Sabtu, 22 Januari 2011

Bernafas

Salam penuh kedamaian buat semua…

nafas  Gambar daripada internet

Pertama sekali, marilah sama-sama kita mengucapkan syukur kerana kita masih lagi bernafas hingga saat ini.

Bernafas adalah salah satu keperluan asas dalam kehidupan, baik manusia, mahupun haiwan dan tumbuhan.  Pernahkah kita memikirkan betapa kasih dan sayangnya ALLAH kepada kita semua dengan menyediakan udara untuk bernafas ini tanpa had, malah udara itu diberikan percuma.

Hari ini, aku ingin membicarakan suatu perkara berkenaan teknik pernafasan, dan hubung kaitnya dengan kehebatan minda manusia.

Cuba kita lihat cara pernafasan kita.  Pada kebiasaannya kita akan bernafas dengan tenang, sekata,  dan mendatar.  Namun keadaan pernafasan itu mungkin akan menjadi lebih singkat apabila kita berada dalam keadaan yang tertekan.  Contohnya apabila kita marah, atau sedih, atau terkejut.  Pada situasi runcing seperti itu, kita akan bernafas dengan kadar yang lebih singkat berbanding pernafasan biasa.

Cuba pula kita amalkan satu teknik pernafasan yang telahpun dipelopori oleh orang-orang tua Melayu dahulu.  Teknik pernafasan ini dikaitkan dengan mengumpulkan tenaga dalaman.  Caranya; tarik nafas dalam-dalam dengan tenang, dalam kiraan 7 saat.  Pada ketika nafas ditarik, bayangkan peparu kita dipenuhi dengan udara yang segar.  Bukan sahaja kita penuhkan paru-paru dengan nafas, malah udara yang disedut memenuhi rongga perut  (pastikan anda melakukan teknik ini sejam setelah anda makan untuk mengelakkan tindak balas yang lain).

Udara yang telah dipenuhkan dalam paru-paru dan perut itu ditahan selama 7 saat juga.  Cuba bertenang dan fokus.

Kemudian, hembuskan nafas itu melalui mulut secara perlahan-lahan dan tenang selama 7 saat lagi.

Tahan diri daripada terus menyedut nafas selama 7 saat.  Tenangkan diri.  Fokus kepada apa yang kita lakukan.  Setelah 7 saat berlalu, barulah kita tarik semula nafas selama 7 saat, menjadikan nafas kita itu dalam ‘set kedua’.  Ulang kaedah dan teknik ini sebanyak 10 set.

Peringatan; lakukan dengan tenang, jangan terlalu memaksa.  Jika kita tidak mampu untuk menahan diri daripada menarik dan menahan nafas selama 7 saat, kita boleh kurangkan menjadi 5 saat.  Lakukan beberapa hari sehingga kita mampu untuk menambah masa detik pernafasan itu menjadi 7 saat.  Aktiviti ini sesuai dilakukan pada waktu pagi, dan malam sebelum tidur.

Catatan berikutnya akan dijelaskan tentang teknik ini dan hubung kaitnya dengan kuasa minda manusia.

2 ulasan:

  1. SALAM,
    TERIMA KASIH ATAS PERKONGSIAN

    BalasPadam
  2. Ass-salam dear sweet Tinie
    wishing you every happiness...and awonderful week ends.

    BalasPadam