Selasa, 28 Mei 2013

Jiwa perlu besar….

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…..

Sewaktu KM menulis ni, KM baru balik dari Tak Bai.  Pengalaman pertama KM ke sana bersama dengan beberapa orang kenalan untuk menguruskan satu ‘misi’ penting.  Alhamdulillah, ‘misi menyelamat’ berjaya dengan bantuanNya.

Semasa berada di sana, KM sempat dibawa ke pasar pagi.  Pasar di sana lebih kurang sama macam pasar pagi di sempadan Kelantan-Thai.  Barangan jualan seperti pakaian, toto, hiasan rumah, dan buah-buahan menjadi bahan jualan utama.  Bahasa yang mereka gunakan juga adalah bahasa Melayu dialek Kelantan, tetapi ada juga ungkapan-ungkapan berbaur dengan bahasa Siam.

Apa yang KM hendak ceritakan adalah, semasa KM berjalan-jalan di pasar tersebut, KM tertarik kepada seorang perempuan berusia pertengahan yang sedang menjual barang jualannya.  Mukanya agak ‘keruh’ dan sedih; kening terangkat tinggi, tiada senyuman, dan ‘merayu-rayu’ kepada pelanggan yang lalu lalang untuk membeli jualannya.  Ternyata, kurang sambutan jualannya itu…

Berbeza dengan seorang wanita lain yang berada selang beberapa kedai dari tempat wanita pertama tadi.  Jualannya sama saja dengan jualan wanita pertama.  Tetapi, wanita kedua ini nampak lebih ramah, dan riuh mempromosikan barangannya.  Dan ternyata, dia lebih mendapat perhatian daripada pelanggan yang lalu lalang di situ.

KM berfikir, alangkah eloknya kalau wanita pertama tadi juga sepertinya.  Besarkan jiwa, buang jauh-jauh perasaan dan wajah sedihnya itu walaupun pelanggan tidak berminat untuk membeli di kedainya.  Kenapa?  Kerana dengan wajah sedihnya itulah, pelanggan kurang berminat untuk mendekatinya.

Mungkin dari satu segi, ada yang beranggapan bahawa wajah sedih ini sesuai untuk menarik perhatian dan simpati daripada pembeli.  Mungkin ada yang rasa tersentuh untuk membantu wanita itu kerana melihat dia sedih, dan perlu dibantu.  Namun, sebenarnya anggapan itu tidak benar.  Kesedihan akan membuatkan kita tidak bersemangat.  Pembeli yang lalu lalang di situ juga pasti tidak tertarik kerana ‘kesedihan’ wanita itu.

Bandingkanlah kedua-duanya tadi, jika pembeli seperti saya yang berhasrat untuk ‘jalan-jalan dulu’ sebelum membeli, pasti akan lebih tertarik kepada wanita kedua kerana keramahannya, dan keseronokannya melayan pelanggan yang hadir ke situ.

Inilah yang KM maksudkan dengan jiwa yang besar.  Jiwa besar yang dimiliki oleh wanita kedua itu sebenarnya telah membuatkan kita rasa tertarik kepadanya dan membeli, walaupun asalnya kita hendak membantu wanita pertama…..

Ahad, 19 Mei 2013

Tarikan Sengaja ~ 2

Salam kedamaian daripada KM buat semua.

Jika sebelum ini KM tunjukkan bagaimana pemikiran negatif akan memberi kesan kepada keadaan yang kita hadapi, hari ini KM akan terangkan bagaimana kita sebenarnya boleh menarik perkara-perkara yang kita mahukan untuk berlaku di hadapan mata kita.

Boleh berlaku ke?

Jawapannya, BOLEH, dengan syarat, kita meyakininya sepenuh hati, dan kehendakNya yang memberi atas apa yang ‘kita minta’.

Untuk menjalankan Tarikan Sengaja, kita perlu lakukan 3 langkah :

Langkah 1 – Kenal pasti impian.

Langkah 2 – Berikan perhatian kepada impian tersebut.

Langkah 3 – Membenarkannya.

Sabtu, 18 Mei 2013

Tarikan Sengaja…

Salam kasih sayang daripada KM.

Pagi ini, KM berada di Kota Bharu Kelantan.  Sambil menunggu untuk menguruskan tugasan di sini, KM ambil sebuah buku yang sudah lama KM miliki, baca, dan hayatinya selama ini.  Dan KM nak ulaskan tentang Tarikan Sengaja.

