Rabu, 27 Oktober 2010

Cuti Seketika

Salam buat semua...
Sudah lama aku tidak menulis di sini.
Ini adalah kerana aku telah berada dalam kesibukan tahap merah..!
InsyaALLAH, sekembali dari tugasan luar, aku akan menulis kembali....kerana idea dan cerita yang datang membuak-buak ini minta dilepaskan di sini...
Kudoakan kalian semua sentiasa berada dalam keredhaan ALLAH sentiasa

Jumaat, 22 Oktober 2010

Kejayaan Bermula dari Dalam Diri

Salam buat semua...
Catatan ini aku lakukan sesampainya aku dari tugasan luar di Bukit Tinggi, Pahang.
Tiga hari aku di sana melaksanakan aktiviti pendidikan luar untuk sekumpulan remaja bermasalah.
Selama aku bersama dengan mereka, aku dapat kenalpasti bahawa mereka memang 'bermasalah'. Masalah mereka bukanlah kulihat daripada tingkah laku dan perbuatan mereka yang menyimpang sehingga mereka dikategorikan sebagai remaja bermasalah, sebaliknya masalah mereka bermula dari dalam diri mereka sendiri. Masalah yang paling utama adalah tiada keyakinan diri.

Aku bertanya kepada mereka, apa yang mereka pernah lakukan yang membuatkan mereka mendapat pujian daripada orang di sekeliling mereka? Mereka menjawab; TIADA..!
Ingin kusangkalkan bahawa, setiap daripada kita pasti ada melakukan kebaikan tersendiri. Setiap kebaikan itu adalah suatu kepujian untuk diri kita. Pasti ada satu kebaikan, walaupun SATU...

Aku tanyakan lagi; adakah mereka tiada langsung impian untuk menjadi seorang yang berguna.
Pasti sahaja jawapan mereka; ADA.
Namun, apakah usaha yang dilakukan untuk merealisasikan impian untuk menjadi orang berguna itu? Adakah dengan hanya berkata-kata di mulut sahaja?

Pernah lihat kanak-kanak belajar menunggang basikal?
Adakah kanak-kanak itu hanya mempelajari cara menunggang basikal melalui buku 'Mari Belajar Cara Menunggang Basikal'? Adakah..?
TIDAK...
Kanak-kanak itu akan belajar dengan berusaha menaiki, mengayuh, mengimbang badan, belajar dari pengalaman rasa sakit jatuh bangun semasa belajar menunggang basikal, belajar tentang semangat untuk terus berusaha dan berusaha untuk terus mengayuh dan mengimbang, hingga akhirnya dia pandai mengayuh basikal.

Itulah sebenarnya yang perlu ada dalam diri kita.
Kejayaan itu bermula dari dalam diri kita sendiri.
Jika kita ingin berjaya, kita perlu berusaha. Kita perlu melalui rasa dan pengalaman untuk berjaya. Dengan keadaan itu akan membuatkan kita kenal siapa diri kita sendiri. Jangan memandang kepada orang lain jika pandangan itu hanya melemahkan diri kita. Jangan memandang ke belakang, kepada sejarah hitam hidup kita jika ianya memeritkan. Sebaliknya, berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk berubah. Jadikan diri kita suatu keistimewaan kepada setiap orang yang ada di sekeliling kita.

Kita mampu berubah daripada buruk kepada baik.
Kita mampu berubah daripada baik kepada lebih baik.
Kita mampu berubah, jika kita mahu mengeluarkan kejayaan itu dari dalam diri kita sendiri.

Rabu, 20 Oktober 2010

Pemikiran dan Bahasa

Salam buat semua...
Adakah kita menggunakan perkataan yang betul dalam menjelmakan pemikiran kita?

Cuba perhatikan ayat-ayat ini....

"Aku mahu jadi kaya...."
"Aku mahu banglo mewah dua tingkat di ......"
"Aku mahu memiliki hatinya kerana aku sangat mencintainya.."

Dalam ketiga-tiga contoh di atas, terdapat penggunaan perkataan mahu. Mahu dalam erti kata sebenar, hendak memiliki sesuatu yang belum kita miliki. Mengikut ilmu kuasa minda, apabila kita menyedari bahawa kita belum memilikinya, secara automatik minda akan terus meyakini bahawa kita tidak memilikinya.

Pun begitu, perkataan ini tidaklah salah untuk digunakan. Cuma perlu mengaktifkan dahulu getaran positif dan meyakini bahawa kita memang benar-benar 'mahu'kan perkara / hal tersebut sebelum menyatakannya. Getaran yang telah diaktifkan akan terpancar dan memberi kesan yang lebih baik untuk menarik impian itu menjadi kenyataan.

