Isnin, 26 Julai 2010

Isyarat Negatif ke Alam Semesta

Kadang kala kita tidak sedar bahawa kita mengeluarkan getaran negatif ke alam semesta. Kadang kala kita tidak mengetahuinya hingga menyebabkan kita tidak mampu untuk mengawalnya lagi. Segalanya kerana isyarat negatif itu terus-terusan menerawang di angkasa dan menarik isyarat yang sama untuk mendekati kita.

Aku ingin menceritakan tentang sepasang suami isteri yang kedua-duanya merupakan kawanku. Cerita ini bukanlah untuk memburuk-burukkan mereka, sebaliknya hanya untuk memberi gambaran tentang hukum alam ini memang benar dan wajar kita mencari kebenarannya.

Pasangan suami isteri ini ada memiliki bengkel kereta. Mereka mengusahakan bengkel ini hampir setahun yang lalu setelah mendapat lokasi perniagaan yang baru di situ. Sebelumnya mereka melakukan kerja-kerja mekanik di kawasan rumah mereka sahaja. Kelihatannya kedua-dua suami isteri ini sangat bersemangat dan berkobar-kobar untuk menjayakan perniagaan mereka itu...

Si isteri memang mempunyai semangat yang tinggi. Tugasnya adalah sebagai akauntan di bengkel itu, selain tugasan lain seperti membuat tempahan barangan dan lain-lain. Selain itu dia juga berusaha untuk mendapatkan lesen menjual insurans sebagai salah satu cara untuk menambahkan pendapatan.

Si suami tidak kurang hebatnya. Sedari awal pagi sudah berada di bengkelnya. Bengkelnya itu memang tidak putus-putus didatangi pelanggan hingga kadang kala dia tidak menang tangan dibuatnya. Tangannya yang besar itu penuh dengan minyak dan karat daripada kenderaan yang dibaiki. Namun semua itu dilakukan dengan senang hati kerana dia tahu setiap perlakuannya untuk membaiki kenderaan orang lain pasti akan diimbuhkan dengan bayaran.

Kehidupan dan semangat kerja kedua-dua pasangan ini memang sangat aku kagumi. Mereka sentiasa berusaha untuk terus maju dan berjaya dalam perniagaan mereka. Hanya satu sahaja yang aku sering tidak berkenan dengan sikap mereka berdua iaitu suka mengeluarkan isyarat negatif ke alam semesta. Apa yang aku maksudkan adalah keluhan-keluhan mereka tentang kesukaran hidup.

Suami : Tengok le demo pakaian cantik, bersih, dok serupa kawe, baju penuh minyak...
Aku : Baju penuh minyak pun tak pe, duit masuk banyak setiap hari.
Suami : Duit banyak apa? Kami ni tak dak duit pun...
Aku : Mana boleh tak dak duit. Hari-hari masuk tak'kan tak de duit langsung boleh simpan.
Suami : Tak dak duitnye kami ni, orang miskin macam kami ni mana la ada duit boleh simpan...

Ini adalah sebahagian daripada dialog antara aku dengan si suami. Jika aku berbual dengan si isteri pun, butiran perbualan dan rentak kata-katanya juga hampir sama dengan suaminya. Sudah berkali-kali aku menasihati mereka agar menjaga kata-kata dan cara mereka berfikir, namun mereka tetap seperti itu juga.

Bagaimana kehidupan diri mereka?
Kehidupan diri mereka adalah seperti yang mereka selalu gambarkan; susah, miskin, tidak berduit, duka, sengsara, dan sebagainya.
Pada pandangan aku yang cetek ini, kemajuan bengkel mereka sudah membolehkan mereka meletakkan kedudukan mereka di peringkat yang lebih tinggi. Sekurang-kurangnya dia sudah mampu untuk menggaji pekerja lain untuk melakukan 'kerja-kerja kotor' itu, namun kerana keluhan yang tidak bertempat menyebabkan bengkel itu menjadi tempat untuk cukup-cukup makan sahaja. Wang yang mereka ada kebanyakannya habis kerana membayar hutang bank, urusan anak-anak, dan sebagainya. Semuanya kerana sikap mereka yang selalu memancarkan isyarat negatif ke alam semesta.

Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan