Ahad, 9 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 3

Salam penuh keceriaan buat semua…
Masih ingat dengan kisah Aiman Hanafi..?
Sebenarnya, penerangan berkenaan LOA bukan ada pada budak kreatif bernama Aiman tersebut.  Tetapi, LOA berlaku kepada Pak Hanafi (lakonan Aflin Shauki).  Apa yang ditunjukkan dalam klip iklan tersebut adalah Pak Hanafi sering melihat kepada gambar motosikal berkuasa tinggi dalam bekas tin simpanan wangnya.  Sebenarnya, apabila kita sering melihat kepada sesuatu objek, atau gambar, atau tulisan tertentu, yang sesuai dengan kehendak dan keinginan kita, maka di sinilah berlakunya LOA.  Semasa melihat sesuatu yang kita ingin miliki, dalam masa tersebut kuasa minda akan mengaktifkan tenaga bahawa kita inginkan perkara itu hadir dalam kehidupan kita.
Lantaran itu, walaupun Pak Hanafi tidak mampu untuk membeli motosikal berkuasa tinggi, namun ada ketikanya lalu sebuah motosikal yang diidamkan itu di hadapannya.  Malah, semakin kuat gambaran mental dan imaginasinya terhadap perkara itu membuatkan pada suatu ketika, anaknya sendiri (Aiman) pulang dengan menghadiahkan kepadanya motosikal yang diidamkan selama ini.
Dalam situasi ini menunjukkan, semakin kuat keinginan kita, semakin kuat imaginasi kita, semakin kuat kita bervisualisasi, atau dalam bahasa mudahnya, semakin kuat kita berangankan untuk memiliki sesuatu, maka akhirnya ia akan direalisasikan dalam kenyataan hidup kita.
Alangkah indah dan hebatnya jika Pak Hanafi dapat mengetahui tentang hal ini dari awal.  Maka tentu dia dapat melakukan imaginasi dan visualisasi terhadap perkara-perkara lain yang lebih hebat dari awal, seperti membayangkan dia memiliki sebuah kedai buah di bandar yang mampu menjana kejayaan dalam perniagaannya dengan lebih hebat.  Pasti kehidupan mereka sekeluarga tidak terlalu sempit hingga terpaksa menolak semua permintaan anaknya.
Alangah indah dan hebatnya, jika kita sendiri tahu dan faham dengan hukum tarikan ini / LOA, hingga kita dapat membayangkan kejayaan kita dengan lebih baik dan berjaya.
Cuba perhatikan, jika kita baru sahaja berpindah ke sebuah kawasan baru kerana mendapat kerja.  Dalam masa yang sama kita tercari-cari sebuah rumah sewa yang sesuai dan berdekatan dengan tempat kerja tersebut.  Ada yang dari awal merasakan sangat ragu dengan kejayaan untuk mendapat rumah sewa dengan mudah.  Apabila kita meragukan dan membayangkan susahnya untuk mendapat rumah sewa di kawasan itu, maka kita telah mengaktifkan tenaga untuk menarik keraguan itu.  LOA akan bekerja dan membuatkan semua usaha kita mendapat rumah sewa tidak berjaya.
Contoh mendapatkan rumah sewa ini aku berikan berdasarkan apa yang aku pernah lalui suatu ketika dahulu.  Lebih kurang empat tahun lalu, aku berpeluang untuk melanjutkan pelajaran (dalam masa yang sama cuti dengan bergaji, alhamdulillah).  Tempat pembelajaran itu memang sebuah tempat yang sangat padat dengan penduduk hingga dari awal lagi semua orang mengatakan bahawa kawasan tersebut sukar untuk mendapatkan rumah sewa.  Namun, aku bulatkan hati dan semangat.  Lebih kurang seminggu sebelum melapor diri, aku telah mengaktifkan kuasa penarikan daripada kuasa minda dalam diriku.  Aku sering bayangkan bagaimana mudahnya aku menemui seseorang dan berjaya mendapat sebuah rumah sewa.
Dalam bayangan imaginasiku itu, aku bayangkan dengan jelas bertemu dengan seorang lelaki tua, aku bayangkan aku membayar sejumlah wang kepadanya, aku bayangkan lelaki tua itu menyerahkan kunci kepadaku, dan aku bayangkan menggunakan kunci itu untuk membuka sebuah rumah dan masuk, dan tidur di dalamnya…..  Aku bayangkan perkara itu dengan penuh semangat dan penuh emosi (rasa seronok dan bersyukur). 
Pada hari melapor diri, aku berkenalan dengan beberapa orang rakan yang turut sama mencari rumah sewa.  Setelah selesai semua urusan, maka kami memulakan misi untuk mencari rumah sewa yang berdekatan.  Kebetulan ketika itu hampir masuk waktu Zohor, maka kami mengambil keputusan untuk solat di masjid terlebih dahulu.  Selesai bersolat, ada seorang lelaki bertanyakan kami (kerana seperti asing di kawasan tersebut).  Dalam percaya dengan tidak, rupanya lelaki itu ada sebuah rumah sewa yang baru sahaja penghuninya perpindah minggu lepas.  Maka terjadilah terus apa yang aku bayangkan.
Lihatlah, betapa mudahnya (dengan ketentuan ALLAH jua), kuasa minda manusia menarik apa yang kita inginkan menjadi kenyataan.  Inilah LOA.  Inilah hukum penarikan.  Inilah kehebatan kuasa minda manusia yang dianugerahkanNya kepada kita.  Dan percayalah, kita semua mampu untuk menarik apa sahaja yang kita inginkan.
Ikuti sambungannya….

3 ulasan:

  1. Ooo...dah faham LOA nih...
    Thanks..sangat2 bermanfaat...
    Kdg2 rase putus asa sebelum mencuba akan menggagalkan impian kita..Sebaiknya terus berfikir utk mendapatkan ape yg kita nak..kan?

    BalasPadam
  2. Cik SHiNJU...

    Itulah yang dikatakan manusia mampu menarik sesuatu. Seperti hukum graviti yang saya pernah katakan dahulu. Tetapi, dalam LOA, manusia adalah graviti tersebut.
    Jika kita memikirkan tentang kejayaan, maka kejayaanlah yang ditarik kepada kita. Begitu juga jika sebaliknya...
    Nantikan penerangan berkenaan emosi manusia mempengaruhi LOA selepas ini...

    BalasPadam
  3. betul2..sy stuju sngt dgn saudara..
    apa yang kita pikirkan itu la yg kita dpt kan .:)

    BalasPadam