Namun, cuba pula perhatikan ayat-ayat di bawah...

'Aku memilih untuk jadi kaya....'
'Aku memilih banglo dua tingkat itu untuk menjadi rumah kediamanku...'
'Aku memilih untuk memiliki hatinya menjadi teman hidupku....'

Apa pula perbezaan dengan kumpulan ayat kedua ini.
Semuanya menggunakan perkataan memilih dalam ayat masing-masing.
Memilih di sini bermaksud kita memang telah menetapkan dalam hati kita untuk memilikinya setelah memikir dan menetapkan hal ini. Dalam hal ini, kuasa minda akan lebih teraktif dan diaktifkan secara langsung secara semulajadi. Kuasa minda akan terus bekerja untuk mendapatkan apa yang telah 'dipilih' untuk ditarik mendekati kita dan menjadi milik kita.

Cuba fikir-fikirkan bahasa yang kita gunakan seharian ini....

ps : Setiap sesuatu itu tetap daripada ALLAH. Itu tiada siapa yang dapat menafikannya. Kita manusia, hanya mampu untuk berusaha mendapatkan apa yang kita impikan.

Selasa, 19 Oktober 2010

Menebang atau menanamnya..?

Mungkin anda pernah melihat orang menebang balak.
Apa perasaan anda melihat balak yang hidup gagah dan tinggi menjulang awan itu akhirnya rebah ke bumi, mati, dan akhirnya dipotong dan dikerat.

Rasanya kita memang pernah melihat aktiviti pembalakan, sama ada di televisyen mahupun di media cetak. Namun, pernahkah kita dipaparkan dengan aktiviti penanaman semula balak tersebut? Ya, memang jarang sekali media mempamerkan aktiviti tersebut. Biasanya, balak yang sudah ditebang akan diangkut dan kawasan itu dibersihkan terlebih dahulu. Kemudian aktiviti penanaman semula dilaksanakan untuk membolehkan 10 atau 20 tahun lagi, generasi seterusnya masih dapat membalak di kawasan tersebut. (Perhatian: Perkara ini tidak dilakukan oleh pembalak haram, harap maklum)

Kedua-dua aktiviti ini iaitu menebang dan menanam semula akan dilakukan oleh dua kumpulan yang berbeza. Dan mereka terus melakukannya selagi ada perintah daripada boss mereka iaitu pemilik konsesi balak tersebut.

Baiklah....
Aku mahu kembalikan bacaan tuan/puan kepada aktiviti kuasa minda dalam diri kita.
Ada antara kita yang menjadi penebang balak, dan ada antara kita yang menjadi menanamnya.
Cuba perhatikan kata-kata yang sering terungkap di bibir kita setiap hari....

"Susah le nak buat kerja tu.."
"Aku ni, memang tak cantik..."
"Baru setengah bulan, duit dah nak abis..!"
"Boleh berjaya ke business ni..?"

Cuba perhatikan pula yang ini....

"Seronoknya hari ni, rasa tak sabar nak ke sana..!"
"Siapa kata aku tak cantik? Ok le ni, nak yang macam mana lagi..?"
"Alhamdulillah, cukup wang aku dengan rahmatNya..."
"Apapun yang berlaku, aku akan tetap cuba laksanakan business ni, kalau tak pecahkan ruyung, mana nak dapat sagunya..."

Dapatkah anda perhatikan perbezaan antara kedua-duanya.
Jika kita baca berulang kali, kita akan dapat rasa getar dalam hati sama ada getaran negatif yang menjatuhkan diri kita, atau getaran positif yang menyebabkan kita rasa sangat bersemangat dan berkobar-kobar.

Inilah yang dikatakan ada antara kita yang menjadi penebang balak, dan ada yang menjadi penanam balak.
Anda mahu jadi yang mana..?

Isnin, 18 Oktober 2010

Taman Bunga Impian


Pernah ke taman bunga?
Atau, di halaman rumah anda sendiri sudah sedia ada taman bunga yang cantik dan dijaga rapi?

Aku masih teringat minggu lepas semasa berurusan di Genting Highland, sempat juga aku mencuri sedikit masa lebih kurang setengah jam, merayau ke Strawberry Farm (SF) di sana. Pada pandanganku, SF di situ tidaklah secantik dan sehebat SF di Cameron Highland. Dan aku sendiri, bukan membuka catatan ini dengan perkara ini untuk menceritakan tentang kehebatan mana-mana SF...sebaliknya apa yang aku hendak ceritakan adalah berkaitan dengan tanaman bunga-bungaan, tidak kira sama ada di taman atau di halaman.

