Jumaat, 31 Disember 2010

Sentiasa Memuji…

Salam keriangan daripadaku…  Catatan ini adalah sambungan kepada perkara kedua dalam catatan Perbaiki Diri

“Anda nampak hebat hari ini…”

Apakah yang kita rasai apabila ada orang yang memuji kita begitu di awal pagi?  Tentu rasa lebih bersemangat, bukan?

Minda adalah pusat penghasilan tenaga.  Jika minda kita sentiasa lemah dan tidak bermaya, maka pasti prestasi kita juga akan sedemikian.  Lihat sahaja kepada setiap aktiviti kita seharian.  Jika kita merasa ragu-ragu dan tidak yakin terhadap apa yang kita lakukan, maka pasti hasilnya tidak seberapa.  Tetapi jika kita berjaya mendidik minda kita menjadi hebat, maka pasti hasilannya juga akan menjadi hebat.

Apabila ada pujian diberikan kepada kita, maka minda telah menghasilkan banyak tenaga.  Keadaan ini merangsang dan memberi semangat kepada kita untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik dan berjaya.

Bagaimana jika tiada pujian langsung diberikan kepada kita oleh orang di sekeliling?  Adakah kita akan terus menjadi lemah?

Jika tiada langsung orang yang memberikan pujian kepada kita, maka pujilah diri sendiri…!

Puji diri sendiri bukanlah seperti ‘angkat bakul sendiri’ dengan cara riak dan takabbur.  Puji diri sendiri boleh dilakukan dengan cara berkata-kata dengan diri sendiri.  Tiada siapa perlu mendengar pujian diri kita untuk diri kita itu.  Pujian untuk diri kita sendiri adalah hak kita sendiri.  Dengan memuji diri sendiri, maka kita akan mendapat hasil yang sama seperti orang lain memuji kita.  Apa yang berlaku adalah kita telah berjaya membina tenaga minda dengan lebih baik kerana telah mendapat satu pujian, walaupun daripada diri kita sendiri.

Berikanlah puji-pujian yang ikhlas kepada setiap orang yang bersama dengan kita.  Pujian yang diberi tidak akan merugikan apapun yang ada pada diri kita, malah ia akan meningkatkan lagi keikhlasan dan keseronokan orang lain di sekeliling kita.

Apa yang paling utama, pujian yang tertinggi dan terhebat hanyalah untukNya dan rasulNya….

Teruslah memuji kepada ALLAH dan RasulNya…

Teruslah memuji setiap orang di sekeliling kita dengan ikhlas…

Teruslah memuji diri kita sendiri…

Kuasa minda kita akan bergetar dengan lebih hebat dan diri akan menjadi lebih cemerlang…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan