Ahad, 4 April 2010

Kritikan; membina atau memusnah

Kritikan adalah lumrah perlakuan manusia apabila tidak bersetuju dengan cadangan dan tindakan seseorang. Pada kebiasaannya, apa yang dinamakan kritikan ini ialah kata-kata dan ungkapan yang akan menghalang sesuatu tindakan yang telah atau sedang diambil. Bagi yang tidak tabah dan tidak tahan dengan kritikan dan hujah yang diterima, pasti sahaja akan menyerah kalah dan berundur sahaja.

Ada yang menyatakan tentang kritikan membina?
Betulkah kritikan itu membina?
Kritikan membina atau teguran membina?

Pada pandangan saya, kritikan adalah kritikan.
Ia lebih kepada konsep tidak bersetuju dan lebih kepada memusnahkan pandangan seseorang yang lain. Berbeza dengan teguran. Teguran akan diberikan apabila seseorang itu melakukan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya, dan bertujuan untuk membetulkan kekhilafan itu.

Apabila seseorang itu melakukan sesuatu dengan penuh azam, maka dia telah dikuasai dan didorong oleh kekuatan kuasa mindanya. Keadaan ini akan menyebabkan dia melaksanakan tindakannya dengan bersungguh-sungguh. Namun apabila menerima kritikan, maka dia mula memikirkan semula tindakannya. Sama ada tindakannya itu betul atau salah, perbuatan memikirkan kembali itu telah menjejaskan kekuatan kuasa mindanya.

Oleh itu, sentiasa dicadangkan, apabila menerima kritikan, kita hanya perlu menerimanya sekadar suatu pandangan daripada seseorang yang di luar lingkaran kita. Terima kritikan di sini bukan bermaksud menerima kata-kata dalam kritikan itu, sebaliknya hanya terima untuk mengelakkan pertengkaran. Dalam keadaan ini kita kena buat 'masuk telinga kiri keluar telinga kanan'. Keadaan ini akan memastikan apa yang telah kita usahakan dan kekuatan kuasa minda yang telah berkembang dapat terus melaksanakan apa yang dikehendaki pada asalnya.

Kritikan yang diberikan adalah untuk memusnah. Tiada kritikan membina sebenarnya. Kalau ada pun pandangan berbeza yang membina, itu dinamakan teguran membina, bukan kritikan membina. Jika kita menerima kritikan, kita akan kehilangan semangat dan kekuatan kuasa minda yang telah dibina. Teruskan menerima teguran, jauhkan menerima kritikan....

Jumaat, 2 April 2010

Energy dalam manusia

Energy, tenaga dalaman, chi, fengshui, prana, dan segala macam istilah mungkin pernah muncul dalam kehidupan kita. Namun segalanya adalah sama dari segi konsep dan pengertiannya.

Energy dalam badan manusia adalah berpasangan; sama ada positif atau negatif. Lumrah sifat berpasangan ini memang sudah kekal dalam alam semesta ini dari semua segi, sama ada dari segi kehidupan manusia dengan lelaki dan perempuannya, perasaan sedih dan gembiranya, motivasi kejayaan atau kegagalannya, suasana alam siang dan malamnya, panas dan sejuknya, semuanya berada berpasangan.

Energy positif yang dikeluarkan dari badan manusia melalui cara pemikiran dan emosi yang dilepaskan akan menarik lebih banyak energy positif untuk mendekati kita. Begitu juga sebaliknya.

Sebagai contoh untuk penjelasan, jika seseorang merasa gembira dan bersemangat untuk memulakan harinya, maka pada ketika itu dia mengeluarkan energy positif. Maka secara lumrahnya energy positif yang berada dalam alam semesta ini akan tertarik kepadanya. Kesannya, mungkin hari itu ada orang yang akan membelanja makan tengah harinya, ada orang yang membalas cintanya, ada orang yang sedia membantunya dengan ikhlas tanpa dipinta, dan pelbagai lagi keadaan positif yang akan berlaku tanpa diduga. Hal ini perlu kita yakini seyakinnya.
Bagaimana pula jika sebaliknya?
Jika energy negatif yang dilepaskan, awal pagi lagi sudah merungut kerana malas untuk ke tempat kerja, maka banyaklah perkara negatif yang akan berlaku kerana energy yang sama tertarik mendekatinya. Mungkin hari itu tayar motosikalnya pancit dalam perjalanan ke tempat kerja. Terpaksa menapak berbatu-batu menyorong motosikal yang terasa sangat memberatkan. Sesampai di tempat kerja semakin berserabuk dengan tugasan yang menimbun. Dan entah apa lagi masalah yang mungkin akan berlaku akibat daripada penarikan energy negatif dari awal pagi tadi.

Justeru, sering diingatkan, kekalkan cara pemikiran kita agar sentiasa positif, supaya tenaga dalam badan dan emosi kita akan mengeluarkan energy positif. Jika kita mampu mendidik diri untuk sentiasa kekal positif, maka lebih banyaklah kejayaan akan mendekati kita dengan usaha yang konsisten dalam perjalanan kehidupan ini.