Ahad, 27 Mac 2011

Bercakap Dengan Diri Sendiri

Salam penuh kemakmuran…

Aku menulis catatan ini setelah pulang daripada satu aktiviti pendidikan luar.  Sepanjang minggu yang lalu, aku berkampung di Setiu kerana menguruskan satu aktiviti Perkhemahan dan Ujian Kenaikan Pangkat TKRS Peringkat Negeri Terengganu.  Dalam perkhemahan ini dikumpulkan pasukan terbaik dari setiap daerah di negeri Terengganu untuk melaksanakan ujian kenaikan pangkat, bermula dari 23 hingga 26 Mac yang lalu.

Ujian yang dilaksanakan adalah seperti ujian bertulis, ujian kawad kaki berkumpulan dan individu, ujian orientering, ujian bantu mula, ujian kecergasan dan aktiviti air.  Aku dapat perhatikan, setiap peserta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap ujian kerana ujian ini akan menentukan sama ada mereka layak untuk dinaikkan ke pangkat Sarjan TKRS atau hanya kekal sebagai Koperal TKRS.

Apa yang menarik perhatianku adalah tindakan salah seorang daripada peserta yang sering bercakap sendiri.  Pada mulanya aku terpandang peserta itu yang sering terkumat-kamit, kemudian matanya terpejam, kadang-kala aku melihat dia bertepuk tangan dan menggenggam tangannya dengan bersemangat.  Aku cuba mendekatinya tanpa disedari.  Sampai satu ketika, aku dapat menghampirinya dari belakang.  Aku mendengar samar-samar kata-kata yang diucapkan.  Rupanya dia bercakap dengan dirinya sendiri.  Dia berkata-kata seperti memberi semangat kepada dirinya sebelum sampai gilirannya untuk melaksanakan ujian.  Kemudian dia bertepuk tangan seolah-olah bergembira dan memejamkan mata; mungkin membayangkan kejayaan yang dikatakan tadi.

Mengikut ilmu sains kuasa minda, aktiviti ini adalah satu perkara yang dilakukan untuk menaikkan semangat dan menguatkan mental.  Dengan kata-kata semangat yang diberikan kepada diri sendiri, kita telah membentuk satu getaran perasaan yang sangat hebat.  Keadaan ini menghasilkan rasa dalam diri bahawa kita mampu untuk melakukannya.

Perbuatan bertepuk tangan juga akan menghasilkan getaran itu.  Apabila bertepuk tangan, memberi isyarat tentang kejayaan.  Maka selepas berkata-kata dengan diri sendiri dan bertepuk tangan, kita telah membentuk rasa berjaya.

Memejamkan mata boleh dikaitkan dengan aktiviti visualisasi.  Visualisasi atau gambaran mental adalah aktiviti otak yang dilakukan untuk menghasilkan gambaran kejayaan yang diinginkan.  Otak akan menghasilkan imej dan gambaran visual seperti berjaya menghasilkan sesuatu ujian.

Dalam perkhemahan dan ujian ini, seramai 57  orang daripada 317 orang peserta, telah berjaya dinaikkan pangkat kepada Sarjan TKRS.  Dan salah seorang daripadanya adalah peserta yang aku maksudkan itu.

Tahniah kepada semua peserta, dan semoga berjaya pula di peringkat kebangsaan nanti yang akan dilaksanakan di Negeri Sembilan tidak lama lagi.

2 ulasan:

  1. Kira bg semangat ke diri sendiri la kan..
    Salu gak wat gitu..huhuh..

    BalasPadam
  2. Cik Shinju...

    Memang tepat sekali. Perbuatan itu memang untuk bagi semangat kepada diri sendiri. Dalam masa yang sama, ia merangsang minda untuk menjadi lebih hebat dan mengekalkan kehebatan itu hingga apa yang kita inginkan akan berhasil.

    BalasPadam