Rabu, 22 Disember 2010

AURA ~ 4

Salam penuh kasih sayang daripadaku….

Pertama sekali ingin aku memaklumkan tentang pergerakanku beberapa hari yang lalu.  Seusai peperiksaan OUM untuk kertas terakhir bagi semester ini, aku telah bergegas ke utara semenanjung kerana membantu rakanku yang menganjurkan sebuah kursus ikhtiar hidup.  Jadi sepanjang aku berada di sana, aku telah kehilangan arah untuk meneruskan catatanku di sini.  Alhamdulillah, setelah kembalinya aku ke sini, maka dapatlah aku menulis kembali.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

AURA juga terdapat di alam semesta ciptaan ALLAH ini.  Ini memang berlaku jika kita dapat perhatikan tentang perubahan warna alam di sekeliling kita.  Namun, bukan semua warna alam itu terpancar jelas di pandangan mata.  Berikut adalah beberapa warna alam yang dapat kita hayati bersama berdasarkan perubahan masa….

Waktu Subuh ~ Alam berwarna biru muda.  Pada waktu ini, AURA alam akan mempengaruhi metabolisma badan.  Oleh itu, ia dikaitkan dengan penawar, dan sumber rezeki.  Ini bersesuaian dengan perintah ALLAH untuk kita menunaikan solat Subuh di awal waktu, dan anjuran untuk tidak lagi tidur selepas solat Subuh.  Ini adalah kerana pada waktu ini, AURA alam akan mempengaruhi keadaan badan kita.  Orang yang selalu meninggalkan solat Subuh, atau melewat-lewatkannya akan beransur-ansur menjadi semakin lemah dan mudah dijangkiti penyakit.  Mereka juga berpotensi untuk menghadapi masalah dalam komunikasi dan sumber rezeki.

Waktu Zohor ~ Alam berwarna hijau pada awalnya dan beransur-ansur menjadi warna kuning.  Warna kuning ada kaitan dengan sistem pencernaan dan keceriaan.  Ini sesuai kerana pada waktu ini, lumrahnya manusia akan makan dan berehat seketika.  Jadi, unsur warna alam ini membantu pencernaan dan penghadaman kepada sistem tubuh manusia.

Waktu Asar ~ Warna alam bertukar kepada spektrum oren.  Pada ketika ini, ia mempengaruhi kepada sistem reproduksi (pembiakan) dan kreativiti.  Orang yang sering tertinggal solat pada spektrum warna ini biasanya akan mempengaruhi sistem peranakannya dan daya pemikiran mereka.  Aku masih ingat sewaktu kecil dahulu sering diingatkan agar tidak tidur pada waktu ini kerana jika diamalkan akan menjadi gila.  Sekarang baru terbukti kerana pada waktu ini warna AURA alam sedang mempengaruhi daya kreativiti manusia.

Waktu Maghrib ~ Alam berubah menjadi warna merah.  Perhatikan betul-betul warna di dada langit pada waktu ini, warna merah akan tampak jelas dari kejauhan.  Warna merah ini juga ada kaitan dengan spektrum warna jin dan iblis.  Lantaran itu kita disuruh berada di dalam rumah, surau, untuk mengelak daripada warna alam ini.  Ilmu mistik juga mengakui bahawa suasana pada ketika ini memudahkan seseorang yang lemah semangat akan mudah dikuasai oleh jin.  Rahsia AURA pada waktu ini adalah berkaitan dengan keyakinan.  Jika seseorang itu berada dalam khusyuk semasa solat pada AURA alam ini, akan memudahkan dia mendalamkan lagi keyakinannya kepada ALLAH.

Waktu Isyak ~ Warna AURA alam bertukar menjadi warna indigo.  Pada ketika ini warna mempengaruhi ketenteraman dan kedamaian.  Sesuai dengan kehidupan manusia, pada ketika inilah masa untuk mereka berehat yang sebenarnya.

Waktu tengah malam ~ Warna alam berubah-ubah menjadi warna putih, merah jambu, dan ungu.  Warna ini sesuai untuk fungsi otak dan ketahanan tubuh.  Orang yang berada dalam keadaan rehat pada ketika ini akan menyerap AURA warna ini.  Ini sesuai kerana pada ketika ini manusia sedang tidur dan berehat untuk membetulkan semula fungsi tubuh.  Namun, bagi yang bangun untuk menunaikan solat (qiamullail) akan mendapat lebih banyak manafaat.  Ini berdasarkan fakta tubuh sedang menyerap lebih banyak AURA alam ketika berada dalam keadaan aktif, namun tenang.  Malah, udara pada waktu ini adalah udara yang sangat segar dan diserap terus oleh badan manusia.

Kenapa semua fakta AURA alam ini aku kaitkan dengan waktu solat?  Ini adalah sebagai bukti bahawa setiap waktu yang telah ditetapkan oleh ALLAH untuk menemuinya adalah suatu masa yang sangat indah dan berharga.  Ia akan memberi kebaikan kepada manusia secara langsung.  Ini adalah kerana, semasa solat, kita akan berada dalam keadaan yang sangat tenang seperti bermeditasi.  Oleh itu, tubuh akan menyerap AURA alam dengan lebih baik dan menyeluruh.  

2 ulasan:

  1. wah, tak tau pulak waktu2 solat tu ada kaitan dgn aura. i like this.

    BalasPadam
  2. -GC-...

    Memang benar, waktu dan perubahan masa alam akan mengubah dan membentuk AURA tersendiri. Malah setiap sesuatu di alam ini ada AURAnya yang tersendiri, termasuklah seketul batu.

    BalasPadam