Ahad, 16 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 7

Salam penuh kebahagiaan daripadaku untuk semua…

Lantaran ‘terperangkap’ di sebuah lokasi kerana ditugaskan untuk membuat perancangan aktiviti tahun 2011, maka aku tidak dapat menulis di sini.  Tangan terasa gatal-gatal kerana sudah lama tidak menaip.  Hanya malam tadi aku dapat sampai ke rumah dengan selamat.  Badan sudah terlalu letih, maka tidur adalah keutamaanku pada ketika itu.  Dan kini aku kembali menulis sahaja di pagi yang indah ini….

Ada seorang kawanku berkata, LOA adalah sebuah hukum yang dicipta oleh khayalan manusia.  Katanya, ini bukan hukum alam seperti hukum graviti (menurut seperti yang aku terangkan dulu).  Menurutnya, hukum graviti tidak pernah ‘gagal’, sebaliknya LOA tidak pernah berjaya dilakukan dalam kehidupannya.  Memang aku akui, kekadang kita akan merasakan seperti LOA itu tidak berjaya.  Namun, ia tidak berjaya bukan kerana hukum alam ini gagal, sebaliknya kitalah yang gagal untuk menarik sesuatu itu daripada terjadi.  Ini berdasarkan seperti yang aku jelaskan dahulu, ia berkaitan dengan cara pemikiran kita.  Jika kita masih ragu-ragu, atau kita sendiri menukarkan apa yang kita mahukan dalam proses kejayaan itu berlaku, maka segalanya akan berubah.  Lantaran itu, apa yang kita inginkan pada mulanya tidak akan berlaku.

Contohnya, jika kita meyakinkan diri, dengan berkata-kata semangat untuk berjaya cemerlang dalam PMR, kita berusaha dari segi fizikal (mengulangkaji pelajaran dan membuat latihan) dan mental (melakukan LOA).  Namun dipertengahan usaha itu dilakukan maka kita sering tertekan dan takut jika kita gagal.  Cuba perhatikan, pada ketika perasaan itu berlaku, adakah kita masih mengekalkan keyakinan itu?  Pasti sahaja jawapannya tidak.  Pada ketika itu, kita telah memikirkan kegagalan.  Maka, jika kita tidak berjaya, bukan kerana hukum LOA itu tidak berjaya.  Ia berlaku kerana kesalahan kita yang telah menukarkan ‘siaran’ tarikannya di tengah jalan.

Aku pernah bertanya kepada rakanku itu, berapa kalikah usaha yang dilakukan untuk membuktikan kebenaran LOA?  Katanya, dua atau tiga kali.  Aku katakan kepadanya bahawa, LOA adalah kaitan antara keinginan dengan kehebatan getaran kuasa minda kita untuk menarik perkara yang diinginkan itu untuk mendekati diri kita.  Aku telah jelaskan dahulu bahawa ia perlu dilatih.  Jika kita tidak melatihnya, maka pasti kita tidak akan berjaya membuktikannya akan berlaku.  Contohnya dulu, semasa kecil, tentu kita semua pernah belajar untuk menunggang basikal.  Adakah dengan sekali cubaan sahaja kita telah berjaya melakukannya?  Bagiku, setiap perkara baru yang sedang kita lakukan pasti sama seperti menunggang basikal.  Jika permulaan dulu, pasti kita pernah jatuh (gagal).  Namun semakin lama kita berlatih, maka semakin pandai kita untuk mengawalnya.  Malah ada yang benar-benar hebat hingga dapat menunggang basikal itu dengan melepaskan tangannya!

Kepada semua pembaca yang pernah mengikuti siri catatan LOA ini juga harus ingat bahawa setiap sesuatu yang berlaku itu tetap dengan keizinan ALLAH jua.  Jika apa yang kita ‘tarik’ masih belum berjaya, ini bukan bermakna kita gagal atau hukum LOA ini tidak wujud.  Kita perlu kembali semula kepada  Yang Maha Mencipta kehebatan ini.  Hanya DIA yang Maha Tahu kenapa kekadang apa yang kita mahukan itu gagal ditarik. 

Salam sayangku buat semua di pagi yang penuh semangat ini…

2 ulasan:

  1. Salam...

    Orang yang berjaya biasanya mempunyai kekuatan minda yg luarbiasa..sbb tu saya sgt berminat nak belajar kat sini..Yang penting usaha baru disusuli tawakal..

    BalasPadam
  2. Cik SHiNJU...

    Orang yang berjaya memang pasti mempunyai kekuatan minda yang hebat. Kita semua sebenarnya memiliki kekuatan minda ini sebenarnya, cuma kita yang tidak sedar dan tidak menggunakannya dengan cara yang betul.

    Mari kita sama-sama terus membincangkan perkara ini agar ia dapat menjadi satu bentuk ilmu yang sangat berguna kepada kita semua...

    BalasPadam