Salam penuh keriangan untuk semua…
Catatan ini adalah sambungan perkara ketiga dalam catatan Perbaiki Diri…
Minda manusia boleh menjelajah hingga ke dunia yang tidak berada di alam nyata (kecuali perkara-perkara sam’iat). Oleh itu minda kita sangat berharga kerana ia dapat mencapai tahap impian yang sangat tinggi.
Salah satu perkara kehebatan minda terletak kepada fokus. Apabila kita fokus kepada sesuatu, kita menumpukan sepenuh perhatian minda terhadapnya. Apabila kita benar-benar fokus, kita akan telah meletakkan minda berada pada hasilan yang kita impikan. Contohnya, apabila seorang pelukis fokus kepada aktiviti melukis, maka mindanya telah tergambar jelas kepada apa yang hendak dicorakkan di kanvasnya. Itulah gambaran fokus.
Bagaimana agaknya untuk kita memiliki fokus yang baik?
Caranya, sebelum tidur, ambil sekeping kertas dan sebatang pena. Cuba tuliskan apa sahaja perkara yang berlaku dalam kehidupan kita sepanjang hari. Jangan tinggal satu perkara pun. Catatan dan tulisan itu haruslah mengikut kronologi tanpa tersilap walau satu pun. Namun, ia harus dilakukan secara terus tanpa menukar sebarang maklumat. Sebenarnya, semasa menulis kembali apa yang berlaku itu, kita telah mengaktifkan minda untuk mengingat kembali atau fokus kepada apa yang telah berlaku.
Mungkin pada permulaan aktiviti ini dilakukan, kita akan tertinggal sesuatu dalam catatan apa yang telah berlaku. Atau mungkin catatan itu ditulis secara tidak kronologi (mengikut masa kejadian) kerana tertinggal sesuatu. Tidak mengapa. Teruskan melakukan aktiviti ini selama seminggu. Cuba perhatikan kepada catatan kita setelah seminggu kita mengeksperimenkan aktiviti ini. Pasti kita dapat menulis setiap perkara dalam kehidupan seharian dengan jelas dan mengikut kronologi.
Ini menunjukkan kita telah mengaktifkan minda terhadap fokus. Banyak kebaikan jika kita berjaya melatih minda untuk fokus. Kebaikan yang paling jelas adalah kita akan lebih berjaya, tidak kira dalam pekerjaan atau pelajaran. Ini adalah kerana, minda kita telah berjaya dilatih untuk mengingat kembali perkara yang lalu. Dalam hal ini, organ otak yang terletak di bahagian paling hadapan akan mengumpulkan semua kekuatan semasa aktiviti pekerjaan atau pelajaran dilaksanakan.
Cubalah aktiviti ini jika ingin melihat kesannya yang nyata…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan