Sabtu, 28 Mei 2011

Bahasa Tubuh…

Salam penuh kebahagiaan…  Salam penuh ingatan buat semua.

Sejak beberapa ketika ini, aku sudah jarang dapat menulis di sini.  Beberapa siri latihan dan kursus terpaksa aku lalui hingga menyebabkan aku tidak langsung dapat bersantai di dunia blog.  Tambahan pula aku sekarang sedang mengumpul bahan dan maklumat untuk membina modul ‘Tak Nak Obes’ (obesiti) untuk murid-murid sekolah rendah.  Pembinaan modul ini walaupun dilakukan secara berkumpulan, namun memang sangat menuntut komitmen dan peranan yang sangat besar.  Apapun, aku berharap agar semua aktiviti dan pekerjaan ini akan membuahkan hasil yang baik dan dapat berguna kepada semua.

Beberapa hari yang lalu, (dalam sebuah kursus) rakanku mencuitku dan berbisik; “Perlukah bahasa tubuh dalam perbualan kita..?”

Aku menjawab dengan tersenyum; “Ya, memang perlu..”

Kenapa aku katakan yang aku menjawab soalan rakanku itu dengan tersenyum.  Aku tersenyum kerana sudah pasti soalan rakanku itu dilakukan kerana tertarik dengan cara, dan gaya penyampaian fasalitator yang melaksanakan kursus tersebut.  Fasalitator tersebut memang dari awal lagi aku perhatikan, mempunyai ciri menarik yang tertentu semasa berbicara.  Bukan hanya sekadar pergerakan tangan dan bahu, malah memek mukanya memang sangat menjadi dan memberi kesan.  Kesan inilah yang mampu menarik perhatian orang yang sedang berlawan bicara dengannya.

Suatu masa dahulu, aku juga pernah mengikuti kursus personaliti dan psikologi manusia.  Dalam kursus ini dibentangkan tentang psikologi manusia dan kesannya yang akan menggambarkan personalitinya.  Salah satu hasil bentangan adalah berkenaan bahasa tubuh.  Tubuh badan manusia berkait rapat dengan minda.  Kita akan menggunakan bahasa tubuh tanpa dikawal oleh minda sedar.  Maksudnya, ia berlaku sendiri tanpa kita sedari.  Walaupun kita berjaya mengawalnya untuk tujuan tertentu, namun pasti ada juga bahasa tubuh yang melambangkan sesuatu yang membuktikan siapa diri kita sebenarnya.

Sebagai contoh, seseorang yang dituduh melakukan sesuatu kesalahan pasti akan menunjukkan sesuatu tanda pada bahasa tubuhnya yang menggambarkan sesuatu, sama ada dia bersalah atau tidak.  Contohnya wajahnya berubah pucat, berpeluh secara sederhana, tangan selalu digosok-gosok atau digenggam, mata yang tidak tetap pandangan iaitu selalu melarikan pandangan daripada orang yang sedang menyoalnya, atau getaran suara yang tidak teratur…

Semua gambaran tubuh tadi melambangkan getaran mindanya (minda separa sedar) yang dipancarkan kepada tubuh.  Walaupun orang itu berpura-pura seperti biasa, pasti ia akan menunjukkan juga sesuatu tanda tentang situasi sebenarnya.

Bahasa tubuh memang sangat penting.  Kepentingannya berlaku kepada penyampai untuk tujuan menarik perhatian audien, dan kepada penerima untuk mengetahui sama ada penyampaian itu benar atau tidak…

Isnin, 16 Mei 2011

Jika guru kencing berdiri….

Salam penuh kasih sayang….

Peribadi adalah salah satu seni bahasa dalam pertuturan kita.  Melalui peribahasa ini, sesuatu dapat dinyata dan disampaikan dengan lebih berkesan dan mendalam.  Malah ia akan memberi ‘bekas’ yang sangat nyata jika difahami.

Jika guru kencing berdiri…. adalah salah satu bentuk peribahasa dan pastinya mempunyai maksud tersendiri.  Tetapi, kenapa guru yang dijadikan subjek dan simbol dalam gambaran nasihat ini?

Guru adalah simbol dan gambaran kepada sesuatu yang menjadi ikutan.  Apa sahaja yang dilakukan oleh guru akan diperhatikan oleh murid-muridnya dan akhirnya ditiru.  Malah, peniruan ini akan diubahsuai menjadi sesuatu yang lebih besar lagi…  Jika guru berpakaian kemas, maka murid-muridnya akan memerhati, memperkata, dan berangan-angan untuk kelihatan kemas seperti gurunya.  Keadaan ini akhirnya akan menyebabkan berlakunya peniruan gaya guru tersebut dalam kehidupan anak-anak sekolah tersebut.

