Salam penuh kegembiraan…
Catatan ini adalah perkara keempat untuk memperbaiki diri…
Berserah diri, bukanlah bermaksud hanya menyerah kalah kepada keadaan. Berserah diri, adalah keadaan di mana kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu kejayaan. Setelah semua usaha dilakukan, barulah kita menyerahkannya kepada ketentuan ALLAH Taala… Dalam istilah lain, berserah diri dimaksudkan sebagai redha.
Dalam usaha untuk berserah diri, kita perlu terlebih dahulu melakukan perubahan diri untuk menuju ke arah kejayaan. Bukan hanya sekadar masih berada ditakuk lama dan hanya berserah. Seharusnya kita perlu sentiasa berusaha untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik dan berjaya.
Selain itu, jangan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Impian dan perubahan diri yang hendak dilakukan jangan terlalu tinggi hingga tidak tercapai oleh diri, atau jangan terlalu rendah hingga seolah-olah tiada perubahan yang berlaku. Jangan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri seperti rasa sesal dan marah kepada diri sendiri apabila sesuatu usaha itu tidak berjaya dilakukan.
Jangan sekali-kali menghukum diri. Jangan rasakan diri terlalu hina kerana semua itu akan memberi pengaruh kepada minda bahawa kita telah gagal. Sebenarnya setiap kegagalan itu adalah kejayaan kerana telah menunjukkan jalan yang dilalui adalah salah dan perlu melakukan perubahan untuk terus menuju kejayaan.
Jangan fokuskan kepada kegagalan tersebut kerana minda akan menjadi lemah. Sebaliknya fokuslah kepada jalan penyelesaian untuk kegagalan tersebut. Minda akan menjadi lebih berkembang dan mampu untuk melakukan perubahan.
Sebaik-baik manusia adalah orang yang sanggup berusaha untuk terus berjaya. Dan perubahan yang dilakukan, berserahlah atas setiap hasilannya kepada ketentuan ALLAH. Jika usaha yang dilakukan itu betul dengan niat yang betul, pasti penyerahan diri kita kepadaNya akan menjadi lebih bererti…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan