Sabtu, 29 Januari 2011

Minda Separa Sedar ~ 2

Salam hormat buat semua…

Bagaimana caranya untuk kita menguat dan mengaktifkan Minda Separa Sedar dalam diri kita?

Cara yang utama adalah dengan melakukan affirmasi (pernyataan diri), melakukan imbasan kepada papan visual, dan selalu melakukan teknik pernafasan terarah.

Affirmasi adalah pernyataan diri.  Dengan menyatakan apa yang kita inginkan dalam diri, maka sebenarnya kita telah mengaktifkan kuasa yang ada dalam diri kita.  Namun pernyataan diri ini haruslah dibuat secara tetap (matlamatnya tidak berubah-ubah) dan berterusan (dilakukan sentiasa).

Contoh :

“Aku merasa sangat hebat hari ini.  Aku adalah pekerja cemerlang yang sangat berjaya.  Aku yakin dianugerahkan Pekerja Pengurusan Terbaik 2011.  Pendapatanku semakin meningkat dan wang sentiasa ada dalam diri.  Aku sangat teruja dan bersyukur atas semua kejayaan ini…!”

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Aku akan menyambung lagi penerangan ini pada masa akan datang.  Hari ini aku akan memulakan tugas sebagai jurulatih aktiviti luar yang sudah bermula.  Mungkin beberapa hari lagi baru sempat untuk aku mencatatkan semula catatanku di sini…

Jumaat, 28 Januari 2011

Minda Separa Sedar

Salam penuh bahagia buat semua…

ais Gambar daripada internet

Kesibukan masuk ke peringkat yang kedua membuatkan aku semakin sukar untuk hadir ke sini.  Hari ini, berjaya juga aku mengaktifkan kembali diriku untuk menulis…

Hari ini, aku ingin membicarakan tentang Minda Separa Sedar.

Minda manusia terbahagi kepada dua jenis iaitu Minda Sedar dan Minda Separa Sedar.  Minda Sedar adalah minda manusia yang melakukan tugas seperti membuat keputusan, menganalisis, dan mencipta sesuatu.  Kebiasaannya manusia hanya akan menggunakan Minda Sedar dalam melaksanakan 12% sahaja tugas dalam kehidupan ini.  Selebihnya iaitu 88% tugasan manusia akan dilaksanakan oleh Minda Separa Sedar.  Minda Separa Sedar akan melakukan tugasan seperti mengawal degupan jantung, pernafasan, emosi dan perasaan, dan sebagainya.  Hal ini memang tidak dapat dikawal dengan jelas oleh kita.  Ia berlaku dengan sendiri dengan kehendak ALLAH yang Maha Kuasa.  Penciptaan manusia yang unik ini telah menunjukkan bagaimana kuasa minda telah menguasai kehidupan kita tanpa kita sedari.  Malah, ada antara kita yang masih meraguinya.

Antara perkara yang melibatkan kuasa Minda Separa Sedar adalah :

  1. Mencetuskan idea yang hebat.  Kekadang kita sendiri tidak pasti bagaimana keadaan yang dinamakan idea, atau ilham itu terhasil.  Ia berlaku secara tanpa kawalan.  Ini adalah kerana Minda Separa Sedar telah melaksanakan tugasnnya dengan jayanya.  Ada ketikanya, kita ‘mencetuskan’ idea semasa sedang berada dalam keadaan santai, atau semasa sedang tidur (bermimpi).  Ini adalah kerana, Minda Separa Sedar tidak akan berhenti untuk aktif dan melaksanakan tugasnya kepada manusia walaupun kita sedang tidur.
  2. Melakukan sesuatu tanpa berfikir.  Minda Separa Sedar akan melakukan sesuatu kerja yang telah dibiasa dan dilazimkan dalam kehidupan ini tanpa perlu berfikir lagi.  Contohnya orang yang sudah dilazimkan dengan aktiviti memandu kereta, tidak lagi perlu memikirkan cara untuk menukar gear, menekan padel minyak atau brek, dan sebagainya.  Ia dilakukan secara bersahaja kerana kita telah melatih Minda Separa Sedar untuk menguasainya.
  3. Berfungsi dengan baik ketika suasana tenang.  Minda Separa Sedar akan dapat melaksanakan sesuatu tugas dengan lebih cemerlang apabila kita berada dalam keadaan yang tenang.  Ketenangan ini akan membuatkan kita dapat melaksanakan kehidupan dengan lebih ceria dan lancar.  Imaginasi dan kata-kata ucapan yang dilahirkan oleh diri kita dalam keadaan tenang akan membolehkan Minda Separa Sedar merakamnya dan melaksanakannya.  Sebab itulah, kita disarankan agar sentiasa memikirkan perkara yang baik, kerana tanpa kita sedari, apa yang kita fikirkan itu mungkin akan menjadi kenyataan jika pada ketika itu Minda Separa Sedar sedang berada dalam keadaan yang sangat aktif.

Perhatikan bentuk bongkah ais di kutub.  Biasanya, kita hanya akan melihat permukaan atas bongkah ais tersebut dan kagum dengan bentuknya yang besar.  Namun, jika dilihat dari bahagian bawah air, bongkah yang tenggelam itu lebih besar dan kuat.  Itu adalah gambaran tentang kehebatan minda manusia.  Bongkah ais di bahagian atas melambangkan Minda Sedar manakala bongkah ais bahagian bawah melambangkan Minda Separa Sedar.  Kita mungkin kagum dengan kehebatan manusia untuk merekacipta sesuatu, namun kehebatan yang tidak terlihat adalah lebih banyak dan hebat lagi.

Apabila bercakap berkenaan bongkah ais, pasti aku teringatkan filem Titanic…..

Selasa, 25 Januari 2011

Bernafas ~ 2

Salam penuh kemakmuran buat semua…

Ingin kumaklumkan di sini bahawa aku sekarang berada dalam kesibukan tahap kedua.  Lantaran itu membuatkan aku tidak sempat untuk mengunjungi blog kalian.

Hari ini, aku ingin menyambung semula perihal catatan bernafas yang telah kita bicarakan tempoh hari.

Apa kaitan pernafasan kita dengan kuasa minda dan getaran dalam pemikiran kita?

Seperti mana yang kita telah bincangkan dahulu bahawa, apabila diri berada dalam keadaan tenang, maka minda akan menjadi lebih hebat.  Malah, apa sahaja yang disarankan pada ketika ini pasti akan memberi kesan kepada perubahan dalam diri. 

Semasa kita memperlahankan rentak pernafasan kita seperti yang diterangkan dalam teknik pernafasan tenaga dalam yang lalu, getaran minda juga akan diperlahankan rentaknya.  Getaran pemikiran yang berada dalam keadaan yang sesuai akan mudah untuk diprogramkan.

Suatu masa dahulu, semasa aku mula-mula mempelajari teknik pernafasan ini daripada arwah datukku, aku memulakan latihan pernafasan ini hanya sekali sehari.  Waktu latihan pernafasan ini hanya aku lakukan ada waktu malam iaitu sewaktu aku hendak tidur.  Pada ketika sudah berada di katil, aku memulakan latihan pernafasan ini.  Dalam jangkaan 10 set yang perlu aku lakukan itu, pada set yang ke-8, aku sudah mula ‘berkhayal’.  Jika kita berjaya melakukannya, keadaan ini memang akan berlaku.  Keadaan berkhayal ini seolah-olah aku sudah terpukau dengan sesuatu.  Namun sebenarnya, pukauan itu dilakukan oleh diriku sendiri terhadap diri sendiri.  Pada ketika akhir latihan pernafasan ini, iaitu ketika minda sudah berada benar-benar tenang, maka akan kuucapkan apa sahaja yang aku inginkan dalam kehidupan ini.  Percaya atau tidak, semuanya kini telah menjadi kenyataan.  Dengan usaha, dan dengan kehendakNya, maka apa sahaja yang kusarankan kepada diriku pada ketika itu telah membuahkan hasil.