Bagi penggemar bunga, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan tanaman bunga itu dijaga dengan rapi. Disiram, dibaja, digembur selalu untuk memastikan bunga yang baru ditanam itu tumbuh subur dan mekar. Bukan pokok bunga baharu sahaja, malah yang lama tidak dilupa. Mereka akan mencantas ranting yang tidak diperlukan bagi memastikan pokoknya kekal cantik dan menarik di mata. Itulah gambaran kesungguhan penggemar bunga sama ada yang menanamnya hanya di halaman rumah, mahupun di taman-taman bunga.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Setiap perkara dan benda, ada tempatnya.

Sama ada baik atau buruk, pasti ada tempat sesuai untuk ia berada.

Pemikiran negatif dan positif juga pasti ada pada tempatnya tersendiri. Apa yang pasti, kedua-duanya tidak akan berada di suatu tempat yang sama pada masa yang sama.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Ungkapan di atas, mengingatkan aku untuk dikaitkan dengan tanaman bunga atau sesuatu pokok tertentu.

Apabila kita mahu menanam bunga atau pokok, pasti terlebih dahulu kita akan mengorek dan membuang terlebih dahulu rumput di kawasan yang hendak ditanam. Kemudian, kawasan yang sudah 'dikosong'kan itu bolehlah digunakan pula untuk meletakkan anak pokok yang hendak ditanam.


Hal dan penerangan di atas menunjukkan, untuk memiliki suatu kejayaan dan pemikiran positif (digambarkan pada pokok bunga dan pokok lain), maka kita perlu terlebih dahulu membuang rumput, lalang, batu halus, dan sebagainya di kawasan yang hendak ditanam, mengosongkan sedikit ruang untuk diletakkan anak pokok. Gambaran ini menjelaskan bahawa, jika kita hendak merasai positif dalam tindakan dan kehidupan kita, maka kita perlu terlebih dahulu membuang sifat dan pemikiran negatif. Apabila kita membuangnya, maka pasti ada 'ruang' yang boleh diisi dengan pemikiran dan sifat positif.


Dalam kehidupan kita ini, memang banyak cabaran dan halangan.

Kita harus laluinya dengan tenang dan berhemah. Jauhi pemikiran negatif, buangkan ia jauh-jauh, sebaliknya, tanamlah pemikiran positif dalam diri. Bajai ia dan jaga ia agar ia tumbuh mekar dan subur hingga menjadi 'taman bunga impian' dalam diri kita sendiri....

Ahad, 17 Oktober 2010

Kuasa Penyembuhan

Salam...
Semalam, setelah pulang dari tugasan luar, badanku mula berasa sakit dan lenguh-lenguh. Ini adalah perkara biasa kerana sebagai seorang manusia, kita akan merasa sakit dan letih. Namun, bagi orang yang cekal dan ingin meneruskan kehebatan kejayaannya, mereka akan cuba melawan kesakitan itu dengan cara yang terbaik. Inilah yang membezakan antara setiap daripada kita.

Semakin kita memikirkan tentang kesakitan itu, semakin sakit rasa badan kita.
Jadi, untuk menjadi manusia hebat, jangan fikirkan tentang kesakitan itu. Fikirkan perkara lain yang menyebabkan kita lupa kepada kesakitan itu seketika. Ini akan membolehkan tubuh melakukan penyembuhan dengan lebih cepat dan akhirnya kesakitan itu tiada lagi. Hal ini memang boleh dilakukan bagi menghadapi kesakitan kecil dan sederhana seperti demam, sakit kepala, dan sebagainya. Namun, ia memerlukan latihan dan keyakinan yang tinggi. Keyakinan yang tinggi sangat perlu kerana kita sedang cuba mengawal minda kita untuk melupakan kesakitan dan meningkatkan keupayaan tubuh.

Bolehkah kesakitan dilupakan seketika?
Boleh, jika kita mahu.
Kita boleh lupakan kesakitan itu dengan melakukan aktiviti lain hingga kesakitan itu lupa seketika daripada pemikiran kita. Kesakitan akan menyebabkan kita memancarkan getaran negatif. Apabila getaran negatif itu terpancar, maka sukarlah kita untuk menarik getaran positif. Oleh itu, cuba lupakan kepada kesakitan itu. Contohnya kita melakukan solat, zikir, membaca Al-Quran, berbual, bersiar-siar, malah tidur juga, boleh membuatkan kita lupa seketika daripada kesakitan itu dan tidak lagi mengatifkan getaran negatif. Oleh itu getaran positif mudah dilepaskan ke angkasa dan menarik lebih banyak getaran positif mendekati diri kita.

