Salam kebahagiaan buat semua…
Hari ini aku ingin menceritakan dua kisah yang pernah aku lalui yang ada kaitannya dengan ‘percaya dan yakin’.
Cerita 1
Kisah ini berlaku semasa aku kecil lagi. Pada waktu itu umurku dalam lingkungan enam atau tujuh tahun. Aku tinggal dan dijaga oleh datukku (kupanggil aki) kerana pekerjaan bapaku sebagai tentera yang perlu sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain secara kerap. Memang kehidupan aku bersama dengan aki dan opah sangat bahagia. Aku sangat dimanjakan opah… Namun aki sangat tegas dalam mendidik. Walaupun tegas, namun dia masih sangat lembut dan mendidik dengan cara yang berhemah.
Aki seorang guru silat dan guru Al-Quran di kampung itu. Setiap petang kanak-kanak di kawasan itu akan memenuhi ruangan rumah untuk belajar mengaji. Pada sebelah malamnya pula selepas Isyak membawa ke lewat malam, halaman rumah akan dipenuhi oleh anak-anak muda untuk belajar silat. Pada ketika itu, aku belum dibenarkan belajar silat bersama-sama mereka. Kata Aki, aku masih terlalu kecil. Pun begitu, aku dibenarkan untuk berada di gelanggang.
Cerita bermula apabila ada seorang guru silat (aku tidak ingat namanya dan kampungnya) datang ke rumah Aki dan mencabar Aki. Guru silat yang angkuh itu mendakwa dia memiliki kekebalan kerana memakai sejenis tangkal dari dunia makhluk halus. Dengan mata kepalaku ini, aku dapat menyaksikan sendiri bagaimana beberapa orang pengikutnya menetak berkali-kali seluruh badan guru silat itu. Namun, tiada sebarang luka yang kelihatan. Guru silat itu berkata bahawa tiada siapa dapat melukakannya walau dengan apa cara sekalipun. Berkali-kali dia mencabar Aki untuk melakukan sesuatu agar dia terluka. Setelah didesak dan dipaksa berkali-kali, maka Aki bersetuju untuk menikamnya. Aku sangat pasti tentu sahaja tikaman Aki tidak berkesan apa-apa kerana kehebatan yang sudah jelas dipertontonkan tadi.
Dengan tenang aku lihat Aki membacakan sesuatu ke semangkuk air dan dicelupkan kerisnya. Sambil ketawa angkuh, guru silat tadi meminta Aki menikamnya di mana-mana sahaja anggota badannya. Aki lihat Aki menikam di bahagian lengan kanan guru silat itu. Tanpa disangka, guru silat tadi menjerit dan meraung. Keris Aki jelas terpacak dilengan guru silat itu. Dipendekkan cerita, guru silat itu dan pengikutnya pulang semula ke tempat mereka setelah gagal dalam menunjukkan kehebatan kekebalan mereka.
Aku bertanya kepada Aki, apa yang dibaca pada mangkuk air sebelum dicelupkan keris yang digunakannya itu. Kata Aki, dia membacakan ‘Bismillah hirrahmanir rahim’.
Cerita 2
Sewaktu mula-mula bergelar guru dahulu, aku ditempatkan di sebuah kawasan pedalaman di negeri Pahang. Kawasan itu adalah kawasan penempatan orang Asli. Biasanya, orang Asli di kawasan itu memang sangat kuat dengan pegangan dan kepercayaan mereka, baik dari segi corak hidup, budaya, mahupun agama. Bagi mereka, guru-guru yang datang hanyalah sekadar orang yang akan datang dan pergi, saling bertukar ganti apabila tiba masanya. Bukan bermaksud mereka tidak menghormati guru, namun bagi mereka guru seperti ‘orang luar’ dan mereka perlu melayan guru sebagai orang luar.
Sifat mereka yang terlalu ‘berhati-hati’ dengan ‘orang luar’ ini memang perlu untuk menghadapi cabaran kehidupan mereka yang kian terhimpit. Namun, sikap mereka kekadang menjengkelkan. Bagi kami, seolah-olah semuanya serba tidak kena. Pandangan mereka kepada kami seperti datang membawa bencana kepada masyarakat mereka (tidak semua, hanya sebahagian daripada mereka berpandangan begitu).
Suatu hari, ada sebuah keluarga mendapat musibah, anak kecil keluarga itu yang berusia 3 tahun diserang demam panas yang agak lama. Beberapa siri perawatan dengan bersewang telah dilaksanakan hingga namun tidak memberi kesan. Biasanya apabila bersewang dan masih tidak sembuh maka ada ritual tertentu perlu dilakukan di hutan untuk menghalau gangguan itu (mengikut kepercayaan mereka). Bagi kami guru-guru baru di situ sudah sepakat hendak mengikut untuk melihat dengan lebih dekat upacara yang akan dilaksanakan pada malam itu.
Pada petang itu, semasa sedang berehat di hadapan rumah guru, aku terpandang beberapa orang lelaki dan perempuan sedang menghampiri rumah kami. Semakin hampir, aku dapat kenali merekalah keluarga yang sedang bersedih itu. Kedua suami isteri itu mendukung anak yang sedang demam dan diiringi beberapa orang jiran mereka. Aku memang sangat terkejut kerana mereka datang ke situ untuk meminta kami (muslim) berdoa kepada ALLAH agar anak itu sembuh dan selamat semasa ritual itu yang akan dilaksanakan pada malam itu. Kami semua saling berpandangan dan tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Kemudian, seorang rakanku yang lebih berumur antara kami meminta kami mengambil wuduk masing-masing. Dia membawa semangkuk air dan menyuruh kami berkumpul di hadapan mangkuk air itu. Kami membawa bersama-sama surah Alfatihah dan berzikir. Air itu kami serahkan kepada pasangan itu yang terus melihat perlakuan kami sejak tadi. Air itu diminum dan disapukan ke kepala anak yang sakit itu.
Maghrib itu, sesudah aku solat, aku terdengar pasangan itu datang lagi. Kali ini mereka datang untuk mengucapkan terima kasih. Dengan izin ALLAH, rupanya air tawar kami tadi memang menjadi. Walaupun kami tidak belajar sebarang ilmu perawatan, namun dengan keyakinan bahawa apa yang dilakukan itu akan memberi kesan, dan dengan kehendakNya jua, maka terhasillah air penawar yang mujarab daripada kami.
betul2...
BalasPadamkalu yakin, insyalah Allah tolong kita..
kn?
bagusnya cerita ni. sangat hebat kuasa Allah.
BalasPadam