Bagaimana keadaan ini berlaku?  Sebenarnya, semasa kita mengolah pernafasan dengan cara yang betul, kita akan meningkatkan oksigen dalam darah dan alirannya meresap ke otak.  Pada ketika ini otak akan menjadi tenang dan minda akan menjadi lebih hebat.  Sebab itulah setiap saranan kita akan diterima dengan lebih mudah.

Hal ini juga berkaitan dengan ketenangan diri.  Semakin tenang cara pernafasan kita, (seperti teknik yang diterangkan tempoh hari) maka semakin tenang diri seseorang.  Melalui ketenangan ini akan membuatkan seseorang itu dapat berfikir dengan lebih rasional dan matang.  Ini menjadikan setiap tindakan itu akan menjadi lebih baik dan berkesan.

Mari bersama mempelajari teknik pernafasan ini.  Cuba dan amalkan.  Jika kita tidak mencubanya, pasti kita tidak tahu akan khasiatnya dalam kehidupan ini….

Sabtu, 22 Januari 2011

Bernafas

Salam penuh kedamaian buat semua…

nafas  Gambar daripada internet

Pertama sekali, marilah sama-sama kita mengucapkan syukur kerana kita masih lagi bernafas hingga saat ini.

Bernafas adalah salah satu keperluan asas dalam kehidupan, baik manusia, mahupun haiwan dan tumbuhan.  Pernahkah kita memikirkan betapa kasih dan sayangnya ALLAH kepada kita semua dengan menyediakan udara untuk bernafas ini tanpa had, malah udara itu diberikan percuma.

Hari ini, aku ingin membicarakan suatu perkara berkenaan teknik pernafasan, dan hubung kaitnya dengan kehebatan minda manusia.

Cuba kita lihat cara pernafasan kita.  Pada kebiasaannya kita akan bernafas dengan tenang, sekata,  dan mendatar.  Namun keadaan pernafasan itu mungkin akan menjadi lebih singkat apabila kita berada dalam keadaan yang tertekan.  Contohnya apabila kita marah, atau sedih, atau terkejut.  Pada situasi runcing seperti itu, kita akan bernafas dengan kadar yang lebih singkat berbanding pernafasan biasa.

Cuba pula kita amalkan satu teknik pernafasan yang telahpun dipelopori oleh orang-orang tua Melayu dahulu.  Teknik pernafasan ini dikaitkan dengan mengumpulkan tenaga dalaman.  Caranya; tarik nafas dalam-dalam dengan tenang, dalam kiraan 7 saat.  Pada ketika nafas ditarik, bayangkan peparu kita dipenuhi dengan udara yang segar.  Bukan sahaja kita penuhkan paru-paru dengan nafas, malah udara yang disedut memenuhi rongga perut  (pastikan anda melakukan teknik ini sejam setelah anda makan untuk mengelakkan tindak balas yang lain).

Udara yang telah dipenuhkan dalam paru-paru dan perut itu ditahan selama 7 saat juga.  Cuba bertenang dan fokus.

Kemudian, hembuskan nafas itu melalui mulut secara perlahan-lahan dan tenang selama 7 saat lagi.

Tahan diri daripada terus menyedut nafas selama 7 saat.  Tenangkan diri.  Fokus kepada apa yang kita lakukan.  Setelah 7 saat berlalu, barulah kita tarik semula nafas selama 7 saat, menjadikan nafas kita itu dalam ‘set kedua’.  Ulang kaedah dan teknik ini sebanyak 10 set.

Peringatan; lakukan dengan tenang, jangan terlalu memaksa.  Jika kita tidak mampu untuk menahan diri daripada menarik dan menahan nafas selama 7 saat, kita boleh kurangkan menjadi 5 saat.  Lakukan beberapa hari sehingga kita mampu untuk menambah masa detik pernafasan itu menjadi 7 saat.  Aktiviti ini sesuai dilakukan pada waktu pagi, dan malam sebelum tidur.

Catatan berikutnya akan dijelaskan tentang teknik ini dan hubung kaitnya dengan kuasa minda manusia.

Jumaat, 21 Januari 2011

Soal, Jawab, dan Bertindak

Salam bahagia buat semua…

Setiap manusia pasti ada impian tersendiri.  Itu adalah lumrah kehidupan.  Namun, bagaimana kita hendak pastikan impian dan kehendak itu adalah perkara yang benar-benar kita mahukan dalam kehidupan kita?

Apabila kita menginginkan sesuatu, maka lakukan 3 perkara iaitu menyoal, menjawab, dan bertindak.

Menyoal adalah keadaan yang menunjukkan seseorang itu cuba untuk mendapatkan jawapan terhadap apa yang dikehendaki dalam keinginannya itu.  Jika kita mampu memberikan jawapan kepada soalan yang kita sendiri bina, maka pasti kita amat yakin dan pasti bahawa perkara itulah yang kita inginkan.  Hal ini seterusnya dilanjutkan dengan tindakan.

Contoh bagi seorang pelajar :

Apa yang anda mahukan? =>  Berjaya dalam SPM dengan keputusan yang cemerlang.

Kenapa anda mahukan kejayaan dalam SPM? =>  Kerana ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Kenapa anda mahu melanjutkan pelajaran ke universiti? =>  Kerana ingin mendapatkan ijazah dan seterusnya mendapat peluang pekerjaan yang baik.

Kenapa anda mahu mendapat pekerjaan yang baik? => Kerana ingin mendapat gaji dan pendapatan yang banyak.

Kenapa anda mahu mendapat pendapatan yang banyak? => Untuk memenuhkan keperluan hidup yang senang bersama ibu bapa yang telah banyak berkorban.

Daripada contoh di atas, seseorang itu mungkin dapat menjawab 5 soalan berturut-turut berdasarkan soalan awal berkenaan impiannya.  Jika kurang daripada 5 soalan dan jawapan, maka pasti itu bukanlah impian anda sebenarnya.  Oleh itu, cuba soal dan jawab berkenaan impian anda untuk memastikan itulah perkara sebenar yang anda mahukan dalam kehidupan ini.

Perkara seterusnya yang perlu kita lakukan setelah ops soal dan jawab adalah bertindak.  Jika kita telah mengenalpasti dan meyakinkan bahawa perkara itu adalah perkara yang kita inginkan dalam kehidupan ini, namun kita masih belum bertindak, maka pasti ia satu bentuk kerugian dalam kehidupan ini….

Khamis, 20 Januari 2011

Hilangkan Ketakutan Itu….

Salam penuh semangat buat semua…

Masih ingat dengan penerangan berkenaan ketakutan normal yang membawa kebaikan dan ketakutan tidak normal yang membawa keburukan?  Jika masih ingat, maka nilailah sendiri, bagaimana keadaan diri kita.  Nilai berkenaan tahap ketakutan yang ada dalam diri kita berada pada keadaan normal atau tidak….

Suatu masa dahulu, aku sendiri adalah seorang yang penakut.  Dalam erti kata lain, aku memiliki terlalu banyak rasa takut tidak normal dalam diriku.  Seperti mana yang kita telah fahami bahawa, takut tidak normal adalah hasil rangsangan dan didikan diri untuk membentuk rasa takut tersebut.  Ia boleh berlaku hasil daripada perhubungan dengan orang sekeliling kita, dan juga fakktor persekitaran.