Namun, peniruan terhadap perlakuan guru bukan berlaku kepada perkara positif sahaja.  Bagaimana agaknya jika guru berkelakuan tidak senonoh?  Adakah berlaku peniruan tersebut?  Ya, memang akan berlaku!

Jika guru merokok, pasti ia menjadi satu tanda tangan di kalangan anak-anak muridnya.  Manakan tidak, di dalam kelas guru berkata, ‘jangan merokok, rokok itu bahaya…’  Namun di luar kelas anak-anak murid dapat melihat guru menyedut asap bahaya itu!  Peniruan turut akan berlaku pada situasi ini.  Malah ia menjadi sesuatu yang lebih besar lagi.  Hal ini terjadi kerana murid bukan sahaja akan meniru dan cuba meniru perlakuan yang tidak baik, malah ia membentuk satu sifat dan anggapan bahawa apa yang diperkatakan oleh guru tadi tidak boleh dipercayai.  Ini kerana dalam satu keadaan guru berkata jangan, namun dalam keadaan yang lain guru itu pula melakukannya.

Mungkin peniruan berbentuk negatif inilah yang menyebabkan timbulnya ‘…murid kencing berlari’.

Terima kasih cikgu, kerana mendidik aku menjadi dewasa dan berguna…

Terima kasih cikgu, kerana tidak pernah ‘kencing berdiri’ di hadapanku…membuatkan aku tidak tahu untuk kencing berlari…

Jumaat, 6 Mei 2011

Ibu, engkaulah segalanya…

Salam kasih sayang…
sayang mak Gambar daripada internet
Ibu, wanita keramat buat semua orang yang bernama anak.  Dialah insan yang sangat hebat dengan kemuliaan dan kesungguhan, dialah insan yang sangat tinggi nilai kasih sayang dan kesabaran.  Tanpa dia, kita pasti tidak akan merasa nikmat dalam kehidupan ini…
Kedudukan ibu sangat tinggi di sisi Islam.  Malah, ibu berada di tangga ketiga untuk dihormati dan dipatuhi; bermula dengan perintah ALLAH, perintah rasul , dan diikuti dengan perintah ibu.  Kemuliaan yang dikurniakan ini adalah kerana azam kuat yang ada pada ibu yang sanggup menempuh segala kesukaran semasa mengandung dan melahirkan kita ke muka bumi ini.
Beberapa bulan yang lalu, aku pernah menghadiri sebuah kursus ringkas daripada pakar motivasi Dr. Tengku Asmadi.  Kursus itu dibuat untuk ibu bapa dan anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan pada tahun ini.  Dalam penyampaian yang diberikan, Dr. Tengku menyatakan tentang hubungan istimewa antara ibu dengan anak.  Menurut beliau, minda ibu akan sentiasa berhubung dengan minda anak, dan begitu juga sebaliknya.  Contoh, apabila si ibu teringatkan anaknya, maka pasti dalam masa yang sama anaknya itu juga akan merasakan perkara yang sama.
Lantaran itu, menurut beliau lagi, jika si ibu berdoa tentang sesuatu pada ketika itu, maka ia akan menjadi doa yang sangat hebat.  Contoh, jika anak itu sangat malas dalam pelajaran dan selalu membuang masa, apabila teringatkan sikap anak itu, janganlah mengeluh...  Sebaliknya ibu harus berdoa pada ketika itu.  Ia boleh berlaku seperti sedang memberi nasihat terus kepada anak… ‘Man, mak sayangkan Man.  Belajarlah bersungguh-sungguh, hargai masa dengan mengejar ilmu, kita hidup biar berilmu, nak…  Jangan asyik berjalan-jalan saja dengan kawan-kawan.  Ulangkajilah pelajaran tu sentiasa.  Mak tau Man akan jadi pelajar yang cemerlang…’
Sedar atau tidak, kerana getaran rasa istimewa yang wujud antara ibu dengan anak akan membuatkan si anak (walaupun tidak berada di situ) akan merasakan sesuatu kesan daripada kata-kata dan doa ibu itu tadi.  Itulah kehebatan minda ibu yang boleh berhubung terus dengan minda anak. 

Jiwa dan Badan

Salam penuh keharmonian…

Manusia, adalah ciptaan ALLAH yang sangat sempurna.  Manusia adalah makhluk yang diciptakan memiliki semua kemampuan untuk melaksanakan tugas sebagai pentadbir, mengendali, dan khalifah di muka bumi ini.  Dalam membicarakan tentang khalifah, cuba kita kecilkan sedikit ruang perbincangan iaitu manusia sebagai khalifah atau pentadbir kepada diri sendiri.