Kita mampu menarik apa sahaja untuk berlaku.  Jika kita fikirkan tentang perkara baik, maka kebaikan dan kenikmatanlah yang akan datang kepada kita, kerana kita menariknya melalui getaran pemikiran kita itu.  Dan begitu jugalah sebaliknya.

Apa yang dimaksudkan dengan Tarikan Sengaja?  Tarikan Sengaja adalah bagaimana kita menarik sesuatu itu dengan sengaja, untuk merealisasikan apa yang kita mahukan.

Sebelum itu, nak terangkan tentang tarikan TIDAK sengaja.  Begini….

Kita berada di tempat kerja.  Tiba-tiba kita mula teringat tentang rumah yang kita tinggalkan pagi tadi; rasanya macam tak berkunci.  Hati resah gelisah, tak pasti sama ada kunci atau tidak.  Perasaan mula menjadi semakin tidak tentu arah, bimbang dan risau kalau rumah dicerobohi.  ‘Sedap’ le si pencuri kerana dapat masuk dengan mudah.  Kita menjadi semakin runsing dan tidak menentu.

Bila balik ke rumah, ternyata rumah kita memang dimasuki pencuri.  Si pencuri masuk dengan mengopak pintu belakang.  Rupanya, rumah kita memang berkunci pun, kita sahaja yang tidak pasti sama ada berkunci atau tidak.  Oleh kerana kita tidak pasti, maka kita mula memikirkan perkara-perkara negatif semasa di pejabat tadi.  Rupanya, apa yang kita bimbangkan menjadi kenyataan.  Kita yang sebenarnya mengaktifkan menarik pencuri datang ke kawasan rumah kita dan menjadikan rumah kita sasarannya.

Nampak?

Bagaimana apa yang kita fikirkan menarik ia berlaku di depan kita.  Memang kita hanya runsingkan tentang rumah kita sama ada berkunci atau tidak, tapi dalam masa yang sama, kita menarik secara TIDAK sengaja si pencuri untuk berada di kawasan itu.

Sepatutnya, apa yang perlu kita lakukan?  Jika kita tidak pasti sama ada rumah berkunci atau tidak (atau apa sahaja masalah), berhenti sekarang!!!  Jangan fikirkannya lagi.  Rasakan yakin bahawa rumah itu berkunci lebih dari rasa rumah itu tidak berkunci.  Yakin dan terus yakin bahawa rumah itu selamat.  Susuli dengan berdoa kepadaNya untuk melindungi rumah kita.  Jangan fikirkan lagi tentang rumah itu berkunci atau tidak.  Teruskan meyakini bahawa rumah itu selamat.

Keadaan ini akan menyebabkan kita mengaktifkan getaran pemikiran kita kepada perkara yang lebih positif dan baik.

Khamis, 16 Mei 2013

Pucuk Dicita, Ulam Mendatang…

Salam kedamaian daripada KM buat semua.

Pepatah Melayu ada mengungkapkan tentang ‘pucuk dicita, ulam mendatang’.  Dalam ungkapan penuh makna ini, menunjukkan bahawa kita baru sahaja berangan-agankan, atau mengidam untuk mendapatkan pucuk, untuk dibuat gabungan hidangan makan tengah hari, tapi entah macam mana, terjumpa pula dengan ulam yang tentunya lebih banyak khasiat dan lebih sedap berbanding pucuk.

Lihatlah, bagaimana ‘orang dulu’ sudah menemui perkara yang berkaitan dengan hukum tarikan.  Cuma, mungkin mereka hanya sekadar tahu dan tidak faham berkenaan hukum ini.

Ada kalanya, kita hanya perlu menginginkan sesuatu dengan bersungguh-sungguh, dan apa yang kita inginkan itu akan terus terjadi, malah mungkin lebih baik daripada apa yang kita inginkan.

Usah bertanya bagaimana, atau kenapa ia terjadi.  Semuanya ada dalam diri kita sendiri.  Kita yang mengaktifkan minda kita untuk menghantar frekuansi berkenaan perkara yang kita inginkan itu, dan ia akan terjadi (tentu sahaja dengan kehendakNya jua).