Seperti kanak-kanak lain, aku sering dimomokkan dengan hantu, jembalang, dan sebagainya membuatkan aku sangat takut kepada keadaan gelap.  Jika berada dalam keadaan gelap, mulalah aku akan membayangkan pelbagai jenis lembaga misteri yang menakutkan.  Kekadang, jika tinggal seorang di rumah (kerana ibu sekeluarga ada urusan di mana-mana) maka aku akan memasang semua lampu yang ada, bermula dari lampu halaman rumah, lampu bilik, lampu ruang tamu dan dapur, lampu bilik mandi, malah lampu pintu belakang.  Kemudian aku akan duduk di hadapan televisyen, memasangnya dengan kuat sambil memegang batang penyapu (bersiap sedia untuk mempertahankan diri le tu..!)  Keadaan ini berlanjutan hinggalah aku berusia belasan tahun.  Malu juga rasa jika ada yang tahu aku takutkan kegelapan, tapi itulah keadaan diriku pada ketika itu.

Suatu hari, kerana situasi keluarga aku yang terpaksa berpindah-randah (mengikut lokasi tugas ayahku), maka aku disuruh untuk tinggal bersama dengan datukku.  Pada ketika itu aku baru sahaja masuk ke tingkatan 1.  Maka terbongkarlah rahsia sifat diriku yang penakut yang selama ini aku simpan kemas sebagai rahsia diriku.  Arwah datukku berkata; jika kita mahu hilangkan rasa takut itu, maka kita perlu terlebih dahulu menghadapinya.

Kata-kata itu tersimpan kemas dalam ingatanku hinggalah pada suatu hari, datukku mengarahkan untuk aku menguji tahap keberanianku dengan duduk berseorangan di dalam gelap.  Terus terang aku katakan yang aku hanya mampu untuk menghadapi kegelapan itu hanya selama setengah jam sahaja.  Namun, setiap malam aku dipaksa untuk berada dalam bilikku dalam keadaan yang gelap.  Hinggalah akhirnya aku berani untuk berada dalam bilik yang gelap. 

Kusangkakan hanya itulah sahaja cara datuk untuk memberanikan aku.  Sangkaanku ternyata salah kerana aku disuruh pula untuk berada di luar rumah pada malam-malam berikutnya.  Apa yang mampu aku ceritakan di sini adalah keadaan diriku yang semakin lama semakin berani untuk berada di mana sahaja.  Keadaan ini akhirnya menjadikan aku lebih berani dan bersedia untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang mendatang.

Setelah aku mempelajari ilmu berkenaan kuasa minda dan sains minda ini, maka aku dapat simpulkan bahawa; kita yang merangsang minda kita untuk menjadi takut terhadap sesuatu.  Dan untuk menghilangkan rasa takut yang telah berjaya kita semat dalam diri itu adalah dengan merangsang pula minda kita untuk menjadi berani dengan berhadapan dengan apa yang kita takutkan.  Apabila minda kita sudah bersedia dengan rangsangan yang baru, maka maklumat lama (berkenaan rasa takut kepada sesuatu itu) telah berjaya dihapuskan dan kita akan menjadi lebih berani.

Segalanya terletak pada minda kita sendiri….kuatkan minda kita maka kita akan menjadi seorang yang sangat hebat…

Rabu, 19 Januari 2011

Ketakutan…

Salam penuh semangat buat semua….

kak limah Gambar daripada internet

Takut, penakut, ditakutkan, menakutkan…semuanya adalah berkaitan dengan perkara TAKUT.  Takut, ada salah satu bentuk perasaan semula jadi manusia.  Ia kelihatan negatif, namun ada masanya perasaan takut ini boleh menjadi sesuatu yang positif kepada manusia.

Takut itu sendiri terbahagi kepada dua perkara iaitu Takut Normal dan Takut Tidak Normal.

TAKUT NORMAL adalah perasaan takut yang sedia ada dalam diri manusia.  Rasa takut ini adalah keadaan yang boleh membawa sesuatu yang positif kepada manusia.  Takut jenis normal ini adalah perasaan takut yang asas yang biasanya ada pada diri manusia.  Contohnya, takut apabila berada di tempat yang tinggi.  Takut ini menunjukkan kita faham bahawa ada bahaya yang akan berlaku kepada kita jika sekiranya kita terjatuh daripada tempat tinggi tersebut.  Oleh itu kita akan menjadi lebih berhati-hati dan bersedia untuk menghadapi situasi di tempat tinggi tersebut.

Contoh lain yang dapat memberi gambaran jelas berkenaan takut normal (membawa kebaikan) adalah seperti apabila kita berjalan di tepi jalan, tiba-tiba kita mendengar gesekan tayar yang kuat dari arah belakang, seperti bunyi kenderaan membrek kecemasan.  Pada ketika itu, otak dan minda akan terus dirangsang dengan rasa takut tentang bahaya yang bakal menimpa.  Kita secara automatik pasti akan mengelakkan diri lebih dalam ke arah bahu jalan, dan dalam masa yang sama berpaling ke belakang untuk melihat apakah bunyi kuat yang bergesek tadi untuk tindakan selanjutnya.  Ini merupakan keadaan di mana diri menjadi takut kepada bunyi kuat itu.  Namun, ketakutan ini memberi kesan positif kepada kita kerana kita akan bertindak balas untuk mengelakkan diri daripada sesuatu yang mungkin membahayakan diri kita.

TAKUT TIDAK NORMAL pula adalah perasaan takut yang disarankan secara langsung atau tidak langsung ke dalam diri manusia.  Pada asalnya, rasa takut itu tidak wujud, namun di’didik’ oleh persekitaran kita untuk merasa takut kepada sesuatu.  Hal ini mungkin akan membawa keburukan kerana kita akan menjadi takut kepada sesuatu yang tidak pasti.  Contoh yang paling jelas adalah rasa takut kepada hantu.  Sejak kecil kita dimomokkan dengan pelbagai jenis watak hantu.  Keadaan ini telah memberi satu bentuk rangsangan kepada diri untuk takutkan sesuatu yang dinamakan hantu.  Oleh itu, kita telah menciptakan rasa takut tidak normal ke dalam diri kita.  Takut ini dinamakan tidak normal kerana pada asalnya kita langsung tidak takut kepada perkara itu, namun akhirnya kita menjadi penakut kerana telah dirangsang secara berterusan.

Catatan seterusnya; pengalaman penulis bertemu dengan HANTU…(kisah benar…huhuhu!)

Selasa, 18 Januari 2011

Tiga Perkara Pada Orang Hebat

Salam penuh kehebatan daripadaku buat semua….

Hari ini, aku terpanggil untuk berbicara berkenaan kehebatan diri seseorang yang hebat.  Sebenarnya, kita semua adalah orang yang hebat, namun kekadang kita tidak nampak akan kehebatan itu, dan memerlukan orang lain untuk menunjukkan kehebatan itu kepada kita.

Orang yang hebat perlu ada tiga perkara.  Perkara pertama adalah keunggulan dari segi mentalnya.  Dalam situasi ini menunjukkan seseorang itu perlu hebat dari segi cara pemikirannya.  Orang yang hebat akan dapat mengawal emosinya.  Walaupun dia berhadapan dengan cabaran dan rintangan yang melanda, namun tidak tidak akan berputus asa.  Sebaliknya, cabaran dan rintangan itu akan diharungi dengan penuh semangat dan sebagai satu bentuk untuk mencabar kehebatannya.  Berbeza dengan orang yang tidak hebat, yang akan gagal dan putus asa serta tewas dengan emosi negatifnya apabila dihadapkan dengan sesuatu masalah.  Orang yang hebat akan menjadikan cabaran itu sebagai langkah untuk lebih berjaya.  Malah, mereka yang hebat itu tahu bahawa cabaran dan masalah yang ada itu adalah sebagai satu bentuk situasi untuk menambahkan usaha yang perlu dilakukan.

