Khamis, 29 Julai 2010

Fokus Terhadap Impian

Kebanyakan orang yang aku temui, masih belum mempunyai impian...
Apabila ditanya; 'apakah impian anda?'; masih ada yang termanggu-manggu untuk menjawab soalan mudah itu.

Sebahagian yang lain pula, mempunyai impian yang tersendiri. Namun, mereka kurang fokus kepada impian tersebut. Impian mereka umpama keinginan yang tidak terjejak ke bumi yang nyata. Mereka ada impian seperti ingin mempunyai kekayaan, kemewahan, kesenangan dalam hidup, namun mereka tidak mampu untuk menyatakan cara untuk merealisasikan impian tersebut. Dalam erti kata yang lain, mereka hanya bermimpi, namun tidak pernah berusaha untuk mengejar mimpi tersebut. Oleh itu, mimpi hanya sekadar khayalan indah buat sementara sahaja kepada mereka.

Cuma ada sebahagian sahaja yang benar-benar mempunyai impian.
Mereka dapat menyatakan dengan jelas tentang apa yang mereka impikan.
Kemudian, mereka dapat menunjukkan usaha untuk mendapatkan impian tersebut. Apa yang dapat disimpulkan adalah, golongan ini sering fokus kepada impian mereka.

Fokus adalah ketekunan dan keterujaan terhadap sesuatu. Jika kita hanya memberi tumpuan seketika sahaja, maka itu belum lagi dinamakan fokus kepada impian.

Sebagai contoh; kanak-kanak kecil yang berada di sebuah pusat membeli belah yang ternampak mainan kegemarannya. Pasti kanak-kanak itu meminta-minta kepada ibu bapanya untuk mendapatkan permainan tersebut. Beruntunglah anak itu jika ibu bapanya terus membeli mainan itu. Namun jika ibu bapanya tidak mahu membeli, pasti sahaja anak itu akan menangis terpekik terlolong di situ. Glamour le seketika ibu bapa anak itu kerana semua orang akan memberi perhatian kepada mereka... :)

Namun, jika si bapa mendukung anak itu dan membawanya ke tempat yang lain, mungkin anak itu terpandang pula perkara lain yang mampu menarik perhatiannya, seperti aiskrim. Maka tiada lagi tangisan anak itu untuk mendapatkan permainan tadi, sebaliknya dia akan menangis untuk mendapatkan aiskrim kegemarannya pula. Hal ini adalah sebagai satu contoh bagaimana si bapa dapat mengubah impian anaknya yang asal kepada perkara yang lain.

Bagi diri kita, fokus terhadap impian adalah salah satu cara untuk memastikan impian kita benar-benar akan tercapai. Jika kita hanya sekadar menyatakan sahaja kehendak dan impian itu, maka sukarlah untuk kita merealisasikan impian itu menjadi kenyataan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan