Khamis, 19 September 2013

Elemen Menguatkan Kuasa Tarikan

Salam kasih sayang daripada KM.

Matlamat yang ditulis dengan jelas dan tidak diubah-ubah.

Sering kali KM nyatakan bahawa tulisan adalah hasilan dari dalam minda.  Sebenarnya apa yang kita tulis berkenaan sesuatu matlamat yang hendak kita capai, akan ‘terpahat’ dengan sendirinya dalam minda.  Minda akan memprogram apa yang kita tulis itu sebagai sesuatu yang kita mahukan dan minda akan melaksanakan tugasnya untuk mencapai matlamat itu.

Dalam erti kata yang lain, minda akan menjana lebih banyak idea dan rangsangan bagaimana untuk mencapai matlamat tersebut.  Mungkin sebelum ini kita tidak pernah terlintas untuk melakukan sesuatu idea itu, namun kini kerana program yang dimasukkan melalui tulisan itu menyebabkan minda terangsang dan mula bertindak.

Pun begitu, matlamat yang ditulis itu haruslah jelas dan realistik.  Biar kita lakukan dalam konteks kehidupan kita dahulu.  Bila dah berjaya dan nampak bekerhasilannya, barulah kita kembangkan dengan lebih jelas lagi. 

Gambaran mental yang berulang.

Kita juga harus sentiasa menggambarkan apa yang kita impikan itu dalam minda.  Sentiasa visualisasikan impian itu.  Dalam kata mudah, angankan seolah-olah ianya telah benar-benar terjadi.

Visualisasi memang sangat hebat.  Manusia dikurniakan dengan keistimewaan untuk membuat gambaran dalam minda.  Kita boleh menggambarkan apa sahaja yang kita mahukan dalam minda kita.  Jika kita tidak berkereta, kita boleh bayangkan bagaimana kita berkereta, betul tak?  Kerana kita memang boleh untuk mengangankannya.

Namun, jangan terawang sampai melekakan.  Gambarkan dalam minda tentang matlamat yang kita mahukan sahaja.  Paling penting, gambarkan apa yang kita tulis tadi.

Gambaran mental atau visualisasi haruslah berulang.  Jangan buat sekali sahaja dan terus berharap ia akan jadi dengan sendiri.  Sebaliknya, cuba gambarkan sentiasa.  Lebih bagus jika kita dapat buat visualisasi ini pada masa yang tetap setiap hari.  Contohnya, KM akan lakukan visualisasi setiap hari sebelum tidur.  Biasanya KM akan tidur pada masa yang sama hampir setiap malam.  Jadi ini bermakna visualisasi KM juga akan berlaku pada masa yang hampir sama pada setiap hari.

Emosi positif yang dimasukkan ke dalam gambaran mental

Semasa kita bervisualisasi atau melakukan gambaran mental, ciptakan rasa keseronokan dan keterujaan kerana berhasilnya impian kita itu.

Contohnya, jika kita menggambarkan kereta baru, ciptakan rasa betapa seronoknya dapat berkereta baru itu.  Rasakan dengan sebenar-benarnya rasa seronok itu seolah-olah memang impian itu telah tercapai.

Mungkin pada awalnya kita akan merasa ragu-ragu.  Keadaan ini dinamakan sekatan minda.  Semasa kita bayangkan kereta baru, pasti ada sedikit rasa seolah-olah kita mana mampu untuk memilikinya…!  Awas, jangan biarkan ia berterusan!  Hentikan segera perasaan itu sebaliknya terus cipta rasa seronok berkereta baru itu. 

Kemahuan membara yang amat kuat

Bila kita dapat lakukan semua ini, pasti kita akan rasa kemahuan kita terhadap matlamat itu sangat menjadi-jadi.  Teruskan rasa kemahuan yang membara itu kerana ia sangat baik untuk mengaktifkan kuasa tarikan dalam minda kita.

Ketepikan segala rasa ragu-ragu, bakulsampahkan segala kata-kata sinis orang yang berada di sekeliling kita, hilangkan rasa negatif, sebaliknya kuatkan rasa keyakinan bahawa itulah yang kita mahukan.