Sakit datang daripada ALLAH.
Dan hanya ALLAH lah yang memberi penyembuhan.
Kita sembuh daripada sakit bukan semata-mata kerana ubat yang dimakan. Ubat hanyalah penyebab kepada kesembuhan itu. Sebaliknya, penyembuhan itu berlaku kerana kehendak dan ketentuan ALLAH. Cuba kita perhatikan, kebanyakan ubat akan menyebabkan kita mengantuk dan tertidur. Hal ini membolehkan tubuh dapat berehat dan pemikiran tidak lagi memikirkan tentang kesakitan itu. Keadaan ini membolehkan tubuh melakukan kerjanya mengikut fungsi yang telah ALLAH tetapkan.

Semoga kita dapat merenung dan memikirkan tentang kehebatan diri kita ini yang diciptakan oleh ALLAH yang Maha Hebat.....

Khamis, 14 Oktober 2010

Kejayaan daripada impian...

Aku baru sahaja pulang dari Genting Highland kerana menghadiri sebuah kursus. Tiga hari berada di sana, dan aktiviti kursus berlangsung dengan padat. Cuba ada sedikit ruang sahaja diberikan kepada peserta kursus untuk pergi bersiar-siar.

Berkursus di Genting, bukanlah pengalaman pertamaku. Suatu masa dahulu sewaktu berkhidmat di Pahang, kursus di Genting adalah perkara biasa. Namun setelah berkhidmat di Terengganu, inilah peluang pertama untuk naik ke Genting bersama teman-teman.

Suatu masa dahulu, apa yang ada di Genting?
Hutan rimba, hidupan liar, dan impian...
Ya, impian..!

Impian daripada seorang pemilik tanahnya yang membeli tanah ini daripada kerajaan negeri dengan harga yang murah. Harga tanahnya murah berbanding di tempat lain kerana dianggap tiada apa yang boleh dilakukan dan dibangunkan di kawasan itu melainkan dengan usaha berkebun sayur di lereng bukit.

Sebaliknya, pemilik tanah itu mengangan dan mengimpikan yang kawasan itu akan menjadi lebih dari sekadar kebun sayur. Angan-angan dan impian itu bergetaran dan menerawang ke angkasaraya mencari frekuansi yang sama dengannya dan menarik ia menjadi kenyataan. Pelbagai idea mula datang dan dilaksanakan. Dan akhirnya, lihatlah apa yang ada sekarang di Genting. Deretan kedai, rumah, hotel, dan tempat hiburan.

Inilah yang digambarkan dalam kuasa impian.
Kita seharusnya terus mengimpikan seseuatu.
Dengan memulakan perkara itu dengan impian yang jelas dan nyata, maka kita akan mula mengorak langkah dengan lebih yakin. Jika menghadapi masalah di permulaan atau di pertengahan untuk mencapai impian itu, janganlah berhenti atau menukarkan impian itu dengan impian yang lain, sebaliknya tukarkan usaha dan strategi untuk terus berjaya mencapai impian tersebut...Pasti kita akan mampu mencapainya nanti.

p/s : Aku sedang bersiap-siap untuk tugasan luar yang lain lagi hari ini. Baju-baju pun masih belum kering, terpaksa ke lokasi dan tugas seterusnya pula. Mungkin, penulisanku akan berlangsung semula pada hari Ahad nanti setelah selesai tugas luarku itu

Ahad, 10 Oktober 2010

Minda Peniaga

Kelmarin, aku menceritakan tentang dua buah kedai makan yang mempunyai perbezaan nilai kepercayaan orang ramai terhadap kedua-duanya.
Sebuah kedai mendapat kepercayaan dan keyakinan tentang makanan yang disajikan hingga menyebabkan kedai itu menjadi tumpuan, manakala sebuah kedai lagi tidak begitu, walaupun kelihatan lebih cantik dan mewah hiasannya.

Sebagai seorang peniaga, kita harus ada minda orang berniaga.
Jika kita tidak memiliki minda seorang peniaga yang baik, maka perniagaan kita itu pasti seperti hidup segan mati tak mahu.

Hal inilah yang sering terjadi kepada peniaga Melayu suatu masa dahulu, (tidak memiliki minda seorang peniaga) sehinggakan ada ungkapan yang mengatakan orang Melayu memang tidak pandai berniaga. Namun, pandangan itu aku sangkal. Sejarah telah membuktikan tentang kehebatan orang-orang Melayu berdagang dari satu tempat ke suatu tempat suatu masa dahulu. Malah, keunggulan empayar perdagangan di Melaka suatu masa dahulu juga menyanggah pendapat bahawa orang Melayu tidak pandai berniaga.

