengaran apabila anda naik ke pentas untuk menerima segulung ijazah. Gambarkan gambaran mental ini dengan hati yang penuh berbunga. Rasakan emosi dan getarannya. Segala yang anda bayangkan pasti akan terhasil, tanpa anda percaya, bagaimana ianya boleh terjadi...
Itulah yang dinamakan kuasa minda, yang menggunakan LOA untuk menarik hukum alam ini untuk menjadi sebahagian daripada kita. Segala-galanya benar, dan ingatlah bahawa kuasa minda inilah anugerah ALLAH yang sangat tinggi nilainya kepada manusia sehingga membezakan antara manusia dengan makhlukNya yang lain.

Oleh itu, sentiasalah menggunakan nikmat ini sebaik mungkin.
Jangan siakan kuasa minda yang ALLAH kurniakan ini dengan memikirkan perkara-perkara yang negatif, yang akhirnya akan memberi kesan buruk kepada kita jua. Fikirkan tentang kejayaan dan kecemerlangan. Pasti ia akan berjaya dilaksanakan dengan mudah dan sempurna.

Selasa, 18 Mei 2010

Emosi dari hati yang tenang

Bagaimana dengan emosi anda hari ini?
OK? Stabil? Atau biasa-biasa sahaja?

Emosi adalah getaran perasaan yang sangat penting untuk dikawal. Cara bagaimana untuk mengawal emosi adalah bergantung kepada individu masing-masing. Namun, emosi itu memang sangat penting kerana ia mempengaruhi LOA.

Jika anda sedang menghadapi masalah dan anda melayan perasaan anda dalam masalah itu, maka sesungguhnya pada ketika itu anda telah mengaktifkan penarikan-penarikan kepada masalah-masalah yang lain menghampiri anda. Melayan perasaan dalam masalah itu sebenarnya adalah berpunca dari kita tidak mampu untuk mengawal emosi. Memang, apabila kita bermasalah, kita akan sedikit beremosi. Namun cubalah kawal ia agar diri kita tidak terlalu terikut-ikut dengan getaran emosi itu sehingga mengaktifkan pula LOA kepada masalah lain.

Bagaimanakah cara untuk mengawal emosi?
Mengawal emosi dapat dilaksanakan apabila kita berjaya mengawal hati. Hati manusia adalah suatu organ yang sangat memainkan peranan dalam membentuk perasaan dan tingkah laku. Jika baik hati itu maka baiklah diri kita. Begitu juga sebaliknya. Dan hati itu mestilah sentiasa dididik untuk membentuknya menjadi hati yang baik.
Cara mendidik hati adalah dengan sentiasa berzikir. Zikir akan melapangkan fikiran dan menenangkan hati. Hati yang tenang akan mudah dikawal getaran emosinya. Selain berzikir, ada juga yang melakukan sesi meditasi (bertafakur). Kaedah meditasi ini mungkin memerlukan beberapa kaedah pelaksanaan untuk kita menguasainya. Namun apabila berjaya menguasainya, maka kita akan dapat mengawal hati dengan baik.

Isnin, 17 Mei 2010

Law of Attraction

Pernahkah anda mendengar tentang Law of Attraction (LOA)?
LOA adalah hukum penarikan. Hukum ini adalah sebahagian daripada kuasa minda yang terdapat pada setiap daripada kita.

Apakah perbezaan antara LOA dengan kuasa minda?
Sebenarnya tiada perbezaan antara keduanya. Kuasa minda separa sedar adalah lebih umum manakala LOA adalah lebih khusus. LOA adalah frasa yang lebih moden digunakan pada masa kini bagi frasa kuasa minda.

Untuk memanfaatkan LOA, kita perlu menguasai kemahiran membina dan membangunkan visualisasi. Kita perlu mengawal apa sahaja cabang dan gambaran dalam fikiran kita. Ini adalah kerana gambaran yang terbentuk dalam minda atau apa sahaja yang kita fikirkan akan terakam dalam minda separa sedar kita, keadaan ini akan menarik dan menangkap situasi yang digambarkan itu dan mendekati kita secara sedar ataupun tidak.

Minda separa sedar kita tidak pernah tahu tentang baik atau buruknya visualisasi yang kita ciptakan itu. Apabila 'dia' terima sahaja visualisasi yang terlintas dalam pemikiran kita maka 'dia' akan terus menangkapnya dan merealisasikannya dalam kehidupan kita. Tindakan secara automatik inilah yang dinamakan LOA atau hukum penarikan. Apa sahaja yang kita fikirkan, ia akan berlaku, hanya masa yang menentukannya...

Kita boleh menjadi cemerlang dengan mudah dan berkesan jika kita bijak membina visualisasi dan memanfaatkan LOA.
Kita juga boleh menjadi sebaliknya, jika kita tidak berusaha untuk mengubah cara pemikiran kita...kerana sesungguhnya LOA akan terus bekerja tanpa henti, menarik apa sahaja yang kita fikirkan mendekati kita, kerana ia adalah HUKUM PENARIKAN yang tiada noktah.

Jumaat, 14 Mei 2010

Pemikiran yang paling kuat

Kadang kala, kita mahukan sesuatu...
Memang, dan memang kita mahukan yang itu...
Dalam hati ini, memang telah bulatlah keinginan untuk memilikinya...
Namun kadang kala di dalam fikiran dan hati kecil kita ada berbunyi;
'Boleh ke aku dapatkan itu?'
'Susah kot...!'
'Nanti orang kata apa plak!'

Sedar atau tidak, diri kita sudah terbahagi dua; satu keinginan untuk memiliki perkara itu, dan satu lagi rasa kurang percaya untuk memilikinya. Dan percayakah anda bahawa rasa kurang percaya itu lebih kuat dari keinginan kita, hampir setiap masa. Keadaan ini menyebabkan kita menghantar mesej yang nyata kepada minda untuk melupakan keinginan itu. Situasi ini dinamakan mental block, atau dikenali juga dengan istilah sekatan mental. Dalam diri, dan fikiran kita sudah ada sekatan yang menghalang keinginan kita itu. Keadaan ini menyebabkan kita berhenti untuk merealisasikan impian dan harapan yang kita kehendaki itu.

Bagaimanakah cara untuk menghalang sekatan mental itu?
Caranya ialah dengan memberikan keyakinan terhadap kehendak kita yang awal tadi. Keyakinan dapat dikuatkan jika kita benar-benar sedar dan pasti bahawa kehendak kita itu adalah sesuatu yang memang kita impikan. Cuba fikirkan kebaikan dan keseronokan yang bakal kita miliki jika kita berjaya mendapat kehendak itu. Fikiran dan keseronokan ini akan membantu menguatkan emosi keinginan itu. Fikirkan juga tentang betapa ruginya jika kita tidak dapat memilikinya...dan ini akan membuatkan kita semakin bersemangat untuk memiliki perkara itu.

Sekatan mental akan beransur-ansur hilang daripada fikiran kita dan kita akan dapat membina semula impian itu dengan lebih jelas dan nyata....