Selasa, 17 September 2013

I Love U…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua….

ilu

Gambar daripada internet

Ungkapan I love U memang sinonim dengan orang bercinta.  Kata-kata I love U ini menjadi sangat merangsangkan jiwa dan perasaan.  Bak kata pujangga, rasa seperti ‘berbunga-bunga’ bila ada yang mengungkapkan kata-kata itu kepada kita, apatah kita juga punya perasaan yang sama dengannya.

Namun, pernahkah kita faham bahawa setiap kali kita rasa sayang dan suka kepada seseorang itu, sebenarnya kita menarik dan menciptakan perasaan yang sama kepada orang itu.  Maksudnya, bila kita sayangkan seseorang, maka orang itu juga pasti akan lebih sayang kepada kita.

Sebab itu orang yang bercinta sanggup ‘bergayut’ di telefon berjam-jam, tak makan pun tak apa.  Kerana mereka sedang menarik perasaan yang sama antara satu sama lain.

KM ada satu kes yang boleh dibincangkan berkenaan perkara ini, berkenaan orang yang mabuk bercinta.  Suatu masa dahulu, kenalan KM ini sibuk sangat bercerita tentang cinta barunya.  Tiap-tiap hari ceritanya hanya berkisar tentang si gadis yang digilakannya itu.  Tiada yang buruk dan cacat pada gadis itu.  Almaklum, mereka sama-sama bercinta dan saling mencipta dan menarik perasaan yang sama antara satu sama lain.

Namun, suatu ketika mereka berdua bergaduh.  Bagi KM, ini perkara biasa bagi orang yang bercinta.  Bergaduh dan kemudian berdamai, akan membuatkan perasaan mereka lebih terbuka antara satu sama lain.  Masalahnya, pergaduhan yang kecil itu mereka besar-besarkan.  Tiada yang mahu mengalah antara mereka.  Apa yang berlaku?  Jika dulu, mereka saling mencipta dan menarik perasaan yang sama iaitu CINTA.  Namun kini, mereka telah mencipta dan menarik perkara yang baru iaitu saling membenci.

Hal ini adalah hakikat.  Bila kita sukakan seseorang maka kita memancarkan perasaan itu dan sampai kepada orang yang kita suka.  Ini mencipta gelombang yang saling menarik antara mereka.  Namun, bila salah seorang daripada mereka memulakan sengketa, maka mereka mencipta perasaan marah dan benci.  Perasaan negatif ini juga akan memancarkan gelombangnya dan sampai kepada orang yang dituju.  Ini membuatkan orang di sana juga merasakan perasaan yang marah dan benci kepada kita.

Andai tiada yang mahu mengalah antara mereka, pasti perasaan cinta itu tadi semakin hilang dan akan diganti dengan perasaan yang baru iaitu perpisahan.

Segalanya bermula dari dalam diri kita.  Kita yang memancarkan apa yang kita rasa.  Andai kita tidak pandai mengawalnya, maka kita akan kehilangan cinta…

Ahad, 15 September 2013

Kuasa Percaya…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.

percaya

Gambar daripada internet

Kuasa percaya adalah kuasa yang datang dari dalam minda.  Dalam Islam sendiri, kuasa percaya diperkukuhkan dengan rukun Iman.  Kita dididik dan diasuh untuk mengakui apa yang ada dalam rukun Iman, walaupun kita tidak pernah lihat dan berjumpa dengan semua yang dituntut dalam rukun itu (kecuali kitab Al-Quran yang ada dalam bentuk cetakan)

Apa yang KM hendak huraikan di sini adalah, kepercayaan itu sebenarnya membentuk sesuatu yang sangat hebat dalam tindakan dan perlakuan tubuh badan kita.