Minda orang berniaga haruslah ada untuk memastikan perniagaan itu berlangsung dengan lancar dan berjaya. Minda, seperti yang telah dijelaskan dalam catatan-catatan sebelum ini merupakan kuasa yang ALLAH kurniakan kepada setiap manusia dan menjadikan manusia makhluk terhebat ciptaan ALLAH.

Mari kita lihat penerangan ini bersama dengan contoh dua buah kedai yang kuceritakan kelmarin.

Peniaga 1 (Gerai yang berjaya mendapat kepercayaan pelanggannya)
Pasti dalam dirinya berbunga-bunga untuk berniaga kerana memikirkan betapa ramainya pelanggan yang akan datang makan di kedainya. Dalam setiap pemikirannya pasti menggambarkan bahawa setiap bahan mentah yang disediakan pada hari itu akan habis dimasak kepada pelanggannya. Tergambar di fikirannya keuntungan yang bakal diperolehi.
Layanan yang diberikan tentu hebat dan menarik; tutur kata yang sopan, ramah, dan mesra.
Lebih indah lagi jika diselubungi dalam hatinya rasa syukur yang amat tinggi kerana ramainya pelanggan yang datang.

Semua hal ini akan menyebabkan mindanya memancarkan getaran keseronokan ke alam semesta. Getaran ini akan bergabung dengan kehendak pelanggan dan orang ramai yang datang ke situ. Percaya atau tidak, pasti setiap yang ada di situ tergerak hati untuk ke kedai itu. Inilah hukum alam yang tidak mampu kita fikirkan kerana ia adalah kehendakNya.

Peniaga 2 (Gerai yang tidak dikunjungi)
Bayangkan apa perasaan tuan punya kedai kedua ini?
Marahkah dia? Berdendamkah dia? Sakit hati?
Pada kebiasaannya, itulah yang akan terjadi, kecuali jika dia menginsafinya dan sedar bahawa perkara itu tidak patut dilakukan dalam kehidupan ini.
Mungkin peniaga kedua ini merasa sangat tidak selesa dan marah kerana kedainya tidak dikunjungi. Mungkin dia menjadi marah hingga melakukan perkara yang tidak sepatutnya lebih dari sekadar yang kita boleh bayangkan.

Namun sedarkah kita, pada ketika itu, peniaga kedua ini telah mengaktifkan gelombang dan getaran negatif daripada mindanya dan menerawang di angkasaraya. Getaran negatif ini akhirnya akan membawa keburukan lagi kepadanya kerana semakin ramai yang menjauhkan diri daripadanya.

Mungkin agak sukar untuk diperjelaskan di sini.
Namun sebenarnya, hal ini adalah perkara yang memang terjadi kerana kuasa minda yang ALLAH kurniakan kepada kita akan tetap melakukan apa sahaja yang kita minta. Jika kita minta kebaikan, maka kebaikanlah yang akan hadir dan melingkungi hidup kita...begitu jugalah jika sebaliknya.

Rezeki datang daripada ALLAH.
Namun, apa yang kita fikirkan tetap akan memberi kesan kepada perjalanan kehidupan kita ini...

Kepercayaan...

Kepercayaan adalah satu anugerah dan nikmat.
Apabila kita mendapat suatu kepercayaan, maka ia menunjukkan penilaian yang tinggi daripada orang lain terhadap kita.
Kepercayaan ini bukan hanya sekadar melibatkan perkara-perkara yang membabitkan amanah sahaja, malah ia lebih daripada itu.

Aku ingin memberi satu contoh mudah.
Kelmarin aku ke Kuala Terengganu kerana menguruskan sesuatu.
Dalam perjalanan pulang, aku berhasrat untuk singgah solat dan makan. Lalu aku berhenti di sebuah kawasan. Di situ terdapat beberapa buah kedai makan, tetapi hanya ada dua buah kedai makan sahaja yang beroperasi. Sebuah kedai, nampak agak cantik dan teruja, penuh dengan hiasan dan sebagainya, namun hanya ada seorang lelaki yang duduk sambil minum teh O, manakala sebuah lagi kedai nampak sudah sedikit 'uzur' dengan atap yang sudah rongak di sana sini, namun mempunyai ramai pelanggan yang berada di situ.