Perkara kedua yang ada pada orang yang hebat adalah kestabilan fizikalnya.  Kestabilan fizikal bukan bermaksud memiliki bentuk badan yang ideal, sebaliknya kestabilan ini berlandaskan kepada aktiviti seharian yang dilakukan.  Semakin sibuk kehidupan kita pada masa kini, (yang bekerja mahupun yang masih belajar) kekadang kita terlupa untuk mengaktifkan fizikal kita.  Seharusnya kita memperuntukkan sedikit masa untuk melakukan senaman untuk memastikan badan kita sentiasa kekal cergas dan aktif.  Jika tidak mampu pergi ke gimnasium, cukup sekadar berjoging atau melakukan skipping di halaman rumah.  Atau sekurang-kurangnya kita boleh menukarkan aktiviti berkereta dan bermotosikal dengang berjalan untuk ke lokasi yang dekat seperti ke kedai atau ke surau.  Dengan berjalan, kita akan melakukan aktiviti fizikal yang diperlukan dalam badan kita.

Perkara ketiga dalam diri orang yang hebat adalah dapat mengawal spiritual (kejiwaannya).  Semakin hebat kejayaan kita, seharusnya kita semakin dekat dengan PENCIPTA kita.  Jika kita menjadi semakin dekat dan berjaya menguatkan spiritual kita, maka kehebatan diri kita akan menjadi lebih terserlah dan meyakinkan.  Namun, jika kita semakin jauh dan lalai, rasanya kejayaan dan kehebatan yang dikecapi adalah satu bentuk penghinaan untuk terus melalaikan kita daripada keredhaanNya…

Nilai diri sama ada hebat atau tidak.  Jika belum, marilah sama-sama kita usahakan untuk memburu kehebatan itu.  Dan jika sudah berjaya mari kita kekal dan tingkatkan kehebatan itu untuk menjadi lebih baik kepada diri kita dan kepada orang di sekeliling kita….

Ahad, 16 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 7

Salam penuh kebahagiaan daripadaku untuk semua…

Lantaran ‘terperangkap’ di sebuah lokasi kerana ditugaskan untuk membuat perancangan aktiviti tahun 2011, maka aku tidak dapat menulis di sini.  Tangan terasa gatal-gatal kerana sudah lama tidak menaip.  Hanya malam tadi aku dapat sampai ke rumah dengan selamat.  Badan sudah terlalu letih, maka tidur adalah keutamaanku pada ketika itu.  Dan kini aku kembali menulis sahaja di pagi yang indah ini….

Ada seorang kawanku berkata, LOA adalah sebuah hukum yang dicipta oleh khayalan manusia.  Katanya, ini bukan hukum alam seperti hukum graviti (menurut seperti yang aku terangkan dulu).  Menurutnya, hukum graviti tidak pernah ‘gagal’, sebaliknya LOA tidak pernah berjaya dilakukan dalam kehidupannya.  Memang aku akui, kekadang kita akan merasakan seperti LOA itu tidak berjaya.  Namun, ia tidak berjaya bukan kerana hukum alam ini gagal, sebaliknya kitalah yang gagal untuk menarik sesuatu itu daripada terjadi.  Ini berdasarkan seperti yang aku jelaskan dahulu, ia berkaitan dengan cara pemikiran kita.  Jika kita masih ragu-ragu, atau kita sendiri menukarkan apa yang kita mahukan dalam proses kejayaan itu berlaku, maka segalanya akan berubah.  Lantaran itu, apa yang kita inginkan pada mulanya tidak akan berlaku.

Contohnya, jika kita meyakinkan diri, dengan berkata-kata semangat untuk berjaya cemerlang dalam PMR, kita berusaha dari segi fizikal (mengulangkaji pelajaran dan membuat latihan) dan mental (melakukan LOA).  Namun dipertengahan usaha itu dilakukan maka kita sering tertekan dan takut jika kita gagal.  Cuba perhatikan, pada ketika perasaan itu berlaku, adakah kita masih mengekalkan keyakinan itu?  Pasti sahaja jawapannya tidak.  Pada ketika itu, kita telah memikirkan kegagalan.  Maka, jika kita tidak berjaya, bukan kerana hukum LOA itu tidak berjaya.  Ia berlaku kerana kesalahan kita yang telah menukarkan ‘siaran’ tarikannya di tengah jalan.

Aku pernah bertanya kepada rakanku itu, berapa kalikah usaha yang dilakukan untuk membuktikan kebenaran LOA?  Katanya, dua atau tiga kali.  Aku katakan kepadanya bahawa, LOA adalah kaitan antara keinginan dengan kehebatan getaran kuasa minda kita untuk menarik perkara yang diinginkan itu untuk mendekati diri kita.  Aku telah jelaskan dahulu bahawa ia perlu dilatih.  Jika kita tidak melatihnya, maka pasti kita tidak akan berjaya membuktikannya akan berlaku.  Contohnya dulu, semasa kecil, tentu kita semua pernah belajar untuk menunggang basikal.  Adakah dengan sekali cubaan sahaja kita telah berjaya melakukannya?  Bagiku, setiap perkara baru yang sedang kita lakukan pasti sama seperti menunggang basikal.  Jika permulaan dulu, pasti kita pernah jatuh (gagal).  Namun semakin lama kita berlatih, maka semakin pandai kita untuk mengawalnya.  Malah ada yang benar-benar hebat hingga dapat menunggang basikal itu dengan melepaskan tangannya!

Kepada semua pembaca yang pernah mengikuti siri catatan LOA ini juga harus ingat bahawa setiap sesuatu yang berlaku itu tetap dengan keizinan ALLAH jua.  Jika apa yang kita ‘tarik’ masih belum berjaya, ini bukan bermakna kita gagal atau hukum LOA ini tidak wujud.  Kita perlu kembali semula kepada  Yang Maha Mencipta kehebatan ini.  Hanya DIA yang Maha Tahu kenapa kekadang apa yang kita mahukan itu gagal ditarik. 

Salam sayangku buat semua di pagi yang penuh semangat ini…

Rabu, 12 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 6

Salam penuh semangat kepada semua…

Masih lagi dalam membicarakan berkenaan hukum penarikan atau Law of Attraction (LOA).

Maha Suci ciptaan ALLAH yang telah menganugerahkan manusia dengan kehebatan minda.  Dalam minda kita, tercipta satu kebolehan iaitu ‘membayangkan’ sesuatu.  Dalam bahasa mudahnya adalah berangan-angan.  Tetapi awas, jangan terlebih berangan-angan kerana ia akan membazirkan masa sahaja.

LOA akan terlaksana mengikut hukum alam (dengan keizinanNya jua) apabila berlaku empat perkara.  Perkara yang dimaksudkan adalah keinginan, imaginasi dan kata-kata, emosi yang sesuai, dan keyakinan.

Dalam keadaan ini, pertama sekali manusia perlu ada apa yang diinginkan.  Kemudian kita perlu menggunakan kehebatan minda kita dengan mengimaginasikan keinginan tersebut.  Peringkat ini adalah peringkat yang paling penting untuk memastikan LOA berlangsung mengikut kehendak kita.  Kemudian, pastikan imaginasi itu disusuli dengan emosi yang sesuai.  Dan akhirkan dengan keyakinan bahawa perkara itu benar-benar akan berlaku…

Penerangan pada hari ini adalah berkenaan angan-angan.  Dalam bahasa sains minda dinamakan visualisasi dan dalam bahasa mudah yang lain disebut imaginasi.  Sebenarnya manusia dilengkapi dengan kemahiran memvisual.  Kekadang, kita perhatikan seseorang yang sedang berangan dengan hebat hingga pandangannya mampu untuk ‘menembusi dinding’ yang berada di hadapannya.  Apabila kita berdehem atau batuk-batuk kecil, barulah dia kembali ke alam nyata.  Sedarkah kita, sebenarnya pada ketika keadaan itu berlaku, orang itu sebenarnya sedang berada di tahap khayalan yang sangat tinggi.  Di hadapannya bukan lagi dinding, tetapi adalah gambaran kepada apa yang sedang divisualkan.  Tentu kita semua pun pernah mengalaminya…

Apa yang hendak dihuraikan di sini adalah, dengan melakukan visualisasi yang hebat seperti berangan-angan itu, akan memudahkan lagi LOA terlaksana.  Jika kita mampu untuk berangan sehingga tembus pandangan, kenapa kita tidak gunakan kemahiran itu untuk melakukan imaginasi / visualisasi?

Semasa seseorang itu sedang bervisualisasi, maka dia telah menghantarkan isyarat tentang visual itu ke getaran di alam semesta.  Hukum getaran akan menarik perkara yang sama.  Contohnya frekuansi yang ada di alam semesta akan ditarik oleh gelombang radio yang sama frekuansinya.  Sebab itu kita mampu untuk mengubah-ubah sesebuah siaran radio.  Berbalik kepada penerangan di atas, apabila kita membayangkan sesuatu terjadi dengan betul, maka ia akan menarik perkara itu menjadi kenyataan.  Hukum inilah yang dinamakan LOA, hukum bagaimana manusia mampu menarik sesuatu yang diinginkan.

Segalanya berlaku dengan kehendak ALLAH, namun asbab kejadian itu berlaku adalah berdasarkan kuasa minda yang telah ALLAH kurniakan kepada kita.  Jika hebat cara penggunaannya, maka hebatlah hasil yang akan kita perolehi.  Sama-sama kita kuasai minda kita kerana kita adalah antara yang terhebat dalam ciptaanNya…

Selasa, 11 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 5

Salam kasih sayang daripadaku buat semua…

Sambungan kepada emosi mempengaruhi LOA; akan kujelaskan lagi sekarang…

Ada yang berkata; sukar untuk mengawal emosi.  Ada yang berkata; sukar untuk mencipta emosi positif untuk melakukan penarikan LOA.  Sebenarnya, ia tidaklah sesukar mana.

Analogi;

Cuba lihat kepada atlet bina badan, yang memiliki otot pejal dan kental di seluruh badan mereka.  Adakah mereka memang dilahirkan begitu?  MasyaALLAH, kalaulah ada bayi yang dilahirkan terus dengan otot pejal dan berketul-ketul itu, pasti jadi berita hangat seluruh Malaya…

Apa yang dilakukan oleh atlet bina badan adalah dengan melakukan senaman dan latihan mengangkat berat.  Latihan dan rutin ini akan mengembang dan sekaligus memejalkan otot-otot mereka.  Keadaan ini diteruskan sehingga mereka benar-benar berpuas hati dengan bentuk badan yang diinginkan.  Makanan yang diambil juga harus seimbang dan mampu membina sel-sel badan.  Bro Ben Ashaari tolong betulkan jika salah ye…

Penjelasan;

Melalui latihan yang dilakukan mereka akan membina otot.  Melalui makanan yang sesuai yang diambil akan membina otot.  Rutin yang dilakukan seharian akan memastikan otot itu terbentuk dan kekal pada badan mereka.

Keadaan ini sama sahaja seperti membina emosi positif dalam diri.  Jika kita tidak melatih minda untuk memikirkan sesuatu yang positif, pasti emosi positif tidak akan hadir dalam diri kita.

Satu teknik yang sangat berkesan untuk memastikan kita mampu untuk mencipta emosi positif dalam minda adalah melalui imbasan kenangan.  Mungkin kita ada sesuatu peristiwa yang menunjukkan sesuatu kejayaan.  Contohnya peristiwa semasa menerima ijazah atau diploma pertama.  Semasa peristiwa itu berlangsung, pasti kita ada mengambil gambar.  Maka, teknik yang dimaksudkan adalah; gantungkan gambar kenangan kejayaan itu di suatu tempat yang sering dapat kita lihat.  Apabila kita melihat gambar itu, pasti kita akan merasa sangat seronok, bangga, dan berbunga di dalam hati.  Keadaan ini sebenarnya merangsang minda untuk mencipta lebih banyak emosi positif.

Suatu masa dahulu, aku pernah letakkan piala johan pidato di meja belajarku.  Aku sering lihat piala itu, dan kenangkan kembali kejayaan itu.  Kekadang, ibuku ada mengalihkan piala itu ke tempat yang lebih sesuai.  ‘Menyemakkan meja’ katanya.  Namun aku jelaskan bahawa piala itu memberikan semangat kepadaku.  Walaupun aku sudah tidak lagi aktif berpidato dan bersyarah ketika itu, namun piala itu memberi semangat kepadaku.

Lihat sahaja kepada pegawai-pegawai penting di syarikat-syarikat besar.  Apa yang digantung di dinding bilik mereka?  Pasti sahaja yang dibingkai kemas dan digantung adalah sijil dan anugerah penghargaan tertentu.  Sebenarnya, semua itu bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada tetamu yang berurusan di bilik itu, tetapi ia adalah merupakan simbol kejayaan.  Simbol ini apabila sering dilihat maka akan terus membakar semangat dan membina emosi yang sangat hebat dalam diri mereka.

Satu contoh lagi, seorang rakanku yang sama-sama pernah menyertai sukan silat olahraga (namun dia lebih berjaya, tahniah..!) sering menampalkan gambar Rozaidi Abd Rahman, salah seorang pesilat negara.  Ada juga tampalan gambar Bruce Lee dan Jackie Chan di dinding biliknya.  Katanya, sebagai pembakar semangat.  Ya, memang benar.  Gambar-gambar itu telah memberi kesan emosi yang sangat hebat kepada dirinya.  Lantaran itu dia sangat berjaya dalam sukan yang diceburinya itu (sekarang menjadi salah seorang jurulatih di MSSM Pulau Pinang).

Emosi mampu dicipta.  Kita boleh cipta emosi positif yang kita inginkan berdasarkan kejayaan-kejayaan kita yang lalu.  Sangat mustahil jika ada yang berkata, mereka langsung tidak pernah berjaya.  Sesungguhnya kita semua pernah berjaya, sama ada kecil atau besar.  Manafaatkan kejayaan itu untuk terus membina emosi yang sangat hebat untuk terus melakukan kejayaan-kejayaan yang lain.

Isnin, 10 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 4

Salam penuh kecemerlangan…

bahagiaGambar daripada internet 

Hari ini aku akan sambungkan bagaimana LOA akan terlaksana dengan perkaitan emosi.

Manusia adalah makhluk yang diberikan emosi yang sangat hebat.  Apabila kita bercakap berkenaan emosi, kita sering menggambarkan tentang kesedihan, merajuk, marah, dan sebagainya.  Bukankah itu semua perkara yang berkaitan dengan negatif?  Ya, semua yang di atas adalah perkara negatif.  Sebenarnya, emosi bukan hanya sekadar berkaitan dengan perkara-perkara yang negatif hingga ada ungkapan, 'dia tu kuat beremosi..’

Emosi juga berkaitan dengan perkara positif.  Gembira, seronok, bahagia, teruja, dan sebagainya adalah contoh emosi yang positif kepada manusia.  Itu adalah perkara yang perlu kita fahami….

Kenapa agaknya emosi dapat mempengaruhi LOA?

Apabila kita berkata kepada diri, apabila kita memikirkan dalam imaginasi kita; bahawa kita ingin berjaya mendapat kecemerlangan dalam pelajaran (contoh), tiba-tiba kita ‘diserang’ dengan perasaan emosi negatif seperti keraguan, ketidakpercayaan, dan sebagainya.  Pada ketika itu kita mula memikirkan bahawa kita memang lemah dalam subjek tertentu.  Kita jarang mendapat markah tinggi dalam pelajaran.  Adakah anda rasa bahawa imaginasi dan kata-kata bahawa kita mahukan kecemerlangan dalam pelajaran tadi akan berlaku?

Jawapannya pasti sahaja TIDAK!

Ini adalah kerana, emosi kita tidak selari dengan apa yang kita mahukan.  Sebaliknya, emosi negatif yang bersarang dalam diri akan menarik kegagalan itu menjadi kenyataan.  Maka, gagallah usaha untuk LOA melaksanakan tugas menarik kejayaan seperti yang kita impikan.

Apa yang perlu kita lakukan adalah mencipta emosi yang seimbang dengan imaginasi.  Jika kita inginkan kejayaan dalam sesuatu perkara, cuba rasakan apakah emosi kejayaan tersebut.  Rasakan bagaimana kita merasa seronok sangat kerana mencapai kejayaan tersebut, lahirkan rasa kesyukuran walaupun kejayaan itu belum berlaku lagi, cipta rasa sangat teruja untuk mencapai kejayaan tersebut.  Apabila ini berlaku, maka kita telah ‘menipu’ diri sendiri.  Penipuan ini akan menyebabkan minda merasa yang kita sangat yakin bahawa ia akan terlaksana.  Keadaan ini akhirnya akan membuatkan LOA akan melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

Namun, kadang kala kita sering tertewas.  Pasti ada juga rasa tidak percaya bahawa apa yang kita inginkan itu akan terlaksana atau tidak.  Jika rasa ini berlaku, maka cepat-cepat kuatkan semangat, cekalkan hati, dan terus ubah perasaan itu kepada emosi yang lebih positif.  Rasakan dan tukarkan ia sebenar-benarnya kerana kita pasti tidak mahu emosi negatif ini akan membantutkan kejayaan yang diimpikan.

Teruskan kekal cemerlang dengan emosi yang positif.  Pasti anda akan dapat lihat kesannya…

Ahad, 9 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 3

Salam penuh keceriaan buat semua…
Masih ingat dengan kisah Aiman Hanafi..?
Sebenarnya, penerangan berkenaan LOA bukan ada pada budak kreatif bernama Aiman tersebut.  Tetapi, LOA berlaku kepada Pak Hanafi (lakonan Aflin Shauki).  Apa yang ditunjukkan dalam klip iklan tersebut adalah Pak Hanafi sering melihat kepada gambar motosikal berkuasa tinggi dalam bekas tin simpanan wangnya.  Sebenarnya, apabila kita sering melihat kepada sesuatu objek, atau gambar, atau tulisan tertentu, yang sesuai dengan kehendak dan keinginan kita, maka di sinilah berlakunya LOA.  Semasa melihat sesuatu yang kita ingin miliki, dalam masa tersebut kuasa minda akan mengaktifkan tenaga bahawa kita inginkan perkara itu hadir dalam kehidupan kita.
Lantaran itu, walaupun Pak Hanafi tidak mampu untuk membeli motosikal berkuasa tinggi, namun ada ketikanya lalu sebuah motosikal yang diidamkan itu di hadapannya.  Malah, semakin kuat gambaran mental dan imaginasinya terhadap perkara itu membuatkan pada suatu ketika, anaknya sendiri (Aiman) pulang dengan menghadiahkan kepadanya motosikal yang diidamkan selama ini.
Dalam situasi ini menunjukkan, semakin kuat keinginan kita, semakin kuat imaginasi kita, semakin kuat kita bervisualisasi, atau dalam bahasa mudahnya, semakin kuat kita berangankan untuk memiliki sesuatu, maka akhirnya ia akan direalisasikan dalam kenyataan hidup kita.
Alangkah indah dan hebatnya jika Pak Hanafi dapat mengetahui tentang hal ini dari awal.  Maka tentu dia dapat melakukan imaginasi dan visualisasi terhadap perkara-perkara lain yang lebih hebat dari awal, seperti membayangkan dia memiliki sebuah kedai buah di bandar yang mampu menjana kejayaan dalam perniagaannya dengan lebih hebat.  Pasti kehidupan mereka sekeluarga tidak terlalu sempit hingga terpaksa menolak semua permintaan anaknya.
Alangah indah dan hebatnya, jika kita sendiri tahu dan faham dengan hukum tarikan ini / LOA, hingga kita dapat membayangkan kejayaan kita dengan lebih baik dan berjaya.
Cuba perhatikan, jika kita baru sahaja berpindah ke sebuah kawasan baru kerana mendapat kerja.  Dalam masa yang sama kita tercari-cari sebuah rumah sewa yang sesuai dan berdekatan dengan tempat kerja tersebut.  Ada yang dari awal merasakan sangat ragu dengan kejayaan untuk mendapat rumah sewa dengan mudah.  Apabila kita meragukan dan membayangkan susahnya untuk mendapat rumah sewa di kawasan itu, maka kita telah mengaktifkan tenaga untuk menarik keraguan itu.  LOA akan bekerja dan membuatkan semua usaha kita mendapat rumah sewa tidak berjaya.
Contoh mendapatkan rumah sewa ini aku berikan berdasarkan apa yang aku pernah lalui suatu ketika dahulu.  Lebih kurang empat tahun lalu, aku berpeluang untuk melanjutkan pelajaran (dalam masa yang sama cuti dengan bergaji, alhamdulillah).  Tempat pembelajaran itu memang sebuah tempat yang sangat padat dengan penduduk hingga dari awal lagi semua orang mengatakan bahawa kawasan tersebut sukar untuk mendapatkan rumah sewa.  Namun, aku bulatkan hati dan semangat.  Lebih kurang seminggu sebelum melapor diri, aku telah mengaktifkan kuasa penarikan daripada kuasa minda dalam diriku.  Aku sering bayangkan bagaimana mudahnya aku menemui seseorang dan berjaya mendapat sebuah rumah sewa.
Dalam bayangan imaginasiku itu, aku bayangkan dengan jelas bertemu dengan seorang lelaki tua, aku bayangkan aku membayar sejumlah wang kepadanya, aku bayangkan lelaki tua itu menyerahkan kunci kepadaku, dan aku bayangkan menggunakan kunci itu untuk membuka sebuah rumah dan masuk, dan tidur di dalamnya…..  Aku bayangkan perkara itu dengan penuh semangat dan penuh emosi (rasa seronok dan bersyukur). 
Pada hari melapor diri, aku berkenalan dengan beberapa orang rakan yang turut sama mencari rumah sewa.  Setelah selesai semua urusan, maka kami memulakan misi untuk mencari rumah sewa yang berdekatan.  Kebetulan ketika itu hampir masuk waktu Zohor, maka kami mengambil keputusan untuk solat di masjid terlebih dahulu.  Selesai bersolat, ada seorang lelaki bertanyakan kami (kerana seperti asing di kawasan tersebut).  Dalam percaya dengan tidak, rupanya lelaki itu ada sebuah rumah sewa yang baru sahaja penghuninya perpindah minggu lepas.  Maka terjadilah terus apa yang aku bayangkan.
Lihatlah, betapa mudahnya (dengan ketentuan ALLAH jua), kuasa minda manusia menarik apa yang kita inginkan menjadi kenyataan.  Inilah LOA.  Inilah hukum penarikan.  Inilah kehebatan kuasa minda manusia yang dianugerahkanNya kepada kita.  Dan percayalah, kita semua mampu untuk menarik apa sahaja yang kita inginkan.
Ikuti sambungannya….

