Jumaat, 24 Disember 2010

Membina Minda Remaja

Salam penuh kekuatan minda daripadaku…

Khutbah Jumaat hari ini membincangkan tentang membina generasi muda aka remaja.  Dalam khutbah ini, khatib mengeluh tentang peritnya melihat kebejatan sosial yang kian meruncing kini.  Segalanya berlaku di kalangan remaja yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.  Jika keadaan ini terus berlanjutan dan semakin merebak, maka suramlah sudah kepimpinan Melayu masa akan datang.

Aku ingin mengupasnya pula dari segi pembinaan minda remaja.  Bagiku, minda adalah alat dan perkara utama yang harus kita kuasai untuk terus berkuasa atas setiap sesuatu.  Jika dari kecil, kita menetapkan dalam minda bahawa solat itu adalah ibadat utama yang perlu dilaksanakan, maka pasti sampai ke usia berapa sekalipun, kita akan terus berpegang kepadanya.  Ini adalah kerana, minda memainkan peranan untuk menggerakkan hati dan anggota tubuh badan.

Sama juga dengan keadaan yang lain…  Jika kita mampu menguasai dan mendidik minda remaja untuk menjadi generasi yang cemerlang, pasti mereka akan terus berkembang menjadi individu yang berjaya suatu hari nanti.

Namun, bagaimanakah caranya untuk menguasai dan membina minda mereka sejajar dengan kehendak kita?

Kajian telah membuktikan bahawa 60% minda kanak-kanak, remaja, dan kita sendiri, telah disogokkan dengan perkara dan perkataan negatif.  Sejak dari kecil, hingga usia kita kini, perkara negatif itu terus bersarang dalam minda dan pemikiran kita.  Lantaran itu, bagaimana untuk membina minda yang hebat.

Perkara negatif terdiri daripada perkataan, perbuatan, dan simbol yang memberi erti tertentu.  Dari segi perkataan, kita sering disogokkan dengan perkataan negatif seperti tidak, jangan, usah, dan pelbagai jenis larangan lagi.  Kelihatannya seperti ingin mendidik untuk ke arah kebaikan.  Namun pada hakikatnya perkataan-perkataan inilah yang akan memberi kesan negatif kepada perkembangan minda.

Jangan panjat pokok tu, nanti jatuh!’

Jangan bising, orang nak solat!’

Tak boleh berada di sini, nanti mengganggu orang lain!’

Ayat-ayat di atas sebenarnya bertujuan untuk memberi didikan, atau menyatakan sesuatu perkara untuk membentuk diri kanak-kanak.  Namun, dengan perkataan jangan dan tidak, pasti ia mencerminkan keadaan yang negatif. 

Aku teringat dengan kata-kata tuan guruku suatu masa dahulu, cuba tukarkan semua perkara negatif kepada positif untuk menjadikan sesuatu nasihat itu lebih dekat di hati.

Kuasa perkataan amat membantu dalam membina minda.  Akan kuhuraikan pada catatan seterusnya….

1 ulasan:

  1. betul tu. mungkin utk sesetengah org perkara mcm ni remeh. alah..apa ada pada perkataan. tapi saya percaya bahawa setiap perkataan punya jiwa dan aura. sebab tu ada yang mudah terpengaruh dgn kata-kata.

    BalasPadam