Kita adalah pentadbir kepada diri kita sendiri.  Kita yang melakukan sesuatu yang akan menyebabkan sesuatu itu menjadi baik atau sebaliknya kepada diri.  Tentu sahaja setiap perkara yang terhasil itu tetap datangnya daripada ALLAH.  Namun, asbabnya adalah daripada tindakan kita.

Kita dikurniakan dengan dua bahagian diri.  Pertama; fizikal atau badan, dan kedua; rohani atau jiwa.  Jika seseorang itu sempurna fizikalnya, dia belum tentu menjadi sangat sempurna jika jiwanya masih bercelaru.  Begitu juga sebaliknya…

Perhatikan, ada kes tertentu yang kita temui tentang kehidupan seorang yang kaya namun hidupnya sentiasa dirundung kesedihan seperti keruntuhan rumah tangga, penyakit, dan sebagainya.  Ini menunjukkan kesempurnaan fizikalnya tidak selari dengan kesempurnaan jiwa.

Bagaimana untuk memastikan jiwa dan badan menjadi seiring?  Hal ini akan berlaku jika kita menghayati apa yang diarahkan dalam perjalanan kehidupan kita di sini.  Dari segi badan @ fizikal, kita diminta untuk sentiasa bersih, sentiasa menjaga pemakanan, melakukan kerja untuk mengumpulkan kekayaan, dan sebagainya.  Namun dalam masa yang sama kita dituntut untuk membangunkan jiwa @ rohani seperti dekat kepadaNya dengan melakukan solat, membaca dan menghayati Al-Quran, berzikir, berbuat baik dengan semua orang, berhati mulia, dan sebagainya.

Dalam hal ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua aspek iaitu jiwa dan badan perlu diberikan tumpuan.  Ini akan menghasilkan kesempurnaan dalam kehidupan kita.  Sama-sama kita fikirkan….

Khamis, 5 Mei 2011

Suasana yang mempengaruhi kita…

Salam penuh kebahagiaan…

Kita mungkin sudah sedar bahawa suasana sekeliling kita mampu untuk mempengaruhi diri kita.  Jika kita berada dalam suasana gembira dan riang contohnya di majlis perkahwinan, maka kita akan dapat merasakan keseronokan dan kemeriahan yang berlaku (walaupun bukan kita yang sedang disandingkan).  Begitu juga jika kita berada dalam suasana suram dan sedih seperti di pengkebumian seseorang.  Suasana sedih itu akan turut meresap dan menjadikan diri kita berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil.

Hal ini berlaku adalah disebabkan getaran yang berada dalam emosi.  Jika kita berada dalam kelompok gelombang getaran emosi yang ‘segar’ dan riang, maka kita akan akan turut menarik getaran itu dan menjadi lebih seronok.  Walaupun pada ketika itu kita ada masalah tertentu, namun getaran emosi keseronokan yang banyak daripada orang-orang yang ada di situ akan menyebabkan kita lupa seketika dengan masalah yang kita hadapi.  Kenapa?  Kerana pada ketika itu emosi kita juga menjadi ‘segar’ kerana berada dalam kelompok emosi yang stabil.

Namun jika kita berada dalam kumpulan orang yang sedang berduka, maka ketika itu emosi kita juga akan menjadi tidak stabil dan sama-sama berduka.  Emosi kedukaan yang dipancarkan oleh kelompok orang di sekeliling kita itu akan mempengaruhi emosi kita juga.

Cuba perhatikan, apabila kita memulakan kerja atau persekolahan kita dengan tenang, damai, riang, dan berada dalam kelompok individu yang sama-sama berada dalam kebahagiaan, akan membuatkan hari kita menjadi lebih mudah dan menyenangkan.  Namun jika pada permulaa hari lagi kita sudah bertemu dengan boss atau guru yang marah-marah, pasti hari kita menjadi suram dan tidak seronok sepanjang hari…

Rabu, 4 Mei 2011

5 minit pertama…

Salam penuh kemesraan…

Pada setiap hari, memang banyak perkara dan tugasan yang perlu kita laksanakan.  Pada catatan yang lalu aku telah memberikan satu bentuk teknik pengurusan iaitu membuat susunan tentang perkara mengikut keutamaan yang perlu diselesaikan.  Pada kali ini aku hendak membincangkan pula tentang pelaksanaannya.