Tidak kita sama ada perkara itu baik atau buruk, bila kita aktifkan ia dalam minda kita, maka sebenarnya kita sedang menariknya datang kepada kita…

Selasa, 14 Mei 2013

Melambangkan kita…

Salam kedamaian daripada KM buat semua…

fb

Gambar daripada internet

Tentu sahaja anda tahu, atau memiliki akaun facebook (FB).  Hari ini, KM hendak berbicara berkenaan FB.  KM bukanlah pengguna tegar FB.  Bagi KM, akaun FB itu KM gunakan untuk mendapatkan khabar berita daripada rakan-rakan dan kenalan sahaja…

Kebanyakan daripada pengguna FB, menulis atau mencatatkan apa yang berlaku dalam kehidupan seharaiannya.  Malah, perasaan dan emosinya juga dipaparkan pada ruangan catatan FB tersebut.

Apa yang KM hendak nyatakan adalah, setiap catatan kita di ‘dinding’ FB itu adalah gambaran tentang siapa diri kita.

KM merasa sedikit sedih dan kesal kepada orang yang menulis tentang kesusahan, kesedihan, dan kegagalannya dalam FB.  Dari satu segi, mungkin dia berkata untuk meluahkan perasaannya sahaja agar menjadi lebih lega, namun jika kerap kali mengungkapkan perkara berkenaan dengan kegagalan, pasti itu suatu yang tidak kena.

Apa yang lebih menyedihkan, ada di kalangan remaja yang masih berada di bangku sekolah mengungkapkan rasa kekecewaannya dalam dunia percintaannya di FB.  Mereka yang sepatutnya menumpukan perhatian kepada pelajaran, rupanya telah merasa dan melalui liku-liku dunia percintaan.  Jika mereka gagal dalam perasaan, maka mereka mulalah mengungkapkan kesedihan mereka di FB.  Jika bahagia sekalipun, bagi KM tidak wajar mereka mewar-warkannya di FB kerana bukan masanya mereka sibuh dengan bercinta di usia muda.

Apa yang ditulis di FB biasanya melambangkan diri kita.  Jika kita selalu menulis tentang kejayaan, perkara-perkara yang berkaitan dengan semangat, dan ulasan yang dapat memberi manafaat, pasti kita dilihat sebagai seorang yang hebat. 

Tetapi, jika catatan yang dibuat berkaitan dengan kesusahan dan kegusaran sepanjang masa, maka pasti kita ini melambangkan diri yang lemah dan sentiasa tewas.

Apa yang kita ungkapkan sebenarnya datang daripada dalam diri kita.  Kita ungkapkan kejayaan, maka semangat kejayaan akan menjadi lebih tinggi dalam diri.  Jika kita mengungkapkan tentang kesusahan, maka pasti kita menjadi lebih tidak bersemangat.

Apa yang lebih membimbangkan, ungkapan negatif itu akan menarik lebih banyak perkara negatif untuk hadir dalam diri kita…

Oleh itu, sentiasa tenang dalam diri.  Jaga pemikiran dan perasaan.  Jangan terlalu kerap menulis catatan berkenaan kegagalan, sebaliknya tuliskan perkara-perkara yang dapat membina dan menaikkan semangat dalam diri.

Salam hormat daripada KM…   

Ahad, 12 Mei 2013

Menang atau Kalah?

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.

semangat

Gambar daripada internet

Kita biasa gagal, kita pernah kalah, kita sudah merasa jatuh….Persoalannya, adakah kita menyerah begitu sahaja?

Orang yang gagal sekali, tidak bererti akan terus gagal.  Mungkin percubaannya kali kedua, atau ketiga, atau keseratus, mungkin akan mencapai kemenangan dan kejayaan, meninggalkan perasaan gagal dan kekecewaan itu jauh daripada kehidupannya.

Orang yang gagal bukan kerana kekalahannya, sebaliknya orang yang gagal adalah kerana dia tidak mahu bangun daripada kekalahannya itu.  Kita mungkin sibuk meratap dan menangisi kegagalan itu hingga lupa untuk bangun semula.  Jika kita berjaya untuk berusaha bangun daripada kegagalan itu, maka kita bukanlah orang yang gagal, tetapi kitalah orang yang berjaya.

Kegagalan itu, menjadi pendorong kepada kita untuk terus berusaha.  Kegagalan itu menjadi pedoman kepada kita untuk tidak melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang.  Kegagalan itu akan menjadi membakar semangat dan berusaha mencari jalan penyelesaian kepada kesilapan yang pernah kita lakukan.

Orang yang berjaya, akan terus berusaha tanpa mengenal putus asa kerana kegagalan pertamanya.  Orang yang berjaya akan mencari peluang lain untuk meneruskan misinya mencapai kejayaan.  Jika kita terus berusaha, pasti kita akan berjaya mencari kejayaan itu di mana-mana.

Manusia dikurniakan dengan nikmat akal dan fikiran yang sangat sempurna daripada ALLAH Taala.  Jika kita tidak mahu menggunakan kehebatan minda kita, pasti kita akan terus gagal dan tersungkur.

Rabu, 8 Mei 2013

Menang dalam Jiwa…

Salam kedamaian daripada KM buat semua.  Sudah lama benar KM tak dapat menulis di sini.  Setelah sibuk dengan beberapa siri pendidikan luar, sambung pula dengan kesibukan di SPR.  Dan sekarang, barulah KM berasa lapang dan tenang untuk mula menulis semula.

Sebelum KM teruskan penulisan kali ini, KM hendak maklumkan bahawa apa yang KM tuliskan ini bukanlah sokongan, atau kecenderungan KM kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ini adalah tulisan berdasarkan pandangan dan kata hati KM.  Lagipun, blog KM ini bukan blog berkaitan dengan politik, jadi diharap tidak ada yang memandang serong kepada apa yang hendak KM bicarakan ini.

Dalam pilihanraya pada kali ini, memang KM sendiri dapat lihat ‘kebangkitan’ di kalangan rakyat Malaysia.  Bukan sekadar melihat dari jauh, KM cuba selami apa yang ‘mereka’ inginkan dengan melakukan bacaan, perbincangan, dan berbicara secara terus dengan beberapa orang sahabat berkenaan keadaan ini.  Kesimpulannya, KM berpandangan bahawa pembangkang pasti akan menang dan membentuk kerajaan baru setelah lebih 50 tahun berada dalam satu kerajaan yang sama.

Itulah pandangan awal KM….

Bila keputusan diumumkan, ternyata kebangkitan ini belum berjaya menandingi keputusan ramai.  Maka, kalahlah pembangkang sekali lagi walaupun pada awalnya mereka nampak sangat berjaya membangkitkan semangat rakyat kebanyakannya.  Kata seorang rakan KM, kebangkitan rakyat Malaysia belum berjaya menandingi ‘kebangkitan semangat rakyat Bangladesh dan Indon’.  KM tidak mahu mengulas lanjut, namun KM akuinya sahaja.

Pemimpin pembangkang nampaknya sangat tenang walaupun ada kegeruhan di wajah setelah menerima keputusan pilihanraya.  Ada satu ungkapan daripada salah seorang pemimpin daripada komponen pembangkang;

KITA TIDAK KALAH, KITA CUMA BELUM MENANG…

Kata-kata ini sebenarnya sangat memberi semangat.  Inilah yang KM katakan, menang dalam jiwa…  Walaupun mereka kalah, namun mereka menang kerana mereka tidak menunjukkan kekalahan itu, mereka tidak bersedih dan keluh kesah, mereka tidak patah semangat, sebaliknya mereka terus memberi kekuatan jiwa antara satu sama lain dengan ungkapan di atas. 

Cuba bayangkan jika kita berada dalam komponen parti pembangkang, dan mendengar ungkapan di atas.  Apa yang kita rasa?  Jika cuba hayati kata-kata itu, dan ternyata memang meremang bulu roma, naik semangat KM.  Apa yang KM rasa adalah untuk teruskan perjuangan melakukan sesuatu untuk memastikan kemenangan pada masa akan datang.  Itulah rasa KM walaupun KM bukan ‘pejuang’ di kalangan pembangkang.  Jika orang luar seperti KM sendiri merasa sangat bersemangat mendengar ungkapan ini, pasti semangat itu lebih hebat di kalangan mereka sendiri.

Inilah yang dinamakan jiwa yang menang.  Pemimpin harus berjiwa besar.  Pemimpin tidak wajar menunjukkan kelemahan jiwa mereka kepada pengikut dan penyokongnya.  Dengan jiwa yang besar, mereka akan membentuk lebih banyak jiwa yang besar di kalangan mereka.

Apapun, semangat yang tinggi pasti akan memberi kesan baik yang tinggi juga.  Jika kita lemah dan lumpuh semangat, pasti kita akan menjadi sangat daif dan tidak bermaya.

Siapapun anda, siapapun saya, yang penting kita perlu kuatkan semangat.  Semangat datang dari dalam, memancar keluar dan akan menarik semangat yang sama untuk bersatu dengan diri kita.  Jika dari dalam kita sendiri sudah merasa kalah, maka kekalahanlah yang sesuai untuk diri kita, kesan daripada semangat kita sendiri….