Jumaat, 18 Mac 2011

Sedekah Kerana ALLAH…

Salam penuh kasih sayang, semoga kita semua terus mendapat rahmat ALLAH Taala…

sedekah Gambar daripada internet

Sedekah, adalah salah satu bentuk amalan yang dianjurkan dalam Islam.  Bersedekah adalah memberikan apa yang lebih daripada kita kepada orang lain yang memerlukan.  Dalam konteks asasnya, sedekah digambarkan sebagai memberikan sumbangan kewangan kepada seseorang atau institusi.  Pastinya, perkara yang baik dengan niat yang baik akan dibalas dengan ganjaran yang baik juga.

Dalam ilmu sains kuasa minda, sedekah adalah salah satu bentuk perkara baik yang akan menarik kebaikan.  Konsepnya mudah, apabila kita memberi maka kita telah membentuk dalam minda kita bahawa kita mampu.  Mampu di sini bererti kita memiliki kekayaan yang boleh dikongsikan dengan orang lain.  Lantaran itu, wujud rasa kemampuan dan kekayaan itu dalam minda.  Hal ini akan menyebabkan getaran rasa dalam diri tentang kekayaan yang boleh dikongsi itu.  Apabila ada rasa getaran kekayaan itu, maka kekayaan yang lebih besar akan ditarik kepada kita. 

Cuba kita perhatikan dengan mudah dan jelas, apabila kita memberi derma atau sedekah kepada sesiapa (contoh paling mudah menderma untuk masjid pada hari Jumaat), adakah kita akan merasa kekurangan dalam diri?  Adakah kita akan merasakan kurang RM10 dalam nilai pendapatan kita hari ini jika kita menderma atau bersedekah?

Rasanya, perasaan itu tidak akan wujud, jika kita bersedekah kerana ALLAH.  Rasa yang ada adalah rasa yang sangat harmoni dalam diri yang sukar untuk kita jelaskan.  Malah, sedar atau tidak, rezeki yang kita ada pasti akan bertambah setiap kali selepas kita bersedekah.  Rezeki yang dimaksudkan bukan hanya dari segi wang ringgit, malah meliputi segalanya.  Contohnya ada yang mengundang untuk makan bersama, bertemu dengan kenalan yang sudah lama terpisah dan akhirnya melalui pertemuan itu kita mendapat tender baru, terelak daripada musibah dan bencana, dan sebagainya.  Semua contoh di atas kuberikan berdasarkan pengalamanku sendiri.  Itulah contoh rezeki bertambah kesan daripada kita bersedekah.

Persoalannya sekarang, amalan ini harus berlaku dengan niat kerana ALLAH.  Berapa ramai antara kita yang mampu untuk merasakan apa yang kita sedekahkan itu untuk ALLAH dan kerana ALLAH. 

Hal ini aku nyatakan kerana satu peristiwa yang berlaku pagi tadi.  Kejadian berlaku di hadapan sebuah bank di bandar tempat aku tinggal sekarang.  Di kawasan itu terdapat dua buah bank yang terletak berhadapan antara satu sama lain.  Yang memisahkan kedua-duanya adalah sebatang jalan utama yang agak sibuk.  Di hadapan bank yang aku maksudkan tadi ada seorang lelaki berpakaian baju Melayu dan berserban.  Usianya dalam lingkungan 30-an.  Dia duduk di situ dengan tong peti derma untuk memungut bantuan mendirikan masjid.  Apa yang menarik perhatianku adalah tindakannya yang agak ‘memaksa’ untuk orang yang keluar daripada bank itu untuk menghulurkan derma.  Malah ada yang diekori hingga beberapa meter sambil terus merayu dan memujuk.  Ada yang akhirnya ‘terpaksa’ memasukkan derma kerana terus diekori dan dipujuk.

Di sinilah persoalannya.  Adakah orang yang akhirnya memasukkan wang ke dalam tong derma itu menderma dan bersedekah kerana ALLAH, atau kerana terpaksa?  Pernahkah ia berlaku kepada anda?

Apa yang lebih menarik lagi adalah tindakan seorang lelaki yang agak berumur yang memarahi tindakan lelaki pengutip derma itu.  Dari jauh aku memerhati dan mendengar lelaki tua itu memarahi dan tidak setuju dengan cara lelaki pengutip derma itu.  Kata lelaki tua itu, dia telah menderma semasa berada di bank di seberang jalan tadi kepada lelaki itu, dan sekarang apabila dia berada di bank ini, lelaki itu masih meminta-minta tanpa rasa segan dan silu. 

Selepas kejadian itu, lelaki pengutip derma itu terus beredar ke kawasan parking kereta (di bahagian belakang bank).  Entah kenapa, aku masih mengekori lelaki itu dan memerhati dari jauh.  Lelaki itu tiba di kereta dan bersamanya di dalam kereta itu 3 orang lagi rakannya yang turut berpakaian sama.  Pada andaianku pastinya mereka juga pemungut derma yang berada di kawasan sekitarnya.  Apabila mereka terpandang aku yang sedang memerhati dari jauh, mereka pantas beredar dari situ.

Kejadian ini benar-benar membuatkan aku terfikir.  Pertama, ikhlaskah kita bersedekah jika terus dipanta dan ditunggu di hadapan bank?  Kedua, kenapa kumpulan lelaki itu beredar pantas sambil memandang-mandang aku dengan penuh curiga apabila menyedari aku memerhatikan mereka?

Apapun, aku harapkan mereka semua benar-benar memungut derma untuk membina masjid dan semoga terus mendapat berkat daripada ALLAH kerana pengorbanan mereka itu.  Aku juga berharap agar sedekah dan derma daripada orang ramai akan terus mendapat limpah rahmat daripada ALLAH walaupun kekadang secara terpaksa untuk menderma…

3 ulasan:

  1. bersedekah boleh membuat kita sedar bahawa hidup kita ni sebenarnya berkomuniti. takkan nak biarkan ada org mati tak makan sedangkan kita mampu memberi sumbangan kan?

    BalasPadam
  2. Salam gB...

    Memang tepat sekali. Apabila kita memberi sedekah pasti ada yang menerima. Dan yang menerima itu pastinya orang yang memerlukan. Di situlah letaknya nilai seorang yang memberi sedekah apabila dia dapat merasakan perasaan berkongsi dengan orang lain...

    BalasPadam
  3. Terima Kasih di atas perkongsian ilmu ini..Sedekah kerana Allah memberi impak yg besar ke dalam Jiwa kita...contohnye nikmat ketenangan Jiwa yg sukar di ucap dgn kata2, dan Allah akan menggandakan semula nilai yang kita telah sedekahkan...Alhamdulillah...

    BalasPadam