Khamis, 22 Ogos 2013

Yakin itu menang

Salam kemakmuran daripada KM buat semua.

yakin-horz

Gambar daripada internet

‘Kita yakin, kita menang.’

Ungkapan ini adalah gambaran bahawa apabila kita yakin dengan apa yang kita impikan, apa yang kita usahakan, apa yang kita kejar, maka kita akan menang (dapat apa yang kita mahu).

Yakin membentuk kekuatan dalam diri untuk terus mendapatkan sesuatu.  Kita akan mendapat kekuatan dan power yang luar biasa untuk memiliki sesuatu apabila kita yakin untuk mendapatkannya.  Ia ada kaitannya dengan kekuatan dan kehebatan minda kita.  Apabila kita yakin, maka minda akan menjadi sangat ‘besar dan kuat’ untuk melaksanakan tugasan pada anggota badan bagi merealisasikan apa yang kita mahu.

Kita sudah menang apabila kita yakin…

Bagaimana jika tidak yakin?  Jelas dan nyata bahawa minda sudah ‘dibunuh’ oleh cara pemikiran kita sendiri.  Kita sendiri yang memprogram dalam minda bahawa apa yang kita lakukan itu tidak berjaya bila kita tidak yakin.

Selasa, 20 Ogos 2013

Rezeki secupak…

Salam kedamaian daripada KM buat semua.

BERAS SECUPAK

Gambar daripada internet

Pepatah Melayu mempunyai simbol dan pengajaran yang sangat luas, dan kekadang tajam kepada sesiapa yang terkena.  Banyak pepatah dan ungkapan bangsa Melayu yang berbentuk pengajaran dan ingatan, dalam sindiran dan secara terangan kepada yang memahaminya.

Dalam banyak-banyak pepatah Melayu, KM terpanggil untuk membicarakan tentang ‘rezeki secupak takkan jadi segantang’.  Ada rakan KM berkata bahawa inilah gambaran kemalasan orang Melayu yang merasa cukup-cukup sahaja dengan apa yang ada.  Memang pada dasarnya ungkapan ini menunjukkan keadaan seperti yang dinyatakan oleh rakan KM itu; orang Melayu bila dah dapat beras secupak, terima sahajalah kerana ia takkan jadi segantang.  Namun, jika kita fikirkan lagi, sebenarnya ia ada maksud lain yang lebih mendalam lagi.

Rezeki secupak yang kita terima tidak akan jadi segantang merupakan gambaran cabaran kepada kita.  Bila kita terima rezeki secupak, jangan harap ia akan jadi segantang jika kita tidak terus berusaha untuk menjadikannya segantang.  Gambaran ini sebenarnya berbentuk cabaran iaitu meminta agar kita terus berusaha, jangan hanya terima sahaja secupak yang ada itu.  Kita seharusnya teruskan lagi.  Jika hendak segantang, maka kuatkan lagi usaha.  Jika usaha kita secupak cuma, maka mana mungkin kita akan terima segantang.  Jika kita mahukan segantang maka usaha juga haruslah ‘segantang’.

Minda kita juga begitu.  Kita mudah terima apa yang ada.  Jika hanya dapat itu, maka itulah.  Sepatutnya, kita perlu kuatkan lagi minda untuk mengimpikan dan mencipta lebih banyak lagi peluang dan kejayaan dalam diri kita.  Bukan hanya sekadar menerima sahaja apa yang ada.

Ini bukan bermaksud kita tidak bersyukur.  Bersyukur dengan apa yang ada itu adalah baik.  Namun usaha untuk mendapatkan lebih banyak lagi adalah perlu untuk diri kita.

Ahad, 18 Ogos 2013

Dalaman diri membentuk luaran….

Salam kedamaian daripada KM buat semua…

Kita semua pernah mendengar tentang ‘kecantikan luaran bermula dari dalam’, mungkin mempromosikan sesuatu produk makanan tambahan dan sebagainya.  Sebenarnya slogan ini ada kaitannya dengan minda.  Mindalah (dalaman) yang sebenarnya memprogram diri (luaran) untuk menjadi berjaya atau sebaliknya.  Jika minda kita hebat dan berjaya, maka hebat dan berjayalah diri kita.

Cuba lihat kepada individu-individu yang berjaya dalam bidang masing-masing, bagaimana minda dan cara mereka berfikir.  Kita akan dapat lihat golongan ini sentiasa mempunyai cara pemikiran yang sangat positif dan sentiasa berani dan bersedia.  Tidak ada seorang pun yang berjaya dengan memiliki minda yang negatif dan penakut.  Kesemua mereka pasti mempunyai minda yang hebat hingga menjadikan diri mereka hebat dan berjaya.

Pun begitu, kekadang minda perlukan arahan daripada luar untuk bertindak.  Arahan dari luar inilah yang perlu sentiasa kita awasi agar hanya arahan yang baik sahaja kita terima dan cuba sedaya mungkin untuk mengelak menerima arahan yang tidak baik.

Sebagai contoh, jadikan amalan untuk sentiasa menyatakan kepada diri bahawa kita hebat, kita bertenaga, kita sentiasa bersedia menghadapi cabaran, dan sebagainya pernyataan positif.  Pernyataan ini merupakan arahan kepada minda dan minda akan bertindak dengan arahan ini untuk menjana kehebatan dari dalam dan membentuk kehebatan diri kita.

Bagaimanapun, arahan tidak baik sentiasa ada dan perlulah kita awasinya.  Contohnya ‘bisikan’ hati yang meragukan sama ada kita ini boleh berjaya atau tidak, atau mungkin komen negatif dan perli-perli memedihkan telinga daripada rakan sekeliling yang menyatakan kita ini belum cukup hebat, dan sebagainya.  Arahan negatif ini jika dibiarkan akan menjadikan minda kita (dalaman) menjadi tidak hebat dan akhirnya membentuk diri kita yang tidak hebat juga….

Jumaat, 16 Ogos 2013

Malik bin Dinar…

Salam kedamaian buat semua….

 taubat2

Hari ini KM hendak ceritakan semula sebuah cerita tentang ahli sufi yang KM dengar dari sebuah ceramah.  Ceritanya berkenaan seorang yang selalu melakukan maksiat, namun akhirnya bertaubat dan menjadi ahli sufi yang terkenal.

Ada seorang lelaki hebat bernama Malik bin Dinar.  Dia selalu melakukan kejahatan dan maksiat.  Tiada lagi maksiat dan kejahatan yang belum pernah dia lakukan, semuanya sudah biasa dilakukannya dengan penuh keangkuhan.  Salah satu kejahatan yang paling utama adalah meminum arak.  Arak umpama air utama untuk dia minum seharian.  Benarlah seperti mana yang diingatkan oleh Rasulullah bahawa arak adalah ibu segala maksiat; apabila minum arak pasti lebih banyak maksiat akan dilakukan.

Malik mempunyai seorang anak kecil yang sangat comel.  Kekadang, Malik jadi insaf akan keadaan dirinya yang sentiasa melakukan maksiat apatah lagi bila melihat ke dalam mata anaknya yang sangat disayanginya itu.  Anaknya seolah-olah meminta agar Malik insaf dan bertaubat daripada melakukan maksiat.  Alhamdulillah, akhirnya Malik mendapat kesedaran dan meninggalkan segala maksiat yang pernah dilakukan, hanya kerana terlalu sayangkan anaknya.

Ketentuan ALLAH, usia anaknya tidak panjang.  Anak kecil yang Malik Dinar sangat sayang itu meninggal dunia, meninggalkan diri ayah yang masih terlalu muda dalam bertaubat.  Keadaan ini menyebabkan Malik bin Dinar memberontak.  Dia seolah-olah menyalahkan ALLAH kerana ‘mengambil’ anaknya.  Dan sejah hari itu, Malik Dinar kembali melakukan maksiat, kembali dalam meminum arak.

Pada suatu hari, Malik bin Dinar pergi ke kedai menjual arak, untuk membeli dan meminum arak di situ (mungkin gambarannya seperti kelab malam atau pub pada masa kini).  Setibanya di situ, dia minum arak dengan sangat banyak tanpa henti.  Akibat terlalu banyak minum, Malik akhirnya pengsan di kedai itu.  Semasa Malik pengsan itulah, kejadian yang benar-benar akan menginsafkannya berlaku.

Dia seolah-olah ‘dibawa’ ke alam roh.  Nyawanya seolah-olah telah dicabut dari badannya semasa dia pengsan dan dibawa ke sana.  Di suatu tempat yang asing, dia berjalan dan terus berjalan tanpa hala tujuan.  Tiba-tiba dia ternampak seekor ular besar sedang menuju ke arahnya.  Malik bin Dinar terus berlari, dan ular itu pula terus mengejar dan mengekorinya.

Malik Dinar terus berlari di bumi yang asing baginya itu.  Tiba-tiba dia ternampak seorang lelaki tua yang bertongkat sedang melalui kawasan itu.  Dia berlari dan menjerit meminta tolong daripada lelaki tua itu.  Malangnya lelaki tua itu tidak dapat membantunya kerana lelaki itu sangat tua dan lemah.

