Salam keceriaan buat semua….
Berbicara tentang sedekah mengingatkan aku kepada sebuah hadis nabi. Maksudnya lebih kurang begini ;
Apabila mati seseorang itu maka terputuslah semua amalannya kecuali 3 perkara iaitu (1) doa anak yang soleh, (2) ilmu yang bermanfaat, dan (3) sedekah jariah.
Ini menjelaskan, walaupun kita telah meninggal, pahala amalan sedekah itu akan terus berkekalan dan menjadi penyumbang kepada modal kita di sana. Suatu masa dahulu, aku pernah bertanya dengan Aki (datukku), bagaimana amalan sedekah jariah itu dapat memberi kebaikan yang berterusan, sedangkan kita hanya melakukannya sekali sahaja.
Aki memberi contoh begini ;
Apabila masjid di kampung kami rosak sedikit di bahagian tepi (akibat ditimpa pokok yang tumbang), maka ramailah yang memberi sedekah dan sumbangan untuk membaiki masjid tersebut. Wang yang ada digunakan untuk membeli atap, paku, kayu, dan sebagainya. Maka dapatlah jemaah di kampung itu menunaikan solat semula di masjid tersebut.
Kata Aki, di sinilah pahala berkali-kali ganda itu akan bermula. Apabila rosak, jemaah merasa susah untuk bersolat di situ. Masjid pun mungkin akan mengalami kerosakan yang lebih banyak apabila dimasuki air hujan. Namun, dengan sedekah yang diberikan oleh orang kampung dan masjid itu berjaya dibaiki, maka memberi kesenangan kepada orang kampung. Selagi mana kesenangan itu dapat dirasai, maka selagi itulah pahala akan terus mengalir masuk ke dalam ‘akaun’ si pemberi sedekah tadi.
Inilah gambaran sedekah dan pahalanya yang diberikan oleh Aki. Aku yang ketika itu masih kanak-kanak, antara faham dengan tidak. Namun sekarang aku sudah faham.
Suatu ketika dahulu, aku pernah terbaca penerangan berkenaan dengan sedekah ini ;
Apabila seseorang itu meninggal, jasad itu akan mula didatangi oleh dua orang malaikat yang akan menyoalnya setelah orang-orang yang mengkebumikannya meninggalkan kawasan perkuburan. Dua malaikat itu akan datang melalui atas kepala jasad namun terhalang oleh satu pelindung. Kata pelindung itu, ‘jangan kau ganggu jasad ini kerana dia mengerjakan solat dan aku adalah solat yang dikerjakannya dahulu’
Maka bergeraklah dua malaikat itu ke sebelah kanan namun turut terhalang. Halangan sebelah kanan mayat adalah melalui amalannya berpuasa.
Bergerak pula malaikat ke sebelah kiri namun terhalang dengan amalan zakat.
Dan akhir sekali kedua malaikat itu cuba datang daripada arah kaki. Ketika itu keduanya turut terhalang dengan satu bentuk pelindung. Kata pelindung itu, ‘jangan kau ganggu jasad ini kerana ia melakukan sedekah dan aku adalah sedekah yang dilakukannya dahulu’.
Maka akhirnya duduklah dua malaikat tadi di hujung kepada sambil berseru agar jenazah itu duduk kekal abadi di situ hingga hari kiamat kerana terselamat dek semua amalannya di dunia. Bersyukurlah jika kita berjaya melaksanakan semua amalan yang dituntut dan amalan itu berjaya menjadi pelindung kita nanti, dan salah satu daripadanya adalah sedekah…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan