Sabtu, 5 April 2014

Tenaga Pemikiran

Salam penuh kasih sayang daripada KM buat semua.

Pemikiran kita adalah tenaga, itulah yang akan KM huraikan hari ini. 

Setiap benda memiliki tenaga tersendiri.  Tidak kira sama ada benda hidup atau benda bukan hidup; tetap mempunyai tenaga yang telah dipinjamkan oleh ALLAH.  Malah, cara pemikiran kita juga mempunyai tenaga.

Sebelum ini pun KM sudah pernah huraikan bahawa pemikiran kita akan menghasilkan gelombang.  Gelombang ini akan keluar dari ruang aura diri kita dan akan menarik gelombang yang sama untuk bersamanya.  Jika kita fikirkan perkara baik, maka gelombang baiklah yang akan keluar, dan menarik perkara baik juga mendekati kita.  Sebab itu KM selalu ingatkan, JAGA PEMIKIRAN kita.

Mari kita buktikan pemikiran mempunyai tenaga…

Kumpulkan ahli kumpulan kita (rakan setugas, atau ahli keluarga).  Kemudian kita nyatakan sesuatu yang sedih dan bermasalah.  Perhatikan apa yang akan berlaku selepas itu.  Perkara pertama, kita akan nampak kesedihan dalam wajah ahli kumpulan kita.  Hal ini sahaja sudah membuktikan bahawa pemikiran yang kita keluarkan tadi sudah mempunyai tenaga dan membentuk kesedihan dan masalah kepada orang lain.  Perhatikan lagi kepada tindakan mereka selepas itu.  Pasti sahaja kita akan dapat lihat mereka tidak bermaya dan melakukan tugasan dengan lemah dan tidak bersemangat.  Nampak tak bagaimana tenaga mereka menjadi kurang dan tidak bersemangat.

Cuba kita lakukan keadaan yang sama namun dengan situasi yang berbeza; berikan kata-kata semangat atau harapan yang positif.  Pasti sahaja apa yang akan dapat kita lihat sangat berbeza.  Ahli kumpulan kita akan menjadi lebih cergas, bersemangat, dan dapat melakukan tugasan dengan lebih sempurna.  Kenapa ini berlaku?  Kerana kita telah memberi ‘tenaga’ dalam pemikiran kita dan disalurkan kepada ahli kumpulan kita.

Contoh:

“Kalau ayah dan ibu lihat prestasi pelajaran kamu semakin naik, kita akan melancong cuti penggal nanti”  kata seorang ayah kepada anaknya.

Agak anda, bagaimana motivasi, semangat, dan jiwa di anak apabila mendapat corak pemikiran seperti ini daripada seorang ayah?  Percayalah bahawa anak itu akan menjadi lebih rajin, bersemangat, dan tekun.  Bukan sekadar untuk menuntut janji si ayah, sebaliknya timbul semangat baru yang tidak dapat dipastikan arah datangnya.

Segalanya ada dalam minda kita….

Khamis, 3 April 2014

Jarum dan Benang, Pernafasan Kita…

Salam kedamaian buat semua…

Mari kita sama-sama lakukan eksperimen hari ini.  Ambil sebatang jarum dan seutas benang.  Pegang jarum di tangan kanan dan benang di tangan kiri.  Sekarang, cuba masukkan benang ke dalam lubang jarum tersebut.  Berjaya?  Tahniah!  OK sekarang keluarkan semula benang dari lubang jarum.

Sekarang, kita lakukan sekali lagi eksperimen ini iaitu memasukkan benang ke dalam lubang jarum.  Namun, kali ini cuba perhatikan pula kepada corak pernafasan kita. 

Apa yang dapat anda simpulkan dengan cara bernafas anda semasa anda memasukkan benang ke dalam jarum?  Bagaimana rentak pernafasan anda?  Lajukah atau tenangkah?

Dalam beberapa siri ujian yang KM lakukan kepada 5 orang responden KM, corak pernafasan mereka semasa memasukkan benang ke dalam lubang jarum, SANGAT TENANG.  Mereka seolah-olah ‘menahan’ nafas semasa proses memasukkan benang tersebut.

Sebenarnya inilah corak pernafasan semasa kita sedang fokus kepada sesuatu yang kita lakukan.  Jika kita berada dalam keadaan tenang, maka kekuatan fokus kita akan menjadi lebih besar dan hebat.  Makanya, jika kita sudah tahu itulah corak pernafasan semasa kita fokus, apa kata jika kita ‘meniru’ corak pernafasan itu supaya kita menjadi lebih fokus.  Proses induktif-deduktif ini sebenarnya boleh dilakukan untuk mendapatkan hasil yang sama.

Fokus akan mengakibatkan pernafasan menjadi tenang, dan pernafasan menjadi tenang juga akan menjadikan kita lebih fokus. 

Segalanya ada dalam minda kita….

Selasa, 1 April 2014

Kawal Perasaan, Kawal Emosi

Salam penuh kasih sayang daipada KM buat semua.

Kadang kala, kita diserang tekanan perasaan@stress.  Tekanan perasaan yang melampau akan mengakibatkan tekanan jiwa.  Awas, jangan biarkan ia berlanjutan!

Dalam sains minda, kawalan perasaan dan emosi adalah amat penting.  Jika kita tidak dapat mengawal perasaan dan emosi kita, maka kita akan terjebak dengan kegagalan untuk mengaktifkan kuasa minda kita.  Perasaan ragu-ragu, bercelaru, cemas, sifat dendam dan dengki, dan pelbagai perasaan negatif akan bersarang dalam hati dan mengakibatkan kita kurang keupayaan untuk berimaginasi dan melakukan visualisasi dengan tenang.

Mengikut kajian ahli psikologi dan pengkaji sains minda,  rasa stress atau tekanan ini berpunca daripada kesalahan sewaktu berfikir, pengaruh minda bawah sedar, dan aktiviti ‘bahan kimia’ dalam badan yang dinamakan adrenaline overdose.

Semua ini dapat kita kawal dengan menggunakan keyakinan diri dan membentuk disiplin untuk mengekalkan corak pemikiran.  Segalanya ada dengan cara kita berfikir.  Semakin cemas corak pemikiran kita, maka kita akan membangkitkan rasa cemas dalam diri kita.  Oleh itu, jika ada masalah; jangan fikirkan masalah tersebut, sebaliknya fikirkan cara penyelesaiannya.

Aktiviti pernafasan terkawal juga akan memberikan ketenangan kepada kita.  Lihat cara kita bernafas.  Jika kita berada dalam keadaan kekalutan dengan masalah, corak pernafasan kita akan menjadi tidak sekata.  Mungkin kita akan bernafas dengan lebih laju, atau lebih parah kita akan tercungap-cungap.  Cuba bertenang, tarik nafas perlahan-lahan, tahan seketika, dan hembuskan semula juga secara perlahan-lahan.  Lakukan beberapa ketika hingga kita merasa lebih tenang dan dapat mengawal minda dengan lebih stabil semula.

Berzikir, membaca al-Quran, dan solat juga merupakan aktiviti terbaik untuk mengurangkan fasa tekanan dalam diri.  Fokus kepada aktiviti zikir, tilawah, atau solat itu, dan kita akan rasa lebih tenang.  Ketenangan itulah yang akan menjana idea atau ilham dalam minda untuk menyelesaikan tekanan yang kita hadapi.  Inilah terapi terbaik yang perlu kita amalkan jika berhadapan dengan tekanan.