Apa yang hendak aku ceritakan, bukanlah tentang keadaan kedai, atau tentang keenakan makanan, atau tentang kedai mana yang aku pilih, atau kedai mana yang ada 'pelayan' yang cantik dan gebu....namun yang menjadi perhatianku adalah tentang kepercayaan yang diberikan oleh orang ramai terhadap kedai yang kedua. Walaupun tidak secantik kedai sebelahnya, namun ramai yang makan di situ. Pada pandangan mata kasarku, tentu mereka itu pelanggan tetap dan ada beberapa orang yang seperti dalam perjalanan sepertiku.
Berbeza dengan kedai sebelahnya yang nampak eksklusif, punya beberapa orang gadis kecil molek manis, namun tiada yang mahu menghampiri.

Pada pendapatku, hal ini adalah kerana kepercayaan pelanggannya yang tetap setia menuju ke kedai tersebut kerana sesuatu keistimewaan. Mungkin dari segi keenakan masakannya, mungkin dari segi layanannya, atau mungkin kedai sebelah tu memang tidak menarik langsung...aku sendiri tidak dapat memberikan jawapannya...

Khamis, 7 Oktober 2010

Kembali Berjuang

Sudah berhari-hari aku terperangkap dalam duniaku sendiri...
Sudah berhari-hari juga aku tidak sempat ke mana-mana, walaupun untuk meninjau-ninjau di internet. Sesungguhnya, aku memang terperangkap dalam cabaran yang sangat hebat baru-baru ini....

Hampir aku tertewas...
Tetapi kemudiannya aku sedar bahawa;
Aku mampu mengatasi segala cabaran dan dugaan ini.
Apa yang perlu adalah aku harus fokuskan kepada jalan penyelesaian kepada masalah dan bukannya fokus kepada masalah tersebut.
Lantaran itu membuatkan aku mula mengorak langkah kembali untuk terus berjuang bagi memenangi cabaran dan halangan kehidupan ini.

Dengan bantuan dan kehendakNya jua, alhamdulillah segalanya telah mula menunjukkan perkembangan positif. Dan insyaALLAH aku akan kembali menulis seperti biasa selepas ini...

Isnin, 4 Oktober 2010

Mencapai kejayaan dengan langkah pertama

Setiap daripada kita ada cita-cita dan impian tersendiri.
Untuk mencapai cita-cita dan impian itu, maka kita perlulah berusaha.
Tidak kira besar atau kecil impian tersebut, selagi mana kita hanya berpeluk tubuh, selagi itulah kita tidak akan mencapai apa-apa kejayaan.

Sedar atau tidak, dalam mencapai kejayaan ini, kita akan berhadapan dengan risiko dan kesukaran (cabaran). Kata orang, jika kejayaan itu tercipta dengan mudah dan senang saja kita mendapatnya....kurang menarik rasanya nikmat kejayaan itu. Sebab itulah, kejayaan itu terhasil daripada keringat dan air mata. Ia hanya akan hadir kepada orang yang benar-benar berusaha dan bertawakkal kepadaNya.

Cuba kita bayangkan perkembangan kejayaan seorang kanak-kanak dalam perjalanan kehidupannya. Bermula untuk belajar melangkah, pasti dia akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran. Namun, setiap usahanya untuk belajar mengimbang diri, jatuh dan bangun, sakit kerana terjatuh atau terlanggar sesuatu, semuanya tidak dipedulikannya. Malah anak itu akan terus bangun dari jatuhnya dan belajar untuk melangkah lagi.
Hinggalah dia benar-benar mahir melangkah dan berlari riang.... Indahnya...
Seterusnya, barulah dia mula mengorak langkahnya dengan lebih jauh dengan pergi ke sana dan ke mari.
Apa yang penting adalah, segalanya bermula dengan langkah pertamanya iaitu berhadapan dengan cabaran untuk belajar berjalan.

Kanak-kanak tersebut sebenarnya telah berhadapan dengan risiko dan cabaran untuk berjaya.
Dia sanggup menghadapinya walaupun berhadapan dengan sakit dan susahnya untuk melangkah.
Kesanggupan ini dibalas dengan kejayaan kepadanya iaitu akhirnya akan dapat berjalan dan berlari dengan riang dan gembira.

Itulah falsafah dan gambaran dalam kehidupan kita.
Untuk mencapai sesuatu, maka kita perlulah memulakan langkah pertama kita.
Walau berhadapan dengan rintangan dan cabaran, teruskanlah...
Kerana semua itu adalah dugaan yang akan menjadikan pengalaman dan pengetahuan berguna kepada kita di masa akan datang...

Ahad, 3 Oktober 2010

Masalah atau Cabaran

Setiap daripada kita tentu sering berhadapan dengan masalah dalam kehidupan ini.
Ada yang berjaya melaluinya dengan tenang dan tabah, ada pula yang tertewas dalam berhadapan dengannya.

Bagi diriku sendiri,
Aku kurang gemar menggunakan perkataan masalah, prolem...
Kedua-dua perkataan ini adalah menunjukkan sesuatu perkara yang negatif.
Masalah dan problem adalah perkara yang menyusahkan kehidupan kita jika kita tidak pandai mengharunginya.

Aku selalu mengingatkan diriku dan teman-teman rapatku agar menukarkan perkataan masalah itu dengan cabaran.
Perkataan cabaran, mempunyai sedikit nilai semangat dan ketinggian maksud dalam perkataan.
Dengan cabaran, kita seolah-olah perlu melaluinya dengan tabah dan penuh strategi. Cabaran seolah-olah mencabar kita untuk melaluinya dan menuju ke arah kejayaan. Berbeza dengan maksud masalah yang membawa erti sesuatu kesusahan, dan kesukaran.

Daripada kedua-dua perkataan ini yang mempunyai pengertian yang hampir sama, namun membawa maksud yang berbeza. Apa yang penting adalah, penggunaan kedua-dua perkataan ini mampu untuk mempengaruhi kekuatan dan keupayaan minda kita berhadapan dengannya.

Namun demikian, menggunakan perkataan masalah, tidaklah salah.
Ada situasi yang kita memang perlu menggunakan perkataan masalah.
Apa yang disarankan adalah, dalam diri kita sendiri, cuba tukarkan masalah itu kepada cabaran.
Jika kita terus memfokuskan kepada masalah, maka kita akan berhadapan dengan masalah yang sangat hebat. Berbanding jika kita menukarkan masalah itu kepada suatu cabaran, maka pasti semangat juang untuk melaluinya akan meninggi...

Sabtu, 2 Oktober 2010

Nikmat yang ditarik...

Hari ini, aku ke Kuala Terengganu kerana ada urusan penting.
Selesai urusan, aku ke sebuah kedai buku yang sering aku kunjungi apabila berada di Kuala Terengganu.
Pada ketika itu, aku terlihat seorang lelaki gila yang merayau-rayau tanpa tujuan.
Pelbagai perkara berlegar di fikiranku pada saat aku melihat lelaki itu.
Kasihan, kecewa, sedih...segalanya bercampur di benakku.
Apa yang pasti, aku dapat simpulkan bahawa salah satu nikmat lelaki itu telah ditarik kembali oleh ALLAH yang Maha Kuasa. Nikmat berfikir, dan nikmat kehidupan normal.
ALLAH mengurniakan kita akal dan fikiran.
Akal yang ALLAH kurniakan bukan sekadar untuk berfikir, malah ia lebih dari itu. Sebab itu perkataan minda lebih harmoni dan sesuai untuk diberikan kepada pemikiran manusia yang sangat tinggi ini. Inilah sebenarnya yang ALLAH nyatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian, kerana kita bukan sekadar mampu untuk berfikir, malah kita mempunyai kekuatan minda yang sangat hebat untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.
Hanya 10% manusia di muka bumi ini sedar dan mampu untuk menggunakan kekuatan minda ini. Selebihnya, masih belum sedar dan tahu untuk menggunakan kehebatan kurniaan ALLAH ini...

Jumaat, 1 Oktober 2010

Memberi dan menerima

Semakin banyak kita memberi....semakin banyak kita akan terima.

Itu adalah sebahagian daripada hukum dalam sains kuasa minda.

Hukum ini, sama saja maksud dan kepentingannya seperti bersyukur yang ALLAH telah nyatakan dalam AL-Quran; jika kamu bersyukur maka akan AKU tambahkan nikmatnya.

Khutbah Jumaat hari ini menyatakan perkara yang sama seperti yang aku berpegang selama ini iaitu semakin banyak kita memberi semakin banyak kita akan menerimanya.

Dalam khutbah tersebut, dinyatakan jika kita sering berbuat baik kepada orang, maka orang akan lebih menyayangi dan menghormati kita. Dalam erti kata yang lain, semakin ramai yang suka dan sudi bersahabat dengan kita.
Dalam khutbah itu dinyatakan secara gambaran seperti seseorang itu ada sebidang tanah. Semakin banyak tuan tanah itu menggemburkan tanah dan 'memberi' benih ke atas tanah tersebut, semakin banyaklah pokok dari benih yang 'diberi' itu akan tumbuh. Bermaksud, semakin banyak kita menyemai benih, maka semakin banyaklah hasilan yang akan diperolehi.