Sabtu, 8 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 2

Salam kecemerlangan daripadaku buat semua…

Aku kini sedang menyiapkan beberapa siri penerangan berkenaan Hukum Penarikan / Law of Attraction (LOA).

Seperti yang dinyatakan sebelum ini bahawa, kuasa minda manusia adalah satu bentuk penarikan kepada hukum ini.  Apa yang menyebabkan kuasa minda dapat berfungsi sebagai penarik kepada hukum ini? 

Kuasa minda menjadi seperti magnet untuk menarik sesuatu melalui imaginasi.  Imaginasi atau gambaran mental juga disebut sebagai visualisasi.  Apabila manusia berimaginasi tentang sesuatu dengan menggambarkan dalam pemikiran kita, sebenarnya kita telah mewujudkan suatu bentuk tenaga.  Imaginasi yang dilakukan sama seperti suatu bentuk gambaran yang dirakam dalam minda manusia.  Apabila ini berlaku, maka ia akan menarik perkara atau situasi itu untuk berlaku dengan nyata.

Minda separa sedar manusia tidak akan tahu sama ada perkara itu baik atau buruk.  Apabila kita telah menggambarkannya dalam imaginasi maka ia akan ‘menangkap’ gambaran tersebut untuk direalisasikan. (Itulah kehebatan kuasa minda yang dianugerahkan ALLAH kepada setiap manusia).

Bagaimana imaginasi ini dapat direalisasikan adalah daripada kuasa ALLAH.  Hanya DIA yang tahu bagaimana hukum ini terjadi dan terlaksana.  Namun ia akan benar-benar berlaku.  Hal inilah yang dinamakan penarikan iaitu apa yang kita fikirkan maka itulah yang akan tertarik kepada kita dan menjadi kenyataan.

Catatan ini diakhiri dengan satu contoh mudah…

imagesCANQKQ4F Gambar internet

Beberapa tahun lalu ada sebuah iklan tv berkenaan seorang budak lelaki kreatif dan inovatif bernama Aiman Hanafi.  Dalam klip iklan tersebut, budak ini selalu meminta untuk dibelikan barangan permainan kepada bapanya, seorang penjual cempedak (lakonan Aflin Shauki).  Namun permintaan itu sering dihampakan kerana bapanya ‘tidak mampu’.  Ini membuatkan Aiman sentiasa mencipta sendiri barang permainannya.

Satu sedutan dialog yang masih aku ingat…"Aiman, kalaulah pokok cempedak ayah tu berdaunkan emas, usahkan kereta….kereta kebal pun ayah akan belikan…”

Sebenarnya, si ayah bukanlah tidak mahu melayan kehendak Aiman, sebaliknya iklan ini menunjukkan sikap si ayah yang sentiasa berjimat cermat…Setiap wang hasil pendapatannya sering dikumpulkan walaupun dengan beberapa keping syiling.  Semua wang itu dikumpulkan dahulu dalam sebuah bekas tin sebelum dimasukkan ke dalam bank.

Di sinilah perkara yang berkaitan dengan imaginasi berlaku….  Jika kita masih dapat dipaparkan dengan klip iklan itu maka kita akan dapati bahawa si ayah sering melihat gambar sebuah motosikal berkuasa tinggi yang dilekatkan pada bahagian dalam penutup tin simpanan wangnya itu.  Malah, kadang kala ada sahaja motosikal berkuasa tinggi lalu di hadapan gerai jualannya itu.

Klip iklan itu diteruskan dengan kejayaan Aiman mendapat tawaran ke pusat pengajian tinggi dan kali ini ‘permintaan’nya kepada si ayah tidak dihampakan lagi kerana si ayah sudah cukup dengan wang yang disimpan.  Dan di akhir klip iklan ini, Aiman pulang dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan katanya…"Ayah, motor ini, ayah yang punya..!”

Bersambung le pulak…!

Jumaat, 7 Januari 2011

Hukum Penarikan

Salam penuh kecemerlangan kepada semua…

magnet Gambar daripada internet

Hukum Penarikan atau dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Law of Attraction (LOA) merupakan salah satu hukum dalam alam semesta ini.  Sama seperti hukum graviti, setiap hukum alam tidak dapat disangkalkan lagi.  Contoh, hukum graviti menyatakan setiap objek, tidak kita berapa berat jisimnya, pasti akan tertarik semula ke bumi.  Ini adalah kerana, graviti dalam bumi mempunyai hukumnya tersendiri iaitu menarik apa sahaja yang ada dalam medannya untuk mendekatinya.  Hukum ini telah kita fahami sejak dahulu dan tiada siapa dapat menyangkalkan hingga kini.

Seperti hukum graviti, LOA juga adalah satu hukum alam.  Namun, bukan semua orang terdedah dengan maklumat hukum ini menyebabkan ia sedikit asing kepada kita.  LOA merupakan kesinambungan kepada hukum kuasa minda dalam diri manusia.  Jika hukum graviti bermula dari tarikan graviti daripada bumi, maka LOA pula adalah tarikan daripada kuasa minda manusia…!

Adakah manusia mampu untuk menarik sesuatu mendekatinya?  Jawapannya adalah; YA.  Malah sekarang ini juga, kita sedang menarik sesuatu mendekati kita.  Siri catatan ini akan berlangsung selanjutnya dengan memberi penerangan berkenaan dengan LOA…

Khamis, 6 Januari 2011

Ketenangan Diri dan Kuasa Minda…

Salam kasih sayang daripadaku….

Masih ingat dengan catatan berkenaan dengan gelombang otak?

Jika anda masih ingat, pasti ada faham benar tentang getaran dan gelombang otak yang terbahagi kepada 4 jenis iaitu beta, alpha, theta dan delta.  Getaran minda yang terbaik adalah semasa bergetar di tahap theta.  Untuk sampai ke tahap theta, kita perlu terlebih dahulu melalui tahap getaran alpha.  Pada getaran minda ini, kuasa minda akan dapat menarik apa sahaja yang kita mahukan dengan lebih berkesan.

Bilakah masa yang menyebabkan minda berada di tahap alpha dan theta?

Perkara yang menyebabkan minda berada dalam gelombang ini adalah semasa kita berada dalam keadaan yang sangat tenang.  Apabila anda berada dalam keadaan yang sangat tenang, hingga anda mampu untuk berkhayal (hingga dapat ‘menghayati’ sepenuhnya khayalan tersebut) maka anda sudah berada di tahap alpha.

Ketenangan dalam diri akan berlaku semasa hampir tidur, dan semasa bangun daripada tidur.  Ketenangan juga boleh berlaku semasa kita berada dalam keadaan yang santai seperti berehat di tepian pantai yang damai.  Ketenangan berlaku semasa kita melakukan perkara-perkara yang sangat kita minati seperti bermain permainan video game.  Ketenangan juga berlaku semasa kita melakukan perkara yang tidak memerlukan daya pemikiran; seperti sedang bercukur, atau semasa memandu kenderaan.  Dan ketenangan yang paling baik adalah semasa bersolat, dan berzikir.

Semua contoh ketenangan ini akan menghasilkan getaran minda di tahap alpha dan theta.

Cuba perhatikan semasa kita hampir tidur, dan semasa bangun dari tidur….ketenangan dan getaran minda yang berlaku sangat damai. 

Perkatikan pula semasa kita berada di tempat yang damai, seperti di kawasan peranginan.  Pasti kita merasa sangat tenang dan segar.  Inilah keadaan di mana para penulis novel terkenal menggunakan lokasi dan kawasan yang mendamaikan untuk menghasilkan penulisan yang ‘gempar’ habis!