Malik bin Dinar terus berlaku dan akhirnya sampai ke sebuah taman yang cantik.  Di situ, dia ternampak anaknya yang meninggal dulu sedang duduk bersama-sama dengan ramai kanak-kanak lain.  Malik terus menjerit dan meminta tolong daripada anaknya itu.  Akhirnya ular yang mengejar Malik hilang apabila anak Malik datang dan menghalaunya.

Bersyukur Malik kepadaNya.  Pada ketika itulah, Malik bin Dinar bertanya kepada anaknya, di mana mereka berada?  Anaknya menyatakan mereka berada di taman syurga.  Anaknya (yang meninggal kecil dan tidak melakukan apa-apa kesalahan) telah ditempatkan di situ sambil menunggu hari kiamat untuk kembali bersama ibu dan bapanya.

Bertanya Malik; siapa ular besar yang mengejarnya?  Anaknya berkata bahawa ular besar itu adalah dosa-dosa yang dilakukanya.  Semakin banyak dosa dilakukan di dunia, semakin besarlah ular yang akan mengejar dan menyeksa kita di sana nanti.

Bertanya Malik; siapa pula orang tua tadi?  Anaknya berkata bahawa orang tua itu adalah amalan kebaikan Malik semasa di dunia.  Oleh kerana amalannya hanya sedikit, maka orang itu digambarkan hanya sekadar seorang tua yang lemah dan bertongkat, yang tidak mampu untuk menolong menghalang ular (dosa) untuk menyeksa dan mengazab kita.

Seketika kemudian, Malik bin Dinar tersedar semula daripada pengsannya.  Dan dari semenjak itu, Malik benar-benar bertaubat dan menginsafi segala kesalahan dan kemaksiatan yang dilakukan.  Dia benar-benar menjadi ahli ibadat yang memperhambakan dirinya hanya kepada ALLAH semata-mata.

Bagaimana pula dengan diri kita?  Adakah kita cukup bersedia untuk kembali ke ‘sana’?  Cukupkah sudah amalan dan bekalan kita?  Di hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita menginsafi diri…ingatan buat diri KM yang kerdil ini……

Khamis, 15 Ogos 2013

Keseronokan dan kebahagiaan…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.

Memang sudah lama benar KM tidak dapat menulis di sini.  KM umpama baru sahaja bertapa memperhambakan diri kepadaNya selama sebulan yang lalu dan alhamdulillah KM kini dapat kembali semula ke sini untuk menulis dan mencoret sesuatu untuk ingatan KM.

Pertamanya, agak terlewat untuk KM ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin, andai selama KM menulis di sini, ada yang terguris hati dek tulisan KM untuk mungkin tidak berbahasa. 

Sempena suasana hari raya yang masih berbaki ini, KM hendak ceritakan tentang keseronokan dan kebahagiaan.  Kata orang, kanak-kanaklah golongan yang paling seronok dan bahagia bila tiba hari raya.  Betul, KM setuju dengan pandangan itu.  Memang golongan kanak-kanak ini akan menjadi insan yang paling seronok dan bahagia semasa menyambut hari raya.  Kenapa?  Kerana mereka tidak pernah runsing dan berdukacita.  Mereka faham erti menyambut hari raya.  Mereka sentiasa menjadikan apa yang mereka hendak lakukan itu sentiasa seronok dan bahagia, walaupun terpaksa berjalan berbatu-batu untuk beraya di setiap rumah dalam kampung.

Bagaimana pula dengan kita?  Bagi orang dewasa, ada yang seronok dan bahagia, dan ada juga sebaliknya.  Kerana mereka menjadikan kesulitan dan kerunsingan hidup untuk menutup keseronokan di hari raya. 

Sewajarnya, kita kembali semula kepada pengertian hari raya.  Hari raya adalah hari kemenangan kerana kita telah berjaya menjalankan perintahNya selama sebulan.  Memang kita diminta untuk berhari raya; berseronok dan berbahagia di hari raya kerana kemenangan itu.  Oleh itu, sewajarnyalah kita sentiasa merasa gembira dan seronok pada hari raya kerana ini akan membuatkan kita menjadi seronok dan segar kembali.

Dan apa yang lebih baik adalah, jika kita dapat kekalkan keseronokan itu dan sentiasa rasa bahagia selepas ini dan selamanya.  Perasaan positif seperti ini akan menjadikan kita sentiasa bertenaga dan berbahagia dalam kehidupan.  Ini akan menjadikan diri kita sentiasa bersemangat dan berdaya juang yang tinggi.