Pada kebiasaannya, aku akan memastikan setiap tindakan yang aku lakukan akan memberi kesan dan mencapai kejayaan yang dikehendaki.  Namun, bagaimana kita hendak pastikan bahawa apa yang dilakukan itu akan memberikan kesan kepada kita dan kepada orang lain?

Caranya adalah dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada apa yang kita lakukan itu pada 5 minit pertama.  Contohnya jika kita hendak membaca buku (pelajar yang ingin mengulangkaji pelajaran) haruslah memberikan sepenuh tumpuan kepada bacaan mereka dalam jangka masa 5 minit yang pertama.  Jangan sekali-kali berangan, berkhayal, atau menerawang ke tempat lain dalam jangka masa itu.  Tetapkan bacaan dan fokus dengan sebaik mungkin.  Percaya atau tidak, setelah kita berjaya mengawal diri untuk memberi fokus dalam masa 5 minit pertama itu, maka kita akan tetap dapat terus memberi fokus dalam jangka masa yang lebih lama selepas itu (mungkin lebih daripada 1 jam)

Kenapa 5 minit pertama?

5 minit pertama adalah jangka masa untuk kita menenang dan mengekalkan minda kita terhadap apa yang dilakukan.  Semakin tetap dan fokus perhatian minda kita terhadap apa yang dilakukan, maka semakin kuat penerimaan minda terhadap perkara tersebut.

Satu bentuk gambaran untuk anda…

Ambil sebuah kanta tangan.  Halakan kanta tangan itu ke arah segumpal kapas pada pancaran cahaya matahari.  Cahaya matahari yang melalui kanta tangan itu akan terfokus kepada gumpalan kapas.  Dalam jangka masa 5 minit, cuba jangan bergerak (jangan bergerak terlalu banyak dan ketara) dan biarkan cahaya terfokus kepada gumpalan kapas itu secara terus.  Seketika kemudian, kapas itu akan mula terbakar dan menghasilkan api.

Apa yang dapat digambarkan dalam situasi ini adalah jika kita berjaya mengekalkan kedudukan dan fokus kita terhadap sesuatu dalam jangka masa 5 minit yang pertama, maka kita akan dapat melihat hasilnya dengan lebih berkesan.

Selasa, 3 Mei 2011

Tugasan Seharian

Salam kasih sayang…

Siapa sahaja diri kita, pasti banyak tugasan seharian yang perlu dibereskan.  Ada tugasan yang perlu disegerakan dan ada tugasan yang boleh ditangguhkan dahulu.  Jika terlalu banyak tugasan yang perlu diselesaikan dalam jangka masa tertentu, mulalah timbul ungkapan ‘tiada masa’, ‘tidak sempat’, sibuk, dan sebagainya.

Percaya atau tidak, masa yang ada pada kita sebenarnya memang cukup untuk melaksanakan semua tugasan itu.  ALLAH telah kurniakan masa 24 jam sehari semalam yang cukup untuk semua urusan umatNya.  Hanya terletak kepada diri kita sendiri untuk menguruskan masa tersebut untuk melaksanakan semua tugasan.

Cuba kita senaraikan semua tugasan kita seharian.  Jangan tinggalkan walaupun satu perkara pun.  Kemudian, susun tugasan itu mengikut keutamaan dan kepentingan.  Bertindak untuk melaksanakan semua tugasan itu mengikut susunan yang kita sendiri lakukan.  Tetapkan masa untuk menyelesaikan semua tugasan itu.  Apabila sesuatu tugasan itu telah berjaya diselesaikan, bersyukurlah.  Kemudian beralih pula kepada tugasan yang seterusnya.

Jika kita menetapkan masa bagi setiap tugasan itu, maka minda kita akan bekerja dan terus melaksanakan semua tugasan itu mengikut perancangan yang dilakukan.  Jika kita yakin dengan tetapan yang dibuat, pasti kita akan dapat melaksanakan semua tugasan itu dengan jayanya…

Isnin, 2 Mei 2011

Kembali bertugas…

Salam penuh kasih sayang buat semua…

P4280372

Sudah lebih dari seminggu aku tidak dapat mengungkapkan kata-kata di sini.  Hal ini berlaku kerana aku melaksanakan tugasan luar yang agak panjang dan menyibukkan.  Baru pagi tadi aku dapat kembali ke rumah setelah seminggu aku berada di Perkhemahan TKRS Kebangsaan di Juasseh, N9…

Hari ini aku akan kembali bertugas.  Selepas semua urusan tertangguhku berjaya aku selesaikan, aku akan menulis kembali di sini…