Malah, ada sesuatu yang lebih menarik dalam gambaran yang diberikan dalam khutbah tersebut.
Kata tuan khatib; malah, jika kita 'memberi dengan tidak memberi' sekalipun akan membolehkan kita menerima keuntungan dan kebaikannya.
Tuan khatib menjelaskan bahawa 'memberi dengan tidak memberi' adalah dicontohkan seperti orang yang menaiki kenderaan yang sanggup tidak membuang sampah keluar, maka akan bertambahlah kebaikan kepada semua kerana kurangnya sampah yang bertaburan di jalan. Dalam penjelasannya diterangkan bahawa jika kita 'tidak memberi' sampah itu keluar dengan membuang sesuka hati di jalanan, maka kebaikannya akan pulang kepada kita dan kepada semua.

Hukum dalam sains kuasa minda menyatakan;
Semakin banyak kita memberi, semakin banyak kita akan menerimanya.
Semakin banyak kita tersenyum kepada orang lain, semakin ramai orang akan tersenyum kepada kita.

Simple..!
Inilah sebahagian daripada hukum tarikan yang ada dalam kuasa minda manusia.
Namun ia juga akan berlaku tarikan yang sama jika kita melakukan perkara yang buruk dan negatif, maka buruk dan negatiflah yang akan kembali kepada kita.
Justeru, marilah sama-sama kita membetulkan kembali cara pemikiran dan perasaan kita.

Mudah saja jika kita mahu untuk melakukannya.

Menuju Kejayaan...~Bicara Akhir

Haiya 'alas-solah...
Haiya 'alal-falah...

Sebagai ummat Islam, kita memang sudah sedia maklum dengan perkara ini.
Ini adalah seruan dan laungan untuk menemuiNya...

Pernah berfikir, kenapa dalam laungan azan ada ungkapan 'marilah mendirikan solat, marilah menuju kejayaan'..?

Kerana, tersembunyinya salah satu tuntutan agama adalah untuk melihat kejayaan dalam kehidupan. Malah, kejayaan itu sebenarnya ada jika kita bersolat atau dalam erti kata yang lain, kita mentaati perintah ALLAH.

Dengan mentaati perintah ALLAH, pasti kejayaan yang diimpikan itu membuahkan hasil.

Cuba kita perhatikan semula langkah kejayaan yang dicadangkan;

No. 1 - Impian dan matlamat yang jelas - ADA.
No. 2 - Pelaksanaan dan tindakan - BERES.
No. 3 - Rasai kejayaan/meyakini yang kita mampu berjaya - LENGKAP.
No. 4 - Solat? Zakat? Buat baik dengan ibu bapa? - ????????

Sebenarnya, perkara inilah yang menjadi keutamaan dalam kehidupan kita. Dengan menjaga perintahNya, aku sangat yakin dan pasti, secara langsungnya kita telah berjaya membentuk kekuatan minda yang kuat untuk mencipta kejayaan. Perkara ini adalah perkara yang pertama yang perlu kita laksanakan. Namun, kenapa aku letakkannya di akhir?

Kerana ia bukanlah sebagai salah satu syarat untuk berjaya. Ia perlu dilakukan bukan hanya untuk menjayakan sebuah impian. Ia adalah perkara yang MESTI kita laksanakan, tidak kira sama ada kita mengimpikan sesuatu atau tidak. Ia MESTI...! Mahu atau tidak mahu, kita mesti melakukannya...sebab itu dikatakan ia bukan syarat utama untuk mencapai kejayaan.

Kejayaan yang terhasil, sesungguhnya adalah daripadaNya.

Kita tidak boleh menyatakan bahawa sesebuah kejayaan adalah daripada usaha kita semata-mata. Sebab itu, kita dianjurkan untuk sentiasa bersyukur kepadaNya. Dengan bersyukur, kita telah menunjukkan bahawa kita yakini bahawa kejayaan itu adalah daripadaNya jua, dan bukan semata-mata daripada usaha kita.

Ada pula teman-temanku yang mempertikaikannya...
"Kenapa orang kafir masih boleh berjaya..?"

Kejayaan bukan semata-mata terhasil kerana kita meminta daripadaNya.
Dan, ALLAH memberi kejayaan itu juga bukan semata-mata kerana kita meminta.

ALLAH tetap akan memberi kejayaan kepada sesiapa yang berusaha kerana DIA Maha Kaya untuk memberi apa sahaja dan kepada sesiapa sahaja., walaupun kepada orang yang masih belum beriman kepadaNya. Hanya kita, yang perlu memikirkannya untuk menilai dan menginsafi diri tentang siapa kita dan siapa DIA di sebalik kejayaan itu...