Salam penuh semangat buat semua…
Masih ingat dengan penerangan berkenaan ketakutan normal yang membawa kebaikan dan ketakutan tidak normal yang membawa keburukan? Jika masih ingat, maka nilailah sendiri, bagaimana keadaan diri kita. Nilai berkenaan tahap ketakutan yang ada dalam diri kita berada pada keadaan normal atau tidak….
Suatu masa dahulu, aku sendiri adalah seorang yang penakut. Dalam erti kata lain, aku memiliki terlalu banyak rasa takut tidak normal dalam diriku. Seperti mana yang kita telah fahami bahawa, takut tidak normal adalah hasil rangsangan dan didikan diri untuk membentuk rasa takut tersebut. Ia boleh berlaku hasil daripada perhubungan dengan orang sekeliling kita, dan juga fakktor persekitaran.
Seperti kanak-kanak lain, aku sering dimomokkan dengan hantu, jembalang, dan sebagainya membuatkan aku sangat takut kepada keadaan gelap. Jika berada dalam keadaan gelap, mulalah aku akan membayangkan pelbagai jenis lembaga misteri yang menakutkan. Kekadang, jika tinggal seorang di rumah (kerana ibu sekeluarga ada urusan di mana-mana) maka aku akan memasang semua lampu yang ada, bermula dari lampu halaman rumah, lampu bilik, lampu ruang tamu dan dapur, lampu bilik mandi, malah lampu pintu belakang. Kemudian aku akan duduk di hadapan televisyen, memasangnya dengan kuat sambil memegang batang penyapu (bersiap sedia untuk mempertahankan diri le tu..!) Keadaan ini berlanjutan hinggalah aku berusia belasan tahun. Malu juga rasa jika ada yang tahu aku takutkan kegelapan, tapi itulah keadaan diriku pada ketika itu.
Suatu hari, kerana situasi keluarga aku yang terpaksa berpindah-randah (mengikut lokasi tugas ayahku), maka aku disuruh untuk tinggal bersama dengan datukku. Pada ketika itu aku baru sahaja masuk ke tingkatan 1. Maka terbongkarlah rahsia sifat diriku yang penakut yang selama ini aku simpan kemas sebagai rahsia diriku. Arwah datukku berkata; jika kita mahu hilangkan rasa takut itu, maka kita perlu terlebih dahulu menghadapinya.
Kata-kata itu tersimpan kemas dalam ingatanku hinggalah pada suatu hari, datukku mengarahkan untuk aku menguji tahap keberanianku dengan duduk berseorangan di dalam gelap. Terus terang aku katakan yang aku hanya mampu untuk menghadapi kegelapan itu hanya selama setengah jam sahaja. Namun, setiap malam aku dipaksa untuk berada dalam bilikku dalam keadaan yang gelap. Hinggalah akhirnya aku berani untuk berada dalam bilik yang gelap.
Kusangkakan hanya itulah sahaja cara datuk untuk memberanikan aku. Sangkaanku ternyata salah kerana aku disuruh pula untuk berada di luar rumah pada malam-malam berikutnya. Apa yang mampu aku ceritakan di sini adalah keadaan diriku yang semakin lama semakin berani untuk berada di mana sahaja. Keadaan ini akhirnya menjadikan aku lebih berani dan bersedia untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang mendatang.
Setelah aku mempelajari ilmu berkenaan kuasa minda dan sains minda ini, maka aku dapat simpulkan bahawa; kita yang merangsang minda kita untuk menjadi takut terhadap sesuatu. Dan untuk menghilangkan rasa takut yang telah berjaya kita semat dalam diri itu adalah dengan merangsang pula minda kita untuk menjadi berani dengan berhadapan dengan apa yang kita takutkan. Apabila minda kita sudah bersedia dengan rangsangan yang baru, maka maklumat lama (berkenaan rasa takut kepada sesuatu itu) telah berjaya dihapuskan dan kita akan menjadi lebih berani.
Segalanya terletak pada minda kita sendiri….kuatkan minda kita maka kita akan menjadi seorang yang sangat hebat…
kite akn jadi berani bila kite berada di critical point...
BalasPadamkite akan tahu kekuatan kite masa tu...