Salam bahagia kepada semua…
Masa solat, adalah masa untuk kita ‘melapor diri’ kepadaNya. Semasa pertama kali solat difardukan, kita telah seharusnya memahami dan menghayatinya sebagai satu bentuk tanggungjawab kita sebagai hamba untuk mengadap kepadaNya walau apa keadaan sekalipun. Itulah sebenarnya kewajipan yang harus kita laksanakan kerana sifat hamba haruslah patuh kepada arahan ‘tuannya’.
Apa yang menarik tentang solat adalah masanya. Ada lima waktu sehari semalam. Subuh adalah solat di awal pagi. Bangun sahaja dari tidur yang menyenangkan, kita mengadap kepada ALLAH. Dari solat Subuh sebenarnya telah menunjukkan kita sebagai manusia yang bangun untuk memulakan hari baru, mengadap kepadaNya terlebih dahulu, bersyukur kerana masih dihidupkan, dan memohon untuk dipermudahkan segala urusan pada hari tersebut.
Setelah kerja dilaksanakan, kita berehat untuk makan tengah hari. Sekali lagi waktu bersolat tiba. Bersyukur kerana sebahagian kerja telah terlaksana, ada sebahagian lagi yang perlukan ‘bantuan’ daripadaNya cuma. Pada ketika ini juga badan menuntut untuk berehat sebentar. Maka solatlah sebahagian daripada rehat dari bekerja berat yang dilakukan oleh badan sepanjang pagi membawa ke tengah hari.
Petang, setelah selesai segala kerja, kita bersolat lagi. Asar mendidik kita untuk mengakhirkan segala kerja dengan menemuinya lagi. Alangkah beruntungnya kita kerana dapat melakukannya.
Maghrib adalah masa solat yang mengajar kita erti kepentingan masa. Masanya singkat sahaja. Malah pada ketika inilah saat yang sangat menguji manusia dengan pelbagai kerenah kehidupan yang masih bersisa.
Solat terakhir dalam sehari adalah Isya’. Ini adalah gambaran penutupnya kehidupan kita. Sebelum kita tidur kembali, berehat setelah seharian melaksanakan tugas dan tanggungjawab, maka kita menemuiNya sekali lagi. Memohon ampun dan maaf andai ada kesalahan yang dilakukan sepanjang hari, dan mengenang kembali segala nikmat rezeki yang diberikanNya kepada kita pada hari tersebut.
Minda manusia sebenarnya adalah satu bentuk rekod masa. Jika kita seorang pekerja, atau seorang pelajar, yang melaksanakan tugas kita masing-masing, pasti akan memerlukan rehat seketika. Justeru, memang sudah cukup indah ciptaan ALLAH terhadap arahan solat kepadaNya sepanjang hari tersebut. Pada ketika ini, minda sebenarnya direhatkan seketika untuk melaksanakan tugasannya. Pada ketika ini (semasa bersolat), minda kita akan berada dalam keadaan yang sangat tenang. Setelah ditenang dan didamaikan minda tersebut, baru le kita lebih bersemangat untuk melaksanakan tugasan seterusnya. Itulah sebenarnya keindahan solat kepada manusia yang mengerti.
Apa yang dimaksudkan dengan rekod masa? Sebenarnya minda lebih terarah untuk menjadi sangat aktif apabila kita menepati apa yang dilakukan sepanjang hari dalam beberapa jangka masa. Contoh, jika kita minat menonton sesebuah siri cerita di televisyen, yang hanya akan berlangsung sekali dalam seminggu, pada ketika itu minda telah merekodkan masa untuk kita ‘menikmatinya’. Jika kita tidak menontonnya setelah beberapa jangka masa kita mendidik diri untuk menonton siri tersebut, maka diri akan menjadi gelisah. Seperti ada yang tidak kena, hinggalah kita teringat kembali untuk menonton siri kesukaan kita itu.
Maka maksudnya sama seperti bersolat, malah lebih lagi… Diri manusia, dan minda, adalah ciptaan ALLAH. Kita memang telah terdidik sejak dulu untuk menemuiNya semasa bersolat. Jika kita telah berjaya mendidik diri untuk melaksanakan solat (terutama di awal waktu), tetapi apabila kita tidak melakukannya kerana sesuatu halangan seperti dalam perjalanan, atau menghadiri seminar, pasti pada ketika itu diri menjadi sangat gelisah. Maka beruntunglah kita jika kita dapat merasai kegelisahan itu hingga ditenangkan dengan melaksanakan solat.
Jagalah masa solat. Itu yang paling utama kepada kita sebagai hubungan menjadi hambaNya. Jika kita berjaya menjaga masa solat, tidak meninggalkannya, tidak melengahkannya, malah tidak mengabaikannya, maka pasti kehidupan kita akan menjadi sangat cemerlang….
* entry seterusnya berkenaan masa makan pula….
terima kasih atas perkongsian :)
BalasPadamsama2lah kita jage waktu solat kite ...