Mungkin pernah kita dengar ada orang kata; klinik tu bagus, klinik ni kurang bagus.  Ungkapan ini merujuk kepada keserasian ubat yang diterima oleh orang yang mengungkapkan itu.  KM pernah bertanya, kenapa ungkapan itu dinyatakan sedemikian.  Katanya, bila pergi ke klinik A, makan ubat yang diberi sampai habis, tak sembuh juga.  Bila ke klinik B je, sekali makan terus kebah.

Ungkapan dan kepercayaan yang menyatakan klinik B lebih bagus ini menyebabkan apabila seseorang itu (yang percaya dalam mindanya) pergi ke klinik A dan mendapatkan ubat, pasti tidak sembuh.  Walhal ubat yang diberi di klinik A dan klinik B adalah ubat dari jenis yang sama.  Kenapa hal ini terjadi?  Ini adalah kerana kuasa percaya yang ada dalam minda menyekat keyakinan bahawa ubat yang dibeli di klinik A akan sia-sia manakala ubat di klinik B yang mujarab.

(Harus diingat bahawa sembuh atau tidak bukan kepada ubat tersebut tetapi kepada ALLAH yang memberi penyakit dan menyembuhkannya)

Suatu masa dahulu, KM pernah mengajar di pedalaman Pahang, sebuah kampung kecil yang terpencil.  Komuniti di situ adalah orang Melayu (mengikut ceritanya keturunan pejuang yang melarikan diri daripada penjajah suatu masa dahulu dan membuat penempatan di pinggir hutan) dan sedikit orang Asal.

Orang Asal di situ sangat kuat berpegang kepada keyakinan kuasa tok batin mereka.  Malah, bukan hanya dari segi pentadbiran sahaja kuasa tok batin, sebaliknya hingga kepada urusan merawat jika ada yang sakit.  Suatu hari, datang sepasang suami isteri orang Asal bersama anak kecil mereka.  Anak kecil itu menangis dan kelihatan sangat lemah.  Kata pasangan itu, anak mereka demam dan sakit sudah lama.  Sudah dirujuk kepada tok batin tetapi masih belum sembuh.

Jadi apa yang mereka mahu?

Mereka datang ke rumah guru (tempat KM dan rakan-rakan tinggal) untuk mendapatkan nasihat.

Rakan KM berseloroh bahawa KM pandai buat ‘air tawar’ untuk menyembuhkan penyakit yang ringan-ringan.  Terperanjat KM bila mereka bersungguh-sungguh merayu agar dibuatkan air tawar bagi menyembuhkan penyakit anak mereka itu.  KM mati akal, sebab KM tak pandai seperti yang dinyatakan rakan KM itu.  KM cuba menolak dengan baik namun pasangan itu bermatian merayu untuk KM melakukan sesuatu.

KM tak dapat mengelak lagi.  KM ambil segelas air dan bacakan sesuatu, air itu KM beri minum kepada anak kecil itu dan bakinya KM basahkan muka dan badannya.

Keesokan harinya, pasangan itu datang lagi dan membawa pisang dan ubi.  Agak banyak juga pisang dan ubi yang mereka bawa.  Mereka mengucapkan terima kasih kepada KM kerana anak mereka sembuh setelah minum air tawar KM itu.  Kelihatan mereka sungguh ‘bersyukur’ kerana anak mereka sembuh kembali.

Setelah pasangan itu pulang, rakan KM bertanya, apa jampi yang KM baca hingga begitu ampuh air tawar semalam?  Sememangnya rakan KM itu juga teruja kerana dia pun tahu KM bukanlah seorang ‘perawat’.  Jawab KM, hanya bacakan surah Al-Fatihah.

KM percaya bahawa Al-Fatihah memang sebuah surah yang mampu merawat.  Kepercayaan KM yang sangat tinggi itu menyebabkan air tawar KM ‘menjadi’.  Begitu juga dengan pasangan itu, mereka percaya sebenar-benarnya bahawa air tawar KM itu memang mujarab, dan akhirnya dengan kehendakNya jualah anak kecil itu sembuh.

Nampak tak bagaimana kuasa percaya bertindak dan menjadi?  Jika kita percaya dengan sebenar-benar percaya, maka apa yang kita percaya itu pasti akan terhasil.