Sabtu, 17 September 2011

Sakit jiwa…

Salam kedamaian buat semua…

Hari ini, KM berkelapangan untuk ke pasar.  Setelah sekian lama tidak ke pasar (kecuali ke pasar malam) maka hari ini KM ke pasar Dungun.  Hasrat di hati nak cari bahan mentah untuk memasak Nasi Daging.  Baru-baru ni, sewaktu pulang ke kampung (akhir Ramadhan), KM tak berkesempatan untuk menikmati nasi ini, mungkin kerana bulan puasa hingga menyebabkan ramai pengusaha yang tidak menyediakannya kerana lebih tertumpu kepada masakan lauk-pauk atau kuih-muih.

Semasa di pasar Dungun tadi, KM terdengar suasana sedikit kecoh.  Datangnya kekecohan ini daripada seorang yang kurang siuman @ gila.  Kasihan pun ada, marah pun ada.  Apa tidaknya, dia bertindak mengganggu orang ramai yang berada di situ.  Bermula dengan menegur semua orang yang lalu lalang, dan apabila tiada respon dia mula ‘naik angin’.  Kata-kata kesat dan kotor mula dihemburkannya kepada orang ramai yang ada di situ.  Mujurlah lelaki kurang siuman itu hanya bising-bising sahaja tanpa menggunakan gangguan berbentuk fizikal.  Jika tidak, pasti lebih kecoh lagi.

KM hanya memerhatikan lelaki itu dari jauh.  Penampilannya biasa sahaja, lengkap berpakaian.  Namun kerana tindakannya yang meracau dan bertempik, menyebabkan semua orang senang untuk mengenalpasti bahawa dia adalah orang kurang siuman.  Satu yang menarik perhatian KM adalah dia merepek dengan tema Hari Malaysia…!  Dia berbicara seorang diri tentang kemerdekaan negara.  Menyanyi-nyanyi lagi patriotik ‘Inilah Barisan Kita’ dan ‘Saya Anak Malaysia’, diselang seli dengan lagu-lagu jiwang era 80-an.  Suaranya sedap dan ada gaya, tapi sayang….

KM terfikir, apakah agaknya yang dia rasa sekarang?  Apa sebenarnya yang bermain di mindanya?  Kasihan….memang kasihan.

Minda dikurniakan ALLAH kepada kita semua.  Namun, bagi orang seperti lelaki itu, minda sudah tidak dapat berfungsi sepenuhnya.  Ini adalah akibat gangguan saraf atau kerosakan yang berpunca daripada masalah luaran atau dalaman.  Mungkin jika diubati, lelaki itu atau siapa sahaja yang menderita sakit jiwa masih boleh dibantu.  Namun tidaklah keseluruhannya.  Minda yang rosak perlu diperbaiki orang diri kita sendiri.

Suatu masa dahulu, semasa KM pernah bertugas di Kuala Lipis, ada seorang perempuan yang kurang siuman.  Dia berkeliaran di bandar Lipis, terutama di kawasan stesen bas dan stesen kereta api.  Perempuan itu yang dikenali dengan panggilan Ana Lipis (dengar kata sudah meninggal beberapa tahun lalu) mempunyai sejarah silam penderitaan jiwa yang sangat teruk.  Kerana terlalu memikirkan masalahnya dan akibat tekanan yang sangat hebat menyebabkan dia menjadi gila.

Suatu ketika, KM pernah terserempak dengan Ana Lipis di stesen kereta api (pengangkutan ke tempat bertugas menggunakan kereta api), dan KM dapati dia sedang minum sebungkus air teh yang dijumpainya di tong sampah.  KM sangat sedar bahawa teh itu memang sudah basi melalui warnanya yang sudah berubah dan sifat plastik yang agak kotor.  Namun dengan selamba Ana meminumnya dengan tenang sambil bernyanyi riang.  Jika kita (manusia biasa) meminumnya, tentu akan disusuli dengan muntah atau sakit perut beberapa ketika setelah meminum air itu, namun tidak seperti orang-orang yang kurang siuman.  Memang ada yang cuba menegah Ana untuk minum air itu dan menawarkan memberi air yang lebih baik, namun dia menolaknya.  Dia (golongan kurang siuman) berada dalam dunianya sendiri, yang tidak dapat difahami oleh orang lain.

Jaga diri, jaga minda, dan jagalah jiwa kita.  Jika kita berada dalam kesedihan, kesepian, kemurungan, atau apa sahaja masalah; luahkanlah kepada seseorang.  Jangan biarkan tekanan itu membarah dalam diri hingga kita hilang arah……

Apa yang KM tahu, orang yang sakit jiwa ini berpunca daripada masalah kerosakan saraf luaran iaitu akibat mengambilan alkohol, dadah, atau kecederaan kemalangan.  Faktor luaran ini mampu kita elak jika kita mengamalkan gaya hidup yang betul.  Kerosakan minda juga boleh berpunca daripada dalaman iaitu jiwa yang sentiasa tidak tenang.  Keadaan jiwa yang tidak tenang ini yang bersarang sekian lama dalam diri seseorang akan menyebabkan fungsi otaknya terganggu.  Lantaran itulah, KM selalu berusaha untuk menenangkan minda.  Minda yang tenang akan mengaktifkan kerasionalan diri.  Minda yang sering terganggu akan menyebabkan kesedihan melampau, kemurungan, dan akhirnya mungkin akan menyebabkan kerosakan saraf dalam otak.  Inilah yang berlaku sakit jiwa @ kurang siuman @ gila yang berpunca dari dalam diri manusia itu sendiri.

4 ulasan:

  1. kdg2 terfikir jugak, org mcm ni xde saudara mara nak bantu ke? kesian pulak tgk diaorg ke sana ke mari..apa2 pun semoga kita dapat mengawal minda kita sebaik mungkin..amin..

    BalasPadam
  2. KM....kadang2 ila rasa ila "sakit jiwa" juga bila banyak kerja neh..

    mungkin minda letin dan tak tenang..

    apa pun..kita mestilah jaga minda kita kan...dan selalu berfikiran positif...

    BalasPadam
  3. Kathy Tuah...

    Keluarga mungkin ada, namun bila dah jadi macam ni susah le sikit nak mengaku ahli keluarga.

    Cara terbaik adalah dengan rawatan, dan disusuli dengan usaha diri sendiri untuk berubah.

    BalasPadam
  4. Ila...

    Hati-hati dengan stress kerja. Kalau terlalu tertekan, ambillah cuti sehari dua untuk berehat.
    Amalan KM, jadikan kerja suatu aktiviti yang sangat menyeronokkan. Walau berat macam mana pun, cuba kita fikirkan perkara yang hendak dilakukan adalah perkara yang penting dan memberi kebaikan kepada semua. Bayangkan keseronokan apabila ia berjaya dilaksanakan. Baru kita rasa seronok untuk laksanakan tugas.

    Stress bekerja memang akan berlaku kepada sesiapa saja. Cuba luangkan masa untuk berhibur sedikit. Macam KM sendiri, kalau dah stress sangat, biasanya KM akan pergi berkhemah...:)

    KM pernah berkhemah secara solo selama dua hari di hutan. Tapi bila balik tu, memang rasa damai sangat. Tenang diri dan minda, dan secara tidak langsung rasa bersemangat terus menular dalam diri untuk melaksanakan tugasan yang belum selesai.

    BalasPadam