Aktiviti permainan yang sangat digemari juga menenangkan minda.  Lihat sahaja ahli perniagaan profesional yang menggunakan aktiviti bermain golf.  Sebenarnya semasa bermain itu, mereka bukan sahaja menggunakannya untuk merapatkan hubungan sesama mereka, namun dalam masa yang sama ia dapat memberi peluang kepada minda mereka untuk merangka strategi dan tindakan selanjutnya dalam perniagaan mereka.

Apa yang paling aku suka adalah ketenangan semasa solat dan berzikir.  Hal ini adalah ketenangan yang paling tinggi dalam semua contoh ketenangan yang kuberikan.  Pada masa diri dan getaran minda berada dalam keadaan ketenangan yang tinggi inilah, masa yang sangat sesuai untuk kita mengaktifkan kuasa minda kita.  Pada ketika ini, apa sahaja yang kita bayangkan dengan jelas, akan terhasil dengan nyata.

Nantikan penerangan seterusnya….

Selasa, 4 Januari 2011

Doa dan Meditasi

Salam penuh ceria…

Catatan terakhir daripada Perbaiki Diri….

Berdoa dan bertafakkur (meditasi) adalah salah satu amalan yang sentiasa dekat dengan diri kita.  Berdoa adalah seumpama hubungan kita dengan DIA tanpa batasan.  Kita boleh berkata dan memohon apa sahaja dalam berdoa.  Apa yang pasti, doa itu mengharapkan perkara-perkara yang baik.  Tak pernah pula aku mendengar doa untuk melakukan kesalahan seperti ‘selamatkanlah kami semua semasa merompak malam ni…’  Oleh itu, aku sangat pasti, doa yang dipinta adalah untuk kebaikan sahaja.

Apabila diri kita mengalami stres atau tekanan kehidupan, maka tiada jalan lain yang terbaik untuk mengurangkannya melainkan berdoa dan bermeditasi.  Apabila berdoa, perkara pertama yang berlaku adalah kita telah menurunkan getaran otak ke peringkat yang lebih tenang.  Hati dan perasaan menjadi suci dan penuh pengharapan.  Apabila ini berlaku, maka minda akan berfungsi dengan lebih baik.  Stress dan tekanan yang dihadapi akan beransur kurang dan menghilang.  Keadaan berdoa ini sama saja konsepnya dengan bermeditasi, tafakkur, atau berzikir.  Apa yang penting adalah keadaan semasa semua aktiviti ini berlaku; menurunkan getaran otak dan menjadikan diri lebih tenang.

Ahad, 2 Januari 2011

Berserah Diri…

Salam penuh kegembiraan…

Catatan ini adalah perkara keempat untuk memperbaiki diri

hambaGambar daripada internet 

Berserah diri, bukanlah bermaksud hanya menyerah kalah kepada keadaan.  Berserah diri, adalah keadaan di mana kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu kejayaan.  Setelah semua usaha dilakukan, barulah kita menyerahkannya kepada ketentuan ALLAH Taala…  Dalam istilah lain, berserah diri dimaksudkan sebagai redha.

Dalam usaha untuk berserah diri, kita perlu terlebih dahulu melakukan perubahan diri untuk menuju ke arah kejayaan.  Bukan hanya sekadar masih berada ditakuk lama dan hanya berserah.  Seharusnya kita perlu sentiasa berusaha untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik dan berjaya.

Selain itu, jangan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri.  Impian dan perubahan diri yang hendak dilakukan jangan terlalu tinggi hingga tidak tercapai oleh diri, atau jangan terlalu rendah hingga seolah-olah tiada perubahan yang berlaku.  Jangan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri seperti rasa sesal dan marah kepada diri sendiri apabila sesuatu usaha itu tidak berjaya dilakukan.

Jangan sekali-kali menghukum diri.  Jangan rasakan diri terlalu hina kerana semua itu akan memberi pengaruh kepada minda bahawa kita telah gagal.  Sebenarnya setiap kegagalan itu adalah kejayaan kerana telah menunjukkan jalan yang dilalui adalah salah dan perlu melakukan perubahan untuk terus menuju kejayaan.

Jangan fokuskan kepada kegagalan tersebut kerana minda akan menjadi lemah.  Sebaliknya fokuslah kepada jalan penyelesaian untuk kegagalan tersebut.  Minda akan menjadi lebih berkembang dan mampu untuk melakukan perubahan.

Sebaik-baik manusia adalah orang yang sanggup berusaha untuk terus berjaya.  Dan perubahan yang dilakukan, berserahlah atas setiap hasilannya kepada ketentuan ALLAH.  Jika usaha yang dilakukan itu betul dengan niat yang betul, pasti penyerahan diri kita kepadaNya akan menjadi lebih bererti…

Sabtu, 1 Januari 2011

Fokus…

Salam penuh keriangan untuk semua…

Catatan ini adalah sambungan perkara ketiga dalam catatan Perbaiki Diri

tulisGambar daripada internet 

Minda manusia boleh menjelajah hingga ke dunia yang tidak berada di alam nyata (kecuali perkara-perkara sam’iat).  Oleh itu minda kita sangat berharga kerana ia dapat mencapai tahap impian yang sangat tinggi.

Salah satu perkara kehebatan minda terletak kepada fokus.  Apabila kita fokus kepada sesuatu, kita menumpukan sepenuh perhatian minda terhadapnya.  Apabila kita benar-benar fokus, kita akan telah meletakkan minda berada pada hasilan yang kita impikan.  Contohnya, apabila seorang pelukis fokus kepada aktiviti melukis, maka mindanya telah tergambar jelas kepada apa yang hendak dicorakkan di kanvasnya.  Itulah gambaran fokus.

Bagaimana agaknya untuk kita memiliki fokus yang baik?

Caranya, sebelum tidur, ambil sekeping kertas dan sebatang pena.  Cuba tuliskan apa sahaja perkara yang berlaku dalam kehidupan kita sepanjang hari.  Jangan tinggal satu perkara pun.  Catatan dan tulisan itu haruslah mengikut kronologi tanpa tersilap walau satu pun.  Namun, ia harus dilakukan secara terus tanpa menukar sebarang maklumat.  Sebenarnya, semasa menulis kembali apa yang berlaku itu, kita telah mengaktifkan minda untuk mengingat kembali atau fokus kepada apa yang telah berlaku. 

Mungkin pada permulaan aktiviti ini dilakukan, kita akan tertinggal sesuatu dalam catatan apa yang telah berlaku.  Atau mungkin catatan itu ditulis secara tidak kronologi (mengikut masa kejadian) kerana tertinggal sesuatu.  Tidak mengapa.  Teruskan melakukan aktiviti ini selama seminggu.  Cuba perhatikan kepada catatan kita setelah seminggu kita mengeksperimenkan aktiviti ini.  Pasti kita dapat menulis setiap perkara dalam kehidupan seharian dengan jelas dan mengikut kronologi.

Ini menunjukkan kita telah mengaktifkan minda terhadap fokus.  Banyak kebaikan jika kita berjaya melatih minda untuk fokus.  Kebaikan yang paling jelas adalah kita akan lebih berjaya, tidak kira dalam pekerjaan atau pelajaran.  Ini adalah kerana, minda kita telah berjaya dilatih untuk mengingat kembali perkara yang lalu.  Dalam hal ini, organ otak yang terletak di bahagian paling hadapan akan mengumpulkan semua kekuatan semasa aktiviti pekerjaan atau pelajaran dilaksanakan.

Cubalah aktiviti ini jika ingin melihat kesannya yang nyata…