Salam penuh kesyukuran dan kebahagiaan….
Pertama sekali, tarik nafas dalam-dalam dengan tenang, pejamkan mata dengan damai, senyum semanis gula, dan lepaskan nafas perlahan-lahan. Ucapkanlah kesyukuran kerana kita masih lagi diberi peluang untuk menikmati kehidupan yang serba indah ini.
Bersyukur adalah salah satu perkara yang perlu dilakukan untuk memperbaiki diri. Bersyukur dikaitkan dengan rasa kenikmatan, keseronokan, kebahagiaan, dan segala perkara baik yang berlaku dalam kehidupan.
Setiap perkara perlu kita syukuri. Dan aku ada satu cerita tentang seseorang yang sangat ‘kuat’ dan faham tentang erti syukur.
Abang Din (aku tak ingat nama sebenarnya) merupakan salah seorang kenalanku suatu masa dahulu. Dia adalah seorang pakar orientering dalam aktiviti pendidikan luar. Aku kenalinya semasa sama-sama bertugas di utara semenanjung dulu. Abang Din selalu mengucapkan kata-kata alhamdulillah, tanda syukur kepada ALLAH. Bukan hanya sekadar selepas makan kita akan mendengar ungkapan itu daripada mulutnya, malah setiap perkara diakhiri dengan alhamdulillah.
Pernah sekali aku naik kereta bersamanya untuk ke destinasi aktiviti. Selepas menghidupkan enjin kereta dia mengucapkan alhamdulillah. Gear dimasukkan dan kereta mula bergerak, alhamdulillah keluar lagi dari bibirnya. Sesampai ke destinasi, alhamdulillah. Bertemu dan bersua dengan rakan-rakannya yang menunggu di tempat itu, alhamdulillah. (Pada ketika itu aku sudah mula tertarik kepadanya…)
Selepas suai kenal dilakukan, diberi taklimat tentang aktiviti yang akan dijalankan, maka bermulalah aktiviti orientering (kalau tak silap tempat itu dikenali sebagai Hutan Lipur Mata Air). Sesampai di suatu halangan sungai, Abang Din bertindak sebagai pembuka jalan. Dia mengarahkan semua peserta tunggu di tebing sementara dia menyeberang sungai berbatu itu terlebih dahulu. Tujuannya untuk mengetahui kawasan laluan dan merentangkan tali sebagai alat bantuan semasa peserta menyeberang. Ada satu ketika dia tergelincir sedikit…Seperti tidak percaya, dia mengucapkan alhamdulillah setelah berjaya bangun. Alhamdulillah, aktiviti sepanjang hari itu berakhir dengan jayanya dan semua peserta dapat sampai semula ke destinasi permulaan / penamat.
Malam itu, kami makan-makan di sebuah warung di Beseri bersama-sama dengan semua jurulatih aktiviti. Aku masih ingat, malam itu aku minum teh tongkat, sejenis minuman yang agak popular di situ. Ramuannya teh, susu, dan akar-akar kayu yang dikisar halus…memang betul-betul mengembalikan tenaga.
Ketika itulah aku mula mencungkil rahsia daripada Abang Din. Aku tanya, kenapa dia ucapkan alhamdulillah setelah bangun dari tergelincir pagi tadi? Katanya, jika bukan dia yang menjadi pembuka jalan, maka pasti orang lain yang jatuh! Dan jika dia tidak berjaya bangun, pasti menunjukkan yang dia tercedera dan aktiviti perjalanan seterusnya akan menjadi lebih rumit.
Kutanya lagi, kenapa bila hidupkan enjin dan kereta mula bergerak pun dia ucapkan alhamdulillah? Katanya, jika tak berjaya hidupkan kereta tuanya itu dan kereta itu tidak bergerak, tentu kami tak dapat sampai ke destinasi pada masa yang dikehendaki.
Hanya dua soalan itu sahaja aku tanyakan kerana aku melihat Abang Din memberikan senyumannya yang paling sukar untuk aku tafsirkan. Dan sebenarnya pada masa itu aku sudah memahami amalan yang Abang Dia lakukan. Ternyata, Abang Din memang sudah terlalu tinggi keyakinan dan rasa kesyukurannya kepada ALLAH, kerana setiap yang berlaku diyakini bahawa atas kehendakNya jua. Dan dia akan terus bersyukur kerana itulah yang telah ditetapkan olehNya atas setiap sesuatu yang berlaku.
Kenangan bersama dengan Abang Din memang tidak pernah aku lupakan. Memang banyak lagi perkara menarik bersama dengan Abang Din, tetapi amalan mengucapkan syukur setiap masa daripadanya memang sangat berkesan di hatiku…
Sebelum aku bertukar ke Pantai Timur, Abang Din pernah berpesan kepadaku….Setiap malam, ambil masa untuk mengimbas kembali apa yang berlaku dalam kehidupan kita. Bermula dari bangun tidur, hinggalah ke saat kita merebahkan diri untuk tidur semula pada malamnya. Fikirkan apakah kenikmatan yang kita lalui sepanjang hari dan rasailah kesyukuran terhadap semuanya… Aku melaksanakan pesanan itu hampir dua minggu. Dan aku dapat rasakan betapa banyaknya perkara yang perlu aku syukuri sepanjang kehidupan ini…
Assalamualaikum.
BalasPadamAlhamdulillah.
Paling mudah bersyukur dengan lafaz alhamdulillah.
Ucapan sahaja tidak memadai, kena diikuti dengan perbuatan...
Semoga kita sentiasa mensyukuri nikmatNya.
TQ
Admin P@P...
BalasPadamMemang benar, ucapan sahaja tidak memadai. Memang kita kena benar-benar yakin dan laksanakan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang, itulah tanda kita benar-benar bersyukur.
Terdetik hati apabila melihat artis kita yang sering mengucapkan syukur apabila menerima anugerah tertentu dalam majlis, kemudian mereka bersyukur, dan dalam masa yang sama hanya memakai skirt dan baju seksi! Bersyukurkah itu?
alhamdulillah dgn izin allah sy dpat mmbaca di ruangan anda yg amat brmakna...alhamdulillah dgn kasih sayang allah semua ihsan ilmu ini saudara titipkn...alhamdulillah allah telah beri sy peluang dgn ilmu ini melaui saudara...alhamdulillah sy doakan saudara sihat dn bahgia dgn ilmu sbgai bekalan yg amat brmanfaat izinkn sy belajar di ruangan tuan agar satu hari nnti sy pula dpat brkongsi ilmu ini seperti yg tuan lakukn...alhamdulillah
BalasPadamSemoga kita sama2 dapat manafaat
BalasPadam